Saturday, February 26, 2011

On the other thot! Maulidurrasul

Pra : Hari Sabtu yang indah, bermalas-malasan setelah buaikan hannan (5.20pm), tiba-tiba belaian perasaan ini direnggut dengan kejutan tipah membawa telifon. Rupanya orang surau suruh standby ceramah maulidurrasul besok, takut-takut penceramah tak dapat datang, nak ngelak suruh ustaz Halim Syah dia pulak kena bagi ucapan pengerusi surau, ustaz deris tak dapat dihubungi, mau tak mau serah tengkuk ajelah.... bermulalah malam yang panjang bagi abu razeen untuk research dan ready menanti hari esok ..... wahai penceramah datanglah kau besok hari!!!!. Oh ya tengah browse dapat satu artikel tersangat la berguna untuk diriku dan dirimu... aku tidak mahu menempah tempat duduk dineraka Ya Allah! full credit untuk iDeology.my musyakireen awie awie!
Cintakan Nabi Tapi Menzalimi Nabi
Date 2011/2/1 2:00:00 Topic: Sunnah dan Sirah

Pada setiap kali musim Rabiul Awwal, maka sambutan diadakan di mana-mana tempat. Pelbagai majlis dan macam-macam acara sambutan yang tidak pernah diadakan oleh para Sahabat Baginda sendiri, mahupun generasi selepas itu yang sangat menyintai Nabi s.a.w. diwujudkan oleh umat Islam terkemudian. Yang pastinya taraf cinta umat masa kini kepada Nabi tidak akan sama dengan taraf cinta para Sahabat terhadap Nabi. Umumnya 12 Rabiual Awwal diletakkan sebagai tarikh rasmi bagi banyak negara umat Islam, walaupun tarikh sebenar tidak pernah wujud sebagai satu fakta yang jelas. Tak apalah, selagi hari itu tidak dianggap sebagai hari raya atau hari kebesaran agama Islam, bolehlah jadi alasan untuk mengelakkan ia daripada dinamakan sebagai bidaah.Namun apa yang dikesalkan adalah sikap umat Islam dalam 'berinteraksi' dengan Rasulullah s.a.w sebagai Nabi yang dicintai, tidak sama antara hakikat dan kata-kata mereka. Mereka mendakwa mencintai Nabi tetapi pada masa yang sama menzalimi Nabi dengan menyandarkan perkara-perkara yang bukan-bukan terhadap Nabi s.a.w. Mereka kata kasihkan Nabi s.a.w tetapi mereka tidak pernah cuba untuk mencari keaslian ibadah seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.. Lebih teruk daripada itu, mereka yang mendakwa cintakan Nabi s.a.w itulah yang menyebarkan cerita-cerita yang palsu tentang Nabi!
Kisah Sirah
Di kalangan para penceramah musim sambutan hari keputeraan Nabi, terdapat pelbagai cerita palsu atau cerita yang belum pasti benar adakah betul ia daripada Nabi atau tidak. Di musim yang lain, terdapat golongan yang suka menulis dan berceramah tetapi tidak cermat dalam memindahkan hadis Nabi sehinggakan tidak langsung menyemak sumber asal apa yang mereka dakwa sebagai hadis atau sunnah Nabi. Ada cerita Nabi semasa dilahirkan langit bercahaya, runtuhnya istana kisra Parsi, terpadam api biara majusi... cerita-cerita yang belum sahih disebar luas kononnya untuk membesarkan Nabi, tapi pada hakikatnya, ramai sarjana hadis menyatakan bahawa ia adalah palsu atau tidak mempunyai sumber yang boleh dipercayai. Seolah-olah tidak mehu menerima hakikat bahawa Rasulullah s.a.w lahir sama seperti lahirnya bayi lain ke dunia. Rasulullah hebat bukan kerana mukjizat baginda, tetapi mulia dan agung kerana misi dan perjuangan baginda. Selain itu, baginda cuma manusia biasa dan jangan sekali samakan dengan dengeng kisah Melayu purba.Sehingga wujud kadang-kala cerita sejarah yang disebarkan, atau hadis-hadis yang digunakan, langsung bercanggah dengan al-Quran, tetapi bila dikritik, masih mahu dipertahankan! Atas alasan apa pun kita tidak tahu. Inilah yang disebutkan oleh al-Marhum Sheikh Muhammad al-Ghazali sebagai orang yang menzalimi sirah Nabi yang sanggup membelakangkan al-Quran. Bagi Muhammad al-Ghazali, orang yang tidak memahami al-Quran, tidak layak untuk berbicara tentang sunnah. Kata Muhammad al-Ghazali dalam buku Fiqh al-Sirah beliau, "Orang Islam telah mula meninggalkan al-Quran dan terus pergi kepada hadith, kemudian meninggalkan hadis lalu pergi berpegang kepada kata-kata para Imam, kemudian mereka tinggalkan pendapat Imam lalu pergi menggunakan cara orang yang sekadar mengikut-ikut, kemudian mereka meninggalkan cara ini lantas dicelarukan oleh golongan jahil" [Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, Dar al-Syuruq, h. 37]
Amalan Berzanji atau Bacaan Rawi Yang Zalim Musim maulid juga dimeriahkan dengan amalan membaca berzanji dan rawi dalam sambutan di mana-mana sahaja di Malaysia. Tanpa faham isi kandungannya, mereka tetap baca. Jika ada yang rajin, mereka cuba terjemahkan. Tanpa usul, tanpa periksa. Sedar atau tidak, banyak unsur karut, bahkan juga syirik wujud dalam teks yang bersumberkan kepada kitab Maulid Barzanji oleh Jaafar bin Hasan al-Barzanji itu.Di dalamnya ada cerita karut marut peristiwa kelahiran Nabi, karut marut asal usul ciptaan Nabi, bahkan kata-kata pemujaan terhadap Nabi yang melampau, melampau daripada apa yang diajar oleh Nabi sendiri dalam hadis yang sahih. Rasulullah menyuruh kita cintakan baginda, tapi bukan berbohong ke atas diri mulia baginda. Adakah namanya cintakan Nabi dengan mereka cerita bohong tanpa asas, tanpa sumber yang boleh dipertanggungjawabkan ke atas peribadi baginda?? Cinta atau Zalim namanya?
Kisah Ibadah
Dalam beribadah, apabila ada dikalangan ulama' kita yang cuba untuk memperbetulkan ibadah berasaskan cara yang lebih sahih menurut sunnah, tiba-tiba golongan ini dituduh dengan pelbagai tuduhan dan kadang-kala sanggup menegakkan benang yang basah dengan mempertahankan ibadah yang bersumberkan sesuatu yang belum pasti daripada Nabi. Ibadah nisfu Syaaban contohnya, bila ada ulama' yang cuba menjelaskan bahawa segala bentuk amalan nisfu syaaban adalah palsu maka tuduhan seperti Wahabi dan seupamanya mula kedengaran, padahal ulama' itu cuma menjelaskan semula pandangan2 ulama silam seperi Ibn Hajar, Imam al-Nawawi dll. Ulama' ini cuma membetulkan keadaan agar ibadah yang dibawa oleh Rasulullah terjaga, tapi ternyata ramai yang cuba menzaliminya.Kisah KomunikasiJika dilihat sikap para sahabat Rasulullah terutama Ibn Mas'ud r.a. mereka sangat berhati-hati bila menyampaikan berita menggunakan nama Rasulullah s.a.w. kerana amaran Baginda tentang dosa besarnya menyebarkan hadis yang palsu. Tetapi umat masa kini, tanpa segan silu menyebarkan hadis tanpa sebarang sandaran atau sumber yang boleh dirujuk dan dinilai. Para ulama hadis terdahulu bermati-matian mencari sumber bagi sesuatu hadis. Mencari susur galur perjalanan hadis daripada generasi kepada satu generasi. mencari biodata setiap orang yang membawa hadis kepada seorang yang lain, agar boleh dinilai satu persatu. Tapi umat kini, nampak sahaja semacam hadis, terus disebarkan, dalam email, dalam sms, dalam facebook, dalam twiter dalam buku, dalam ceramah.Jika kita menulis atau berceramah menggunakan ayat al-Quran pun, biasanya diletakkan mana-mana surah dengan ayatnya. Apatah lagi hadis yang ingin diletakkan nama Nabi, adalah sangat perlu diletakkan sumber rujukan agar boleh disemak sama ia benar-benar hadis atau sekadar disandarkan kepada Rasulullah s.a.w
Cinta Pada Nabi Yang Sebenar
Cinta pada Nabi yang patut disuburkan ialah dengan menghidupkan usaha mempelajari sunnah Nabi yang sebenar. Mempelajari cara-cara menilai sumber yang menggunakan nama Nabi dan mempelajari khazanah karya umat Islam terdahulu tentang Nabi s.a.w. Menceritakan sesuatu yang bunyinya indah, tetapi tanpa sumber yang boleh dipercayai, itu menzalimi Rasulullah, bukan mencintai Rasulullah s.a.w. Golongan ustaz dan para ahli dalam pengajian Islam wajar menyemak setiap satu perkara yang disandarkan kepada Nabi sebelum menyebarkannya. Bagi yang tidak mampu menyemak, adalah tidak wajar menyebarkkan sesuatu yang belum pasti kepada orang lain, JIKA BENAR-BENAR MENCINTAI NABI.Tidak cukup dengan sekadar berselawat kepada baginda 100 atau 1000 kali sehari, usaha untuk 'mengenali' Baginda Rasulullah tercinta mesti dilakukan oleh setiap orang. Cara untuk mengenali Rasulullah s.a.w bukanlah dengan sekadar membaca buku-buku tentang Nabi, tetapi mempelajari ilmu tentang sunnah, dengan kata lain, mengkaji dan mempelajari sunnah Nabi berasaskan sumber yang terkemuka seperti Bukhari, Muslim dan seumpamanya. Sama-samalah kita menghidupkan budaya mempelajari hadis Nabi yang sahih agar Rasulullah benar-benar dicintai, bukan dizalimi dengan penyebaran hadis palsu atau tanpa meletakkan sebarang sumber.Pesan Rasulullah seperti yang dilaporkan oleh Abdullah bin Amar al-As, "Sampaikanlah apa-apa daripadaku walaupun satu ayat, tiada halangan untuk menceritakan tentang Bani Israil, tetapi sesiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menyiapkan kedudukannya dalam neraka!" [Riwayat Bukhari: 3202, al-Termidhi: 2593, Ahmad: 6189, al-Darimi: 541]
post: thread ni belum habis design ...nak tumpu pada content ceramah dulu ....doakan saya selamat (tak kena bagi ceramah besok) kalau kena jugak ... fal yatawakkal ala Allah! Fanik'mal maula wani'man Naseer