Saturday, January 23, 2010

Of the Peak (Kinabalu adventure)

Jurnal JAKESS Hikers




Sekilas terpandang cetakan south’s peak kat dalam not satu ringgit yang agak kusam masa nak bayar tol kat Changkat Jering Ahad lepas ingatan saya terus mengimbau silauan batu gunung perang kehitaman disinar matahari terik jam 7.00 pagi di ketinggian 4095 meter dari aras laut, macam tak percaya semalam kat Persidangan Pegawai Syariah di Sutera Harbour sekarang kat atas puncak tertinggi di asia tenggara….well believe it! :surprised:


Bermula dengan doa oleh Tn Asaari depan hotel Tabung Haji Kota Kinabalu semuanya mengharapkan kemudahan dan keselamatan setiap individu peserta expedisi seramai sepuluh orang ini, agenda pertama dah tentulah menjamu selera, Seri Sempelang menjadi pilihan, makanan disini tak berbeza langsung dengan semenanjung, sampai ke sudah saya mengkelan nak pekena ‘ambuyat’, takpalah ada rezeki nanti datanglah lagi.


Hampir setengah jam memuaskan nafsu makan perjalanan diteruskan ke Kundasang yang jaraknya memakan masa hampir sejam perjalanan, kurang sepuluh kilometer sebelum sampai ke Taman Negara kami berhenti untuk merakamkan pemandangan indah Gunung Kinabalu yang bakal dijelajahi sebentar nanti.

Timpohon Gate

Untuk mengelakkan pembaziran Kodak dan memori kad, Kia Pregio kami terus memecut ke Kampung Nabalu, untuk membeli kelengkapan akhir sebelum mendaki, sempatlah juga beli air Tongkat Ali Orang Kampung tiga tin manakala peserta lain melihat kraftangan pribumi dan memasang niat untuk memborong selepas turun dari gunung nanti, pada hemat saya kraftangan disini mungkin lebih murah dari kota kinabalu (KK) kerana disinilah kerja-kerja penghasilan dibuat.


Hampir setengah jam juga dalam kata niat nak window shopping tu, walaupun banyak yang tak beli barang. Akhirnya kami tiba di Kinabalu Nature Park untuk mendaftarkan diri, segalanya berjalan dengan lancar disini rombongan kami bertambah dua orang guide, Encik Azwan Abdullah (Azwan) asal Alor Setar kawin orang Sabah dan Encik Johny anak jati Sabah. Mereka adalah antara beberapa guide berdaftar yang akan mengiringi setiap kumpulan expidisi naik dan turun, juga dipanggil sherpa (konon-konon macam naik everest la! Diambil sempena dari nama Sherpa Tenzing (Nepalese) yang guide Edmund Hillary naik everest).


Dari Pejabat Kinabalu Nature Park kami bertolak ke Timpohon Gate kurang lebih 500 meter dari situ, masih dalam van dan muka masing masing masih ceria Alhamdulillah. Di Timpohon Gate kami didaftarkan oleh penjaga disitu (ikut prosedur kualiti laaa!) masa kami nak bertolak gate tersebut sedang menerima beberapa pendaki yang telah menamatkan kesengsaraan mereka semalaman di atas gunung. Melalui riak muka mereka yang bermacam-macam, sikit sikit kami boleh agak akan cabaran yang bakal ditempuhi 4000 meter lebih didepan .


Jam 9.00 pagi langkah pertama ke pendakian dimulakan. Timpohon Gate yang seakan-akan gate Jurassic Park tu kami tinggalkan, kami diraikan dengan gerimis manja kaki bukit, salam perkenalan gunung yang cukup terkenal ini, trek untuk batu pertama agak mudah kerana disempurnakan dengan tangga berpalang tangan bagi membantu pendakian.



Still Standing ;)

The Challenge

Peserta dari sini sudah mula berpecah kepada beberapa kelompok ikut kekuatan stamina masing masing, kurang pasti siapa didepan sekali dan siapa dibelakang sebab saya ditengah-tengah, beberapa denai melintasi perjalanan kami bersama air bukit yang membentuk aliran kecil comel indah di pandangan mata.


Sebenarnya para pendaki tidak mengalami kesusahan untuk melepaskan lelah kerana hampir setiap perbatuan disediakan Shelter (pondok rehat) untuk batu pertama, Kandis Shelter dan Ubah Shelter masing masing berjarak 250 meter tiap satu menjadikan kilometer pertama macam makan kacang. 500 meter kemudiannya terdapat menara telekomunikasi Kambarajah disini jangan keliru sebab ada dua simpang, yang penting para pendaki hendaklah mengikuti papan tanda arah ‘summit trail’ kalau tersilap anda boleh sampai ke RTM station, satu lagi petua untuk memastikan anda ditrek yang betul ikutlah kabel letrik yang berada disepanjang jalan sampai ke atas.


Hujan yang agak friendly dikaki bukit tadi, sudah mula memperlihatkan sifat sebenarnya pada aras 1500m dimana hampir semua peserta ekspedisi dah jadi plastik man, yang mana beli rain coat/poncho (ala-ala plastik sampah yang ada lengan dan penutup kepala) sudah mula menyarungkan jersinya, yang tak beli (termasuk saya) konon konon wind breaker kalis air dah mula rasa menyesal kerana kalau tak kene gaya air hujan tetap akan masuk menyerap kedalam baju lapisan pertama kalau tak pakai rain coat.



poncho man
4. Cramp

Lowii Shelter disinggahi agak lama jugak, pasal keletihan mula terasa, mana yang bawa chocolate dan suplemetary food dah mula bukak bekal masing masing, semuanya dikongsi bersama (resen masih banyak weeeh!) lepas tu perjalanan diteruskan ke batu 2 dimana Tempening Shelter dijadikan tempat berlindung dari hujan. Untuk diri saya yang bukan sportsmen zat tambahan terpaksa digunakan supaya tak cramp, garam bukit berjenama kristal aura product Jozaco amat-amat memberikan bantuan, kalau nak diikutkan cuaca sejuk dan pergerakan yang meletihkan boleh buat cramp satu badan, tapi Alhamdulillah perkara ini dapat saya atasi, untuk setiap perhentian kurang setengah botol air kosong yang dicampur dengan garam secukup rasa mampu menyelamatkan keadaan.


Untuk kilometer seterusnya azab pendakian menggigit perasaan, bibit penyesalan bermain difikiran, suasana agak kelam kerana cahaya matahari diliputi awan mendung dibantu oleh pokok-pokok hutan simpan berusia ribuan tahun. Layang Layang Hut menjadi persinggahan kami seterusnya, kalau tadi berehat dalam 10 ke 20 minit sekarang kalau boleh nak berehat dalam sejam, letih tak tau nak cakap, yang mana tadi boleh buat lawak sekarang dah tak reti nak bercakap dah, samaada habis modal atau simpan nafas.


Meneruskan perjalan seterusnya trek yang tadinya mesra pendaki dah bertukar sifat jadi denai yang licin dan mampu menenggelamkan kasut apa-apa jenis pun. Mujurlah batu batu dan tangga yang disediakan dapat dijadikan tempat berpijak. Sampai ke Layang-Layang Hut batu ke 3 semua peserta expedisi kecuali seorang pakat pakat berehat, semuanya seakan-akan tak mampu menahan kesejukan jelasnya disini anggota expedisi dah berpecah kepada tiga, seorang mungkin entah berapa jauh kehadapan kami yang berada ditengah-tengah dan beberapa orang yang masih belum sampai, jam masa tu dah masuk lima petang, dalam kesempatan ini kami yang ada, bersolat jama’ secara individu kerana tiada ruang untuk berjemaah, stok makanan penambah tenaga seperti choclate, kurma, kismis, kacang dan yang sewaktu dengannya bertukar-tukar tangan diantara pendaki-pendaki yang terketar-ketar manahan kesejukan. Sungguhpun dibasahi air wudhuk mengakibatkan kesejukan yang amat sangat kewajipan kepada Allah tetap dipenuhi, hampir setengah jam juga masa dibuang disitu, pada waktu ini sepatutnya para pendaki akan tiba di Laban Rata tapi kami majoriti kumpulan kami masih terkial-kial disini.


Like Crazy

Dalam hujan yang mengganas itu perjalanan diteruskan juga kerana bagi saya kalau duduk tanpa membuat apa-apa aktiviti akan lebih mengundang kesejukan, pada masa ini terasa macam berkeriut tulang joint lutut kiri dan kanan, entahkan bagaimana rupa jari-jari kaki dalam kasut yang dipenuhi air hujan agaknya?. Masa nilah handset saya berbunyi, rupanya Tuan Presiden bertanya khabar, walaupun rasa nak putus semangat tapi jawapan yang saya berikan semuanya ok, (ok? Sebenarnya dah KO ….) pandai pulak orang celcom pacak pemancar kat sini.


Jam 6.30 petang Batu 3 ½ digagahi sedang oksigen dirasakan menipis menyebabkan nafas seakan tersekat-sekat, bagi yang tak kuat semangat rasnya nak tidur je kat tepi trek tu, tapi hari semakin gelap hujan semakin lebat, jadi niat nak tidur tu ditukar untuk tangkal motivasi nak sampai ke Laban Rata, setengah jam kemudian saya berjaya ke Laban Rata yang tak rata langsung. Disitu terdapat pondok-pondok penginapan yang selesa dilengkapi restoran ala hotel ada bintang (takde langsung) terbayangkan air panas dan makanan saya kembali bersemangat untuk check in disitu. Segala pengalaman pendakian sebelum ini telah digunakan antaranya Jabal Musa di Semenanjung Sinai 2,285m, Maxwell Hill 1,035m mahupun Jabal Rahmah dan Jabal Nur.


Food

Macam saya katakan tadi, sebenarnya rega makanan dia macam hotel nasi goreng saja dah RM11.80, minuman panas RM7.00, bayangkanlah kalau anda minta buffet? Walaupun food supply saya memberati beg tapi otak masa ni dah tak fikir mahal ke bekal ke apa yang ada kat restoran tu semua dibaham, soal fulus dah jadi perkara kedua. Sementara menantikan roommate saya tiba, tempat mandi dan memanaskan badan saya tumpang di Laban Rata kerana saya pondok saya sebenarnya di Gunting Lagadan 300m dari Laban Rata. Oleh kerana restoran ni tutup pukul 8.00 malam roommate saya telipun dari entah kat mana dibawah pesan nasi goreng tapau, (nasib baik dia ingat nak makan).


Dalam pukul sepuluh saya Tuan Zamri, Tuan Asaari dan Tuan Rahim dapat melabuhkan punggung dikatil double decker ala asrama di Gunting Lagadan (11000ft/3353m). Walau pun ala kadar je tempatnya tapi rasa macam dah cukup best sangat dah …Alhamdulillah. Agaknya waktu malam ni oksigen agak kurang jadi rasa macam susah nak lelapkan mata, sambil melayan anggota badan paha ke jari jemari kaki yang macam kena dera masuk wataniah, saya cuba untuk lena, tapi dalam usaha itu sayup sayup kedengaran keluhan lepas tak lepas …adoi! ...adoi! …adoila!, siapa ya?. Hati saya berbelah bagi, ni nak tolong urut ka, nak simpati ka, nak bagi motivasi ka… aaah tido lagi baik.


Jam dua pagi jam henpon saya memekik dengan setia menandakan sudah tiba perjuangan ini bakal ditamatkan dalam beberapa jam lagi, lepas tu boleh turun balik rumah main dan melawak dengan anak-anak kat rumah….. fuhh bestnyer.



Macam biasa kelengkapan mendaki disarungkan semula walaupun dah lencun macam mempelam dijerukkan bulan lepas. Masa ni bau masham dah tak jadi isu, semua orang sama saja, bersama Tuan Zamri kami adalah antara peserta paling lambat keluar dari pondok, tak kisahlah janji sampai ke puncak kejab lagi (…kejab lagi?)..


Lows Peak

Perjalanan diteruskan ke kemuncak jam tiga pagi, lewat sejam sebab nak pagai jersi ala-ala antartika, batu 4 dilepasi dalam keadaan gelap gelita, pada masa ini torchlight amat-amat diperlukan, lagi bagus kalau yang lekat atas kepala macam orang nak pergi motong getah, masa ni semua pendaki akan bertolak secara serentak jadi congested sikit kalau masa nak naik tali, untuk 300meter ke hadapan treknya masih dikelilingi semak pokok pokok renek macam bonsai, dan meter-meter seterusnya hanya batu dan lumut yang mampu hidup, check point terakhir adalah di Sayat-Sayat Hut (12500ft/3810m) nama pendaki diambil untuk tujuan pengesahan sijil mendaki, disini disediakan pondok sementara lengkap dengan katil untuk mereka-mereka yang tertewas, saya dan Tn Zamri solat Subuh disini, dan disini seorang pendaki PPSM telah naik bendera putih.. siapa ya?.


Bermacam ragam pendaki boleh dilihat disini, adalah sorang tu menangis (menyesal kot) untuk meneruskan perjalanan, dan ada juga pendaki yang membawa bersama-sama anak-anak semuda lapan tahun, inilah yang membuatkan saya bersemangat untuk menuju puncak. Pendakian kebatuan terakhir seolah-olah memutuskan nyawa yang dah kurang oksigen ni, teknik terakhir yang saya gunakan ialah 10 langkah berhenti seminit, ambik nafas. Saya, Tn. Zamri dan Azwan (Sherpa) adalah merupakan kumpulan terakhir yang menjejak Low’s Peak 4095.2 meter, lebih kurang jam 6.45 pagi, jadi kalau Tuan Puan nak tengok gambar kat puncak, tak hairanlah cuma gambar saya dan Tn. Zamri saja pasal orang lain semua dah turun, (konon-konon jalan slow jimat tenaga nak turun nanti, teknik mengelirukan pihak lawan!) sepatutnya semua pendaki mesti turun dari Lows peak sebelum pukul 7.00 pagi sebab masa tu cuaca sentiasa diluar dugaan, waimma putih diselubungi kabus ataupun gelap gelita dikelilingi awan hitam, pun begitu nasib menyebelahi kami Alhamdulillah cuaca maintain terang dan tenang.


Lebih kurang setengah jam juga saya berposing dikemuncak dunia, memang mengagumkan keindahan ciptaan Allah SWT tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Satu fakta baru saya dapat disini Low’s Peak bukanlah bererti puncak rendah tapi sebenarnya diambil dari nama Sir Hugh Low seorang Inggeris yang datang menjadi Pegawai wakil kerajaan British. Cuma yang menjadi tandatanya kenapa papan tanda dikemuncak disitu hanya ditulis bahasa Kadazan, kalau sesiapa yang membaca ni dapat menterjemahkan tulisan ini maka lengkaplah cerita saya untuk tatapan semua, ayatnya berbunyi begini “Id Kahandaman di Gunting bin Lagadan Huguan Mana-Nanud Id Nuluhan Kinabalu 1888-1966”


Posing

Bermacam-macam figura kejadian alam dapat dilihat, antaranya bentuk muka bumi yang berbentuk lembaga, antaranya kakak huduh (ugly sister) Peak, muka Abraham Lincoln dan macam-macam lagi, ikutlah imaginasi anda masing-masing. Dikesempatan ini saya dan Tn. Zambri masing-masing mengibarkan banner yang diamanahkan oleh ketua jabatan masing-masing supaya dikibarkan dipuncak lows peak, sebagai bukti arahan telah selamat ditunaikan.



banner

Selesai sesi fotografi kami mula turun lebih kurang jam 7.30 pagi dengan hati yang puas langkah yang lemah longlai saya percepatkan supaya sampai ke Timpohon gate sebelum malam. Lagi 5 batu yang menyeksakan!. Ini baru Kinabalu belum lagi Everest yang ketinggiannya mencapai 8848 meter dari aras laut. Dua kali ganda weeh!




Perjalanan turun dimulakan pada jam 10.00 pagi dari Laban Rata setelah mengisi perut dengan nasi goreng yang mahal itu. Dengan cuaca mesra pendaki (hujan rintik-rintik) dan seterusnya perjalanan menurun gunung ceritanya sama macam nak naik jugak, hujannya lagi lebat, semuanya tidak saya endahkan janji boleh sampai kebawah dengan selamat, teknik menurun bukit semasa ni hendaklah betul agar kaki tidak melecet, untunglah mereka yang mempunyai tongkat kerana ia boleh mengurangkan beban kaki untuk menahan berat badan semasa menurun. Perjalanan kekaki bukit menemukan kami dengan rombongan pelajar sekolah rendah di Sabah, khabarnya pendakian Kinabalu adalah menjadi ko kurikulum disini.

Downhill

Semasa dalam perjalanan turun sempatlah sherpa berceritakan akan pengelaman beliau sewaktu penjadi guide, antaranya yang paling terbaru adalah menurunkan mayat pendaki yang mati diakibatkan keletihan yang amat sangat, kalau tak silap saya dari Layang-Layang Hut, secara pukalnya kematian pendaki yang berlaku disini bukanlah diakibatkan jatuh, pecah kepala dihempap batu atau tercucuk kayu, tapi kebanyakannya adalah akibat liquors consuming yang mengakibatkan organ gagal berfungsi seterusnya penyumbang kepada kematian. Dan ada pendaki yang disemadikan berhampiran salah satu pondok disepanjang perjalanan ini, nanti kalau jumpa jangan terkejut pula!


Sekali lagi saya dan Tn. Zambri menjadi last man turun ke Timpohon gate, dan macam biasa segala-galanya basah, basah dan lembab, Shukurlah semuanya selamat seperti yang didoakan. Dan kemaslah dalam memori masing-masing akan pengalaman yang amat berharga buat kesepuluh pendaki yang mencipta sejarah PPSM walaupun tiga yang tak sampai ke kemuncak.




Timpohon gate dijadikan tempat berehat sementara menanti kenderaan untuk ke stesen National Park sebagai persinggahan terakhir sebelum kembali ke Hotel Tabung Haji KK. Masa menunjukkan lebih kurang pukul 6.00 petang dan akhirnya sesampainya kami di National Park Office masing masing diserahkan sijil pendakian. Sebagai makluman semua yang naik bukit walau tak sampai ke kemuncak pun akan dapat sijil, tapi yang membezakannya hanyalah kualiti sijil tersebut. Sekiranya samapai ke Laban Rata maka sijil hanya bewarna hitam putih dan tanda tangan dengan ball pen kaler biru dengan dicatatkan perhentian mana berakhir pendakian, tanpa dicatatkan ketinggian dan of course kurang hensem laa, manakala yang berjaya akan menerima sijil warna warni, ada gambar burung dan periuk kera, manakala tandatangan pegawai pulak pakai pen dakwat basah, lihatlah sendiri!.



sijil

Seterusnya walaupun pengalaman ini sukar diukur dengan mata benda, hanya ucapan jutaan terimakasih dan sekalung tahniah dapat diberikan kepada pengurusan pendakian oleh urusetia PPSM dan yang terutamanya Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Sabah yang memberi perkhidmatan terbaik setakat ini. Allah SWT sahajalah yang mampu membalas jasa kalian.




Not satu ringgit dah bertukar tangan kepada penjaga tol, pedal minyak kutekan menuju destinasi ke Kampung Sg. Relung Kamunting. Kinabalu entahkan bila kita bertemu lagi?....



p/s artikel ini telah dipublishkan dalam fotopages pada tahun 2005, disegarkan dengan beberapa penampilan baru. wait for Of the peak (Thursinai Adventure)