Wednesday, November 16, 2011

Saksi Kroni Jurunikah Sah ke Akadnya?

Pra: setelah kian lama dalam mode hibernate, blog ni pun macam dah bersawang akibat lama tak sentuh, oleh yang demikian terima kasih kepada sahabat saya sorang ni yang sudi bertanyakan soalan cepumas yang mengakibatkan saya terpaksa membuka kitab dan memeras otak untuk menjawabnya. Akhirnya AR aktiv semula, masalahnya mungkin kita kurang ambil kisah sebab rata-rata orang bernikah sekali seumur hidup, (yang lebih tu bonus laa) jadi perkara saksi kurang dipertikaikan, kot nak ada pun ia bersifat one-off lepas tu terus selesai, malas nak ambil kira, rupa-rupanya ada yang mengambl kira, mohon didebatekan sekiranya tidak menepati hukum syarak dan undang-undang yang kita tahu.

Mohon pandangan menurut Ilmu Fiqh dan Perundangan Islam Versi 1Malaysia mengenai hal ini : Ada seorang bapa ingin menikahkan anak perempuannya dengan saksi bagi pihaknya adalah 2 orang kawan si bapa yang memang mengenali keluarganya itu dengan baik.

Apabila borang pernikahan diisi di Pejabat Agama , kedua-dua kawan itu pun diisi nama mereka sebagai saksi-saksi nikah.Namun apabila tiba hari Akad Nikah , Si Jurunikah menolak kedua-dua orang saksi itu dan menggantikan kedua-dua orang saksi itu dengan 2 orang kawan si jurunikah itu sedangkan 2 orang saksi baru itu langsung tidak mengenali pengantin perempuan itu.

Acara Akad Nikah pun berjalan juga . Dan sejurus selepas itu kedua-dua orang saksi baru itu pun mengisyaratkan kepada jurunikah itu bahawa mereka mahu 'wang saguhati jadi saksi' .

Itulah kisahnya.

Soalannya ialah :

(1) - Bolehkah orang yang tidak kenal pengantin perempuan itu menjadi saksi ?. Sahkah menurut Hukum Syariat , dan sahkah menurut Enakmen Agama Negeri ?.

(2) - Jika itu berlaku lagi kepada pasangan lain , maka apalah guna disi borang saksi nikah itu di pejabat agama sedangkan masa Akad Nikah orang lain pula yang menjadi saksi ?.

(3)- Benarkah ada Enakmen Agama yang menyatakan bahawa saksi-saksi nikah itu mestilah 'kroni' Si Jurunikah ?.

(4)- Bagaimanakah saksi-saksi 'kroni' yang tidak mengenali si penganti n perempuan itu benar-benar dapat bertanggung-jawab di mahkamah nanti apabila timbul kes-kes berkaitan pernikahan itu nanti ?.

Sekian . Harap dapat pandangan bernas semua pihak

(1) - Bolehkah orang yang tidak kenal pengantin perempuan itu menjadi saksi ?. Sahkah menurut Hukum Syariat , dan sahkah menurut Enakmen Agama Negeri ?.

Jawabannya:
Boleh, walaupun saksi tidak kenal, akan tetapi dengan kehadiran kad pengenalan diri, serta wali serta kerabat-kerabat yang turut meramaikan majlis akad nikah maka saksi yang bersama tok kadhi atau naib kadhi forsure kenal bakal pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Dan ianya sah menurut hukum syarak berdasarkan research dalam marja’.

Merujuk kepada kitab rujukan mazhab shafie, Mughni Muhtaj karangan Imam Khatib Sharbini mensyarahkan Minhajut Talibin karangan Imam Nawawi. Ms 186 hingga ms190 Jilid 3 Maktabah Darul Fikr cetakan Beirut 1995. Disini beberapa cacatan ringkas terpilih dari mukasurat tersebut:


Saksi adalah rukun nikah ketiga, berdasarkan hadis Aishah:” Tiada nikah melainkan dengan wali dan saksi yang adil, adapun nikah yang tiada keduanya maka ia adalah batil”. Hadir kedua saksi tanpa berpisah dengan maksud yang sama, atau hadir mendengar akad dan tetap sah sekalipun saksi itu tidak mendengar jumlah maskahwinnya. Disunatkan hadir sekumpulan manusia sebagai tambahan dua orang saksi yang mana mereka terdiri dari orang yang baik-baik dan beragama.

Syarat kepada saksi ialah merdeheka, tidak sah hamba, lelaki, adil, mendengar, melihat, syarat lain kepada saksi adalah boleh bercakap, bijak dan punya ingatan, mengetahui bahasa kedua-dua orang yang berakad. Adil yang disyaratkan adalah adil secara zahir sahaja.

Istihab/disunatkan saksi-saksi diperkenankan (redha) oleh pengantin perempuan, seperti katanya, “aku ridho” atau “aku izinkan padanya” (iaitu apa sahaja yang boleh diktibarkan kepada perkenan si pengantin perempuan). Yang demikian itu untuk menunjukkan si pengantin perempuan tidak dipaksa, pemilihan saksi ini dibuat untuk mendapat kepercayaan pengantin perempuan sekira-kira ia tidak bersetuju dengan pernikahan ini. Tidak disyaratkan saksi pada sah nikah kerana ia tidak termasuk kedalam akad, ia hanyalah syarat sahaja, ber’kenan’nya dianggap mencukupi di dalam akad yang terhasil dengan izin dan keterangan dari pengantin perempuan, yang demikian itu dengan pemberitahuan dari walinya bersama kebenaran berkahwin.


Berdasarkan rujukan yang dibuat, tiada sebarang halangan untuk pihak naib kadhi atau kadhi memilih sesiapa yang cukup syarat atau syarat tambahan yang disebut dalam kitab, meskipun wali telah datang dengan saksi terpilih. Tidak disebutkan juga didalam kitab rujukan saksi mestilah saudara terdekat, atau sesiapa yang lebih kenal dengan wali atau pengantin perempuan.

Yang ada mungkin boleh dihujahkan dalam pertanyaan tadi, pihak wali telah berusaha menyediakan saksi yang berkelayakan dan kadhi atau naik kadhi (selepas ini disebut jurunikah) boleh menerima saksi yang dicadangkan dan boleh juga tidak menerimanya. Jurunikah boleh juga menyediakan saksi sekiranya orang yang datang tidak mempunyai saksi, senario yang berlaku apabila jurunikah telah menyediakan saksi-saksi tertentu dalam majlis akad sebenarnya tidaklah menyalahi hukum syarak, kerana yang nak menjaga kesahehan rukun nikah itu mestilah jurunikah, jadi mungkin saksi yang dibawa oleh jurunikah diyakini melengkapi syarat yang disebut di dalam kitab.

Saya harap pihak pengantin bolehlah bersangka baik terhadap jurunikah, kalau tidak takkan jabatan agama memberi tauliah penolong pendaftar nikah cerai kepada si jurunikah. Terdapat kriteria yang telah diteliti terlebih dahulu oleh Jabatan Agama sebelum tauliah diberi. Dan tauliah itu boleh pula ditarik balik.

Pada masa yang sama, pihak jurunikah diharap tidak terlalu rigid dengan saksi-saksi pilihannya sendiri sedang pihak pengantin ada membawa saksi yang diyakini oleh mereka. Perasaan kecil hati atau terkilan oleh rombongan pengantin apabila saksinya tidak diterima sepatutnya difikirkan sama oleh jurunikah. Ditakuti akan timbul fitnah, saksi pilihan jurunikah mengharapkan duit upah saksi yang bakal diterima disetiap kali akad nikah dijalankan. Sehingga timbul curiga ini adalah mata pencarian sampingan pengikut atau juak-juak jurunikah. Sesungguhnya fitnah itu lebih buruk dari membunuh maka mengelak dari fitnah lebih baik dari menggalakkan fitnah, tambahan pula dalam kerja ibadat yang sepatutnya penuh berkah maka tidak patutlah kita cari serakah.

Dicadangkan sekiranya perkara ini terlalu kerap berlaku sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat, maka salurkanlah apa-apa cadangan terbaik kepada pihak kadhi atau naik kadhi atau lebih mujarab kepada pengarah Jabatan Agama Islam demi untuk kemaslahatan umat Islam agar tidak hidup dalam prasangka dan curiga antara satu sama lain.


Sahkah menurut Enakmen Agama Negeri ?.

Jawapannya masih sah juga. Kerana jika dirujuk kepada Bahagian III Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 dan bahagian yang sama pada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor 2003 dan malah semua enakmen negeri dan akta wilayah persekutuan tiada sebarang spesifikasi tertentu diberikan kepada saksi nikah. Sepanjang pengetahuan saya juga, jarang berlaku pertikaian mengenai saksi nikah, yang sering terjadi pertikaian tentang wali atau tentang jurunikah itu sendiri. Kot nak jadi isupun sekiranya perbicaraan pengesahan nikah luar negara dan melibatkan sendikit ( bukan dibuat di pejabat agama Pattani, Yala, Songklha, Narathiwat, Batam dsb) so disini saksi akan dipertikaikan oleh Pendakwa.

(2) - Jika itu berlaku lagi kepada pasangan lain , maka apalah guna disi borang saksi nikah itu di pejabat agama sedangkan masa Akad Nikah orang lain pula yang menjadi saksi ?.

Jawapannya. Tidak menjadi sebarang masalah kerana yang diisi dalam borang adalah untuk kegunaan registration sahaja, tidak semestinya masa nak pi jabat tangan tok kadhi musti atau wajib saksi orang yang sama. Sekiranya dipaksakan maka mungkin akan lebih menyulitkan urusan pernikahan nanti. Contohnya Apa akan jadi sekiranya saksi yang telah tandatangan borang tidak dapat hadir majlis akad nikah, adakah majlis akad nikah akan di tangguhkan hanya kerana saksi dalam borang tak dapat hadir?

(3)- Benarkah ada Enakmen Agama yang menyatakan bahawa saksi-saksi nikah itu mestilah 'kroni' Si Jurunikah ?.

Jawapannya tidak ada, tidak semestinya saksi adalah terdiri dari kroni si jurunikah dan tidak semestinya kroni wali atau hatta kroni pengantin lelaki atau perempuan sekalipun. Asalkan cukup syarat seperti dalam kitab itu sudah memadai.

(4)- Bagaimanakah saksi-saksi 'kroni' yang tidak mengenali si penganti n perempuan itu benar-benar dapat bertanggung-jawab di mahkamah nanti apabila timbul kes-kes berkaitan pernikahan itu nanti ?.

Jawapan, saksi-saksi ini akan ditanya tentang soalan relevan sahaja, dan jika tidak tahu mereka kena jawab tak tahu. Dan sudah pasti soalan oleh mahkamah adalah berkaitan dengan hukum syarak. Saksi-saksi kroni akan dapat masalah sekiranya tidak cukup syarat seperti tidak mendengar lafaz ijab dan kabul atau tidak memahami bahasa pertuturan pengantin lelaki atau jurunikah. Pun begitu siapa boleh jamin saksi saksi dibawa oleh wali confirm tiada sebarang cacat celanya?.

Mahkamah akan tanya saksi bagi melengkapkan keyakinan sebelum buat keputusan, sekiranya dibawa saksi yang betul-betul kenal dengan pengantin lelaki dan perempuan sekalipun akan tetapi ia tidak mendengar lafaz ijab dan qabul atau dia tak ingat langsung majlis perkahwinan itu sebab kena penyakit chikugunya maka keterangannya tetap tidak terpakai tak kiralah betapa aqrabnya hubungan saksi dengan wali atau pengantin lelaki dan perempuan. Wallahuaklam.

post: Harap rakan seperjuangan @ jo miaw berpuashati dengan jawapan yang diberikan, boleh rujuk juga kitab Qailubi wa Umairah, atau untuk rujukan modern tengok Fiqhul Islami Wa Adillatuh karangan Dr Wahbah Zuhaili, apapun perbincangan masih boleh dilakukan, boleh bisik kat telinga jurunikah sebelum mula majlis supaya dibenarkan guna saksi kita sendiri, gunakanlah alasan yang munasabah contohnya saksi kita ni datang dari jauh uzur pula tu, takut nanti terkilan pula tak dapat jadi saksi... InsyaAllah bisa diatur, kalau tak puas hati juga ikutlah saluran yang betul.