1. BENARKAH 12 CIRI DAJJAL? (ms 5)
Ciri-ciri Dajjal ada yang diambil dari hadis yang sahih dan ada hadis yang lemah. Sekiranya datang dari hadis sahih maka seorang yang beriman wajib percaya, kerana hadis sahih adalah sumber syariat yang kedua selepas al-Quran dan sesiapa yang tidak mempercayai Hadis Sahih maka boleh jatuh kufur atau murtad kerana Hadis Sahih, ulama sepakat memang datang dari Nabi, jika tidak percaya kepada Hadis Sahih samalah macam tidak percaya kepada Nabi.
Namun, apa yang diperselisihkan adalah tafsiran terhadap Hadis Sahih berkenaan sifat dajjal tersebut. Gambaran atau imaginasi yang terhasil ciri ciri yang disebut oleh Nabi tidaklah disepakati semua ulama. Sebab itu bila Nabi isyaratkan Dajjal mempunyai satu mata, maka tafsiran keluar pelbagai-bagai.
Ada yang kata memang ada satu mata macam cyclops, atau dua mata tapi satu buta macam Moshe Dayan atau pirate yang pakai eye patch. Bahkan ada juga menafsirkan satu mata itu adalah perlambangan sahaja, sebab Dajjal tu zalim sebab tu dia pandang sebelah mata sahaja.
Waimma 12 atau 24 ciri ciri sekalipun, ia adalah tafsiran ulamak sahaja, tugas kita percaya atau beriman akan Hadis Sahih itu sudah mencukupi. Namun tafsiran itu, bolehlah kita ikut mana-mana pendapat tanpa kita memperlekehkan pendapat yang berbeza, sebab pemikiran manusia apatah lagi ulama adalah tidak sama antara satu sama lain.
Cuma kalau ciri-ciri ini datang dari Hadis bukan sahih, sama ada dhoif atau hasan kita boleh untuk menolaknya terpulanglah kalau nak percaya sekalipun, tetapi jika kita enggan percaya hadis dhoif, jangan pula kita memperlekehkan orang yang mempercayainya sebab hadis dhoif masih ada ratio kebenarannya berbanding hadis maudhu’ (hadis rekaan/palsu).
2. TAFSIR QURTUBI DAN FATHUL BARI KESAHEHAN (ms.11)
Tafsir Qurtubi menghimpunkan hadis yang menafsirkan al Quran dan pendapat ulama berkenaan ayat atau perkataan di dalam Quran. Jika dibaca, terdapat lebih dari satu tafsiran terhadap satu satu perkataan, penulis buku ini akan memetik tafsir yang paling hampir dengan pemahaman dan pemikirannya sahaja sedangkan Kitab Tafsir Qurtubi merakamkan tafsiran para sahabat, tabiin dan tabit tabiin yang pelbagai.
Begitu juga dengan Fathul Bari karangan Ibnu Hajar al Asqalani, menghimpun hadis riwayat Imam Bukhari yang menafsirkan dan pendapat ulama tentang perkataan Nabi, isu kepelbagaian tafsir tentang perkataan dalam hadis, ia adalah sama macam Kitab Tafsir Qurtubi juga perbahasannya.
3. ADAKAH BETUL NEGARA NEGARA YANG DISEBUTKAN AKAN MENJADI PENGIKUT/ PENYOKONG DAJJAL? (ms 97)
Kecuali yang memang Nabi sebut secara khusus contohnya “Isfahan”, maka memang betullah tempat yang bernama Isfahan di negara Iran, cuma tidak adillah kalau kita tafsirkan setiap manusia yang datang dari Isfahan adalah pengikut Dajjal waiima dia orang Yahudi ataupun Parsi. Dengan tafsiran itu kita akan memusuhi siapa sahaja yang lahir atau datang dari Isfahan, ini adalah tafsiran yang salah.
Sedangkan negara Iran suatu masa dulu zaman kegemilangan ilmu banyak melahirkan ulama’ seperti Imam al Ghazali, Ibnu Hajar al Askalani, Imam Bukhari jadi ada juga orang dari Iran atau Isfahan yang soleh, beriman dan tidak mungkin tentera Dajjal.
Bila Nabi sebut Isfahan, maka jika ada orang yang lahir dari Isfahan, maka dia kena cepat cepat kembali kepada Allah dan Rasulnya dan segera menuntut ilmu agar jangan jadi tentera Dajjal.
Sama macam Hadis Nabi sebut Dajjal akan datang dari timur, maka ada orang tafsirkan timur itu adalah Najd, maka dengan senang hati dan yakin mereka isyaratkan Raja Saudi sekarang ini adalah Dajjal, mentang mentanglah dia tak suka dengan Raja Saud terus di generalise kan satu keturunan Raja Saud adalah geng Dajjal.
Yang diperlukan adalah berusaha untuk tambah ilmu, kuatkan iman agar jangan jadi agen dajjal bukan suruh tuduh orang itu dajjal orang ini pengikut dajjal. Ini penyalahgunaan hadis mengikut hawa nafsu. Hadis dajjal dari timur telah banyak digunakan oleh musuh politik dengan menudingkan orang ini atau orang itulah. Ini bukan maksud sebenar yang dikehendaki oleh Nabi.
4. APAKAH BENAR APA YANG DIMAKSUDKAN DALAM KITAB (AL-FITAN WA ASYARU SAAH) ms 109
Jawapan ini kena baca kembali jawapan persoalan nombor 1. Benar atau tidaknya kita kenalah lihat hadis itu sama ada Sahih atau bukan Sahih. Jika Sahih wajib percaya, jika bukan Sahih maka boleh jadi benar boleh jadi tidak benar. Hadis Bukhari dan Muslim adalah disepakati oleh Ulama adalah hadis yang Saheh.
KESIMPULAN:
1. Hadis Nabi tentang isyarat akhir zaman tidak boleh digunakan untuk kita menuding jari kepada musuh pribadi/politik kita bahawa dialah Dajjal. Sebab ini dipanggil penunggang agama. Menggunakan hadis ikut kepentingan diri sahaja.
2. Yang ikut teruk, bila kita mengikut sahaja sipenunggang agama memfitnah individu atau sesuatu tempat atau negara adalah pengikut dajjal, Kita rasa macam kitalah yang betul, tetapi agenda dajjal untuk memecah belah sesama umat Islam, kitalah penyokongnya tanpa sedar.
3. Jika Hadis itu Sahih maka kita wajib percaya, tapi bagaimana tafsirannya itu terpulang, sebab ada tafsiran hanyalah buah fikiran seseorang sahaja, kecuali tafsir Quran yang diterangkan Nabi melalui Hadisnya yang Sahih yang itu kita wajib percaya.
4. Hadis akhir zaman yang Sahih kegunaanya untuk kita orang Islam berhati-hati dan berjaga-jaga supaya jangan sampai jadi penyokong Dajjal berdasarkan ciri-ciri yang telah diberitahu oleh Nabi.
5. Hadis akhir zaman juga adalah bekalan Nabi kepada umatnya untuk bersedia dari segi ilmu pengetahuan, jasmani, rohani supaya tidak jadi agen dajjal.
6. Sesuatu peristiwa yang berlaku masa kini, contohnya perang Israel – Iran, janganlah cepat kita hubungkan dengan Hadis Nabi dan kata inilah dia perang Malhamah Kubro, kerana jika bukan Malhamah Kubro, bimbang kita pula jadi ragu-ragu dengan Hadis Nabi.
7. Tambahkan ilmu tafsir quran, tafsir hadis, dari sumber primer jangan terlalu banyak maklumat dengan sumber sekunder atau tafsir sendiri, kerana banyak ajaran sesat bermula dengan terlalu taasub (ekstrem) dengan peristiwa akhir zaman.
8. Ajaran sesat seperti Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), ajaran Qadiani, Rufaqa’, masing masing menggunakan hadis dan otoriti Imam Mahdi sebagai hujah dan mencari pengikut masing-masing. Bagi yang cetek ilmu tapi semangat lebih, maka akan mudah tercebur dalam kesesatan.
9. Lazimilah membaca buku atau website yang mempunyai otoriti agama seperti para Ustaz yang memang diketahui alimnya dan dipercayai berdasarkan ilmunya, bukan sebab keramat atau ajaibnya. Contohnya https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1824-bayan-linnas-siri-43-imam-mahdi-menurut-pandangan-ahlus-sunnah
Wallahuaklam