Wednesday, September 3, 2008

Isu Murtad Kes Terpencil?


Oleh Abu Razeen

Situasi satu. Terpesona dengan wajah dan gaya menarik Shah Mohamad, Nguyen sanggup tinggalkan segala-galanya. Keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan agama menjadi faktor kedua, lantaran cintanya kepada lelaki tersebut tidak berbelah bahagi, mungkin agak kontra di pandangan umum untuk Nguyen yang bertutur bahasa Tionghua jatuh hati kepada Shah Mohamad yang berbangsa Aryan, namun hakikatnya cinta itu buta. Setelah menjalin hubungan cinta terlarang selama enam bulan akhirnya Nguyen bertekad untuk mengahwini Shah Mohamad biarpun terpaksa memeluk Islam demi untuk mengelakkan kehilangan insan tersayang, Shah yang bermastautin diatas tiket pekerja IT akhirnya bersetuju. Malangnya selang beberapa bulan selepas perkahwinan tersebut pihak majikan terpaksa menamatkan kontrak Shah mengakibatkan beliau terpaksa pulang ke negara asalnya. Nguyen ditinggalkan terumbang-ambing tanpa panduan dan akhirnya tekad untuk kembali kepada keluarganya dan agama asalnya.

Situasi dua. Kejutan budaya yang dialami Muhamad Sani sewaktu berada di Eropah, memberi kesan yang amat mendalam kepadanya, bukan sekadar kagum dengan kehebatan kemajuan fizikal malah kebebasan bergaul memberi persepsi baru dalam hidup Sani, tertarik dengan intensif yang dijanjikan oleh pihak tertentu ditambah dengan nipisnya keimanan terhadap agama keturunannya, Sani bersetuju untuk bertukar agama dan akan mengisytiharkan pertukaran aqidahnya dengan manifestasi pertama iaitu mengeluarkan status Agama Islam yang tercatat pada kad pengenalannya.

Kedua-dua peristiwa yang berlainan latar belakang, namun sama natijahnya adalah merupakan taboo kepada umat Islam di Malaysia. Selaku sebuah Negara yang berbilang bangsa dan agama serta meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kitab rujukan rakyatnya, konflik agama adalah isu sensitif. Selagi boleh, perkara ini dibincangkan secara harmonis dan sebaik mungkin namun pengamalan keterbukaan media dan kepesatan pembangunan teknologi maklumat menyebabkan perkara yang dianggap suatu pantang itu, boleh diperdebatkan oleh sesiapapun walaupun kepada mereka yang cetek pemahamannya terhadap Agama Islam.

Polemik murtad mungkin boleh diistilahkan terpencil sekiranya dirujuk kepada kuasa substantif yang diwujudkan dalam peruntukan induk, berbanding perkara nikah cerai orang Islam yang diperuntukkan undang-undang. Di dalam Subseksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 tahun 2003 diperuntukkan: Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.;

Sebelum ditakninkan dalam enakmen pada tahun 2003, tiada peruntukan khusus kepada Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi orang Islam (dibaca ‘murtad’). Biarpun perlakuan ini adalah sebesar-besar dosa kepada Allah SWT, namun tidak diterangkan apakah hukuman yang patut dikenakan kepada pelakunya, mungkin yang paling hampir kesalahan (dilihat dari kesan) yang disebut dalam Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan. Contoh kesalahan ini lazim dilakukan apabila serbuan kedai makan disiang hari bulan Ramadhan, atau semasa serbuan kes tangkapan khalwat atau perlakuan tidak bermoral semata-mata untuk mengelakkan tindakan Penguatkuasa Agama dan Mahkamah Syariah, peruntukan tersebut menyebut:Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Namun penggunaannya tidak tepat dan jauh dari gambaran besar atau kecilnya kesalahan murtad ini, Ini adalah kerana firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “ Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” manakala sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A memberi maksud seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasullah S.A.W telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat. Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

Biarpun kontang dengan undang-undang negeri yang boleh dikaitkan terhadap gejala riddah, setakat ini hanya Mahkamah Syariah Negeri Sembilan yang telah menggariskan undang-undang keluar dari Agama Islam secara sistematik. Peruntukan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) No.10 Tahun 2003 berbunyi:

(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah. (2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah Subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.


(3) Suatu permohonan di bawah Subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu. (4) Setelah diterima permohonan di bawah Subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau (b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.

(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah. (6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut Subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu. (7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.

(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam Subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah Subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun. (9) Jika selepas perintah di bawah Subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka Subseksyen (5) dan (6) terpakai. (10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah Subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya. (11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:(a) pembubaran perkahwinan; (b) pembahagian harta sepencarian; (c) hak perwalian; (d) hak pusaka; dan (e) hadhanah.

Dengan adanya peruntukan tersebut, masalah murtad mungkin dapat dihalakan mengikut lorong-lorong prosedur dan kaedah syariah setakat yang diperuntukkan bidangkuasanya, tetapi untuk menjadi solusi total bagi mengelakkan orang Islam keluar dari agama, ia masih boleh dibincangkan. Peranan yang wajib dijalankan untuk mencegah murtad terdapat pada semua peringkat bermula dari ibu bapa, saudara-mara, pendidik, kawan-kawan, ahli qaryah sehinggalah kepada pemerintah. Dalam konteks pemerintah, secara jelas Subseksyen 7. (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No 1. 2003 menyebut: Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis (Majlis Agama Islama Selangor) untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Selangor selaras dengan Hukum Syarak.

Kembali kepada senario satu yang dijadikan muqaddimah artikel ini, perkara seumpama itu mungkin telah berlaku dan sedang berlaku pada mereka yang dijinakkan hati kepada Islam. Golongan muallaf, sememangnya memerlukan perhatian khusus oleh umat Islam secara tradisi, kepentingan untuk menjaga diri dan aqidah mereka dimanifestasikan sebagai golongan yang berhak menerima zakat, sebaris dengan jihad fi sabilillah, penuntut ilmu dan asnaf-asnaf lain. Tiada sesiapapun berkuasa untuk menentukan niat asal seseorang memeluk Islam kecuali Allah SWT, malah kita dilarang sama sekali untuk berburuk sangka. Namun hakikatnya niat adalah penentu segala, sekiranya seseorang ikhlas maka aqidah tauhid akan kekal dihatinya, namun tidak kurang yang memeluk Islam sebab kebendaan dan seseorang. Apabila diangkat atau hilang sebab tersebut maka akan kembali ia kepada asal kemahuannya, sepertimana Nguyen apabila Shah Mohamad kembali ke negara asalnya, maka tiada sebab baginya untuk kekal dalam Islam. Untuk kembali bersama keluarga asalnya beliau mesti membatalkan identiti keIslamannya. Tiada jalan lain untuk berbuat demikian melainkan melalui Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa. Manakala Mahkamah Syariah setelah diajukan kes seperti ini perlu menjalankan perbicaraan secara telus dan adil berdasarkan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Salah satu cara pembuktian yang lazim dibawakan adalah berdasarkan amalan selepas dari pengakuannya memeluk Islam dan keterangan saksi-saksi. Dalam kes Nyonya binti Tahir, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah mengambil kira keterangan yang terdiri dari dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak Nyonya binti Tahir. Begitu juga dengan rekod laporan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986 serta Surat Akuan bertarikh 19 Julai 1991, diambil sebagai keterangan bertaraf qarinah dalam kes tersebut. Akhirnya Mahkamah membuat keputusan mengisytiharkan Nyonya binti Tahir bukan beragama Islam sewaktu kematiannya. Keputusan ini adalah berdasarkan peruntukan 61(3)(b)(xi) “pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;”. Sebagai makluman Nyonya binti Tahir adalah seorang perempuan Melayu dipelihara oleh neneknya bangsa Melayu berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya (Mualaf Cina) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal. Beliau berkahwin dengan lelaki Cina bernama Chiang Meng pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Mereka mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin beliau hidup secara Cina. Kes ini mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam menuntut supaya jenazah Nyonya binti Tahir dikebumikan menurut upacara Islam di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.

Kes terbaru yang membabitkan Muallaf adalah di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang apabila Siti Fatimah Tan binti Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Hung telah diputuskan bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004. Keputusan kes ini juga berdasarkan keterangan bayyinah sepertimana kes diatas namun tidak banyak yang boleh diperkatakan, lantaran tiada Alasan Penghakiman rasmi yang dilaporkan malah dimaklumkan bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk merayu dalam kes tersebut. Seperkara yang wajib diambil iktibar dalam kes seperti Siti Fatimah, peranan susulan dan keberkesanan dakwah perlu diambil perhatian walau apapun dasar pemelukan Islamnya. Kerana sekali mengucapkan syahadah maka hanya Allah SWTlah yang akan menentukan kemana imannya. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang status orang yang mengucapkan syahadah dan dikira telah masuk Islam, walau untuk tujuan apa sekalipun syahadah tersebut diucapkan, sama ada untuk perkahwinan, perniagaan, atau sebab peperangan, maka mereka wajib mendapat pembelaan dan perlindungan. Penilaian ‘niat’ bukanlah menjadi syarat sah atau tidak keIslaman, walaupun faktor niat memang boleh dinilai dalam sah atau tidaknya ibadah seseorang, namun ia tidak terpakai di dalam kes ‘memeluk agama Islam’.

Manakala dalam senario kedua, membawa impak yang lebih besar apabila Mohamad Sani seorang Melayu yang dipelihara oleh ibubapa yang beragama Islam, tinggal dalam masyarakat Islam sebelum keluar Negara, pulang untuk memadamkan status Islam dalam kad pengenalannya bagi membuktikan bahawa beliau telah keluar dari agama Islam. Satu tindakan berani pada pemikirannya diatas nama kebebasan asasi manusia. Namun Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak membenarkan orang Islam untuk keluar agama itu dengan sewenang-wenangnya apatah lagi dari prinsip hukum syarak. Isu agama adalah persoalan jati diri dan pengenalan kebangsaan bagi bangsa Melayu. ‘Melayu’ menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai: “Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”. Jestru pengenalan seorang Melayu ialah beragama Islam dan hakikatnya perkara ini tidak boleh dipisahkan.

Kepentingan Agama Islam untuk dipelihara dan mendapat tempat yang sewajarnya dari segi sosial dan perundangan dilihat daripada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa ”Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan”. Pun begitu sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen hak-hak kaum berbilang bangsa untuk mengamalkan kepercayaan mereka tetap dihormati, Perkara 11 Perlembagaan memperuntukkan bahawa hak semua orang untuk menganuti dan mengamalkan agama dan mengembangkan agama tersebut dengan kekecualian bahawa undang-undang negeri boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut Islam.

Dengan berdasarkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itulah pihak berkuasa Agama Negeri Selangor pada masa lalu telah bertindak proaktif dengan mewartakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Enakmen tersebut antara lainnya memperuntukkan Kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Antaranya Seksyen 4 yang berbunyi: (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam--- (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau(c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. (2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali. Usaha ini dilihat sebagai inisiatif menghalang anasir-anasir yang cuba untuk menyebarkan dakwah atau memurtadkan orang Islam di Negeri Selangor, malangnya dewasa ini belum ada satu pun orang yang didakwa atas Enakmen ini dilaporkan dalam Jurnal-Jurnal Mahkamah untuk dijadikan iktibar mahupun kajian kes.

Dalam kes Lina Joy atau Azlina binti Jailani, beliau berusaha untuk mendaftarkan pertukaran nama, menukar tulisan Islam dan diganti dengan kristian di dalam kad pengenalan serta diiktiraf perkahwinannya dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Lina Joy yang berbangsa Melayu keturunan Jawa berkahwin dengan seorang Kristian setelah mempraktikkan ajaran Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990. Beliau berusaha untuk mendaftar perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan kerana kad pengenalan beliau masih tertulis ‘beragama Islam’ walaupun beliau telah berjaya menukar nama dalam kad pengenalan kepada Lina Joy. Permohonannya untuk mengeluarkan perkataan tersebut tidak dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana tiada kebenaran daripada Mahkamah Syariah yang memperakui beliau telah keluar dari Agama Islam. Permohonan beliau bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 dan seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 Sept 2005, kedua-dua mahkamah tersebut mengiktiraf bahawa kes adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pada dasarnya berpendirian sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan. Sehingga ke hari ini belum ada sebarang laporan mengenai kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan. Begitu juga kes-kes yang menjadi nisan peringatan kepada umat Islam seperti kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950 di Singapura, kes Suzy Teoh yang memeluk Islam semasa umurnya 16 tahun, kes Jamaluddin Osman pada tahun 1986 yang memeluk Kristian dan menjadi paderi di PJ dengan nama Joshua, kes Aisyah Bukhari pada tahun 1997, kes Hartina Kamarudin 1988, yang kini dikenali sebagai Devashini dan lain-lain kes yang dinyatakan dan tidak dilaporkan atas alasan kemaslahatan.

Berada ditengah-tengah polemik ini adalah badan perundangan negeri yang diberikan kuasa berdasarkan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Tertanggung bahawa haram hukumnya untuk keluar dari Islam dan mengiktirafnya, malah ia bukanlah berbentuk hak yang diiktiraf oleh hukum syarak, ianya bukan kes yang biasa bagi Hakim Syarie. Bagi mereka yang tidak memahami hakikat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya diperundangkan melalui Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Persekutuan, kekeliruan pasti timbul.

Tersepit dengan kaedah fiqhiyah “barang sesiapa yang redha dengan maksiat maka ia melakukan maksiat dan barang sesiapa yang redha dengan kekufuran maka ia kufur”, maka menjadi beban tanggungjawab Mahkamah untuk memutuskan perkara yang ia tidak redha, namun sekiranya tidak diputuskan akan menambahkan lagi masalah, seterusnya menjadi tohmah dan fitnah terhadap Agama Islam itu sendiri, sehingga menyebabkan mudharat kepada umat Islam pada harini ini dan masa akan datang. Demi kepentingan masa depan, satu tanda aras atau batu sempadan yang nyata harus dicipta untuk menghalang kegiatan lompat agama ini dari berleluasa tanpa batasan.

Jika diibaratkan Islam sebagai manusia, maka murtad dianggap sebagai toksid dalam tubuh badan, maka toksid yang terkumpul di dalam badan sekiranya dibiarkan ia akan menjadi sel kanser yang berkembang biak seterusnya menjadi barah dan akhirnya akan menjadi penyebab ajalnya manusia, demikianlah murtad bermula dari kes-kes terpencil yang dibiarkan oleh umat Islam hari ini, tidak mustahil pada masa akan datang ia akan mengancam umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Jestru, sebagai rakyat yang masih menganggap murtad sebagai kes terpencil dalam konteks Malaysia sebagai Negara Islam, maka satu anjakan paradigma wajar dimulakan pada hari ini. Seperkara yang perlu diingat, sabda Rasul SAW yang bermaksud: "Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin." (Riwayat Bukhari & Muslim).


MAIS bil 11:Jun 2007



1 comment: