Job baru lepas balik kursus faraid di ILIM, Bos ada pendapat lain tentang tindakan mengambil sumpah dari suami untuk mensabitkan tiada berlaku persetubuhan. Kajian ini dibuat dengan kerjasama PJ dan Tn Shukri Najib (credit untuk mereka). Boleh buat rad dan iktirad bagi memperkayakan ilmu tuan puan. aburazeen (research duration 48 jam)
Abstrak
PETALING JAYA: Sumpah pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim, 34, bahawa dia tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan bekas isteri dalam tempoh 12 hari perkahwinan mereka diterima Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam. Hakim Syarie Jamil Ahmad dalam penghakimannya berkata, bekas isteri Roslin, Faizah Mohamad, 32, memberitahu dia pernah melakukan hubungan kelamin tetapi pemain badminton itu menafikannya.
“Mahkamah menerima sumpah defendan (Roslin) yang menjelaskan mereka tidak melakukan persetubuhan walaupun sebelum ini plaintif (Faizah) dalam keterangannya menyatakan pernah bersetubuh sebelum bekas suaminya melafazkan cerai. “Oleh kerana tiada persetubuhan, mahkamah tidak perlu menetapkan tempoh edah kepada Faizah dalam perceraian ini. Kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kecuali dengan perkahwinan semula,” katanya. Jamil berkata, lafaz cerai yang dibuat pemain badminton itu nyata serta tiada paksaan daripada pihak lain. Justeru, mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat pemain badminton negara terhadap bekas isterinya Februari lalu sah dengan talak ba’in sughro (talak tidak boleh dirujuk semula) kali pertama dengan satu talak. Dalam kes yang dirujuk, pihak suami dan isteri telah bertikai samada berlaku persetubuhan atau tidak sebelum perceraian berlaku. Hakim perlu memutuskan samada berlaku persetubuhan atau tidak kerana ini melibatkan kesan dan hak selepas penceraian. Hak tersebut meliputi mahar, iddah, rujuk dan lain-lain kesan yang lahir daripadanya. Kertas ini menyatakan rujukan berkaitan keputusan tersebut.
Perbahasan
Rujukan pertama:
Kitab Al-Ashbah Wannazair, Imam Jalaluddin Assayuti Jilid 1 ms 127 Darul Kutub Ilmiah, Beirut 2001 (lampiran 1) dipetik:
قَاعِدَة : الْأَصْلُ الْعَدَمُ فِيهَا فُرُوعٌ : مِنْهَا : الْقَوْلُ قَوْلُ نَافِي الْوَطْءِ غَالِبًا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ الْعَدَمُ
“Kaedah: ‘Asal sesuatu adalah tidak wujud’ baginya beberapa subtopik, antaranya: Dakwaan yang dipilih adalah tidak berlakunya persetubuhan, dakwaan ini lebih kuat kerana ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’”.
Dalam kitab rujukan ini, kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ adalah lebih dominan dan banyak digunakan dalam masalah khilafiah untuk mazhab Shafie. Kaedah diatas adalah rangkaian yang terbit dari kaedah utama ‘الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ’ atau ‘Keyakinan tidak digugat dengan perasaan syak’. Kaedah kedua dari 5 kaedah utama yang digariskan oleh Imam Jalaluddin Assayuti. Mendasari kaedah ini adalah sebuah Hadis dari Abi Hurairah berbunyi:
الْقَاعِدَةُ الثَّانِيَةُ : الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ وَدَلِيلُهَا قَوْلُهُ صلى الله عليه وسلم { إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ , أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا ؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا } رَوَاهُ مُسْلِمٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasul SAW bersabda“ Apabila terdapat sesuatu didalam perutmu maka diragui atasnya samada telah keluar atau tidak (kentut). Maka tidak perlulah untuk keluar dari Masjid (untuk memperbaharui wuduk) sehingga terdengar bunyi atau terbau satu bauan” [Muslim]
Rujukan Kedua:
Dalam kitab yang sama Jilid 2 ms 90 (lampiran 2):
الْقَاعِدَةُ التَّاسِعَةُ إذَا اخْتَلَفَ الزَّوْجَانِ فِي الْوَطْءِ , فَالْقَوْلُ قَوْلُ نَافِيهِ . عَمَلًا بِأَصْلِ الْعَدَمِ إلَّا فِي مَسَائِلَ : الْأُولَى : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ الْإِصَابَةَ , فَالْقَوْلُ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْمُدَّةِ , أَوْ بَعْدَهَا , وَلَوْ كَانَ خَصِيًّا , وَمَقْطُوعَ بَعْضِ الذَّكَرِ , عَلَى الصَّحِيحِ
“Kaedah kesembilan: apabila bertikai suami isteri tentang persetubuhan, maka yang terkuat adalah dakwaan tidak berlakunya persetubuhan, ini aplikasi kepada kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ terkecuali pada masalah berikut: apabila mendakwa seorang yang berpenyakit ‘unnah’, maka dibenarkan dakwaan beliau disertai dengan sumpah samada sebelum berlalu satu tempoh atau selepasnya, walaupun ‘khissian’ atau terpotong sebahagian zakarnya, atas pendapat yang sahih”
Terdapat 6 masalah lain yang diberi pengecualian dalam kaedah ini, namun tidak ada satupun yang bersangkutan dengan seorang isteri yang mendakwa berlaku persetubuhan dan suami menafikan seperti kes yang dirujuk. Petikan ini diambil dari tajuk “الْكِتَابُ الرَّابِعُ فِي أَحْكَامٍ يَكْثُرُ دَوْرُهَا وَيَقْبَحُ بِالْفَقِيهِ جَهْلُهَا”.
Rujukan ketiga:
Kitab Al-Majmu’ Sharhu Al-Muhazzab lil As-Shairazi, Imam Abi Zakaria Yahya Sharfu An-Nawawi Jilid 18 ms 66 Maktabah Al-Irsyad, Jeddah (lampiran 3) dipetik:
فصل: وان اختلفا فى ألوطء فادعته المرأة وانكر الزوج فالقول قوله لان الأصل عدم الوطء
“Ceraian: Sekiranya bertikai pada berlakunya persetubuhan, maka mendakwa perempuan berlaku persetubuhan, menafikan suaminya maka pernyataan yang diambil adalah nyataan suami, kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”
Petikan ini adalah dibawah bab pertikaian suami isteri didalam penentuan “As-Sadaq” pemberian perkahwinan atau maskahwin. Diterangkan juga selanjutnya didalam perenggan yang sama, apabila datang perempuan dengan seorang anak yang dinasabkan kepada suaminya maka penentuan mahar ada dua pendapat, salah satunya wajib suaminya membayar mahar, kerana diketemukan nasab dihukumkan kepada wujudnya persetubuhan. Manakala pendapat kedua tidak wajib mahar kerana anak yang diketemukan itu hasil dari pelbagai kemungkinan dan mahar tidak wajib melainkan dengan persetubuhan maka asal adalah tiada persetubuhan.
Hujah ini adalah tepat dan kena dengan situasi kes yang dirujuk, kerana dakwaan oleh isteri berlaku persetubuhan dan diingkari oleh suami, dan daripada ketiga-tiga rujukan yang dibawa tiada satupun yang mensyaratkan sumpah untuk mensabitkan tiada berlaku persetubuhan. Ini membuktikan kekuatan kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ yang dibawa oleh As-Sayuti adalah umum diterima dalam mazhab Syafie.
Rujukan keempat:
Di dalam Kitab Hasyiatan Qailubi Waumairah Syarh Minhaj At-Talibin, Syihabudin Ahmad bin Ahmad bin Salamah Alqalyubi dan Syihabudin Ahmad Al Barlisi Umairah, Darul Fikr dinyatakan:
وَإِذَا طَلَّقَ دُونَ ثَلَاثٍ , وَقَالَ : وَطِئْت فَلِي رَجْعَةٌ , وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ ) أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ
“Apabila berlaku talak selain dari talak tiga, suami mendakwa aku telah mensetubuhi isteriku maka bagiku tempoh untuk rujuk, maka dinafikan oleh isterinya berlaku persetubuhan, maka diterima penyataan isteri dengan sumpahnya. Bahawa tidak berlaku persetubuhan keatas isteri tersebut kerana asal tiada berlaku persetubuhan.”
Nas ini menyatakan apabila seorang suami mendakwa berlaku persetubuhan, manakala isteri menafikannya, situasi yang berbeza dengan kes yang dirujuk, hukumannya adalah tetap kepada tidak berlaku persetubuhan. Kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ tetap digunakan tanpa mengira siapa yang mendakwa samada isteri atau suami. Bezanya hanya pada pengambilan sumpah daripada pihak isteri beserta keterangannya. Dalam nas dari kitab yang lain juga memberi erti yang sama dipetik:
وَإِذَا طَلَّقَ ) الزَّوْجُ ( دُونَ ثَلَاثٍ وَقَالَ وَطِئْت ) زَوْجَتِي قَبْلَ الطَّلَاقِ ( فَلِي ) عَلَيْهَا ( رَجْعَةٌ وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ قَبْلَ الطَّلَاقِ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ فَإِنْ قِيلَ : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ أَوْ الْمَوْلَى الْوَطْءَ , فَإِنَّ الْقَوْلَ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ مَعَ أَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ .
Oleh yang demikian, Hakim telah membuat keputusan dengan betul apabila mensabitkan tidak wujud iddah kepada pihak isteri apabila berlakunya penceraian akibat tidak berlaku penyerahan atau persetubuhan selepas perkahwinan.
Pendapat berlawanan
Namun terdapat pendapat yang bertentangan, jika dilihat pada bahagian Fatwa Ibn Ziyad didalam kitab Bughyatul Mustarsyidin fi Takhsis Fatawa Ba’da Al-Aimmah min Ulama’il Mutaakhirin (lampiran 4). Dalam bab Rujuk menyatakan:
“Masalah: Isteri berikrar berlakunya persetubuhan dan suami menafikan, maka wajib keatas isteri tersebut iddah, dan tidak gugur dakwaan itu dengan pengakuan beliau (isteri) menipu kerana dia rujuk pengakuan pertamanya sepertimana disebut dalam kitab Raudah. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri telah berikrar bahawa suami tidak bersetubuh dengannya dan dibenarkan dakwaan isteri, kemudian sabit dengan keterangan yang baik dengan pengakuan isteri berlaku persetubuhan sebelum ikrar pertama (tidak berlaku persetubuhan) maka tetap diwajibkan iddah…”
Petikan kitab Bughyah ini mewajibkan isteri mendapat iddah, seolah-olah dipakai keterangan isteri tentang berlakunya persetubuhan, perlu diingat bahawa petikan ini diambil dari bab rujuk dan tumpuan (syahid) diberikan kepada hak isteri untuk mendapat iddah.
Begitu juga satu pendapat yang sama dinukilkan dalam buku “Risalah Perkahwinan Bicara bab Nikah Cerai Rujuk dan Iddah” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah disebut:
“Sabit bersetubuh:1. Jika menjadi berbalahan diantara suami isteri dengan bersetubuh, isteri berkata suaminya telah bersetubuh dengannya dan suaminya berkata ia belum bersetubuh dengan isterinya maka kenalah isteri bersumpah dengan bersetubuh maka dihukum telah bersetubuh.
2. Jika menjadi perbalahan diantara suami isteri dengan tiada bersetubuh isteri berkata tiada bersetubuh dan suami berkata telah bersetubuh maka dibenarkan perkataan isteri dengan tiada bersetubuh dan tiada berkehendak kepada isteri bersumpah lagi.
3. Jika tiada menjadi perbalahan dibenarkan perkataan isteri dengan tiada sumpahnya lagi.”Petikan diatas tidak dinyatakan pengambilannya, oleh yang demikian penyelidikan tidak dapat dibuat ke atas pendapat kontra yang dinyatakan dalam perkara 1.
Penyelarasan
Merujuk kepada Kitab Al-Bayaan Fi Mazhab Al-Imam As-Shafie, Abi Husain Yahya bin Abi Al-Khair Salim Al-Imraani, As-Shafie Al-Yamani. Jilid 9 ms 469-470 Darul Minhaj. (lampiran 5) diterjemahkan.
“Masalah : Mendakwa berlaku berdua-duaan (Al-Khalwat) dan persetubuhan (Al-Asabah);
Jika mendakwa isteri: Bahawa suami telah berdua-duaan dengannya dan menyetubuhinya, atau bersetubuh dengannya tanpa berdua-duaan, dan dinafikan oleh suami.. maka kata-kata diambil dari suami dengan sumpahnya, kerana pada asalnya tiada berlaku berdua-duaan dan persetubuhan.
Dan sekiranya suami membenarkan wujudnya berdua-duaan dan penyerahan diri isteri kepadanya untuk berlaku persetubuhan tetapi tidak berlaku persetubuhan. Dalam perkara ini jika kita mengatakan berdua-duaan adalah sama seperti bersetubuh pada meletakkan kadar mahar musamma maka wajiblah hak iddah.. Jika kita mengatakan berdua-duaan adalah bukan seperti bersetubuh. Adakah diambil kata-kata suami atau kata-kata isteri? Padanya dua pendapat.
1. Pendapat Qadeem: Diambil dakwaan isteri kerana jelas bersamanya.
2. Pendapat Jadid: Diambil dakwaan suami, dan ini adalah pendapat yang asah kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”
Al-Bayan mensyarahkan kitab Al Muhazzab secara lengkap dan perbandingan pendapat-pendapat lain dalam mazhab, pengarang telah memecahkan persetubuhan kepada dua definisi, iaitu berdua-duaan (Al-Khalwah) dan persetubuhan (Al-Asabah). Sekiranya berlaku berdua-duaan (bersunyi-sunyian suami dan isteri dari pendangan orang lain dan memungkinkan berlaku persetubuhan) ataupun tidak maka dakwaan suami tidak berlaku persetubuhan adalah yang terkuat dan diambil kira. Ini mengambil kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’. Namun sekiranya berlaku berdua-duaan tetapi tidak berlaku persetubuhan maka ada dua pendapat, diambil dakwaan isteri samada isteri mendakwa berlaku persetubuhan atau sebaliknya. Sekiranya isteri mendakwa berlaku persetubuhan maka wajiblah suami untuk memberi nafkah iddah, menyempurnakan mas kahwin, mempunyai hak untuk merujuk, dan hak-hak lain. Namun pendapat yang terkuat adalah tetap kembali kepada suami yang mendakwa tidak berlakunya persetubuhan. Inilah yang ‘Asah’.
Kesimpulannya:
1. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami maka dakwaan suami dibenarkan. Kerana asal sesuatu tidak ada.
2. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami dalam tuntutan iddah maka dihukumkan isteri dengan iddah. Sepertimana dalam kitab Bughyatul Mustarshidin.
3. Sehingga tiada nas lain yang boleh menggugat kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’ dan diaplikasikan terhadap kes ini maka, keputusan Hakim Bicara adalah tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang dan hukum syarak.
Abu Razeen post research