Monday, February 22, 2010




Maklum balas kepada Artikel ‘Persuation not Compulsion’ The Star 19/2/2010

1. Didalam usaha kerajaan untuk memupuk semangat 1Malaysia, kesemua rakyat adalah wajib untuk menyokong dalam apa jua cara untuk mengekalkan semangat tersebut. Malaysia sebuah Negara yang unik seperti mana yang diuar-uarkan ‘Malaysia truly Asia’.

2. Kedamaian dan kemakmuran Negara ini berpunca dari sikap toleransi atau liberalisasi yang diamalkan oleh tampuk pemerintahan negara ini sejak sekian lama. Hormat menghormati antara satu bangsa kepada bangsa yang lain, semua rakyat diberi peluang untuk maju serta bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Tunggak kepada kesejahteraan Malaysia adalah penduduknya yang masih mengamalkan nilai tradisi ketimuran dan berpegang teguh pada agama.

3. Meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam sebagai agama persekutuan namun ia tidak menghalang agama lain diamalkan secara aman dan damai di mana-mana pelusuk persekutuan. Hakikatnya Islam adalah sebuah agama perdamaian, perundangannya pula dinamakan hukum syarak. Melaksanakan hukum syarak dalam segenap kehidupan adalah merupakan kewajipan kepada tiap individu Islam.

4. Memandangkan Malaysia dihuni oleh pelbagai kepercayaan dan dogma rakyatnya, pelaksanaan hukum syarak dari segi perundangan telah disusun suai di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jesteru, Perundangan Syarak yang diwartakan pada hari ini tidaklah menepati sepertimana yang dikehendaki syarak. Hukum Syarak yang berkuatkuasa mengikut kuasa wilayah-wilayah persekutuan dan negeri-negeri dalam Malaysia telah menuruti proses perundangan sebelum diluluskan. Antaranya digubal oleh jawatankuasa undang-undang, dibahaskan dalam dewan undangan negeri diperingkat negeri dan dewan rakyat diperingkat persekutuan. Akhirnya, selaku ketua agama Islam, Sultan atau Agong akan meluluskan suatu rang undang-undang yang telah dibahaskan oleh ahli dewan undangan negeri dan dewan rakyat.

5. Antara undang-undang yang telah diluluskan adalah Akta Kesalahan jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559. Menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di suatu kawasan adalah satu tanda kerukunan sesebuah negara, kerana itu Kedaulatan Undang-Undang menjadi asas rukun negara yang keempat. Keistimewaan undang-undang syarak ia hanya terlaksana ke atas orang-orang Islam sahaja. Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa atas orang bukan Islam, sekalipun kesalahan yang dilakukan adalah dilakukan secara bersama.

6. Mengambil contoh kes khalwat (close proximity) sekiranya tangkapan dibuat melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam, maka pihak yang akan dikenakan tindakan adalah orang Islam sahaja, manakala orang bukan Islam dilepaskan. Oleh yang demikian orang Islam yang berada didalam mana-mana persekutuan adalah bertanggungjawab menjaga diri dari melakukan sebarang perkara yang melanggar hukum syarak. Manakala orang bukan Islam tidak berhak untuk campur tangan dalam urusan agama Islam. Sebarang campur tangan atau pandangan yang berbau kritikan ke atas hal ehwal umat Islam dianggap menghina agama Islam. Ini kerana umat Islam dalam negara ini menghormati kepercayaan agama lain dan tidak akan mengganggu gugat kepercayaan mereka kerana atas dasar hormat menghormati dan tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

7. Tugas pengamal media yang bertanggungjawab adalah untuk memahami dan mengamalkan konsep ini kerana ia adalah dasar keamanan dan perpaduan rakyat negara ini. Hukuman sebat telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 9 Februari 2010 yang lalu ke atas 4 lelaki dan 3 perempuan adalah disabitkan atas kesalahan bersetubuhan luar nikah. Kesalahan ini disebut dalam seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut. Sekiranya pesalah tidak berpuashati dengan hukuman tersebut mereka dibenarkan merayu dalam tempoh 14 dari tarikh hukuman dijatuhkan. Peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah dikanunkan sejak tahun 1997.

8. Sejak dari mula dilaksanakan, berbagai bentuk hukuman telah dijatuhkan bersesuaian dengan graffiti kesalahan yang disabitkan. Tujuan hukuman dalam Islam adalah dalam bentuk pengajaran, supaya perkara yang sama tidak berulang dan diambil iktibar oleh orang lain. Kerana itu hukuman asal dari segi syariah dibuat secara terbuka dan disaksikan oleh orang ramai. Namun dalam konteks Malaysia ia dibuat dalam penjara. Islam amat menitikberatkan soal hubungkait antara manusia dan Allah dan manusia sesama manusia. Oleh yang demikian kita mendapati asas perundangan Islam adalah untuk menjaga 6 perkara iaitu agama, diri, akal, keturunan, maruah dan harta benda, ini berbeza dengan penafsiran jenayah dari prinsip sivil.

9. Demi menjaga perkara-perkara tersebut syarak telah menetapkan bentuk hukuman yang terdiri dari Hudud, Qisas dan Takzir yang mana sebahagian besar belum dapat dilaksanakan di Malaysia.


10. Penulis tersebut sewajarnya membuat penelitian terhadap angka rasmi yang dilaporkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008, berdasarkan angka ini, secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Menurut sumber yang sama lagi statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam. Ini belum didatangkan angka kes bayi yang ditinggalkan atau mati begitu sahaja.

11. Kesan kelahiran anak luar nikah yang diakibatkan persetubuhan haram terlalu banyak, antaranya mendatangkan keaiban terhadap keluarga pelaku, menjatuhkan nilai diri baik wanita mahupun lelaki, anak yang dilahirkan tidak kenal ayahnya, tidak mempunyai nasab atau keturunan yan g jelas lebih malang lagi bayi itu dibunuh. Sepertimana yang dinyatakan, Islam adalah agama yang menjaga diri, keturunan dan maruah. Apakah penulis tidak melihat hubungkait antara semua kesan negatif ini terhadap perkembangan masyarakat atau hanya untuk meraikan keseronokan yang bersifat sementara.

12. Agak malang bagi seseorang pada tahap editor akhbar harian untuk memahami perkara sedemikian dan lebih malang lagi terdapat orang Islam yang berteriak dengan nada yang sama. Sedangkan penerima hukuman telahpun rela dihukum meskipun mereka telah maklum tentang peluang untuk merayu. Semoga Allah memberi keampunan kepada mereka kerana mengakui dan redha menerima hukuman dunia, kerana hukuman akhirat adalah lebih pedih dan berpanjangan.

Abu Razeen

2 comments:

  1. sekadar penambahan fakta!

    Perangkaan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (pada 2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah tahun lalu, 79 kes membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat lagi kes pembuangan janin.Perkara ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan ianya harus dipandang serius permasalahan ini kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga.

    diambil dari http://peguamsyarie.org/?p=1304

    ReplyDelete