Thursday, April 10, 2008

Akas Mitigasi tolak penjara

ABSTRAK

Seksyen 123 EUUKIS (Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor), 4/1984 – Poligami tanpa kebenaran mahkamah – Kesalahan disabitkan – Prosedur pengakuan bersalah – Seksyen 94 (b) dan (k)(ii) EKPJS (Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Negeri Selangor) 6/1991) – Rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

FAKTA KES

Kes ini adalah merupakan kes rayuan terhadap keputusan Kes Jenayah Bil dalam Mahkamah Rendah Syariah Daerah Ghghgh Ghghgh atas sabitan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah dibawah seksyen 123 EUUKIS 4/1984.

Perayu telah dipertuduhkan dengan kesalahan berpoligami dengan seorang perempuan bernama Ghghgh di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand pada Januari 2001 tanpa kebenaran bertulis dari Mahkamah Rendah Syariah, Perayu telah mengaku bersalah mengikut seksyen 94(k)(ii) EKPJS 6/1991 dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM900.00 dan 03 hari penjara.

Perayu tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ghghgh Ghghgh yang diberikan pada 29 Mei 2002. Perayu telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah (Rayuan) di Shah Alam pada 12 Julai 2003.

DIPUTUSKAN

SETELAH MAHKAMAH melihat Rekod Rayuan adalah teratur DAN setelah meneliti Hujahan Perayu bertarikh 6 Disember 2005, Hujahan Balas Ketua Pendakwa Syarie bertarikh 13 September 2006 SERTA Hujah Balasan Terhadap Hujah Responden bertarikh 15 Februari 2007 yang disokong lampiran masing-masing MAKA MAHKAMAH berpuashati bahawa Hakim Bicara telah menggunakan budibicaranya dengan betul ketika menjatuhkan hukuman setakat yang dibenar undang-undang DENGAN itu Mahkamah ini memutuskan seperti berikut;-

1) Rayuan Perayu diterima. Hukuman penjara 3 hari diketepikan.

2) Hukuman denda dipinda kepada denda sebanyak RM1,000.00 atau jika gagal 2 bulan penjara.

3) Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati bolehlah memohon kebenaran rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor dalam tempoh 30 hari.

PEGUAM SYARIE/ KETUA PENDAKWA SYARIE

1. Perayu diwakili oleh BBB dari Tetuan BBB & Co
2. BBB, Ketua Pendakwa

PERUNDANGAN YANG DIRUJUK

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No. 2 tahun 2003
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor No.4 tahun1984
Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/1995

NAS YANG DIRUJUK

i. An-Nisaa’ ayat 59

ii. An-Nisaa’ ayat 3

iii. An-Nuur: ayat 2

KES YANG DIRUJUK

i. Mokhtar bin Pangat lwn Pendakwa JAWI Ulangbicara Jenayah Bil 1/1998 HJ Jld VII Bhg II 1991.
ii. Abdul Wahab lawan Timbalan Pendakwa Mahkamah Syariah Selangor kes ulangbicara Bil 1/1973 JH Jld II Bhg 1 dan II.
iii.
PP –lwn- Muthu Subramaniam Seeniservai (2001) 7 CLJ, 236.

iv. Raja Izuddin Shah –lwn- PP 1979 1 MLJ, 270
v. Melvani –lwn- PP (1971) 1 MLJ, 137

ALASAN PENGHAKIMAN

Rayuan perayu melalui kes 10500-166-6-2003 ini berdasarkan Seksyen 132 EKPJS 6/1991, berbunyi:

“Apabila orang yang dituduh telah mengaku salah dan disabitkan oleh Hakim atas pengakuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali terhadap kadar atau sahnya hukuman itu.”

Manakala seksyen 134, (1) enakmen yang sama menyatakan;

“..Mana-mana orang yang tidak berpuashati dengan pa-apa penghakiman, hukuman atau perintah yang telah dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah di dalam satu kes atau perkara jenayah yangmana ia adalah satu pihak, boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah terhadap keputusan, hukuman atau atas kadar hukuman yang dikatakan berlebihan beratnya atau mana-mana hukuman yang tidak memadai..”

Isu pertama pengakuan bersalah Perayu, pihak pendakwa menyatakan pengakuan yang dibuat adalah berdasarkan tanggungjawab dan pernikahannnya menyusahkan semua pihak yang terlibat dan membazirkan wang kerajaan. Pihak Mahkamah melihat perkara ini dalam sudut yang berbeza, dengan pengakuan bersalah oleh perayu maka penjimatan masa dan kos telah dapat ditingkatkan, bagi melaksanakan undang-undang Mahkamah perlu mengambil kira samada ia akan mengambil masa yang panjang dan membebankan kerajaan dan rakyat.

Melihat kepada kes Abdul Wahab lawan Timbalan Pendakwa Mahkamah Syariah Selangor kes Ulangbicara Bil 1/1973 JH Jld II Bhg 1 dan II 1981-1982 muka surat 281, Hakim Ulang Bicara Haji Azmi Dato’ Hj, Kamarudin dengan Jawatankuasa Ulangbicara telah memutuskan meminda perintah Mahkamah Kadi Besar Klang yang menjatuhkan hukuman penjara 30 hari atas kesalahan berkhalwat kepada hukuman denda sahaja sebanyak RM300.00. Alasan yang diberikan oleh Hakim Ulangbicara ialah bahawa ianya mengaku bersalah dan hukuman 30 hari penjara itu adalah berat.

Faktor pengakuan bersalah mempengaruhi mitigasi diamalkan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, merujuk kepada kes Raja Izuddin Shah –lwn- PP 1979 1 MLJ, 270, Yang Arif Hakim Hashim Yeop Sani menyatakan:

“Dalam penghakimannya majistret nampaknya telah dipengaruhi hujah pihak pendakwaan bahawa pengakuan salah tidak termasuk factor mitigasi, jadi telah menolaknya. Saya tidak bersetuju. Tidak ada pengakuan salah tertuduh diketepi begitu saha tapi mestilah diperiksa dan dipertimbangkan bersama fakta-fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwa. Semua aspek kes mestilah dipertimbangkan supaya keadilan yang sebenar dapat dicapai”

Begitu juga dengan kes Melvani –lwn- PP (1971) 1 MLJ, 137, Yang Arif Hakim Wee Chong Jin menyatakan:

“Prinsipnya saya mempertimbangkan bahawa adalah sebaliknya apabila seseorang tertuduh mengaku salah, mahkamah yang menilai hukuman perlu mengambilkira pengakuan salah sebagai faktor mitigasi”.

Isu kedua Rekod Perayu dihujahkan apabila kesalahan poligami tanpa kebenaran yang dilakukan adalah merupakan kesalahan rantaian, selain melibatkan seksyen 123 EUUKIS 4/1984, beliau juga menyalahi seksyen 19 EUUKIS 1984 dan dibaca bersama seksyen 20 enakmen yang sama jika perempuan yang dinikahi tersebut bermastautin di Negeri Selangor, begitu juga dengan seksyen 1333 untuk kesalahan bersubahat.

Pihak mahkamah berpendapat kesalahan yang disabitkan keatas perayu telah menerbitkan pelbagai hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang bukan kerana berulangnya perbuatan yang disabitkan tersebut. Dimaksudkan rekod perayu sebelum disabitkan adalah tingkahlaku dan sebarang kesalahan yang pernah direkodkan atas kesalahan yang serupa atau sebarang jenis kesalahan syariah yang lain.

Pihak Mahkamah Rendah Syariah tidak pernah dikemukakan sebarang sabitan kesalahan jenayah syariah lampau perayu, profesyen beliau sebagai seorang tentera berpangkat Kolonel mempunyai reputasi yang baik dikalangan masyarakat, selain dari itu mahkamah perlu juga menilai kelakuan Perayu yang membuat permohonan pengesahan perkahwinan tidak lama selepas pernikahan tersebut bukan kerana aduan atau ditangkap. Kepatuhan perayu untuk hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah dan JAIS sepertimana yang dihujahkan dalam Hujahan Perayu boleh dipertimbangkan oleh Hakim Bicara.

Suka juga pihak Mahkamah menitip kisah yang dicatatkan dalam Fiqh Islami Wa Adillatuh jilid 7 dalam bab Peraturan Ekonomi, Hudud dan Jenayah, mukasurat 5602: seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah S.A.W lalu berkata; “Saya telah menggauli seorang wanita tanpa menyetubuhinya”. Baginda bersabda;

“Apakah engkau solat bersama kami?”, lelaki itu menjawab “Ya” lalu Rasulullah SAW membaca firman Allah:

“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan buruk” [Hud: 14]

Isu ketiga Perkahwinan Perayu yang memenuhi syarak, dalam mempertimbangkan kesalahan perayu yang melibatkan satu kelakuan yang diharuskan, pihak Mahkamah perlu merujuk kembali kepada Al-Quran sepertimana Firman Allah SWT:


“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [An-Nisaa’:59]”

Dimaksudkan taat kepada orang-orang yang berkuasa didalam ayat tersebut adalah mematuhi peraturan selagimana ianya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh hukum syarak dan dan tidak pula membawa kepada maksiat, tidak kira samada maksiat tersebut berbentuk individu mahupun secara umum. Maka memang benarlah kuasa yang diperuntukkan oleh Hukum Syarak untuk pihak berkuasa membuat sebarang aturan untuk dipatuhi umum berdasarkan firman itu tadi, manakala dibahagian awal Surah An-Nisaa’ Allah SWT berfirman:

÷“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” [Al-Baqarah: 3]

Dalil yang mengharuskan poligami dinyatakan pada ayat ini, memberi erti disyariatkan berkahwin lebih dari satu pada mereka yang mampu dan boleh berlaku adil, jesteru untuk perbandingan antara sesuatu yang diharuskan Allah melalui firmanNya dengan sesuatu yang dilarang secara zahir seperti melakukan zina didalam Surah An-Nuur:

è“Perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman.” [An-Nuur: 2]

Begitu juga dengan meminum arak, berjudi adalah amat besar jurang perbezaannnya, malah dari segi kesan dan akibat kesalahan jenayah yang difirmankan juga telah diperincikan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW sendiri, maka dasar ini haruslah difahami dalam menilai sesuatu kesalahan yang terbit dari seorang mukmin.

Turut diperhalusi dalam kes ini adalah kehadiran wali nikah sendiri yang merestui perkahwinan tersebut berbeza dengan kes poligami tanpa kebenaran lain yang dilakukan atas tujuan merahsiakannya dari wali bimbang tidak direstui, sedangkan bagi mazhab shafei, wali adalah merupakan salah satu syarat rukun nikah.

Isu keempat kelayakan dan kemampuan dihujahkan oleh pihak Perayu bagi memperkuatkan sebab beliau berpoligami, apabila beliau tidak pernah gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, namun hujah tersebut boleh dipertikaikan dengan mudah. Sekiranya beliau seorang yang berkemampuan atas jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PSC BOFORS Defence Asia Sdn. Bhd, persoalannnya kenapakah perayu tidak melalui jalan perundangan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah. Sekurang-kurangnya beliau masih boleh mengemukakan permohonan dan dengan pendapatan dan kestabilan ekonomi beliau pasti mendapat pertimbangan Hakim Bicara.

Pihak Mahkamah berpihak kepada Pendakwa dalam isu ini. Pihak perayu sepatutnya menyatakan sebab yang tidak dapat dielakkan sehingga terpaksa bersusah payah pergi ke Selatan Thailand untuk berpoligami sedangkan ianya boleh dilakukan di negeri ini dengan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.

Isu kelima sabitan hukuman dan kesannnya, dalam rayuan mitigasi perayu, hukuman penjara 3 hari akan menjejaskan kedudukan perayu sebagai peengurus besar dalam sebuah syariakat swasta dan boleh mengakibatkan perayu dibuang kerja. Hujah sebegini lazim digunakan dalam mana-mana rayuan yang melibatkan penjawat awam atau swasta walaupun dari segi peraturan dan faktanya tidak semua orang yang disabitkan kesalahan dan dipenjarakan mesti dibuang kerja.

Namun Mahkamah tetap melihat kepada kesan dan akibat kepada pelaksanaan tersebut keatas perayu yang mempunyai tanggungan dua orang isteri dan enam orang anak yang perlu ditanggung, pertimbangan diberikan sebagaimana kes Mokhtar bin Pangat lwn Pendakwa JAWI Ulangbicara Jenayah Bil 1/1998 HJ Jld VII Bhg II 1991, lembaga Ulang bicara yang dipengerusikan oleh Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim telah meminda hukuman penjara satu bulan kepada mengesahkan hukuman denda sahaja, Lembaga Rayuan memberi alasan pertama ia adalah kesalahan pertama Perayu dan beliau mempunyai isteri dan 3 anak. Disamping itu jika dipenjara maka kemungkinan diberhentikan kerjanya dan menyebabkan kesengsaraan kepada keluarganya.

Kesengsaraan tersebut akan berpanjangan kepada sekurang-kurang dua keluarga dan membawa kepada kemudharatan kepada mereka yang terlbat, pertimbangan untuk mengelakkan kemudharatan yang akan diterima secara langsung oleh dua keluarga tersebut berbanding kemudharatan kepada masyarakat yang belum pasti kesannya dalam jangkamasa yang panjang perlu diukur oleh Yang Arif Hakim Bicara sebelum mempertimbangkan hukuman penjara tersebut kerana dalam satu kaedah fiqhiyah berbunyi

اذا تعارض مفسدتان دوعى أعظمهما ضرا بارتكاب أخفهما

Bermaksud: jika bertembung dua kemudharatan atau kerosakan tinggalkan kemudharatan yang lebih besar dan ambil kemudharatan yang lebih kecil.

Mahkamah harus memberikan pertimbangan kesan dan akibat yang ditanggung apabila seseorang itu mengaku salah supaya pengakuan salah itu sendiri tidak akan menjadikan seorang pesalah itu berada pada tahap lebih teruk daripada sebelum pengakuan salah itu dibuat. Mahkamah juga berpendapat oleh kerana perkahwinan tersebut akhirnya disahkan maka kesalahan yang dilakukan adalah dari aspek teknikal sahaja. Dalam setiap kes yang diadili masing-masing mempunyai fakta yang berbeza, jestru dalam kes perayu sewajarnya beliau tidak diumpamakan sebagai kambing hitam berbanding kes-kes lain yang mempunyai kesan dan akibat yang lebih buruk dari kesalahan yang telah disabitkan ke atas beliau.

Manakala dalam kes PP –lwn- Muthu Subramaniam Seeniservai (2001) 7 CLJ, 236 Yang Arif Su Geok Yiam memutuskan bahawa:

1- Pertimbangan utama yang menjadi panduan mahkamah dalam memutuskan hukuman ialah kepentingan awam. Kepentingan awam adalah paling berkesan apabila pesalah dipengaruhi untuk menjauhi perbuatan jenayah. Pendekatan yang betul untuk mahkamah ambil ialah meletakkan pertimbangan seboleh mungkin di antara kepentingan awam dan kepentingan tertuduh.

2- Pesalah-pesalah mestilah dihukum dan hukuman mestilah menggambarkan keseriusan jenayah yang dilakukan. Dalam masa yang sama, pesalah tidak dihukum dengan lebih berat semata-mata disebabkan ada ramai orang lain yang melakukan perbuatan tesebut. Tertuduh tidak patut dijadikan ‘kambing hitam’ kepada orang lain semata-mata kerana perbuatan jenayah itu semakin bertambah dalam Negara kita. Setiap kes hendaklah dinilai dari fakta dan keadaan kes itu.

KEPUTUSAN

SETELAH MAHKAMAH melihat Rekod Rayuan adalah teratur DAN setelah meneliti Hujahan Perayu bertarikh 6 Disember 2005, Hujahan Balas Ketua Pendakwa Syarie bertarikh 2006 SERTA Hujah Balasan Terhadap Hujah Responden bertarikh 2007 yang disokong lampiran masing-masing MAKA MAHKAMAH berpuashati bahawa Hakim Bicara telah menggunakan budibicaranya dengan betul ketika menjatuhkan hukuman setakat yang dibenar undang-undang DENGAN itu Mahkamah ini memutuskan seperti berikut;-

1) Rayuan Perayu diterima. Hukuman penjara 3 hari diketepikan.

2) Hukuman denda dipinda kepada denda sebanyak RM1,000.00 atau jika gagal 2 bulan penjara.

3) Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati bolehlah memohon kebenaran rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor dalam tempoh 30 hari.