Saturday, August 8, 2020

UNTAIAN TASBIH Us Nazrul

 UNTAIAN TASBIH 

Credit FB Ustaz Nasrul

Penggunaan untai tasbih adalah merupakan sunnah para Auliya' dan Solihin. Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu adalah di antara Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang turut menggunakan tasbih sebagai alat untuk berzikir. 


Al-Imam As-Sahili rahimahullah yang  telah menggunakan untai tasbih dalam wirid beliau bagi menjaganya daripada tersalah dalam kiraan wirid dan zikirnya.

Sebahagian Ulama mengatakan bahawa : 

[[ لو أمكننا التسبيح بالجبال لفعلنا ]] 

Maksudnya : Jika mampu bagi kami untuk bertasbih menggunakan bukit atau gunung maka kami akan lakukannya .

(( MENGGANTUNGKAN  TASBIH DI TENGKUK )) 

Al-Imam Abdul Wahhab as-Sya'rani rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Minan al-Kubro bahawa beliau pernah terpijak tasbih lalu terbit perasaan bersalah di dalam benak hatinya sehingga beliau merasakan seakan-akan beliau akan hancur. Disebabkan itu beliau mengatakan bahawa meletakkan dan menggantungkan tasbih di tengkuk itu lebih hampir kepada adab, penjagaan dan penghormatan terhadap alat yang digunakan untuk mengingati Allah taala dan Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Menggantungkan tasbih di tengkuk juga melatih diri agar sentiasa merendah diri dan mengekang nafsu yang sentiasa inginkan ketinggian dan pujian. 

Ini kerana pada tasbih itu ada dua jalan : Jalan Peringatan dan Jalan Kemegahan.

Ada yang menjadikan tasbih sebagai alat untuknya mengingati Allah taala dan Baginda sallallahu alaihi wasallam. 

Ada juga yang menjadikan tasbih sebagai alat untuk mencari kemegahan dan pujian manusia.

Al-Qadhi Iyadh al-Yahsubi rahimahullah telah menyebut di dalam al-Madarik

bahawa sebahagian ulama menyebut setiap kali mereka datang bertemu dengan al-Imam Suhnun al-Maliki rahimahullah maka mereka mendapati ditengkuknya digantung tasbih yang beliau gunakan.

Al-Imam Abu Muhammad Soleh rahimahullah juga dilihat sentiasa mengantungkan tasbih ditengkuknya.

Para Ulama mengqiaskan perbuatan menggantung tasbih ditengkuk setelah menggunakannya adalah seperti seseorang yang menggantungkan pedang di bahu dan tengkuknya setelah berjihad. 

Jika alat jihad melawan musuh zahir seperti pedang dan busur panah digantung di tengkuk dan bahu setelah menggunakannya , maka alat jihad melawan musuh batin yang lebih berbahaya iaitu nafsu syahwat lebih utama untuk digantungkan. 

Maka perbuatan mengantungkan tasbih setelah menggunakannya tidaklah dilarang.

Tasbih tidak sama dengan rantai perhiasan yang digantungkan ditengkuk.

Tasbih alat untuk berzikir, rantai alat perhiasan semata.

Bertanyalah jangan sombong. Belajarlah jangan lagak.

Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari,

Zawiyah Nasiriyyah .

No comments:

Post a Comment