Sunday, May 29, 2022

DARI MELAKA KE COTABATO PERANG MELAKA – PORTUGIS 1511 ARC Bookreview

Buku: DARI MELAKA KE COTABATO PERANG MELAKA – PORTUGIS 1511
Penulis: RAFE RAHMAT
Terbitan: Rafely Rahmat Subang Jaya 2020
Mukasurat: 327

1. Subjek sejarah Melayu tidak akan sama lagi, selepas anda membaca “Dari Melaka ke Cotabato”, karya cerita+dokumentari (cerdok?) garapan Rafely Rahmat yang tidak akan mengecewakan anda, terutamanya peminat sejarah. Nukilan dari lipatan sejarah yang jarang diketahui dicerahkan semula dalam buku ini.

2. Sejarah awal penjajahan pasti tidak lengkap jika tidak mengkaji kejatuhan Melaka, minda yang waras, tidak akan diam untuk mencari jawapan bagaimana dan mengapa. Makin digali makin tidak tahu jadinya, kata Socrates. Jadi ubat untuk tidak tahu adalah dengan membaca dan terus mengkaji. Jangan jadikan otak anda yogurt basi di atas sana.

3. Tatkala Jepun bangkit menjajah Asia dek keagungan Meiji. China bangkit inspirasi dinasti Han. India dengan Kerajaan Chola, Indonesia dengan Mataram dan Majapahit, maka sayugianya Malaysia bangkit dengan kemegahan kerajaan Melaka.

lukisan Conquest of Malacca

4. Namun sejarah bukan hanya berenak-enak dengan kemegahan semata, tetapi lebih kepada pengkajian pemahaman dan pengajaran. Perbicaraan tentang sesuatu daerah, bangsa dan zaman merupakan dasar subjek sejarah bagi Ibnu Khaldun, Jesteru sejarah sifatnya mengajar agar jangan kita terciduk lagi buat kesekian kalinya. Inilah uslub al-Quran.

5. Isu kelebihan dan kekurangan taktikal abad ke enam belas rancak dibahaskan dalam facebook group ketenteraan lewat era PKP, masing masing mempunyai hujah dan mempertengahkan hasil bacaan dan kajian., kalau hati rapuh jangan cuba langgar idea orang, kelebihan penulis memanipulasi isu berjaya mencungkil otai-otai sejarah sehingga sebahagian perdebatan turut disisipkan dalam buku ini.

6. Pendedahan catatan barat tentang penjarahan Potugis agak mengejutkan, mukasurat 121:

“… Portugis merampas 3,000 pucuk Meriam yang mana 2,000 adalah diperbuat dari gangsa. Meriam-meriam tersebut adalah dari pelbagai saiz dari rentang dan cetbang, lela dan meriam sederhana. Portugis mengakui meriam-meriam ini berkualiti seperti Meriam-meriam buatan Jerman ….. Portugis juga merampas 5 ribu laras senjata api jenis arquebus atau musket…”

7. Fakta kekuatan yang ditulis pihak lawan adakalanya jujur dan berintegriti. Pelbagai persoalan dilontarkan penulis saat Melaka digegar Portugis, kemanakah armada laut Melaka? dimanakah Mendam Berahi? dimanakah fungsi meriam seribu pucuk keliling kota, dimanakah istinggar, terakol hingga istana Melaka hangus tidak bertugu?. Semuanya pasti mempunyai jawapan ..hanya jika anda mahu membaca.

8. Menyelesaikan pembacaan berharga ini, saya mencadangkan kesimpulan, memiliki peralatan tidak menjamin kejayaan. Melainkan kena ada ilmu untuk kegunaan, penguasaan, kemahiran penyelenggaraan dan jaminan bekalan. Jangan sampai terciduk lagi kerana “(orang beriman) tidak akan masuk ke dalam lubang dua kali”

"لا يلدغ المؤمن من جحر مرتين"


Abu Razeen
Kalau runtuh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba hamba berikan.

#aburazeenbookreview

No comments:

Post a Comment