Wednesday, May 14, 2008

Caruman KWSP - Bukan harta sepencarian

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

MUNGKIN kita pernah terdengar keluhan golongan isteri bahawa walau sesukar mana menjaga suami yang sakit, apabila berlaku kematian mereka hanya layak mendapat `kepala mayat'.

Ini membawa maksud bahawa balu hanya layak ke atas satu perlapan daripada harta yang ditinggalkan suami apabila ia dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.

Bagaimanapun, dengan perkembangan undang-undang serta kesedaran wanita tentang hak-hak yang ada, tuntutan harta sepencarian mula meluas bukan sahaja apabila berlaku penceraian tetapi juga kematian.

Malah, mahkamah syariah diberi kuasa yang jelas untuk mendengar dan membicarakan tuntutan tersebut dari mana-mana pasangan Islam yang telah bercerai sebagaimana yang diperuntukan di dalam Enakmen Keluarga Islam yang digubal di negeri-negeri.

Jika harta-harta seperti rumah dan kereta jelas boleh dituntut dengan mengambil kira sumbangan secara langsung atau tidak, namun status wang caruman di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menimbulkan persoalan.

Walaupun ada sesetengah pihak bertegas bahawa ia adalah harta sepencarian berdasarkan sumbangan secara tidak langsung, namun sehingga kini ia masih tergantung.

Pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Suwaid Tapah berkata, caruman wang KWSP bukan dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya.

Sebaliknya, ia merupakan harta milik peribadi penama dan hanya mereka yang mempunyai hak mutlak ke atasnya wang tersebut.

``Berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah syariah, tidak begitu jelas sama ada caruman KWSP sudah diiktiraf sebagai harta sepencarian atau sebaliknya.

``Malah sehingga kini, belum ada fatwa yang jelas mengenainya walau ramai berpendapat ia adalah harta sepencarian,'' katanya semasa menyampaikan ceramah pada Siri Penerangan Undang-undang Islam: Harta Sepencarian dan Wang Simpanan KWSP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Suwaid, berdasarkan mekanisme dan peraturan Seksyen 51 dan 54 Akta KWSP, tuntutan harta sepencarian berasaskan sumbangan secara tidak langsung tidak berbangkit.

Sehingga kini, hanya satu kes yang diputuskan membabitkan tuntutan tersebut daripada simpanan suami di dalam KWSP.

Katanya, dalam kes Mariam dan Mohamed, Mahkamah Rendah Terengganu telah memerintahkan kepada defendan supaya menyerahkan RM18,000 daripada carumannya kepada plaintif.

Bagaimanapun, perintah tersebut dikeluarkan berasaskan persetujuan kedua-dua belah pihak yang mana penama dengan rela memberikan jumlah tersebut kepada bekas isteri.

``Sehingga kini, memang tidak ada akta sama ada dalam enakmen keluarga Islam mahupun KWSP yang membolehkan pihak ketiga mengeluarkan wang tersebut tanpa kebenaran penama termasuklah mahkamah.

``Cuma jika suami tidak menjelaskan mutaah, hutang, nafkah dan sebagainya dan tiada harta yang lain, maka isteri boleh menuntutnya daripada wang KWSP melalui perintah mahkamah apabila tiba tempoh matang,'' jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau, di mahkamah sivil, tuntutan caruman dalam KWSP dan gratuiti ketika persaraan telah diputuskan sebagai harta perkahwinan.

Pasangan yang berkenaan boleh memohon injunksi bagi menghalang majikan atau agen daripada mengeluarkan sehingga permohonan diselesaikan.

Sementara itu, Timbalan pengurus Bahagian Perancangan Korporat KWSP, Shahril Juraimi pula berkata, pandangan bahawa KWSP adalah harta sepencarian adalah tidak tepat.

Menurutnya maklum balas secara lisan yang diterima daripada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, simpanan KWSP suami sebagai harta sepencarian tidak boleh dipakai secara menyeluruh, sebaliknya hanya berdasarkan kes-kes tertentu sahaja.

Fatwa yang ada hanya berkaitan ahli meninggal dunia sebagai harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut faraid dan penama KWSP hanya sebagai pentadbir.

Bagaimanapun KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan keatas penama yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wasi atau pentadbir tersebut di bawah Akta KWSP.

``Simpanan ahli KWSP yang masih hidup adalah hak mutlak ahli berkenaan dan tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain.

``Sama ada orang ketiga atau pihak mahkamah yang memerintahkan, KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkannya kecuali dengan persetujuan ahli,'' jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau, jika caruman yang dibuat oleh salah satu pasangan dijadikan sebagai harta yang dipertikaikan dan menjadi kes mahkamah sama ada di mahkamah sivil atau syariah, pihak kwsp mempunyai budi bicara menasihati ahli supaya menyempurnakan perintah tersebut sebaik-baik sahaja caruman layak dikeluarkan.

Dengan perkataan lain, perintah mahkamah berkenaan adalah bagi memudahkan pihak KWSP mentagkan caruman kepada penama yang disebut oleh mahkamah berkenaan.

Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohd Rizduan Awang pula berkata, KWSP hanya boleh diiktiraf sebagai harta sepencarian jika ada pindaan yang berkaitan pada Akta KWSp mahu pun Enakmen Keluarga Islam.

Katanya, sehingga kini, akta dan undang-undang KWSP atau pencen yang sedia ada bertentangan dengan tuntutan tersebut.

``Mungkin KWSP boleh diiktiraf sebagai harta sepencarian jika ada fatwa yang berkaitan serta akta KWSP dan Enakmen keluarga Islam dipinda.

``Jika sudah diiktiraf, jangan lupa, suami juga mempunyai hak yang sama ke atas caruman KWSP isteri, bukan hanya isteri ke atas suami jika berlaku penceraian,'' katanya.

Bagaimanapun, secara peribadi, beliau bersetuju dengan pendapat Dr. Suwaid dan Shahril bahawa caruman KWSP bukan harta sepencarian.

Katanya, selain bertentangan dengan akta dan undang-undang yang sedia ada, ia adalah hak seorang pekerja untuk persediaan di hari tua.

``Ia juga bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebab ia dianggap sebagai wasit dan dibahagikan mengikut faraid apabila berlaku kematian

``Malah tidak pernah berlaku di mahkamah syariah yang memutuskan kwsp sebagai harta sepencarian kerana tidak ada dalam enakmen undang-undang syariah,'' jelasnya.

Selain itu, katanya, tujuan asal setiap pekerja diwajibkan mencarumkan wang ke dalam KWSP juga tidak akan tercapai jika ia dianggap sebagai harta sepencarian.

Malah, pelbagai masalah dari segi perlaksanaan akan timbul kerana ia melibatkan perkiraan yang rumit terutama bagi mereka yang berpoligami, caruman terkumpul sebelum berkahwin serta jenis akaun yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_05.htm&arc=hive