Saturday, February 18, 2023

TAKLIMAT PERUNDANGAN DAN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR


Taklimat pada 19 Februari 2023
Dewan Mesyuarat Blok C Bangunan Dato' Jaafar Muhammad
aturcara
salutasi

edaran

1. Berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur kerana sudi menjemput pihak kami untuk berkongsi maklumat dengan Yang Amat Berhormat Dato’, Yang Berhormat Tan Sri, Dato’ Dato’, Tuan Tuan dan Puan Puan sekelian.


 2. Menyentuh tajuk “Perundangan dan Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor”, wajar diketahui bahawa ketua agama bagi sesebuah negeri telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 3(2) kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

3. Perlembagaan atau undang-undang negeri Johor dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895. Digubal dan berkuatkuasa pada zaman Sultan Abu Bakar pada tahun 1895, ia merupakan undang undang tubuh yang terawal dan menjadi modul untuk negeri negeri lain.


4. Bahagian ke dua undang-undang, berkenaan pentadbiran kerajaan, fasal 7(2)(d), menyebut fungsi raja untuk melaksanakan kuasa Baginda. Ceraian (d) menyatakan, Apa apa jua kewajipan sebagai ketua agama Islam atau berkenaan adat istiadat orang Melayu. Peruntukan ini menjelaskan kuasa Sultan Johor sebagai Ketua Agama seperti dinyatakan kemudiannya di dalam Perlembagaan Persekutuan. (1957)


MAJLIS AGAMA DAN ENAKMEN PENTADBIRAN

5. Bagi menjelaskan lagi kuasa Baginda, Enakmen Pentadbiran Agama Islam telah digubal dan diperkenan untuk mentafsirkan kuasa tersebut melalui undang-undang. Yang terkini adalah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 pindaan 2014. Saya akan sebut sebagai Enakmen Pentadbiran selepas ini.

6. Subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran menyatakan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan tujuan untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.


7. Majlis Agama Islam digerakkan melalui Ahli Majlis yang diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan. Kini Majlis dipengerusikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris bin Sultan Ibrahim. Segala fungsi Majlis dinyatakan dalam Enakmen Pentadbiran.  

8. Antara fungsi Majlis adalah sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua masjid dalam Negeri Johor. Semua perkara berkaitan masjid termasuk tanah dan apa-apa berkaitan dengan masjid adalah dalam tanggungjawab Majlis, termasuklah memakmurkan Masjid.

PENGURUSAN MASJID

9. Sehubungan dengan itu, Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau (Negeri Johor) 2019 mula berkuatkuasa pada 16 Januari 2020. Tujuan Peraturan ini adalah untuk menjaga kesejahteraan Masjid dan Surau bermula dari pelantikan jawatankuasa.



10. Secara ringkas Peraturan ini menyatakan hierarki pelantikan ajk kariyah bermula dari pengemukaan cadangan, kepada jawatankuasa peringkat mukim, kepada peringkat Daerah, pada peringkat ini Pegawai Daerah adalah Pengerusi jawatankuasa yang akan menapis, menyaring dan menilai calon untuk disyorkan kelulusan di peringkat negeri.

11. Ahli untuk jawatankuasa setiap peringkat ada dinyatakan satu persatu di dalam peraturan, pengesyoran ditapis berdasarkan kredibiti, Peraturan ini digubal untuk memastikan pengurusan Masjid dan Surau dapat ditadbir dengan baik dan teratur. Jemaah dapat beribadat dengan baik dan tidak berpecah belah. Sehubungan itu Yang Berhormat sekelian diharap ambil maklum. 

LARANGAN BERPOLITIK DALAM MASJID

12. Menyentuh titah Tunku berkenaan larangan berpolitik di dalam Masjid, sepatutnya menjadi peringatan buat kita semua. Asas kepada larangan tersebut adalah untuk membina perpaduan di kalangan umat Islam yang telah terbentuk dari Masjid dan bukan berpecah belah.

13. Saya merujuk kepada satu lagi Peraturan yang mengawal keharmonian dan kesepaduan umat Islam. Ia adalah Kaedah Mengajar dan Memberi Syarahan Agama 1991, terkini Majlis sedang dalam proses untuk menggantikan Kaedah dengan Peraturan yang diberi nama Peraturan-Peraturan Tauliah Mengajar dan Syarahan Agama 2023 yang lebih efisien berdasarkan perkembangan terkini umat Islam.

14. Tujuan kerajaan bukanlah untuk mengekang atau menghalang penceramah, tetapi lebih kepada berhati-hati dengan ajaran sesat dan doktrin luar dari tersebar melalui jalan Masjid dan Surau. Kita juga melihat kepada kes-kes yang berjalan samada di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, contohnya kes Rasul Dahri, Syiah, Hizbut Tahrir dan sebagainya.

TITAH KEPADA UNDANG-UNDANG

15. Alhamdulillah, menjunjung Titah Tunku yang prihatin dengan kesepaduan umat Islam, maka teguran berpolitik dalam Masjid oleh Baginda sewajarnya kita ambil pengajaran dan lebih berhati-hati, terutamanya mereka yang mewakili parti politik masing-masing. Persoalan seterusnya bagaimana Titah Tunku menjadi undang-undang?

16. Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota adalah merupakan dasar atau polisi bagi kerajaan negeri. Bagi melaksanakan dasar tersebut Majlis atau agensi kerajaan yang lain menterjemahkannya kepada undang-undang. Titah menjadi undang-undang boleh dilaksanakan dalam tiga bentuk mekanisma.

17. Bentuk Pertama, dijadikan sebagai undang-undang, bagi negeri Johor ia dikenali sebagai Enakmen, dari Titah digubal kepada rang undang-undang atau disebut sebagai bills, gubalan awal rang dibuat oleh agensi, disemak oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dibawa ke Jawatankuasa Peraturan dan Undang-Undang sebelum ke Mesyuarat Majlis dan dibentang dan dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri pada peringkat terakhir diwartakan atas perkenaan Tuanku.

18. Bentuk Kedua, Titah dijadikan undang-undang Peraturan atau Kaedah, undang-undang ini dibuat dibawah peruntukan Enakmen juga dikenali dengan undang-undang subsidiary, proses lebih kurang sama enakmen, tetapi selesai setakat persetujuan Majlis Mesyuarat Negeri dan diwartakan. Tidak perlu dibawa ke Dewan.

19. Bentuk Ketiga sebagai fatwa, Titah yang khusus terhadap umat Islam boleh dikuatkuasakan melalui pewartaan fatwa. Bagaimana proses pengeluaran fatwa boleh dilihat dalam bahagian III Enakmen Pentadbiran, ringkasnya fatwa terbahagi kepada dua, ada fatwa yang tidak diwartakan dan ada juga diwartakan,

20. Fatwa yang diwartakan mempunyai kesan undang-undang yang mana jika dilanggar boleh didakwa bawah seksyen 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

21. Dari ketiga-tiga bentuk mekanisma inilah Titah menjadi undang-undang dan dikuatkuasakan, jadi ia perlu melalui salah satu proses yang disebutkan sebentar tadi. Jestru saya mohon Ahli Yang Berhormat sekelian, mengambil cakna perkembangan undang-undang dalam Negeri Johor yang mana ia adalah prinsip Rukun Negara keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang.

Sampai disini sahaja, saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan. 

Abu Razeen

Alhamdulillah lepas dedo










Monday, February 13, 2023

ISU SAMA ADA PERUNTUKAN SEKSYEN 153(3) KANUN PROSEDUR JENAYAH [AKTA 593] SELARAS DENGAN HUKUM SYARAK

PENDAHULUAN

1. Seksyen 153(3) Kanun Prosedur Jenayah Akta 593 diperuntukkan seperti berikut:

 

“Particulars as to time, place and person

153. (1) The charge shall contain such particulars as to the time and place of the alleged offence and the person, if any, against whom or the thing, if any, in respect of which it was committed as are reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged.

     (2) ...

                 (3) When the accused is charged with an offence relating to publication by electronic means, the place of publication is where the publication is seen, heard or read by any person.”.

 

2.    Seksyen 153(3) apabila tertuduh dituduh dengan suatu kesalahan yang berkaitan dengan penerbitan secara elektronik termasuk media sosial, tempat penerbitan itu dibuat adalah di mana penerbitan itu dilihat atau didengar atau dibaca oleh mana-mana orang. Pelaksanaan ini tidak mengambil kira dimana isi kandungan itu dibuat akan tetapi dimana isi kandungan itu boleh disiar dan dibaca. Membolehkan penguatkuasaan dibuat secara lebih meluas dan berkesan menghadkan jenayah dalam media sosial.

 

3.    Manakala Seksyen 79 dalam Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 560 memperuntukan:

 

Seksyen 79. Butir-butir tentang waktu, tempat dan orang.

Pertuduhan itu hendaklah mengandungi apa-apa butir tentang waktu dan tempat kesalahan yang dikatakan itu dan orang, jika ada, yang terhadapnya atau benda, jika ada, yang berkenaan dengannya kesalahan itu telah dilakukan sebagaimana yang semunasabahnya mencukupi supaya tertuduh maklum tentang perkara yang mengenainya dia dipertuduh.

 

Setiap pertuduhan dibawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah hendaklah lengkap dengan maklumat dimana kesalahan dilakukan. Kesalahan tersebut hendaklah dipastikan berlaku dalam kawasan berbidangkuasa. Sekiranya perbuatan jenayah tidak dapat dibuktikan berlaku dalam Wilayah Persekutuan, maka ia adalah luar bidangkuasa dan ditolak oleh Jabatan Pendakwaan Syariah.

 

4.    Seksyen 1(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 pula menghadkan pelaksanaan bidangkuasa jenayah terhadap kesalahan yang berlaku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan Sahaja:

 

(2) Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi-

(a) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja; dan

 

(b) orang Islam sahaja

 

5.    Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak dapat membicarakan kesalahan yang mana kesalahan itu dapat dilihat atau didengar atau dibaca dalam Wilayah Persekutuan akan tetapi asal penerbitan diluar Kuala Lumpur atau tidak dapat ditentukan lokasi meskipun kesalahan tersebut menghina institusi agama, ibadat dan kesucian Islam.

 

6.    Mahkamah Syariah juga terikat kepada prinsip “wilayatul qadha”, yang membahagikan takat bidangkuasa kehakiman terhadap wilayah tertentu yang diberikan kuasa olehnya sahaja. Dalam Wilayah Persekutuan dan negeri yang tiada bersultan, wilayatul qadha ditentukan oleh YDP Agung, manakala negeri-negeri yang bersultan, kuasa wilayah diberikan oleh Sultan dan di hadkan secara pentadbiran dalam wilayah tertentu[1].

 

7.    Bidangkuasa kewilayahan ini hanya boleh keluar dari bidangkuasa asal melalui peruntukan “perintah bersaling” atau “reciprocal” di dalam Akta/Enakmen/Ordinan wilayah dan negeri masing masing jika ada diperuntukan[2]. Ringkasnya, peruntukan yang berada dalam undang-undang syariah di Malaysia adalah bersifat kewilayahan atau territorial.

 

ISU

 

8.    Oleh kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah bersifat territorial disebabkan perbezaan pentadbiran diantara negeri dan wilayah adakah sebarang ruang untuk meluaskan bidangkuasa jenayah syariah seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 153(3) Akta 593?

PERBAHASAN


9.    Dalam kitab Akhbar al Qudho’[3] karangan Muhammad bin Khalaf bin Hayan, ada merekodkan peristiwa lubang singa yang berlaku di Yaman:

 

“Dari Ali RA dia berkata, “Rasul SAW mengutuskanku ke Yaman. Setelah kami sampai pada suatu kaum yang membuat lubang perangkap singa, ketika mereka sedang melihat singa mereka saling berhimpit, maka terjatuh lah salah seorang daripada mereka sambil berpegang kepada yang lain sehingga mereka seramai empat orang jatuh dan singa tersebut mencederakan mereka. Seorang daripada mereka membaling tombaknya ke arah singa itu dan membunuhnya.

 

Empat orang yang berada di dalam lubang tersebut meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Kemudian kabilah pertama datang kepada kabilah yang lain dan mengeluarkan senjata untuk saling membunuh.

 

Pada ketika itu datanglah Ali RA kepada mereka dan berkata, “Apakah kalian akan berperang sementara Rasul SAW masih hidup? Sesungguhnya aku akan memutuskan perkara di antara kalian jika kalian redha dan itu merupakan sebaik-baik keputusan.

 

Tetapi sekiranya tidak, maka masing-masing harus menahan diri sehingga bertemu dengan Rasul SAW. Beliau sementara itu kemudiannya memutuskan untuk mereka, dan barangsiapa melampaui batas setelah itu, maka tiada hak baginya;

 

kumpulkanlah ¼ diyat, ⅓ diyat, ½ diyat dan diyat penuh dari kabilah-kabilah orang yang menggali lubang.” Orang yang pertama mendapat bahagiannya sebanyak ¼ diyat kerana beliau menyebabkan kebinasaan orang yang berada di atasnya, orang yang kedua pula mendapatkan bahagiannya sebanyak ⅓ diyat, sementara orang yang ketiga mendapat bahagiannya sebanyak ½ diyat. (orang yang berada paling atas mendapat diyat penuh)

 

Namun mereka menolak dan tidak redha akan keputusan tersebut dan mereka berjumpa dengan Rasul SAW di Mekah di mana baginda ketika itu berada di maqam Nabi Ibrahim AS. Mereka seterusnya menceritakan kepada baginda Rasul SAW ketidakpuasan hati mereka, dan baginda Rasul SAW menjawab, “Aku akan memutuskan perkaranya di antara kamu.”

 

Dalam keadaan baginda Rasul SAW duduk mendekap lututnya, maka salah seorang dari mereka berkata, “Sesungguhnya Ali RA telah memutuskan perkara kami” dan mereka menceritakan kisah mereka dengan panjang lebar. Baginda Rasul SAW mempersetujui keputusan tersebut. [Ahmad]”  


10. Peristiwa ini dijadikan nas untuk penghakiman rayuan dimana Ali telahpun membuat keputusan di Yaman, tetapi keputusan tersebut dirayu hingga didengar kali kedua di hadapan Rasul yang berada di Mekah.  Maka Rasul membuat keputusan membenarkan keputusan yang di buat oleh Ali.

 

11. Aspek lain dalam hadis tersebut, menunjukkan bahawa peristiwa yang berlaku di Yaman, telah diputuskan pula oleh Rasul yang berada di Mekah, sedangkan Yaman dan Mekah berada dalam dua negara yang berbeza. Menunjukkan bahawa penghakiman diluar kawasan boleh dilakukan berdasarkan hadis ini.

 

12. Di dalam al-Ijra’at al-Jinaiah as-Syariah[4], “Prosedur Jenayah Syariah”, ditulis oleh Dr Muhammad Zuhaili Universiti Syariqah [2008]. Antara ciri-ciri Prosedur Jenayah adalah bidangkuasa tempatan bagi jenayah diluar negara.

13. Apabila berlaku jenayah di luar sempadan negara, bidangkuasa asal tidak memasukkan hukuman oleh Mahkamah Jenayah terhadap kes tersebut, tetapi jenayah tersebut terus berlaku sehingga ke dalam negara, atau berkaitan dengan hal ehwal negara, maka disini penggubal undang-undang menyatakan: Apabila berlaku di luar sempadan satu jenayah dari jenayah yang boleh dihukum atas undang-undang negara, maka diangkat dakwaan terhadap penjenayah dihadapan Mahkamah Jenayah di ibu negara.

 


14. Jenayah yang berlaku diluar wilayah negara tersebut adalah dari ketegori jenayah yang terkandung kepada undang-undang negara. Pemakaian penghakiman sebegini dilaksanakan oleh Mahkamah Jenayah di ibu negara yang dikhususkan untuk menghakimi jenayah tersebut. Seperti jenayah memalsukan mata wang yang dibuat di luar negara, atau jenayah yang menyentuh tentang keamanan negara[5].

 


15. Ini adalah amalan bagi negara Timur Tengah seperti Emiriah Arab Bersatu, Yaman dan Mesir diperundangkan dalam Prosedur Jenayah masing masing. Bagi negara tersebut, penggunaan prosedur jenayah tidak dibezakan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana tiada prinsip dualism perundangan. Oleh yang demikian prosedur yang sama digunakan untuk jenayah syariah.

 

16. Kaedah fiqhiah الحاجة تنزل منزلة الضرورة atau “kehendak (الحاجة)  diturunkan pada tahap keperluan (الضرورة). Yang dimaksudkan disini adalah kehendak yang pada asasnya kurang diperlukan, namun bertukar menjadi keperluan kerana tahap kedudukan syariah yang akan dilaksanakan ke atas masyarakat awam.

   

17. Sekiranya terdapat keperluan umum untuk melaksanakan sesuatu perkara yang asalnya bersifat “Hajat” atau kehendak sahaja, maka dibolehkan menjadi keperluan untuk dilaksanakan, tetapi kehendak yang menduduki status keperluan ini hendaklah dilihat kepada kadar keperluan sama ada boleh diluas atau dimudahkan, kerana apabila telah menjadi keperluan maka tidak boleh tidak perkara tersebut hendaklah dilaksanakan.

 

18. Penggunaan kaedah ini boleh digunakan terhadap penghakiman diluar bidangkuasa tempatan jenayah, jika isu kesalahan contohnya seperti menghina Islam, menghina fatwa atau institusi Islam, menghina undang-undang syariah yang sedang berjalan disesuatu negeri, jelas perkara ini sekiranya dibiarkan akan menjadikan Islam dipandang hina kerana tiada tindakan dapat diambil. 

 

19. Oleh yang demikian, penguatkuasaan terhadap perlakuan jenayah diluar bidangkuasa jatuh pada tahap keperluan untuk diambil tindakan. Ini kerana jika tidak dapat diambil tindakan selama-lamanya kerana isu berbeza bidangkuasa tempatan, maka kesalahan yang sama akan sewenangnya berlaku sepanjang masa tanpa tindakan.

 

KESIMPULAN

 

20. Kembali kepada persoalan asal sama ada peruntukan seksyen 153(3) Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] selaras dengan hukum syarak. Maka berdasarkan Hadis riwayat Imam Ahmad, amalan undang-undang negara Emiriah Arab Bersatu, Yaman dan Mesir dan kaedah الحاجة تنزل منزلة الضرورة maka peruntukan 153(3) Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] adalah selaras dengan hukum syarak.

 

21. Sewajarnya pindaan terhadap Akta/Enakmen/Ordinan di dalam Prosedur/Tatacara Jenayah negeri-negeri dan wilayah dipinda dan disesuaikan dengan peruntukan 153(3) Akta 593.

 

22. Pindaan ini wajar dengan perkembangan semasa demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.



[1] Adabul Qadhi: al Mawardi

[2] Seksyen 75 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor

[3] اخبار القضاة Akhbar al Qudho’ Muhammad bin Khalaf bin Hayan

[4] الاجراءات الجناءىية الشرعية al-Ijra’at al-Jinaiah as-Syariah Dr Muhammad Zuhaili Universiti Syariqah [2008]

[5] Seksyen 144 Prosedur Jenayah Emiriah Arab Bersatu, Seksyen 236 Prosedur Jenayah Yaman, Seksyen 219 Prosedur Jenayah Mesir