Buku: DEBARAN SEMUSIM DI COTABATO
Penulis: MUHAIMIN WAHAB
Penerbit: Studio Anai Anai
Pencetak: Percetakan Majujaya Sdn Bhd
Helaian: 114
Penulis: MUHAIMIN WAHAB
Penerbit: Studio Anai Anai
Pencetak: Percetakan Majujaya Sdn Bhd
Helaian: 114
1. Debaran Semusim di Cotabato (DSdC), Jurnal yang tiada seumpamanya di pasaran, buku pertama tentang pemantau antarabangsa di bumi konflik berdarah saban dekad. Muhaimin Wahab (Penulis) bijak mengadunkan situasi cemas, bimbang, kaget dan rindu dalam 55 bab yang padat. Namun anda tidak perlu mengerut dahi dan berkeluh kesah disepanjang pembacaan kerana sisipan humor bakal meninggalkan anda tersenyum sendirian. Menamatkan buku ini tanpa sebarang langkauan bacaan akan membuatkan kita merasa bersyukur dilahirkan di sini (Malaysia).
Badge International Monitoring Team (Malaysia) Kawasan bertanda hijau, majoriti Muslim
2. Reputasi Malaysia yang banyak menginisiasi dialog konflik antarabangsa, memberikan imej terhormat kepada negara dua titik di Asia Tenggara. Tidak banyak peranan negara yang kita ketahui melainkan dengan laporan akhbar, pernah dengar cerita Tun Abdul Razak cuba mendamaikan Indonesia dan Belanda dalam konflik Irian Jaya? atau dialog kerajaan Thailand dengan separatist Pattani, kerajaan Myanmar dengan etnik Rohingya, malah lebih jauh lagi perdamaian antara Hamas dan Fatah di Palestin, untuk kali ini kita melihat konflik kerajaan Filipina dengan Bangsamoro dari kacamata seorang pemantau bukan militer di bumi Jose Rizal.
Pasukan IMT dianggotai pelbagai negara
3. Sukar dibayangkan kehidupan yang sentiasa dibayangi dengan ancaman bom dan senjata api, tapi itulah realiti petugas keamanan di rantau orang. Bagi penggemar Berita Dunia jam 10.00, mungkin mudah untuk memahami konflik di Mindanao. Kalau anda kenal Ferdinald Marcos dan isterinya Imelda (koleksi kasut), Nur Misuari, Estrada, Gloria Macapagal Arroyo yang petite atau gunslinger Duterte, maka tugas menghadam buku ini sudah selamat 50%. Manakala bakinya perlu anda teliti dibalik helaian buku ini.
Nur Misuari dan MILF berunding untuk kuasa autonomi dengan presiden Filipina
4. Bagi memudahkan pembacaan, anda perlu ingat beberapa akronim penting di sepanjang buku DSdC, antaranya MILF (Moro Islamic Liberation Force) MNLF (beza pada Nasional), BOL (Bangsamoro Organic Law), BARMM, sudah tentu IMT (International Monitoring Team) yang melibatkan diri Penulis di Mindanao Filipina sehingga mewujudkan buku ini dan berbelas lagi susunan alfabet yang perlu diingat. Yang penting jangan selang dari bab 1 kerana ia bakal membentuk pemikiran anda disepanjang 114 mukasurat akan datang. Cuma saya terfikir, kalaulah ada ruang helaian kosong, mungkin segala akronim tersebut boleh disenaraikan untuk kemudahan rujukan cepat pembaca, sudah tentu mereka akan berterima kasih kepada penerbit.
MILF (atas) MNLF (bawah) memperjuangkan nasib Muslimin di Filipina
5. Penulis membayangkan ketegangan sewaktu berada di Ground Zero, jelas kerisauan beliau digambarkan dalam bab "Nasib Ali": ".. dalam pada masa yang sama anggota MILF juga turut mengiringi kami. Ada yang membawa senjata AK-47 dan ada juga yang memikul senjata bantuan seperti GPMG. Ramai juga anggota MILF yang aku perhatikan membelit badan mereka dengan peluru GPMG." bagi yang tidak biasa dengan jenis senjata api, boleh google bagi mengetahui kehebatan senjata yang disebutkan tadi.
GPMG (General Purpose Machine Gun) dan peluru yang bersilang di badan
6. Untuk genre jurnal-fakta-konflik-militer, pengkisahan tidak harus tegang setiap masa, kerapkali terjumpa kenangan manis Penulis direkodkan meskipun dalam kancah yang tidak menentu. Dalam bab 24, "Tun M Make a Comeback" , selepas 23, "Malaysia di Barangay Salat, President Roxas" bab paling patriotik bagi saya, "... aku pernah jumpa anggota MILF yang ingat Tun M yang jadi Perdana Menteri sejak dari dulu hingga sekarang. Dia tidak kenal Pak Lah dan juga Najib. Memang menghairankan.. internet di hujung jari kot. Tapi aku lagi hairan apabila dia kata kenal Ayda Jebat dan Wani Hasrita. Parah... ".
gambar hiasan ehsan google
7. Amatlah diharapkan kepada generasi muda, agar diberi pendedahan dengan penulisan seumpama DSdC, jika mampu untuk saya sebutkan beberapa buku lagi seperti "Darah di Tanduo", "Muslim Selatan Thai Konflik dan Perjuangan", "Kolonel Jihad", "Kebangkitan Generasi Salahuddin" dan lain-lain lagi. Bukanlah kita nak mengajar anak muda dengan "warmonger", rebelious atau revolusioner, tetapi generasi akan datang perlu diberi ingat tentang buruknya perkelahian, sengsaranya perpecahan dan kejamnya peperangan. Lebih penting pada hari ini kita tidak mewariskan mereka dengan negara yang huru hara dan korup.
gambar hiasan ehsan google
8. Membaca buku ini, serta buku buku lain yang memaparkan fakta dan figur di negara orang menyebabkan saya berfikir betapa bertuahnya dilahirkan di bumi ini. Meskipun hanya dua butir di atas glob dunia, namun disinilah tempat jati diri satu bangsa berdaulat dan disini juga berhimpunnya 2 bangsa yang menjadi asas tamadun dunia serta bangsa lain yang unik, bersatu padu membangunkan ekonomi dan peradaban. Inilah yang orang lain melihat kita selama ini, tapi tika dan waktu ini adakah kita tidak berasa malu dengan paparan krisis politik, rasuah, rasis dan kiasu sedang yang lain memerhati?
gambar hiasan ehsan google
9. Bagi yang mengikuti trend penulisan pasca C19, pastinya dapat melihat beberapa penerbitan independen yang bermutu tinggi dipasarkan luar dari aliran mainstream. Kedai buku atau pesta buku tidak lagi menjadi tumpuan utama pembaca atau pembeli buku tegar. Pasaran kini lebih beralih kepada platform elektronik seperti shopee, lazada, wowshop dan medsos seperti Facebook. Satu perkara yang perlu kita ketahui bahawa penerbitan buku seumpama DSdC cetakannya adalah terhad dan cetakan seterusnya adalah bergantung kepada permintaan, bererti pembelian harus pantas dan kemungkinan tiada cetakan semula adalah tinggi. Oleh itu, anda adalah bernasib baik jika dapat membeli pada volume pertama dan simpanlah baik-baik.
Jarak dari Sandakan ke Cotabato diselangi kepulauan Sulu
Mungkin ini Masjid Merah Jambu yang dimaksudkan Penulis
Cotabato yang indah, menggamit pelancong,
kalaulah bukan kerana konflik, nescaya ramai orang berkunjung
Abu Razeen
Love Thy Book
Cintai Keamanan