APLIKASI KAEDAH "ASAS SESUATU KEADAAN DIAMBIL KIRA DARI MASA YANG PALING HAMPIR" DALAM DAKWAAN CERAI LAMPAU.
SITUASI
Seorang isteri telah diceraikan kali pertama dengan
kebenaran Mahkamah pada tahun 2017, sebelum bercerai isteri tersebut telah
tinggal berasingan dari suami atas sebab perselisihan faham sejak tahun 2010.
Pada tahun 2020 bekas isteri telah menuntut nafkah isteri
tertunggak diantara tahun 2017 hingga 2010. Pihak bekas suami enggan menerima
dakwaan cuai nafkah, dan memberi alasan bahawa telah berlaku penceraian pada
tahun 2017.
Bekas isteri menafikan ada perceraian pada tahun 2010, dan
berkeras menyatakan mereka hanya bercerai kali pertama pada tahun 2017.
Persoalan yang timbul:
i) Benarkah berlaku penceraian pada tahun 2010?
Fakta yang dipersetujui dalam kes ini adalah:
i) Perceraian berlaku di Mahkamah Syariah pada 2017
ii) Pasangan tidak tinggal bersama sejak tahun 2010
Fakta yang tidak dipersetujui:
i) Perceraian pada tahun 2010
JAWAPAN PENDEK:
Dakwaan bekas isteri diterima, tunggakan nafkah keatas suami
disabitkan. Kecuali jika suami boleh datangkan bukti berlakunya talak pada
tahun 2010.
JAWAPAN PANJANG:
1. Dakwaan bekas isteri bahawa perkahwinan masih kekal
sehingga tahun 2017 dibuktikan dengan permohonan cerai pada tahun 2017.
Manakala sebelum tahun 2017 tiada sebarang permohonan cerai atau permohonan pengesahan
lafaz cerai difailkan oleh mana-mana pihak. Pihak bekas suami mendakwa beliau telah menceraikan isterinya
pada tahun 2010, tetapi tidak mendatangkan sebarang bukti, perceraian itu
berlaku pada tahun 2010.
2. Dakwaan cerai dari bekas suami hanya timbul apabila bekas
isteri membuat tuntutan nafkah isteri tertunggak. Dengan cara mudah faham: bekas
isteri dakwa cerai berlaku pada 2017, bekas suami dakwa cerai pada 2010. Jadi
dakwaan manakah yang akan diambil kira dalam hukum fiqah?
ULASAN:
3. Kaedah yang dipakai adalah:
"Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang paling
hampir".
4. Apabila berlaku khilaf dari segi masa kejadian, maka
dinisbahkan kepada masa yang paling terdekat, sehinggalah dibukti sabit
pembuktian dari masa yang jauh. Jika dapat disabitkan pembuktian dari masa yang
jauh, maka wajib untuk berhukum dengan pembuktian tersebut walaupun telah jauh
sela masanya.
5. Ini kerana waktu yang terdekat, telahpun disepakati oleh
pihak yang bertikai akan hal keadaannya, meninggalkan pihak yang mengatakan kejadian
itu berlaku waktu yang terdahulu, bersendirian dalam pendapatnya. Kewujudan
sesuatu perkara dalam masa yang terdekat, meyakinkan berbanding dengan yang
jauh sifatnya meragukan (syak).(3) Maxim ini adalah subkaedah kepada “Keyakinan
tidak digugat oleh keraguan. (4)
DALIL KAEDAH:
6. Dalil 1:
Kaedah ini diambil dari satu hadis dari Abdullah
bin Abbas, bahawa Nabi SAW apabila ditanya tentang tikus yang terjatuh ke dalam
minyak, kemudian didapati mati, apa hukumnya? maka Nabi menjawab, keluarkanlah
ia dan apa yang disekelilingnya daripada minyak, manakala bakinya boleh
digunakan. [Bukhari: 5112]
7. Yang dimaksudkan dalam hadis ini, tidak diketahui semasa
jatuhnya tikus tersebut, samada minyak
di dalam bekas adakah dalam keadaan beku atau cair?. Fakta waktu masuknya tikus tersebut tidak
diketahui, maka Nabi telah menghukumkan ikut waktu yang paling hampir.(1)
8. Waktu semasa adalah ketika tikus itu dijumpai, minyak
dalam keadaan beku. Maka yang menjadi najis adalah minyak yang ada disekeliling
bangkai tikus tersebut, tidak perlulah dibuang semua sekali.
9. Hadis ini perlu difahami peristiwanya, kita tak boleh
samakan minyak yang ada tanah arab sama dengan minyak di rumah kita di
Malaysia, minyak di tanah arab ada yang membeku, hampir kebanyakan minyak
disana akan beku dan hanya mencair apabila dipanaskan.
10. Tetapi keadaan sebaliknya akan bertukar hukum sekiranya
didapati bangkai tikus itu tadi dalam minyak yang cair, maka seluruh minyak
dalam bekas itu perlu dibuang sebab telah merebak kenajisan bangkai tikus itu
tadi melalui kolam minyak yang cair.
11. Oleh kerana minyak itu beku maka, kita boleh buat
pengasingan. Sebab tu Nabi kata, gunakanlah yang selebihnya.
12. Dalil 2:
Dalam kes Saidina Umar, beliau solat subuh, kemudian pergi
ke Jaraf (3 km dari pusat bandar Madinah menghala ke Syam) kemudian ia terlihat
pada pakaiannya kesan air mani, maka ia berkata aku telah bermimpi hingga
mengeluarkan air mani tetapi aku tidak sedar, dan aku telah melakukan urusan
rakyat sedangkan aku dalam keadaan begini. Maka saidina Umar mencuci apa yang
beliau nampak dari kesan mani tersebut dan mandi wajib. Beliau mendiri solat
subuh semula selepas matahari naik.
13. Peristiwa ini menunjukkan, perbuatan saidina Umar mendirikan
solat subuh semula adalah dalil dalam mazhab shafie dan lainnya bahawa sesiapa
yang melihat pada pakaiannya kesan air mani akibat mimpi dan ia tidak ingat
bilakah ia bermimpi, tetapi ia telahpun solat sebelum nampak kesan air mani
tersebut, menjadikan tidurnya yang terkini itulah yang terjadi mimpi tersebut.
Maka hendaklah ia mengulangi solat diantara waktu sedar kesan mani tersebut dan
waktu terakhir ia tidur.
14. Ta'liq admin:
Oleh yang demikian, masa yang paling hampir dalam kes
Saidina Umar adalah tidurnya sebelum subuh. Saidina Umar mengambil pendirian,
beliau dalam keadaan berjunub sewaktu solat, sebab beliau terjumpa kesan air
mani pada baju yang dipakainya semasa solat subuh. Pada masa yang sama beliau
tidak tahu tidur yang mana satu sehingga menyebabkan mimpi basah?. Yang pasti,
tidurnya yang terkini adalah sebelum subuh hari tersebut, maka yang diambil
kira adalah subuhnya pada hari itu. Jadi Saidina Umar hanya mengulangi solat
subuh pada hari tersebut sahaja, meskipun timbul keraguan, mungkin mimpi basah
itu dari tidur yang malam sebelum hari kejadian?, mengambil kaedah ini maka
tidurnya yang terkinilah diambil kira. Wallahua'lam
15. Sesuatu yang tidak
wujud, kemudian wujud, apabila berlaku khilaf pada masa sekarang, maka
dinisbahkan kepada keadaan yang paling hampir kepada sekarang, tidak lagi
dinisbahkan kepada masa yang telah jauh berlalu. Kerana kejadian yang baru
berlaku itu diyakini, dan yakin tidak digugat dengan syak.
APLIKASI KAEDAH DALAM PERMASALAHAN HARIAN:
16. Contoh 1: Jika isteri mendakwa, suami telah menceraikannya
semasa dalam keadaan maradhul maut, maka waris yang lain mendakwa, Sesungguhnya
simati telah mentalakkan isteri semasa sihat. Maka dakwaan yang diterima adalah
dakwaan isteri, kerana "Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang
paling hampir".
17. Contoh 2: Seorang lelaki Islam berkahwin dengan seorang
isteri zimmi, kemudian lelaki tersebut mati, isterinya mendakwa bahawa ia telah
peluk Islam sebelum kematian suaminya, maka isteri berhak untuk mendapat
faraid, manakala pada pihak ahli waris simati mendakwa si isteri hanya peluk
Islam selepas kematian suaminya, maka yang terima adalah dakwaan ahli waris
simati kerana dekatnya waktu adalah semasa kematian. Melainkan jika si isteri
berjaya mendatangkan bukti keislamannnya itu sebelum kematian suaminya.
KEMBALI KEPADA KES RUJUKAN
18. Seperkara yang perlu diperhatikan dalam kes ini, adalah
keterangan bekas suami, dakwaan pernah bercerai pada 2010, apakah bekas suami ada
saksi dan bukti kukuh atau tidak.
Isu yang timbul dan perlukan kepada jawapan adalah:
ADAKAH BERLAKU CERAI PADA TAHUN 2010
19. Suami mendakwa telah menceraikan isterinya pada tahun 2010.
Tetapi sepanjang perbicaraan suami gagal membawa saksi atau bukti beliau telah
melafazkan talak pada tahun tersebut.
20. Jika benar berlaku perceraian pada tahun 2010, kenapa semasa
menghadiri kes perbicaraan cerai pada tahun 2017, isu cerai pada tahun 2010
tidak dizahirkan kepada Mahkamah?
21. Sekiranya bekas suami jujur dalam membuat dakwaan, kenapa
tidak dibuat pengesahan lafaz cerai sepanjang tahun 2010 hingga 2017, ataupun
sekurang-kurangnya perintah kembali taat atau nusyuz terhadap bekas isteri
disepanjang 7 tahun tersebut.?
22. Kenapa selepas isteri memfailkan nafkah isteri tertunggak,
baharulah dakwaan menceraikan isteri oleh bekas suami pada tahun 2010 timbul.
Dakwaan ini boleh dikatakan sebagai tohmah, bagi menafikan hak isteri untuk
mendapat nafkah isteri tertunggak.
PENGECUALIAN KAEDAH INI
23. Melainkan bekas suami boleh membuktikan bahawa beliau
ditahan sepanjang tahun 2010 sehingga 2017 oleh sebab itu beliau tidak hadir ke
mahkamah untuk buat tuntutan pengeahan lafaz cerai, maka barulah dakwaan cerai
boleh diambil kira, tetapi tiada bukti bekas suami dalam tahanan, atau gila
atau pengsan sepanjang 7 tahun, kecualilah beliau golongan ashabul kahfi.
24. Kalau bekas dakwa tak tahu undang-undang, bekas suami
bukanlah duduk dalam gua ataupun dalam hutan. Dakwaan tidak tahu undang-undang
ditolak dengan maxim “Ignorantia Juris Non Excusat” dan terpakai pada bekas
suami. Oleh yang demikian kejahilan bekas suami terhadap undang-undang bukanlah
alasan yang boleh digunakan untuk mendakwa tidak tahu.
25. Melainkan bekas suami berjaya membawakan saksi yang
mendengar lafaz cerai dibuat terhadap bekas isteri pada tahun 2010, cukup saksi
yang mendengar 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan, maka
dakwaan bekas suami bolehlah disabitkan. Tetapi tiada saksi.
KESIMPULAN
26. Jika bekas suami sampai sudah gagal mendatangkan bukti atas
dakwaannya, maka yang diterima adalah dakwaan isteri, dengan mengambilkira
kaedah "Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang paling
hampir", iaitu bekas isteri mendakwa cerai hanya berlaku pada tahun 2017,
kerana ini adalah masa yang paling hampir, manakala dakwaan bekas suami ditolak
kerana tiada bukti kukuh dan dakwaan ini adalah dakwaan masa yang lampau (2010).
Dan dakwaan ini diragui sebagai helah semata mata mahu mengelak dari membayar
nafkah tertunggak.
Wallahua’lam
# kalau salah mohon betulkan