TINDAKAN YANG PERLU DIFIKIRKAN BAGI MEMASTIKAN PASANGAN YANG INGIN BERKAHWIN TELAH BERSEDIA DARI SEGI ASPEK ROHANI DAN JASMANI SEBELUM MEREKA MENEMPUH ALAM PERKAHWINAN.
ABSTRAK
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka” [An-Nuur: 30]
Sebagai sebuah agama fitrah, Islam amat mementingkan pemeliharaan institusi kekeluargaan. Secara fitrahnya setiap insan memerlukan rumahtangga yang bahagia, menjadi pelindung kehormatan dan kesejahteraan seterusnya memelihara diri sehingga ke akhir hayat. Di dalam Surah An-Nuur Allah SWT telah menggariskan beberapa pantang larang dalam kehidupan berkeluarga dengan antara tujuannya supaya diambil iktibar oleh golongan yang masih belum berkahwin supaya membuat persediaan diri sedari mula bagi menghadapi alam berumah tangga. Bagi mereka yang berjaya memelihara diri dan membuat persediaan dari segi rohani dan jasmaninya sehingga saat pernikahan maka masuklah ia ke dalam golongan yang beruntung kerana,
“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia” [An-Nuur: 26]
PENGENALAN
Tuntutan perkahwinan ke atas setiap individu memang tidak dapat dinafikan samada dari kehendak agama mahupun sosial, Perkahwinan jika dilihat secara kasar merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan sangat mudah, namun bila tiba masa untuk pelaksanaan ianya jauh lebih berat dari yang disangkakan. Jesteru segala persiapan harus dilakukan demi untuk menjamin kebahagiaan dalam perkahwinan agar menjadi syurga di dunia dan akhirat.
Perkahwinan atau nikah dari segi bahasa ditakrifkan sebagai satu “percantuman” dan “pertembungan” yang disempurnakan dengan akad, manakala dari segi syarak pula perkahwinan atau nikah bermaksud “akad yang mengharuskan seseorang lelaki melakukan hubungan jenis dengan seorang perempuan”, dan membolehkannya melakukan apa sahaja dengan perempuan itu yang berkaitan dengan seks, seperti mencium, memeluk atau seumpamanya, dengan syarat perempuan berkenaan bukan mahram kerana keturunan, susuan atau ikatan perkahwinan. [Fiqh Islami Wa Adillatuh, Yusuf Qardhawi Jld VII Fasal 2] Perkahwinan juga ditakrifkan sebagai “akad yang menjamin keharusan bersetubuh dengan lafaz nikah atau kahwin atau terjemahannya” [Kitab Nikah, Mugni Muhtaj, Khatib Syarbini Jld 4] . Hal ini disebut beberapa kali di dalam Al-Quran seperti:
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri)…” [An-Nahl: 72] dan
“Maka bekahwinlah dengan sesiapapun yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan…” [An-Nisaa: 3]
Manakala Rasul SAW telah bersabda:
“Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu” [Muslim]
MENGAPA HARUS BERSEDIA
Memandangkan perkahwinan bukanlah suatu tuntutan yang bersifat sementara, maka persediaan yang rapi mestilah diberi perhatian. Merujuk kepada hadis di atas, Rasul SAW dalam sabdanya mendahului perkataan “Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin…”, maka keupayaan zahir dan batin adalah kayu ukur bagi persediaan berkahwin, dan hadis tersebut jelas menunjukkan persediaan itu sangat penting sebelum mememulakan satu-satu perkahwinan. Perkahwinan adalah merupakan satu perjalanan kehidupan yang panjang. Tiada sesiapapun yang berkahwin mahu rumahtangga mereka hancur ditengah jalan. Ikatan ini bukan sekadar berkongsi hidup tetapi membina keluarga dan masa depan bersama. Oleh itu, setiap pasangan haruslah bersedia memikul tanggungjawab ini dengan membuat persediaan dari segi rohani dan jasmani. Seumpama seorang soldadu yang akan pergi ke medan tempur sudah pasti persediaan untuk hari pertempuran memakan masa yang lama untuk memastikan kemenangan dan kejayaan dalam genggaman, demi maruah dan kehormatan Negara. Begitu juga dengan lelaki dan wanita yang akan ke gerbang perkahwinan, persediaan rohani dan jasmani harus dimulakan sejak mencapai usia akil baligh. Disiplin yang ketat perlu untuk memelihara peribadi dan syakhsiah diri bagi memastikan diri tidak tewas dengan runtunan hawa nafsu yang akhirnya mengundang kepada bencana dalam perkahwinan. Jadi perkahwinan adalah merupakan satu perjuangan ataupun jihad yang tidak boleh dipandang remeh. Imam Al-Ghazali berkata :
"Sebenarnya perkahwinan itu bermakna jihad dan latihan jihad itu mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap telatah budipekerti wanita, memimpinnya kepada jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka serta berusaha mendidik anak-pinak.Maka semua tugas-tugas tersebut merupakan kerja-kerja dan tanggungjawab besar".
ASPEK PERSEDIAAN
Persediaan yang harus dibuat adalah terdiri dari aspek rohani dan jasmani yang akan mengikat aspek-aspek lain secara keseluruhannya:
ASPEK ROHANI
Pasangan yang ingin berkahwin perlu perlu membuat persediaan mental untuk melalui kehidupan berumahtangga. Seseorang itu perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami ataupun isteri. Mereka perlu bersikap matang iaitu boleh berfikir dan bertindak rasional, bertanggungjawab, dipercayai dan berdikari. Kedua-dua pihak suami dan isteri juga hendaklah mempunyai pengetahuan dan berkebolehan dalam menguruskan rumahtangga. Pengetahuan dan kebolehan ini merangkumi soal hukum hakam, aqidah, ibadah, syariah, muamalat serta syakhsiah. Persediaan mental dan rohani yang mantap melambangkan kesediaan seseorang samada suami atau isteri untuk memastikan kesejahteraan dalam kehidupan berumahtangga nanti.
Beberapa perkara yang perlu di beri perhatian dalam membuat persediaan rohani adalah:
3.1.1 Mengenali Diri Sendiri
Sangat penting bagi seorang bakal suami atau isteri untuk mengenali diri sendiri sebelum memasuki alam berumahtangga. Dengan mengenali diri sendiri maka seseorang akan tahu potensi diri, kekuatan dan kelemahannya agar beliau mampu meletakkan dirinya dalam posisi kekeluargaan. Suami akan mengenali isteri berdasarkan kekuatan dominan dalam diri isterinya dan begitu juga sebaliknya dipihak isteri. Dengan mengenali diri dan watak masing-masing, maka mudahlah setiap ahli dalam keluarga mengaturkan langkah-langkah seterusnya dalam bahtera perkahwinan. Terdapat tiga kekuatan yang wujud dalam diri dan bakal suami / isteri perlu difahami:
a) Kekuatan akal
Seseorang yang mempunyai kekuatan akal akan mampu berfikir dan membuat perancangan yang jitu dalam rumahtangga dan mampu melihat halangan-halangan yang bakal menjelang dan seterusnya mampu pula bersedia untuk menghadapinya. Dengan akal seseorang itu akan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki dengan berkesan. Dia mampu berfikir dengan rasional berdasarkan asbab dan musabab dalam rumahtangga seterusnya mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan berulang kali.
b. Kekuatan jiwa
Pasangan yang memiliki kekuatan jiwa, menjadi mantap dan teguh keperibadiannya,. bersifat yakin, berani, pemurah, tabah dan tidak pernah berputus asa, mereka berpegang kepada prinsip berlandaskan Al-Quran dan Sunnah dalam mempertahankan rumahtangganya. Andainya kesalahan dan kesilapan dilakukan, mereka tidak akan berasa malu atau ego untuk mengakui kesalahan yang dilakukan.
c. Kekuatan perasaan
Seseorang yang memiliki kekuatan perasaan akan bersifat lemah-lembut, bertimbang rasa, penyayang dan tidak gopoh. Dia akan menjaga kebajikan pasangannya, hubungan mesra dengan keluarga mertua, ipar duai, jiran tetangga dan kenalan pasangannya dan seterusnya menempatkan diri dalam masyarakat tanpa sebarang halangan. Sudah pasti tiada sesiapapun yang mahu pasangannya mudah merajuk, mudah kecewa, berburuk sangka, pendendam, tidak yakin dengan diri sendiri, dayus, tidak tahan diuji dan ujub. Untuk memulakan kekuatan ini, maka usaha harus dipupuk terlebih dahulu sebelum memasuki alam perkahwinan. Perubahan harus bermula dari diri sendiri sebelum kita membuat perubahan kepada diri pasangan.
3.2 ASPEK JASMANI
3.2.1 Aspek fizikal lebih tertumpu kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan dan menjauhi amalan yang tidak sihat. Bakal pasangan suami isteri perlu bebas daripada penyakit berjangkit dan merbahaya seperti sifilis, AIDS dan Gonorhea. Penyakit ini boleh berjangkit kepada pasangan. Sepertimana sabda Rasul SAW:
“ Jangan sekali-kali dicampurkan orang sakit dengan orang yang sihat” [Bukhari dan Muslim]
3.2.2 Dalam keperluan untuk menyediakan nafkah zahir kepada pasangannya bakal suami mesti memastikan dirinya cergas dan pada tahap kesihatan yang memuaskan, terutamanya dalam menyediakan keperluan hidup seperti makan minum pakaian dan tempat tinggal, seorang yang berpenyakit dan bermasalah untuk bekerja akan menjejaskan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak, firman Allah SWT:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka [An-Nisaa: 34]
Bakal pasangan juga hendaklah sihat anggota tubuh badan. Mereka yang mengidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi hendaklah memastikan penyakit tersebut terkawal dan mendapat rawatan yang sempurna. Kesihatan yang baik akan membolehkan pasangan hidup bahagia kerana masing-masing dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
3.2.3 Bakal suami isteri hendaklah memiliki kemampuan seksual. Kemampuan seksual
suami isteri penting untuk menjalin kebahagian sesebuah rumahtangga. Ia juga merupakan faktor utama bagi membolehkan pasangan mendapatkan zuriat. Setiap bakal pasangan harus mengetahui bahawa hubungan intim dihalalkan dalam berbagai cara, seperti mana ayat yang ditafsirkan:
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; [Al-Baqarah: 223]
Namun Islam tidak menggalakkan suatu hubungan yang mementingkan diri sendiri, malah perkahwinan itu adalah satu perkongsian, bukannya kepuasan individu malah kepuasan dan faedah bersama. Dalam satu hadith:
“Daripada Anas RA berkata: Bila salah seorang di antara kami mencampuri isterinya hendaklah ia mengerjakannya denga sungguh-sungguh, maka apabila ia telah menyelesaikan keperluannya sebelum isterinya selesai, janganlah ia cepat-cepat meninggalkan isterinya untuk menyelesaikan keperluannya.” [Riwayat Ibn Adi]
Kesempurnaan Islam dalam menyusun rumah tangga yang bahagia diteliti lagi dengan beberapa akhlak atau adab-adab yang terpuji dalam menggauli isteri. Dalam hadis yang lain Rasul SAW bersabda:
“Jangan ada di antara kamu yang menyetubuhi isterinya seperti kelakuan haiwan melainkan adakanlah di antaranya satu tanda. Bertanya salah seorang: Apa tanda itu ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: Cium dan berkata yang manis. [Riwayat Ad-Dailami]
Dan wajib diketahui juga tentang haramnya untuk menyebarkan soal hubungan intim pasangannya kepada orang lain.
Daripada Abi Said AlKhudri berkata Rasul SAW bersabda: “Sesungguhnya sejahat-jahat manusia disisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat padanya kemudian ia menceritakan rahsia itu”. [Ahmad]
3.2.4 Bakal pasangan juga hendaklah memiliki ciri-ciri kematangan fizikal. Antara ciri-ciri kematangan fizikal ialah bakal pasangan suami isteri hendaklah sudah baligh. Kematangan fizikal ini penting terutama bagi bakal isteri yang inginkan anak sebaik sahaja berkahwin. Bagi seorang wanita, mengandung pada umur kurang 18 tahun adalah tidak digalakkan. Pada umur tersebut tubuh badan seseorang wanita sedang membesar dan belum bersedia untuk mengalami peribahan-perubahan fizikal dan fisiologikal semasa mengandung. Kematangan fizikal juga penting bagi membolehkan pasangan memikul tanggungjawab seharian dengan lebih baik dan sempurna. Kematangan fizikal juga boleh didapati dengan banyak bergaul dengan mereka yang berpengalaman dan menghadiri kelas agama, maka setiap pasangan akan semakin bijak dalam perancangan pengurusan keluarga dan akhirnya akan melahirkan kebahagiaan. Dalam garis panduan persediaan kewangan keluarga bakal suami atau isteri harus tahu aliran wang keluarga, mengelakkan pembaziran, tahu sumber pendapatan keluarga dan berusaha mengelakkan maslah kewangan kerana firman Allah SWT:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” [At-Talaaq: 7]
3.2.5 Komunikasi yang baik adalah penting kepada bakal suami atau isteri sebelum melayari hidup berumah tangga. Tahap kematangan keduanya boleh diukur dengan kebijaksanaan dalam berkomunikasi, bermula dengan niat atau tujuan yang baik semasa bercakap antara keduanya, tidak membuat andaian melebihi kemampuan pasangan dan tidak memaksa pasangannya supaya mempunyai sikap atau perasaan yang serupa dengan dirinya. Terdapat juga bakal suami atau isteri yang selepas berkahwin sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan pasangannya. Mempunyai sedikit sifat cemburu perlu ada pada pasangan, namun perlu disalurkan pada tempat yang sepatutnya dan tidak boleh ada perasaan ‘one man show’ dalam rumahtangga. Suami atau Isteri yang terlalu mendominasi suka untuk merendahkan moral pasangannya dan akhirnya perhubungan akan menjadi kaku dan tidak mesra.
Adalah lebih baik jika bakal suami atau isteri mempelajari kaedah komunikasi berkesan sebelum berkahwin untuk mengelakkan persepsi negatif pasangannnya, sepertimana modul kursus asas perkahwinan yang dianjurkan oleh setiap Jabatan Agama. Terdapat golongan yang bijak dan pandai menyesuaikan diri di tempat kerja dan semasa bersosial tetapi gagal untuk mengatur rumahtangga sendiri, Kaedah yang bersesuaian harus digunakan kedua-dua pasangan seperti memberi tumpuan kepada pasangan semasa berinteraksi, wujud pandangan mata, bercakap dengan jelas tanpa berselindung sehingga menimbulkan syak wasangka, mendengar dengan aktif tanpa membuat satu penilaian dan jangan sampai bercakap serentak, berikan peluang atau masa untuk berfikir dan mendengar pendapat pasangan dengan sepenuh perhatian. Minta penjelasan apabila tidak faham maksud yang hendak disampaikan dan seterusnya elakkan percakapan yang bercanggah dengan gerak-geri. Ketahuilah kebanyakkan pasangan yang telah berumahtangga dan bercerai adalah gara-gara komunikasi yang tidak berkesan. Apabila berlaku “communication breakdown” maka salah tafsiran akan berlaku dan suami atau isteri yang dulunya sehati dan sejiwa kini akan menjadi menjalani hidup umpama neraka. Keadaan ini akan menjadi punca atau bibit-bibit perpecahan yang akhirnya membawa kemusnahan jika tidak dirawat dengan bijak.
PENUTUP
Dapat dirumuskan bahawa persediaan dari segi aspek rohani dan jasmani sebelum menempuh alam perkahwinan mestilah dipupuk sedari kecil lagi, kerana Islam adalah agama yang mementingkan syakhsiah diri, kehormatan dan kebahagiaan rumahtangga serta kesucian keturunan. Segala hukum halal dan haram berkaitan dengan perkahwinan adalah penting untuk diketahui dan diamalkan oleh setiap individu Muslim terutamanya sebelum menempuh alam berumahtangga. Inilah bekalan persediaan yang terbaik untuk pembinaan keluarga dan seterusnya memikul tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Pengabaian dari aspek rohani dan jasmani akan menimbulkan kekusutan selepas pernikahan dan akhirnya membawa kepada penceraian. Menurut statistik sepanjang tahun 1990 hingga 2005 (16 tahun) daripada 1.5 juta pasangan yang berkahwin, terdapat sebanyak lebih dari 200,000 perceraian telah berlaku di Malaysia. Hitung panjang sebanyak 35 pasangan bercerai pada setiap hari, manakala mengikut maklumat JAKIM pada tahun 2005 sahaja, terdapat 13,500 perceraian berlaku diseluruh negara. Selangor mencatatkan kes perceraian yang tertinggi iaitu 3,029 perceraian diikuti dengan Kelantan sebanyak 1900 dan negeri Kedah sebanyak 1737 pasangan. Jesteru dengan sikap tidak acuh kepada persediaan perkahwinan akan menyebabkan risiko penceraian dan akan menghalang penghasilan modal insan kelas pertama seterusnya merupakan kerugian kepada agama, bangsa dan negara.
15November 2007
terima kasih atas info saudara.=)
ReplyDeletethank you for sharing this pre marriage information...
ReplyDelete