Friday, February 1, 2008

Ucaptama Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti

Ucaptama Program Keluarga Sakinah
Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti
Oleh
YAA Dato’ Hj Zohdi Bin Hj. Toha
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
Pada 12 Disember 2007 di Centre For Islamic Thought and Understanding UITM Shah Alam

Terlebih dahulu, marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita semua dapat berhimpun dalam majlis ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam yang sudi mengundang saya untuk memberikan ucaptama pada Program Keluarga Sakinah disini.

Keluarga berintegriti kehidupan berkualiti, menjadi fokus ucapan saya pada pagi yang berbahagia ini, sebelum memperkatakan tentang integriti, seharusnya perkataan tersebut difahami dengan jelas dan dihayati oleh setiap individu. Integriti ditakrifkan sebagai kualiti terpuji dan mempunyai prinsip moral yang kuat. Integriti juga bolehlah dimaksudkan sebagai satu standard moral yang membayangkan kualiti bersih, amanah dan boleh dipercayai. Wujudnya keperluan terhadap integriti bermula daripada kesedaran bahawa setiap manusia perlu mempunyai kualiti mulia selaras dengan martabatnya sebagai pemimpin atau khalifah Tuhan di dunia ini. Tuhan menurunkan agama sebagai panduan untuk mengekalkan tahap integriti manusia sebagai khalifah atau pentadbir alam ini. Melalui agama, manusia diajar mengenali kualiti moral atau akhlak mulia yang perlu ada pada diri mereka. Antara nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan ialah bersifat benar, amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berani, telus, tulus dan bijaksana. Banyak lagi nilai-nilai murni yang menyokong nilai-nilai asas berkenaan. Integriti adalah nilai yang bermula dari dalam diri manusia. Ia tumbuh dari kesedaran fitrah dan bermula di hati. Ia kemudiannya meresap ke minda dan emosi. Akhirnya integriti dipamerkan oleh tubuh fizikal melalui tingkah-laku. Firman Allah SWT yang berbunyi:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.” [Al-An’am: 165]

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian

Umumnya kita menyedari bahawa dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan pembangunan fizikal untuk diri dan keluarga, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh menghalang usaha kita. Malah masyarakat kita hari ini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan pelbagai tuntutan hidup, tetapi yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak-anak muda dalam trend keruntuhan akhlak dan anti-sosial. Inilah yang perlu sama-sama kita fikirkan apakah punca masalah ini dan bagaimana caranya kita boleh menyumbang bagi mengatasinya.

Berdasarkan pengamatan dan pengalaman kami di Mahkamah Syariah, kejadian ini hampir kesemuanya berpunca dari dalam kehidupan rumahtangga serta masyarakat di sekeliling kita. Dalam kesibukan kita berhadapan dengan hidup yang serba mencabar dalam era serba canggih ini kita seolah-olah kekurangan masa untuk melihat aspek pembangunan sahsiah serta jati diri anak-anak. Kita beranggapan bahawa dengan menyediakan keperluan yang terbaik untuk anak-anak, kita sudah menjadi ibu bapa yang baik. Aspek pendidikan anak-anak, termasuk sahsiah mereka, diserahkan kepada orang lain terutamanya kepada pihak sekolah ataupun pembantu rumah warga asing.

Pada hakikatnya tugas mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu bapa. Kesibukan dalam menjalani kehidupan seharian tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada orang lain. Dalam hal ini juga kestabilan rumah tangga merupakan faktor penting dalam pembentukan peribadi serta sahsiah anak-anak. Rumah tangga yang kucar-kacir dan berpecah belah memberikan kesan terhadap proses pembangunan diri anak-anak, sama ada secara fizikal mahu pun mental dan emosi. Seterusnya menghalang proses pembangunan modal insan kelas pertama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

Integriti dalam institusi kekeluargaan meliputi kejujuran dan keikhlasan dalam melihara keharmonian dan kestabilan perhubungan. Sebagai ketua keluarga lelaki atau suami mesti sentiasa mempunyai integriti yang kukuh, tanpa kejujuran dan keikhlasan maka setiap perlakuan akan mengakibatkan keraguan dan kehilangan hala tuju, kepercayaan yang sepatutnya diraih selaku seorang ketua tidak sepatutnya dicacatkan dengan kepura-puraan dan kecurangan. Bagi seorang isteri, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi adalah integriti diri yang harus dipertahankan sampai bila-bila, amanah dan tanggungjawab memelihara kebajikan suami dan anak-anak tidak harus digadaikan semata-mata untuk menambah pendapatan keluarga atau membantu suami walaupun dengan keredhaannya. Integriti kepada seorang anak adalah tidak mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara orang tuanya apabila mencapai usia senja, patuh dan menghormati keduanya selain daripada melakukan pekerjaan maksiat kepada Allah, selain daripada itu adalah amanah dan sifat-sifat terpuji.

Dalam memperkatakan peranan kaum bapa dalam pemupukan sahsiah atau mendidik anak-anak, perkara yang kita harapkan ialah kaum bapa turut memain peranan dalam membentuk, mendidik dan melatih sahsiah anak-anak. Kaum bapa hari ini perlu membuat anjakan daripada peranan tradisi mereka sebagai hanya penyedia kemudahan dan keperluan kepada peranan sebagai “role model” dengan lebih berkesan. Paling memerlukan penekanan adalah memelihara diri dan keluarga daripada api neraka sepertimana firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)”

[At-Tahrim: 6]

Hanya dengan dengan taqwa kita dapat memelihara diri dari menjadi bahan bakar api neraka, dan sebelum dikenali dengan integriti, takwa adalah kata dasar yang merangkumi tafsiran tanggungjawab, amanah, kepercayaan, keikhlasan kejujuran dan yang seumpamanya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak supaya berganding bahu untuk memberi penumpuan kepada isu pembangunan keluarga berintegriti ini, supaya pada masa akan datang Malaysia bukan sahaja akan menjadi sebuah negara maju dari segi ekonomi dan fizikal, tetapi juga maju dari segi akhlak dan peradabannya. Bagi melengkapkan usaha pemupukan integriti ini, kita juga harus sedar bahawa usaha murni ini tidak dapat dilakukan tanpa kesepakatan dan kerjasama yang bermula dari insitusi kekeluargaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah,

Tanpa integriti dalam hubungan kekeluargaan, maka titik perpecahan akan melanda rumah tangga, bermula dengan penipuan atau berpura-pura dihadapan isteri disebabkan hati telah terpaut kepada orang lain, tanggungjawab terhadap anak-anak mula diabaikan, penderaan terhadap isteri dan anak-anak menjadi kebiasaan, tidak kurang pula yang mencuri tulang semasa waktu kerja untuk bersama-sama ‘kekasih gelap’nya, dari kelakuan-kelakuan ini maka akhirnya kisah mereka akan dibicarakan di Mahkamah Syariah, duit yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan nafkah isteri dan anak-anak akhirnya terpaksa digunakan untuk kos mahkamah dan guaman. Di pihak Mahkamah Syariah pula, berperanan untuk menyelesaikan masalah berkaitan rumahtangga yang kadangkala terpaksa memakan masa akibat kurangnya kerjasama dari pihak yang sengaja mendatangkan masalah. Kadang kala Mahkamah pula yang dipersalahkan walaupun terpaksa mengikut prosedur dan demi keadilan apabila sebelah pihak gagal menghadirkan diri beberapa kali dalam perbicaraan. Kita tidak dapat menafikan terdapat segolongan manusia yang tidak mempunyai integriti, mengambil kesempatan dari perjalanan perbicaraan mahkamah untuk menganiaya pihak yang didendaminya. Dalam memperkatakan tentang keadilan dalam diri dan kepada orang lain, sengaja melambat-lambatkan perjalanan kes tanpa suatu sebab yang kukuh adalah menzalimi pihak lain dan juga mahkamah itu sendiri, “justice delay justice deny”. Bagi pihak Mahkamah Syariah adalah menjadi suatu integriti, untuk menyampaikan keadilan kepada semua pihak mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan sepertimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” [An-Nisaa: 58]

Sepertimana Jabatan Kehakiman Syariah dengan misinya untuk melaksanakan keadilan syariah kepada warga Selangor khususnya dan umat Islam umumnya, begitu juga dengan diri tuan-tuan dan puan-puan, mesti berlaku adil kepada isteri, dari isteri kepada suami, dari anak kepada ibu bapa, dari ibupapa kepada anaknya dan tidak kurang pentingnya keadilan kepada diri sendiri, keadilan adalah salah satu cabang integriti yang paling ampuh dalam menghadapi mehnah atau tribulasi tidak mengira apapun jua pekerjaan atau kedudukan kita dalam masyarakat.

Saya percaya, dalam usaha kita untuk menghasilkan kehidupan yang berkualiti, integriti mestilah diperkasakan. Usaha ini perlu dimulakan daripada institusi kekeluargaan, manakala setiap individu yang dominan dalam keluarga tersebut mesti mempercayai terhadap nilai-nilai murni sepertimana yang telah diterangkan tadi. Diadunkan kepercayaan tersebut dalam segenap pancainderanya serta dari segi kerohanian, minda dan emosi diri. Dengan kepercayaan yang tinggi terhadap perlunya integriti diri, seseorang itu akan meresapkan perasaan positif kepadanya. Di sinilah emosi seseorang akan sentiasa positif apabila ia dikaitkan dengan integriti diri. Seseorang akan berasa gembira, senang hati dan tenang apabila mampu mengekalkan integriti dirinya. Dia akan berasa puas apabila dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Hasil dari tindakannya ini akan menerbitkan produktiviti yang berkualiti. Beliau juga tidak akan menipu atau bercakap bohong kerana integritinya mantap. Dia tidak akan menerima rasuah atau pecah amanah kerana yakin perbuatan itu bertentangan dengan nilai integriti dirinya dan keimanannya terhadap hari pembalasan. Juga kerana Allah SWT telah memberi amaran tentang balasan terhadap perbuatan khianat dengan siksaan semasa hari kiamat kelak dengan firmannya:

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ


“Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).” [Ale-Imraan: 165]

Keluarga yang mantap pegangan agamanya pada kebiasaannya akan dapat mempertahankan nilai-nilai akhlak, moral atau etika yang tinggi. Keluarga yang memegang teguh ajaran agama akan dapat menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Amalan mulia dan ciri-ciri integriti yang diamalkan dalam keluarga akan menanamkan kesedaran dan penghayatan integriti dalam jiwa anak-anak. Ia kemudiannya menjadi satu tabiat dan akhirnya menjadi budaya.

Saya berharap semua peserta program ini akan mendapat gambaran yang jelas dan kefahaman yang mendalam tentang konsep integriti serta hubung kait nilai-nilai integriti dengan peranan institusi keluarga serta masyarakat agar kita sama-sama dapat menjadikannya sebagai amalan serta panduan dalam semua tindakan kita dan akhirnya akan menerbitkan natijah yang berkualiti dalam segenap segi kehidupan.


drafted by

Pegawai Penyelidik
Ketua Hakim Syarie
10hb Disember 2007

aburazeen Disember 2007

No comments:

Post a Comment