Monday, September 19, 2022

TALBIS IBLIS book review



Buku: TALBIS IBLIS
Penulis: IBNU JAUZI ALBAGHDADI
Penerbit: Maktabah Taufiqiah, Husein, Cairo
Helaian: 508ms


1. Karya yang kekal relevan sepanjang zaman. Penulis menghimpunkan dalil dan fakta tipudaya iblis, jangan terkejut jika dalam ibadat dan ketaatan kepada Allah pun iblis masih mampu menipu kita. Hanya memahami konsep ibadat kepada Allah yang benar sahaja dapat menjamin keselamatan dari penipuan ini. Namun untuk sampai kepada konsep faham, maka kena tahu terlebih dahulu. Baca buku ini, semoga kita selamat dijalan baginda Nabi SAW.
2. Ibnu Jauzi al-Baghdadi atau Abu alFarj gelaran di dalam kitab, nama sebenar Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad bersambung titis dari Saidina Abu Bakar R.A. Lahir di Baghdad dalam tradisi keilmuan sehingga bergelar al-Hafiz. Beliau berguru lebih dari 80 orang yang bermazhab Hambali dan Shafie. Mendapat tempat dalam pemerintahan Abbasiah lantaran bermazhab Hambali, penulis juga dikatakan bermazhab Ashairah dari segi aqidah. Melahirkan lebih 150 buah buku dan antara yang termahsyur adalah naskhah pada tangan kita, Talbis Iblis atau tipudaya iblis.
3. Yang menjadikan buku ini istimewa dari yang lain adalah keberanian Ibnu Jauzi dalam membongkar sifat sifat tersembunyi dalam diri manusia, termasuklah yang bergelar abid, pendita, pemerintah malah ulamak, Kritikan Ibnu Jauzi itu dianggap melampau oleh sesetengah pihak dan pernah dibantah melalui buku yang lain pula. Namun oleh kerana kebenaran yang diumpil, maka kekal buku Talbis Iblis diulangbaca sehingga ke hari ini.
4. Seawal zaman Ibnu Jauzi (510-597) kesesatan dalam umat banyak menonjol dari segi idealogi pemahaman terhadap agama itu sendiri, antaranya dari cabang aqidah, seperti Jabariah, Qadariah, Murji’ah, Muktazilah, Syiah dan lain-lain. Bahkan Ibnu Jauzi memprofail pemahaman tersebut sebanyak 72 golongan yang dinamakan pada masa itu. Ajaibnya kumpulan sesat tersebut ada yang masih wujud hingga sekarang namun atas penjenamaan semula yang lebih kontemporari.
5. Kritikan Penulis yang terbanyak adalah terhadap pengamal sufi yang ekstrim pada masa itu. Ini menjawab kenapa buku ini kurang mendapat tempat dalam nuansa tasauf di nusantara. Jika nak dibacapun, haruslah dibimbing oleh guru yang memahami kehendak nas dibawakan penulis. Kebelakangan ini, telah ada Masjid dan Surau yang mendiskusikan buku ini, malah Dr Zahrudin (UZAR) telah menerbitkan buku “Belitan Tipu Daya Iblis” sebagai syarah terpilih dari Talbis Iblis, video Talaqqii UZAR dan Ustaz-ustaz lain boleh diikuti melalui utube, taip sahaja Talbis Iblis, tapi lebih afdhol berguru, lebih berkat.
6. Sebenarnya banyak terjemahan dibuat terhadap naskhah Talbis Iblis, antara yang terawal adalah terbitan Pustaka Nasional, di Malaysia Al-Hidayah Publication dan terjemahan bebas lain banyak datang dari seberang. Namun sewajarnya pembaca perlu lebih teliti dalam membuat pembelian, kerana terdapat terjemahan yang mengurang dan menambah dari versi asal. Malah dengan sengaja memasukkan Ashairah sebagai antara kelompok yang sesat, sedangkan Ibnu Jauzi tidak pernah menyatakan sedemikian.
7. Cuma satu isu kekeliruan yang dianggap masih belum selesai sehingga ke hari ini, apabila terdapat penerbit yang telah menamakan Ibnu Qayyim al Jauzi sebagai penulis Talbis Iblis. Mungkin perkataan “Jauzi” itu menyebabkan penerbit keliru, bukan sahaja penerbit bahkan orang awam pun masih tidak dapat bezakan antara dua sosok ilmuan tersebut. Hakikatnya Ibnu Jauzi alBaghdadi meninggal pada 597H, manakala Ibnu Qayyim al Jauzi lahir pada 691H. Jarak masa keduanya memakan 94 tahun. Ibnu Jauzi juga dikelirukan sebagai satu kem dengan Ibnu Taimiyah lantaran ketegasannya. Hakikatnya Ibnu Taimiyah lahir pada 661H, iaitu 64 tahun selepas Ibnu Jauzi meninggal dunia. Jadi tak hairanlah ramai yang alergik dengan gelaran “Jauzi” hanya disebabkan kekeliruan ini.
8. Sebenarnya apa yang dialami oleh Ibnu Jauzi pada zamannya, masih lagi dihadapi pada hari ini. Namun tidak lagi menggunakan nama turath umpama Muktazilah, Qadariah, tetapi dalam label moden seperti sekularis, pragmatis, liberalis atau ekstrimis. Semua ini adalah tipudaya iblis yang bijak lagi licik bagi menutup cahaya kebenaran. Jestru buku ini wajar dibacakan oleh guru-guru dipentas kuliah dan ceramah bagi menangani kebejatan pemikiran hari ini. Hinggakan mimpi pun dijadikan panduan, itupun ada orang yang percaya dan ikut. Memang betullah akhir zaman. Hasbiallahu wanikmal wakil!
Abu Razeen
Perjalanan Mimpi oleh Pemimpi.

No comments:

Post a Comment