Buku: PANDUAN IKHTIAR HIDUP (siri
1 Jilid1)
Penulis: PENDEKAR RIMBA
Penerbit:
Karya Belantara Ent.
Pencetak: Firdaus Press Sdn Bhd.
Mukasurat: 170.
1. Jika ada peminat Ed Stafford, Bear Gryill atau siri realiti Alone dalam History Channel pasti anda teringin untuk menjadi wira survival seperti mereka. Bagaimana tubuh tulang empat kerat berjaya hidup dalam suasana ekstrim dan merbahaya, mungkinkah kita dapat mengharunginya? Buku “Panduan Ikhtiar Hidup” (PIH) ada jawapan untuk anda.
2. Tidak banyak buku taktikal seumpamanya dalam pasaran. Buku yang ringkas, padat namun berinformatif sangat didambakan peminat aktiviti belantara. Selain untuk mereka yang baru berjinak (nube) dengan hobi menyihatkan ini, buku PIH juga wajar dimiliki oleh aktivis, gogo atau guider sebagai senarai semak sebelum memulakan misi atau mungkin bagi yang bercita cita untuk menjadi jurulatih ikhtiar hidup.
3. Pengalaman lebih dua puluh tahun dalam Kor Grup Gerak Khas ATM (Komando), juga sebagai jurulatih survival telah dicurahkan Penulis ke dalam buku ini. Ramai veteran yang berpengalaman, namun tidak ramai yang mencurahkan ilmu ke khalayak umum. Lebih-lebih yang sudi menulis bagi manfaat penggemar aktiviti lasak begini.
4. Penulis adalah Tuan Mohd Sofian atau lebih dikenali sebagai “Pendekar Rimba”. Bagaimana menggambarkan Penulis? Biarlah imej beliau bersama Gagung, Lelanjang bertakhta kenyalang serta duku ilang berhulu talwar dimuka depan bukunya berbicara.
5. Bagi yang pernah terlibat dengan kem survival kendalian Penulis, pasti kebanyakan teori dan tips dalam buku ini telahpun dipelajari. Namun semasa kursus manakan sempat mahu menulis atau diingat semuanya. Jadi buku ini telah lama menjadi permintaan murid beliau, kini segala ilmu di lapangan boleh diulangkaji dan dimiliki pula dalam pasaran.
6. Penulis yang tidak lokek dengan ilmu, ternyata bermurah hati membawakan berbagai akronim bagi menyenangkan ingatan pembaca dengan teori disiplin hutan. Suku pertama isi buku, anda akan berjumpa H3, KSU, TTD, 5B, ATAP hingga akhirnya ke ejaan nama Penulis semuanya mempunyai maksud tersendiri. Usaha ini untuk memastikan tiada tips yang tertinggal apabila tiba waktu praktikaliti. Ingatkan habis sekolah sudah tidak perlu guna teknik begini.
7. Terlalu banyak yang ingin diperturunkan kepada pembaca menjadikan buku ini sangat sarat dengan pengetahuan. Gigihnya Penulis melakar peta minda, menyimpul nota malah menyusun peralatan survival hingga membentuk abjad serta angka hanya untuk pembaca senang ingat adalah satu bonus yang sangat dihargai.
8. Seawal Jilid 1, pembaca diajar untuk mengenal jenis hutan, membaca peta, hinggalah mencerap bintang, Paling berharga bagi saya adalah Bab 2.6 Tindakan Bila Tersesat atau Tersasar. Masa inilah kegunaan segala jenis akronim diawal buku tampak kegunaannya. Perasaan kaget, panik dan tenggelam punca, lazim menyerang bila seseorang sedar dia telah sesat dalam hutan. Bagi yang ada pengalaman sesat atau hampir sesat mungkin lebih menjiwai bab ini dari pembaca lain.
9. Meskipun buku ini nampak sangat teknikal dan berkanvas “celoreng”, namun aspek kejiwaan tetap tidak ditinggalkan, contohnya dalam hukum asas TTD (Tekad Teras Diri). Kekuatan jiwa dan kepercayaan kepada diri sendiri yang digabungkan dengan Pasak Kerohanian (Spiritual Anchor) bagi Penulis adalah formula berkesan untuk mengatasi cabaran bukan sahaja dalam hutan tapi dimana sahaja kita diuji.
10. Tidak rugi untuk memiliki PIH Siri 1 Jilid 1 serta jilid yang akan menyusul selepas ini. Nyawa dan nasib seseorang mungkin akan bergantung kepada anda suatu hari nanti. Tanpa ilmu kita mungkin membahayakan diri sendiri serta orang lain. Jadilah trekker, pendaki, perintis, guider, gogo mahupun sweeper yang berilmu pengetahuan, kerana hidup terlalu berharga untuk disia-siakan.
11. Dengan idea buku yang kompak, ringkas tetapi padat dengan teori dan falsafah kehutanan, buku PIH mempunyai kelas yang tersendiri jika mahu dibandingkan dengan buku seumpamanya. Pastinya terbitan jilid 2 ditunggu-tunggu, semoga lebih banyak pengetahuan dapat disebarkan.
Abu Razeen
Alumni Basic Survival Hammock By The River oleh Pendekar Rimba
No comments:
Post a Comment