Monday, January 15, 2018

NIKAH DAHULU TIDAK SAH, ANAK MACAM MANA? WATI SYUBHAH

Pra: Baru ni ada sahabat lama tanya, macammana hukum orang yang bernikah guna wali yang dia tak kenal. Nak kata wali Mujbir jauh sekali, wali raja ke wali am bukan, wali tahkim pun bukan. wali band tak nikahkan orang kecuali anak perempuannya. Jadi status perkahwinan diragui.


Kesan kecacatan pada status wali adalah merosakkan rukun nikah. Bila rosak rukun nikah maka ia dianggap batil (batal) dalam mazhab shafie. Nak cerita pasal susunan wali kat artikel lain, tapi kali ni nak tumpu pada status anak.Manakala nikah fasid pula jika berlaku kecacatan pada syarat nikah. 


Timbul persoalan, adakah anak hasil pernikahan batil atau fasid, bapanya boleh menjadi wali?, adakah anak itu boleh mewarisi atau diwarisi? Ada kes yang mahkamah putuskan nasabnya bersambung dengan bapa dan ada yang tidak boleh dinasabkan, kenapa?... (kalau malas  kurang rajin baca nas dan perbahasan fuqaha' scroll terus kat bawah ada kesimpulan)
 apaaaa!!!

1. Jumhur fuqaha yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Shafie dan Hambali menyatakan bahawa pernikahan batil dan pernikahan fasid adalah satu makna, tiada perbezaan. Ia dinyatakan oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. ms 112, Jilid 7 Darul Fikr, Damsyik 1989 sebagaimana berikut.



pernikahan yang batil dan fasid satu makna disisi Jumhur Fuqaha selain Fuqaha Hanafi..

Dan bagi perkahwinan fasid atau batil ada beberapa hukum hakam seperti berikut:-

1....
2.....
3- Sabit nasab anak kepada bapanya sekiranya akad nikah tersebut tidak disepakati oleh fuqaha sebagai fasid. Begitu juga jika akad perkahwinan tersebut disepakati oleh Fuqaha sebagai fasid. Ia tidak dianggap sebagai persetubuhan zina apabila lelaki tersebut tidak mengetahui hukum haram mensetubuhi isterinya itu. Akan tetapi sekiranya dia mengetahui dengan pengharamannnya, maka ia dianggap persetubuhan zina dan wajib dikenakan hukuman had dan tidak sabit nasab anak tersebut kepadanya.


2. Berdasarkan pendapat fuqaha ini, maksud perkataan “fasid” yang terdapat di dalam seksyen 2(1) bukanlah bermaksud hanya pernikahan fasid sahaja yang dikira sebagai persetubuhan syubhah. Persetubuhan dari perkahwinan yang batal juga boleh dikategorikan sebagai persetubuhan syubhah.

3. Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2003, syarat untuk anak dinasabkan kepada seseorang lelaki selain lahir dari perkahwinan yang sah, ianya juga boleh dinasabkan hasil dari persetubuhan syubhah. Ia diperuntukkan di bawah seksyen 114, dinyatakan seperti berikut:-

“Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu”

4. Persetubuhan syubhah pula telah diberikan definisinya dalam subsekyen 2(1) enakmen tersebut dengan takrifan berikut:

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam”

Berdasarkan peruntukan tersebut, sesuatu persetubuhan yang dikira sebagai persetubuhan syubhah jika terdapat pada satu atau lebih daripada 3 ciri berikut:-

        (i)            Jika persetubuhan tersebut berlaku dalam perkahwinan yang tidak sah, tetapi pelakunya mempercayainya perkahwinan tersebut sah.

     II.   (ii)         Persetubuhan yang berlaku secara tersilap seperti persetubuhan seseorang lelaki dengan seorang perempuan yang dipercayai  dia adalah isterinya.

   III.      (iii)      Jika persetubuhan itu tidak dianggap zina dan tidak dihukum had di bawah hukum syara’.

5. Syarat (i) dan (ii) dibina atas kepercayaan pelakunya bahawa perempuan tersebut halal baginya untuk disetubuhi tetapi hakikat sebenarnya ia tidak halal. Ia menepati takrif syubhah dari segi bahasa dan istilah fuqaha. Rujuk kepada al-Qamus al-Fiqhi karangan Sa’di Abu Jaibn da Mu’jam al-Wasit di mana ia ta’rifkan sebagai

Sesuatu perkara yang tidak jelas yang mana tidak diketahui sama ada halal atau haram dan sama ada  haq atau batil”

6. Dari peruntukan seksyen 114 dan subseksyen 2(1) dapat difahami bahawa pelaku menyangka perempuan yang disetubuhi itu halal baginya. Ini bermakna syubhah tersebut berlaku pada pelaku menyamai apa yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Kadir Audah dalam kitab al-Tasyri’ al-Jinai’ie al-Islami Edisi 4[1998], al-Resalah Publisher, Beirut, Jilid 2 hlmn 360 bahawa ada 3 jenis syubhah, salah satunya adalah syubhah pada pelaku, nasnya seperti berikut:


“syubhah pada pelaku: seperti seseorang lelaki mensetubuhi seorang perempuan pada malam pertama yang disangka ia isterinya, kemudian jelas ia bukan isterinya. Asas syubhah itu adalah sangkaan dan kerpercayaan pelaku ketika melakukan perbuatan tersebut di mana dia mempercayai bahawa dia tidak mensetubuhi perempuan yang haram kepadanya. Oleh itu wujudnya sangkaan ini pada pelaku menghasilkan syubhah yang menyebabkan tertolak hukuman had. Manakala jika dia melakukan persetubuhan dalam keaadaan dia mengetahui perempuan tersebut haram kepadanya, maka ia tidak dikira sebagai syubhah”.
7. Dalam Mazhab Shafie disebutkan tiada perbezaan antara nikah fasid dan nikah batil dari segi hukumnya, Merujuk kepada Kitab Fiqh Ala Mazahibul Arbaah Jilid 4, hlmn 108 yang menyebutkan pendapat mazhab Shafie sebagaimana berikut:-

“Nikah fasid adalah pernikahan yang tidak sempurna atau tidak mencukupi satu (atau lebih) syarat daripada syarat pada rukun nikah. Manakala nikah batil adalah pernikahan yang tidak mencukupi satu (atau lebih) rukun nikah. Hukum bagi nikah fasid dan nikah batil adalah satu pada kebiasaannya.”

8. Setelah disebutkan contoh-contoh nikah fasid dan nikah batil dalam Mazhab Shafie, juga disebutkan dalam kitab tersebut mengenai hukum nikah fasid dan batil seperti berikut:-

“tidak dikenakan hukuman had padanya dan disabitkan dengan pernikahan batil dan fasid itu nasab keturunan dan diwajikan membayar mahar mithil (ke atas lelaki tersebut.”)

9. Dalam kitab tersebut juga disebut satu kaedah dalam Mazhab Shafie bahawa setiap persetubuhan yang tidak dikenakan hukuman had, maka sabit nasab dan keturunannya. Nas adalah seperti berikut:


“Ketahuilah bahawa setiap persetubuhan yang tidak dikenakan hukuman had ke atas pelakunya maka diwajibkan eddah, disabitkan dengan persetubuhan tersebut nasab keturunan dan diwajibkan membayar mahal mithil ke atas lelaki berkenaan”

Dalam kes nikah fasid dan nikah batil hudud tertolak kerana wujudnya syubhah atau keraguan.

10. Kesahtarafan nasab anak dari perkahwinan fasid dan batil ini bukan sahaja merupakan pendapat Mazhab Shafie tetapi juga merupakan pendapat 3 mazhab yang lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali. Cuma Mazhab Hanafi berbeza pendapat pada masalah kewajipan membayar mahar dan kewajipan eddah. Bagi mazhab Maliki dan Hambali, telah disebutkan otoritinya sebelum ini. Manakala bagi Mazhab Hanafi rujuk kepada Kitab Fiqh ala Mazahibul Arbaah Jilid 4 hlm 106-107 sebagaimana berikut:-


“Sesungguhnya nikah yang fasid terbahagi kepada 2 jenis; jenis yang pertama mewajibkan pembayaran mahar (maskawin) sabit nasab keturunan dengan pernikahan fasid itu dan tidak diwajibkan eddah...”

“Jenis nikah fasid yang kedua adalah sabit semuanya; mahar, eddah dan nasab keturunan.

11. Oleh kerana hukum eddah dan mahar mithil yang berbeza ini, maka mazhab Hanafi membezakan kesan antara nikah yang fasid dengan nikah yang batil. Ia berbeza dengan Jumhur Fuqaha termasuk mazhab Shafie yang tidak membezakan antara keduanya yang mana kesemuanya mensabitkan eddah, mahar dan nasab keturunan sebagai mana ototriti yang disebutkan terdahulu.

12. Dalam kes rujukan Wan Hashim bin Wan Ahmad lwn Juanee binti Janion, Jurnal Hukum 35 Bhg 1 1433H m/s 73-84. Hakim Rayuan mendapati dalam rekod rayuan kedua-dua perayu menyatakan, mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri berdasarkan keyakinan bahawa pernikahan mereka pada 16/07/2007 adalah sah mengikut Hukum Syara’. Isu disini samada dakwaan kedua-dua perayu mengenai keyakinan boleh diterima atau tidak untuk mensabitkan persetubuhan syubhah?.

13. Panel Rayuan berpendapat dakwaan keyakinan adalah munasabah dan masuk akal berdasarkan fakta bahawa perayu diberikan sijil nikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mana dengan sijil tersebut, boleh menimbulkan keyakinan. Disokong oleh fakta bahawa selepas anak tersebut lahir mereka telah menggunakan sijil tersebut untuk mendaftarkan kelahiran anak, tetapi ditolak kerana didapati ia palsu.

14. Dalam kes rujukan, Mahkamah rayuan telah memutuskan rayuan Perayu diterima dan anak yang dilahirkan perayu kedua pada 09/08/2009 hendaklah dinasabkan kepada Perayu 1 dan keputusan YA Hakim Bicara yang memutuskan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada Perayu 1 diketepikan.

15. Dalam kes ini juga Mahkamah Rayuan menasihatkan, dalam kes-kes pengesahan nikah yang didapati tidak sah, Hakim perlu membuat keputusan mengenai status anak dari perkahwinan yang dihukumkan sebagai tidak sah. Ini bagi mengelakkan pihak-pihak terpaksa memfailkan pula pengesahtarafan anak yang akan membebankan pihak-pihak dari segi masa dan kos. Tiada yang menghalang Mahkamah untuk membuat keputusan status anak dalam permohonan pengesahan nikah. 

Post: Kesimpulan (dedicated khusus kepada yang 'kurang rajin membaca'/dah baca tapi tak faham huraian diatas)

Sekiranya perkahwinan fasid atau batil berlaku, kesan kepada anak hasil dari perkahwinan tersebut dapat dibahagi kepada dua:


1. Jika perkahwinan itu DIKETAHUI ROSAK DAN CACAT RUKUN DARI AWAL ATAU SEBELUM KAHWIN oleh pengantin/pasangan, tetapi degil mereka nak kahwin juga! - maka anak yang terhasil tidak boleh diwalikan oleh bapa. mereka tidak waris mewarisi, batasan aurat seperti ajnabi, pasangan dikenakan hukuman had. 



2. Jika perkahwinan itu DIYAKINI SEMASA AKAD adalah SEMPURNA DAN SAH DARI SEGI RUKUN DAN SYARAT TETAPI HAKIKATNYA TAK SEMPURNA DAN TAK SAH maka anak tersebut boleh diwalikan oleh bapa, mendapat warisan, aurat dikira muhrim, lelaki wajib bayar mahar dengan kadar kebiasaan, perempuan boleh minta eddah selepas di faraqkan.


3. Contoh klasik kes nombor dua seperti: Bernikah guna wali hakim di thailand, tetapi rupa-rupanya bukan wali hakim yang diiktiraf oleh Majlis Agama Thailand, itu kadhi syndicate (sindekit). Hakim kena tanya samada mereka tahu atau tidak yang kadhi tu ada pengiktirafan?. Sekiranya tidak tahu maka masuk dalam kategori nombor 2. Tapi kalau tahu, degil nak menikah juga, maka pasangan ni akan jatuh kategori nombor 1.

4. Boleh minta hakim buat pengesahan nasab terus jika disabitkan faraq nikah disebabkan nikah fasid atau batil. Tapi terpulang pada hakim nak dengar atau kena failkan berasingan.

5. Pengetahuan pasangan yang berkahwin dalam kes sebegini adalah kunci kepada penasaban anak dan lain-lain efek perundangan. Oleh itu berilah pengetahuan kepada anak cucu cicit tuan-tuan dan puan-puan tentang hukum syarak. Jangan sampai dah beranak pinak baru nak naik turun mahkamah buat pengesahan.


cenggitu ekk!