Friday, March 6, 2015

Mimpi keluar Mani 'Wet Dream' dan Arab Spring ke Yahudi Summer.

 
 
 
Pra: 6/3/2015 Hari ini agak lewat ke daurah Maulana, melayankan Maulid sampai dua tempat dalam satu taman. MasyaAllah Tabarakallah, akhirnya dua dua maulid pakcik tak pergi. (correction: pegi makan je) pas tu pakcik pergi daurah. Tarikan Abu Isa At-Tirmizi lebih kuat dari yang lain. Apapun siapa yang pergi majlis ilmu tak kira dimana tempatnya sebenarnya dia tidak rugi, yang rugi yang tak pi langsung.
 
1. Masa sampai Maulana sedang mensyarahkan hadis ke 110 Bab Pada Menyatakan Sesungguhnya Air daripada Air:  Daripada Ubai bin Kaab "Sesungguhnya air daripada air, itu adalah rukhsah pada permulaan Islam, kemudian ia dilarang daripadanya" Syarh: air yang pertama adalah ghusl atau mandi wajib, manakala air yang kedua adalah air mani. memberi erti apabila keluar air mani maka hendaklah mandi wajib.
 
2. Hadis ini dilihat konflik dengan hadis sebelumnya kerana hadis yang ke 108 menyatakan apabila bertemu dua kemaluan 'khitanani' (bersetubuh) maka hendaklah mandi wajib. Manakala Hadis 110 kata apabila keluar air mani baharulah mandi wajib. 108 berjimak sahaja sudah kena mandi meskipun tidak berlaku inzal/keluar mani/ejaculation tapi jika difaham secara literal hadis 110, jimak yang diwajibkan mandi, hanyalah jimak yang mencapai tahap inzal. Jadi disinilah keistimewaan Abu Isa dalam mengarang Sunan/Jami' Tirmizi apabila mengumpulkan hadis yang bertentangan lalu di harmonikan hadis-hadis tersebut.
 
3. Dikatakan bahawa Hadis 'air bertemu air' ini di mansukhkan oleh hadis 108. Bermakna sekiranya berjima' tetapi tidak keluar mani sekalipun maka mereka tetap kena mandi wajib. Inilah yang dipakai oleh kebanyakan ahli ilmu.
 
4. Ibnu Abbas mempunyai pendapat yang sedikit pelik: sekiranya mimpi berjima' (wet dream) keluar mani maka wajib atasnya mandi akan tetapi sekiranya tidak mengalami mimpi jima' tetapi keluar air mani maka orang itu tak perlu mandi.
 
5. Maulana menerangkan tentang hukum nasakh dan mansukh, meskipun dalil yang di'nasakh' itu bermaksud dibatalkan akan tetapi ia tidak semestinya semua yang nasakh itu nasakh. Ada juga nasakh yang boleh diamalkan dalam keadaan tertentu seperti contoh ayat mengenai kiblat: dalam surah Al-Baqarah ayat nasakh adalah mengenai keharusan untuk solat mengadap kemana sahaja, kerana dimana-mana sahaja ia mengadap Allah. Bab ni Maulana kata kena berhati-hati kerana ada terjemahan menerangkan secara literal 'fasamma wajhullah" itu maka kamu mengadap 'wajah Allah'. Sedangkan Allah tidak mempunyai wajah sepertimana yang kita bayangkan, kerana Allah tidak boleh disamakan dengan makhluk mempunyai rupa, jadi  mesti ditakwilkan dengan mengadap ke kiblat. Iaitu sebelum dimansukhkan ayat ini, orang Islam boleh solat mengadap kemana sahaja, kerana kiblat belum ditentukan.
 
6 Kemudian datang ayat 144 Surah Al-Baqarah menyatakan hadaplah wajah kamu ke masjidil Haram (kaabah) maka ayat ini memansukhkan ayat boleh solat mengadap kemana-mana sahaja atau ke baitul maqdis. Oleh sebab itu wajib kita solat fardhu mengadap masjidil haram dan batal solat fardhu jika terpaling dada dari kiblat. Tetapi kita masih boleh beramal dengan ayat Nasakh iaitu solat mengadap mana sahaja dalam kes solat sunat atas kenderaan.

7. Boleh sahaja jika kita naik bas tengah malam, solat sunat duduk dan tidak mengadap kiblat, boleh buat sunat tahajud, witir, taubat, hajat. Kalau jauh perjalanan boleh buat solat sunat tasbih sekali. Jadi solat sunat boleh dilakukan tanpa mengadap kiblat semasa diatas kenderaan sekiranya mempunyai wuduk. 
 8. Seterusnya Bab 82 - Pada Menyatakan Barangsiapa Terjaga Dari Tidur Melihat Air Mani, Tapi Dia tak Ingat Samada Dia mengalami Mimpi Atau Tidak. Daripada Aisyah berkata, seseorang bertanya kepada Rasul berkenaan lelaki yang menjumpai air mani tetapi dia tidak ingat samada ia bermimpi sebelumnya atau tidak. Rasul menjawab "mandi". Dan berkenaan seorang lelaki pasti bahawa ia bermimpi berjima' tetapi apabila jaga ia tidak nampak air mani. Maka Rasul menjawab, tidak perlu mandi. Bertanya Ummu Salamah, Wahai Rasul adakah orang perempuan melihat seperti yang demikian perlu mandi, Rasul berkata "Ya, Akan tetapi orang perempuan susah nak keluar (mani) berbanding dengan orang lelaki."
 9. Daurah harini tamat pada Hadis ke 113, seperti biasa Maulana sebelum berhenti akan bertanya sambil berseloroh, "Boleh lagi" ke "Dah boleh?", kemungkinan apabila melihat kami yang kepedihan mata menahan mengantuk masing-masing kerana jam sudah menunjuk ke 11.00 lebih. Begitulah Maulana yang memahami kami santrinya di Pondok Ledang yang rata-ratanya bekerja disiang hari sepenuh masa. Tahap-tahap 'Ruhban bil lail wa fursan binnahar' (Abid di waktu malam, pahlawan berkuda disiang hari) belum tercapai lagi. Belum lagi berjihad di medan tempur, baru berjihad di medan ilmu, itupun sudah tidak tahan menahan kelopak mata. 
 10. Dikesempatan ini, pakcik selalu mengumpul soalan tentang mana-mana Hadis yang samar-samar maksudnya, itulah peluang bila berdamping dengan orang berilmu, dapat mencerahkan yang kelam, keluar dari jahil menuju ke cahaya. Hadis yang ditanya adalah tentang Hadis ke 2271 Sahih Bukhari dalam Kitab Fathul Bari perihal "Sewaan atau Upah seseorang daripada waktu Asar hinggalah ke Malam". Hadis ini ada hubungkait dengan peristiwa akhir zaman. Pelik kan? bagaimana bab upah ada link dengan akhir zaman, tu lah nak cakap... tapi Maulana minta saya wazzapkan dahulu keratan hadis tersebut untuk diteliti. Jadi tuan puan kenalah bersabar yea. Maulana nampak je tawadhuk cenggini, guna wazzup jugak be! (hadis tu ada dalam entry sebelum ini)
 
 
 11. Usai Daurah, macam biasa Maulana dan santri mengadap jamuan pula, tadi santapan rohani sekarang santapan jasmani. Tapi kalau nak tahu Maulana paling suka bila ada lauk kari. Jadi kalau nak makan kari dari dapur Pondok Ledang, lepas kuliah Maulana sila-silalah ke Pantry yea. (Hancur Diet Atkins Pakcik). Satu rahsia bila berdamping dengan tok tok guru. Apabila kita rajin berkhidmat kepada Tok Guru maka Tok Guru tidak akan lokek dengan ilmu, bahkan mesti dapat extra special tak macam dalam dewan pengajian. Sebab tu para santri berebut rebut memberikan khidmat ...kalau nak tahulah.
12. Hiwar (temubual) kali ini menyambung topik kepimpinan. Terus terang kekelaman kepala otak pakcik sikit sikit di cerahkan oleh hiwar maulana di pantry sebegini. Sebelumnya telah diterangkan mengenai bagaimana akhlak ulama' salafus soleh apabila berhadapan dengan situasi bertentangan pendapat dengan pemerintah. Imam mazhab yang empat kesemuanya mempunyai pengalaman getir bersama pemerintah masing-masing. Bukan penentangan itu yang dilihat tapi bagaimana menangani masalah Negara mengikut kaedah yang betul itulah yang nak diikut. 
13.  Keempat-empat salafus soleh berhadapan dengan penguasa yang 'jabarut' atau mencengkam corak pemerintahan mereka. Pengalaman ini turut di rasai oleh Umar Bin Abdul Aziz semasa di bawah pemerintahan Hajaj. Hajaj mempunyai kebolehan berhujah, pada suatu ketika Hajaj memberikan khutbah Jumaat, satu masalah kepada Hajaj, apabila bercakap susah nak berhenti. Seringkali khutbah Jumaat terlajak sampai ke waktu asar. Ini meresahkan Umar, dalam satu peristiwa, Umar telah bersolat Zuhur dalam keadaan yang tidak diketahui oleh orang lain, walau orang disebelahnya. Ini kerana Umar tidak mahu perbuatannya akan diikuti oleh orang lain sehingga menimbulkan penentangan terhadap Hajaj. Berkat kesabaran Umar, bila tiba giliran pemerintahannya, maka Allah memberkati Daulah pada waktu itu dengan keberkatan dan kemakmuran. 
14. Menyoroti pula 'thaurah' kebangkitan rakyat tertindas di Negara-Negara Arab seawal tahun 2010an atau Arab Spring, dimana rakyat turun ke jalan-jalan menunjuk perasaan menggulingkan kerajaan. Perkara ini bertentangan sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Salafus soleh terdahulu, yang sabar dan mengambil pendekatan berbeza. Hasilnya dapat dilihat kini, Mesir yang dahulunya agak aman kini menjadi tidak menentu selepas Mubarak digulingkan, masa depan Ikhwanul Muslimin Mesir yang merakyat di hati masyarakat pada masa dahulu kini diburu bagaikan penjenayah nomer Wahid. Syria pula apa dah jadi sekarang, potong kepala manusia dah jadi macam ekshibition model kereta baru layaknya. Mungkin ada orang akan argue video adalah ciptaan inteligen Amerika, tapi bagaimana pula video amatur tawanan perang tanpa mengira umur dan jantina ditembak macam penghapusan etnik ayam berpenyakit hawar. Video penglibatan orang Melayu dalam aksi selepas potong kepala berselfie bagai menambahkan buktinya. ......... Jadi dimanakah kebaikannya?   
15. Telah pakcik fikirkan semula mauqif (pendirian) Almarhum Said Ramadhan Al-Buthi dan Mufti Ali Jum'ah apabila tetap berada di kedudukan samping pemerintah, meskipun dilihat orang seumpama ulama' yang tidak mengikut arus perdana. Dikala semua orang turun ke jalanan menuntut guling pemerintah, tapi mereka seumpama tidak Nampak apa yang berlaku, sebenarnya mereka tahu apa yang akan terjadi, maka jadilah apa yang terjadi sekarang. Apabila menggulingkan pemimpin dengan cita-cita mendapat pemimpin yang lebih baik, tetapi keluar mulut harimau terjun masuk mulut buaya. Allaaah! (ulasan: tukar pemimpin guna cara paling aman seperti pemilihan/pilihanraya/syura/demokrasi itu bukan guling namanya)
16. Sekonyong-konyong membicarakan tentang pemerintahan, pakcik terus teringat tentang Risalah Tatmimul Faedah yang disisipkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Alfathoni selepas tamat membahaskan Muniatul Musolli, kalau nak tengok sila selak mukasurat 31 yang cetakan bin Halabi Fathani-Thailand. Gambonya ada kat atas untuk dirujuk. Suka pakcik petik: "...Iaitu bayang-bayang Allah pada muka bumi, maka apabila baik ia maka baginya pahala dan atas segala kamu syukur, dan apabila jahat maka dosa atasnya dan atas kamu sabar"  (baris 13 dari atas)
 
17. Benar! pendapat ini tidak popular berbanding slogan "lawan tetap lawan" tapi ia juga tidak menafikan tugas ulama' untuk menegur pemimpin zalim dan mencegah kemungkaran. 'Mencegah' ini patut difikir habis habisan sebelum tindakan ofensif diambil, belek beleklah sirah Rasulullah semasa berhadapan dengan kafir Quraish. Tatkala Rasul dihalang dari menunaikan Haji pada tahun 6 Hijrah, Rasul tidak pula melenting dan menyerang Mekah meskipun keupayaan telah ada, Hasilnya rundingan dimaterai bernama 'Perjanjian Hudaibiah'. Umar mempunyai pendapat berbeza apabila tidak bersetuju dengan isi kandungan pejanjian tersebut tetapi tidaklah pula ia membangkang Rasul.
 
18. Walhasil, perjanjian Hudaibiah yang dilihat berat sebelah telah membuatkan Islam dapat berkembang lebih luas. Selepas perjanjian damai dengan kafir Quraish dimaterai, Rasul dan para sahabat melancarkan gerak dakwah keluar dari Kota Madinah. Diwaktu itu juga para Yahudi licik dihalau kesemuanya keluar Madinah pergi ke Khaibar. Islam makin tersebar luas kerana Nabi dan Sahabat tidak disibukkan dengan ancaman perang Quraish. Akhirnya Perjanjian 'berat sebelah' itu menguntungkan Islam.
 
19. Oleh itu fikir betul-betul, sebelum bertindak, lihat kemampuan diri, nilai kekuatan sebelum menyerang. Saya petik lagi buku dan mukasurat yang sama di baris 16 dari bawah: Kata Malik bin Dinar, "ku dapat setengah yang diturun daripada langit firman Allah Taala " Aku raja bagi segala raja raja, hati segala raja pada tanganku, maka barangsiapa taat akan daku, aku jadi akan mereka itu atasnya Rahmah, dan barangsiapa maksiat akan daku jadikan mereka itu atas siksaku, maka jangan membimbang akan kamu akan lidah kamu jangan memaki-maki raja dan tetapi taubat kamu kepada Allah bahawa dilambat akan hati mereka itu atas kamu ......... 
 
20. Kenapa disuruh kita sabar dan bertaubat?     ini adalah kerana pemerintah semuanya datang dari kita, tiada pemerintah tanpa rakyat. Ada pemerintah dipilih rakyat, jadi dalam keadaan pemerintah yang zalim, maka kesalahan tidak sepatutnya kita lihat pada pemerintah sahaja, tetapi kita patut lihat pada diri kita, amalan kita, dosa kita, lalai kita daripada mengingati Allah. Bala Allah bukan sekadar kemarau, banjir, perang akan tetapi raja yang zalim juga adalah salah satu ujian dan bala dari Allah sebagai peringatan kepada orang mukmin, jadi bertaubatlah kerana atas kesalahan kitalah maka kita dapat pemerintah yang zalim dan jabarut!.
 
21. Gunakanlah apa jua kuasa yang ada secara hikmah dan mauizatil hasanah, guling mengguling tidak akan mendatangkan kebaikan malah mungkin mendatangkan lebih buruk, tumbang Muammar Ghadaffi sampai sekarang Libya tak aman-aman, tumbang Mubarak dapat Al-Sisi, Tumbang Saddam dapat Nuri Al-Maliki, belum tumbang Al-Assad dah dapat Abu Bakar Al-Baghdadi. Adakah contoh lain yang lebih baik dapat kita bawakan hari ini hasil dari guling mengguling?, jadi ini semua membenarkan Sabda junjungan melalui kalam Anas bin Malik:
 
عَنِ الزُّبَيْرِ بْنِ عَدِىٍّ قَالَ أَتَيْنَا أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ مَا نَلْقَى مِنَ الْحَجَّاجِ فَقَالَ « اصْبِرُوا ، فَإِنَّهُ لاَ يَأْتِى عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلاَّ الَّذِى بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ » . سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ – صلى الله عليه وسلم -
 
Dari Az Zubair bin ‘Adiy, ia berkata, “Kami pernah mendatangi Anas bin Malik. Kami mengadukan tentang (kekejaman) Al Hajjaj pada beliau. Anas pun mengatakan, “Sabarlah, karena tidaklah datang suatu zaman melainkan keadaan setelahnya lebih jelek dari sebelumnya sampai kalian bertemu dengan Rabb kalian. Aku mendengar wasiat ini dari Nabi kalian shallallahu ‘alaihi wa sallam.” (HR. Bukhari no. 7068).
 
22. Fahamilah kaedah fiqhiah, "mengambil mafsadah (kerosakan) yang lebih ringan bagi mengelakkan mafsadah (kerosakan) yang berat". Benar, adalah memeritkan duduk dibawah pemerintah yang zalim lagi boros lagi menjengkelkan, tetapi apabila digulingkan apakah ada jaminan pemimpin yang akan datang itu lebih baik atau lebih setan dari yang sedia ada, sejarah dan keadaan semasa telah membuktikan. Mengambil faedah dari peristiwa Arab Spring ...tidak mustahil campurtangan Amerika/Israel akan mengambil kesempatan dalam keadaan huru-hara  adakah itu yang kita mahukan?
 
Post: Ini adalah pendapat peribadi sahaja, tidak membabitkan sebarang pertubuhan atas mana-mana majlis. Pakcik menulis atas pemerhatian waqi' dengan meminta pendapat ulama' bukan ular dalam semak. Tidak setuju adalah lumrah, berpecah membawa punah ranah. Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment