Say: Though the sea became ink for the Words of my Lord, verily the sea would be used up before the Words of
my Lord were exhausted, even though We brought the like thereof to help. Say: I am only a mortal like you. My Lord inspireth in me that your God is only One God. And whoever hopeth for the meeting with his Lord, let him do righteous work, and make none sharer of the worship due unto his Lord. [Cave Dwellers]
Monday, July 22, 2024
PENGARATAN DAN KAKISAN BILAH KERIS SERTA PENJAGAAN
Disclaimer: Teori dan video ini berdasarkan pendampingan dengan guru, pembacaan dan amalan sendiri, Ini bukanlah cara yang paling betul mahupun paling asli namun jika salah mohon diperbetulkan dan teknik sebenar dikongsikan supaya manfaat berpanjangan.
1. KERIS: PENGENALAN RINGKAS
1.1 Sebelum memulakan pembersihan keris, awal Bismillah kena kenal aset terlebih dahulu. Sama ada bilah berluk atau tanpa luk (pandai saras) teknik pencuciannya sama sahaja. Di bawah adalah dua bentuk yang akan digunakan dalam demonstrasi seterusnya:
1.a Keris Madura
Berhulu Madura manakala bilah naga sastro berasal dari ranah seberang. Hulu ukiran motif flora juga dikenali dengan hulu donoriko, jarang dilengkapkan dengan pendongkok dan hanya menggunakan sebentuk cincin logam dihiasi berlian. Ini adalah keris baharu bilah Lok 11 boleh dibawa berperang digunakan insyaAllah.
1.b Keris Tajung
'Keris Tajong' Atau 'Keris Pekaka' (Hulu Yang Menyerupai Kepala Burung Raja Udang) Berasal Daripada Pattani, ukiran dihulu Tajong juga disebut Botakala. Bilah adalah bentuk pandai saras tanpa luk, direkabentuk sesuai untuk berperang digunakan juga.
1.2 Saya lebih suka bilah baharu dari guna yang lama, sebab kita tidak tahu asal usul yang lama. Bilah baharu insyaAllah kitalah pemilik pertama dan tahu asal usulnya. Jadi sepatutnya tiada sebarang masalah.
2. ISU PENGARATAN DAN KAKISAN BILAH
2.1 Besi menerima kakisan berupa karat, faktor kakisan boleh datang dari pelbagai faktor samada angin, haba, substans biologi sarung keris, kimia dari sentuhan tangan, lembapan, kekeringan melampau dan macam macam lagi.
2.2 Jestru penjagaan besi yang menerima tempaan dan campuran adalah perlu bagi memanjangkan hayat. Paling biasa adalah karat akibat tindakbalas karbon, oksigen dan kimia lain.
2.3 Ada juga anggap keris berkarat sebab dulu sudah pernah kena darah, sebagai makluman, kalau tak kena darah pun bilah keris tetap akan berkarat. Wallahua'lam.
2.4 Sebab itu keris kena dibersihkan dan dirawat sebab harganya mahal dan bukan sebab misteri ada jin penunggu bagai semata-mata.
3. CABUT HULU MULAKAN MANDIAN
3.1 Kenapa hulu keris tidak lekat kuat pada bilah?, kerana banyak tujuan, antaranya bagi tujuan tanggal bagi basuhan, boleh tukar hulu dengan bilah ikut kesesuaian, mudah dipusing ikut kehadiran ke acara tertentu, pergi istana misalnya.
3.2 Kebanyakan keris adakala disimpan di rumah dan ada masa diguna bawa perang. Bila dirumah mungkin hulunya lebih kepada ornamen berseni buat untuk hadir upacara istana, hari kebesaran, hadir kenduri kendara, atau sahaja dibuat teman bawa berjalan.
3.3 Sebaliknya jika tiba waktu perang, hulu yang cantik berseni akan ditanggal dan digantikan dengan hulu yang memang direka untuk berperang, biasanya tidaklah seindah hulu istiadat, kerana hulu perang lebih kepada cengkaman dan fleksibiliti di tapak tangan. Wallahua'lam.
4. RENDAMAN DAN PELANGGIRAN LIMAU
4.1 Limau mempunyai kuasa asid yang kuat, boleh digunakan untuk menanggalkan kotoran terutamanya karat pada bilah.
4.2 Perlu diingat pada bilah yang ditempa akan mempunyai liang pori halus tersimpan udara, disinilah bermulanya pengaratan walaupun pada asasnya tidak tersentuh dengan air atau mana mana unsur biologi.
4.3 Ada orang kata, limau tu akan menambahkan biasa kepada bilah keris, mungkin logik juga, tapi penggunaan limau tujuan utamanya memisahkan agen pengaratan yang membinasakan bilah.
4.4 Buktinya banyak sabun basuh pinggan gunakan asas limau, tapi kita makan pinggan yang dibasuk tersebut tidak pula terkena bisa limau?. Wallahuaklam
4.5 Tapi limau kalau picit atas luka, bisanya boleh bawa orang direct ke langit tujuh.
5. TEKNIK SAPUAN DAN TUJU MATA
5.1 Perlu dipastikan langgiran limau diarahkan ke hujung mata keris, tidak depan patah balik depan patah balik. Ini bertujuan memelihara bilah agar bersifat tajam meskipun keris tidak diasah seperti parang atau belati.
5.2 Keris semasa ditempat memang dibuat tajam dan kasar, tetapi bukanlah tajam seperti besi SUP, besi stainless steel, besi spring atau besi rail. Secara teori menjaga keris agak mudah sebab tidak perlu diasah, tetapi penjagaan logam itu sahajalah perlu diberi perhatian.
6. MENGGOSOK BILAH
6.1 Oleh kerana bilah terhasil dari tempaan logam yang pelbagai yang ada kalanya formasi karbon berbeza ketumpatan, maka liang atau pori disepanjang bilah boleh terhasil dan sulit untuk dicuci.
6.2 Maka orang dahulu gunakan akar sintok atau sabut, tapi kini kita boleh guna berus gigi, tak kisah yang baru atau terpakai, cuma kena tonyoh lembut lembut, jangan terlalu kuat nanti nipis pula kerisnya.
6.3 Jangan gunakan berus plastik lebih lagi lagi berus dawai tak kisahlah jenis cuci periuk atau yang dawai tebal, bimbang ia akan binasakan unsur pamor jika wujud pada bilah, lagipun hormatlah sikit.
6.4 Pun jika mampu beruslah ia mengarah ke hujung mata bilah. Wallahuaklam
7 BILAS DAN SAPUAN
7.1 Setelah selesai rendaman, langgiran dan berus menyingkir unsur karat dan kotoran pada bilah, maka jangan terus keringkan masuk dalam sarung balik.
7.2 Meskipun limau bagus untuk penyingkiran kotoran pada besi, tetapi sekiranya tertinggal limau yang kaya dengan unsur asid pada celahan keris, kelak unsur besi keris pula dihakisnya.
7.3 Jadi baik dibilas dengan air, cuma air tu sebaiknya bukan air paip, sebab air paip telah ada campuran klorin, pakailah air yang tak ada unsur asing dalamnya.
7.4 Dulu orang pakai air sungai, air perigi, air hujan pun elok ditapa dahulu takut air hujan ni turun dari langit dan bercampur dengan segala macam asap dan kotoran terapung, jadi ambillah bahagian atas air untuk dibuat bilas.
7.5 Air mineral mungkin paling sesuai buat masa ini. Wallahuaklam
8. PERASAPAN KERIS
8.1 Setelah di bilas dan sapu, pastikan karat sudah hilang, jika masih ada ulang balik proses teknik pemberusan mesra sampai tidak nampak zahir karat pada bilah.
8.2 Sungguhpun keris dibawa berperang digilir lasak kehulu kehilir, bermandi darah dan terpacak kat mana-mana, tapi hakikatnya bilah keris adalah sangat manja dan sensitif. Itulah hakikat manusia, nampak macam kuat pada zahir, namun batin rohaninya adalah lemah disisi Allah.
8.3 Jadi selepas pengelapan dengan kain atau tuala, sebenarnya masih ada kelembapan yang singgah dalam lubang pori bilah yang mana jika tidak ditangani akan membinasakan bilah secara perlahan.
8.4 Tugas pengasapan hanyalah untuk memberikan kehangatan dan mengingkir lembapan, namun proses ini kadang disalahertikan umpama memberi pengisian jin jembalang penjaga pada keris.
8.5 Namun proses ini hanyalah untuk pengeringan semata, sebab keris orang tak jemur bawah matahari, bimbang riak menunjuk kepada orang lain, takpun nanti kena curi. Kehangatan melampau juga mampu bengkokkan bilah.
8.6 Keris juga tidak disalai di tungku dapur itu biadap namanya. Ada juga pakai hair dryer, itu bolehlah namun bimbang kehangatan melampau akan membinasakan.
8.7 Jadi balik kepada proses tradisional teknik pengasapan. Dulu orang guna kemenyan, sebab mudah didapati, cuma kalau dibakar kemenyan dalam rumah bimbang memberi tohmahan kerana kemenyan banyak dikaitkan dengan kematian dan alam mistik.
8.8 Sebab asap kemenyan sering dikaitkan dengan makanan jin pendamping, jadi sebagai alternatif saya guna bukhur sebab baunya wangi dan tiada tohmahan, rasa macam duduk majlis maulid yahanana pulak rasanya.
9 SAPUAN MINYAK BAKAWALI
9.1 Selepas memastikan tiada lembapan tinggal pada bilah, maka boleh mula minyakkan supaya tiada lembapan luar boleh singgah. Unsur air dan minyak tidak bersatu, jadi jika ada lembapan pada hulu maka ia tidak menjejaskan bilah yang diminyak.
9.2 Satu lagi ia membolehkan unsur karbon dalam bilah terpelihara, cuma pastikan minyak tiada unsur kimia yang menghakis. Sebab itu orang dahulu gunakan minyak Bakawali yang dibuat sendiri.
9.3 Jestru ia bukan minyak biasa, namun moden ini kita boleh gunakan minyak mesin jahit seperti "Singer", cuma belum pernah dengar orang guna minyak enjin atau minyak gear.
9.4 Boleh gunakan minyak atar biasa, cuma kita tidak dapat pastikan unsur kimia pada nya sama ada bersifat korosiv (corrosive) kakisan atau sebaliknya.
9.5 Jadi jika jumpa orang jual minyak bakawali atau minyak keris beli sahajalah dan sapu pada bilah sebelum dimasukkan kembali kepada sarung.
9.6 Akhir sekali kalau tiada minyak lain, minyak masak pun bolehla sebab parang yang diminyakkan tidak akan berkarat. Wallahua'lam.
10. BILAH KEMBALI KE HULU
10.1 Lanjutan dari operasi peminyakan, arah sapuan turut sama macam pelanggiran dan pemberusan. Halakan ke arah mata.
10.2 Setelah berpuas hati dengan pemandian sehingga tanggal karat dan noda pada bilah, pasangkan kembali pakaian bilah berupa hulu dan ketatkan ia dengan sendal kain atau benang.
10.3 Walau ketat bagaimana sekalipun pastikan hulu boleh dipusing sebab itu sifat dia. Semoga bermunafaat.
Disclaimer: upacara pemandian keris hanyalah untuk memelihara keaslian dan tahan lama, tiada membabitkan mantera mistik dan pemasukan makhluk halus sebagai pengisi. Jika berlaku sedemikian ia adalah usaha dan niat kita juga. Tiada yang berkuasa melainkan Allah.
No comments:
Post a Comment