Wednesday, April 9, 2008

Hidup Semula Fail Tarikh Balik

1. ISU

Seksyen 209(4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – Kuasa Ketua Hakim Menghidupkan Semula Kes Yang Ditolak, Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal (Negeri Selangor) 2003 – Penyelesaian Tindakan, Seksyen 95 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - Penarikan Balik Tuntutan, Seksyen 96 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) Kesan Penarikan Balik Ke Atas Prosiding Selanjutnya. Seksyen 129. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor – Penangguhan.

2. FAKTA KES

Pemohon memfailkan kes Mal Bil: 10001- -2003 pengesahan cerai talak lima diluar Mahkamah pada 2003. Kes ini didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah HJHJ HJHJ Tuan Hakim HJHJ HJHJ dengan sabitan perceraiannya, jatuh talak tiga dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 18hb HJHJ 2003. Perayu tidak puas hati atas keputusan Tuan Hakim MRS dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Setelah selesai proses notis rayuan dan pemfailan rekod rayuan di Mahkamah Rendah Syariah HJHJ HJHJ, Kes Mal (Rayuan) Bil -2004 berkenaan pengesahan lafaz cerai difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 9hb Januari 2004.Pemohon dalam kes ini telah diwakili oleh peguam .

Pada tarikh sebutan 2006 peguam pemohon tidak hadir dan pemohon telah menarik balik rayuannya dengan mengemukakan notis penarikan balik kepada Mahkamah menggunakan borang MS19, dan pada masa yang sama turut memfailkan borang MS 7 Notis Pelepasan Peguam Syarie, YA Tuan Hakim Mahkamah Tinggi Syarie meluluskan permohonan penarikan balik perayu tanpa sebarang bantahan daripada Responden dan membatalkan rayuan Perayu serta mengekalkan keputusan Tuan Hakim Mahkamah Rendah Syariah HJHJ HJHJ.

Pada tarikh 2006, pemohon yang diwakili oleh peguam Mohd telah memfailkan kes permohonan menghidupkan semula kes dibawah Seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – Kuasa Sedia Ada Mahkamah.

Alasan pemohon untuk menghidupkan semula kes ini disebabkan oleh tindakan penarikan balik yang dibuat pada 2006 dibuat semasa pemohon kurang kefahaman terhadap proses undang-undang serta kesan dan akibat tindakan beliau tersebut. Alasan lain adalah tempoh masa tangguhan yang singkat untuk pemohon membuat keputusan, kes rayuan disebut tanpa kehadiran peguam syarie pihak Pemohon dan Responden tidak membantah terhadap permohonan beliau.

3. DIPUTUSKAN

Setelah Mahkamah mendengar permohonan Pemohon melalui peguam syarienya yang disokong oleh Affidavit bertarikh 2006 dan eksibit-eksibit yang dilampirkan SERTA Hujahan bertulis Pemohon bertarikh 6 Februari 2007, Maka Mahkamah memerintahkan seperti berikut;-

1) Permohonan pemohon untuk menghidupkan semula kes permohonan bil 2004 Dalam Mahkamah Tinggi Syariah adalah ditolak

2) Jika Pemohon tidak puas hari boleh mengemukakan rayuan kes ini ke Mahkamah Rayuan Syarie.

4. SUMBER AUTORITI

  1. Al-Quran
  2. Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Aqdiyyah
  3. Imam Jalaluddin Sayuti Abdul Rahman bin Abi Bakar Assayuti, Al-Ashbah Wannazair, jilid 1, Darul Kutub Ilmiyah Beirut, 2001
  4. Abdul Qadir Audah, Tashrik Al-Jinai Al-Islami, Muassasah Risalah Beirut, 2001
  5. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No.4/2003
  6. Arahan Amalan No.12 Tahun 2005, Kompilasi Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2000-2005 JKSM.

5. ALASAN PENGHAKIMAN

5.1 BIDANGKUASA MAHKAMAH

Permohonan adalah untuk menghidup semula kes rayuan dalam Mahkamah Tinggi/Rayuan Syariah Selangor Kes Permohonan bil 2004 tuntutan pengesahan lafaz cerai melalui permohonan dan affidavit yang difailkan dalam kes Permohonan Bil 2006.

Mahkamah berbidangkuasa mendengar permohonan untuk menghidupkan semula kes yang telah di tolak oleh mana-mana mahkamah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang mengikut seksyen 209(4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)2003:

“Ketua Hakim Syarie boleh, atas pemohonan mana-mana pihak atau mengikut budibicaranya sendiri, memerintahkan mana-mana Mahkamah supaya menghidupkan semula mana-mana kes yang telah ditolak”

Dengan peruntukan ini ternyatalah Mahkamah pada hari ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini untuk mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses Mahkamah .

Setelah Mahkamah meneliti Afidavit Pemohon dan Penghujahan Pemohon didapati adalah benar tindakan Hakim Mahkamah Tinggi bertindak membatalkan rayuan pemohon hasil tindakan pemohon memfailkan notis penarikan balik keseluruhan tindakan terhadap Responden dengan menggunakan borang MS 19 pada 24 hb Julai 2006 bertepatan dengan seksyen 95 (1) Enakmen tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi.

“Plaintif boleh, dengan kebenaran Mahkamah, pada bila-bila masa sebelum penghakiman, menarik balik mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya dengan memberikan notis dalam Borang MS 19 kepada Mahkamah dan menyampaikan satu salinan notis itu kepada defendan”.

5.2 KEJAHILAN UNDANG-UNDANG

Pemohon dalam alasannya untuk menghidupkan kembali permohonan tersebut melalui Afidavitnya dan berhujah bahawa tindakan penarikan balik adalah disebabkan oleh kejahilan undang-undang dan tahap pemikiran yang rendah dan tidak tahu berhujah dalam prosiding rayuan dihadapan YA Hakim Mahkamah Tinggi tidak boleh diterima oleh Mahkamah ini berdasarkan alasan seperti berikut:

Dalam membahaskan kejahilan undang-undang pihak mahkamah memetik penerangan oleh Abdul Qadir Audah didalam bukunya yang bertajuk Tashrik Al-Jinai Al-Islami, terbitan Muassasah Risalah Beirut, jilid 1 ms 430 dan 431:

“Kesan jahil, tersalah dan terlupa kepada yang bertanggungjawab.

Kesan kejahilan atas pelaku jenayah : Daripada asas syariah Islam penjenayah tidak dihukum atas kelakuannya melainkan apabila beliau mengetahui maklumat yang lengkap dengan pengharamannya, apabila jahil tentang jenayah maka terpisahlah daripadanya tanggungjawab.

Sempurna dengan pengetahuan haram melakukannya apabila manusia mencapai tahap berakal, kemudahan untuk mengetahui apa yang diharamkan keatasnya samada merujuk kepada nas yang mewajibkan pengharaman tersebut, atau dengan bertanya kepada mereka yang mengetahui apa yang digolongkan dalam perbuatan haram, dan bukanlah alasan kejahilan atau menggunakan alasan tiada pengetahuan, disebut oleh fuqaha’ “Tidak diterima alasan di negara Islam alasan kejahilan dengan pengetahuan”.

Disifatkan seorang mukalaf mengetahui hukum adalah dengan keupayaan mendapat pengetahuan tetapi bukanlah dengan menguasai ilmu itu secara mendalam. Dan disifatkan hujah pengharaman diketahui secara menyeluruh walaupun pengetahuan itu majoritinya tidak terbit atas pelaku atau hanya mengetahui satu perkara sahaja selagimana pengetahuan itu mungkin didapati oleh pelaku. Dan syariat tidak mensyaratkan penguasaan ilmu secara mendalam kerana yang demikian menjurus kepada kepayahan dan membuka kepada peluang pengakuan jahil atas salahlaku secara berleluasa, dan mengakibatkan kesukaran untuk melaksanakan undang-undang.

Demikian kaedah umum dalam syariat Islam tiada pengecualiannya, Adapun fuqaha’ berpendapat menerima hujah kejahilan hukum daripada mereka yang hidup di pendalaman tiada percampuran dengan orang Islam, atau mereka yang baru memeluk Islam dan tidak tinggal di penempatan sesama Islam, maka keadaan tersebut tiada terkecuali pada masa sekarang. Pelaksanaan kaedah asal yang melarang penggunaan jahil tentang pengharaman sehingga pengetahuan mudah didapati baginya, Diberi contoh mereka yang susah mendapatkan pengetahuan, maka tidak di golongkan ke dalam mereka yang tahu tentang hukum syarak. Jika seseorang mendakwa jahil sedang beliau hidup disamping orang Islam atau mereka yang berpengetahuan maka pengakuan jahil tersebut adalah tidak dapat diterima.”

Walaupun keadaan tersebut dibincangkan dalam pelaku jenayah tetapi kaedah “Tidak diterima dalam negara Islam alasan kejahilan dengan pengetahuan” boleh digunapakai dalam qiyas keadaan pemohon dalam kes ini adalah tidak bersifat jahil apabila beliau telah memasukkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah. Beliau juga dalam keadaan tersebut telah berurusan dengan pihak Mahkamah bermula tarikh 29hb Julai 2003, apabila permohonan pengasahkan lafaz cerai telah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Daearah HJHJ.

Rasionalnya sekiranya pemohon tidak tahu undang-undang sudah tentu beliau tidak akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah diatas keputusan Tuan Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Disini jelas perayu telah memfailkan kes rayuan ke Mahkamah Tinggi yang demikian perayu adalah faham dari sudut undang-undang.

Merujuk kepada kitab Al-Ashbah Wannazair oleh Imam Sayuti dalam menggunapakai kaedah fiqhiyyah “Al-Umur Bi Maqasidiha” atau setiap perbuatan adalah terbit dari maksudnya, berdasarkan daripada Hadis Sahih Rasullullah.

Daripada Saidina Ali bin Abi Talib, Rasul telah bersabda;

“Sesungguhnya setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat”

Digunapakai dalam perbuatan pemohon semasa beliau memfailkan permohonan menarik balik kes menggunakan borang MS19, dimana kelakuan membaca, memahami, menulis, dan menurunkan tandatangan dalam borang tersebut seterusnya memfailkan ke dalam mahkamah adalah qarinah jelas, kepada qasad serta niat yang bermaksud menarik diri daripada meneruskan prosiding rayuan beliau.

Perbuatan tersebut juga adalah merupakan ikrar pemohon dengan menggunakan sighah kitabah (penggunaan pengisian borang) terhadap hak beliau untuk meneruskan rayuan kepada mahkamah yang berhak meneruskan prosiding seterusnya.

Alasan pengianayaan dan kezaliman kepada pihak pemohon dalam kes ini boleh diketepikan dengan wujudnya peguam-peguam lain samada berbayar ataupun dibawah biro bantuan guaman, dalam keadaan pemohon yang telah menghadiri sepanjang prosiding mahkamah berlangsung, pihak pemohon boleh bertanya ataupun mendapatkan nasihat undang-undang dari sumber-sumber tersebut walaupun tanpa penarikan diri pihak peguam yang telah beliau lafazkan wakalah.

Antara Kaedah Fiqh yang lain adalah “Alkitabah Ka Alkhitab” yang memberi erti tulisan sama seperti perkataan dan juga kaedah lain “Almar’u Ma’khuz Biiqrarihi” yang memberi erti perbuatan seseorang dikira dengan ikrarnya, rujukan Undang-Undang Keterangan Islam oleh Dr. Mahmud Saedon terbitan DBP mukasurat 39. Bersesuaian dengan kedah in didapati perayu telah menyatakan hasrat menarik balik secara lisan, kemudiannya mengemukakan notis rayuan tindakan dan menyatakan kesemua tindakan tersebut adalah menarik balik rayuan pengesahan nikah yang telah disabitkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah HJHJ.

5.3 PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Berkenaan hujah pemohon berkaitan bidangkuasa mahkamah untuk menghidupkan semula kes, pihak Mahkamah demi keadilan tetap mendengar permohonan ini walaupun pada hakikatnya kes ini mohon dihidupkan setelah dibenarkan mahkamah melalui penarikan balik oleh pihak pemohon. Jika diteliti peruntukan undang-undang dalam seksyen 209 (4) Enakmen Tatacara Mal (Negeri Selangor) 2003 kuasa Ketua Hakim Syarie adalah menghidupkan semula mana-mana kes yang ditolak.

Kes yang ditolak memberi erti penolakan oleh Hakim disebabkan penghakiman, perintah hasil dari keputusan ataupun khilaf penggunaan prosedur, tetapi didalam kes ini pihak pemohon telah menarik balik kes.

Bagi menyokong hujah pemohon, beliau menggunakan Arahan Amalan No.12 Tahun 2005 berkaitan Prosedur Menghidupkan Semula Kes Yang telah Dibuang / Ditolak Sebelum Selesai. Penggunaan Arahan Amalan tersebut turut menyatakan “Kes Yang telah Dibuang / Ditolak” dan tidak digunakan istilah di tarik balik dalam tajuk arahan tersebut, menunjukkan permohonan ini tidak mempunyai asas untuk dipertimbangkan dalam mana-mana peruntukan undang-undang.

Bagi memperjelaskan huraian tindakan menarik balik kes, seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal (Negeri Selangor) 2003 telah memperuntukkan;

“Jika dengan persetujuan pihak-pihak seuatu tindakan telah diselesaikan, mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matannya adalah sama”

‘Res judicata’ (Latin untuk “perkara itu sudah diputuskan”) digunakan dalam sistem perundangan civil dan common law, kes dimana telah diputuskan keputusan muktamad dan tidak lagi boleh dirayu. Terma ini juga dirujuk sebagai doktrin untuk mengelakkan pengulangan kes yang membabitkan isu yang sama dan pihak-pihak yang sama.

Di dalam Kamus Undang-Undang penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd 1995;

“Prinsip yang menyatakan apabila sesuatu perkara itu sudah dihukum oleh Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang kompeten ia tidak boleh lagi dibuka semula atau dicabar oleh pihak yang awal atau oleh penggantinya. Ini tidak termasuk rayuan ataupun cabaran keatas bidangkuasa mahkamah. Tujuannya ialah untuk mengakhiri litigasi”

Peruntukan di dalam enakmen yang sama turut menegaskan tentang kesan dan akibat daripada penarikan balik, seksyen 96;

“Jika Plaintif telah menarik balik prosiding di bawah seksyen 95, dia tidak boleh kemudiannya membawa tindakan bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matannya adalah sama melainkan jika Mahkamah telah memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding yang baru.”

5.4 KETIDAKHADIRAN PEGUAM

Hujah pemohon berkenaan kes di Mahkamah Tinggi disebut tanpa kehadiran Peguam Syarie pihak pemohon juga boleh dipertikaikan sepertimana yang disebut di dalam Afidavit Pemohon dan Penghujahan Pemohon, semasa tarikh sebutan pihak peguam tidak menghadirkan diri iaitu pada 22hb HJHJ 2005, 17hb Oktober 2005, 12 Disember 2005, 6hb Mac 2006, 17hb April 2006 dan 24hb Julai 2006.

Setelah diteliti pada tarikh-tarikh tersebut, hasil penemuan di dalam fail kes permohonan bil 10500-054-3-2004 mendapati seperti berikut;

i. Pada 32hb HJHJ pihak peguam pemohon hadir ke Mahkamah dan membuat sebutan di dalam kamar pada jam 11.00 pagi.

ii. Pada 47hb Oktober 2005 kes ditangguhkan kerana semua pihak tidak hadir,

iii. Pada 52hb Disember kes ditangguhkan kerana cuti umum (Sultan),

iv. Pada 86hb Mac 2006 kes ditangguhkan kerana Hakim terlibat dengan Mesyuarat Bajet,

v. Manakala hanya pada tarikh 107hb April 2006 dan 179 Jun 2006 pihak peguam pemohon tidak hadir.

Jelasnya hanya dua daripada lima tarikh yang diikrarkan dalam Afidavit pemohon yang benar-benar melibatkan ketidakhadiran peguam beliau manakala selainnya adalah diakibatkan oleh masa sebutan yang dilewatkan dan tangguhan, tidak sepertimana yang didakwa pemohon sebagai tidak menghadirkan diri ke Mahkamah.

5.5 PILIHAN MENARIK BALIK

Pemohon menyatakan akibat dari ketidakhadiran peguam tersebut beliau gagal untuk mengemukakan hujah secara lisan dan terpaksa membuat pilihan untuk menarik balik kes, keputusan tersebut juga dibuat akibat tarikh singkat yang diberikan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi. Sebenarnya beliau masih boleh membuat pilihan.

Penangguhan masih boleh diberikan sekiranya dipohon oleh pemohon semasa arahan mengemukakan hujah lisan pada tarikh kehadiran 24hb Julai 2006. ini adalah berdasarkan Seksyen 129. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor yang berbunyi.

“Mahkamah boleh dari masa kesemasa menangguhkan atau memindahkan mana-mana perbicaraan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan boleh mengenakan apa-apa syarat apabila berbuat demikian”

Sekalipun jika pemohon diberikan peluang untuk berbincang dengan Respondan dalam pada masa hari yang sama tanpa kehadiran peguam, sudah seharusnya beliau mempunyai dalil atau alasan yang terbit daripada dirinya sendiri sewaktu memulakan tindakan rayuan kes ini difailkan, manakala peguam hanya membantu dan menjadi penghujah bagi pihak pemohon sewaktu kehadirannya semasa prosiding. Adalah mustahil tindakan rayuan yang difailkan hanya dibuat secara ambil lewa atau atas dasar mencuba. Sudah pasti pihak pemohon mampu berhujah secara lisan walaupun ketiadaan peguam pada waktu tersebut, sekalipun tanpa prosiding yang sepatutnya diikuti sepertimana dilakukan oleh peguam.

Dalam keadaan ini sekiranya beliau memilih untuk mengemukakan hujah lisan, sudah pasti hujah tersebut akan diambil kira dan diberi penilaian atas budibicara YA Hakim Mahkamah Tinggi. Manakala di pihak YA Hakim Mahkamah Tinggi adalah menjadi tanggungjawab untuk mendengar hujah tersebut. Etika tersebut diambil daripada riwayat Saidina Ali, Rasul telah bersabda

“Wahai Ali, jika ada dua orang yang sedang bersengketa itu duduk di hadapanmu, maka janganlah tergesa-gesa engkau memutuskan antara mereka berdua itu, hingga lebih dahulu engkau mendengarkan keterangan orang kedua, sebagaimana dengar mendengarkan daripada orang pertama, Sebab apabila engkau berbuat begitu, maka keputusan itu menjadi jelas bagimu”.

(Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Aqdiyyah)

Dalam keadaan ini YA Hakim Mahkamah Tinggi telah memberi peluang untuk mendengar dan memberi masa kepada pemohon untuk berbincang. Malah, apabila keputusan untuk menarik balik kes ini dibuat pemohon, YA Hakim Mahkamah Tinggi juga telah meminta kepastian Responden berkenaan tindakan Pemohon dan Responden telah mempersetujuinya serta tanpa bantahan dan tidak akan menuntut sebarang kos daripada Pemohon. Persetujuan oleh kedua-dua belah pihak membawa kepada qarinah perasaan dan maksud redha dengan pemberhentian prosiding serta berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Rendah.

Jelaslah disini YA Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan amanahnya dengan memberi peluang kepada pemohon serta respondan serta memberikan masa untuk berfikir tanpa sebarang paksaan dan menghukum dengan adil atas pilihan dan redha pihak pemohon dan responden sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah al Nisa’ ayat 58 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat”

Setelah meneliti fail kes permohonan bil 10500-054-3-2004 didapati tidak terdapat catatan YA Hakim yang memberi kata dua kepada perayu sama ada meneruskan hujah atau menarik balik kes rayuannya setelah YA Hakim memberi masa untuk memikirkan kesan atau risiko atas penarikan balik kesnya.

Jika pemohon berhujah dengan tempoh yang singkat diberi oleh Yang Arif Hakim sekalipun, penarikan balik ini boleh juga diandaikan terbit dari semata-mata ketidakpuasan hati terhadap peguam dengan qarinah ketidakhadiran peguam akibat kesempitan pemohon untuk membayar yuran guaman, bukan kerana masa yang singkat diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.

5.6 NOTIS PENARIKAN BALIK

Selain dari hujah lain pemohon yang memberi alasan tidak mengetahui kesan dan akibat mengisi borang MS 19 Notis Penarikan Balik disebabkan kejahilan. Beliau juga berhujah bertindak demikian atas usaha untuk menukar peguam beliau yang didakwa tidak hadir disepanjang prosiding berlangsung.

Alasan tersebut boleh ditolak kerana pada masa yang sama selain dari borang MS 19 pemohon turut memfailkan borang MS 7 Notis Pelepasan Peguam Syarie, memberi maksud beliau telah maklum bahawa penukaran peguam syarie boleh dilakukan dengan hanya borang MS 7. Tidak perlu kepada borang MS 19.

Berkenaan tindakan mengisi borang dan dakwaan tidak arif tentang kesan dan akibat daripada notis MS 19 dan MS 7 pihak Mahkamah telah jelas bahawa konsep kesan dan akibat telah dipelajari oleh Pemohon sejak beliau mengisi Borang 2 Saman dan Penyata Tuntutan di awal prosiding pengesahan lafaz cerai pada 29hb Julai 2003.

6. KEPUTUSAN

1) Permohonan pemohon untuk menghidupkan semula kes permohonan bil 2004 Dalam Mahkamah Tinggi Syariah adalah ditolak

2) Jika perayu tidak puas hari boleh mengemukakan rayuan kes ini ke Mahkamah Rayuan Syarie.

3) Kos guaman dtanggung oleh pihak Plaintif