Monday, March 31, 2008

Faraid & Perundangan

Latif bin Sujak tergamam apabila mendengar berita kemalangan yang melibatkan bapa dan datuknya dalam perjalanan ke KLIA. Selaku pengasas kepada kumpulan perniagaan yang tersenarai dalam papan utama di beberapa Negara,kehilangan Datuk Asri member kesan kepada keluarganya. Lebih mengejutkan dikalangan sanak saudara mereka tiada sebarang penamaan dibuat keatas siapa yang akan menjadi pewaris harta Datuk Asri. Melalui laporan perubatan terhadap dua mangsa yang sempat dikejarkan ke hospital, Encik Sujak meninggal dunia terlebih dahulu daripada Datuk Asri. Jarak kematian diantara bapa dan datuk kepada Latif walaupun selang beberapa minit menjadikan Latif sekeluarga tidak layak untuk mewarisi harta arwah Datuknya mengikut hukum faraid.

Halangan ke atas Sujak untuk menerima harta datuknya adalah disebabkan syarat pewarisan yang menghendaki waris hidup ketika pemilik harta mati. Ini bermakna, waris-waris yang mati dahulu daripada pemilik harta tidak mewarisi pusaka walaupun meninggal terlebih dahulu beberapa saat. Masalah yang sama juga boleh didapati dalam peristiwa kemalangan yang melibatkan ramai orang, contohnya nahas jalanraya, udara, bencana alam dan sebagainya apabila berlaku kematian beramai-ramai maka tidak diketahui siapa yang mati dahulu dan siapa yang mati kemudian, maka dihukumkan tiada pusaka mempusakai diantara mereka yang layak apabila terjadi yang sedemikian.

Selain daripada halangan kematian terlebih dahulu daripada pemilik harta, pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya, dalam kebanyakan mazhab Ahli Sunnah, bunuh yang dimaksudkan samada secara sengaja atau tidak sengaja, jika ditakdirkan Encik Sujak yang memandu kereta membawa Datuk Asri, tidak meninggal dalam kemalangan tersebut, beliau masih terhalang untuk menerima harta Datuk Asri, kerana dari segi syaraknya beliau adalah penyebab kepada kematian bapanya. Melainkan Mazhab Hanafi dan Hanbali yang membahagikan penyebab kematian kepada sengaja dan tidak sengaja atau kematian yang menyebabkan hukuman qisas, diat atau kifarat menjadi sebab kepada penerimaan atau halangan menerima warisan atau faraid. Selain daripada itu berlainan agama juga faktor penghalang kepada penerimaan dan pemberian faraid kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang-orang kafir.

Namun dalam konteks Malaysia, harta orang bukan Islam boleh diwarisi oleh orang Islam mengikut undang-undang yang dikanunkan dibawah Akta 1004. Distribution (Amendment) Act 1997. Berdasarkan peruntukan tersebut pembahagian dibuat kepada semua ahli waris tanpa mengira agama mereka. Penerimaan dan pemberian ini akan mendatangkan keuntungan kepada semua pihak samada dari segi ekonomi umat Islam mahupun hubungan toleransi agama dengan sanak saudara yang tidak beragama Islam. Manakala satu lagi halangan menerima wasiat adalah murtad atau keluar dari agama Islam. Harta orang yang murtad dikembalikan kepada Baitumal tetapi menurut mazhab Hanafi harta tersebut boleh dibahagikan faraid kepada ahli waris setelah dinilai sebelum beliau murtad, harta yang diperolehi selepas murtad diserahkan kepada Baitulmal.

Peruntukan dalam undang-undang syariah di Malaysia tidak menyatakan dengan jelas tentang kaedah pembahagian harta orang yang mati didalam enakmennya, ini adalah kerana bahagian setiap ahli waris telah dinyatakan dengan jelas dalam beberapa ayat daripada Surah An-Nisaa’. Antaranya:

“Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara maka bahagian ibu bapanya ialah seperenam. Pembahagian ini ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati dan sesudah diselesaikan hutangnya”.

Pembahagian faraid dari segi pecahan bahagian tiap seorang adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut bidangkuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 61(3)(b)(ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1 Tahun 2003:

61(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah- (b)Dalam bidangkuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding i tu berhubungan dengan: (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian hata pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

Daripada peruntukan umum tersebut dikhususkan pula takat bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah untuk tuntutan yang bernilai di bawah seratus ribu ringgit sepertimana diperuntukkan dalam seksyen 62(2)(b) yang berbunyi:

62(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah; (b)Dalam bidang kuasa malnya,mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.

Oleh yang demikian kepada permohonan untuk perakuan warisan yang nilaian melebihi takat RM100,000.00 maka tuntutan hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, manakala selainnnya boleh didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang berbidangkuasa.

Di dalam Enakmen yang sama terdapat satu peruntukan khas untuk pembahagian faraid yang mana di dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 terdahulu, dinamakan sebagai Sijil Faraid, manakala selepas pindaan dinamakan sebagai Perakuan Warisan, seksyen 65 dinyatakan:

“Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai kewajipan untuk menentukan- (a) orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu; atau (b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak, Mahkamah Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi benefisiari atau wakilnya dan setelah dibayar olehnya fi yang ditetapkan, memperakukan fakta-fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapat Mahkamah Syariah itu tentang orang-orang yang berhak atau bahagian-bahagian itu”.

Terdahulu, prosiding permohonan sijil faraid dilakukan secara mengemukakan permohonan melalui borang tanpa perlu diperiksa oleh Hakim tentang kebenaran fakta waris-waris, namun setelah meneliti kaedah tersebut yang didapati membuka ruang untuk memalsukan fakta seperti melindungi waris yang berhak untuk menerima faraid, maka penambahbaikan sistem diperkenalkan, melalui pekeliling Ketua Pendaftar setiap permohonan perakuan warisan dibuat dengan sokongan ikrar melalui Afidavit (sumpah dihadapan Pendaftar atau Hakim Syarie). Setelah permohonan lengkap, siasatan dilakukan sepertimana prosiding kes Mal di dalam dewan perbicaraan oleh Hakim Syarie ke atas pemohon. Penyiasatan ini dilakukan dengan teliti supaya tidak ketinggalan semua ahli waris, atau tidak berlaku penyembunyian waris yang berhak melalui pakatan waris lain. Sekiranya perlu Hakim boleh memanggil saksi samada seorang atau lebih untuk menguatkan fakta dan aturan waris. Berbanding dengan sistem sijil faraid terdahulu, sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah perlu mendapat pengesahan dan semakan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sekarang tidak lagi, malah keputusan Sijil Perakuan Faraid boleh dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi. Salah satu piagam pelanggan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menyatakan pelanggan boleh mendapatkan Sijil Perakuan Faraid dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Kembali merujuk kepada masalah Latif dipermulaan artikel dan sebagai jalan penyelesaian kepada isu mereka yang terhalang daripada menerima bahagian faraid disebabkan kematian penerima waris terlebih dahulu daripada pemilik harta, pihak Jawatankuasa Perundangan Syarak Negeri Selangor telah memasukkan peruntukan wasiat wajibah ke dalam Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27 berbunyi: (1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.

Peruntukan ini memberi maksud, Latif selaku cucu kepada Datuk Asri tetap layak utuk menerima bahagian didalam faraid, walaupun terhalang kerana kematian bapanya yang lebih dahlu mati sebelum datuknya.. Peruntukan ini dinamakan sebagai wasiat wajibah, hanya Negeri Selangor sahaja di dalam Malaysia yang memperakui peruntukan tersebut, kebanyakan Mahkamah Syariah selainnnya berpandukan kepada bidangkuasa umum berkaitan wasiat yang diperuntukkan dalam senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan dan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri. Oleh kerana ketiadaan peruntukan tersebut, kerapkali timbul masalah dan konflik dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan wasiat.

Walaupun persoalan faraid tidak pernah membincangkan wasiat wajibah secara terperinci kerana khilaf yang berlaku diantara ulama’ fiqh tentang keharusannya, namun terdapat beberapa Negara Islam yang melaksanakannya diatas dasar menjaga maslahah dan keadilan kepada waris dan ahli keluarga terutamanya cucu yang dinafikan daripada mendapat pusaka kerana ii atau bala mereka matiu dahulu sebelum kematian datuk atau nenek mereka. Negara-Negara tersebut adalah Mesir, Maghribi, Syria, Tunisia, Pakistan dan Sudan, sepertimana khilaf terhadap keharusan wasiat wajibah tersebut, Negara-negara Islam yang mengiktirafnya turut berbeza kaedah pemakaiannya antara satu sama lain.

Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27, menyatakan kadar yang akan diterima oleh cucu adalah tidak melebihi bahagian yang sepatutnya diterima oleh ayahnya sepertimana yang diperuntukkan, begitu juga dengan beberapa peruntukan lain yang menjadi panduan kepada Hakim Syarie sebelum memutuskan bahagian faraid yang mengandungi wasiat wajibah untuk kemaslahatan semua pihak sepertimana kandungan seksyen tersebut yang berkenaan:

(2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya: Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
(3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:

Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.


Abu Razeen Al-Azhari
Sent to MAIS

21hb Feb 2008

Published
Mac 2008

No comments:

Post a Comment