Sunday, May 29, 2022

DARI MELAKA KE COTABATO PERANG MELAKA – PORTUGIS 1511 ARC Bookreview

Buku: DARI MELAKA KE COTABATO PERANG MELAKA – PORTUGIS 1511
Penulis: RAFE RAHMAT
Terbitan: Rafely Rahmat Subang Jaya 2020
Mukasurat: 327

1. Subjek sejarah Melayu tidak akan sama lagi, selepas anda membaca “Dari Melaka ke Cotabato”, karya cerita+dokumentari (cerdok?) garapan Rafely Rahmat yang tidak akan mengecewakan anda, terutamanya peminat sejarah. Nukilan dari lipatan sejarah yang jarang diketahui dicerahkan semula dalam buku ini.

2. Sejarah awal penjajahan pasti tidak lengkap jika tidak mengkaji kejatuhan Melaka, minda yang waras, tidak akan diam untuk mencari jawapan bagaimana dan mengapa. Makin digali makin tidak tahu jadinya, kata Socrates. Jadi ubat untuk tidak tahu adalah dengan membaca dan terus mengkaji. Jangan jadikan otak anda yogurt basi di atas sana.

3. Tatkala Jepun bangkit menjajah Asia dek keagungan Meiji. China bangkit inspirasi dinasti Han. India dengan Kerajaan Chola, Indonesia dengan Mataram dan Majapahit, maka sayugianya Malaysia bangkit dengan kemegahan kerajaan Melaka.

lukisan Conquest of Malacca

4. Namun sejarah bukan hanya berenak-enak dengan kemegahan semata, tetapi lebih kepada pengkajian pemahaman dan pengajaran. Perbicaraan tentang sesuatu daerah, bangsa dan zaman merupakan dasar subjek sejarah bagi Ibnu Khaldun, Jesteru sejarah sifatnya mengajar agar jangan kita terciduk lagi buat kesekian kalinya. Inilah uslub al-Quran.

5. Isu kelebihan dan kekurangan taktikal abad ke enam belas rancak dibahaskan dalam facebook group ketenteraan lewat era PKP, masing masing mempunyai hujah dan mempertengahkan hasil bacaan dan kajian., kalau hati rapuh jangan cuba langgar idea orang, kelebihan penulis memanipulasi isu berjaya mencungkil otai-otai sejarah sehingga sebahagian perdebatan turut disisipkan dalam buku ini.

6. Pendedahan catatan barat tentang penjarahan Potugis agak mengejutkan, mukasurat 121:

“… Portugis merampas 3,000 pucuk Meriam yang mana 2,000 adalah diperbuat dari gangsa. Meriam-meriam tersebut adalah dari pelbagai saiz dari rentang dan cetbang, lela dan meriam sederhana. Portugis mengakui meriam-meriam ini berkualiti seperti Meriam-meriam buatan Jerman ….. Portugis juga merampas 5 ribu laras senjata api jenis arquebus atau musket…”

7. Fakta kekuatan yang ditulis pihak lawan adakalanya jujur dan berintegriti. Pelbagai persoalan dilontarkan penulis saat Melaka digegar Portugis, kemanakah armada laut Melaka? dimanakah Mendam Berahi? dimanakah fungsi meriam seribu pucuk keliling kota, dimanakah istinggar, terakol hingga istana Melaka hangus tidak bertugu?. Semuanya pasti mempunyai jawapan ..hanya jika anda mahu membaca.

8. Menyelesaikan pembacaan berharga ini, saya mencadangkan kesimpulan, memiliki peralatan tidak menjamin kejayaan. Melainkan kena ada ilmu untuk kegunaan, penguasaan, kemahiran penyelenggaraan dan jaminan bekalan. Jangan sampai terciduk lagi kerana “(orang beriman) tidak akan masuk ke dalam lubang dua kali”

"لا يلدغ المؤمن من جحر مرتين"


Abu Razeen
Kalau runtuh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba hamba berikan.

#aburazeenbookreview

Sunday, May 22, 2022

Book review: MADINAH AL-MUNAWWARAH KELEBIHAN DAN SEJARAH


Buku: MADINAH AL-MUNAWWARAH KELEBIHAN DAN SEJARAH
Penulis: DR ABDUL BASIT BIN ABDUL RAHMAN
Terbitan: Telaga Biru Sdn Bhd

link youtube bookreview

1. Jika menjadi tetamu kenduri kahwin sudah cukup menggembirakan, apatah lagi menjadi tetamu Allah, tetapi samakah menjadi tetamu tanah suci, jika hanya melenggang tanpa ilmu ibarat makan angin?. Disebalik kos yang tinggi, pasti ada hikmah tersembunyi dibalik bebatuan gersang hijaz sehingga menjadi gesaan Nabi untuk musafir padanya.

2. Jesteru Mekah dan Madinah bukanlah hanya sekadar Haji, Umrah dan ziarah semata-mata, ia berkenaan menyusuri kesan sejarah, perjuangan, pengorbanan dan matlamat hidup. Semua ini kita mungkin tidak akan dapat, tanpa penerangan dan penghayatan melainkan anda seorang *Muwalad atau **Mutawif.

3. Jalan paling mudah untuk mendapat gambaran Makkah dan Madinah adalah dengan membaca. Sebenarnya tidak sesukar mana untuk mencari buku Mekah dan Madinah, semudah mendaftar jemaah umrah, anda (mungkin) akan dibekalkan dengan buku manual haji/umrah bersekali dengan penerangan ringkas kota suci secara percuma.

4. Namun dalam kebanyakan buku berkenaan Mekah dan Madinah, masing-masing ada keistimewaan tersendiri. Ada yang tebal panjang lebar, ada yang ringkas dan ada yang ngam ngam. Ada yang isi kandungan semata dan ada juga diselangi gambar. Miliki mana yang kita suka.

5. Buku Madinah karya Dato’ Dr. Abdul Basit (Abu Anas) adalah yang terbaik buat saya. Tidak terlalu panjang dan tidak pula terlalu pendek. Sebahagiannya konten disusuli dengan Nas ada juga fatwa dan ijtihad kontemporari, malah kalau untuk short notice ke Mekah, anda mungkin boleh khatam semasa dalam kenderaan.

6. Paperback, foto gambar rajah bewarna, info padat lengkap glosari, bibliografi dan indeks. Ciri ciri penting buku intelek tapi masih mudah difahami golongan pasar. Tidak hairan jika dikatakan penerbit Telaga Biru memang terkehadapan dari segi grafik dan mutu penerbitan bagi kategori buku agama. Saiz, berat dan keanjalan buku menjadi travel mate yang muat molek dalam kocek vest mutawif. Buku inilah yang diusung sejak tahun 2016 hingga kini.

7. Tidak lengkap memiliki buku Madinah tanpa kembarnya, Makkah Mukarramah. Dengan mutu dan konten yang setara hebatnya, pastikan buku ini dicompartment hadapan seat anda dalam flight, pedulikan seat business class yang macam jakuzi atau ekonomi yang macam bangku kopitiam, dengan baca buku ini pastinya 8-9 jam perjalanan seakan tidak terasa.

8. Teratas dari segala keutamaan rupa dan isi kandungan buku adalah sosok penulis itu sendiri. Dengan kombo Ijazah Sarjana dan Kedoktoran PHD Universiti Islam Madinah, ketokohan Abu Anas dalam bidang dakwah kontemporer disegani ilmuan tanah air dan luar negara.

9. Namun jika anda bukan ulat buku atau suka study awal, tindakan berkepit dengan Mutawif atau ***Mutawifah adalah perkara paling bijak disepanjang permusafiran anda. Pastinya anda tidak mahu sekadar membawa balik kurma, air zam-zam, tasbih, sejadah dan key-chain sahaja bukan?

Review Makkatul Mukarramah Kelebihan dan Sejarah

 https://www.facebook.com/abu.razeen.5/videos/10217474598710328/?sfnsn=mo

Abu Razeen

Jom ziarah Rasul!

*Muwalad: Bukan penduduk asal Mekah, tapi dilahirkan di Mekah

**Mutawif: Jurupandu/Guider/Touristguide/Pembimbingtanahsuci

***Mutawifah: Sama erti Mutawif, gender wanita.

#aburazeenbookreview