Tuesday, February 19, 2019

UMUR PENGANTIN 1400 TAHUN DAHULU: POLEMIK PERKAHWINAN NABI DAN AISHAH


Umur Pengantin 1400 tahun yang lalu.
Respon terhadap perkahwinan Nabi dan Aishah

Pra: Artikel ini ditulis tatkala isu penyebaran karikatur yang dianggap/berniat menghina nabi. Ianya mendatangkan respon yang tidak baik, bahkan mampu menggugat keharmonian Malaysia yang telah dipupuk oleh datuk nenek kita sejak dulu. Saya lontarkan tulisan ini sehabis harmoni memandangkan saya mempunyai rakan dan jiran bukan beragama Islam yang masih belum memahami erti Islam sebenarnya.

1. Usia pengantin yang direkodkan dalam sejarah dunia, berbeza-beza mengikut jantina, masa, tempat dan kedudukan. Secara umum, perempuan kahwin muda dari lelaki, perempuan bangsawan berkahwin dalam umur yang muda dari perempuan kebanyakan. Umur pengantin lelaki dan perempuan mula meningkat semasa akhir zaman pertengahan. Secara basic, orang kebanyakan boleh faham jika dia berfikir.


2. Isu ini penting bila kita membincangkan umur Aishah apabila berkahwin dengan Nabi, sekadar membaca hadis dan tanpa penjelasan, bukan kata orang bukan Islam sahaja akan mislead, bahkan yang born muslim pun mungkin akan tertanya-tanya juga. Tambahan lagi isu global sekarang adalah ‘perkahwinan bawah umur’.

3. Kita mulakan dari titik tolak isu perkahwinan Nabi dan Aishah berdasarkan Hadis Aishah sendiri. Hadis tersebut dibawakan sebagai:

عَن عائشةَ رضي اللهُ عنهَا أَن النَّبيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسلّمَ تَزَوَّجَهَا وَهِيَ بِنتُ سِتِّ سِنِينَ، وَأُدخِلتْ عَليهِ وَهيَ بِنتُ تِسعٍ وَمَكَثَت عِندَهُ تِسعَا.
Daripada Aisyah R.A bahawa Nabi SAW mengahwininya sedangkan beliau berusia enam tahun dan bersama dengannya ketika berusia sembilan tahun. Kemudian hidup bersama Rasulullah SAW selama sembilan tahun.

Hadis ini bertaraf sahih riwayat Bukhari (4840) dan  Muslim (1422)

SIAPAKAH AISHAH?

4. Aishah merupakan anak Abu Bakar, sahabat Nabi paling rapat semasa di Mekah dan Madinah. Aishah merupakan seorang perempuan yang cergas pemikiran, pengingat, kritikal dan cepat matang. Lebih dari itu, beliau juga seorang yang kritis, berani dan cemburu jika kita melihat hadis-hadis lain yang diriwayatkan sendiri oleh Aishah. 

5. Semasa meriwayatkan hadis diatas, Aishah mengingati, bahawa beliau sedang bermain diluar rumah. Ibunya memanggil ke rumah, disana Aishah berada disamping bapanya dan Nabi turut berada disitu. Pada ketika itulah Abu Bakar sebagai bapa kandung mengahwinkan Nabi dengan Aishah. Tiada apa yang berlaku melainkan selepas itu Aishah kembali ke luar rumah dan menyambung main seperti kanak-kanak lain.

6. Point dari hadis Aishah adalah perkahwinan usia 6 tahun dan bersama ketika umur 9 tahun. 6 tahun adalah akad yang diwajarkan oleh Abu Bakar kepada Nabi, tetapi tiada hubungan kelamin pada masa itusehinggalah Aishah berumur 9 tahun. Kenapa 9 tahun baru bersama, tidak pada masa 6 tahun semasa diakadkan atau 16 tahun ikut undang-undang keluarga Islam atau 18 tahun ikut age of majoriti dalam Akta Tafsiran 1948?

7. Rasul hanya tinggal bersama dengan Aishah semasa berumur 9 tahun sebab ini adalah umur baligh (puberty) bagi perempuan bangsa Arab yang hidup di  iklim zon kering atau sub tropik yang mempunyai suhu panas yang melampau dan sejuk yang melampau.


8. Sebab tulah kita dapati budak budak Arab umur baru 9 tahun tapi tubuh badannya macam 17 ke 18 kita ataupun sama dah macam anak dara di Malaysia, begitu juga di Amerika dan Eropah. Perbezaan ini hanya didapati oleh mereka yang terbuka dan mungkin pernah keluar negara.

PERBEZAAN BALIGH BAGI WANITA

9. Perkara ini adalah common, perbezaan umur kedatangan haid perempuan bukan sahaja berdasarkan perbezaan geografi, bahkan mengikut keturunan. Ada juga yang lambat sampai baligh disebabkan penyakit dan ada juga yang tak ada langsung. 

10. Bahkan mengikut kajian sains, kedatangan haid bagi perempuan juga berbeza mengikut aktiviti kehidupan. Seorang ballerina (menari gunakan ibu jari kaki) akan lambat datang haid sehingga umur 16 tahun. Ini disebabkan latihan intensif dan pergerakan tubuh badan yang sangat aktif. Manakala perempuan yang berbadan besar (oversize) akan datang haid lebih awal dari perempuan yang kurus. Begitu juga dengan pendedahan perkara dewasa (adult content) yang awal dan perkembangan semasa.[1]

11. Oleh yang demikian, secara biologinya haid berbeza-beza atas pelbagai faktor, berdasarkan kajian tumbesaran kanak-kanak wanita di Saudi (tempat Aishah dilahirkan) tanda baligh dari segi fizikal telah datang seawal 9 tahun. Tanda baligh tu boleh lah dilihat dari legend dalam clustered bar diambil dari artikel Pubertal Developmental Age among Saudi and Non-Saudi Young Females Living in Jeddah, Saudi-Arabia [2]


12. Manakala kita di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai (2008) kanak-kanak mengalami menarche (haid kali pertama) pada umur 12.6 tahun 1994. Manakala pada tahun 2008 banyak yang menarche pada seawal umur 10 tahun. Kan nampak tak perbezaannya? [3]

13. Kenapa saya cerita pasal haid pulak?. Sebabnya dalam Islam, tidak diletakkan had umur secara angka untuk membolehkan perkahwinan. Ia seawal datang haid, sekira-kira mampu melahirkan anak hinggalah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ini cerita hukum syarak, berbeza dengan undang-undang yang dikanunkan di negara Malaysia.

UMUR MINIMUM UNTUK PERKAHWINAN DI MALAYSIA

14. Manakala angka 16 tahun dalam undang-undang keluarga Islam bagi perempuan (sebelum pindaan ke 18 tahun) dan 18 tahun bagi had umur minima untuk berkahwin. Itu adalah kuasa pemerintah bagi mengelakkan penginayaan dan jenayah sex bawah umur ikut tafsiran common law. Jika nak kahwin bawah 18 tahun maka kena lah minta kebenaran Mahkamah Syariah. *sex bawah umur 16 tahun dikenali sebagai statutary rape dan boleh dikenakan hukuman tak kurang pemenjaraan 10 tahun dibawah seksyen 376 Penal Code.   

15. Jadi adakah undang-undang keluarga Islam contradict dengan hukum syarak?, jawapannya… tidak. Sebab hukum syarak kekal sebagai asas perundangan bagi orang Islam dimana sahaja mereka berada, manakala undang-undang keluarga dibuat untuk pengkhususan atau penyeragaman bagi satu satu jajahan atau pemerintahan. Sesuai dengan Senarai 2 Jadual Ke 9 Perlembagaan Persekutuan. Penentuan undang-undang dibuat berdasarkan kemaslahatan pemerintah dan Rahmatan Lil Alamin! (nak masuk jugak). 

USIA PENGANTIN DALAM KONTEKS DUNIA

16. Untuk kita membuat kesimpulan samada perbuatan Nabi berkahwin dengan Aisha adalah perbuatan menyalahi norma atau tidak, kita kena lihat apa yang berlaku pada masa itu. Ini mengambil kira Nabi dilahirkan pada tahun 570AD (Anno Domini = tahun Masihi). Tahukah anda 1400 tahun yang lalu, atau tahun 500AD Eropah masih diselubungi zaman kegelapan, juga disebut dark ages. Berikut beberapa fakta zaman dark ages yang lebih kurang sama zamannya sewaktu nabi dilahirkan. Saya bawakan fakta ‘pada zaman dahulu’.  


17. Di Eropah telah berlaku perkahwinan di usia 10 tahun, buktinya Alice de Routclif of York telah berkahwin dengan John Marrays pada tahun 1364, walaupun Canon law (undang-undang gereja) kata had minimum adalah 12 untuk perempuan dan 14 untuk lelaki tetapi priest (naib tok kadi) pernah menjalankan akad nikah bawah daripada umur tersebut. Sapa Alice ni?, dia bukan Alice in Wonderland, tapi Alice ni seorang bangsawan yang turut kawin dengan bangsawan yang sekufu dengannya.[4]

18. Masih di Eropah, Isabella (bukan lagu ‘search’) juga dikenali sebagai she-wolf of france berumur 10 tahun semasa dikahwinkan pada tahun 1303. Beliau kahwin melalui ‘papal dispensation’ (kebenaran kadi besar/pope pada masa itu Clement V) atas tujuan proxy. Ada khilaf yang kata Isabella kahwin pada umur 12 tahun (Gillaume de Nangis) tapi apapun, ia masih dibawah umur kalau kita ikut pembaris zaman sekarang. [5]

Isabella de France

19. Pada abad ke 12 dan 15 di England, anak orang bangsawan boleh kahwin seawal 4 atau 6 tahun. Cuma mereka tidak tinggal bersama (consummated) sehinggalah yang perempuan mula datang haid sekitar umur 12 hingga 14 tahun. Ini bertujuan untuk menjaga kuasa dan kekayaan keluarga dari jatuh ke tangan orang lain.[6]

20. Bahkan pada semasa kurun ke 19, umur berkahwin di negeri-negeri Amerika Utara adalah antara 10 dan 16 tahun, bergantung kepada undang-undang negeri dan tahun. Ukuran dibuat berdasarkan kemampuan anak perempuan boleh melakukan aktiviti sex. Kebanyakan perkahwinan tersebut adalah dengan persetujuan ibu bapa. Walau tak ramai yang buat macam ni, tapi undang-undang tersebut wujud. [7] 

21. Kita patah balik zaman sebelum kelahiran Nabi sehinggalah selepasnya. Kita lihat dalam agama Yahudi. Dalam kitab Hebrew dan New Testament perkahwinan adalah situasi biasa, walaupun ada yang tak kahwin. Kebanyakan perempuan kahwin dalam usia yang sangat muda, biasanya selepas datang haid yang pertama. Kedatangan haid sudah tentunya menandakan kesuburan. [What the Bible Really Tells Us: The Essential Guide to Biblical Literacy By T. J. Wray page 146 chapter 7].


22. Perempuan biasa berkahwin dengan bapa saudaranya dari sebelah bapa atau dengan sepupunya untuk memelihara harta keluarga dan dengan harapan saudara terdekat itu akan menjaga perempuan dengan baik. Kanak kanak perempuan ditunangkan (betrothed) oleh bapanya walaupun sebelum mencapai umur dan biasanya mula hidup bersama suaminya yang biasanya berumur lebih tua  dikala kanak-kanak itu masuk usia baligh, [Encyclopedia of the Jewish Diaspora: Origins, Experiences, and Culture,  Professor Mark Avrum Ehrlich writes]

Ketubah, perjanjian perkahwinan dalam agama Yahudi

23. Yahudi Parsi mengahwinkan anak mereka semasa awal usia anak, lelaki semasa umur 10 atau 11 manakala perempuan 6 atau 7. Sesetengahnya telah menjadi ibu semasa berumur 12 atau 13 tahun. Poligami diamalkan oleh lelaki yang mampu mempunyai lebih dari seorang isteri. Adalah menjadi kebiasaan untuk anak yang baru nak baligh (prepubescent) untuk berkahwin dengan lelaki yang layak dipanggil datuk. Jewish Communities in Exotic Places By Ken Blady Page 69.

24. Rabbi Isaac Kelin dalam bukunya ‘A Guide to Jewish Religious Practice’ berkata, perkahwinan kanak-kanak adalah kebiasaan dan umur bukanlah faktor apabila seseorang perlu berkahwin, apabila ibubapa mengarahkannya maka kanak-kanak perempuan kena pilih suami dan dia tiada pilihan. A Guide to Jewish Religious Practice By Isaac Klein page 396 [8]


25. Penemuan ini tanpa mengambil kira usia perkahwinan dahulu dan sekarang di negara India, China, Zimbabwe, Peru, Sri Lanka, Korea Selatan,  dan mana-mana negara yang sewaktu dengannya.

JADI DIMANAKAH LOGIK FIKIRAN KITA?

26. Jesteru, adakah adil untuk kita menghukum, mereka yang hidup 1400 tahun yang lalu? Kalau nak hukum kelakuan orang dahulu dengan pembaris sekarang, zalimlah kita. Kalau begitu adilkah orang-orang Inggeris yang menetapkan perempuan dari golongan bangsawan kena beri maskahwin kepada lelaki dalam bentuk duit, barang keperluan dan harta.

27. Atau perkahwinan hanya diatur untuk faedah keluarga, selalunya disebabkan pangkat dan harta, bukan atas pilihan anak perempuan. Atau tuan-puan mahu pakai undang-undang memberikan kuasa kepada lelaki hak sepenuhnya kepada perempuan, perempuan akan menjadi seumpama harta yang dimiliki. Kalau begitu, tuan-puan pergilah ke kedai sarapan minta nasi lemak sepuluh sen… atau pergi market beli ikan kembung seringgit ..cubalah!

28. Kesimpulannya.

a) Nabi dikahwinkan oleh Abu Bakar semasa Aishah berumur 6 tahun dan hidup bersama hanya pada umur Aishah 9 tahun.

b) 9 tahun Aishah adalah umur baligh bagi perempuan di kawasan hijaz.

c) Tiada salahlaku samada dari segi moral atau etika dalam perkahwinan Nabi dan Aisha.

d) Kita tidak boleh menghukum perkara yang dilakukan oleh orang terdahulu dengan menggunakan neraca pada masa sekarang.



POST: i) Sengaja saya tidak membawakan hujah dikalangan ulama bahawa kemungkinan umur sebenar Aishah semasa perkahwinan adalah 14 tahun bukan 6 tahun, seperti membandingkan umur berdasarkan peristiwa tahun perang badar, perang uhud, umur Asma (kakak Aishah), kecelaruan sanad pada Hisyam bin Urwah. Sebab perkara ini tidak diambil pusingpun oleh pihak yang membuat dakwaan Nabi berkahwin dengan budak bawah umur.

ii) Oleh itu saya membuat perbandingan terus dengan keadaan pada masa itu, kerana secara common, orang yang membaca akan akur dengan perbezaan masa dan tempat. Namun jika tak faham juga, tunggu matang fikiranmu atau sampainya hidayah dari Allah. 

iii) Satu lagi, saya amat tidak menyokong sesiapa menyatakan bantahan terhadap penyebaran karikatur tersebut dan pada masa yang sama mengattachkan karikatur tersebut untuk tatapan orang lain, meskipun niatmu murni tetapi tanpa sengaja anda telahpun mempromosikan karikatur tersebut untuk tatapan orang ramai.

iv) Dan lagi satu, kepada sesiapa orang Islam yang merasa tiada apa-apa, tepuklah dada tanyalah iman kita kat mana. 

REFERENCE

[1] https://www.cam.ac.uk/research/news/age-of-puberty-in-girls-influenced-by-which-parent-their-genes-are-inherited-from

[2] https://www.omicsonline.org/open-access/pubertal-developmental-age-among-saudi-and-nonsaudi-young-females-living-in-jeddah-saudiarabia-2161-0665-1000242.php?aid=51564

[3] https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/08/26/malaysian-reaching-puberty-younger-says-liow/  

[4]https://www.reddit.com/r/AskHistorians/comments/3pafst/what_was_the_average_marriage_age_for_people/


[6] https://www.quora.com/In-medieval-times-at-what-age-were-girls-and-boys-married


[8] https://discover-the-truth.com/2013/09/14/bible-child-marriage-in-ancient-israelite-times-paedophilia/