Thursday, December 25, 2008

MURTAD DARI SEGI PERUNDANGAN ISLAM



ABSTRAK
Dengan penguatkuasaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No 1 Tahun 2003, maka jelaslah diantara bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah ‘pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam’. Penambahan ini dibuat berdasarkan penyeragaman undang-undang syariah di semua negeri di dalam Malaysia. Sehubungan dengan itu persoalan akidah di Malaysia telah menempuh satu episod baru, apabila diwartakan Enakmen tersebut terdapat beberapa permohonan keluar Islam dibuat di kaunter Mahkamah Syariah. Pendedahan kepada umat Islam tentang wujudnya pemohon-pemohon yang mendaftarkan permohonan keluar Islam, mewujudkan polemik yang berbeza diantara satu sama lain. Apakah peruntukan tersebut dapat mempertahankan kesucian Islam atau sebaliknya. Bukankah antara peranan peruntukan itu adalah untuk menjelaskan perbezaan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, namun kenapa masih ada konflik diantara kedua-dua Institusi perundangan tersebut. Kertas kerja ini akan membincangkan peruntukan undang-undang berkaitan murtad yang ada di Malaysia, seterusnya mengkaji kelemahan dan kelebihan yang mesti diambil manfaat oleh pihak terlibat bagi menangani isu murtad samada dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri. Sungguhpun peranan Mahkamah adalah untuk melaksanakan pengadilan kepada semua pihak yang terlibat, namun persoalan murtad tidak boleh disamakan dengan kes-kes kekeluargaan atau jenayah syariah yang dibicarakan seharian. Jestru kerjasama semua pihak amatlah penting bagi menyelesaikan masalah ini secara harmoni dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

MUQADDIMAH
Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahlu yang bermaksud:
" Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.”.[ An-Nahlu:106]

Manakala Sabda Rasul SAW dipetik:
" لا يحل دم امرئ مسلم يشهد أن لا إله إلا الله، وأني رسول الله إلا بإحدى ثلاث: النفس بالنفس، والثيب الزاني، والتارك لدينه، المفارق للجماعة" (رواه الجماعة)
"Tidak halal darah Muslim yang bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan Aku sebagai Rasulullah kecuali ia melakukan mana-mana salah satu dari tiga perkara iaitu membunuh nyawa, janda yang berzina yang (penzina muhson) dan orang memisahkan dirinya dari agamanya lalu meninggalkan jemaah" [Bukhari, Muslim,Abu Daud,Tirmizi, Ahmad, Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain]

Sekiranya diteliti kitab-kitab muktabar, terdapat beberapa hukuman dan rutin yang diamalkan oleh para Sahabat yang kemudiannya dibahaskan oleh Fuqaha’ dari kalangan Tabein sehinggalah ke Ulama’ masakini. Terdapat beberapa kesimpulan berkenaan hukuman yang dijatuhkan ke atas pelaku murtad selain dari kemurkaan dan azab dari Allah SWT dan dibunuh seperti hadis diatas. Hukuman-hukuman tersebut didatangkan dalam bentuk umum, sepertimana yang disepakati oleh Jumhur yaitu dibunuh, cuma persoalan menyuruh bertaubat atau tidak, tempoh masa kurungan untuk bertaubat, beza hukuman diantara lelaki dan perempuan, samada diiklankan atau tidak kemurtadannya, mendatangkan mudarat kepada Islam atau tidak dan lain-lain furu’ dibahaskan mengikut pendapat aliran fahaman dan mazhab masing-masing.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang meletakkan demokrasi berparlimen sebagai asas perlembagaannya, isu murtad boleh dianggap sebagai ‘taboo’ atau isu yang harus ditangani dengan berhati-hati. Walaupun umum bebas memperkatakan pendapat masing-masing, pihak kerajaan dan agensi agama mestilah berperanan dengan penuh kebijaksanaan dalam memutuskan isu ini mengikut bidangkuasa masing-masing.

ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Sebelum meneliti enakmen perundangan Syariah negeri-negeri sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Senarai 2 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, sewajarnya kita melihat perundangan Malaysia mengikut kerangka Perlembagaan yang lebih besar dan utama. Perkara 3(1) yang terkandung dalam bahagian 1 Perlembagaan Persekutuan telah memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Fasal 1 menyatakan:
“Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Memberi makna perkara utama yang menjadi intipati Perkara 3 adalah entiti Islam yang sepatutnya menjadi pegangan untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan dalam mana-mana peruntukan. Penafsiran Perlembagaan atau undang-undang yang terbit daripadanya tidak sepatutnya dilakukan dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip atau falsafah dan pegangan luar sepertimana diamalkan sebelum dan selepas kemerdekaan.

Malangnya ada pihak yang membuat kesimpulan bahawa Perkara 3(1) adalah terhad kepada ritual sahaja seperti memberi salam, berdoa dan bersongkok pada majlis-majlis rasmi, ada yang menyatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan lebih dari itu, ‘agama-agama lain bebas diamalkan’ adalah merupakan satu jaminan bahawa setiap individu rakyat Malaysia adalah bebas menganut agama yang dikehendakinya, dan ini adalah kebebasan bagi yang beragama Islam untuk menukar agamanya atau lebih mudah dikenali sebagai murtad.

HAK KEBEBASAN BERAGAMA
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama, walaubagaimanapun hak ini tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan seperti fasal (4) dan (5) Perkara 11 dan undang-undang lain yang berkuatkuasa. Perkara 11 antara lain menyatakan seperti berikut:
Fasal (1) “Tiap-tiap orang adalah berhak menanuti dan mengamalkan agamanya dan terkluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya”
Fasal (4) “Undang-Undang Negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang yang menganuti agama Islam”.
Fasal (5) “Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak”

Penggunaan Perkara 11 telah ditafsirkan dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam dan lain-lain. Dalam kes tersebut diputuskan bahawa kebebasan beragama dalam perkara 11 tidak bermaksud kebebasan memilih, menganut dan mengamal agama pilihan seseorang, perkara 11 hendaklah ditafsirkan bersama-sama perkara 3(1), 12(2), 74(2), 121(1A) dan 160(2), Keputusan keluar daripada Islam adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Perkara 160(2) bangsa Melayu ditakrifkan sebagai seorang yang menganut agama Islam.

Tun Ahmad Fairuz menyatakan “Apa yang jelas dalam perkara 11 itu ialah penggunaan perkataan-perkataan “…right to profess and practice his religion…” kata-kata ‘has the right’ itu terpakai kepada ‘profess’ dan juga ‘practice’ ….. Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semnua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, social, budaya, moral atau kehakiman. Dan jika diteliti perkara-perkara 11(1), 74(2) dan item 1 disenarai 2 dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan akan ketara bahawa Islam itu meliputi antara lainnya undang-undang Islam.”

Drafting session of Jabatan Peguam Negara menterjemahkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan perkataan ‘Freedom of Religion’ sebagai ‘kebebasan agama’, iaitu kebebasan untuk mengamalkan apa yang dikehendaki oleh agama yang dianutinya, sekiranya kebebasan agama bererti kebebasan memilih agama diantara agama lain, maka terjemahan yang betul sepatutnya kebebasan beragama. Maka terjemahan ‘kebebasan agama’ oleh Jabatan Pendaftaran Negara selaku pihak yang mempertahankan perlembagaan pada masa ini adalah mengikut kehendak penggubal itu sendiri.

Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, pihak berkuasa Agama Negeri Selangor telah bertindak proaktif dengan mewartakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Enakmen tersebut antara lainnya memperuntukkan kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Antaranya Seksyen 4 yang berbunyi:
“(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam--- (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau(c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. (2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali”.

Usaha ini dilihat sebagai inisiatif menghalang anasir-anasir yang cuba untuk menyebarkan dakwah atau memurtadkan orang Islam di Negeri Selangor, malangnya undang-undang ini terhad kepada Mahkamah Sivil kerana tindakannya akan membabitkan orang yang bukan beragama Islam dan lain-lain permasalahan perlembagaan. Sehingga kini tiada kes yang didakwa ke Mahkamah atas Enakmen ini dilaporkan dalam mana-mana Jurnal.

Sekiranya diteliti, terdapat banyak ruang yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran-tafsiran serta keputusan Mahkamah Sivil kepada Mahkamah Syariah untuk menguruskan perihal masalah murtad. Titik selesa kepada Mahkamah Syariah bermula 10 Jun 1988 apabila pindaan dibuat kepada Perkara 121 dengan penambahan artikel (1A). Perkara 121(1A) diulas oleh Tun Ahmad Fairuz di dalam kes Lina Joy:
“Kes Soon Singh ketara menunjukkan bahawa hal murtad adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Item 1, Senarai 2, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ‘Islamic Law’ adalah salah satu daripada ‘matters’ yang terdapat dalam item 1 dan apabila dibaca pula berlatarbelakangkan kes Dalip Kaur, maka amat ketara sekali bahawa sesungguhnya perkara murtad itu adalah perkara yang berhubungkait dengan undang-undang Islam dan nyatalah oleh itu ianya adalah di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kerana perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, maka mahkamah-mahkamah sivil tidak boleh campur tangan dalam hal itu”.

PERUNDANGAN SYARAK
Jika diteliti, murtad mungkin boleh dianggap kurang diberi perhatian sekiranya dirujuk kepada kuasa substantif perundangan syarak Negeri Selangor, berbanding perkara nikah cerai orang Islam yang diperincikan mengikut seksyen yang jelas. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 tahun 2003. Seksyen 61(3)(b)(x)memperuntukkan:
“Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.;”

Sebelum ditakninkan dalam enakmen pada tahun 2003, tiada peruntukan khusus kepada Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi orang Islam (dibaca ‘murtad’). Biarpun perlakuan ini adalah sebesar-besar dosa kepada Allah SWT, namun tidak diterangkan apakah hukuman yang patut dikenakan kepada pelakunya, mungkin kesalahan yang paling hampir dari segi kesan adalah Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan. Contoh kesalahan ini lazim dilakukan apabila serbuan kedai makan disiang hari bulan Ramadhan, atau semasa serbuan kes tangkapan khalwat atau perlakuan tidak bermoral semata-mata untuk mengelakkan tindakan Penguatkuasa Agama dan Mahkamah Syariah, peruntukan tersebut menyebut:
“Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Namun penggunaannya tidak tepat dan jauh dari gambaran besar atau kecilnya kesalahan murtad ini, Ini adalah kerana firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Al-Baqarah: 217]

Manakala sebuah hadis Rasul SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA memberi maksud seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasul SAW telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat. Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

Meskipun hanya sedikit yang disentuh oleh undang-undang negeri yang boleh dikaitkan dengan murtad, setakat ini hanya Mahkamah Syariah Negeri Sembilan yang telah menggariskan undang-undang keluar dari Agama Islam secara sistematik. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) No.10 Tahun 2003, Seksyen 119 memperuntukkan:
“(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah. (2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah Subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.

(3) Suatu permohonan di bawah Subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu. (4) Setelah diterima permohonan di bawah Subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau (b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah. (6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut Subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu. (7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam Subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah Subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun. (9) Jika selepas perintah di bawah Subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka Subseksyen (5) dan (6) terpakai. (10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah Subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya. (11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:(a) pembubaran perkahwinan; (b) pembahagian harta sepencarian; (c) hak perwalian; (d) hak pusaka; dan (e) hadhanah.

Dengan adanya peruntukan tersebut, masalah murtad mungkin dapat dihalakan mengikut lorong-lorong prosedur dan kaedah syariah setakat yang diperuntukkan bidangkuasanya, tetapi untuk menjadi jalan penyelesaian terakhir atau ‘total solution’ bagi mengelakkan orang Islam keluar dari agama, ia masih boleh dibincangkan. Jika seseorang yang mengaku bukan Islam semata-mata untuk melepaskan diri dari hukuman boleh didenda RM5,000.00 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya, apakah untuk orang yang memang dengan niat dan kelakuannya memang mahu keluar Islam tiada sebarang hukuman yang patut dikenakan kepadanya?.

Peranan yang wajib dijalankan untuk mencegah murtad terdapat pada semua peringkat bermula dari ibu bapa, saudara-mara, pendidik, kawan-kawan, ahli qaryah sehinggalah kepada pemerintah. Dalam konteks pemerintah, secara jelas peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No 1. 2003, Seksyen 7 (1) menyebut secara umum: “Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis (Majlis Agama Islam Selangor) untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Selangor selaras dengan Hukum Syarak.”

Selain daripada perhatian kepada orang Islam secara tradisi, golongan muallaf sewajarnya mendapat perhatian khusus dalam masalah murtad, kerana bilangan pendaftaran permohonan Murtad diperingkat Negeri Selangor sahaja semuanya didominasi oleh golongan tersebut, oleh yang demikian ujian diperingkat awal memeluk Islam perlu disesuaikan bagi memastikan pengIslaman seseorang itu adalah berdasarkan suci hati, tanpa paksaan atau ganjaran. Apabila berlaku pendaftaran keluar Islam dari golongan ini maka pihak Mahkamah Syariah perlu menjalankan perbicaraan secara telus dan adil berdasarkan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Salah satu cara pembuktian yang lazim dibawakan adalah berdasarkan amalan selepas dari pengakuannya memeluk Islam dan keterangan saksi-saksi.

Kes terbaru yang membabitkan Muallaf adalah di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang apabila Siti Fatimah Tan binti Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Hung telah diputuskan bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004. Keputusan kes berdasarkan pembuktian keterangan bayyinah tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan, lantaran tiada Alasan Penghakiman rasmi yang dilaporkan malah dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang telahpun merayu dan kes ini sedang didengar oleh Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang. Seperkara yang wajib diambil iktibar dalam kes seperti Siti Fatimah, peranan susulan dan keberkesanan dakwah perlu diambil perhatian walau apapun dasar pemelukan Islamnya. Kerana sekali mengucapkan syahadah maka hanya Allah SWTlah yang akan menentukan kemana imannya. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang status orang yang mengucapkan syahadah dan dikira telah masuk Islam, walau untuk tujuan apa sekalipun syahadah tersebut diucapkan, sama ada untuk perkahwinan, perniagaan, atau sebab peperangan, maka mereka wajib mendapat pembelaan dan perlindungan. Penilaian ‘niat’ bukanlah menjadi syarat sah atau tidak keIslaman, walaupun faktor niat memang boleh dinilai dalam sah atau tidaknya ibadah seseorang, namun ia tidak terpakai di dalam kes ‘memeluk agama Islam’.

Berlainan dalam kes Nyonya binti Tahir yang berbangsa Melayu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah mengambil kira keterangan yang terdiri dari dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak Nyonya binti Tahir. Begitu juga dengan rekod laporan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986 serta Surat Akuan bertarikh 19 Julai 1991, diambil sebagai keterangan bertaraf qarinah dalam kes tersebut. Akhirnya Mahkamah membuat keputusan mengisytiharkan Nyonya binti Tahir bukan beragama Islam sewaktu kematiannya. Keputusan ini adalah berdasarkan peruntukan 61(3)(b)(xi) “pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;”. Sebagai makluman Nyonya binti Tahir telah dipelihara oleh neneknya yang berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya (Mualaf Cina) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal. Beliau berkahwin dengan lelaki Cina bernama Chiang Meng pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Mereka mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin beliau hidup secara Cina. Kes ini mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam menuntut supaya jenazah Nyonya binti Tahir dikebumikan menurut upacara Islam di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.

MELAYU MURTAD
Berdasarkan kes Nyonya Tahir, dakwah berterusan kepada bangsa Melayu yang turun temurun beragama Islam juga wajib diteruskan, seruan ini ada asasnya. Isu agama adalah persoalan jati diri dan pengenalan kebangsaan bagi bangsa Melayu. ‘Melayu’ menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai:
“Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”.

Jestru pengenalan seorang Melayu ialah beragama Islam dan hakikatnya perkara ini tidak boleh dipisahkan. Persoalan sekiranya dicabut ‘Islam’ daripada seorang ‘Melayu’, apakah bentuk dan panggilan bangsa pada orang itu, dan yang akan menimbulkan konflik, wajarkah sesuatu Mahkamah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi Melayu sekiranya ia selayaknya dikatakan keluar Islam?. Dalam kes Lina Joy atau Azalina binti Jailani, beliau berusaha untuk mendaftarkan pertukaran nama, menukar tulisan Islam dan diganti dengan kristian di dalam kad pengenalan serta diiktiraf perkahwinannya dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Lina Joy yang berbangsa Melayu keturunan Jawa berkahwin dengan seorang Kristian setelah mempraktikkan ajaran Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990. Beliau berusaha untuk mendaftar perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan kerana kad pengenalan beliau masih tertulis ‘beragama Islam’ walaupun beliau telah berjaya menukar nama dalam kad pengenalan kepada Lina Joy. Permohonannya untuk mengeluarkan perkataan tersebut tidak dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana tiada kebenaran daripada Mahkamah Syariah yang memperakui beliau telah keluar dari Agama Islam. Permohonan beliau bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 dan seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 Sept 2005, kedua-dua mahkamah tersebut mengiktiraf bahawa kes adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pada dasarnya berpendirian sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan. Sehingga ke hari ini belum ada sebarang laporan mengenai kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan. Begitu juga kes-kes yang menjadi nisan peringatan kepada umat Islam seperti kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950 di Singapura, kes Suzy Teoh yang memeluk Islam semasa umurnya 16 tahun, kes Jamaluddin Osman pada tahun 1986 yang memeluk Kristian dan menjadi paderi di PJ dengan nama Joshua, kes Aisyah Bukhari pada tahun 1997, kes Hartina Kamarudin 1988, yang kini dikenali sebagai Devashini dan lain-lain kes yang dinyatakan dan tidak dilaporkan atas alasan kemaslahatan.

Berada ditengah-tengah polemik ini adalah badan perundangan negeri yang diberikan kuasa berdasarkan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Tertanggung bahawa haram hukumnya untuk keluar dari Islam dan mengiktirafnya, malah ia bukanlah berbentuk hak yang diiktiraf oleh hukum syarak, ianya bukan kes yang biasa bagi Hakim Syarie. Bagi mereka yang tidak memahami hakikat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya diperundangkan melalui Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Persekutuan, kekeliruan pasti timbul.

Tersepit dengan kaedah fiqhiyah “barang sesiapa yang redha dengan maksiat maka ia melakukan maksiat dan barang sesiapa yang redha dengan kekufuran maka ia kufur”, maka menjadi beban tanggungjawab Mahkamah untuk memutuskan perkara yang ia tidak redha, namun sekiranya tidak diputuskan akan menambahkan lagi masalah, seterusnya menjadi tohmah dan fitnah terhadap Agama Islam itu sendiri, sehingga menyebabkan mudharat kepada umat Islam pada harini ini dan masa akan datang. Demi kepentingan masa depan, satu tanda aras atau batu sempadan yang nyata harus dicipta untuk menghalang kegiatan lompat agama ini dari berleluasa tanpa batasan.

KESIMPULAN

Walaubagaimana sekalipun penerimaan kita terhadap isu murtad ini sewajarnya diwujudkan satu peruntukan yang boleh memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka yang berniat untuk melakukan perbuatan keluar dari Islam. Negeri Pahang adalah satu-satunya negeri yang menyatakan bahawa keluar dari Islam adalah satu kesalahan jenayah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang 1882, Pindaan No.4,1989, Seksyen 185 tersebut menyatakan:
“Mana-mana orang Islam yang menyatakan bahawa ia sudah keluar daripada Ugama Islam, sama ada secara lisan, bertulis atau apa-apa jua cara lain, dengan apa-apa jua tujuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan.".

Walaupun peruntukan ini diletakkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, namun maksud dan ruh seksyen 185 ini memberikan definisi perbuatan keluar Islam adalah salah satu perbuatan jenayah Syariah. Istimewanya peruntukan ini, ia memperuntukkan sebatan sebagai hukuman jika sabit kesalahan. Hukuman tersebut walau masih belum menepati kehendak syarak’ namun sekurang-kurangnya ia dapat menggambarkan pendirian pihak penggubal dalam meletakkan kategori pelaku riddah samada dalam kes mal atau jenayah syariah. Adalah wajar diperuntukkan undang-undang sepertinya atau yang terlebih baik daripada itu, sebagai langkah peringatan dan pengajaran kepada orang Islam mahupun orang yang berpotensi memeluk Islam.

PENUTUP
Jika diibaratkan Islam sebagai manusia, maka murtad dianggap sebagai toksid dalam tubuh badan, maka toksid yang terkumpul di dalam badan sekiranya dibiarkan ia akan menjadi sel kanser yang berkembang biak seterusnya menjadi barah dan akhirnya akan menjadi penyebab ajalnya manusia, demikianlah murtad bermula dari kes-kes terpencil yang dibiarkan oleh umat Islam hari ini, tidak mustahil pada masa akan datang ia akan mengancam umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Oleh itu, sebagai rakyat yang masih menganggap murtad sebagai perkara kecil, maka satu anjakan paradigma wajar dimulakan pada hari ini.

Abu Razeen: disediakan untuk YAA KHS JAKESS sempena Bengkel Penyelidikan Bagaimana Menangani Isu Murtad MAIS 18 Disember 2008 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam Selangor