1. Kepelbagaian etnik dan budaya adalah keunikan Malaysia
yang tidak terdapat di mana-mana negara. Meraikan kepelbagaian ini adalah
simbol perpaduan yang diikat dengan taraf kewarganegaraan Malaysia. Sebarang
usaha untuk menyuburkan perpaduan ini wajar disokong selagimana ia tidak
membatasi hukum syara’ bagi orang Islam.
2. Kenapa perlu meletakkan syarat batasan hukum syara
bagi umat Islam?. Ini adalah kerana batasan ini datangnya dari Rasul SAW,
sumber perundangan dalam kehidupan bagi orang Islam dimana jua mereka berada.
Memandangkan konteks isu pesta ponggal dibincangkan dalam kerangka negara
Malaysia, maka perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sepatutnya diberikan
perhatian.
“3. Ugama bagi Persekutuan
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi
ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian
Persekutuan.”
Jadi, Islam adalah agama yang dominan dalam apajua
acara yang melibatkan kenegaraan, bukan sekadar doa dan pemakaian songkok sahaja,
tetapi juga dalam dasar kenegaraan, dasar undang-undang, dasar pendidikan,
dasar luar negara.
3. Apa kaitannya Perkara 3 dengan isu larangan mengajar pelajar Islam
memasak ponggal?. Ini kerana, ponggal
yang diamalkan oleh masyarakat India yang beragama Hindu dikhuatiri mempunyai
ciri-ciri sembahan. Maksud saya sembahan selain dari Allah. Jika benar ia
adalah upacara keagamaan, maka ia wajar dihadkan kepada guru dan pelajar
beragama Hindu sahaja tanpa dilebarluaskan kepada pelajar Islam yang lain. Sekatan
penyebaran agama lain kepada orang Islam ada undang-undangnya, saya akan
nyatakan di pertengahan artikel ini.
4. Oleh kerana Islam agama dominan, maka dakyah agama
lain terhadap penganut Islam adalah merupakan pencabulan sebahagian dari maksud
Perkara 3 perlembagaan persekutuan. Oleh yang demikian, penting untuk difahami
samada ponggal ini adakah rutin keagamaan atau adat sahaja. Jika sekadar adat
semata-mata tiada masalah.
Secara amnya, untuk masyarakat awam Malaysia, ponggal
difahami sebagai perayaan Hindu, dimana pengamal Hindu akan memasak nasi dan
susu dalam tembikar sehingga masak melimpah ruah. Itu sahaja, mungkin
penerangan yang diberi ‘ponggal’ hanyalah adat atau budaya dari India dan tiada
salahnya dengan memasak nasi dalam tembikar. Sesiapapun boleh buat.
5. Tetapi sebarang amalan khusus yang berasal dari agama atau
adat lain, sewajarnya diperhalusi terlebih dahulu, sebab kita tidak mahu
melanggar batasan hukum syara’. Antara yang telah jelas, adalah permainan naga atau
singa sewaktu raya cina, makan yee sang, makan besar, selagimana halal penyediaannya
maka hukumnya adalah harus. Tetapi membakar colok, tunduk atau ruku’ depan
colok itu jelas haram.
6. Terdapat
pelbagai tafsiran tentang maksud pesta ponggal, boleh sahaja tafsiran ini
dibuat secara totok ikut tujuan pengucapnya. Ada tafsiran dari segi bahasa,
istilah, tempat dan kegunaan. Jadi untuk keadilan saya akan nyatakan pecahan
tafsiran tentang ponggal:
1a)Ponggal adalah ritual keagamaan atau
2b)Ponggal adalah ritual bukan keagamaan
6.1. Ponggal adalah ritual keagamaan. Memetik artikel
laman web www.thehindu.com terjemahan
English dari laman web agama Hindu:
“Ponggal adalah perayaan menuai, Bagi Tamil ia
merupakan ekspresi kesyukuran.
Ia diadakan untuk memuliakan matahari, kerana memungkinkan
tuaian hasil tanaman. Keluarga berkumpul untuk merayakan dan berkongsi
kegembiraan bersama-sama. Matahari di persembahkan dengan beras dan susu.
……
Apabila ponggal telah siap dimasak, ‘Padayal’ (persembahan)
terlebih dahulu disediakan. Kemudian ponggal di kongsikan bersama rakan dan
keluarga diikuti dengan meditasi dan doa.
https://www.thehindu.com/todays-paper/tp-national/tp-tamilnadu/Meaning-of-lsquoThai-Pongalrsquo/article15143399.ece
pada 31/1/2019
Untuk carian laman web tempatan Ponggal turut
ditafsirkan sebagai
Ponggal ialah nama sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis
yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan
minyak sapi. Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembah kepada Dewa
Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan
kenalan.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/14/8-perkara-mengenai-perayaan-ponggal-yang-anda-kena-tahu/
pada 31/1/2019
6.2. Ponggal adalah ritual bukan keagamaan;
Ini kerana terdapat muslim di negara Kerala India, Sri Lanka
malah di Malaysia turut merayakannya. Contoh paling besar apabila pemimpin
nombor satu negara turut merayakannya. Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi menghadiri “Pesta Ponggal Bukit Bintang” di Jalan Masjid India, Kuala
Lumpur pada 19 Januari 2008. dan pada 13 Januari 2013, Datuk Seri Najib Razak menghadiri
“Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana,
Klang.
7. Sepertimana umat Islam, Hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha adalah perayaan bagi membesarkan Allah, inilah yang dinamakan syiar,
seperti solat hari raya, bertakbir untuk Aidilfitri dan korban untuk Aidiladha.
Ia khusus untuk umat Islam, orang bukan Islam boleh merayakan juga sebab kita
tidak berkuasa untuk menyekat mereka nak pakai baju melayu, kurung, pasang
pelita, makan ketupat dodol dan apa sahaja yang layak dikatakan sebagai budaya.
8. Begitu juga dengan penganut Hindu, mereka merayakan
Ponggal untuk menunjukkan rasa kesyukuran atas penghasilan tanaman yang baik. Hasil
dari ponggal tersebut. Ia disembahkan kepada tuhannya dengan beras dan susu. Sembahan
ini dinamakan ‘Padayal’.
9. Mungkin ada yang akan berkata, penganjuran pesta
punggal di Malaysia boleh dirayakan oleh orang Islam, sebab ia adalah budaya
sahaja, lagipun ada pendapat mengatakan ponggal itu bukan ritual agama.
10. Kembali kepada konteks Malaysia yang membenarkan
amalan agama selain Islam, maka untuk keharmonian peringkat kepimpinan mungkin
ada excuse, pemimpin seperti Perdana Menteri seperti Pak Lah atau Datuk Seri
najib boleh hadir untuk kemaslahatan perpaduan. Lagipun antara ciri-ciri
pemimpin adalah matang, cerdik, tahu perbezaan dan bijaksana, maka ia dapat
membezakan manakah adat manakah agama.
11. Ya, saya setuju pemimpin hadir kemajlis pesta ponggal,
untuk berkongsi kegembiraan. Bukan gembira dengan mengadakan persembahan kepada
matahari atau ‘padayal’, tetapi sekadar menghormati hak penganut Hindu
merayakan kepercayaannya.
12. Namun dalam konteks sekolah, dimana anak-anak orang
Islam masih lagi, naif, akidah yang masih lemah, tidak tahu perbezaan dan tidak
cerdik terutama perkara membabitkan kepercayaan, Maka perkara ini patut
dielakkan.
13. Sebenarnya terdapat undang-undang yang menyekat dakyah
kepada orang Islam yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan
Islam, tetapi tidak semua negeri ada undang-undang ini. Merujuk kepada Seksyen
5, Bahagian II (Kesalahan) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan
Islam 1988 Selangor, menyatakan:
Seksyen 5. Kesalahan mendedahkan orang Islam berumur di bawah
lapan belas tahun kepada pengaruh agama bukan Islam.
(1)
Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk,
mempengaruhi, menghasut, menggalakkan, atau membiarkan mana-mana orang lain di
bawah umur lapan belas tahun yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam
bidang agama bukan Islam, atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan
menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau apa-apa aktiviti yang
dianjurkan atau dikelolakan oleh atau yang dijalankan untuk faedah suatu agama
bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang bertalian dengan suatu agama
bukan Islam.
14. Pihak sekolah wajar memberi pelepasan kepada guru
beragama hindu untuk bersama murid-murid beragama hindu merayakan pesta
punggal. Untuk tujuan pendidikan, boleh juga dijalankan dengan kawalan guru dan
penjelasan oleh guru agama. Tanpa penglibatan dan aktiviti khusus kepada anak
orang Islam seperti memasak, melukis kollum (dibaca ‘kolam’)
15. Akhir sekali, jika tulisan ini hanyalah cebisan
pendapat sahaja, maka tuan-puan perlu melihat kepada tulisan Mufti Wilayah
Persekutuan tentang “Muslim menyertai Pesta Ponggal”
http://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal
No comments:
Post a Comment