Thursday, April 12, 2018

SULH MELIBATKAN MINOR KES HARTA SEPENCARIAN SELEPAS MATI


SULH MELIBATKAN KANAK-KANAK SEBAGAI PIHAK
DALAM TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN SELEPAS MATI

Pra:

Sulh adalah kaedah alternatif untuk penyelesaian kes, selain perbicaraan, arbitrasi dan seumpamanya. Dalam majlis Sulh, pihak litigant diberi kuasa untuk membuat keputusan. Dalam Islam, sulh hukumnya harus bahkan digalakkan dalam Surah An-Nisaa’ ayat 128. Namun pada masa yang sama terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi dan difahami oleh pihak yang terlibat. Penglibatan Sulh di Mahkamah Syariah termasuklah pihak-pihak, pegawai Sulh dan juga Hakim pengendorsan. Kertas ini ditulis bagi merungkai isu yang melibatkan tuntutan harta sepencarian selepas kematian. Dimana pihak menuntut membuat tuntutan terhadap ahli waris/yang kena tuntut berstatus kanak-kanak. Adalah penting untuk membuat sebarang ketetapan bagi mengelakkan perjanjian sulh itu tidak sah akibat cacatnya syarat ahli waris semasa memberi persetujuan. Kertas ini dibuat secara QnA bagi memudahkan pemahaman bagi perbincangan selanjutnya. Contoh penyelidikan menggunakan ibu kerana banyak kes yang dirujuk melibatkan pihak isteri yang kematian suami, dan suami meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil (minor).
Adakah ibu boleh membuat keputusan untuk anak-anak (minor) semasa Majlis Sulh dalam tuntutan harta sepencarian selepas mati?

1. Ibu, apabila bertindak sebagai Plaintif tidak berhak untuk buat keputusan dalam kes tuntutan harta sepencarian selepas mati kerana dalam kes tersebut anak-anak bertindak sebagai Defendan, atau pihak lawan bagi ibu.

2. Kes perlu dirujuk kepada peruntukan seksyen 89 Enakmen Undang-undang keluarga Islam Negeri Melaka. Peruntukan tersebut secara jelas menyenaraikan pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas harta minor. Seksyen 89 berbunyi seperti berikut:

“89. (1) Sungguhpun hak terhadap hadhanah atau jagaan anak mungkin terletak pada seseorang lain, bapa ialah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—
(a) datuk lelaki di sebelah bapa;
(b) wasi yang dilantik menurut wasiat bapa;
(c) wasi kepada wasi bapa;
(d) wasi datuk lelaki di sebelah bapa;
(e) wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa,
dengan syarat bahawa dia ialah seorang Islam, seorang dewasa, adalah siuman, dan boleh dipercayai.”

3. Oleh yang demikian, datuk adalah merupakan orang yang paling sesuai bertepatan dengan peruntukan seksyen 89, Hakim perlu melihat perkara tersebut. Namun dikala datuk tidak ada, maka ahli waris yang lain boleh bertindak bagi pihak minor.

Bagaimana mahu menjadi penjaga ad-litem di Mahkamah Syariah?

4. Untuk bertindak bagi pihak minor, pihak tersebut boleh membuat permohonan penjaga ad-litem di Mahkamah yang berbidangkuasa. Pemohonan penjagaan ad-litem boleh merujuk kepada seksyen 24 dan 24 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2002. Peruntukan dirujuk seperti berikut:.

“24. Mana-mana orang tak berkeupayaan boleh mendakwa atau didakwa melalui penjaga ad litemnya yang diluluskan dengan wajar oleh Mahkamah.

25. Sesuatu persetujuan yang diberikan atau pengetepian yang dibuat bagi pihak seorang orang tak berkeupayaan oleh penjaga ad litemnya dengan kelulusan Mahkamah hendaklah mengikat orang tak berkeupayaan itu”.
5. Permohonan penjagaan ad-litem hendaklah dipohon terlebih dahulu di mahkamah, setelah mahkamah membenarkan permohonan tersebut, barulah penjaga boleh membuat keputusan dalam majlis Sulh.

6. Dalam permohonan penjagaan ad-litem, hakim perlu meneliti peruntukan seksyen 89 EUUKINM, adakah pemohon mempunyai apa-apa kepentingan jika yang memohon bukan datuk lelaki di sebelah bapa. Selain Datuk sebelah bapa, mana-mana pihak (kecuali plaintif) boleh menjadi pemohon, samada abang kandung, bapa saudara, mak saudara, kenalan, peguam, pegawai awam atau sesiapa sahaja. Faktor lain yang diambil kira adalah Islam, dewasa, siuman dan boleh dipercayai. Akhirnya setelah diperiksa dan Mahkamah berpuas hati, baharulah Hakim membuat keputusan.

7. Untuk lain-lain criteria dan peruntukan substantif penjaga harta, Hakim boleh merujuk seksyen 90 hingga 103 EUUKINM 2002.

8. Terdapat peruntukan untuk ibu menjadi penjaga harta anak, itupun melalui wasiat dan jika dilantik sekalipun, Mahkamah boleh melantik orang lain yang akan menjadi penjaga diri dan harta anak serta bertindak bersama dengan ibu. Jika tiada sebarang wasiat maka Hakim perlu merujuk seksyen 89.

9. Namun wajar diingatkan, walaupun ibu diberikan kuasa untuk menjadi penjaga harta dalam seksyen 92 EUUKINM, ibu tetap tidak boleh membuat sebarang keputusan dalam majlis sulh apabila ibu bertindak sebagai Plaintif, manakala anak-anak tersebut bertindak sebagai Defendan. Dalam kes tuntutan harta sepencarian selepas mati khususnya.
Bentuk persetujuan manakah yang boleh dibenarkan oleh Pegawai Sulh dan/atau Mahkamah?

10. Begitu juga mana-mana pihak yang telah dipilih atau diputuskan oleh Mahkamah untuk menjadi penjaga ad-litem, hendaklah bertindak dalam keadaan yang mendatangkan kebaikan serta tidak merugikan anak tersebut. Seksyen 97 dan 98  EUUKINM menyatakan:

“97. (1) Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak kanak yang dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, tanpa kebenaran Mahkamah—
(a) menjual, menggadaikan, menggadai janji, menukar, atau selainnya melepaskan milik manamana harta alih atau harta tak alih kanak-kanak itu; atau
(b) memajakkan mana-mana tanah kepunyaan kanak kanak itu selama tempoh lebih daripada satu tahun.
(2) Apa-apa pelupusan harta seseorang kanak-kanak yang melanggar seksyen ini boleh ditetapkan sebagai tak sah dan atas penetapan itu Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang pada pendapatnya perlu untuk mengembalikan harta yang dilupuskan itu kepada kanak kanak itu.
(3) Mahkamah tidak boleh membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (2) melainkan jika perlu atau baik bagi kepentingan kanak-kanak itu.

98. Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak yang dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, melainkan jika Mahkamah memerintah selainnya dalam sesuatu hal, diberi kuasa untuk memberi akuan penyelesaian yang sewajarnya bagi apa-apa legasi atau apa-apa wang modal lain yang kena dibayar kepada atau boleh diterima oleh kanak-kanak itu.”

11. Oleh yang demikian, Pegawai Sulh dan juga Hakim, perlu mengenalpasti samada kebajikan anak itu terjaga atau tidak, baik atau sebaliknya kepada anak tersebut dalam mana-mana perjanjian persetujuan dibawa ke hadapan mereka. Sekiranya didapati tidak menguntungkan anak tersebut, maka hakim boleh membubarkan persetujuan bersama dalam majlis Sulh atau mana-mana persetujuan yang dibawa kehadapannya.

12. Masalah mungkin akan berlaku, apabila harta tuntutan masih dalam bentuk gadaian, seperti rumah dua nama yang masih dibayar kepada pihak bank. Tiada perlindungan insuran yang melangsaikan harta tersebut. Sekiranya dikekalkan harta tersebut, dengan bahagian isteri (tanpa mengira %) maka akan mendatangkan kemudaratan sebab tidak mampu membayar pinjaman. Pada masa yang sama, anak pun mungkin akan menanggung hutang. Dalam kes sebegini, pertimbangan kebajikan anak wajar diajukan terus kepada pihak Mahkamah.

13. Seperkara lagi, terdapat perbezaan perlaksanaan permohonan penjaga ad-litem di antara negeri, ada yang buat bersekali dalam tuntutan harta sepencarian selepas mati. Cara sebegini hanya memerlukan satu permohonan sahaja. Ia juga boleh disifatkan sebagai permohonan interlokutori. Terdapat negeri yang memerlukan pemohon perlu memfailkan permohonan baru. Difailkan sebelum Sulh dibuat.

14. Walaubagaimanapun, samada difailkan sebelum atau semasa kes induk didengar. Pemohon perlu mendapatkan nasihat daripada Pendaftar terlebih dahulu bagi mengelakkan pembaziran masa dan kos. 
Post:

Open for debate, saya mengharapkan pandangan dan buah fikiran yang berbeza sekiranya ada. Penyelidikan ringkas ini dibuat hasil dari kemusykilan puan catherine zeta jones yang kini sedang bertugas di Melaka Tengah (tidak tepi mahupun hujung) 
24/1/2018