Pra: Artikel ini ditulis dalam konteks memenuhi muqaddimah dalam projek buku terkini berkaitan undang-undang Mahkamah Syariah, memandangkan pembikinan tersebut memakan masa disebabkan isu bajet, kobid, pindah dan macam macam mehnah lagi maka, saya prelude kan kat sini. Dan antara tujuan lain untuk memberi manfaat kepada researcher untuk memenuhi kehendak literature review dalam thesis. Jika ada pahala darinya saya mohon tuan-tuan/puan-puan doakan saya dapat siapkan buku sendiri. InsyaAllah. Saya mohon jika nak gunakan sila beri kredit dan link pada artikel ini, dan esok kalau buku ini diterbitkan, belilah untuk faedah bersama.
KONSEP
RAYUAN DI DALAM ISLAM
Abu Razeen
MUQADDIMAH
1. Prinsip utama penyampaian hak dalam Islam adalah adil. Bersikap adil adalah perintah dari Allah SWT dalam ayat 58 surah An-Nisaa “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”. Salah satu ciri keadilan dalam perbicaraan adalah hak untuk merayu, pihak yang terkilan dengan keputusan hakim boleh memanjangkan aduan kepada pihak yang lebih tinggi. Prinsip ini dikenalpasti melalui amalan pengadilan Rasul SAW, para sahabat, sehinggalah ke zaman khalifah Islamiah terakhir di Turki. Meskipun kuasa khalifah yang menggabungkan pemerintahan kerajaan Islam dibawah satu bendera tidak lagi wujud, tetapi asas perundangan masih diamalkan sehingga ke hari ini, terutamanya di negara Timur Tengah, Asia dan Malaysia adalah tidak terkecuali.
2. Selain memberikan keadilan kepada yang berhak, asas kehakiman Islam juga berpegang kepada prinsip ‘kebenaran lebih utama, dari berterusan dalam kebatilan’. Penguatkuasaan terhadap prinsip ini dapat dilaksanakan melalui sistem mahkamah yang berperingkat. Konsep rayuan dan semakan kepada mahkamah yang lebih tinggi, menepati prinsip keadilan samada rayuan tersebut atas permintaan pihak-pihak yang terlibat atau semakan yang datangnnya dari mahkamah yang membicarakan itu sendiri.
RAYUAN ZAMAN RASUL3. Antara nas yang sering digunakan oleh peguam dalam penggulungan hujah kes rayuan adalah peristiwa lubang singa atau dikenali sebagai ‘Zubyah al Asad’, peristiwa berlaku pada masa hayat Rasul SAW apabila Saidina Ali yang menjadi hakim di Yaman telah menjatuhkan hukuman denda atau diyat bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diyat, kedua satu pertiga diyat, ketiga satu perdua diyat dan orang yang keempat mendapat diyat yang penuh.
4. Diyat ini dikenakan kepada kabilah-kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana merekalah yang menyebabkan orang yang pertama jatuh ke dalam lubang diikuti oleh orang yang kedua kerana ditarik oleh orang yang pertama. Manakala orang yang kedua ditarik pula oleh orang yang ketiga dan seterusnya menyebabkan semuanya mati.
5. Yang pertama mendapat
satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian, yang kedua mendapat satu
pertiga kerana dia menyebabkan dua kematian dan yang ketiga mendapat setengah
bahagian kerana dia menyebabkan satu kematian sahaja dan yang keempat mendapat diyat
penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.
6. Keputusan ini
tidak dipersetujui oleh beberapa kabilah sehingga hampir-hampir membawa kepada
peperangan, lalu Saidina Ali memutuskan. “Adakah kamu hendak berperang sedangkan Rasul
SAW masih hidup? Dan saya berada di tengah-tengah antara kamu, sayalah yang
sepatutnya membuat keputusan. Kalau kamu tidak berpuas hati dengan keputusan
saya maka keputusan tersebut tidak akan berjalan sehingga kamu berjumpa kepada
Rasul SAW kerana baginda lebih berilmu”[1]. Atas
keputusan Saidina Ali tersebut menyebabkan pembayaran diyat ditangguhkan.
7. Saidina Ali
lalu mengadap Rasul SAW memohon agar dilihat semula kes mereka ini dan hukuman
yang dijatuhkan oleh Saidina Ali disemak semula. Akhirnya Rasul SAW menyetujui
keputusan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Saidina Ali tersebut.
8. Dalam riwayat
yang lain pula menyebutkan bahawa ada diantara kabilah tersebut yang reda
dengan keputusan Saidina Ali dan ada yang tidak bersetuju. Melihat yang
demikian Saidina Ali berkata. “Berpeganglah kamu kepada hukumanku sehingga kamu
berjumpa Rasul SAW dan hukuman yang baginda berikan.” Mereka bersetuju dengan
cadangan Saidina Ali.
9. Pada musim haji
mereka ke Mekah untuk menemui Rasul SAW dan mengemukakan rayuan mereka di
Masjidil Haram iaitu di Maqam Ibrahiim. Rasul bersetuju untuk mendengar rayuan
mereka dan akhirnya Rasul menolak rayuan dan mengekalkan keputusan Saidina Ali.
10. Selain dari
rayuan, terdapat juga proses pengawasan dan semakan oleh mahkamah yang lebih
tinggi terhadap mahkamah rendah. Perbezaan antara rayuan dan semakan, rayuan
hanya boleh dibuat oleh pihak-pihak yang diadili setelah keputusan dibuat oleh
hakim bicara, manakala semakan boleh dibuat sebelum hakim membuat keputusan,
semakan boleh dibuat melalui permohonan pihak yang berkepentingan dan boleh
juga datang dari Hakim yang membicarakan kes itu sendiri. Proses semakan turut
mendapat tempat dalam sejarah perundangan Islam apabila Saidina Umar pernah
berkata:
11. “Tidak ada
halangan bagimu untuk memeriksa dengan akalmu dan mempertimbangkan dengan
petunjukmu, keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini agar engkau
sampai kepada kebenaran. Kerana sesungguhnya kebenaran itu harus dilaksanakan.
Dan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berpanjangan dalam
kebatilan[2].
12. Beberapa
pandangan fuqaha’ terhadap prinsip semakan telah diutarakan oleh YA Dato’ Hj
Muhammad Asri bin Hj Abdullah di dalam artikel beliau. Dalam keadaan pertama,
jika Hakim tersilap pada sesuatu keputusannya, sekiranya Hakim sengaja membuat
sesuatu keputusan yang salah dan dia mengakui kesalahannya itu. Hakim tersebut
wajib menggantikan sebarang kerugian yang melibat tertuduh dan dia harus
dihukum takzir dan dipecat dari jawatan hakim. Sebaliknya, jika dia membuat
satu keputusan yang salah dengan tidak sengaja, dia tidak wajib menggantikan
sebarang kerugian yang terkena pada tertuduh kerana kedudukannya sebagai hakim
adalah sebagai wakil kepada pihak pemerintah.
13. Jika hakim
tersilap dalam membuat keputusan yang melibatkan hak Allah seperti kes zina,
minum arak dan mencuri, keputusan yang dibuatnya akan terbatal dan sebarang
kerugian yang melibatkan tertuduh wajib diganti oleh pihak pemerintah dengan
mengambil peruntukan wang Baitulmal. Bagi kes hakim yang sengaja membuat kesilapan
hukuman seperti kes qisas, maka dia wajib membayar diyat, begitu
juga dengan kes-kes yang lain.
14. Kesilapan keputusan
yang disebabkan dari kesilapan berijitihad seorang hakim yang sah disisi
syarak, tidak boleh dibatalkan dan hakim tidak dikenakan apa-apa bayaran ganti
rugi. Hal ini ada dinyatakan dalam satu hadis Rasul SAW bahawa hakim tidak
dikira salah jika dia tersilap berijtihad bahkan dia akan diberi satu ganjaran
pahala berbanding dua ganjaran pahala yang didapatinya hasil ijtihad yang betul[3].
RAYUAN ZAMAN KHALIFAH UMAR
15. Dalam
pemerintahan Saidina Umar selama 10 tahun bermula dari 13 hijrah, sistem
perundangan Islam telah disusun. Saidina Umar berpendapat, jika seseorang hakim
mendapati bahawa hukuman yang dijatuhkannya itu ternyata salah, maka hendaklah
diperbetulkan kerana tidak ada sesuatu pun yang boleh membatalkan hak dan
melupakan kebenaran[4].
16. Meskipun
prinsip membatalkan hak adalah wajar, tetapi pada masa yang sama adalah tidak
wajar bagi mahkamah menukar hukumannya dan meminda keputusannya dengan begitu
mudah, jika ini berlaku ianya akan menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap
institusi kehakiman dan menjejaskan kewibawaan kehakiman dan mahkamah.
17. Dalam hal ini
Saidina Umar telah memperkenalkan sistem kehakiman dua peringkat di Madinah dan
juga beliau sendiri memegang jawatan Ketua Hakim yang mendengar rayuan dari
pihak-pihak yang tidak puas hati terhadap keputusan hakim-hakim yang dilantik.
Lebih jauh dari itu beliau juga mempunyai bidangkuasa mengulangkaji keputusan-keputusan
hakim-hakimnya.
18. Saidina Umar
juga telah mengawasi pentadbiran kehakiman dengan menggunakan sistem mahkamah madzalim
atau lebih terkenal dengan wilayah madzalim secara berkesan. Beliau
membuka luas pintu pengaduan kepada rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan
pegawainya dan kepincangan-kepincangan pentadbiran yang wujud, rakyat dengan
mudah untuk menuntut hak dan keadilan semasa pemerintahan saidnia Umar, musim
haji adalah merupakan kemuncak perbicaraan atau penyiasatan Mahkamah Madzalim
ini. Tujuannya untuk mengembalikan hak orang yang berhak, menegakkan keadilan, menyiasat
penyelewengan pegawai dan menghindarkan kezaliman mereka.
19. Dalam
menggambarkan keadilan sistem Saidina Umar, pernah berlaku pada tahun kebuluran,
telah berlaku zina di mana seorang perempuan yang telah pun berkahwin membuat
pengakuan atau beriqrar ia mengandung akibat melakukan zina dan meminta
khalifah Umar mengenakan hukuman rejam. Saidina Ali telah meneliti kes tersebut
sebelum hukuman dijatuhkan. Setelah disiasat, didapati perempuan tersebut telah
dipaksa dan zina tersebut bukanlah dengan kerelaannya tetapi kerana untuk menyelamatkan
dirinya dari kehausan dan kebuluran.
20. Kejadian itu
berlaku ketika perempuan itu terlalu dahaga, ia terjumpa seorang lelaki yang
memiliki susu, ia meminta sedikit susu dari lelaki tersebut. Susu diberikan
dengan syarat perempuan itu menyerahkan dirinya lalu lelaki tersebut
memperkosanya. Setelah mendengar keterangan tersebut maka Saidina Ali
memberikan pendapat bahawa perempuan tersebut tidak bersalah atas alasan
darurat. Saidina Umar membebaskan perempuan tersebut berdasarkan pandangan
Saidina Ali[5].
21. Dalam peristiwa
ini, Saidina Umar yang bertanggungjawab untuk menjatuhkan hukuman rejam keatas
pengakuan zina perempuan tersebut, telah menarik balik hukuman berdasarkan
pendapat Saidina Ali. Ini menunjukkan keadilan Islam terhadap pandangan kedua disisi undang-undang.
22. Semasa pemerintahan Aghlabiyah, Fatimiyah
hingga Kalbiyah di Sicily selama 264 tahun, sistem pentadbiran kehakiman dan
ketenteraan adalah secara berpusat. Khalifah atau Sultan merupakan kuasa yang
tertinggi dalam bidang pentadbiran, kehakiman dan ketenteraan[6].
23. Walaupun bidang kuasa kehakiman terletak
kepada Sultan atau khalifah, kuasa mereka diimbangi dan dipantau oleh satu
badan dipanggil Diwan Nazir al Mazalim. Sekiranya sultan tidak
menjalankan keadilan dalam pentadbiran kehakiman, maka pihak yang teraniaya
boleh mengemukakan aduan kepada Diwan Nazir Al Mazalim ini dan Qadi
Al-Mazalim akan memutuskan dengan adil.
24. Sultan akan melantik ketua hakim yang
dipanggil Qadi Al Qudat. Disamping pelantikan ketua hakim, sultan juga
melantik hakim-hakim biasa yang dipanggil Qadi yang membicarakan kes di
wilayah-wilayah yang ditentukan. Hakim-hakim ini mempunyai bidang kuasa yang
terbatas di mana mereka hanya mendengar dan membicarakan kes-kes tertentu dalam
wilayah mereka sahaja. Manakala, Qadi Al Qudat mempunyai bidangkuasa
yang tidak terbatas. Beliau boleh mendengar dan memutuskan semua jenis kes bagi
seluruh wilayah.
25. Kuasa mendengar rayuan pula adalah pada
khalifah atau sultan. Sekiranya pihak-pihak tidak berpuas hati dengan keputusan
hakim-hakim, maka mereka boleh merayu kepada sultan atau khalifah. Sekiranya
sultan atau khalifah gagal menyediakan keadilan kepada pihak-pihak ketika
mendengar rayuan dan ketika membuat keputusan, maka pihak-pihak boleh membuat
aduan kepada Qadi Al Mazalim.
26. Diwan Nazir Al Mazalim merupakan sebuah badan yang terdiri
daripada seorang pengerusi yang dipanggil Qadi Al Mazalim dan dibantu
oleh hakim-hakim, para fuqaha dan pembesar-pembesar kerajaan yang
dipilih. Badan ini akan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan dan membatalkan
setiap keputusan, hukuman dan tindakan yang tidak adil yang dilakukan oleh
khalifah, hakim-hakim dan pentadbir-pentadbir.
27. Pada zaman keemasan Islam di Eropah
inilah, berlakunya adaptasi undang-undang Islam ke dalam common law[7] hasil
dari keadilan Islam dan asimilasi penduduk Eropah dan orang Islam berbangsa
Arab yang berlaku hampir tiga kurun.
28. Sebelum berlaku pemurnian undang-undang
di Eropah, kuasa kehakiman dipegang oleh raja dan diperturunkan kepada golongan
paderi yang menubuhkan mahkamah gereja. Golongan paderi mempunyai bidangkuasa
untuk menjalankan perbicaraan, memutuskan penghakiman dan menjalankan hukuman
ke atas semua lapisan masyarakat kecuali raja. Pada zaman kegelapan Eropah,
raja kebal dari undang-undang kerana mereka berada di atas undang-undang. Tugas
golongan paderi juga adalah untuk memberi justifikasi ke atas segala tindakan
raja yang zalim, kesannya masyarakat Eropah tidak mendapat pembelaan ke atas
kezaliman yang berlaku ke atas mereka.
29. Bukti kezaliman pada zaman kegelapan dapat
dilihat melalui alat inquisition yang masih dipamerkan sehingga ke hari
ini, dokumentari sejarah[8] dan
sebahagian undang-undang kuno tersebut diabadikan dalam bentuk cereka[9]. Kesan ketidakadilan
yang lebih besar, adalah penolakan terhadap sistem beraja dan pemusatan kuasa
gereja sehingga menghasilkan ideologi sekular[10] dan
juga golongan atheis.
30. Sebelum zaman reformasi Turki,
undang-undang Islam mendominasi sistem perundangan Khalifah Othmaniah selama
470 tahun, namun undang-undang diri dan undang-undang awam dipisahkan. Sultan
tidak pernah mencampuri urusan kehakiman yang diputuskan oleh Qadi dalam
undang-undang diri, melainkan penghakiman yang diberikan tidak adil, pada masa
itu sultan akan berperanan sebagai pembela hukum syara[11]’. Manakala
bidangkuasa hukuman jenayah membunuh dikembalikan kepada ahli waris mangsa
untuk memaafkan atau hukuman balasan. Walaubagaimanapun hukuman balas bunuh
hanya boleh dikuatkuasakan dengan kebenaran sultan.
31. Dalam sistem kehakiman Othmaniah, prinsip
keadilan Islam dilimpahkan kepada undang-undang selain syariah. Untuk setiap
mahkamah yang ditubuhkan bagi membicarakan kes yang berbeza bidangkuasa dan
juga di tempat yang berbeza, pemerintah pasti mewujudkan mahkamah yang lebih
utama bagi mengambil mendengar rayuan.
32. Pada tahun 1864 pemerintahan Othmaniah
telah menubuhkan undang-undang tempatan yang dipengerusikan oleh panel
perbicaraan disetiap negeri. Panel rayuan disediakan untuk mahkamah rendah dan
mahkamah tinggi disetiap ibu negeri sebagai tambahan kepada mahkamah komersil.
Mahkamah ini berbidangkuasa untuk menyemak kes-kes yang tidak melibatkan
perundangan syariah, komuniti, konsular dan mahkamah komersil. Mahkamah ini
akan menyemak kes yang melibatkan penduduk di wilayah Othmaniah tanpa mengira
muslim atau bukan muslim. Mahkamah ini dikenali sebagai Mahkamah Nizamiye,
Hakim syarie (qadi) mempengerusikan mahkamah ini.
33. Apabila pentadbiran mahkamah dipisahkan
dengan tertubuhnya Konsul Negara pada tahun 1868, Tribunal Kehakiman (Divan-i
Ahkam-i Adliye) mula mengambil tempat sebagai mahkamah utama untuk mahkamah
yang lebih rendah. Mahkamah ini mempunyai konsul muslim dan bukan muslim bagi
memenuhi prinsip keadilan. Mahkamah ini dipisahkan kepada bahagian mahkamah
rayuan dan cassation court.
34. Dalam tahun yang sama, mahkamah awam
distruktur semula kepada daerah kecil, kampung dan cawangan. Mahkamah cawangan
diberikan kuasa mendengar rayuan bagi kes mahkamah rendah. Mahkamah yang
membicarakan kesalahan dipanggil ‘Mahkamah Jenayah’ ditubuhkan untuk menyemak
kes jenayah yang penting, dianggotai oleh hakim dari mahkamah jenayah dan
keadilan di peringkat jajahan.
35. Khalifah Othmaniah mempunyai kuasa
legislatif selagi mana mereka tidak melanggar atau mencabuli hukum hakam dalam
agama. Penguasaan mutlak Sultan terhadap kuasa legislatif dan eksekutif
diperkuatkan hasil adaptasi perlembagaan negara Belgian dan Prussia pada tahun
1876 melalui Perlembagaan Negara Othmaniah (Kanun-u Esasi). Perlembagaan
ini kemudiannya di imbangi dengan kuasa legislatif parlimen yang diwakili oleh
menteri. Bidangkuasa perundangan khalifah berakhir pada tahun 1923 apabila
Turki diisytiharkan sebagai negara republik. Kini undang-undang diri dan
keluarga diceduk dari undang-undang sivil Italy dan tiada lagi Mahkamah Syariah[12].
KONSEP RAYUAN DALAM PERUNDANGAN ISLAM
KINI
36. Dalam pentadbiran undang-undang syariah
moden, diwujudkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertujuan
meningkatkan kecekapan dan keseragaman sistem pentadbiran mahkamah syariah di
Malaysia bermula tahun 1998.
37. Objektif pertama JKSM adalah untuk
mengendalikan kes-kes Mahkamah Rayuan Syariah terutamanya untuk mahkamah
syariah negeri yang menjalinkan hubungan gunasama, beberapa hakim kanan bermula
dari Jusa C dilantik bagi mendengar kes rayuan. Bagi memastikan keberkesanan
sistem rayuan, pihak JKSM mensasarkan 80 peratus kes-kes Mahkamah Rayuan
Syariah diselesaikan dalam tempoh 6 bulan selepas didaftarkan di JKSM[13].
38. Antara inisiatif terawal untuk memperkembangkan
undang-undang syarak secara seragam adalah penerbitan Jurnal Hukum yang
diterbitkan seawal 1980 oleh Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri dan kini
diteruskan penerbitannya oleh JKSM. Isi kandungan utama adalah alasan
penghakiman kes-kes rayuan untuk dijadikan pedoman oleh mahkamah yang
terkemudian.
39. Mengambil satu contoh rayuan kes cerai talak
tiga yang disabitkan oleh hakim bicara melalui iqrar suami dalam kes
Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman JH Jilid 8 Bhgn 1 ms 41 – 47, jawatankuasa
rayuan telah membenarkan rayuan suami dan memutuskan kes dibicarakan semula.
40. Menariknya kes ini, jawatankuasa rayuan
telah menerangkan prinsip perbicaraan dan rayuan dalam Islam. Dalam kes
tersebut, jawatankuasa mendapati saksi-saksi tidak dipanggil untuk memberikan
keterangan sedangkan keterangan mereka
perlu didengar sebelum hukuman diputuskan. Begitu juga dengan dakwaan
perayu bahawa beliau telah disihir dan berubat melalui seorang dukun. Sewajarnya
dukun tersebut dipanggil bagi menentukan kebenaran pernyataan perayu semasa
menceraikan isterinya. Jawatankuasa rayuan telah mendatangkan kes nabi Yusuf
dengan Siti Zulaikha berkenaan dakwaan curang. Dalam kes nabi Yusof, pendapat ra’yu
al-khabir telah menyebabkan dakwaan Siti Zulaikha tertolak[14].
41. Meskipun hakim bicara telah membuat
sabitan berdasarkan iqrar dan iqrar adalah pembuktian terkuat
dalam hukum syara’, tetapi jawatankuasa rayuan menegaskan iqrar
hendaklah dipastikan mutlaq tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan
perkara lain. Iqrar perayu dalam kes rujukan tidaklah mutlaq tetapi
berkaitan dengan keadaannya yang kena sihir semasa menjatuhkan talaq, iqrar
hendaklah diselidiki keadaan suasana dan latar belakangnya, sebelum iqrar
tersebut diterima dan disabitkan. Oleh sebab itu jawatankuasa telah memutuskan
hukuman hakim bicara terbatal dan kes dibicarakan semula dihadapan hakim yang
lain.
42. Selain dari kuasa mahkamah lebih tinggi
untuk mendengar rayuan syariah, terdapat satu lagi kuasa prerogatif yang
diperuntukan dalam undang-undang tetapi digunakan secara terhad. Bagi negeri
Melaka, seksyen 3 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (negeri Melaka) 2002
menyatakan: ‘Kecuali sebagaimana yang
diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen
ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam
Enakmen ini boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak
dan kuasa-kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam dalam Negeri Melaka sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Negeri Melaka’.
43. Bagi menerangkan bidangkuasa ini, kes
Pendakwa Syarie v Kartikasari Sari Dewi 2008 dirujuk. Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah
resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah
Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan. Kes
tersebut menjadi sensasi selepas mendapat liputan luas media. Atas ehsan Sultan
Ahmad Shah selaku Ketua Agama Islam bagi negeri Pahang pada waktu tersebut,
hukuman diringankan kepada melakukan khidmat kemasyarakatan di Rumah
Kanak-Kanak Tengku Ampuran Fatimah Kuantan selama 3 minggu[15].
44. Dalam perkembangan terkini, terdapat
usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah yang akan memberi kesan secara
langsung terhadap proses rayuan di Malaysia. Salah satunya adalah penstrukturan
semula mahkamah syariah daripada tiga tingkat kepada empat tingkat, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah
Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri manakala
di peringkat Pusat akan diwujudkan satu Majlis Rayuan Syariah yang baharu[16].
45. Terdahulu,
negeri Perak telah mengorak langkah pertama dengan penubuhan mahkamah syariah
peringkat keempat selepas Mahkamah Rayuan Syariah yang dinamakan Mahkamah Utama
Syariah. Usaha telah bermula selepas mengambil kira titah Sultan
Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal
Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada 6 Ogos 2018.
KESIMPULAN
46. Seiring dengan peningkatan daya intelektual serta celik undang-undang dikalangan orang Islam, didapati semakin banyak kes rayuan yang didaftarkan. Meskipun dari satu sisi, peningkatan pendaftaran kes rayuan bermakna makin ramai yang terkilan dengan keputusan mahkamah, tetapi dari sudut positif peningkatan ini menunjukkan berlakunya penambahan pengetahuan disisi masyarakat dan ini memaksa pihak Mahkamah untuk berfikir lebih kritis dan inovatif dalam membuat keputusan, sesuai dengan perkembangan semasa. Penyusunan sistem rayuan yang teratur dan seragam disemua mahkamah syariah akan dapat meningkatkan kepercayaan pengguna dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di Malaysia bagi merealisasikan slogan ‘Syariah Asas Keadilan’.
[1] Ahmad cAbd al-Mucim al-Bahi, Tarikh al-Qada’ fi al Islam, Matbacah
Lujnah al-Bayan al-cArabi Kaherah, 1965 (satu jilid sahaja)
[2] Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Kuwait, Dar al-Bayan 1971 Jld 3 ms 407
[3] YA Dato’ Hj Muhammad Asri bin Hj Abdullah, Bidangkuasa Pengawasan dan
Penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah. Jurnal Hukum Jld XX Bhg 2 2005
[4] Prof. Madya Dr. Mahmud Saedon, Kehakiman Zaman Khulafa ar-Rasyidin,
Jurnal Hukum Jld VIII Bhg 1 1991
[5] Ibnu Qayyim al-Jauziah, Turuq Hukmiah, Matbaah al-Madani, Kaherah
[6] Hasanudin Yusof, Cahaya Islam dan Syariah di Hati King Roger II,
Pustaka Sri Saujana 2018.ms 42.
[7] Prof John A. Makdisi. The Islamic Origins of the Common Law, 77 N.C. L. Rev. 1635 (1999) (artikel)
[8] https://www.history.com/topics/religion/inquisition
disalin pada 17 Jun 2019.
[9] Braveheart 1995, Season of the Witch 2011
[10] Dr Yusuf Al-Qardhawi, Pertentangan Islam dan Sekular, Maktabah
Al-Qardhawi 1999 ms.63 hingga 72
[11] Dr. Gülnihal BOZKURT, Review of The Ottoman Legal System. Ankara
University.
[12] Unit Dasar dan Penyelidikan, Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Laporan
Lawatan Penyelidikan Mahkamah Syariah Melaka ke Istanbul Turki pada 8 – 12 Mac
2018.
[13] http://www.jksm.gov.my/index.php/ms/profil-jabatan/pengenalan/visi-misi-objektif
disalin pada 17 Jun 2019.
[14] Surah Yusuf:
25-28
[15] https://www.malaysiakini.com/news/128057
disalin pada 17 Jun 2019.
[16] http://www.utusan.com.my/rencana/utama/penstrukturan-semula-mahkamah-syariah-1.36909
disalin pada 17 Jun 2019.
Post: Yang reference bab filem tu nanti kena ganti fakta sebenar. Selamat membaca, nak tunggu lukih lambat la lagi sebab dok sibuk buat hujah kes PTD V anu kes Hibah yang melanggar KTN.
No comments:
Post a Comment