Wednesday, December 26, 2007

Pandangan Islam terhadap banduan wanita

Abu Razeen

Jika merujuk kepada pandangan Islam kita tidak boleh lari daripada nas dan hukum yang ditentukan oleh Allah dan Rasulnya, sebelum kita fokus kepada banduan wanita kita perlu faham konsep Islam dalam memenjarakan individu. Penahanan atau penjara adalah dibawah kategori taazir dan penentuan hukumannya adalah dibawah kuasa pemerintah berdasarkan firman Allah SWT:: ..اوينفوامن الارض"..atau dibuang dari negeri .".] [Al-Maidah 5:33

Khalifah Umar, Osman dan Ali telah melaksanakan hukuman penjara, hukuman ini harus dilakukan pemerintah dalam lapan keadaan:

1) Ditahan penjenayah kerana mangsanya tidak ada, supaya orang yang menjalani hukuman qisas tidak terlepas dari hukuman.

2) Ditahan hamba yang lari selama satu tahun sebagai menjaga kehilangan harta dengan harapan diketahui tuannya.

3) Ditahan orang yang enggan menunaikan haknya sebagai paksaan atasnya supaya ia ditunaikan.

4) Ditahan mereka yang diragui kedudukannya samada kepayahan atau kesenangan utnuk mengetahui keadaannya, sekiranya ternyata keadaannya maka dia dihukum dengan apa yang selayaknya sama ada susah ataupun senang.

5) Ditahan penjenayah sebagai hukuman taazir atau mencegah daripada berbuat maksiat kepada Allah SWT.

6) Ditahan mereka yang terhalang dari menjalankan tanggungjawab wajib yang tidak boleh diganti oleh orang lain, contoh orang yang baru masuk Islam menjadi suami kepada dua wanita bersaudara

7) Orang yang membuat pengakuan mengenai sesuatu yang tidak diketahui samada benda ataupun dalam tanggungan dan ia tidak dapat menentukannya, ditahan sehingga dapat ditentukan dakwaannya seperti berkata ‘benda itu pakaian ini’.

8) Ditahan orang yang enggan menunaikan hak Allah SW yang tidak boleh diganti seperti puasa.

Jika diteliti didapati semua kategori golongan yang boleh dipenjarakan tadi, tidak mustahil berlaku daripada kaum wanita, jadi atas kemaslahatan pelaksanaan penjara tetap dikenakan atas alasan yang diperuntukkan syarak atau undang-undang yang terpakai. Cuma satu syarat yang dapat dikecualikan dari penjara iaitu orang yang tidak berakal, oleh yang demikian hukuman penjara bagi penjenayah yang berakal samada lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir, baligh atau kanak –kanak yang berakal, kerana yang dewasa kena hukuman, sementara kanak-kanak yang berakal dikenakan takzir sebagai pengajaran bukan sebagai hukuman.

Oleh kerana hukum syarak telah mengharuskan hukuman penjara kepada wanita yang melakukan kesalahan atas tujuan hukuman dan pengajaran, maka kedua-dua unsur tersebut hendaklah dipastikan tersemai semasa dalam tempoh pemenjaraan tersebut supaya apabila tamat tempoh banduan wanita ini akan keluar dan menjadi individu yang sedar setiap kesalahan yang dilakukan akan menerima balasan. Jadi kalau dikatakan pandangan Islam, setelah selesai menjalani hukuman, kita kembali kepada hukum asal dalam kaedah qawaid fiqhiyah “Al-Aslu Baraatul Zimmah” yang bererti asal sesuatu keadaan adalah tiada tanggungan.

Jika nak diceritakan lebih lanjut tentang banduan wanita mengikut perspektif Islam bagi saya pihak penjara sepatutnya membezakan setiap kategori wanita yang dipenjarakan, untuk kesalahan jenayah syariah dan jenayah sivil, banduan wanita Islam dan banduan wanita bukan Islam. Bagi kesalahan jenayah syariah, penekanan terhadap konsep kepatuhan dan kesedaran diri kepada suruhan agama hendaklah diutamakan, solat dan semua amal ibadat sunat wajib diberi perhatian kerana penjara bukan sahaja berperanan sebagai bentuk hukuman malah sebagai pendidikan kepada pelaku jenayah.

Manakala bagi banduan wanita Islam, hak untuk mendapat ajaran agama, menutup aurat semasa bersama banduan wanita bukan Islam boleh membantu membina shahsiah mereka dan juga satu tarbiah, maka sekurang-kurangnya apabila tiba waktu pembebasan nanti mereka akan tahu hukum hakam agama dan batas pergaulan dalam masyarakat.

Dorongan melakukan jenayah datangnya daripada berbagai faktor, saya ibaratkan dalam satu masakan sambal tumis, kena ada unsur pedas masin dan manis, kalau kurang salah satu maka ia jatuh dalam kategori kurang sedap terlebih masin tidak sedap terlebih manis pun tidak sedap apatah lagi terlebih pedas, jadi kena ada keseimbangan. Macam tu juga manusia dalam dirinya dibekalkan oleh Allah SWT dengan unsur akal fikiran dan nafsu disamping itu juga Allah bekalkan wahyu atau iman sebagai faktor penyelamat. Kalau manusia itu sendiri gagal menyeimbangi semua unsur tersebut maka akan terdoronglah ia dalam melakukan perkara yang tidak patut. Dalam pemberian ini Allah SWT tidak membataskan antara lelaki dan wanita, Allah SWT bagi sama sahaja, masing-masing ada tiga perkara ini. Apabila akal fikiran dikuasai nafsu yang tidak terkawal ditambah pulak kurangnya unsur keimanan maka berlakulah jenayah. Seperti dalam hadits Bukari Muslim dari Nabi Saw beliau bersabda:

"Tidaklah berzina orang yang berzina dan saat itu ia mu'min, dan tidak meminum khamar orang yang meminumnya dan saat itu ia mu'min, dan tidak pula mencuri orang yang mencuri dan saat itu ia mu'min".

Dalam hadis ini tidak dibezakan antara insan yang melakukan maksiat samada lelaki ataupun perempuan cuma semasa melakukan kesalahan tersebut mereka dalam keadaan iman tidak terdapat dalam dirinya.

Memanglah dulu jenayah sinonim dengan lelaki, tetapi zaman sekarang wanita hampir sama taraf atau memang sama taraf dengan lelaki, kita dah ada wanita dalam tentera, ada yang sampai ke kutub, dan ada yang sampai Himalaya ini membuktikan wanita juga ada tiga unsur ini, nafsu, akal fikiran dan keimanan, tanpa ketiga-tiga perkara ini mustahil mereka boleh mencapai apa yang dicita-citakan, maka lelaki dan wanita tiada bezanya, Cuma yang jadi sinonim adalah tahap peningkatan kadar jenayah diantara dua gender ini. Tangkapan dan sabitan daripada pihak berkuasa majoritinya atas kaum lelaki sejak zaman dulu sampai sekarang, tapi kaum wanita ini mungkin disebabkan sifat kewanitaan dan perasaan keibuannya atau mungkin boleh dikatakan sifat ketimurannya yang tinggi sebab itu jarang-jarang kita dapat dengar tentang banduan wanita, penjenayah atau banduan wanita memang ada tapi faktor suasana yang menjadikan kaum lelaki lebih sinonim.

pandangan masyarakat islam terhadap banduan wanita?

Macam yang saya cakap tadi sepatutnya seseorang yang telah menjani hukuman dunia sepatutnya ia telah bebas dari sebarang pertuduhan, namun sebagai manusia normal seorang bekas banduan tetap tidak boleh lari dari membuat persepsi bahawa orang lain akan memandang serong terhadapnya, usah dibincangkan tentang masayarakat Islam, semua golongan tidak kira agama atau keturunan mempunyai stigma negatif jika diketahui wanita itu adalah seorang banduan walaupun tiada sebarang kesalahan yang dibuat. Cuma bezanya banduan wanita dan lelaki, jika kita lihat Allah SWT telah menganugerahkan kaum wanita dengan perasaan sensitive lebih daripada lelaki, sebab itu hak jagaan anak lebih utama kepada ibu dan ibu sebelah ibu kemudian barulah lelaki, Yang nak diperkatakan disini adalah efek adalah lebih teruk kepada banduan wanita apabila berdepan masyarakat kerana sifat semulajadinya yang sensitif. Sekiranya tidak mendapat didikan dan rangsangan agama yang betul dan jitu sebelum keluar menghadapi masyarakat tidak mustahil banduan wanita akan menghadapi tekanan perasaan dan mungkin akan melakukan jenayah kembali.

penerimaan keluarga terhadap banduan wanita.

Saya tidak ada pengalaman mahupun kajian tentang perkara tersebut tapi pendapat saya seharusnya keluarga sendiri adalah tempat tinggal dan mengadunya yang terakhir di dunia ini. Bagi banduan wanita yang kuat pegangan agamanya, Allah SWT adalah tempat mengadu yang terakhir kerana, Allah maha berkuasa dalam menentukan hati manusia.

Sebelum kita mengharapkan masyarakat mengubah pendirian kepada positif dalam menerima banduan wanita seharusnya keluarga lebih dahulu berpendirian sangka baik kepada bekas banduan. Saya suka kembali dengan konsep ‘husnuz zan’ atau bersangka baik dalam garapan hubungan sesama manusia atau ‘hablum minan nas’, bersangka baik adalah merupakan kunci kepada satu perubahan yang berkesan bukan setakat ahli keluarga malah banduan itu sendiri, sekiranya banduan sentiasa membina persepsi bahawa keluarga sendiri tidak akan menerimanya maka itulah natijah yang akan diterimanya, kerana Allah SWT dalam menentukan qada’ manusia ada satu takdir yang ditentukan oleh kesan dan akibat perbuatan hamba itu sendiri. Fikiran yang negatif tentang pandangan orang lain terhadap kita akan membuatkan tindak tanduk kita akan menjurus kepada perbuatan yang menatijahkan kita dibenci, kerana setiap perbuatan akan didorong oleh pemikiran.

Begitu juga dengan ahli keluarga sekiranya mereka ‘su’ zan’ berpandangan buruk terhadap bekas banduan maka segala tindak tanduk dan pemikiran akan terarah kepada keburukan dan akan membenci insan tersebut, contohnya akan timbul persoalan “ betul ke dah insaf ni” , “jangan-jangan dia nak buat lagi tak?” atau “barang aku hilang mesti dia yang curi”. Sewajarnya anggota keluarga memberi sokongan dan dorongan malah sebagai pelindung kerana merekalah ahli waris yang bertanggungjawab keatas kesalamatan dan kebajikan diri antara satu sama lain walaupun kepada seorang banduan atau bekas banduan. Tanggungjawab menjaga ahli keluarga diakhirnya kembali kepada kaum individu mukmin atas firman Allah SWT

“Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)

Dalam Mahkamah Syariah

Dari segi mahkamah syariah memang kita ada hukuman penjara untuk kesalahan jenayah syariah. Biasanya orang yang bersalah dan dihukum penjara akan merayu supaya tidak dipenjarakan, dan mahkamah rayuan boleh samada mengekalkan atau menggugurkan hukuman penjara tersebut dan buat masa ini pilihan kedua adalah lebih banyak diputuskan.

Namun denda dan penjara untuk kesalahan jenayah syariah, sebenarnya adalah lebih ringan berbanding jenayah dalam undang-undang sivil dan jika diperhatikan mungkin tidak sampai maksud ‘pencegahan’. Misalannya dalam kes khalwat jika disabitkan boleh didenda sebanyak RM3,000.00 dan penjara tidak melebihi 2 tahun, begitu juga dengan persetubuhan luar nikah jika disabitkan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan. Bagi saya saya jumlah ini bukanlah suatu bentuk hukuman yang sesuai dengan keadaan sekarang dimana dalam keadaan kuasa ekonomi individu yang lebih kukuh, mereka tidak takut melakukan kesalahan jenayah kerana mampu bayar denda walaupun maksimum.

Hukuman penjara lazimnya adalah berbentuk pilihan, selepas tidak membayar denda. Cuma dalam keadaan tertentu sekiranya pihak yang disabitkan telahpun didenda atau dihukum atas jenis kesalahan yang sama atau kita katakan kesalahan berulang maka penjara adalah pilihan terakhir. Fakta kes juga memainkan peranan untuk membuatkan hukuman penjara dijatuhkan tanpa pilihan denda.

Contohnya kesalahan wanita yang lazim berulang seperti khalwat untuk tangkapan kali kedua, boleh dikenakan penjara. Mungkin untuk kali pertama denda tidak mendatangkan pengajaran padanya. Bidangkuasa MS tidak banyak paling tinggi pun 5 ribu sahaja, oleh itu kadang orang tak insaf dan ambil pengajaran pun, jadi hukuman penjara adalah pilihan terakhir. Dan untuk kes-kes tertentu Hakim Syarie memilih untuk menghantar pesalah wanita ke Pusat Pelindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam.

Mungkin faktor penahanan tidak dibuat ke penjara, sebab kesalahan jenayah syariah sepatutnya perlu mendapat didikan dan sokongan keagamaaan daripada pusat yang dikendalikan oleh Jabatan Agama, sebaliknya jika dihantar ke penjara ditakuti banduan tersebut akan lebih agresif dan tidak insaf atas kelakuannya yang terdahulu. Ini kerana hukuman dalam Islam adalah dalam unsur pencegahan dan pengajaran bukannya hukuman semata-mata.

30 Mei 2007
during interview with friends

Khurafat dan Azimat Menurut Persepektif Islam

Abu Razeen

Masih segar dalam ingatan replika gergasi berbentuk payung kuning, bulan sabit, cerek dan kapal didakwa bahtera Nabi Noh yang didirikan di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu,. Binaan-binaan tersebut telah cuba dimusnahkan oleh pihak yang tidak dikenali pada 18 Julai 2005 dan akhirnya dirobohkan pada hujung bulan yang sama dalam operasi membabitkan 50 pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa. Tindakan tersebut dikuatkuasakan di bawah peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 129, Kanun Tanah Negara kerana melanggar syarat pemilikan tanah.

Pembinaan yang dianggarkan bernilai ratusan ribu itu adalah lambang fahaman khurafat moden jika ditafsirkan mengikut konsep yang luas walaupun individu yang berkaitan dengan binaan tersebut didakwa oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di bawah seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama. Pihak tersebut juga boleh didakwa dibawah seksyen 4 (1) Enakmen yang sama yang berbunyi “Mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”. Pihak mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk memusnahkan mana-mana objek mengikut peruntukan 4(2) berbunyi “Mahkamah boleh memerintahkan supaya apa-apa peranti, barang atau benda yang digunakan dalam pelakuan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu.”

Manakala Negeri Selangor memperuntukkan kesalahan berhubung dengan akidah ini di dalam bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah menurut seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 9/1995 dengan perkataan yang sama cuma berbeza pada peruntukan hukuman “didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.” Jika dibuat perbandingan, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 1991 Serawak adalah lebih spesifik, seperti seksyen 37 “seseorang yang memuja pantai, padang, pokok kayu, kubur, hutan belukar, bukit atau mana-mana orang atau apa-apa benda dengan apa-apa jua cara yang bercanggah dengan Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali”. Sabah dalam dalam pemakaian yang lebih ketat telah memperuntukkan di dalam seksyen 62 Enakmen Jenayah Syariah1995 “Sesiapa membuat atau menjual atau membeli atau mengedar atau menyimpan atau mempamerkan apa-apa patung jenis bernyawa kecuali alat-alat permainan budak-budak perempuan atau apa-apa lambang keugamaan bukan Islam adalah melakukan satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali”. Jika diperhatikan kadar denda dan hukuman penjara masih tidak konsisten diantara negeri-negeri yang di terangkan diatas.

Dalam konteks kefahaman masyarakat Malaysia, banyak yang masih dibelenggu tafsiran sempit perbuatan khurafat seperti mandi safar, membuang ancak, bunyi burung tukang yang bermaksud berlaku kematian, menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas dan bermacam-macam mitos antik yang kadang-kadang menyebabkan kita lupa bahawa perbuatan khurafat kadang-kadang berlaku dihadapan mata kita tanpa disedari. Memahami khurafat mengikut pengertian Kitab Al-Mu’jam al-Wasit adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta dan menurut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; sebarang cerita yang benar-benar dusta.

Mungkin ada yang ingat tentang kisah surat berantai yang menggemparkan dimana sesiapa yang menerima surat berupa wasiat tersebut hendaklah menyalin sebar surat dalam jumlah yang tertentu untuk mendapat keuntungan manakala sesiapa yang ingkar akan mendapat kecelakaan, lebih mempersonakan dibawa contoh seorang pemimpin negara yang mengabaikan surat tersebut, beliau digulingkan dan dihukum oleh rakyatnya sendiri, oleh kerana percayakan isi kandungan surat tersebut maka tersebar luaslah surat yang mengandungi ancaman kebinasaan akibat gagal melaksanakan surat tersebut. Membaca isi kandungan surat tersebut memanglah menarik perhatian dan buat kali pertama sesiapapun akan percaya atau paling kurang menyoalkan kesahihan ancaman tersebut, menyedari akan potensi pelencongan aqidah akibat kepercayaan kesenangan dan bala datangnya dari surat, maka Pulau Pinang antara negeri yang mengeluarkan fatwa tentang perkara tersebut. Menurutnya Wasiat tersebut adalah merupakan bid'ah yang sesat, ini kerana ia bertentangan dengan akidah islam seperti mana yang terkandung didalam ayat yang ke 26 surah Alee-Imran.

”Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Maka menyebarkan surat berantai ini adalah haram sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

Dalam pendapat lain dikatakan perbuatan mempercayai dan melakukan apa yang diarahkan oleh surat tersebut paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya.Jika seseorang itu menyalin surat tersebut kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya menyampaikan perkara syirik dan khurafat.

Malah kepercayaan mengenai khasiat benda-benda tertentu seperti kayu koka yang popular, boleh menjerumuskan ke dalam golongan khurafat, memang tidak dinafikan setiap sesuatu yang diciptakan Allah mempunyai hikmat tersendiri, kerana tiadalah Allah menjadikan sesuatu itu sia-sia atau tidak berguna, tetapi kepercayaan yang datang dari akal fikiran yang sempit bahawa kuasa penyembuhan datangnya dari makhluk seperti kayu koka, batu zamrud dan sebagainya akan membahayakan aqidah, pun begitu sebenarnya tiada larangan untuk berhias dengan menggunakan apa-apa unsur sekalipun kecuali najis cuma jangan melibatkan fikiran ada sesuatu yang lebih berkuasa dari Allah.

Manakala azimat atau ruqyah dalam bahasa Arab menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi ialah seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami dan dalam kamus Mu’jam disebut sebagai memohon pertolongan ataupun bantuan untuk memperoleh sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan yang melampaui kekuatan tabi’e. Lazim kita temui azimat yang berbentuk rajah segitiga dan huruf jawi yang tidak bersambung ditulis atas kain kuning, dijadikan kalung atau gelang, menyimpan keris dirumah kononnya untuk mengawal rumah tetapi sekiranya untuk replika seni perhiasan tidak mengapa, malah kadang-kadang mengandungi tulisan ayat qur’an dan dipakai ditempat tertentu di badan atau diselit dibahagian tertentu dirumah sedangkan Al-Quran diturunkan untuk dibaca dan dihayati dan disisinya penyembuhan yang dibaca dan diamalkan, bukannya percaya kepada tulisan tersebut semata-mata.

Pihak kerajaan dalam usaha membendung amalan khurafat dan azimat yang merosakkan aqidah umat Islam telah mengeluarkan garis panduan penapisan bahan-bahan penerbitan berunsur Islam yang telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pada tahun 1996, antara kandungannya, sebarang bentuk penerbitan yang dilarang adalah berkaitan dengan perbomohan dan azimat yang memaparkan kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas syarak, sama ada al-Quran atau al-Hadith. contohnya: penerbitan yang mempromosikan penggunaan rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal. Penerbitan yang menceritakan tentang kekebalan seseorang secara luar biasa kononnya kerana ilmu hitam yang diamalkannya. Semua penerbitan yang mempromosikan tulisan-tulisan dan rajah-rajah yang dicampuraduk dengan huruf Arab dan kalimah-kalimah al-Quran serta tidak boleh difahami maksudnya.

Meninjau kepada praktis negara-negara yang mempunyai umat Islam sebagai majoriti pemakaian undang-undang dilaksanakan mengikut prinsip yang berbeza-beza, dalam konteks yang longgar seperti di Mesir, pengalaman memperlihatkan bagaimana segelintir bangsa Arab yang bertawaf mengelilingi sebuah makam yang didakwa mengandungi kepala Allahyarham Saidina Hussein, malah pintu masuk ke makam tersebut berwarna kusam akibat dicium pengamal khurafat menagih berkat dan keselamatan yang sudah tentu tiada nas mengharuskannya, dan apa yang lebih mengejutkan perkara tersebut berlaku di dalam sebuah Masjid yang terkenal sejak sekian lama. Pihak berkuasa dan pentadbir Masjid dilihat seperti tidak mempunyai kuasa dalam menghentikan perbuatan tersebut, berbeza dengan Tanah Haram yang mengambil sikap tegas memerangi perbuatan khurafat, dimulai pembenterasan perbuatan bid’ah yang menyesatkan atau sesuatu perbuatan dianggap ibadah yang tidak mempunyai nas yang sahih, sekiranya prinsip yang longgar turut diamalkan maka akan runtuhlah Masjidil Haram akibat pengambilan batu-batu binaannya untuk dijadikan tangkal atau azimat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Penguatkuasaan Hizbah oleh Hai’ah Amal Maaruf Nahi Mungkar masakini dilihat berjaya mengawal para jemaah yang beribadat daripada melakukan perbuatan khurafat walaupun dilihat agak kontroversi.

Oleh itu berdasarkan kefahaman kita terhadap bahaya khurafat dan azimat adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bermula ianya bermula dari perbuatan bid’ah yang menyesatkan akan membawa kepada khurafat dan akhirnya syirik yang menghasilkan kufur dan mushrik ataupun murtad. Dari itu jauhilah mempercayai ramalan-ramalan yang tidak berasas seperti contoh pada mereka yang selalu membaca horoskop, percaya mengikut tarikh lahirnya beliau adalah seorang berbintang libra dan memulakan perniagaan dalam bulan September akan merugikan beliau dan kebetulan kemorosotan ekonomi berlaku pada bulan tersebut, maka ia berkata, “memang benar kata horoskop” disini beliau telah terjerumus ke dalam golongan mempercayai khurafat.

Atau mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan mereka yang terlalu percaya kepada khurafat menghadapi masalah gangguan dari segi pemikiran atau dikenali dengan ‘Skizotipal’, antara ciri-ciri gangguan ini adalah percaya kepada hal aneh-aneh, sempit pemikiran, perilaku atau tampilan diri aneh dan ganjil hasil daripada pemikiran yang percaya kepada perkara luarbiasa. Gangguan ini wujud akibat dari kegagalan seseorang untuk membentuk rangkaian sebab-musabab dari segi fizikal. Mereka sentiasa mecampur-adukkan rangkaian sebab-akibat dengan rangkaian dahulu seperti urutan masa contohnya, perkara yang buruk berlaku apabila bulu mata kiri gugur, setiap kali ia gugur pasti berlaku kemalangan, Maka sudah tentu gugurnya bulu mata tersebut akan menyebabkan berita yang malang, kerana ia membawa nasib buruk. Jesteru kegagalan untuk membentuk rangkaian sebab-akibat yang munasabah adalah faktor utama yang menyebabkan seseorang berfikiran luarbiasa atau khurafat.

Bagi mereka yang terlibat dalam teknologi maklumat pasti tidak ketinggalan dalam menerima spam atau viral yang berbentuk khurafat moden seperti mesti menyebarkan email tertentu dan jika tidak maka malapateka akan berlaku dan jika dilaksanakan akan dimurahkan rezeki, jadi berwaspadalah.


6th Article
MAIS bil 8 : Okt 2007



Mas Kahwin vs Hantaran

Abu Razeen

Maskahwin disebut juga sebagai Mahar dalam bahasa Arab adalah satu bentuk pemberian daripada bakal suami kepada bakal isterinya dengan sebab perkahwinan, manakala dalam seksyen 2(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 tafsiran maskahwin bererti “pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak dapat dinilai dengan wang”. Mankala ‘Pemberian’ ditafsirkan sebagai “pemberian sama ada dalam bentuk wang atau barang-barang yang diberi oleh seorang suami kepada seorang isteri pada masa perkahwinan”.

Diulang sebanyak enam kali di dalam Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisaa’ dan sekali pada Surah Al-Mumtahanah dengan sebutan yang berbeza antaranya ‘sadaq’bererti kebenaran, ‘nihlah’ pemberian wajib, ‘Atiah’ pemberian, ‘qintaran’ harta yang banyak, ‘faridhah’ maskahwin, ‘Ajrun’ kebaikan, disebut dalam firman Allah SWT yang memberi maksud seperti berikut:

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian yang halal itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya”.[An-Nisaa: 4]

“Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya setelah ia menjadi isteri kamu, maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya dengan sempurna sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu suami isteri, sesudah ditetapkan maskahwin itu tentang cara dan kadar pembayarannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. [An-Nisaa: 24]

Hantaran pula lebih menjurus kepada adat resam sahaja, ia bergantung kepada bangsa, gaya berbelanja, budaya dan keturunan wanita yang dikahwini. Kelaziman masyarakat Malaysia yang hampir tidak meninggalkan amalan hantaran perkahwinan menjadikannya sebagai kewajipan yang tidak tertulis selari dengan maskahwin yang diwajibkan syarak dan dikuatkuasakan melalui undang-undang keluarga Islam setiap negeri dan wilayah. Dimaksudkan dengan hantaran oleh kamus dewan edisi keempat adalah: “wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mertua untuk perbelanjaan perkahwinan, belanja hangus”. “(dalam majlis perkahwinan orang Melayu) hadiah (berupa makanan, pakaian dan sebagainya) yang dibawa bersama wang hantaran: pihak pengantin lelaki membawa tujuh dulang”.

Maskahwin merupakan hak isteri yang berkaitan dengan pernikahannya manakala hantaran bebas dibelanjakan samada oleh isteri, ibu bapanya atau sesiapa sahaja yang diberi keizinan oleh adat atau si isteri itu sendiri. Tiada sebarang nas yang bersandarkan kepada hukum syarak menyebabkan kadar dan penyediaan hantaran semasa majlis perkahwinan kadangkala membawa beban kepada kedua-dua belah pihak.

Maskahwin datangnya daripada duit suami manakala hantaran boleh dibiayai oleh sesiapa sahaja yang berniat untuk memeriahkan lagi walimah yang diaturkan oleh kedua belah pihak, maka tidak hairanlah jumlah maskahwin lebih rendah daripada belanja hantaran secara umumnya. Bagi masyarakat Islam di Malaysia, sekiranya belanja perkahwinan dikira daripada kadar maskahwin sahaja nescaya kadar perkahwinan pada usia muda dapat ditingkatkan dan ruang maksiat dapat ditutup dalam usia nafsu lelaki dan wanita yang sedang bergejolak. Antara perbezaan lain antara keduanya adalah, maskahwin dalam bentuk matawang atau dinar emas yang semakin popular digunakan datangnya dari pengantin lelaki sahaja manakala hantaran dalam bentuk benda atau perkakasan akan datang dari kedua-dua belah pihak dengan kaedah balasan, pihak yang mendatang akan memberi hantaran dalam jumlah kiraan dulang yang ganjil dan akan dibalas oleh pihak yang menyambut dalam jumlah yang ganjil dengan bilangan yang lebih daripada pihak tetamu.

Ketiadaan nas tentang kewujudan hantaran dari segi syarak walaubagaimanapun tidaklah menjadi suatu kemudahan kepada lelaki yang akan berkahwin, kerana tiada kekangan agama inilah sesetengah pihak yang mengenakan kadar hantaran yang tinggi sehingga membebankan malah boleh dikategorikan sebagai zalim apabila pihak pengantin terpaksa berhutang semata-mata memenuhi kehendak pihak penentu hantaran, bukannya dari penerima mutlak yaitu pengantin perempuan itu sendiri. Kita boleh berhujah menggunakan kaedah qawaid fiqhiyah dikenali sebagai ‘Al-Adah Muhakamah’ yang bermaksud setiap adat yang tidak melanggar hukum syarak boleh diamalkan, namun pembaziran atas sesuatu yang tidak perlu atas nama adat boleh ditinggalkan, kerana ‘pelaku pembaziran adalah saudara syaitan’ ditambah pula dengan niat untuk menunjuk-nunjuk yang dikhuatiri membawa sifat riak dan taajub dengan diri sendiri.

Dalam adat negeri Selangor, hantaran diertikan sebagai hadiah sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan yang diberikan oleh suami kepada isterinya semasa majlis perkahwinan dilangsungkan dan ia digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan, sepertimana yang dinyatakan dalam takrifan, hantaran adalah berbeza diantara adat setempat, jika di Kedah dan Pulau Pinang wang hantaran diberikan kepada ibu bapa bakal pengantin dan terpulang samada dibelanjakan atau diberikan kepada anaknya manakala di Kelantan dan Terengganu hantaran dianggap sebagai maskawin maka ia menjadi milik mutlak pihak isteri.

Dalam takrifan umum hantaran berasaskan kepada adat, manakala maskahwin ditetap dan wajibkan oleh syarak, walaupun tiada kadar minimumnya, seharusnya pihak lelaki memberi pihak perempuan dengan jumlah tidak kurang dari 10 dirham dan tidak lebih dari 500 dirham, jika tidak disebut dalam akad mahupun perjanjian perkahwinan maka kadar maskahwin akan diberikan dengan kadar seimbang dengan keadaan dan kedudukan perempuan dan keluarganya dalam masyarakat, mengikut adat jumlahnya ditetapkan oleh bapa pengantin perempuan, untuk negeri Selangor maskahwin yang ditetapkan oleh adat secara minimum sebanyak RM80.00 untuk anak dara dan RM40.00 untuk janda satu peningkatan yang dahulunya bernilai RM44.00 untuk anak dara dan RM22.00 untuk janda. Jumlah ini berbeza diantara negeri-negeri yang lain, sebagai kemudahan umat Islam maklumat tentang kadar maskahwin setiap negeri boleh didapati dari laman web JAKIM.

Seksyen 21 Enakmen Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2003 memperuntukkan:

(1) Maskahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

(2) Pendaftar hendaklah, mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan-

a) Nilai dan butir-butir lain maskahwin.

b) Nilai dan butir-butir lain pemberian.

c) Nilai dan butir-butir lain apa-apa bahagian maskahwin atau pemberian atau kedua-duanya yang telah dijanjikan tetapi tidak dijelaskan pada masa akadnikah itu, dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan; dan

d) Butir-butir cagaran yangdiberi bagi menjelaskan maskahwin aau pemberian.

Apabila maskahwin tidak dijelaskan oleh suami maka pihak isteri adalah berhak mengemukakan tuntutan apabila diceraikan, di dalam seksyen 59 Enakmen yang sama memperuntukkan “tiada apa-apa jua yang terkandung dalam enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseoang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap maskahwinnnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinan dibubarkan.”

Terdapat beberapa kes tuntutan berkenaan maskahwin yang gagal ditunaikan oleh pihak suami dilaporkan dalam Jurnal Hukum antaranya kes yang berlaku di Kedah, Salma yang telah diceraikan menuntut pembayaran maskahwin sebanyak RM600.00 yang belum dibayar oleh suaminya, Mat Akhir. Mat Akhir mendakwa isteri itu telah meninggalkan tuntutan dan bersetuju suaminya tidak perlu membayar maskahwin itu. Salma menafikan dakwaan itu. Pihak Mat Akhir telah memanggil dua saksi yang berkata mereka mendengar suara mengatakan orang itu telah bersetuju tidak menuntut maskahwin itu tetapi keterangan mereka telah ditolak kerena mereka tidak melihat orang yang bercakap itu. Salma telah bersumpah menafikan perkara itu. Mahkamah setelah mendengar kes tersebut telah memerintahkan Mat Akhir supaya membayar jumlah RM600.00 bagi maskahwin itu (JH 1983). dan dalam satu kes lain di Pulau Pinang, Rosnah yang telah dicerai menuntut maskahwinnnya sebanyak RM58.00 dan baki perbelanjaan perkahwinan berjumlah RM300.00. Pihak Mahkamah setelah mendengar kedua-dua belah pihak memutuskan maskahwin telahpun dibayar dan memerintahkan suaminya, Ibrahim membayar baki pebelanjaan perkahwinan berjumlah RM300.00 kepada Rosnah (JH 1979).

Berapapun jumlah maskahwin ataupun hantaran yang ditentukan samada oleh adat atau keturunan seseorang, akhirnya kita perlu kembali kepada sebaik-baik jumlah yang disarankan oleh baginda Rasulullah SAW terjemahannya berbunyi: “Sebaik-baik maskahwin itu adalah yang paling senang atau paling rendah” [Abu Dawud]

Atau sekiranya tidak berkemampuan langsung maka sabda rasul lagi; Carikanlah (sesuatu yang boleh dijadikan sebagai mas kahwin) walaupun sebentuk cincin dari besi. [Bukhari dan Muslim]

5th Article

MAIS Bil.7 : Jun 2007

Undang Undang Islam Bagi Pelaku Sumbang Mahram

Abu Razeen

Dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau dikenali dengan Enakmen No. 9, jenayah sumbang mahram diletakkan dalam kategori kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan, seksyen 22 memperuntukkan “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkankan boleh didenda tidak melebihi tiga tahun penjara atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”. Berdasarkan hukuman yang diberikan, kombinasi tersebut adalah tahap bidangkuasa maksimum Mahkamah Syariah sepertimana yang diberikan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984).

Berbanding dengan hukuman yang ditetapkan dalam Kanun Keseksaan atau Akta 574 yang memperuntukkan seksyen 376B pelaku sumbang mahram boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan diwajibkan rotan. Definisi sumbang mahram dinyatakan di bawah seksyen 376A akta yang sama sebagai persetubuhan di mana dua pihak ditegah dari segi undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin, manakala didalam seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah “perbuatan sumbang mahram’ ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan yang mengikut hukum syara’, dilarang mengahwini antara satu sama lain”.

Jelas disini sekiranya kita memperkatakan tentang bidangkuasa hukuman keatas pelaku sumbang mahram diantara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil adalah amat jauh berbeza. Berkaitan dengan perbezaan tersebut dititipkan satu laporan yang dikeluarkan oleh US Department of State dibawah sekretariat untuk demokrasi dan hal ehwal antarabangsa dalam kontek Malaysia, laporan berkenaan pelaksanaan hak asasi manusia tahun 2006 berkaitan sumbang mahram atau incest dinyatakan, Mahkamah Syariah kadangkala (sometimes) menghukum mangsa dibawah kesalahan rogol, walaupun Mahkamah Syariah kadangkala (sometimes) lebih bertimbangrasa dengan lelaki yang disabitkan dengan khalwat, dalam banyak kes lelaki Islam adalah disabitkan kesalahan dan dihukum dibawah peruntukan rogol dibawah udang-undang sivil.

Laporan tersebut walaupun faktanya meragukan dan mengelirukan akan tetapi telah memberi pengajaran bahawa pihak antarabangsa telahpun maklum bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah Malaysia untuk sumbang mahram, sebenarnya tidak setimpal dengan jenayah sumbang mahram yang diiktiraf sebagai jenayah keji di hampir seluruh dunia. Laporan tersebut turut mengeluarkan kenyataan polis, sebanyak 295 kes sumbang mahram telah dilaporkan pada tahun 2005 dan berlaku sedikit pengurangan berbanding jumlah 334 kes pada tahun 2004

Tanpa mahu menyentuh penyempitan takat bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah di dalam perlembagaan, penulis mendapati hampir tiada kes sumbang mahram dilaporkan dalam jurnal hukum untuk dijadikan panduan para Hakim Syarie bagi memutuskan hukuman kes sumbang mahram yang dibawa kepadanya.

Berita yang dilaporkan di dalam Sarawak Tribune, Kuching pada 18 Mei 2004, Rosli bin Bakri, 47 tahun dari Kampung Gita Baru, Petra Jaya mengaku bersalah pada 7 Mei dan disabitkan kesalahan dibawah seksyen 376B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 511 kanun yang sama, kerana melakukan rogol sumbang mahram keatas anak beliau yang berumur 14 tahun mengakibatkan beliau dihukum penjara 45 tahun penjara dan sebat sebanyak sembilan kali.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim telah membezakan setiap kelakuan jenayah beliau yang dilakukan sebanyak tiga kali bermula Januari tahun tersebut, yang mana setiap kesalahan membawa kepada 15 tahun penjara dan 3 kali rotan, dalam ulasan Hakim Mahkamah Sesyen, pihak yang bersalah tersebut tidak layak untuk mendapat keringanan kerana beliau adalah dianggap merbahaya kepada masyarakat

Kes lain yang dilaporkan, seorang kanak-kanak perempuan mendakwa dirogol oleh bapanya sejak berumur lima tahun, turut didakwa adalah datuk dan abangnya selepas beliau meningkat dewasa, dua lagi yang bersekongkol adalah kawan abangnya serta penjaga anaknya. Turut dilaporkan seorang bapa berumur 41 tahun dihukum penjara 12 tahun dan 12 kali rotan kerana merogol anaknya yang berusia 12 tahun.

Masalah sumbang mahram telah dianggap sebagai isu nasional apabila di bincangkan diperingkat kabinet semasa puncaknya seawal tahun 2000 dan dianggap sabagai taboo kerana berlaku dalam keadaan tertutup, melibatkan pertalian darah, maruah keluarga dan keturunan. Dalam usaha untuk membela nasib mangsa dan menyekat perkara ini daripada meluas dikalangan masyarakat, berbagai bentuk hukuman berat telah dicadangkan antaranya hukuman mati kepada pelaku, penjara seumur hidup, mengembirikan (memandulkan), sebat dikhalayak ramai dan meningkatkan kadar hukuman sedia ada, malah telah ada cadangan untuk para wanita berisiko untuk memakai cawat besi dan dimudahkan prosedur poligami bagi mengelakkan sumbang mahram. Namun kesemuanya telah dibahaskan dengan hujah pro dan kontranya.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, hukuman bunuh keatas pelaku sumbang mahram dianggap adalah satu yang melampau, lebih memburukkan lagi keadaan jika hukuman bunuh dilaksanakan, pelaku sumbang mahram akan membunuh mangsanya untuk mengelakkan sebarang aduan yang akan membawa beliau ke tali gantung. Malah pengadu juga akan teragak-agak untuk mengadu kepada pihak polis kerana tindakan yang akan dikenakan adalah keatas ahli keluarganya sendiri dan akhirnya dirinya yang akan dipersalahkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Sri Shahrizat Jalil pernah mencadangkan hukuman penjara semur hidup dan sebatan keatas pelaku sebagai alternatif daripada hukuman bunuh. Manakala Women Aid Organisation menolak cadangan penjara seumur hidup dan sebat dikhalayak ramai, alasan penolakan sebatan dikhalayak ramai kerana perbuatan tersebut dianggap kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan taraf manusia, sekalipun jenayah sumbang mahram dianggap hina kerajaan tidak boleh sepatutnya bertindak ‘ganas’ ke atas penjenayah tersebut. Apa yang diperlukan adalah perlindangan saksi dan selain hukuman kepada pelaku, pendekatan pemulihan dan pencegahan harus diberikan.

Cadangan pemakaian cawat besi oleh seorang pemimpin dari pantai barat dianggap karut dan tidak masuk akal manakala usul memudahkan poligami oleh pemimipin dari utara tanah air ditolak berdasarkan perangkaan oleh pihak polis peratusan pelaku sumbang mahram tertinggi adalah orang Melayu Islam sebanyak 71% daripada 1,369, sedangkan dalam Malaysia hanya orang Melayu yang mengamalkan poligami dan logiknya dengan pengamalan poligami sedia ada, yang mendapat peratusan tertinggi bukanlah orang Melayu. Hukuman mengembirikan pelaku sehingga ke hari ini belum pernah membuktikan keberkesanannya dan bukanlah suatu yang praktikal untuk diamalkan pada zaman sekarang.

Jika diamati, Rasulullah SAW telahpun memberi panduan tentang batasan dalam kekeluargaan bagi mengelakkan perkara yang dibincangkan ini dari berlaku, mungkin kerana kelalaian kita umat Islam di Malaysia dalam kembali menghayati

Syariat Islam dengan lebih serius menyebabkan bala ini ditimpakan kepada orang Melayu yang beragama Islam, batasan ini digariskan oleh Al-Quran seperti berikut “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain.” [An-Nur 24] , dalam sebuah hadis diriwayatkan “Awas kamu daripada bercampur gaul dengan wanita! Lalu Rasulullah SAW ditanya: Wahai Rasulullah SAW bagaimana kalau bercampur gaul dengan al-Hamu (ibu atau bapa mertua termasuk ipar duai). Rasulullah SAW menjawab:”al-Hamu itu maut”[Bukhari] jelas dari hadis tersebut tentang bahaya percampuran walaupun diantara mertua dan saudara mara yang berlainan jenis, jika tidak dijaga boleh membawa kepada sumbang mahram dan akhirnya membawa kepada kemusnahan.

Dalam konteks hukum syarak hubungan sumbang mahram adalah berdasarkan perhubungan seks diantara orang yang diharamkan berkahwin mengikut garis panduan ayat qur’an yang diterjemahkan seperti berikut:
“Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu” [An-Nisaa: 22]


"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang berikut - ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu yang telah menyusukan kamu dan suadara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu dan kamu telahpun menceraikan mereka, maka tiadalah salah kamu berkahwin dengannya. Dan haram juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali untuk menjadi isteri-isteri kamu kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. [An-Nisaa: 23]

Disebut juga haram dari segi musharah atau persemendaan jika pengharaman tersebut melibatkan perkahwinan. Dalam satu hadis riwayat Ahmad dalam menerangkan persemendaan adalah “Musoharah satu hubungan darah sebagaimana hubungan darah dengan keturunan”.

Sebelum kita mendalami hukuman mengikut syarak seperkara perlu dijelaskan bahawa hukuman yang dibincangkan nanti adalah atas kelakuan yang disengajakan bermaksud terkeluar dari kategori ini mangsa rogol tanpa mengira tahap umur, sekiranya mangsa rogol ia akan dibincangkan dalam bab ghasib atau ikrah (dipaksa). Jesteru pengharaman ini mengakibatkan hukuman kepada mereka yang melanggar hukum Allah, para fuqaha’ telah bepecah kepada tiga pendapat dalam menetapkan hukuman keatas pelaku sumbang mahram. Pendapat pertama daripada golongan Shafie dan Maliki berpendapat mereka dikenakan hudud, hudud yang membawa kepada hukuman mati berdasarkan dalil yang akan dinyatakan kemudian dikenakan keatas mereka yang mengetahui pengharaman ini, manakala untuk mereka yang tidak mengetahui hukuman adalah sebaliknya.

Namun sekiranya kita mendakwa Malaysia adalah negara Islam, maka tiada sesiapapun orang Islam yang mukallaf melakukan sumbang mahram boleh terlepas dari hukuman ini kerana disebut fuqaha’ “Tidak diterima alasan di negara Islam alasan kejahilan dengan pengetahuan” Abdul Qadir Audah, Tashrik Al-Jinai Al-Islami, Muassasah Risalah Beirut, 2001 ms 430 dan 431 atau dalam prinsip sivil dikenali dengan “Ignorantia juris non excusat”.

Hukuman hudud yang membawa kepada bunuh adalah berdasarkan daripada hadis Ibnu ‘Abbas ra berkata “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “ Sesiapa yang berzina dengan mahramnya, bunuhlah ia” [Ibnu Majah] dan dari al-Barra Bin ‘azib meriwayatkan “seorang lelaki dikeluarkan dari rumahnya maka dipenggal lehernya , maka aku bertanya sebabnya , mereka berkata , dia telah berzina dengan ibunya” (Abu Daud], walaupun diketahui kesalahan yang dilakukan adalah berbentuk zina yang mengikut hukuman hududnya adalah sebatan bagi yang belum berkahwin dan rejam bagi yang telah berkahwin, tetapi kesalahan sumbang mahram adalah dilihat lebih umum dan berganda pengharamannya daripada larangan biasa.

Pendapat kedua daripada golongan Hanafi, berpendapat dihukum dengan takzir sehingga satu tahap boleh dibunuh dan pendapat ketiga daripada golongan Hanbali dan Imam Ishak Rahawaih yang mengatakan pelaku sumbang mahram mesti dibunuh dan dirampas hartanya, Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam Ishak Rahawaih mengatakan wajib dibunuh si pelaku samada telah berkahwin ataupun tidak. Iaitu apabila si pelaku melakukan zina dengan ibunya. Ini berdasarkan hadith Yazid Bin al-Barra’ dari bapanya berkata : “Rasulullah telah mengutuskan aku kepada seorang lelaki yang berzina dengan ibunya, lalu (Nabi ) mengarahku agar memancung kepalanya dan merampas hartanya “ [Abu Daud dan Tirmdizi]

Dilihat para fuqaha’ tidak sepakat dalam jalan pelaksanaan hukumannya namun natijah kepada pelaku adalah sama diantara mereka yang membezakannya hanyalah samada dari jalan sabitan hudud ataupun hukuman takzir. Sebagai seorang Islam kita patut kembali kepada nas syarak dalam apa jua permasalahan yang mellibatkan kepentingan ummah. Walaupun ada golongan yang berhujah sekiranya menjalankan hukuman berdasarkan nas syarak sekalipun jika diambil contoh negara Saudi yang menjalankan hukum syarak, sehingga kini masih belum dapat menjadi negara jenayah sifar. Tetapi adakah sesiapa diantara kita yang pernah mengkaji statistik jenayah diantara negara yang menjalankan hukum syarak sepenuhnya berbanding dengan negara kita?.


18 RabiulAkhir 1428H
6hb Mei 2007

4th Article
MAIS Bil 7 : Jun 2007

Wasiat dan undang-undang

Abu Razeen


Hasnah seorang anak angkat kepada Haji Zaid tidak berpuashati apabila haknya yang berupa sebidang tanah dan rumah di lot 150 Jalan Sri Cemerlang, Seksyen 7, Shah Alam telah dinafikan oleh abang dan kakak angkatnya yang juga merupakan anak kandung Haji Zaid, sedangkan makluman secara lisan oleh Haji Zaid kepada Hasnah dibuat dihadapan kedua-duanya. Sebelum bapa angkatnya meninggal dunia, beliau telah mengamanahkan abang sulungnya untuk membina rumah untuk diduduki oleh Hasnah diatas tanah lot 150 dengan peruntukan tersedia Haji Zaid sebanyak RM200,000.00. Apabila rumah tersebut siap dibina Hasnah telah tinggal dirumah tersebut selama lapan tahun dan apabila bercerai dengan suaminya hubungan abang dan kakak angkatnya menjadi renggang dan tercetus pertikaian, dimana abang angkatnya melalui Mahkamah Magistret Shah Alam (saman 74-8-65) minta perintah mahkamah supaya Hasnah keluar dari rumah tersebut dan kes di Mahkamah Magistret tidak selesai kerana berbangkit perkara wasiat yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk menentukan perkara yang bersabitan dengan wasiat tersebut.


Dalam kes lain, Ali berada di hospital dalam keadaan tenat. Peguam dipanggil untuk sediakan wasiat. Wasiat dibacakan kepada si mati dan cap jarinya diturunkan. Wasiat melantik Aiman bin Ali (anak simati) sebagai wasi dan pemegang amanah tunggal dan memberi kesemua harta si mati kepada Aiman, perkara ini tidak dipersetujui oleh Puan Syamilah Othman dan juga merupakan ibu kepada Aiman seterusnya Aiman memohon supaya wasiatnya disahkan di Mahkamah Syariah. Akhirnya mahkamah memutuskan wasiat tersebut tidak sah kerana melanggar dua prinsip undang-undang Islam, pertamanya ia bertujuan untuk melupuskan lebih dari 1/3 pusaka simati dan keduanya ia bertujuan memberi faedah kepada waris Pewasiat melebihi yang ditetapkan untuknya oleh undang-undang pembahagian pusaka Islam.


Dua kes diatas dan beberapa kes lain adalah antara beberapa contoh pertikaian wasiat yang terpaksa diselesaikan di Mahkamah Syariah, yang kadangkala terpaksa mengambil masa untuk diputuskan selain ketiakpuasan hati individu walaupun keputusan telahpun dibacakan oleh Hakim Syarie. Seperkara perlu diingat bahawa semua masalah ini mungkin dapat dielakkan sekiranya semua orang Islam yang memiliki harta dan waris tahu dan faham tentang hukum dan perundangan wasiat yang digunapakai.


Firman Allah SWT yang bermaksud “Kamu diwajibkan, apabila seseorang kamu hampir mati jika dia ada meninggalkan harta hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik menurut peraturan agama sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” [Al-Baqarah: 180]. Tuntutan wajib untuk menyediakan wasiat didalam ayat ini walaubagaimanapun telah dinasakhkan hukumnya mengikut beberapa pendapat ulama dengan turunnya ayat berkaitan bahagian tertentu kepada ahli waris seperti didalam Surah A-Nisaa’ Ayat 11, 12 dan 176. Wasiat juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sabda Rasulullah “Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya disisinya (dekat kepala) di nukil dalam kitab Nayl Autar, Kitab Al-Wasaya oleh Al-Shawkaniyy, Bab al-Hath ‘Ala al-Wasiyyah Dar al-Jayl, Lubnan jil.6 hlmn. 142.


Manakala peruntukan undang-undang yang dirujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 subseksyen 61 (3) (b) (v) dan (viii) menyatakan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah termasuk wasiat atau alang semasa maradulmaut (sakit yang membawa kepada maut) juga pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat. Negeri Selangor adalah merupakan negeri terawal yang mengendors dan mewartakan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) No.4 Tahun 2009 hasil draf undang-undang oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Kebangsaan pada 15 September 1999 dan dikuatkuasakan mulai Jun 2000.


Enakmen tersebut telah memperuntukkan beberapa perkara berkaitan dengan wasiat orang Islam antaranya pelaksanaan wasiat, pembatalan wasiat, penarikan balik wasiat, penerimaan dan penolakan wasiat. Pemakaian undang-undang tersebut digunakan apabila berlaku pertikaian keatas wasiat oleh simati daripada satu pihak dengan membuat tuntutan di mahkamah syariah. Tuntutan yang difailkan mengikut takat bidangkuasa Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rendah mengandungi saman beserta penyata tuntutan yang menuntut pengesahan wasiat diputuskan oleh Hakim Syarie. Pengesahan wasiat dibuktikan samada melalui keterangan ikrar, saksi, dokumen, sumpah syarie dan sebagainya yang boleh memuaskan hati Hakim untuk menentukan kesahihan wasiat tersebut.

Wasiat seperti yang ditafsirkan mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.


Wasiat samada dibuat dengan lisan atau tulisan atau isyarat yang difahami hendaklah disaksikan dua orang saksi yang boleh diterima menurut hukum syarak dan Enakmen yang sama telah memperuntukkan borang wasiat lengkap bertulis mengikut jadual kedua subseksyen 3(3).


Menurut seksyen 5 sesuatu wasiat yang dikaitkan atau yang disertai dengan syarat adalah sah apabila syarat itu sahih menepati maslahah pewasiat (pemberi wasiat) atau penerima wasiat atau benefisiari atau orang lain yang tidak ditegah atau bertentangan dengan syarak. Seorang pewasiat hendaklah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal dan tidak dipaksa serta tidak terhalang dari menguruskan hartanya, manakala mereka yang tidak sempurna syarat diatas hanya boleh disahkan wasiatnya dengan izin dan kebenaran mahkamah.


Terdapat juga keadaan dimana wasiat dibuat dalam keadaan pewasiat sedang menderita maradhulmaut, dalam keadaan tersebut wasiat beliau hanya diterima untuk peruntukan tidak melebihi satu pertiga daripada hartanya dan jika diwasiatkan melebihi satu pertiga maka pelaksanaannya hanya sah jika dipersetujui oleh semua ahli waris yang sah mengikut hukum Islam dan tafsiran subseksyen 6(4), manakala sakit yang tidak membawa kepada kematian cukuplah sekadar pewasiat waras pemikirannya baik ingatan dan memahami kandungan wasiat beliau sendiri.


Manakala penerima wasiat mestilah diketahui, berkelayakan untuk memiliki harta tersebut dan halangan kepada penerima wasiat untuk wujud samada wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat mati bukanlah penghalang kepada pelaksanaan wasiat tersebut. Sesuatu wasiat juga boleh dibuat kepada tempat-tempat ibadat, yayasan kebajikan, institusi akademik atau kepada mana-mana pihak yang boleh mendatangkan kebajikan umum atau jika tidak dinyatakan tujuan penggunaannya cukuplah sekiranya didapati dapat menyebarkan maksud kebajikan umum, adalah maksud bagi seksyen 8 enakmen ini.


Sepertimana hukum faraid, wasiat juga mensyaratkan penerima wasiat bukanlah penyebab kepada kematian pewasiat samada secara langsung atau tidak langsung, samada dia bertindak sebagai prinsipal, rakan jenayah atau pesubahat atau seorang saksi palsu yang keterangannya mengakibatkan pewasiat menerima hukuman mati.
Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya keseluruhan atau separuh daripadanya dengan tindakan beliau yang pada mana-mana keadaan membuktikan dia menarik balik wasiatnya atau dengan melupuskan hartanya dengan habis sama sekali, juga boleh dianggap menarik balik wasiat apabila dibuat satu wasiat baru. Namun perbuatan mengubahsuai bentuk harta yang diwasiatkan, penambahan yang tidak bermaksud tarik balik wasiat atau pengakuan orang selain pewasiat menafikan wasiat tersebut adalah tidak mengganggu gugat pelaksanaan sesuatu wasiat.


Beberapa perkara yang wajar diperhatikan sebelum melaksanakan sesuatu wasiat antaranya jika wasiat dibuat kepada bukan ahli waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya dan wasiat tersebut berkuatkuasa tanpa perlu mendapat persetujuan waris-warisnya. Dalam keadaan lain iika seorang pewasiat mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan maka harta yang diwasiatkan hendaklah diguna untuk menjelaskan hutang tersebut terlebih dahulu manakala bakinya boleh diserahkan kepada penerima wasi.


Wasiat kepada ahli waris adalah dilarang berdasarkan hadis riwayat Tarmizi dari Umamah R.A ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW dalam khutbahnya di dalam tahun haji widak: “Sesungguhnya Allah telah memberikan tiap-tiap orang empunya hak akan haknya, oleh sebab itu tidak boleh berwasiat untuk ahli waris”. Pada asasnya wasiat yang melibatkan ahli waris yang berhak menerima faraid biasanya akan menimbulkan masalah irihati jika sikap pewasiat mengutamakan sesetengah waris sahaja, corak kes-kes sebegini sering ditemui dalam fakta-fakta kes pengesahan wasiat di Mahkamah sepertimana kes Siti bt Yatim lwn Mohamed Nor bin Bujal (1928) 6 FMSLR 135; (1983) 3 JH 217, simati telah mewasiatkan bahawa kesemua hartanya diberikan kepada anaknya Mohmamed Nor bin Bujal. Tujuan si mati membuat wasiat sedemikian adalah untuk menyekat isterinya daripada mendapat semua bahagian dalam hartanya kerana beliau berpendapat isterinya telahpun diberi hak yang mencukupi semasa hidupnya. Wasiat Bujal yang mengutamakan anaknya dengan mengenepikan hak isterinya diputuskan adalah tidak sah. Walaubagaimanapun subsyeksen 26(2) memberi pengertian sekiranya pemberian sesuatu wasiat kepada ahli waris melebihi satu pertiga dengan mendapat persetujuan serta izin semua ahli waris yang lain maka wasiat tersebut boleh dikuatkuasakan.


Satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat yang menambah syarat pelaksanaan dalam tempoh tertentu, dalam kes Saedah bt Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf lwn Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji Mohamed Yusuf (1982)3 JH 53. Dalam Kes ini, Haji Mohd Yusuf telah memperuntukkan pengurusan harta beliau hanya boleh diserahkan kepada pemohon iaitu Saedah bt Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf yang merupakan isteri dan anaknya selepas 10 tahun dari tarikh beliau meninggal dunia. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa arahan dalam wasiat tersebut adalah tidak sah mengikut undang-undang Islam dan ahli waris berhak menerima pembahagian harta pesaka secara segera.


Dalam masalah lain terdapat juga orang yang meninggal dunia tanpa sebarang wasiat kepada cucunya daripada anak lelaki yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya. Mengikut hukum faraid cucu tersebut adalah tidak berhak untuk menerima bahagian faraid. Peruntukan subseksyen 27(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) telah memberikan hak kepada golongan tersebut dengan apa yang dikenali sebagai wasiat wajibah. Maka cucu tersebut berhak terhadap satu pertiga wasiat dan sekiranya cucu tersebut diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah tadi, namun kadar sepertiga tersebut tidaklah boleh melebihi kadar dimana ayahnya berhak didalam harta pusaka datuknya sekiranya ayahnya mati selepas kematian datuknya, turut mengkanunkan wasiat wajibah adalah Negara Mesir dan Syria sebagai satu jalan untuk mengelakkan penginayaan dan sesuai dengan semangat syariat Islam dalam keadilan dan pembelaan sewajarnya kepada cucu yang kehilangan bapa lebih awal dari datuknya.


Walaupun terdapat sedikit percanggahan bidangkuasa apabila pentadbiran wasiat di Malaysia terbahagi kepada undang-undang sivil dan Islam ini bukanlah alasan untuk orang Islam meninggalkan amalan menulis wasiat. Pentadbiran wasiat disebelah sivil dilaksanakan melalui Akta Wasiat 1959, Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pesaka 1959 atau dikenali dengan Akta 97 Probate And Administration Act 1959 yang digubal oleh Parlimen, berdasarkan peruntukan bidangkuasa dan penditilan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Enakmen Wasiat Orang Islam sewajarnya wasiat orang Islam dilaksanakan mengikut hukum syarak dan pelaksanaan ini masih tidak berlawanan dengan artikel 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai 1-Senarai Persekutuan berkenaan penentuan pemilikan harta.


Malangnya sebahagian besar masyarakat Islam yang tidak memahami kehendak hukum syarak dalam penyediaan wasiat sehingga mengakibatkan perpecahan sesama sanak saudara, pertelingkahan sehingga memungkin pertumpahan darah diatas ketidak puasan hati dalam pembahagian harta. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada orang bukan Islam apabila bertambahnya bilangan wasiat yang didaftarkan hasil kesedaran terhadap pentingnya mengelakkan pertikaian selepas kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa firma atau konsultan yang mengendalikan penulisan wasiat orang Islam dibawah pengawasan Amanah Raya Berhad, dan tidak ketinggalan peguam-peguam syarie yang menjalankan khidmat penulisan wasiat untuk kemudahan masyarakat Islam merancang pemilikan harta selepas kematian dengan aman dan bijaksana.


2nd Article

MAIS Bil 5 : Disember 2006

ANAK LUAR NIKAH

Abu Razeen.

Asiah meminta supaya suaminya Saleh membayar nafkah anak sebagai saraan wajib daripada bapa kepada anak, namun Saleh enggan membiayai nafkah tersebut dengan alasan anak tersebut bukanlah anak yang terhasil dari persetubuhan yang sah atau dalam erti kata lain, anak luar nikah, disebabkan anak tersebut lahir tidak sempurna 9 bulan selepas tarikh pernikahan mereka. Keengganan Saleh menyebabkan Asiah memfailkan tuntuan nafkah anak di Mahkamah Syariah dengan kadar RM400.00 setiap bulan, Hakim Syarie setelah membicarakan kes tersebut berdasarkan bukti dan keterangan daripada kedua belah pihak, telah memerintahkan Saleh membayar nafkah anak tersebut dengan jumlah RM200.00 setiap bulan. Terkilan dengan keputusan Hakim Syarie tersebut Saleh telah membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan Syariah, beliau tetap dengan pendapatnya bahawa anak tersebut lahir bukan dari persetubuhan yang sah, walaubagaimanapun keputusan Hakim Syarie telah dikekalkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan dengan alasan bahawa nas syarie menyatakan mana-mana kanak-kanak yang dilahirkan sekurang-kurangnya 6 bulan 2 lahzah qamariah maka sabit nasabnya. Dan setelah dibuat pengiraan anak Saleh tersebut dilahirkan selepas akad nikah dalam jangkamasa 8 bulan 3 hari qamariah, antara hujah lain yang menyebabkan rayuan Saleh ditolak adalah beliau sebelum itu telah bersetuju untuk menanggung nafkah mengandung Asiah yang membuktikan perasaan tanggungjawabnya terhadap anak yang dilahirkan.

Kes tersebut adalah merupakan salah satu cara yang lazim digunakan oleh pihak bapa apabila enggan membayar nafkah anak, walaupun mereka tahu ini adalah anak yang sah, dan sedaya upaya untuk menafikan hak isteri yang menuntut bagi pihak anak mereka, namun seperkara yang perlu diingat, dakwaan anak yang lahir diluar nikah atau perzinaan kepada seorang perempuan oleh suaminya jika melalui sumpah atau didefinasikan sebagai li’an samada dibuktikan oleh mahkamah isteri tersebut tidak melakukan zina ataupun sebaliknya maka pasangan tersebut akan diperintah faraq nikah dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya menurut seksyen 50(1) EUUKIS [Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003].

Ayat mengenai li’an jelas diperincikan di dalam Al-Quran dengan firman Allah yang diterjemahkan “Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain dari mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar” [An-Nur: 6-9]

Selain dari pembelaan tuntutan nafkah anak oleh pihak yang menafikan, isu anak luar nikah (illegitimate child, walad al-zina) atau masalah pengesahan nasab juga timbul dalam kes wali hakim, penentuan sebagai ahli waris dalam sijil perakuan pewarisan (faraid), hak jagaan anak dan jika dituruti secara ditil isu ini juga boleh berpunca dari perkahwinan yang tidak menurut undang-undang atau hukum syarak.

Bagi perincian anak yang didakwa dilahirkan luar ikatan pernikahan, pihak Jabatan Mufti Selangor telah mewartakan fatwa berkenaan anak tak sah taraf menurut hukum syarak adalah berpandukan kepada anak yang dilahirkan tanpa nikah samaada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’, Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu "Imkan ad Dukhul" selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’, Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu "Imkan ad Dukhul" dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah. Diwartakan pada 28 April 2005. Berkenaan ‘2 lahzah’ yang ditambah kepada 6 bulan qamariah, tidak disebut pada seksyen 111 EUUKIS dalam bahagian kesahtarafan anak enakmen tersebut, ada pihak yang berpendapat ‘lahzah’ bererti saat atau detik, satu lahzah dikira semasa Imkan ad dukhul (ejaculation) dan satu lahzah lagi semasa keluar anak tersebut daripada ibunya.

Manakala jika seorang perempuan yang tidak berkahwin melahirkan anak selepas tamat iddahnya samada iddah perceraian atau kematian dalam tempoh sebelum 4 tahun qamariah maka anak tersebut boleh dinasabkan kepada suaminya terdahulu (sebelum kematian suami atau sebelum perceraian). Perkara ini dijelaskan dalam seksyen 113 EUUKIS 2003, namun dalam keadaan lebih dari 4 tahun qamariah, jika seorang lelaki (bekas suaminya) tetap menegaskan bahawa anak itu tetap anaknya ataupun ditegaskan oleh waris-waris suami yang telah meninggal dunia maka anak tersebut bolehlah disifatkan sebagai anak lelaki tersebut, disebut dalam seksyen 112 enakmen yang sama.

Secara keseluruhannya anak luar nikah selain dari dilahirkan oleh pasangan suami isteri yang mempunyai perhubungan perkahwinan tetapi telah memasuki keadaan yang meragukan seperti yang diterangkan diatas, boleh juga terbit dari kesalahan zina atau anak yang dilahirkan hasil dari hubungan perkahwinan yang diharamkan seperti perkahwinan sesama muhrim, orang kafir atau isteri kelima.

Dalam keadaan Mahkamah telah mensabitkan gugur nasab dalam mana-mana kes yang dibicarakan samada berdasarkan dalil hukum syarak atau menyalahi undang-undang syariah maka gugurlah semua keistimewaan yang sepatutnya dinikmati oleh anak yang sah seperti ternafinya anak luar nikah dari mewarisi harta, manakala untuk anak perempuan terpaksa menggunakan wali hakim untuk pernikahannya, larangan memakai bin atau binti kepada lelaki yang dipastikan bapa secara biologinya atau lelaki lain serta ternafi dari mendapat nafkah. Kecuali dalam kes rogol kewajipan menanggung nafkah anak luar nikah dipertanggungjawabkan kepada ibunya sehinggalah anak tersebut berupaya menanggung dirinya sendiri, Mahkamah Syariah dalam keadaan ini mengikut seksyen 81(1) EUUKIS 2003 boleh memerintahkan ibu tersebut memberi elaun atau saraan makan minum dan pakaian dalam jumlah yang munasabah kepada anak itu. Sekiranya ibu tidak berkemampuan maka adik beradik lelaki kepada ibu tersebut akan memikul tanggungjawab. Dari segi penjagaan anak luar nikah hanya ibu dan saudara mara sebelah ibu sahaja yang paling berhak menjadi penjaga menurut seksyen 86 undang-undang yang sama. Namun dari segi asasnya anak zina dalam Islam disandarkan kepada ibunya atau adik beradik lelaki kepada ibu tersebut.

Diantara anak luar nikah yang jelas dari hasil perzinaan dan keraguan yang terhasil apabila anak tersebut lahir dari persetubuhan yang masih dilingkari dengan isu perkahwinan, terdapat satu ruang perbincangan yang dikenali sebagai “persetubuhan (wati’) syubhah” diertikan dibawah tafsiran seksyen 2 EUUKIS 2003 sebagai persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had di dalam Islam.

Dengan mengambil contoh dua keadaan yang sering berlaku dalam dewan perbicaraan berikutan masalah penentuan nasab; yang pertamanya apabila satu perkahwinan yang dilangsungkan melalui akad yang fasid terhasil dari gugurnya salah satu rukun nikah yang lima, misalnya pasangan yang tidak mengetahui wujudnya wali mujbir dalam kawasan dua marhalah semasa peristiwa akad dilangsungkan atau tidak mengetahui akad itu dilangsungkan oleh sindiket. Maka dalam keadaan tersebut anak yang dilahirkan dianggap sebagai sah taraf. Namun jika sebaliknya pasangan tersebut mengetahui kesalahan yang sedang dilakukan dan tetap meneruskan akad nikah maka anak yang terhasil akan dianggap tidak sah taraf dan ternafi nasab yang turut menghilangkan hak-hak anak tersebut. Berhubung dengan persetubuhan syubhah, seksyen 114 EUUKIS menggariskan sekiranya anak tersebut dilahirkan dalam tempoh enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas bersetubuh maka suami dari perkahwinan itu hendaklah disifatkan sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan itu.

Dalam kita membincangkan anak luar nikah kita tidak dapat lari dari persoalan zina yang makin berleluasa dikalangan umat Islam kebelakangan ini, oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Sekiranya seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifat dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya atau hamil luar nikah akibat persetubuhan yang direlakan dan tahu kesalahan yang sedang dilakukannya maka kedua-dua keadaan tersebut telah mencapai tahap prima facie yang disabitkan Mahkamah Syariah boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman itu. Manakala bagi pihak lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan yang bukan isterinya boleh dikenakan hukuman yang sama mengikut peruntukan seksyen 25 enakmen yang sama.

3rd Article
MAIS Bil 6/Mac 2007



Wakaf

Artikel :

Abu Razeen

Atas desakan hidup Ahmad amat memerlukan wang untuk menampung perniagaannya yang hampir mengheretnya ke tahap muflis, setelah berbincang dengan kakak dan abangnya mereka akhirnya bersetuju untuk menjual tanah Allahyarham bapanya yang telah sekian lama tidak dikunjungi di Kampung Sungai Udang, Klang, namun Ahmad terkejut apabila mengetahui tanah tersebut diwakafkan oleh Allahyarham bapanya tanpa pengetahuan diri dan adik beradiknya. Di tanah tersebut telah dibangunkan kompleks masjid tidak lama selepas bapanya meninggal dunia. Memikirkan beliau adalah antara waris yang sah dalam hukum syarak, maka satu tuntutan pengesahan wakaf dikemukakan di Mahkamah Syariah dengan alasan beliau adalah waris yang berhak mendapat keuntungan dari tanah tersebut dan sekaligus menafikan status wakaf yang dilakukan oleh bapanya.

Kebanyakan kes yang dilaporkan berkenaan wakaf biasanya timbul selepas dari kematian pewakaf, Masalah Ahmad adalah isu yang lazim di pertikaikan di Mahkamah berhubung dengan harta wakaf, sepertimana yang dilaporkan dalam kes Almarhum Dato’ Bentara Luar Johor, Haji Yahya dan seorang lagi lawan Hasan bin Othman & seorang lagi [Jurnal Hukum Jld III bhgn II ms 185]. Almarhum telah mewakafkan sekeping tanah untuk dua anaknya dan keturunan mereka selama-lamanya. Tanah itu didaftarkan atas namanya. Apabila beliau meninggal dunia Hasan bin Othman juga pentadbir harta pesakanya telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil bahawa wakaf itu tidak sah. Mahkamah memutuskan, wakaf itu sah mengikut seksyen 11 Enakmen Pencegahan Wakaf 1911 dan Seksyen 41 Enakmen Pentadbiran Undang- Undang Islam 1978, juga berdasarkan kes-kes yang diputuskan oleh Privy Council di India. Tidak berpuashati dengan keputusan tersebut Hasan bin Othman membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Akhirnya Hakim Mahkamah Persekutuan Tun Salleh Abbas pada tahun 1982 mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa wakaf tersebut adalah sah dari sudut perundangan.

Antara ulasannya, wakaf adalah urusan yang berkaitan dengan hukum syarak dan tidak terikat dengan konsep ‘prinsip mencegah kekalan’ yang diamalkan di peringkat sivil, walaupun Mahkamah tidak terikat dengan keputusan Mufti dalam fatwanya yang mengesahkan status wakaf tersebut ataupun atas undang-undang negeri tetapi Mahkamah tidak mempunyai alasan untuk menolak keputusan fatwa tersebut. Sehingga keputusan tersebut dibuat tiada sebarang rayuan dibuat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan di bawah enakmen negeri yang berkenaan. Tambahan pula tiada sebarang pendapat yang bertentangan dengan teks perundangan Syariah ditemui dalam kes tersebut.

Pembangunan tanah wakaf juga antara isu yang biasa dihadapi oleh Majlis Agama Negeri dengan waris-waris pewakaf. Dalam keadaan persekitaran yang pesat membangun tanah wakaf yang terletak di tempat strategik makin terhimpit dengan arus pemodenan. Manakala pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan tanah wakaf adalah Majlis Agama Islam Negeri. Kadangkala pertikaian antara Majlis Agama Islam Negeri dan waris dilihat seperti wujud konflik kepentingan namun sebenarnya pihak-pihak yang terlibat adalah berusaha untuk menentukan bentuk kebajikan yang boleh dinikmati oleh masyarakat Islam sepertimana maksud pewakaf itu sendiri. Perbezaan ini wujud kerana pemahaman masing-masing tentang manfaat umum bagi memastikan pahala yang berterusan kepada pewakaf sepertimana sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a Rasul SAW bersabda “Apabila mati seorang insan maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, ilmu yang bermunafaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakan baginya” [Muslim, Abu Daud dan Tarmizi].

Sedekah jariah yang dimaksudkan dalam Hadis Sahih ini adalah sedekah yang berpanjangan selagimana digunakan atau dimanfaatkan oleh orang lain, tidak mengira samada ahli keluarga sendiri atau orang Islam yang lain. Maka pada hari ini dapat kita lihat kebanyakan tapak masjid dan tanah perkuburan yang wujud adalah dalam tanah wakaf. Apabila tanah wakaf difahami hanya sebagai tanah perkuburan dan tapak masjid maka banyak pihak yang berbelah bahagi apabila terdapat usaha oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan nilai tanah wakaf dengan mendirikan pusat perniagaan, tempat tinggal atau hotel yang boleh mendatangkan keuntungan kepada umat Islam.

Satu contoh konflik kepentingan manfaat antara Majlis Agama Islam dengan ahli waris ialah dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa bin Abdul Rahman dan yang lain, [Jurnal Hukum Jld X Bhgn 11 ms 222]. Isa bin Abdul Rahman adalah selaku waris bagi tuan tanah yang telah mewakafkan tanahnya secara wakaf am untuk sebuah masjid pada tahun 1889 yang dikenali dengan Masjid Simpang Enam, beliau telah menentang kehendak Majlis Agama Islam untuk merobohkan masjid tersebut dan menggantikannya dengan satu bangunan lima tingkat yang mana tingkat pertama hingga ketiga digunakan sebagai pejabat bank manakala tingkat empat dan lima sebagai masjid. Memikirkan rancangan itu bercanggah dengan tujuan pewakaf asal Isa bin Abdul Rahman telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil Pulau Pinang supaya diisytiharkan tanah masjid itu sebagai wakaf am dan Majlis tidak berhak merobohkan Masjid tersebut juga satu perintah tegahan (injunksi) kepada Majlis atau ejen-ejennya dari merobohkan Masjid. Majlis cuba mengenepikan perintah tegahan tersebut tetapi gagal lalu merayu ke Mahkamah Agung yang juga akhirnya menolak permohonan tersebut. Ini adalah kerana terdapat Suratikatan Penyelesaian mengenai amanah wakaf menyatakan: ‘Digunakan sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang jemaah dan tidak untuk tujuan-tujuan lain’

Antara isu lain yang ditimbulkan oleh Hakim Mahkamah Agung, Eusoff Chin dalam kes ini adalah bidang kuasa Mahkamah Kadi pada waktu tersebut yang tidak berhak untuk mengeluarkan perintah injunksi oleh penentang kerana ia termasuk dalam Bahagian iii Akta Relif Spesifik 1950. Dalam keputusannya beliau berkata:

“Apabila Mahkamah sivil membicarakan tuntutan untuk mendapatkan suatu perintah dan perintah yang dituntut bukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mengeluarkannya, maka Mahkamah Sivil hendaklah membicarakan tuntutan itu dan jika soal mengenai Hukum Syarak timbul semasa perbicaraan pihak-pihak terlibat boleh memanggil pakar-pakar agama Islam untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu ataupun pihak Mahkamah boleh merujuk soalan-soalan kepada Majlis Fatwa berkenaan untuk mendapat kepastian.”

Sebelum pindaan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988, pertindanan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seringkali menimbulkan konflik dan antara yang menjadi isunya adalah berkaitan dengan status tanah wakaf, sepertimana kes-kes yang dibawakan terdahulu, kesemuanya melibatkan keputusan Hakim Mahkamah Sivil yang tidak terikat dengan perundangan Mahkamah Syariah atau Mahkamah Kadi. Walaupun nyata masalah wakaf adalah berkaitan hukum syarak contoh jelas adalah kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman apabila tiga daripada empat perintah yang dipohon nyata memerlukan keputusan dibuat mengikut hukum syarak termasuk wakaf. Hanya satu perkara mengenai injunksi yang tidak perlu diputuskan mengikut Hukum Syarak. Menyedari kepentingan pentadbiran harta wakaf sebagai penjana ekonomi kepada umat Islam Negeri Selangor, pada 29 Disember 1999 Duli Yang Maha Mulia Sultan telah memperkenankan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 yang mengandungi 50 sekyen keseluruhannya.

Disebut secara umum di bawah bidangkuasa Majlis dan Mahkamah Syariah dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Enakmen Wakaf diperuntukkan secara khusus menerangkan dari permulaan pewujudan wakaf, perihal mauquf (harta wakaf), wakif ( orang yang mewujudkan wakaf), mauquf alaih (orang yang berhak menerima apa-apa manfaat atau faedah dari mawquf), wakaf tidak sah, mengistibdal (ganti) dan membangunkan mawquf, jawatankuasa pengurusan wakaf dan kuasa-kuasa majlis. Dalam memberikan kuasa kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai pentadbir harta wakaf, seksyen 32 Enakmen Wakaf menyatakan; “Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh sesuatu wakaf, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada am atau khas, yang terletak di dalam Negeri Selangor”. Manakala bagi harta tak alih yang berada di dalam Negeri Selangor secara automatik terletak hak pada Majlis selepas didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara tanpa apa-apa pemindahhakkan, penyerahakan atau pemindahmilik, disebut dalam seksyen 48 (3).

Walaupun diberi kuasa mentadbir, Majlis masih lagi terikat dengan syarat-syarat wakif sepertimana dalam seksyen 38 (1) dinyatakan “Manfaat atau faedah daripada sesuatu wakaf khas, hendaklah digunakan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh wakif melainkan syarat –syarat yang bertentangan dengan Hukum Syarak”. Dengan mengambil kira kemaslahatan umat Islam dan faktor ekonomi serta pengajaran daripada laporan kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang terdahulu, peruntukan seksyen 38 (3) dimasukkan; “Jika, disebabkan berlalu masa atau berlaku perubahan keadaan, syarat-syarat mana-mana wakaf tidak dapat secara berfaedah dilaksanakan tepat sebagaimana yang dikehendaki waqif, Majlis hendaklah menyediakan suatu rancangan bagi menggunakan manfaat atau faedah yang terlibat itu dengan suatu cara yang sehampir mungkin yang seakan-akan sama sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif, dan hendaklah melaksanakan sewajarnya;”

Di dalam seksyen 44 Enakmen yang sama, peranan Mahkamah Syariah adalah memutuskan keraguan berkenaan status wakaf dengan peruntukan berbunyi; “Jika pada pendapat Majlis, makna atau kesan mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan atau menyentuh mana-mana wakaf adalah samar-samar atau tidak jelas, Majlis bolehlah merujukkan perkara itu kepada Mahkamah bagi mendapatkan keputusannya mengenai makna dan kesan tersebut dan hendaklah bertindak menurut apa-apa perintah yang dibuat oleh Mahkamah”. Bagi memelihara kepentingan harta wakaf peruntukan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan pencerobohan, pendudukan, pengusahaan di atas tanah wakaf tanpa kebenaran Majlis. Manakala bangunan yang didirikan seseorang tanpa izin pula boleh diroboh, dimusnah atau dibersihkan oleh Majlis dengan kos ditanggung oleh orang tersebut.

Wakaf sememangnya satu elemen kekuatan umat Islam sekiranya ditadbir urus dengan baik dan berkesan, mengambil contoh Universiti Al-Azhar sebagai Institusi pendidikan tertua di dunia yang tegak berdiri dari zaman Fatimiyah sehingga ke hari ini adalah hasil dari janaan wakaf umat Islam di Mesir. Manakala Maahad Al-Ehya Asshariff, sebuah sekolah agama rakyat di Gunung Semanggol, Perak juga dibangunkan melalui wakaf penduduk tempatan melalui kegiatan perladangan kelapa sawit, sawah padi dan lain-lain, malah tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian besar institusi pendidikan agama terawal di Malaysia dimajukan dengan dana wakaf termasuklah di Negeri Selangor.

Sepertimana Mesir yang mempunyai Kementerian Wakaf yang mengendalikan pentadbiran wakaf seluruh Negara sehingga mampu menjana ekonomi rakyatnya, Malaysia juga telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji bagi membantu Majlis Agama Islam Negeri dalam hal ehwal pengurusan harta wakaf, memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan potensi tanah wakaf seluruh Malaysia yang berkeluasan hampir 36,000 hektar, sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan dalam RMK 9 bagi tujuan tersebut. Bagi menjayakan tujuan tersebut sokongan dan pemahaman umat Islam terhadap konsep dan pentadbiran harta wakaf perlu ditingkatkan bagi mengembalikan kegemilangan dan penguasaan ekonomi umat Islam



emailed to MAIS in 21st November 2007