DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH LONDON
DI NEGERI ENGLAND
SAMAN NO.: 2348957239597
ANTARA
AMINAH BINTI
ABDUL MAJID
(NO. K/P: 2029340234520845) …PLAINTIF
DENGAN
MOHD BIN AWANG
(NO. K/P: 94937457952325) …DEFENDAN
HUJJAH PENGGULUNGAN BERTULIS DEFENDAN
PENDAHULUAN
1.
Kes ini merupakan tuntutan mutaah
dan nafkah eddah Plaintif yang difailkan pada 23/01/2013 di Mahkamah Rendah
Syariah London. Defendan telah menerima saman dan berwakalah dengan Puan Mukminah
Binti Rokan dari Tetuan Rompin pada 21/03/2013 bagi mewakili Defendan dalam
pembelaan tuntutan mutaah dan nafkah eddah Plaintif. Plaintif mengemukakan
tuntutan mutaah berdasarkan seksyen 58 dan nafkah eddah dibawah Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 (selepas ini disebut sebagai
‘Enakmen 17/2003 tersebut’).
2.
Pihak Defendan telah memfailkan Pembelaan pada
11/04/2013 manakala peguam Plaintif memfailkan Jawapan Kepada Pembelaan pada
15/05/2013. Perintah yang dipohon oleh Plaintif seperti dalam pernyataan
tuntutan bertarkh 18/01/2013 dinyatakan seperti berikut:
i.
Bahawa
Defendan difardukan untuk membayar Muta’ah sebanyak RM65,000.00 (Ringgit
Malaysia Enam Puluh Lima Ribu Sahaja) berdasarkan Seksyen 58 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam negeri Johor 2003;
ii.
Plaintif
juga menuntut nafkah eddah sebanyak RM2,000.00 dan sepanjang tempoh eddah
berjumlah RM6,000.00 dan
iii.
Lain-lain
relif yang difikirkan patut dan suaimanfaat oleh mahkamah yang Mulia ini
3.
Perbicaraan dimulakan dengan
keterangan Plaintif pada 23/01/2014, Saksi Pertama Plaintif Wak Kentot
merupakan adik Plaintif memberi keterangan pada 05/06/2015 (selepas ini
dikenali sebagai SP-1). Manakala Saksi Plaintif ke 2 bernama Wak Kiman juga
merupakan adik Plaintif memberi keterangan pada 28/07/2015 (selepas ini
dikenali sebagai SP-2).
4.
Pada 03/11/2015 Defendan memberi
keterangan diikuti Saksi Defendan Pertama bernama Pak Atan merupakan rakan
Defendan (selepas ini dikenali sebagai SD-1) memberi keterangan pada
25/02/2016. Pada 17/03/2016 Zawiyah merupakan isteri Defendan hadir memberi
keterangan. (selepas ini dikenali sebagai SD-2) mahkamah seterusnya menetapkan
13/12/2016 untuk keputusan.
5.
Dalam kes ini, Mahkamah perlu
memutuskan beberapa isu, iaitu:-
ISU PERTAMA-
ADAKAH PLAINTIF LAYAK MENDAPAT MUTA’AH?
Isu ini
diikuti dengan 6 fakta persoalan:
i.
Persoalan adakah
perceraian berpunca oleh Defendan semata-mata?
ii.
Persoalan
adakah nafkah diberikan semasa dalam tempoh perkahwinan?
iii.
Persoalan
adakah Defendan mencuba untuk memperbaiki kehidupan?
iv.
Persoalan
adakah sumbangan Plaintif dalam rumahtangga?
v.
Persoalan
adakah relevan mutaah berjumlah RM65,000.00 untuk Plaintif?
vi.
Persoalan
apakah status Plaintif layak mendapat mutaah berjumlah RM65,000.00?
ISU KEDUA- ADAKAH DEFENDAN MAMPU MEMBAYAR JUMLAH TUNTUTAN?
Isu ini
diikuti dengan 2 fakta persoalan:
i.
Persoalan
apakah pekerjaan Defendan terkini?
ii.
Persoalan
apakah tanggungan Defendan terhadap pihak lain?
ISU PERTAMA-
ADAKAH PLAINTIF LAYAK MENDAPAT MUTA’AH?
6.
Dalam
dakwaan Plaintif, Plaintif adalah seorang isteri yang baik, taatkan suami,
mencurahkan kasih sayang kepada Defendan dan bertolak ansur dalam rumahtangga. Plaintif
mendakwa perceraian adalah berpunca dari Defendan semata-mata. Defendan
dikatakan tidak memberi nafkah disepanjang perkahwinan malah Defendan tidak
berusaha untuk memperbaiki kehidupan. Plaintif juga mendakwa membuat sumbangan
yang besar dalam ekonomi rumahtangga sehingga melayakkan tuntutan mutaah
sebanyak RM65,000.00 dan nafkah eddah sebanyak RM6,000.00 disepanjang tempoh
eddah.
7.
Defendan menafikan
dakwaan Plaintif, sebaliknya menyatakan bahawa Plaintif yang telah tidak
melaksanakan tanggungjawab melayan Defendan dengan baik seperti didakwa.
Plaintif tidak membasuh baju dan memasak yang merupakan tugas biasa seorang
isteri kebanyakan seperti orang lain. Plaintif menghantar kain ke kedai dobi
dan makan di kedai, sedangkan ekonomi keluarga dan nafkah Plaintif boleh
disempurnakan sekiranya kerja harian dibuat sendiri tanpa perlu mengeluarkan
wang kepada pihak lain.
8.
Plaintif
juga pernah mengugut Defendan dengan menggunakan peralatan tajam yang mana ia
bukanlah ciri-ciri isteri yang baik. Plaintif mengakuinya dalam Jawapan Kepada
Pembelaan. Defendan juga mendakwa Plaintif pernah berjumpa bomoh untuk
menundukkan Defendan. Perkara ini telah disaksikan melalui keterangan SD-1 pada
25/02/2016. SD-1 sendiri mengaku terlibat membawa Plaintif bertemu bomoh di
Kampung Orang Asli Winchester. Manakala dakwaan lain ditolak oleh Defendan
melalui fakta persoalan disepanjang perbicaraan yang akan dinyatakan secara
topik dibawah.
PERSOALAN
ADAKAH PERCERAIAN BERPUNCA OLEH DEFENDAN SEMATA-MATA?
1.
Dalam
peruntukan Seksyen 58 Enakmen 17/2003 menyatakan:
“Selain
daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang
perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh
memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh,
selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu
telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah
wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.”
2.
Defendan
menyatakan bahawa Plaintif diceraikan
atas sebab yang patut. Semasa dalam tempoh perkahwinan, Plaintif pernah
mengugut Defendan dengan menggunakan pisau, Plaintif juga pernah mengelar
tangan sendiri sehingga berdarah pada tahun 2010 dan perkara ini pernah diakui
oleh Plaintif semasa keterangan Plaintif pada 23/01/2014. Perkara ini berlaku
setelah Defendan enggan menceraikan bekas isteri yang dikahwini semula oleh
Defendan.
3.
Tindakan
luar kawal Plaintif membuatkan Defendan merasa bimbang dengan keselamatan diri
dan keluar dari rumah. Namun Plaintif masih boleh mencari Defendan di tempat
kerja Defendan. Kejadian kelar tangan sehingga berdarah menjadikan Defendan
fobia.
4.
Rentetan
dari peristiwa paksaan untuk mencerai isteri kedua dan mencederakan diri dan
mungkin akan mencederakan Defendan, maka Defendan
terpaksa menceraikan Plaintif bagi mengelakkan kejadian lebih buruk terjadi
kepada Plaintif atau Defendan.
5.
Isu
perceraian disebabkan Defendan tidak memberi nafkah tidak timbul kerana semasa
keterangan Plaintif, Plaintif mengakui Defendan memiliki kedai makan, malah
Plaintif pernah menjadi juruwang di kedai tersebut. Sekiranya isu nafkah menjadi
punca utama penceraian, nescaya Plaintif akan memfailkan pembubaran perkahwinan
secara fasakh terlebih dahulu.
6.
Defendan
mengemukan otoriti dari Kitab I’aanah al-Talibin Jilid 3 hlm
356 Cetakan Dar al-Fikr yang menjelaskan bahawa:
“ Bayaran Mutaah wajib ke atas
suami yang telah menceraikan isterinya setelah
disetubuhi di mana perceraian itu bukan berpunca
dari perbuatannya (isteri)
seperti murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau isteri”
7.
Selain
Plaintif diceraikan atas sebab yang patut, Defendan menghujahkan bahawa lafaz
cerai yang dibuat pada 16/12/2011 turut berpunca
atas desakan Plaintif dan Defendan pada masa itu bimbang tentang keupayaan
Plaintif bertindak luar kawal. Perceraian berlaku bukan kerana Defendan cuai
nafkah, melakukan perkara keji, lazim menyakiti atau tidak adil poligami. Oleh
yang demikian, tindakan Defendan
menceraikan Plaintif adalah atas sebab yang patut, dan Seksyen 58 Enakmen
17/2003 adalah tidak terpakai kepada Defendan dalam kes ini.
PERSOALAN
ADAKAH NAFKAH DIBERIKAN SEMASA DALAM TEMPOH PERKAHWINAN?
8.
Dalam
keterangan Plaintif bernombor S11, Defendan dikatakan tidak pernah memberikan
nafkah dalam bentuk tunai ataupun dalam bentuk keperluan dapur kepada Plaintif.
Namun Plaintif pada masa yang sama turut mengakui bahawa Plaintif dan anak-anak
makan di kedai makan milik Defendan. Fakta ini tidak pernah dinafikan oleh
Plaintif atau saksi saksi Plaintif.
9.
Defendan menyatakan
bahawa dakwaan Plaintif ini berpunca dari kegagalan Plaintif memahami takrifan
nakfah, nafkah isteri adalah meliputi makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
10.
Jika nafkah
yang tidak mencukupi menjadi isu besar dalam rumahtangga, mengapa Plaintif tidak
memfailkan tuntutan nafkah isteri dan nafkah anak di sepanjang tempoh
perkahwinan?. Sedangkan Plaintif mampu untuk membayar dan melantik peguam dari
Tetuan Asharah & Associates untuk kes pengesahan lafaz cerai dan peguam
tuntutan mutaah dan nafkah eddah dari Tetuan Feeble & Co.
11.
Isu tempat
tinggal disepanjang tempoh perkahwinan telah dibangkitkan oleh Plaintif.
Defendan menjawab, bahawa tempat tinggal di kuarters kerajaan JKR 007, Jalan Kiri,
Winchester adalah atas pilihan Plaintif sendiri, kerana Plaintif menjana
pendapatan di rumah kuarters dengan menumpangkan barang kesenian di rumah
tersebut. Sekiranya Plaintif tinggal di luar kuarters, Plaintif akan hilang
pendapatan tambahan. Defendan akur
dengan permintaan Plaintif untuk tinggal di kuarters, bukan Defendan dengan
sengaja tidak mahu mencari atau menyediakan rumah yang lain.
12.
Oleh yang
demikian Defendan menghujahkan bahawa dakwaan Defendan tidak memberi nafkah
adalah disangkal. Ini kerana berdasarkan pengakuan dan fakta kes, Defendan
telahpun memberi nafkah mengikut kemampuannya berdasarkan hukum syara’.
PERSOALAN
ADAKAH DEFENDAN MENCUBA UNTUK MEMPERBAIKI KEHIDUPAN?
13.
Disepanjang
tempoh perkahwinan, Defendan telah berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk
Plaintif dan anak-anak. Defendan diberhentikan kerja sebagai tukang masak di Karambunai
Golf Resort kemudiannya membuka kedai makan dengan harapan Plaintif dan
anak-anak boleh menjalani kehidupan yang lebih baik.
14.
Defendan
telah berusaha membuat pinjaman dari Tabah Nasional untuk membesarkan
perniagaan kedai makan. Kedai makan tersebut dinamakan “Makan Sampai Kenyang”
bagi memenuhi janji Defendan untuk menyara Plaintif dan anak-anak. Malah
Defendan tidak menafikan Plaintif turut membantu dalam mengusahakan kedai
tersebut. Defendan mempercayai Plaintif untuk duduk di tempat juruwang bagi
mengawal duit keluar masuk. Plaintif boleh sahaja mengambil wang dari cashier
tersebut untuk perbelanjaan diri dan anak-anak.
15.
Defendan
bukan sahaja menyara Plaintif melalui kedai makan, malah pernah menggajikan
adik Defendan benama Wak Kentot yang tampil sebagai SP-1 dalam kes ini. SP-1
mengakui Plaintif duduk dibahagian cashier menguruskan duit keluar masuk.
Defendan menjadi tukang masa dan tidak ambil tahu tentang wang keluar masuk.
PERSOALAN
ADAKAH SUMBANGAN PLAINTIF DALAM RUMAHTANGGA?
16.
Plaintif
mendakwa membuat sumbangan yang besar dalam perolehan sebuah kedai makan yang
diusahakan oleh Defendan. Plaintif juga menyatakan hutang untuk kedai tersebut
dibayar oleh Plaintif sehingga keperluan
Plaintif menjadi tidak cukup dan perlu menanggung hutang Defendan. Malah
Plaintif mendakwa telah mengeluarkan RM25,000.00 disepanjang tempoh
perkahwinan.
17.
Defendan
mengakui Plaintif ada membantu dalam perniagaan kedai makan, namun Defendan
menafikan jumlah yang didakwa sehingga puluhan ribu. Malah Plaintif tidak
membuktikan sebarang transaksi di atas nama Plaintif untuk disumbangkan kepada
Defendan atau kedai Defendan disepanjang perbicaraan.
18.
Semasa
Plaintif memberi keterangan tambahan, Plaintif mendakwa nama Plaintif telah
disenarahitamkan kerana Defendan telah menggunakan nama Plaintif untuk membuat
hutang Tabah Nasional. Namun tiada sebarang bukti dikemukakan atau ditandakan
bagi menyokong dakwaan tersebut. Sekiranya benar nama Plaintif
disenaraihitamkan sepatutnya Plaintif telah kemukakan sewaktu keterangan
Plaintif terdahulu.
19.
Sebaliknya
sumbangan yang didakwa oleh Plaintif sebenarnya adalah ditanggung oleh
Defendan. Defendan telah mengemukakan dokumen secara berjadual seperti berikut:
bil
|
Perkara
|
Penandaan
|
1
|
Notis tuntutan hutang
Tabah Nasional atas nama Defendan bertarikh Julai dan Oktober 2010
|
D-1
|
2
|
Resit pembelian
barang dari Brickfield Resort atas nama Defendan bertarikh
1/11/2010
|
D-2
|
3
|
Resit pembelian
barang restoran dari Eastfield Stainless Steel Trading bertarikh 06/09/2010
menggunakan duit pinjaman Tabah
|
D-3
|
4
|
Resit pembelian
tempat ikan bakar dari Goku Trading Sdn Bhd berharga RM1,200.00 bertarikh
13/10.2010
|
ID-4
|
5
|
Surat perjanjian sewa
kedai antara Makan Sampai Kenyang bertarikh 11/04/2015 ditandatangani oleh
Defendan dan tuan punya kedai.
|
D-5
|
20.
Dokumen
D-1, D-2 dan D-5 mempunyai nama Defendan sebagai pembeli atau penyewa. Manakala
D-3 menamakan Makan Sampai Kenyang sebagai pembeli. Wajar diketahui bahawa Makan
Sampai Kenyang dimiliki oleh Defendan dan ID-4 mempunyai alamat tempat tinggal
Defendan membuktikan transaksi dilakukan oleh Defendan dan bukan orang lain.
Dalam kesemua dokumen yang ditandakan tiada satu pun mempunyai nama Plaintif
dan kesemua dokumen tersebut tidak dipertikaikan oleh Plaintif disepanjang
tempoh perbicaraan.
21.
Oleh yang
demikian Defendan menghujahkan bahawa, sumbangan Plaintif adalah kecil dan
tidak besar seperti yang didakwa sehingga membolehkan Plaintif membuat tuntutan
Mutaah sebanyak RM65,000.00. Sedangkan Defendan turut membuat sumbangan dalam
keluarga dalam tempoh perkahwinan dan dapat dibuktikan secara dokumentar.
- Defendan
juga menghujahkan, Plaintif selaku pihak yang menuntut telah gagal
membuktikan sumbangan secara langsung kerana beban pembuktian menurut
doktrin perundangan Islam adalah ditanggungkan ke atas Plaintif berdasarkan
suatu kaedah fiqh, iaitu:-
‘Keterangan (bukti) terletak di atas bahu Pihak Yang Menuntut (Plaintif), dan sumpah terletak di bahu Pihak Yang Dituntut (Defendan).’
23.
Sebaliknya
Defendan lah yang menanggung implikasi hutang yang dibuat kerana pinjaman
dibuat atas nama Defendan dan bukan Plaintif, jestru dakwaan Plaintif
menanggung hutang Tabah Nasional disebabkan Defendan adalah tidak benar dan
boleh dipatahkan berdasarkan bukti D-1.
PERSOALAN
ADAKAH RELEVAN MUTAAH BERJUMLAH RM65,000.00 UNTUK PLAINTIF?
24.
Plaintif mengemukakan
tuntutan Mutaah sebanyak RM65,000.00 tercatat di dalam pernyataan tuntutan
bertarikh 18/01/2013. Namun Plaintif tidak meletakkan sebarang
asas pertimbangan kepada jumlah setinggi RM65,000.00.
25.
Persoalan
dalam isu ini adakah Defendan gagal menunaikan nafkah isteri kepada Plaintif di
sepanjang perkahwinan? Jika gagal sekalipun adakah sebarang alasan untuk
pengabaian tersebut? Adakah Defendan berhutang kepada Plaintif? Adakah Defendan
pernah berjanji untuk memberikan wang kepada Plaintif dan adakah Plaintif
menderita disepanjang tempoh perkahwinan dengan Defendan?
26.
Selepas
berkahwin Plaintif dan Defendan telah berkongsi kehidupan, makan minum dan
tempat tinggal. Apa yang dimakan oleh Defendan itulah yang diberikan kepada
Plaintif dan anak-anak. Defendan merelakan Plaintif bekerja bagi membantu
ekonomi keluarga. Manakala Defendan telah berkorban untuk tinggal di rumah
Plaintif bagi mengurangkan belanja menyewa rumah. Meskipun sepatutnya Defendan
perlu menyediakan tempat tingal tetapi Defendan
akur untuk tinggal bersama Plaintif di rumah kuarters yang dibayar oleh
Plaintif. Apabila Plaintif enggan untuk meninggalkan kuarters maka
tanggungjawab tempat tinggal telahpun selesai.
27.
Sekiranya
Plaintif berhenti kerja sekalipun, Defendan tetap akan menanggung Plaintif
kerana itu adalah merupakan kewajipan dari segi hukum syarak. Namun sebagai
suami yang memahami keadaan Plaintif, sesuai dengan kelulusan dan pengalaman
bekerja, Defendan tetap memberi kebenaran Plaintif untuk terus bekerja.
28.
Selain dari
memberi nafkah makan dan minum di kedai makan Defendan, Defendan juga pernah
memberi wang sebanyak RM10,000.00
secara
tunai kepada Plaintif dari sumber duit pampasan berhenti kerja di Desaru, Meskipun
fakta ini dizahirkan secara lisan dan tiada bukti untuk menyokongnya, tetapi Plaintif
tidak pula menafikan pemberian ini sewaktu soal balas keatas Defendan.
29.
Berdasarkan
fakta keterangan dari Plaintif, Defendan dan saksi-saksi jelas menunjukkan
bahawa kehidupan perkahwinan kedua-dua pihak adalah pada tahap sederhana.
Meskipun pada tahap sederhana tetapi Defendan masih mampu untuk memberi makan
minum dan berjanji untuk membayar nafkah anak sebanyak RM800.00 sebulan melalui
perintah mahkamah.
30.
Mahkamah
tidak pernah menetapkan sebarang kadar
untuk Defendan memberi nafkah kepada Plaintif setiap bulan sehingga membolehkan
Plaintif menuntut sebanyak RM65,000.00 sebagai saguhati penceraian. Defendan
juga tidak berhutang kepada Plaintif apa-apa, jika ada bantuan daripada
Plaintif sekalipun ia adalah sumbangan ikhlas antara suami isteri dalam
perkahwinan dan ini tidak boleh dianggap sebagai hutang. Defendan juga tidak
pernah berjanji untuk memberi sebarang wang kepada Plaintif kerana isu
kemampuan yang membatasi kewangan Defendan.
31.
Sekiranya
dilihat kepada tempoh perkahwinan yang hanya berusia 6 tahun, maka jumlah
tuntutan adalah tidak munasabah, melainkan jika pihak-pihak telah bersama lebih
dari 20 tahun. Meskipun jumlah tahun perkahwinan bukanlah kayuukur untuk
penentuan jumlah mutaah, namun secara
rasional RM65,000.00 untuk 6 tahun perkahwinan menjadikan RM10,830.00 setahun
bukanlah jumlah gantirugi perkahwinan yang mampu ditanggung oleh Defendan yang hanya
tukang masak di sebuah kedai makan.
32.
Defendan berhujah berdasarkan kes Ida Hidayati bt Taufiq lwn Ahmad Shukri b
Kassim. Dalam kes tersebut tempoh perkahwinan yang diambilkira oleh
Mahkamah adalah empat tahun. Plaintif dalam kes tersebut telah memohon mutaah
dengan kadar 1/3 daripada pendapatan tahunan Responden. Jumlah tuntutan
Plaintif sebanyak RM 144,000.00. Cara pengiraan itu ditolak oleh Mahkamah, bahkan
Mahkamah hanya menetapkan kepada RM 48,000.00 sahaja sebagai mutaah untuk
Plaintif. Namun tidak ada pengiraan yang jelas ditunjukkan oleh Mahkamah
bagaimana jumlah tersebut diperolehi. Namun ia bukanlah perkara yang
menghairankan kerana mutaah bukanlah dihasilkan dengan formula tertentu dan
bukan juga berasaskan formula matematik. Ianya adalah ijtihad yang Arif Hakim
Bicara kerana ia termasuk perkara ijtihadi.Kitab I’anat al-Talibin menyebut
yang maksudnya:
“ Jika keduanya berselisih
tentang kadar mutaah maka hakim perlu menetapkan kadarnya iaitu dengan
ijtihadnya dengan mengambilkira hal kedua-dua nya sewaktu berpisah”.
33.
Oleh yang
demikian Defendan menghujahkan bahawa tuntutan Mutaah sebanyak RM65,000.00
adalah tidak relevan kerana tiada sebarang asas kepada jumlah tersebut.
Manakala Mutaah berjumlah RM6,000.00 disepanjang tempoh eddah juga
dipertikaikan kerana Plaintif masih boleh mengambil wang sewaan di tapak kedai
makan yang ditinggalkan oleh Defendan disepanjang tempoh eddah, manakala tempat
tinggal ia adalah pilihan Plaintif untuk tinggal di kuarters kerajaan yang
ditanggung sendiri. Plaintif tidak pernah meminta disediakan tempat tinggal
disepanjang tempoh eddah.
PERSOALAN APAKAH STATUS PLAINTIF LAYAK
MENDAPAT MUTAAH BERJUMLAH RM65,000.00?
34.
Jumlah yang
dituntut oleh Plaintif adalah satu jumlah yang besar dalam kedudukan ekonomi
masa kini. Penetapan jumlah mutaah turut mengambil kira status Plaintif semasa
perceraian berlaku.
35.
Defendan merujuk kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein
(1980) 3 JH 125, oleh sebab pihak-pihak daripada keluarga yang berada dan
isteri juga merupakan kerabat diraja, jumlah yang diperuntukkan ialah
RM25,200.00.
36.
Manakala dalam kes Tengku Puteri Zainah lwn Dato’ Sri Mohd
Najib (1998) 12 JH 1, Perayu menuntut RM5,000,000.00 sebagai bayaran mutaah
walaupun Responden telah menawarkan sejumlah RM36,000.00 sebagai bayaran
mutaah. Perayu telah meminta Responden menyenaraikan harta alih dan harta tak
alih bagi tujuan pengiraan mutaah. Bagaimanapun, permohonan Perayu telah
ditolak oleh Mahkamah kerana bertentantangan dengan tujuan mutaah itu sendiri.
Untuk tujuan tersebut Mahkamah meletakkan prinsip pengiraan mutaah hendaklah
mengikut kemampuan bekas suami dan kedudukan bekas isteri.
37.
Dibandingkan
dalam kes ini, Plaintif adalah merupakan seorang penjawat awam yang bekerja di
Pejabat Daerah. SP-1 dalam keterangan soal balas pada 30/06/2015 menyatakan tugas
Plaintif adalah sebagai penyelaras kebudayaan. Manakala bapa Plaintif bekerja
sebagai buruh Majlis Daerah. Tiada
sebarang gelaran yang menunjukkan kedudukan status Plaintif atau keluarga
Plaintif yang tinggi dalam masyarakat. Begitu juga dengan Defendan yang
hanya merupakan seorang tukang masak yang tidak berkelulusan tinggi. Malah
perniagaan yang diusahakan hanya setakat cukup memberi makan kepada keluarga
dan pusingan perniagaan. Plaintif dan
Defendan hanyalah orang awam tanpa kedudukan dan pangkat dalam masyarakat, tidak mempunyai pekerjaan yang
berpendapatan tinggi seperti dalam kes Tengku Anum Zaharah atau kes Tengku
Puteri Zainah.
38.
Oleh yang
demikian Defendan menghujahkan bahawa tuntutan sebanyak RM65,000.00 adalah
tidak relevan dengan status kehidupan Plaintif semasa dalam tempoh 6 tahun
perkahwinan ataupun semasa bercerai pada 16/12/2011. Bahkan jumlah tersebut
Defendan sifatkan melampaui status
kedudukan sebenar Plaintif dalam masyarakat. Sehubungan
dengan itu Plaintif merujuk kepada Kitab Mughni al-Muhtaj Jilid 4 hlm.399 yang
menjelaskan bahawa:
“
Maka jika suami isteri berselisih berhubung dengan kadar Mut’ah, Hakim akan
menentukannya mengikut taraf kedua-duanya semasa berlaku perceraian”
39.
Berdasarkan kes duluan dan otoriti yang dikemukakan,
Defendan menghujahkan bahawa jumlah tuntutan Mutaah dan nafkah eddah Plaintif
adalah tidak relevan dan tertolak.
ISU KEDUA- ADAKAH DEFENDAN MAMPU MEMBAYAR JUMLAH TUNTUTAN?
40.
Dalam
perenggan 8 penyataan tuntutan Plaintif, Defendan dikatakan seorang yang mampu
untuk membayar Mutaah sebanyak RM65,000.00 dan Nafkah eddah sebanyak
RM6,000.00. Namun Plaintif tidak membawa sebarang bukti kemampuan Defendan pada
masa material untuk membayar jumlah tuntutan tersebut.
41.
Sebaliknya
Plaintif dan saksi-saksi Plaintif disepanjang keterangan telah berusaha
membuktikan bahawa Defendan adalah seorang yang susah sehingga perlu dibantu
dan perlu berhutang untuk menyara hidup. Merujuk kepada S16 Keterangan Bertulis
Plaintif, Plaintif menyatakan akibat ketidakmampuan Defendan untuk berhutang,
Plaintif terpaksa menggunakan nama Plaintif untuk pinjaman Tabah Nasional.
Defendan membangkitkan 2 persoalan bagi menjawab
isu kemampuan dalam kes ini.
PERSOALAN
APAKAH PEKERJAAN DEFENDAN TERKINI?
42.
Semasa
Plaintif berkahwin dengan Defendan, Defendan bekerja sebagai tukang masak di
Desaru Golf Resort, setelah diberhentikan kerja, Defendan membuka kedai makan
dengan modal pinjaman sebanyak RM30,000.00 dari Tabah Nasional dan juga wang
pampasan setelah diberhentikan kerja. Kedai makan yang dinamakan Makan Sampai Kenyang
adalah sebuah kedai yang disewa dengan kadar sewaan RM450.00 sebulan.
43.
Defendan
mengusahakan kedai tersebut dengan dibantu oleh Plaintif dan turut dibantu oleh
seorang adik Plaintif sebelum Defendan menyerahkan kedai tersebut kepada
Plaintif selama setahun. Kedai diuruskan oleh Plaintif selama setahun,
walaubagaimanapun kedai tersebut gagal beroperasi kerana tiada tukang masak
menyebabkan Plaintif menyewakan kedai tersebut kepada orang lain. Plaintif
menikmati hasil sewaan sehingga Defendan menuntut kembali kedai tersebut
setelah bercerai dengan Plaintif.
44.
Semasa
keterangan Defendan pada 03/11/2015 Defendan masih berniaga di lokasi kedai
yang sama namun hasil yang dapat hanya cukup makan untuk Defendan sekeluarga,
jika ada lebihan Defendan gunakan untuk membayar hutang. Defendan kini dibantu
oleh isteri Defendan terkini kerana Defendan hanya mampu beri makan dari kedai
yang diusahakan.
45.
Dalam
keadaan ekonomi masyarakat yang kurang baik, ada masanya kedai Defendan
terpaksa ditutup dan dibuka semula semasa cuti sekolah. Defendan cuba berniaga
di kantin sekolah namun semasa cuti sekolah Defendan terpaksa bergantung kepada
kedai makan. Perniagaan kantin juga tidak ada hasil yang banyak kerana anak
Felda selalu membawa bekal ke sekolah.
46.
SD-1 dalam
keterangan bertulis pada 03/11/2016 S21 menyatakan kedai Defendan kurang
pengunjung, pelanggan yang datang makan boleh dibilang. Defendan ada
mengusahakan kambing golek tetapi tempahan amat sedikit, dinyatakan oleh SD-1
setahun hanya dua kali.
47.
SD-1 juga
pernah ikut Defendan pergi membeli barang kedai, duit hasil dari kedai
digunakan untuk membeli barang masak, semua habis tinggal gaji untuk pekerja.
48.
Dalam
keterangan SD-2, keuntungan kedai makan dinyatakan dalam anggaran RM300.00
sehari, RM200.00 digunakan sebagai modal membeli barang dapur, tetapi kedai
telah berhenti sementara kerana Defendan menumpukan kantin Universiti Oxford.
49.
Kesusahan
Defendan bukan sahaja disaksikan oleh saksi-saksi Defendan, malah SP-1 dalam soal
balas turut menyatakan hasil kedai makan digunakan kembali untuk berniaga.
50.
Berdasarkan
keterangan dan kesaksian yang diberikan oleh saksi Plaintif dan Defendan,
kesimpulan boleh dibuat bahawa sumber kewangan Defendan adalah terhad dan tiada
sumber lain yang boleh digunakan untuk membayar tuntutan oleh Plaintif.
Defendan bukanlah seorang yang makan gaji, malah perniagaan yang diusahakan
boleh dianggap tidak menentu.
51.
Oleh yang demikian Defendan menghujahkan bahawa jumlah
yang dituntut oleh Plaintif sebanyak RM65,000.00 dan RM6,000.00 adalah tidak
munasabah jika dibandingkan dengan pendapatan Defendan yang hanya cukup makan
pada setiap bulan.
PERSOALAN APAKAH TANGGUNGAN DEFENDAN TERHADAP PIHAK
LAIN?.
52.
Plaintif
mendakwa Defendan berkemampuan untuk membayar tuntutan mutaah dan nafkah iddah,
tetapi pada masa yang sama Plaintif menyatakan Defendan telah cuai untuk
membayar nafkah anak. Perkara ini terbukti apabila Plaintif memfailkan tuntutan
Saman Penghutang Penghakiman di Bahagian Sokongan Keluarga.
53.
Dakwaan Plaintif
adalah tidak konsisten dengan tuntutan sebanyak RM71,000.00. Jumlah tersebut
adalah besar walaupun Plaintif mengetahui bahawa Defendan mempunyai liabiliti
yang melebihi kemampuan bulanan Defendan.
54.
Plaintif
mengetahui Defendan sedang menanggung hutang yang banyak semasa tuntutan dibuat.
Defendan pula telah membuktikan tanggungan yang masih ada melalui penandaan
dokumen seperti berikut:
bil
|
Perkara
|
Penandaan
|
1
|
Notis tuntutan hutang
Tabah Nasional atas nama Defendan bertarikh Julai dan Oktober 2010
|
D-1
|
2
|
Saman oleh AmBank (M)
Berhad terhadap Defendan di Mahkamah Majistret London No: 007 007 007
berjumlah RM20,805.91 setakat 18/02/2012.
|
D-6
|
3
|
Notis tuntutan oleh
Tetuan Bee Loh kepada Defendan terhadap Bayaran Ansuran Audio King AMP milik
Lionmas Sdn. Bhd berjumlah RM3,110.00 bertarikh 23/07/2012.
|
D-7
|
4
|
Penyata kredit kad
CIMB Defendan baki hutang sebanyak RM2,347.12 pada 05/02/2013
|
ID-8
|
5
|
Penyata kredit kad
Public Bank Defendan baki hutang RM3,103.80 pada 19/10/2015
|
D-9
|
6
|
Notis kutipan baki
tertunggak Starex atas nama Defendan sebanyak RM20,171.72 pada 31/08/2015
|
D-10
|
7
|
Penyata kredit kad
CIMB Defendan baki hutang sebanyak RM3,353.19 pada 20/09/2015
|
ID-11
|
55.
Kesemua
hutang masih wujud dan masih belum diselesaikan oleh Defendan dalam keadaan
ekonomi Defendan seperti yang dinyatakan dalam persoalan pekerjaan Defendan.
Defendan pada bila-bila masa berisiko untuk dikenakan tindakan undang-undang
oleh pihak pemberi pinjam ini tidak termasuk hutang kepada Tabah Nasional yang
telah dinyatakan pada awal hujahan.
56.
Selain dari
itu, Mahkamah juga wajar untuk mengambil kira tanggungan Defendan yang telah
termetrai dalam perintah kes 01008-054-0028-2012. Pada Januari 2012 Defendan
telah diperintahkan melalui persetujuan bersama seperti berikut:
i.
“Plaintif(Defendan) membayar nafkah untuk dua (2)
orang anak sebanyak RM800.00 (RM400.00 X 2 orang) sebulan dan pembayaran
hendaklah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Defendan (Plaintif) sebelum atau pada
7 haribulan bermula bulan Januari 2012.
ii.
Kos awal persekolahan dan dua (2) Hari raya serta
kos perubatan ditanggung oleh Plaintif.”
57.
Faktor
kesusahan Defendan mula dilihat sejak Defendan gagal membayar nafkah anak
sepenuhnya sepertimana yang diperintahkan. Defendan hanya mampu memberi makan
anak-anak yang dibawah tanggungan di kedai makan Defendan. Akibat dari
ketidakmampuan Defendan untuk menjelaskan perintah nafkah, Plaintif telah
memfailkan tuntutan Saman Penghutang Penghakiman semasa kes Mutaah dan Iddah di
London sedang berjalan.
58.
Pada
08/08/2016 Mahkamah Rendah Syariah London memutuskan kes Saman Penghutang
Penghakiman yang dibawa oleh BSK seperti berikut:
“TUNGGAKAN NAFKAH ANAK
i.
Penghutang
Penghakiman bersetuju dengan jumlah sebanyak RM38,000.00 (Ringgit Malaysia :
Tiga Puluh Lapan Ribu) sebagai tunggakan nafkah anak (Februari 2012 sehingga
Mei 2016) kepada Pemiutang Penghakiman yang akan diselesaikan secara ansuran
sebanyak RM200.00 sebulan bermula Jun 2016 sehingga selesai bayaran sepertimana
yang telah diperintahkan oleh Mahkamah.
NAFKAH SEMASA BULANAN ANAK
ii.
Nafkah
semasa bulanan bagi dua orang anak sebanyak RM800.00 (Ringgit Malaysia: lapan
Ratus) sebulan hendaklah dilaksanakan sebagaimana perintah di dalam Kes Mal
Bil: 01008-054-0028-2012 bertarikh 12hb Januari 2012 selagimana tidak diubah.
CARA BAYARAN
iii.
Segala
pembayaran tunggakan nafkah anak dan nafkah anak semasa akan dilaksanakan
dengan memasukkan bayaran tersebut ke dalam akaun bank Pemiutang Penghakiman AMINAH
BINTI ABDUL MAJID (BANK: CIMB, NO. AKAUN: 7007000707)”
59.
Dengan
penambahan RM200.00 sebulan untuk nafkah anak tertunggak, Defendan mempunyai
liabiliti sebanyak RM1,000.00 setiap bulan untuk dijelaskan kepada Plaintif.
Bayaran tersebut merupakan bebanan yang mesti ditanggung oleh Defendan setiap
bulan.
60.
SD-1
menyatakan Defendan juga pernah pinjam dari SD-1, tetapi Defendan bayar balik
lambat, ikut sumber pendapatan Defendan. Kereta Perdana Defendan lari dari
pihak bank kerana sudah bertahun tidak bayar. SD-1 menyatakan Defendan bukan
sengaja tidak mahu bayar, tetapi Defendan tidak mampu bayar.
61.
SD-2 yang
merupakan isteri Defendan terkini menyatakan, Defendan perlu menanggung SD-2
dan anak seramai 4 orang, selain dari itu Defendan perlu membayar sewa rumah
sebanyak RM450.00, sewa kantin sebanyak RM600.00, sewa kedai RM450.00, bil api
dan air sebanyak RM200.00, bil api dan air kantin sekolah RM600.00 kesemuanya
berjumlah RM2,300.00 anggaran pada setiap bulan. Ini tidak termasuk keperluan
sekolah anak-anak SD-2 yang wajib ditanggung oleh Defendan.
62.
Sekiranya
dicampur nafkah berdasarkan perintah Mahkamah berjumlah RM1,000.00 dan
RM2,300.00 sebulan. Defendan perlu
menanggung RM3,300.00 sebulan dan ini masih belum dikira hutang Tabah
Nasional, AmBank, CIMB, Lionmas dan Public Bank setiap bulan. Jika kiraan
hutang atau tanggungan Defendan yang sedia ada, adalah mustahil untuk Defendan
membayar bayaran Mutaah dan nafkah eddah sebanyak RM71,000.00 pula.
63.
Defendan merujuk
kepada Nas Hukum Syarak yang diberikan di dalam kitab I’anah al-Talibin, Juzuk
3 yang menukilkan:
“ Sekiranya kedua-dua suami
isteri tidak bersefahaman tentang kadar bayaran Mut’ah. Qadhi hendaklah
menilaikan mengikut kadar bahagian yang ia berhak tetapi mengambil kira keadaan
keduanya dari sudut susah dan senang kemampuan suami dan keturunan isteri serta
sifat isteri”
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236:
لَّا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِن
طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ مَا لَمۡ تَمَسُّوهُنَّ أَوۡ تَفۡرِضُواْ لَهُنَّ
فَرِيضَةً۬ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى ٱلۡمُوسِعِ قَدَرُهُ ۥ وَعَلَى ٱلۡمُقۡتِرِ
قَدَرُهُ ۥ مَتَـٰعَۢا بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٢٣٦)
“Hendaklah kamu memberi
Muta’ah(pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikannya itu iaitu suami yang senang hendaklah memberi
saguhati itu menurut kemampuannya dan suami
yang susah pula menurut ukuran kemampuannya sebagai pemberi saguhati
menurut yang patut bagi menjadi sesuatu kewajipan ke atas orang-orang yang mahu
membuat kebaikan”
64.
Defendan menghujahkan bahawa
berdasarkan Hukum Syarak di atas adalah jelas bahawa faktor kemampuan Defendan
adalah menjadi keutamaan dalam Mahkamah memutuskan tindakan ini disamping
faktor lain. Persoalannya adakah Defendan seorang yang berkemampuan dan mampu
menjelaskan tuntutan Plaintif.
65.
Bagi menjawab isu ini, Defendan
merujuk semula kepada keterangan Plaintif pada soalan 11 dan 12 Afidavit Keterangan
Plaintif yang menjelaskan bahawa Defendan tidak mampu untuk memberi nafkah
secara tunai dan Defendan hanya mampu untuk beri makan di kedai yang diusahakan
oleh Defendan. Tiada sebarang bukti pendapatan Defendan mampu dikemukakan oleh
Plaintif kerana sememangnya Defendan seorang yang tidak berkemampuan.
66.
Dengan fakta tersebut Defendan
menghujahkan bahawa Plaintif sebenarnya mengetahui Defendan tidak dapat
menunaikan tuntutan mutaah dan eddah dengan jumlah yang dituntut sebanyak RM71,000.00.
67.
Defendan merujuk kepada kes Norma @Normek binti Ghazali lwn Mohd Zain bin
Abdullah (JH XIX/II) yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kota
Bharu. Di dalam kes ini panel rayuan antara lain menyatakan bahawa:
(5) jumlah (kadar hukuman mutaah)
sebanyak RM 10,000.00 yang diputuskan oleh Mahkamah ini adalah satu jumlah yang
munasabah dan berpatutan memandangkan Responden seorang yang tergolong dalam
golongan orang yang senang dan dihormati serta mempunyai pendapatan tetap
sebanyak RM 2,400.00 sebulan daripada pencen Ahli Parlimen Malaysia bagi
kawasan Bachok dan Perayu sebagai seorang yang mempunyai taraf serta kedudukan
yang baik juga dihormati”
68.
Berdasarkan pendapat panel rayuan di
atas, walaupun terdapat isu berhubung taraf dan kedudukan pihak-pihak di mata masyarakat,
namun kemampuan serta pendapatan Defendan tetap menjadi piawaian utama dalam
kes tersebut.
69.
Defendan menghujahkan sekiranya di
dalam kes tersebut Responden yang berpendapatan hanya sebanyak RM2,400.00
sahaja diperintahkan membayar mutaah sebanyak RM10,000.00, bagaimana pula
Defendan dalam kes ini yang mempunyai kewajipan bayaran bulanan (minus) sekurangnya-kurangnya
RM3.300.00, maka adalah wajar untuk Mahkamah Yang Mulia ini menolak tuntutan
Plaintif sebanyak RM71,000.00 atau meletakkan suatu jumlah yang lebih kecil
dalam kemampuan Defendan.
70.
Defendan juga merujuk
kepada satu kes iaitu Rahaniah lwn Haji
Ujang (1983) 4 JH 270, isteri yang telah diceraikan telah menuntut mut’ah
sebanyak RM10,000.00 daripada suaminya yang telah bersara. Di dalam kes ini
hakim bicara telah memutuskan mut’ah sebanyak RM2000.00 sahaja diberi kepada
isteri. Ini adalah kerana memandang kepada kemampuan pihak Defendan.
71.
Berdasarkan
nas dan otoriti yang dirujuk, Defendan menghujahkan bahawa kemampuan Defendan
adalah pada tahap ‘susah’ atau ‘sempit’ sepertimana dalam ayat 236 Surah
Al-Baqarah yang bermaksud:
ۥ وَعَلَى ٱلۡمُقۡتِرِ
قَدَرُهُ
“suami
yang susah pula menurut ukuran kemampuannya”
- Di
dalam kes ini, Defendan telah mengemukakan keterangannya dan keterangan Defendan
telah disokong oleh keterangan saksi-saksi, manakala keterangan Defendan pula
banyak menyokong fakta ketidakmampuan Defendan untuk menambah lagi
tanggungan sedia ada. Di samping itu juga, Defendan dan saksi-saksinya
telah mematuhi segala peruntukan berkenaan dengan pengemukaan keterangan,
sepertimana yang dikehendaki oleh Seksyen-Seksyen 72, 73, 74 dan 75
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Johor) 2003 (selepas ini
dirujuk sebagai ‘Enakmen 18/2003 tersebut’).
73.
Oleh yang
demikian Defendan menghujahkan bahawa segala dakwaan oleh Plaintif adalah
lemah, tiada asas dan berdasarkan andaian semata-mata. Plaintif sebenarnya
mengetahui ketidakmampuan Defendan, namun Plaintif tetap meneruskan tuntutan
Mutaah dan Iddah dalam jumlah diluar kemampuan Defendan.
KESIMPULAN
- Hukum Syara’ dan undang-undang memberi
kuasa kepada Mahkamah samada untuk menolak permohonan Mutaah dan Nafkah
Iddah Plaintif atau menetapkan satu kadar berdasarkan kepada alasan-alasan
yang munasabah di sisi hukum Syara’.
75.
Oleh yang demikian, berdasarkan
fakta kes, alasan-alasan yang dikemukakan oleh Defendan serta otoriti-otoriti dari sudut undang-undang, hukum Syara’ dan kes undang-undang yang telah
diputuskan, Defendan dengan rendah diri memohon dari Mahkamah yang Mulia ini
agar memerintahkan seperti berikut:
75.1
Mahkamah menolak tuntutan Mutaah dan Nafkah Iddah Plaintif.
75.2 Apa-apa
relif lain yang difikirkan suaimanfaat oleh Mahkamah Yang Mulia Ini.
No comments:
Post a Comment