BAGAIMANA KAEDAH PENILAIAN SEKURITI PATUH SYARIAH DI DALAM PASARAN MODAL ISLAM
Abu Razeen
Pra- Ini artikel kedua untuk majalah MAIS berkenaan wang haram atau syubhah, artikel pertama saya dah publishkan terlebih dahulu dalam tahun 2009, bersesuaian dengan masa rasanya sebab semenjak dua menjak ni tv arus perdana asyik dok tayang warga emas pulau pinang memulangkan duit bantuan kerajaan sebab tamau duit dari sumber yang haram... rasanya kerajaan pusat pun tak terlepas dari sumber haram atau syubhah, jadi mana-mana penjawat kerajaan yang berjiwa sufi eloklah berhenti makan gaji, kotidak masuklah tv pulangkan balik duit kerajaan yang 'haram itu'... saya errr...kurang berjiwa sufi, salafi kut eheh!
1. Setelah kita mengetahui secara ringkas beberapa perkara yang menyebabkan harta atau perolehan orang Islam menjadi haram atau syubhah pada keluaran yang lepas, kini perlu diketahui pula bagaimana untuk mengendalikan harta yang diketahui haram perolehannya atau diragui statusnya. Sebelum dikeluarkan fatwa tentang kaedah pelupusan yang diharuskan, terdapat beberapa pendapat secara logik yang telah dikeluarkan oleh ilmuan Islam berkaitan persoalan ini. Yang pernah sampai ke pengetahuan penulis adalah wang faedah bank atau dari sumber yang haram boleh digunakan untuk membeli selipar kegunaan tandas masjid atau surau. Jawapan ini mungkin ada rasionalnya, kerana wang dari sumber yang haram tidak boleh digunakan untuk faedah pemilik maka sewajarnya dibelikan untuk kegunaan orang ramai. Malah sebagai langkah berhati-hati selipar itu digunakan pula di dalam tandas. Atau yang lebih baik digunakan untuk membuat pagar masjid. Meskipun ia bukan satu pendapat yang kuat namun ia adalah jawapan popular sebelum diperkenalkan alternatif yang lebih baik.
2. Jika disebut penyucian harta, adalah tidak adil untuk meninggalkan komponen penyucian harta yang sedia dimaklumi oleh orang Islam yaitu zakat. Benar, zakat adalah agen penyucian harta, ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah yang diterjemahkan: "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah(zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka , kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan(ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [At-Taubah:103]. Dalam menjalani kewajipan memberi nafkah diri, keluarga dan tanggungan kadang-kadang kita gagal untuk membezakan sumber pendapatan yang mana halal, haram ataupun syubhah, maka dengan pengeluaran zakat maka itulah bahagian yang difardhukan untuk mengatasi kewujudan unsur tidak suci dalam pendapatan seharian. Namun ibadat zakat adalah nilaian sesuatu yang subjektif selain dari agen penyucian ia adalah hak orang lain di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau wang yang tidak patuh syariah. Ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam pengharamannya. Sepertimana Hadis An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasul SAW. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.'" [Bukhori]. Berdasarkan
Hadis ini, jika ditakdirkan tidak jelas haram atau halalnya sekalipun ia boleh diletakkan dalam golongan syubhah dan ianya wajar ditinggalkan.
3. Akibat dari perkembangan ekonomi serantau dan perbankan konvensional, maka umat Islam tidak dapat lari dari melibatkan diri dalam sistem kewangan kapitalis yang berunsurkan riba, ini sebelum diperkenalkan sistem kewangan Islam pada awal 80an oleh negara timur tengah dan timur asia. Oleh kerana kelewatan pengupayaan sistem muamalat Islam maka ramailah yang telah menceburkan diri dalam sistem kewangan yang jelas haram dan meragukan itu. Akibatnya timbul masalah bagaimana untuk menguruskan sumber haram yang telah bercampur dengan modal yang
patuh kepada syarak apabila ianya dipindahkan kepada perbankan Islam. Atau bagaimana untuk melupuskan wang peninggalan pusaka simati yang memang jelas berunsurkan riba atau haram sedangkan ia tidak boleh dibahagikan sebagai harta pusaka?.
4. Masih ramai lagi yang kurang sedar tentang penggunaan wang haram dalam kehidupan mereka sehari-hari, ada yang sedar tetapi mengambil ringan tentang penggunaannya, malah ada yang beranggapan ia adalah lebih baik dibiarkan di dalam akaun tanpa diusik. Tindakan sewajarnya tidak
diambil oleh orang kebanyakan lantaran tiada kaedah yang jelas kemana harus dibuang wang haram ini. Wang haram atau syubhah tidak boleh dimakan seperti faedah bank yang jelas atau wang yang sumbernya diragukan statusnya, kerana jika dimakan maka ia akan memakan secara haram begitu juga untuk membeli pakaian, rumah atau memenuhi keperluan seorang Islam atau yang bukan Islam. Tidak mungkin ada tempat untuk membelanjakan wang haram. Terdapat beberapa fatwa dari negara teluk yang membolehkan penggunaan wang faedah untuk membina tempat basuhan atau sesuatu yang berkait dengan penyucian. Walaubagaimanapun kaedah ini masih memberi faedah kepada individu. Pendapat ini tidak dipersetujui oleh Dr Yusof Qardawi kerana kegunaan hasil dari wang haram tidak boleh memberi munafaat kepada diri dan keluarga melainkan ia seorang fakir atau ia seorang tebusan yang selayaknya menerima zakat.
5. Namun untuk meninggalkan wang-wang haram ini agar digunakan semula oleh pihak bank konvensional tidak lain hanyalah dapat memperkuatkan insititusi ribawi dan membantunya memperkuatkan ekonomi dan meneruskan kesalahannya, maka ini yang dimaksudkan dengan membantu dalam perkara maksiat. Oleh yang demikian perbuatan mengekalkan wang ribawi di dalam bank ini adalah haram.
6. Dr Yusof Qardawi berpendapat wang sebegini boleh digunakan untuk faedah umum demi kebaikan seperti disumbangkan kepada fakir miskin, anak yatim, musafir, jihad pada jalan Allah, memperluaskan dakwah Islam, membina masjid dan pusat-pusat Islam, menambah dana pertolongan, mencetak kitab Islam dan perbagai bentuk kebaikan. Namun pendapat beliau telah dibahaskan oleh ulamak semasa, antara hujah penghalang kepada penggunaan wang ini, bagaimana hendak memberi makan kepada orang miskin hasil dari sesuatu yang haram dan bagaimana orang miskin rela untuk diberi makan sesuatu yang umat Islam tidak rela untuk makan?
7. Hakikatnya harta ini adalah haram dinisbahkan kepada mereka yang memperolehinya secara tidak betul, akan tetapi untuk dinisbahkan kepada fakir miskin ia adalah tujuan yang baik dan dapat
menyempurnakan hajat mereka. Kembali kepada persoalan perolehan sesuatu harta haram, ia sememangnya haram daripada segi cara memperolehinya namun ia bukanlah haram dari segi material tetapi ia tetap haram keatas orang yang mendapatkannya.
8. Akhirnya wang yang tidak patuh syarak ini meninggalkan empat kaedah pelupusan mengikut rasional yang ada. Pertamanya, diambil dan diguna manfaat harta haram tersebut untuk diri dan keluarganya. Ini tidak dibolehkan. Yang kedua, meninggalkan wang haram tersebut di dalam bank, ini juga tidak dibolehkan sepertimana hujah diatas. Ketiga, menghilangkan wang tersebut dengan cara memusnahkannya, ini adalah pendapat sebahagian ulamak salaf yang warak, namun ia ditentang oleh Imam Ghazali didalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ dimana beliau melarang membinasakan harta. Keempat, mengubah harta tersebut kepada kegunaan yang baik seperti kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang yang dalam perjalanan, yayasan kebajikan Islam, dakwah dan kemasyarakatan dan ini adalah pendapat yang terbaik.
9. Sayugia diingatkan bahawa kaedah pelupusan yang keempat tidak dikira sebagai sedekah walaupun ia yang terbaik, kerana ‘Allah SWT adalah suci sifatnya dan tidak menerima sesuatu melainkan dengan kesucian’. Pengubahan wang haram ini hanyalah satu cara pelupusan atau menghilangkan sifat haramnya sahaja, bukan bermaksud satu pemberian atau sedekah yang syarie, ia tidak lebih hanyalah satu proses untuk menyampaikan kebajikan. Ini bersesuaian dengan gesaan Allah SWT untuk melakukan kebajikan di dalam surah Al-Maidah yang bermaksud: “..hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya). [Al: Maidah: 2]. Dalil ini juga menjurus kepada larangan menolong melakukan dosa sepertimana meninggalkan wang syubhah atau haram di dalam bank dan akhirnya akan digunakan semula oleh pihak bank untuk tujuan maksiat kepada Allah.
10. Meskipun pelupusan wang haram harus dilakukan mengikut kaedah diatas namun ini tidak menghentikan tohmahan penggunaan wang tersebut. Ini disebakan nas pengharaman riba dan harta yang tidak halal lebih jelas dan ditekankan pada kebanyakan ayat berkaitan muamalat di dalam Al-Quran mahupun di dalam Hadis manakala pengharusannya tidak didatangkan secara langsung, oleh yang demikian Dr. Yusuf Qardawi di dalam kitabnya Fatawa Muasarah Jilid 2, cetakan Darul Wafa’ Mansurah (1993) muka surat 416 mendatangkan dalil keharusan ini, antaranya: Peristiwa sewaktu Rasul SAW menyuruh sedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Dimaklumkan kepada Rasul SAW bahawa kambing tersebut adalah dari sumber yang haram (diambil tanpa pengetahuan tuan punya kambing), lalu Rasul menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.
11. Dalam satu peristiwa lain, apabila diturunkan surah Al-Ruum (orang-orang Rom) ayat yang bermaksud “Orang-orang Rom telah dikalahkan, Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya” [Al-Ruum: 2-3]. Tentera Rom telah dikalahkan oleh tentera Parsi. Peristiwa ini menyebabkan kaum mushrik di Mekah bergembira. Sebaliknya orang-orang Islam berdukacita, kerana orang-orang Rom ialah Ahli Kitab sedang orang-orang Parsi ialah orang Majusi (penyembah api). Maka turunlah ayat diatas, Mushrikin yang mendengar ayat tersebut menafikannya, seterusnya menghujahkan bahawa mustahil Rom dapat mengalahkan Parsi.
Lalu Abu Bakar membuat pertaruhan ke atas kemenangan Rom dengan izin Rasul SAW. Selepas 9 tahun kemudian Rom kembali mengalahkan Parsi dalam peperangan, maka Abu Bakar memenangi pertaruhan dan bertemu dengan Rasul SAW bersama hasil taruhannya dengan Mushrikin, Rasul SAW mengatakan “Ini adalah harta yang diperolehi dengan jalan yang haram” maka Abu Bakar sedekahkan taruhan tersebut kepada umat Islam. Maka turunlah pengharaman memakan hasil taruhan selepas Rasul membenarkan Abu Bakar bertaruh dengan orang Mushrikin.
12. Dalil lain berdasarkan jawapan Al-Hasan mengenai taubat ‘Al-Ghal” iaitu seseorang yang mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagikan, maka dijawab hendaklah ia disedekahkan. Qias pula menyatakan sekiranya harta yang dimiliki dari sumber yang haram, tidak dapat diputusan samada memusnahkannya atau mengubahnya kepada kebajikan, dalam keadaan pemiliknya mahu menuntut harta tersebut, pada masa yang sama diketahui mengubahnya kepada kebajikan adalah lebih utama dari mencampakkannya ke dalam laut, sekiranya dicampakkan ke dalam laut maka hilanglah harta itu dari umat Islam dan dari pemiliknya dan tidak terhasil sebarang faedah dari perbuatan tersebut akan tetapi sekiranya diberikan kepada tangan fakir dan di doakan oleh fakir akan pemiliknya maka berhasillah berkat buat pemilik tersebut dan sempurnalah keperluan orang fakir. Terhasillah kebaikan bagi pemilik walau bukan pilihannnya untuk bersedekah kerana dalam sebuah khabar sahih “Sesungguhnya bagi peladang dan penanam satu pahala baginya untuk setiap hasil yang dimakan manusia atau burung”.
13. Bagi orang yang mengatakan tidak boleh bersedekah melainkan dari hasil yang baik, yang demikian itu apabila dimaksudkan pahala bagi diri orang yang bersedekah, perbincangan sekarang adalah mengenai cara melupuskan wang yang telah diperolehi secara haram bukan untuk memperolehi pahala, pilihan yang ada samada untuk memusnahkan atau mensedekahkan, maka dalam perkara ini wajar didahulukan pendapat bersedekah daripada memusnahkan harta tersebut. Jika keadaan pemilik harta haram itu sendiri dalam keadaan fakir dan tiada apa yang boleh diberikan untuk menyara keluarganya, maka pada masa itu penggunaan faedah harta haram tidak terhalang langsung kepadanya kerana fakir adalah orang yang diutamakan untuk menerima manfaat sedekah. Walaubagaimanapun dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhat ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, akan tetapi tetap mendapat pahala dari dua sudut yang lain, pertamanya, ia beroleh pahala kerana berusaha melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dalam apa jua keadaan, ini adalah pahala dari sisi Allah SWT. Keduanya, sumbangannya adalah mekanisma kebajikan yang menyampaikan harta kepada orang fakir serta pertubuhan Islam yang mengambil faedah dari sedekah itu dan inilah pahala atas usahanya dengan izin Allah.
14. Menyedari himpunan wang tidak patuh syariah semakin banyak hasil dari keinsafan diri dan syiar Islam yang semakin pesat maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 memutuskan fatwa berikut: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".
15. Berdasarkan alternatif yang tinggal melalui sokongan oleh fatwakontemporari samada bersifat kebangsaan dan antarabangsa maka MAIS diberi kuasa selaku badan yang boleh menerima wang haram atau syubhat untuk digunakan semula oleh umat Islam. Restu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dizahirkan semasa titah ucapan Baginda di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 tahun 2009 pada 10 Mac 2009 yang lalu. Usaha penyaluran wang haram atau syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal MAIS juga mendapat sokongan dan bantuan dari kerajaan negeri. Terdahulu dari itu keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS). Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 20 November 2008.
16. Oleh yang demikian tiada lagi alasan untuk tidak mengetahui dimana harus dileburkan harta yang sudah pasti haram atau syubhah bagi umat Islam masakini. Perbuatan tidak mengambil endah dikalangan penyimpan wang haram atau syubhah boleh menghilangkan keberkatan hidup di dunia dan akan menerima azab di hari akhirat atas penggunaannya setelah datang maklumat cara pelupusannya yang sesuai.
Subject to
Majalah MAIS
Abu Razeen Jan 2010
post - ada juga artikel yang tepat menjawab persoalan isu wang haram ini, InsyaAllah saya akan copypastekan selepas ini dan saya akan creditkan pada penulis asal. Mungkin ini boleh merungkai masalah berkenaan wang haram ini.