Ceramah Rumahtangga
Sambutan Hariraya Guru-Guru Agama Kangkar Pulai
8/10/10
Pra - 8/10/10 hari yang sibuk, bermula membudayakan al-quran dalam perhimpunan pagi kat opis di Pusat Profesional, kuliah maghrib di surau nurussalam, Taman Pulai Indah (substitute), dan ceramah multaqa guru-guru agama SMK Kangkar Pulai ... wow what-a-hatrick! selepas habis ramadhan ini adalah hujung minggu tersibuk, habis semua kitab berselirak, budak-budak aku tak kisah korang nak meraban,janji presentation tip top. Ya Allah, kurniakanlah pahala kepada isteriku yang sabar dengan suaminya yang suka beruzlah tatkala siapkan kerja last minute.. semua sketch dan peta minda content masih dalam bentuk mentah, cuma yang ceramah di SMK Kangkar Pulai je yang lengkap bertaip ...so be it.. Bismillah!
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Muqaddimah
Syukur kita kepada Allah SWT, kerana pada hari ini kita masih diberi peluang untuk berkumpul mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain, bersyukur juga kita kepada Allah atas nikmat yang diberikan melimpah ruah sehinggakan perayaan Aidilfitri kita pada hari ini telahpun masuk ke bulan Zulkaedah. Nak dibandingkan dengan tok arab, kalahlah mereka dari segi sambutan hariraya, kerana bagi mereka hariraya hanyalah untuk bersama keluarga ditaman-taman bunga. Mungkin yang paling seronok bagi kanak-kanaknya adalah berguling-guling diatas rumput, manakala anak-anak kita seronok bermain mercun dan mengira duit raya.
Semalam telah berlalunya Shawal, maka tamatlah sudah waktu untuk melaksanakan puasa sunat bulan Shawal, beruntunglah kepada mereka yang berkesempatan melengkapkan puasa 6 hari, kerana dijanjikan ganjarannya oleh Allah adalah berpuasa sepanjang tahun., manakala yang tak lengkap itu, ganjaran yang setimpal akan diberikan oleh Allah, kerana semua amalan anak Adam akan tetap dihisab (dikira). InsyaALlah
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dirahmati Allah
Bulan Ramadhan yang berlalu, adalah bulan tarbiah, bulan mendidik hawa nafsu dan sifat kemanusiaan para mukminin. Tidak kurang juga yang menggelarkan bulan Ramdhan sebagai Madrasah Ramadhan, dinamakan madrasah kerana fungsinya melatih diri dan mendidik jiwa ke arah keredhaan Allah. Dinamakan madrasah sebab sebelum ini kita belum kenal universiti, jadi tidak menjadi kesalahan kalau hari ni kita gelarkan ia Universiti Ramadhan, selesai pengajian di Universiti ini kita sekarang ini dalam fatrah konvokesyen yaitu bulan syawal, masa dimana usaha tanaman dibulan Ramadhan kini dituai dalam bulan Shawal dan 10 bulan seterusnya. Cuma kalau majlis konvokesyen mungkin makan masa seminggu tapi konvokesyen syawal sebulan lebih.
Apapun tidaklah menjadi sebarang kesalahan atau salah satu bentuk bidah, sekiranya kita meraikan kemenangan berpuasa sebulan dengan beraya sebulan. Cuma dalam masa beraya tu kenalah ingat-ingat sama, dulu kalau perut kita boleh berehat diwaktu siang selama sebulan kini masuk je shawal perut kita terpaksa overtime. Siang malam kerja, walhasil kalau kita pergi klinik atau hospital maka ramailah orang yang berkunjung kesana, ini semua akibat berlebih-lebihan dalam menjamu hawa nafsu, almaklumlah sebulan terkurung tiba masanya mana boleh tahan, dengan lemangnya, ketupat palaslah ketupat bawanglah, burasaklah, pulut lui dan macam-macam lagi, dengan sebab itulah lepas habis open house kita pergi open clinic pulak. Ini semua gara-gara kita lupa dengan sabda rasul “Khairul Amur Ausotuha”. Sekian muqaddimah.

Harini saya diamanahkan untuk memberi ceramah berkisar tentang perhubungan suami Isteri. Mentang-mentanglah kerja sangkut paut dengan Mahkamah Syariah, bab suami isteri bagi kat saya. Apapun kita kembali kepada Firman Allah SWT yang dibacakan diawal tadi:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
[Ar-Rum-21]
Didalam Jami’ Li ahkamil Quran, Tafsir Al-Qurtubi, Ibnu Abbas menyatakan Mawaddah adalah jima’ dan rahmah adalah anak anak. Maksud dari ayat ini Ibnu Abbas menyatakan mawaddah adalah sayang lelaki kepada isterinya manakala rahmah adalah perasaan belas kasihan apabila seorang isteri ditimpa kesusahan. Dikatakan lelaki asalnya dari bumi padanya kekuatan bumi dan padanya kemaluan yang sifatkan tidak tetap kejadiannya, ia memerlukan kepada ketenangan, maka diciptakan perempuan untuk mententeramkan lelaki.
Manakala dalam Fi Zilalil Quran, As-Shahid Syed Qutb mengatakan, “Manusia mengetahui perasaan mengingini antara satu sama lain, mereka akan berusaha untuk melayan kehendak perasaan ini dengan satu jalan yang menghubungkan dua jenis manusia iaitu lelaki dan perempuan, tuntutan untuk memenuhi kehendak perasaan ini ada bermacam-macam dan bentuk kehendak itu berbeza-beza antara lelaki dan perempuan. Akan tetapi hanya yang mampu melengkapkan keinginan ini dengan sempurna adalah dengan jalan yang diciptakan oleh Allah SWT yang menciptakan lelaki dan wanita. Dengan jalan ini maka akan tenteramlah nafsu dan kecenderungan, maka tenanglah hati dan badan, dan terarahlah perjalanan kehidupan dan masyarakat dan melengkapi kehendak jiwa dan perasaan dan saling memperteguhkan bagi lelaki dan perempuan antara satu sama lain. Ibarat di dalam Al-Quran didatangkan dengan penuh kehalusan menggambarkan betapa halusnya perhubungan antara keduanya dengan penggunaan perkataan “Litaskunu ilaiha”- Bersenang hati dan hidup mesra dengannya .. dan “Wajaala Bainakum mawaddah wa rahmah” - dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Daripada ayat tersebut dan beberapa ayat lain di dalam al-Quran di masyrukkan perkahwinan, bertujuan untuk melengkapi kehendak,memuaskan naluri antara lelaki dan perempuan kerana kedua saling memerlukan antara satu sama lain, sebab itulah lelaki dan perempuan tidak sama naluri dan kehendaknya, lelaki diciptakan fizikalnya lebih besar dan memiliki kekuatan melebihi wanita sesuai dengan tugasnya untuk melindungi wanita, manakala perempuan diciptakan dengan naluri dan perasaan kasihan yang lebih berguna untuk menenangkan hati lelaki, mendidik anak dan menguruskan rumah tangga.
Tujuan Perkahwinan
Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [An-Nisaa: 19]
Perkahwinan adalah tempat untuk menunjukkan kasih sayang, melampiaskan shahwat sedia ada dalam diri manusia, oleh sebab itu Allah SWTmemerintahkan lelaki dengan sifatnya sebagai pelindung supaya bergaul berlemah lembut dengan isteri sebaik mungkin. Sekiranya berlaku pertikaian antara keduanya maka peranan lelaki adalah untuk bersabar dan berfikir sebelum membuat keputusan dalam hidup berumahtangga. Dalam firman Allah yang lain pula:
“Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”[Al-Baqarah: 229]
Tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendirikan hukum Allah, dimana-mana sahaja dalam aspek kehidupan orang Islam adalah mendirikan hukum Allah, didalam diri, keluarga masyarakat dan negara, sebelum kita melihat ke luar dan melakukan sesuatu perkara yang lebih besar, kita kena lihat keluarga kita dulu, adakah hukum Allah ditegakkan?
Antara hukum Allah ‘Hudud Allah’ dalam kekeluargaan adalah, saling hormat menghormati antara satu sama lain, taat kepada suami kecuali dalam perkara maksiat, suami memberi nafkah secukupnya kepada isteri, nafkah terdiri zahir dan batin, zahirnya dari segi makan minum pakaian pendidikan. Itulah antara hukum Allah dalam rumahtangga.

Dalam kes pembubaran perkahwinan di Mahkmah Syariah, kebanyakkannya berpunca dari kegagalan untuk menjaga hudud Allah ini. Bermula dengan kegagalan untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT. Gagal menghayati syariat kerukunan dalam hubungan dengan pasangan apabila dengan pencipta kita sendiri kita lalai serta lupa – solat masing-masing, tak mahu berjemaah, solat selalu dilambat-lambatkan, anak yang akil baligh tidak dipaksa bersolat. Zakat tidak dibayar, duit cukup tapi masih belum bercita-cita menunaikan haji, pusing europe dulu. Tu lah dia, panggil peguam syarie lagi, kan dah kena cerita pasal mahkamah syariah.
Amanah kita dengan Allah juga mendidik kita amanah dengan anak dan isteri atau suami, kita menjaga waktu solat samalah juga kita menjaga pergaulan di belakang pasangan kita, walaupun dia tak nampak tetapi kita tetap menjaga kehormatan diri dan pasangan masing-masing, maka dari situ datanglah rahmat dari Allah dalam rumahtangga.
Segala tanggungjawab ditunaikan oleh suami, dari nafkah zahir yang terdiri dari makan, minum pakai, tempat tinggal dan kadang-kadang ada orang lupa pendidikan. Pendidikan Agama kepada ank dan isteri, kepada isteri dulu yang pentingnya. Bagaimana harus kita mahukan seorang isteri yang patuh dan taat sedangkan kita tidak memberikan ilmu agama yang cukup. Suruhan Allah SWT; “Peliharalah dirimu dan ahli keluarga kamu dari api neraka”
Kita mungkin tiada masalah dalam menunaikan nafkah dalam bentuk kebendaan atau jasmani, tetapi selalu terlepas pandang dalam aspek rohani, bagi yang selalu belajar agama dari surau atau masjid maka dia boleh sampaikan kepada isterinya, tapi bagi yang tidak berkesempatan?. Maka wajiblah baginya menyampaikan isterinya kepada sumber ilmu keagamaan, ia harus memberi keizinan kepada isteri sekiranya isteri minta dalam keadaan aman dari fitnah. Izin diberi sekiranya suami tidak berupaya memberi ilmu agama kepada isterinya. Tapi kadang-kadang part tu yang kita fail. Dari itu mana-mana yangtidak berkesempatan untuk menunaikan nafkah dari segi ilmu keagamaan balik fikir dan berusaha untuk melunaskan tanggungjawab mu.
Dalam kehidupan berumah tangga, kita harus ada ilmu, selain dari suruhan secara umum dalam Al-Quran kita juga sewajibnya mencontohi Rasul SAW kerana antara tugas kerasulan adalah untuk memberi contoh teladan kepada umatnya
"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasul itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.
Rasul SAW merupakan contoh utama dan ikutan yang paling baik dalam pergaulan dengan isteri-isterinya. Baginda bergaul dengan isteri-isterinya dengan cara yang baik, lemah lembut dan penuh rasa kasih sayang dan tanggungjawab serta berlaku adil dalam memberi nafkah, giliran dan sebagainya. Menurut sejarah Rasul SAW adalah orang yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya. Beliau dapat menahan segala kemarahan terhadap isterinya yang kadang-kadang membuat ragam juga. Sebab itulah sabda Rasul SAW yang maksudnya: “Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku.” ( Ibnu Majah)
Dalam satu peristiwa, Aisyah R.A. telah memarahi Rasul SAW. Kata Aisyah kepada baginda, “Engkaukah orang yang mengaku Nabi?” Nabi hanya senyum sahaja. Kemudian Rasul berkata, “Aku tahu, kalau engkau marah kepada aku, kau cakaplah begini, “Demi Allah Tuhan Ibrahim.” Kalau engkau gembira dengan aku, kau katalah “Demi Tuhan Muhammad.” Jawab Aisyah R.A., “Betul kata engkau itu. Masa aku marah, aku tidak sebut nama engkau.”
Di masa lain pula Aisyah R.A. telah mendorong Rasul SAW dari belakang hingga beliau hampir jatuh. Emak Aisyah R.A. ternampak perangai Aisyah lalu ditamparnya muka Aisyah. Kemudian berkata Rasul SAW, “Biarkanlah dia begitu. Sebenarnya dia telah banyak berbuat kepada aku, lebih dari itu lagi.”
Bersopan
Baginda beradab sopan bersama isteri Baginda ialah hadis yang diriwayat oleh Ibn Abi Dunya, Saidatina Aisyah memberitahu bahawa segala urusan dan perlakuan Baginda amat menakjubkan, sehingga diriwayatkan, ketika Baginda bersama isterinya pada suatu malam dan telah bersentuhan kulit, Baginda meminta izin dari isterinya Aisyah untuk beribadat menemui tuhannya. Demikianlah adab Rasul bersama isteri Baginda, meminta izin untuk meninggalkannya meskipun untuk bertemu Tuhannya. Rasul SAW bersabda di dalam riwayat Tarmizi dan Muslim : Mukmin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan paling berlemah lembut bersama isterinya

Bantu isteri
Menjengah ke dalam rumahtangga Rasul SAW adalah penting untuk kita muhasabah balik, samada adalah kita ini mengikut role model yang ditetapkan dalam Islam, meskipun kadang-kadang dalam benda yang remeh-temeh tetapi Rasul SAW tetap menitik beratkan perkara tersebut apabila melibatkan isteri baginda.
Aisyah ra. pernah ditanya: “Apakah yang dilakukan Rasul SAW di dalam rumah?” Ia menjawab: “Beliau SAW adalah seorang manusia biasa. Beliau menambal pakaian sendiri, memerah susu dan melayani diri beliau sendiri.” (Ahmad dan Tirmidzi) dalam satu hadis lain pula Diriwayatkan dari Al-Aswad bin Yazid ia berkata: “Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah R.A: ‘Apakah yang biasa dilakukan Rasul SAW di rumah?’ ‘Aisyah ra. menjawab: “Beliau biasa membantu keluarga, apabila mendengar seruan azan, beliau segera keluar (untuk menunaikan shalat).” (Muslim)
Bergurau senda
Dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Aishah RA:
"Pada suatu ketika aku bersama Rasul SAW. dalam satu perjalanan. Ketika itu badanku masih kurus. Kemudian Rasul menyuruh rombongan yang menyertai kami untuk berjalan di hadapan terlebih dahulu. Lalu baginda berkata kepadaku: 'ayuh kita berlumba lari'. Dalam perlumbaan itu aku berlari sangat laju mendahului Rasul SAW. Namun baginda diam apabila kalah dalam perlumbaan.
Ketika dalam perjalanan lain dimana badanku sudah bertambah gemuk, baginda menyuruh rombongan untuk berjalan mendahului kami. Kemudian baginda mengajak aku berlari berlumba lari lagi. Dalam perlumbaan ini aku berlari dengan sangat laju, tetapi Rasul SAW. berlari lebih laju mendahuluiku. Sambil tersenyum baginda berkata kepadaku: 'Ini sebagai penebus kekalahanku yang dahulu.' Abu Daud dan Nasaaie juga diriwayatkan pada masa itu rasul berusia 60 tahun dan Aishah 16 tahun
Romantik
"Rasul pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." – [Sunan Abu Daud: 153]
Rasul SAW merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya. Aisyah R.A berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasul SAW menggunakan satu bekas air." – [Sahih al-Bukhari: 250]
Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah R.A dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasul berkata kepadanya: "Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu." – [Sahih al-Bukhari: 3217]
Aisyah R.A juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda SAW sebagaimana riwayat berikut: "Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasul dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." – [Sahih Muslim : 300]
Dari Aisyah ra berkata "Pernah aku menyikat rambut Rasul saw." Suap menyuap pun boleh kita amalkan, ini masa makan berdamai sahaja kita buat, lepas tu tak ingat dah.

Penyabar
Rasul SAW pernah bersabda, “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.
Khalifah Umar R.A. dileteri isteri Kisah Khalifah Umar sabar, diam apabila dimarahi isteri amat bagus dijadikan contoh/pengajaran bagi suami menghadapi karenah isteri. Al-kisah, seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu akan perihal perangai isterinya. Lelaki itu berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?” Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul mukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.” “Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, “Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?”
Umar berkata kepadanya, “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar omelannya karena dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.” Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirul mukminin, demikian jugalah isteriku.” Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya karenanya itu tidak lama, hanya seketika saja.”
Bahagi Masa
"Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash R.A)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasul. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” – [Sahih al-Bukhari: 1975]
Aisyah R.A berkata: "Rasul biasa mengerjakan solat malam (tahajjud) sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila baginda ingin mengerjakan solat witir, baginda akan mengejutkan aku." – [Sahih al-Bukhari : 512]
Rasul SAW. juga telah bersabda: "Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Apabila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), dia akan memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga ALLAH merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.” – [Sunan Abu Daud: 1113]
Setia
Kesetiaan Rasul terhadap Khadijah, meskipun Baginda telah mengahwini Aisyah yang jauh lebih muda daripada Khadijah. Ketika seorang tua yang bernama Juthamah Al-Muzaniah pernah datang menemui Rasul, Aisyah bertanya kepada Rasul siapakah wanita tersebut, yang membuatkan Rasul menyambutnya sedemikian rupa. Rasul menjawab : Wanita itu pernah datang ketika aku hidup bersama Khadijah. Lantas Aisyah berkata : Tiada wanita yang paling aku cemburui di kalangan wanita di alam maya ini melainkan Saidatina Khadijah. Rasul sering mengingati Khadijah, sehingga Aisyah mengeluh dengan berkata, seakan tiada wanita lain di dalam dunia ini melainkan Khadijah. Lantas Rasul menjelaskan kepada Aisyah : Khadijah adalah wanita yang sangat mulia dan bijaksana. Dia beriman denganku di saat semua manusia kufur denganku, ia membenarkan kata-kataku ketika semua manusia mendustaiku, ia meredakanku dengan hartanya ketika kaum kafir menyekatku. Rasul dikurniakan anak ketika bersama Khadijah, dan kesemua anak Rasul adalah dari benih Khadijah. Rasul juga memperolehi segala-galanya bersama Khadijah dan Baginda tidak mengahwini wanita lain,selama Baginda bersama Khadijah, kecuali setelah Khadijah dijemput Tuhan, barulah Rasul mengahwini Saidatina Aisyah. Ini semualah yang menyebabkan ingatan Rasul terhadap Khadijah terlalu kukuh, sehingga membuatkan Aisyah merasa cemburu.
Berhias-Hias dan bermanis rupa
Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit perintah daripada Nabi SAW agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya: "Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." – [Sahih Muslim : 2626]
Firman ALLAH S.W.T: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228. Al-A'raf : 31, Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau.
Ibn Abbas R.A berkata: “Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.” Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai keindahan." – [Sahih Muslim : 91]
Tak mahulah bila suami balik dari kerja , isteri pakai t-shirt, kain batik masuk dalam. Nak menunjukkan sibuknya mengemas rumah. Masa berkomunikasi dengan isteri mata hendaklah melihat mata.
"Sesungguhnya seorang lelaki jika melihat kepada isterinya dan isterinya juga membalas pandang kepadanya, maka ALLAH telah melihat mereka berdua dengan pandangan rahmat. Jika seorang lelaki memegang tapak tangan isterinya, maka gugurlah semua dosa mereka berdua dari celah2 jari mereka berdua" [Tarmizi]
Beri hiburan
Juga telah diriwayatkan daripada Aishah R.A bahawa Nabi SAW pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya:
"Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah R.A) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasul SAW yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” – [Sahih al-Bukhari : 950]
Nabi SAW juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah Aishah R.A.
Aisyah R.A berkata: “Rasul SAW masuk ke rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." – [Sahih al-Bukhari : 949]
Pesanan terhadap suami
Sabda Rasul SAW: "Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik." – [Sahih al-Bukhari : 5186]

Post - Dah siap ceramah ni, nak relex jab.. redo dan razeen pergi day vacation trip ke Melaka, aku bermalas-malasan dengan ummi dan kiki.. dirumah. bila nak tulis novel nih!
wah, berapa jam ceramah tuan ni? lengkap. Contoh2 saidatina Aisyah dan layanan2 rasulullah s.a.w kepada para isterinya tu saya suka, bisa diulang2 baca dan sumber rujukan di masa akan datang. Teruskan menulis.
ReplyDeleteconvert jadi sejam, saya biasa menulis dahulu sebelum oral present kat orang, lebih confident. memang itu tujuan saya, bagi saya blog ni macam one stop information centre secara pribadi sebab semua source yang mungkin kita cakap harini boleh direcycle besok-besok dan mungkin juga menjadi manfaat kepada orang lain, dan kalau kita tengok feedjit live traffic, kebanyakkan researcher macam saya banyak tengok artikel ilmiah dalam aburazeen journal....
ReplyDeletebyk ilmu yg dapat dikongsi spt dlm penulisan tuan nih... insyaallah moga dapat dipratikkan oleh semua pembaca di luar sana..... ;)
ReplyDelete