Friday, May 27, 2011

AMALAN MASUK RUMAH BARU YANG TIDAK MELANGGAR HUKUM SYARAK

Pra: Dekat nak cuti ni si Sabrina nak masuk rumah baru, tahniah! moga hidup lebih ceria. Dapat rumah sendiri kannn. So malam Sabtu dapat jemputan, kena la pi baca apa yang patut, buat pencerahan tentang amalan-amalan yang warid atau harus atau yang tidak bercanggah dengan hukum syarak. Ada orang pesan bawa gula garam beras minyak, konfem yang tu tadak dalam sunnah, so berhati hati yaaa! (kalau bawa masuk sebab nak jamu kawan takpe, tapi kalau niat ikut pesan orang tua-tua itu dah bidaah namanya). Rasanya tak salah kot kalau pesan bawakan sejadah, buleh buat solat jemaah Isya' kat situ (kalau rumah jauh dari surau). Orang putih kata 'housewarming' kita panggil kenduri masuk rumah baru, dilampirkan satu artikel menarik sangat, kombo amalan yang dicari-cari, credit untuk ustad yang menulis blog dia kat bawah sekali. Allahuwaliuttaufeek!

1. Amalan membaca al-Quran dan berdoa secara berjamaah (yakni beramai-ramai serentak) secara rutin atau pada masa tertentu sama ada malam jumaat, ketika masuk rumah baru dan sebagainya tidaklah pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w.. Namun pada asasnya amalan membaca al-Quran dan berdoa itu adalah sabit dari Nabi s.a.w., yakni terdapat hadis menceritakan galakan membaca al-Quran dan berdoa, namun kaifiyat membacanya beramai-ramai itu tidaklah ada dalam hadis Nabi s.a.w.. Kerana itu, amalan sebegini dinamakan dengan bid'ah idhafiyah yang diperselisihkan antara ulamak-ulamak di mana ada yang mengharuskannnya dan ada yang melarangnya. Untuk penjelasan lanjut tentang bid'ah idhafiyah ini, sila baca huraian saya berkenaannya dalam satu lagi blog saya; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/08/menangani-masalah-khilafiyah-dan-bidah_5344.html).

2. Mengenai adab-adab ketika hendak masuk rumah baru, berdasarkan pemerhatian saya -wallahu a'lam-; Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah, antaranya;

2.1. Memasuki rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi s.a.w. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

2.2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan munkar. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…” (at-Tahrim: 6). Berkata Imam Qatadah (tatkala menghurai ayat ini); ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

2.3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut agama; kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi s.a.w.; “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin Negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya…”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.).

4. Menghidupkan bi-ah Islam di dalam rumah, antaranya dengan;

a) Membaca al-Quran di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.; “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

b) Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.; “Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu” (HR Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.)

c) Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah. Sabda Nabi s.a.w.; “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir” (HR Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.).

d) Hidupkan budaya memberi salam. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.). Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda; “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).


e) Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah. Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a. menceritakan: “Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah s.a.w., suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatkan saya; “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (membaca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

5) Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca “أعُوذُ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ مَا خَلَقَ” (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya), nescaya tidaka ada sesuatupun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.a.)

6. Demikianlah sebahagian dari amalan-amalan di dalam rumah yang digalakkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang soheh dari Nabi s.a.w.. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah.

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/

yang ni pulak dari melayu.com antara doa2 ma'thur yg disarankan:

1. A�uu dzu bi kalimaat-Illaah it-taammaati min sharri ma khalaq

2. بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ.

�Dengan nama Allah, kami masuk (ke rumah), dengan nama Allah, kami keluar (darinya) dan kepada Tuhan kami, kami bertawakkal�. Kemudian mengucapkan salam kepada keluarga-nya."

(Hadith Riwayat Abu Dawud 4/325,dan Al-�Allamah Ibnu Baaz berpendapat, isnad hadits tersebut hasan dalam Tuhfatul Akhyar, no. 28. Dalam Kitab Sahih: �Apabila seseorang masuk rumahnya, lalu berdzikir kepada Allah ketika masuk rumah dan makan, syaitan berkata (kepada teman-temannya), �Tiada tempat tinggal dan makanan bagi kalian (malam ini)�.� Muslim, no. 2018)

3. baca surah almukminun ayat 29:

maksudnya: "Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat. "

post: pencarian telah dibuat dalam Al-Azkar Imam Nawawi, Senjata Mukmin (versi nipis cetakan Mesir), Hidup Bershariat (Ismail Qamus), so far takde satu doa khusus yang warid boleh di jadikan pedoman, apapun amalan diatas boleh dijadikan sebagai amalan soleh. Tapi yang konfem baca al-Baqarah mula sampai habis. Apa yang saya buat bila mula masuk rumah yang nak duduk lama, azan 4 penjuru (nak habaq kat makhluk ghaib yang ada kat dalam rumah, kata ada orang Islam nak mai duduk, hangpa jangan dok kacau) pastu pagar memagar dengan menggunakan ayat quran semata. Dan yang lebih penting amalan selepas duduk kat dalam rumah tu, jangan kata mula nak masuk je baca baqarah ..lepas tu tunggu ramadhan pulak le, nak dengar baca quran.. rabbuna yusahhil!

No comments:

Post a Comment