Wednesday, July 22, 2020

Penyampaian Saman SMS atau FB boleh atau tidak?


Penyampaian saman secara short messsage system (SMS) atau facebook (FB) adakah dibenarkan oleh Mahkamah?



Jawapannya ada ‘Tidak Boleh’ dan ‘Boleh’.

‘TIDAK BOLEH’ – Kerana peruntukan dalam Sek 41 dan 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Johor) 2003 [En. 20/2003] menyatakan:  

“41(1) Tertakluk kepada Bahagian ini, sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan ke diri, dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.”

Manakala penyampaian ganti:

“48(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman atau dokumen lain itu tidak dapat disampaikan secara biasa, Mahkamah boleh memerintahkan supaya saman atau dokumen lain itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan Mahkamah dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat di bangunan tempat orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan terakhir diketahui tinggal, atau mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh juga, dalam mana-mana hal yang termasuk dalam subseksyen (1), membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

Begitu juga dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Aturan 10 Penyampaian proses pemula:

“1.Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang bertulis dan Kaedah-Kaedah ini, suatu writ hendaklah disampaikan secara kediri kepada setiap defendan atau dengan menghantarkannya kepada setiap defendan memalui pos berdaftar Akuan Terima yang dialamatkan ke alamat akhirnya yang diketahui dan setakat yang dapat dilaksankan, percubaan penyampaian yang pertama mestilah dibuat tidak lewat dari satu bulan dari tarikh writ itu dikeluarkan.”

Manakala Aturan 62 Kaedah 5 Penyampaian ganti menyatakan:

“(1) If, in the case of any document which in accordance with these Rules is required to be served personally on any person, it appears to the Court that it is impracticable for any reason to serve that document personally on that person, the Court may make an order in Form 133 for substituted service of that document.
 
(2) An application for an order for substituted service shall be made by notice of application supported by an affidavit in Form 134 stating the facts on which the application is founded.
 
(3) A substituted service of a document, in relation to which an order is made under this rule, is effected by taking such steps as the Court may direct to bring the document to the notice of the person to be served.

Pada asasnya tidak dinyatakan bentuk lain penyampaian yang dibenarkan. Kecuali dalam penyampaian ganti seksyen 48 En. 20/2003 dan Aturan 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 Namun jika Mahkamah Syariah menggunakan keluasan;

“..atau mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.”



Maka penyampaian secara SMS atau FB atau mana-mana medium yang munasabah adalah ‘BOLEH’.

Syarat penyampaian selain S41 atau 48(1) dan (2) hendaklah atas kebenaran Mahkamah. Pun begitu Mahkamah boleh menerima atau menolak pelaksanaan berasaskan afidavit penyampaian yang diikrarkan.

Sekiranya diterima sekalipun ia adalah case-to-case basis dan tidak bersifat binding secara umum atas semua kes yang didaftarkan.

Setakat pencarian saya, jika ada sekalipun penyampaian melalui sosial media, ia tidak dilaporkan dalam kes di Mahkamah Malaysia. Manakala Mahkamah United Kingdom, Australia dan Kanada telah membenarkan dokumen mahkamah diserahkan melalui sosial media, tanpa mengabaikan prosedur sedia ada yang membenarkan penyampaian ganti tersebut

Dalam kes Axe Market Garden Ltd v Axe CIV-2008-485-2676, Mahkamah Tinggi New Zealand membenarkan penyampaian ganti melalui Facebook kerana alamat lengkap defendan tidak dapat dikesan dengan mudah. Perkara yang sama berlaku di Mahkamah Kanada dalam kes Knott v. Sutherland (Feb. 5, 2009) Edmonton 0803 002267 (Alta.Q.B.M.) yang membenarkan plaintif melakukan serahan kepada defendant melalui akaun Facebook. Dalam kes Larry Philip Fontaine et al v. The Attorney General of Canada et al, (8 August 2014), Winnipeg MBQB CI05-01-43585 (MBQB) Mahkamah Canada menerima hujah plaintif yang menyatakan adalah tidak praktikal penyampaian secara kediri terhadap defendan. Tetapi memandangkan defendan adalah pengguna Twitter, Mahkamah membenarkan plaintif untuk memberikan notis melalui Twitter.