Thursday, May 15, 2008

Kes Fatimah Tan Abdullah . Keluar Agama

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI PULAU PINANG

KES MAL NO: 07100-043-0191-2006

SITI FATIMAH TAN BT ABDULLAH ... PLAINTIF
Diwakili Peguam Ahmad Jailani
Daripada Tetuan Arizal, Jailani & Co.

MAJLIS AGAMA ISLAM P PINANG ... DEFENDEN diwakili Encik Munawir
Daripada Tetuan Lim Kim Siew

Di hadapan Y.A Hj Othman bin Ibrahim
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang


ALASAN PENGHAKIMAN

Fakta ringkas kes

Plaintif Siti Fatimah Tan bt Abdullah yang nama asalnya Tan Ean Hung, K/P: 690828-07-5020 pada asalnya ianya beragama Buddha dan mengamalkan ajaran Buddha.

Beliau pada asalnya menyembah tokong dan buddha. Pada 25/7/1998 telah memeluk Islam dan didaftarkan dengan nama Siti Fatimah Tan bt Abdullah. Pada 4/8/1999 beliau telah berkahwin dengan Ferdoun Aslanian No. Paspot 3369885, seorang warganegara Iran, selepas 4 bulan berkahwin, suami telah menghilangkan diri.

Mengikut keterangan plaintif sendiri di mahkamah, beliau tidak mengamalkan ajaran Islam dan tidak pernah diajar atau di bawa mempelajari Agama Islam oleh suami. Pada masa yang sama beliau beramal dengan ajaran Buddha dan menyembah berhala Tokong Tok Pek Kong, Kuang Yim Neo dan Ti kong, pada setiap hari walaupun semasa menjadi suami isteri bagi pasangan tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak faham Islam dan tidak yakin tentang ajaran Islam itu bahkan tujuannya hanya untuk berkahwin semasa memeluk Islam.

Beliau menyembah berhala itu pada setiap hari dan pada masa yang sama suami ada ikut serta semasa pergi ke Tok Kong Kuang Yim Neo. Ini disahkan lagi dengan keterangan baiyinah adik saudara kandung plaintif sendiri semasa memberi keterangan di mahkamah. Beliau tinggal bersama dengan kakaknya dan melihat kakaknya menjalankan upacara ajaran Buddha dengan menyembah tokong itu setiap hari

Apa yang dihujahkan oleh peguam plaintif iaitu amalan-amalan seharian yang berkaitan dengan agama itu menjadi tanggungjawab dan persoalan yang mahkamah kena selesaikan.

Mahkamah harus melihat dari sudut undang-undang yang ada supaya jelas untuk mahkamah membuat keputusan bagi tuntutan kes ini.

Di dalam Sek. 61(3)(b) .. dalam bidangkuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengistiharan bahawa seseorang itu bukan lagi Islam;

Berdasarkan Seksyen 61(3)(b) – (x) di atas jelas memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membicara dan memutuskan kes yang dibawa ke hadapannya dan tidak dipertikaikan lagi oleh pihak-pihak yang terbabit.

Dalam pada itu Defenden iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang tidak mengambil apa-apa tindakan yang wajar setelah saman diterima. Afidavit yang difailkan oleh peguam menunjukkan bahawa saman telah disempurnakan. Kegagalan defenden hadir tidak menyebabkan kes ini ditangguhkan dan mahkamah boleh membuat keputusan kes itu.

Apa yang amat dikesalkan ialah Defenden tidak prihatin dalam menjalankan amanah yang diberikan iaitu bagi menjaga masalah orang Islam yang diletakkan ke atas Majlis iaitu badan yang diberi amanah tersebut.

Di dalam Seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 menyatakan – “maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Pulau Pinang selaras dengan Hukum Syarak.”

Undang-undang di atas jelas memberikan kuasa Majlis mengatur segala peraturan bagi menjamin masalah orang Islam terjamin dan sesuai dengan kaedah Fiqh iaitu –
تصرف الامام علئ رعيته منوط بالمصلحة
- “Tindakan perintah terhadap rakyat berpandukan maslahah”

Hal-hal sedemikian amat jelas supaya Majlis berperanan seperti yang termaktub di dalam undang-undang supaya sesuai dengan kehendak hukum syarak.

Mahkamah merujuk kes Majlis Agama Islam Negeri Sembilan didalam kes Han Mun Meng Mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa di dalam memutuskan kes tersebut sesuai dengan Pandangan Hakim Mahkamah Agung Mohamad Yusuf Muhamad menyatakan –
“ Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan-persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.

Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-Undang Sivil. Isu yang begitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak.

Melihat kepada keadaan ini, maka dalah mustahak supaya keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah.

Di dalam kes terbaru, kes Lina Joy (Rayuan Sivil 01-2-2006(w). Mahkamah Persekutuan Malaysia telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa bagi memutuskan tindakan berkaitan pihak yang Islam dan yang menganuti Agama Islam.

Dalam kes ini juga Tuan Fairuz KHW menyatakan dengan bersetuju dengan pandangan ABIM dan pandangan Persatuan Peguam Syarie serta Persatuan Peguam Muslim dengan menyatakan – Di dalam rayuan di hadapan mahkamah sekarang, tiada ketentuan muktamad bahawa perayu tidak lagi menganuti agama Islam. Maka, kenyataan bahawa perayu tidak boleh lagi berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya ada bidangkuasa terhadap seseorang yang menganuti agama Islam (profees) tidak boleh/wajar ditekankan. Cara seseorang keluar dari sesuatu agama adalah semestinya mengikut kaedah atau undang-undang atau amalan (practice) yang ditentukan atau ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Mahkamah ini berpendapat 2 kes yang diputuskan di Mahkamah Sivil dan kes terbaru di Mahkamah Persekutuan itu jelas memberikan bidangkuasa kepada mahkamah syariah bagi membuat perintah yang dipohon. Tindakan pemohon untuk menggunakan undang-undang yang sedia ada wajar diterima dan tatacara yang telah tertulis wajar diambil perhatian di dalam menyelesaikan kes ini.
Di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 Seksyen 121(1)(b) menyatakan – jika apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran:

(b) defenden tidak hadir, Mahkamah boleh tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.

Mahkamah telah menggunakan budibicara di dalam hal ini untuk meneruskan kes itu atas kepentingan pihak plaintif.

Adalah amat dikesalkan pihak Majlis Agama Islam yang diamanahkan untuk menjaga masalah orang Islam tidak bertindak dengan cepat bagi menyelamatkan akidah orang Islam. Kelewatan memfailkan hujahan dipenghujung kes hanya sia-sia sahaja dan mahkamah tidak terikat dengan pembelaan itu, bahkan mahkamah telah memutuskan untuk membuat keputusan terhadap kes tersebut, apa yang patut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam ialah mengujudkan tatacara yang mengawal dan menyelia mereka yang menganut Islam untuk keluar Islam. Inilah yang patut dijelaskan dan diambil tindakan dan juga menyediakan tempat yang sesuai untuk mempelajari Islam bagi mereka yang baru memelok Islam sesuai dengan keadaan dan suasana mereka yang masih baru serta berjinak-jinak dengan agama Islam serta menjamin bahawa Islam dianuti itu difahami dan dilaksanakan oleh individu yang ingin melihat Islam itu diamalkan. Jika tiada tindakan atau kaedah yang patut bagi mengawal selia mereka tidak mustahil hal yang sama akan berulang dan mungkin lebih ramai yang akan datang ke mahkamah Syariah untuk menuntut hak mereka bagi mendapat perintah pengistiharan mereka bukan lagi Islam kesan dari keputusan kes Lina Joy di atas. Begitu juga kes Majlis Agama Islam Negeri Sembilan lwn Nyonya Tahir. Hakim Bicara memutuskan bahawa Nyonya Tahir semasa kematiannya bukannya seorang Islam.

Kes di atas amat sesuai kerana ianya mempunyai relevan dengan kes di hadapan mahkamah ini cuma yang berbeza hanya Nyonya Tahir mati dan mayatnya dipertikaikan.

Di dalam perbicaraan yang dijalankan di hadapan mahkamah baiyinah yang ada ialah adik lelaki beliau sendiri menjelaskan hal sebenar kepada mahkamah berkaitan amalan agama Fatimah Tan bt Abdullah dan sepanjang hidup bersama di rumah itu setiap hari melihat kakaknya menyembah tokong seperti nama-nama yang disebutkan di atas dan amalan itu berterusan sehingga sekarang.

Keterangan Bayinah ini menyokong dakwaan plaintif dan menjadi amalan mahkamah Syariah menggunakan baiyinah ini sebagai satu pembuktian yang hendak diambil kira bagi membuat keputusan kes, jika mahkamah tidak menggunakan kaedah ini mahkamah tidak dapat menjalankan fungsi mahkamah iaitu memberi keadilan kepada semua pihak.

Qarinah yang ditunjukkan lampiran “D” P4 – Iaitu “gambar plaintif bersama Toh Pek Kong di dalam rumah P5 – plaintif bersama Tin Kong di kawasan luar rumah itu Kuang Yim Neo iaitu Tok Kong Buddha yang disembah setiap hari oleh plaintif.

Semasa menjawab soalan mahkamah saksi Tan Jim Khim menyatakan beliau tidak pernah melihat suami bersembahyang secara Islam bahkan suami ikut sama kakak sembahyang secara buddha di Tok Kong Kuang Yim Neo.

Antara keterangan yang lain selalu makan babi dan menjadi amalan sejak dari kecil walau pun ketika memeluk Islam pun makan babi juga.

Semua perkara yang dijelaskan di atas adalah gambaran yang menunjukkan plaintif tidak tahu tentang Islam dan tidak mengamalkan Islam sejak berkahwin sampai sekarang ini. Adakah wajar beliau dibiarkan begitu tanpa apa-apa tindakan yang patut diambil bagi menjelaskan Islam dan bukan Islam. Undang-undang yang digubal itu adalah jelas supaya Agama Islam itu dijelaskan supaya dapat menjamin Agama Islam itu benar dan tidak ada apa yang patut dipertikaikan.



Di dalam kitab al Fiqh al Islami wa Adillatuh - Dr Wahbah az Zuhaili juzuk 8 m.s. 6127/6128 Hukum berdasarkan qarinah itu boleh diguna pakai di dalam memutuskan kes


القضاء بالقر ائن أصل من أصول الشرع وذلك سواء فى حال وجود البينة أوالاقرار أم فى حال فقد أى دليل من دلائل الا ثبات

Bermaksud –
‘Penghakiman berdasarkan qarinah merupakan sumber Hukum Syarak sama ada ketika itu ada keterangan atau pengakuan atau dalam hal keadaan tidak ada apa-apa bukti lain.”

Di dalam perkara qarinah itu perlu ada 2 perkara –
1. Perlu ada sesuatu yang zahir yang boleh dikenali serta sesuai untuk menjadikan asa untuk berpegang di atasnya.
2. Mesti ada hubungan yang ditunjukkan di atas perkara yang zahir dan perkara yang tersembunyi.

Mahkamah harus membuat keputusan terhadap permohonan ini supaya kekeliruan dapat dielakkan. Mahkamah akan menghuraikan berkaitan murtad yang dimaksud di dalam Islam supaya dapat diambil tindakan wajar di masa hadapan supaya hal-hal berkaitan akidah ini tidak menjadi serius.

Makna riddah (murtad) pada bahasa ialah “kembali daripada sesuatu kepada yang lain.” Ia adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman.

Pada pengertian Syarak, riddah ialah “kembali daripada agama Islam kepada Kekufuran, sama ada dengan niat atau perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan atau pun i’tiqad.”

Dengan yang demikian, orang murtad ialah orang yang kembali daripada agama Islam kepada kekufuran. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan tuhan Yang Maha Pencipta, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul, menghalalkan perkara yang haram secara ijma” seperti zina, liwat, minum arak dan melakukan kezaliman, atau mengharamkan perkara yang halal secara ijma’ seperti jualbeli dan nikah kahwin, atau menafikan perkara yang wajib yang telah disepakati ijma’ ulama ke atasnya, seperti ia menafikan satu rakaat daripada solat fardu lima waktu; atau mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib secara ijma’, seperti tambah satu rakaat daripada solat fardu yang lima; atau wajib berpuasa sebahagian daripada bulan Syawal, atau berazam untuk menjadi kafir pada esok hari, atau berbolak balik untuk menjadi kafir.

Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan al Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor atau keji, sujud / menyembah kepada berhala ataupun matahari.

Para ulama’ telah menetapkan unsur-unsur penting mengenai kesalahan ini. Antaranya ialah dengan keluarnya seseorang itu daripada Islam, iaitu dengan tidak lagi berpegang atau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Islam. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad dengan salah satu daripada tiga cara, iaitu melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad (kepercayaan di dalam hati)

Sebagai tambahan untuk memperjelaskan lagi keadaan ini, seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah 1 seperti menyembah berhala ( patung ), matahari, bulan bintang dan sebagainya. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam dengan sengaja dan menganggapnya sebagai halal dengan tujuan merendah-rendahkan dan menghina segala peraturan yang dibuat oleh Islam.

Demikian juga jika ia meninggalkan perintah-perintah yang diwajibkan, di samping mengatakan perintah-perintah itu tidak diwajibkan ke atas mereka. Contohnya sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar as Siddiq, sebahagian daripada umat Islam ketika itu enggan membayar zakat dengan anggapan bahawa zakat tidak lagi wajib selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufuran seperti mengengkari kewujudan Allah, menafikan rukun-rukun iman yang lain serta menidakkan kewajipan-kewajipan yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Ini seperti mengatakan bahawa dia tidak diwajibkan solat atau mengatakan hukum-hukum Islam hanya sesuai untuk zaman dahulu, tetapi tidak lagi sesuai untuk zaman moden ini dan lain-lain kenyataan yang menunjukkan kepada merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Melalui iktikad juga seseorang itu boleh murtad jika dia mempercayai sesuatu itu yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti mengiktikadkan bahawa al Quran bukan wahyu, Nabi Muhammad s.a.w. bukan pesuruh Allah atau dengan mempercayai bahawa undang-undang ciptaan manusia adalah lebih baik daripada syariat Islam.

Secara ringkas, ulama’ bersepakat bahawa dua syarat bagi kesahihan murtad ini adalah berakal waras dan pilihan sendiri (sukarela).

Hukuman Bagi Orang Murtad

Ulama’ telah sepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. –

من بد ل دينه فاقتلوه

Bermaksud : “Sesiapa yang menukar ke Islamannya, bunuhlah dia”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi –yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R.h

أن امرأة ارتد ت يو م أحد فا مر رسول الله (ص) أن تستتا ب فان تابت والاقتلت.

Bermaksud: seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasullah S.A.W telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat.Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

لايحل دم امرىء مسلم الا باحدى ثلاث: الثيب الزانى, والنفس بالنفس, والتارك لدينه المفارق للجماعة.

Bermaksud: “Tidak halal darah seseorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara; duda (thayyib) yang berzina, qisas nyawa dengan nyawa dan orang meninggalkan agamanya yang terpisah daripada jemaah.”

Murtad dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah, Allah berfirman didalam surah Al Baqarah ayat 217;


ومن يرتد د منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأؤلئك حبطت أعملهم فئ الدنيا والأخرة وأولئك اصحب النار هم فيها خلدون

Yang bermaksud: “ Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Di dalam Kitab Kifayatuk Akhyar dinyatakan –

فصل فى الردة ومن ارتد عن الاسلام استتيب ثلاثا. فاءن تاب والاقتل ولم يغسل ولم يصل عليه ولم يدفن فى مقابر المسلمين.

Yang bermaksud: “Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat ( diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam) dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam”

Seterusnya disebutkan bahawa barangsiapa yang tetap dan kekal atas kemurtadannnya, ia harus ditumpahkan darahnya, disebabkan kerana ia telah melakukan perkerjaan yang paling keji dan paling berat hukumannya, iaitu kekufuran. Apabila telah dijalankan hukuman bunuh tersebut, maka mayat si murtad itu tidak boleh dimandikan, tidak boleh disolatkan dan tidak boleh dikuburkan bersama orang-orang Islam kerana dia adalah seorang kafir, yang tidak mempunyai hak untuk dihormati.

Berdasarkan kepada huraian di atas adalah jelas bahawa riddah (murtad) itu adalah suatu kesalahan besar di sisi agama Islam dan mempunyai hukuman yang sangat berat.

Berdasarkan keadaan palintif dan qarinah-qarinah yang ditunjukkan itu amat jelas bahawa beliau tidak mengamalkan ajaran Islam sejak dari mula memeluk Islam lagi, akibat dari kekurangan inilah beliau ingin kembali kepada agama asalnya iaitu buddha. Walaupun mahkamah memandang serius hal ini, tetapi mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan memutuskan iaitu permohonan plaintif ini diluluskan.

a. Bahawa Plaintif bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004
b. Majlis Agama Islam hendaklah membatalkan Sijil Memeluk Islam bilangan daftar 126/98 bertarikh 11.8.1998.



Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Pulau Pinang.
Artikel ini asalnya diposkan oleh sahabt kita dalam AAN ni, ana cuma reposting demi kebaikan semua.

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=87651

Abu Razeen: alasan penghakiman atau catatan diatas diceduk 100% dari alahkam.net di url http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=87651
AR tidak bertanggungjawab sekiranya ia menyimpang dari dokumen asal.