Thursday, March 10, 2022

TERSESAT: KEBATILAN GERAKAN NEW AGE

Buku TER-SESAT: KEBATILAN GERAKAN NEW AGE
Pengarang: AHMAD IQRAM MOHAMAD NOOR
Penerbit: NHA Publication
Cetakan: Pertama 2021
Mukasurat: 312

1. Tersangka “Dan Brown” versi Malaysia, rupanya buku “Ter-Sesat: Kebatilan Gerakan New Age” (Ter-sesat) nyata membongkar lebih dari simbol dan rahsia. Jika teori konspirasi yang anda cari, sebenarnya buku ini lebih munafaat dari falsafah teoris. Ter-sesat mengenalkan kita kepada fahaman purba menyesatkan namun diberi nafas baru dalam amalan seharian tanpa kita sedar.
2. Reputasi Ahmad Iqram Mohamad Noor (Penulis) dalam menerbitkan vlog ilmiah mendahului penulisan beliau di dalam facebook dan bukunya. Kebanyakan pendedahan berani sebegini banyak dipelopori pengisi konten dari seberang sehingga menjadi viral silang sempadan.
3. Dikatakan pendedahan berani kerana buku ini banyak mengulas kaedah motivasi kontemporari tanahair yang tidak diketahui usulnya sebelum ini. Malahan digunakan pula secara praktikal oleh “business guru” secara berleluasa serta dijadikan ratib pula oleh anak didik mereka.
4. Besar kemungkinan yang mengamalkan kaedah tersebut tidak tahu dari mana usulnya idea ini. Jestru kesedaran dari semua peringkat, waimma dari tahap “pakar” hinggalah “ikut ikutan” sangat diperlukan supaya masyarakat tidak terus hanyut dalam fahaman yang mengancam aqidah.
5. Untuk menguasai mesej yang dibawa Penulis, anda disaran untuk menguasai takrifan Monisme, Panteisme, Panenteisme, Gnostisime seawal dua bab pertama. Kemudian pemahaman anda terhadap lain lain istilah akan menjadi lebih terarah seperti Neo Platonisme, Hermetisisme, Sinkretis, Transcendentalisme tidak ketinggalan fahaman Wehdatul Wujud dan Nur Muhammad, cuma beberapa kesimpulan dalam buku ini mungkin masih diperingkat tawaquf bagi saya.
6. Kajian literasi silang oleh Penulis menemukan beberapa fakta penting yang telahpun ditinggalkan oleh ulama terdahulu hingga kini seperti Fatwa Rasmi Negeri Johor 1948 oleh Syed Alawi Tahir Al Hadad, pendapat Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam Lajnah Fatwa Syabakah Islamiyah, keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM, keputusan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan ESQ 165 pada tahun 2010 dan Seminar Metamorphosis tahun 2019. Semuanya adalah saling berkait.
7. Mengetahui pendedahan yang tidak popular dikalangan pengamal pseudosains dan spiritualis moden, Penulis tidak lupa untuk menjawab semua persoalan viva dalam bab 6 “Kritikan Pengislamisasian New Age”. Bab ini adalah pelengkap kepada pemikiran ter”sesat” untuk mencari jalan pulang.
8. Sungguh saya mengkategorikan Ter-sesat dalam buku yang agak berat dari segi konten dan pemahaman, namun susun atur percetakan amat membantu pembacaan, terutama dari segi font dan spacing, sesuai pada tahap umur pembaca dewasa dengan pemikiran kritis. Grafik yang sederhana bagi saya tidak mencacatkan nilai keilmuan sesuai dengan harga mampu milik. Namun jika dicetak semula, grafik berwarna akan menarik sasaran pembaca santai dan generasi baru yang lebih visualistik.
9. Diharapkan lebih banyak buku menerangkan perkara yang samar-samar (grey area) kemudian dilabel amalan Islamik tanpa nas yang kukuh. Ter-sesat adalah contoh yang baik dan Penulis telah menerbitkan sebuah lagi buku bertajuk “60 Agama Baru di Malaysia”.
10 Penting untuk memahami isu ini adalah pemimpin masyarakat, asatizah, pakar motivasi, ibu bapa dan masyarakat awam. Laburkanlah sedikit belanja, fikiran dan masa yang berkualiti untuk ilmu kerana kata Imam Shafie:
“Barangsiapa yang tidak mampu menahan lelahnya belajar maka ia harus bersedia menahan peritnya kebodohan” ..dan dibodohkan(tambahan).
Abu Razeen.
Pengamal Mediasi

No comments:

Post a Comment