Wednesday, August 4, 2021

ADAKAH KAKITANGAN AWAM BOLEH DISAMAN

Seorang sahabat bertanya tentang kedudukan penjawat awam. Adakah mereka boleh disaman atas tugas mereka atau sebaliknya. Pertama-tamanya fahamkan erti saman itu dulu. Saman boleh jadi Saman Jenayah atau Saman Sivil. Perbincangan ini adalah mengenai Saman Sivil. Iaitu permohonan atau tuntutan yang dibuat bukan oleh Timbalan Pendakwa atau Pendakwa Syarie. 

1. Adakah Penjawat Awam boleh disaman?

Secara asasnya, semua orang boleh disaman. Semua kuasa yang terbit dari undang-undang mestilah dilaksanakan mengikut undang-undang. Ini termasuklah sesiapa yang berjawatan di pejabat kerajaan, termasuk Perdana Menteri, menteri, ahli parlimen, institusi awam dan juga penjawat awam.

Semakan kehakiman adalah proses untuk memastikan undang-undang dilaksanakan dalam negara. Mahkamah yang melaksanakan semakan kehakiman akan melihat sama ada agensi pelaksana melakukan tugas mengikut kuasa yang diberikan kepadanya. Oleh yang demikian tiada orang atau agensi yang keputusannnya mengatasi undang-undang. Prinsip undang undang yang dilaksanakan di Malaysia adalah bukti kepada kerajaan berasaskan demokrasi yang berfungsi

Prinsip ini tidak terhad kepada undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan, tetapi meliputi keputusan yang dibuat oleh undang-undang tersebut. Contohnya Akta Prosiding Kerajaan 1956 membenarkan tindakan terhadap kerajaan diambil atas undang undang kontrak dan tort.

2. Apabila penjawat awam disaman, apakah tindakan ketua pejabat?

Ketua Jabatan atau Ketua Pejabat hendaklah mengemukakan notis/saman serta pernyataan tuntutan dikemukakan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri tersebut, bagi negeri, manakala bagi Wilayah Persekutuan kepada Pejabat Peguam Negara.

Bidangkuasa Penasihat Undang-Undang ini dinyatakan dalam seksyen 22 dan 22(1) Government Proceedings Act 1956, contohnya bagi negeri:

Parties to proceedings by and against a State Government

22. (1) Civil proceedings by or against the Government of a State shall be instituted by or against the Government of such State.

(2) Where any civil proceedings against the Government of a State are instituted, an application may at any stage of the proceedings be made to the court by or on behalf of the Legal Adviser of such State, or, in the case of the States of Sabah and Sarawak, the State Attorney General to have the Federal Government or the Government of such other State as may be specified in the application substituted for or joined with the Government of such State as defendant to the proceedings.

Prosiding tersebut walau saman terhadap Pendaftar contohnya, tetap akan dihadiri oleh Peguam Persekutuan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang. Tidak boleh mewakili diri sendiri atau mengambil peguam selain peguam persekutuan.

Ini untuk kes saman sivil. Sama ada saman di Mahkamah Sivil mahupun Saman di Mahkamah Syariah. Manakala saman jenayah tidak terpakai.

3. Adakah undang-undang yang melindungi penjawat awam sewaktu menjalankan tugasnya?

Ada. Contohnya untuk kakitangan Mahkamah Syariah yang bertindak atas kapasiti lantikan beliau semasa melaksanakan tugas, terdapat seksyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (2003). Pelindungan ini bertujuan diberikan kepada Hakim dan Pegawai Mahkamah berdasarkan tugas kehakimannya bagi Hakim Syarie dan melaksanakan waran atau perintah yang sah disisi undang-undang bagi pegawai Mahkamah:

(1) Tiada seorang pun Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa di mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil bagi sesuatu perbuatan yang dilakukan atau diperintahkan olehnya supaya dilakukan dalam menjalankan tugas kehakimannya, sama ada dalam had bidang kuasanya atau tidak, dan tiada apa-apa perintah bagi kos boleh dibuat terhadapnya, dengan syarat bahawa dia pada masa itu dengan suci hati percaya bahawa dia mempunyai bidang kuasa untuk melakukan atau memerintahkan perbuatan itu.

(2) Tiada pegawai mana-mana Mahkamah atau mana-mana orang lain yang terikat untuk melaksanakan waran atau perintah yang sah di sisi undang-undang yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa dalam mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil melaksanakan waran atau perintah itu.

Meskipun Seksyen 76 bertindak sebagai imuniti dalam menjalankan tugas rasmi, namun apabila kakitangan awam disaman, mereka tetap tertakluk untuk menjawab saman tersebut melalui prosedur yang dinyatakan dalam Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Terdapat banyak kes yang melibatkan saman terhadap kakitangan kerajaan, contohnya dalam kes Othman bin M.Dalan @ Lan dan 7 Yang Lain lwn Normala binti Abdullah dan Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Baharudin bin Baharom lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang dalam Jurnal Hukum 41Bhgn 1. Kes Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Jld 24 Bhg 1 dan lain-lain lagi.

Abu Razeen

*Berbeza jika tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib, itu lain kitab. 

No comments:

Post a Comment