Sunday, December 13, 2020

DARAH DI TANDUO : REVIEW

                                             
Buku: DARAH DI TANDUO
Karya: DHUHA STEFFA
Tahun: 2020
Penerbit: Syihabudin Press
Mukasurat: 110


1. Membawakan episod insurgensi dari kacamata awam yang tidak pernah termimpi. Moga menjadi pengajaran dalam sanubari setiap insan merdeka. Hakikat kebebasan dipajak dengan darah satria dan anak watan. Punya ruh dan cinta bagi yang masih punya rasa. Rumusan awal terhadap buku comel yang berjiwa besar.

2. Tahniah kepada Dhuha Steffa jika ini adalah terbitan sulung, maka selayaknya digelar penulis. Agak jarang menemukan penulis muda berani meneroka ruang sejarah gelap tanahair sendiri, bimbang dikritik oleh gergasi karyawan atau di sailang pahlawan papan kekunci, saya faham perasaan beliau apabila seawal prakata, telah berlapang dada dengan perbezaan pendapat post penerbitan ...namun saya percaya semangat untuk menulis mengatasi segala-galanya.

3. Pepatah Arab menyatakan "Sesiapa yang tidak merasai, tidak akan tahu perkara sebenar", inilah yang dibawakan oleh penulis berbakat dari Sabah. Perasaan ingin tahu dan mahu berkongsi penceritaan wajar menerima pujian. Mungkin diluar sana ramai lagi mengetahui fakta, tetapi tak semua mampu menulis. Saya merasakan sebahagian penceritaan adalah perkara yang benar-benar dialami oleh mangsa pada tahun 2013.
4. Barangkali, kalau nak membayangkan betapa passionatenya penulis, wajar saya bawakan potongan perenggan monologuenya, "... Benar. Aku tidak mampu mengangkat senjata untuk mempertahankan kedaulatan negara. Namun aku ada senjata yang tidak kurang hebatnya iaitu murid-muridku...". 

5. Kemudian diikuti dengan bab 11 dimana keupayaan seorang guru terserlah apabila membina gambaran sejarah yang dipenuhi dengan fakta untuk dihadam oleh murid-murid seusia 10 hingga 12 tahun. Bacalah hubungkait Sabah, Brunei, Filipina, Sulu, British, Jepun dan Malaya semuanya dicanai dalam periuk rumah tangga sehingga terjadinya porak peranda. Perumpamaan mudah yang digunakan bukan sahaja untuk kanak-kanak, tapi juga untuk budak dewasa yang susah nak hadam. 

6. Buku ini mencuri perhatian seawal grafik kulit buku. Mungkin novel ini penuh dengan jargon militari, angka, darah, cedera, lebam, kemik dan sebagainya, masakan tidak 3 komando ala paskal gagah menghiasi depan dan belakang buku ini. Jangan takut, penceritaan penulis membumi bersama penduduk kampung Tanduo, menyoroti mangsa yang berjalan kaki 10 kilometer demi nyawa. Anak-anak boleh baca ya, tak perlu lembaga penapis finas.

7. Pun begitu, beberapa fakta penting tidak ditinggalkan penulis, antaranya keupayaan aset ketenteraan ATM terkini seperti Laser Guided Bomb saya terangkan secara ringkas dalam vlog, kenapa perlu guna kereta kebal, meriam, jet pejuang tatkala musuh bukanlah sebatalion negara? Siapa yang membiayai pencerobohan ini tatkala 'Sultan Sulu' bukannya sebayang Sultan Brunei pun?, malah paling menyentuh hati adalah luahan hati dan perasaan mangsa, apabila ada yang mengatakan ini semua adalah sandiwara saja.

8. Bacalah buku yang membina jiwa, meskipun 110 mukasurat tak dapat nak lawan novel cinta 300 ke 400 mukasurat, tetapi ini jauh lebih berharga. Didiklah diri sendiri dan anak-anak dengan semangat kecintaan pada keamanan, ambillah pengajaran dari kehancuran disekeliling kita untuk diinsafi. Saya telah baca "Muslim Selatan Thai Konflik dan Perjuangan, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam, Kolonel Jihad: Antara Mitos dan Realiti dan masih menguliti Mein Kampf sebagai cubaan untuk memahami hakikat perang dan aman. 



9. Mungkin inilah sinar di hujung terowong, ya terowong kelam Covid19. Tidak semuanya bernasib malang, bertambahnya penulis dan bercambahnya pembaca. Meskipun MPH outlet dah ditutup tetapi penjualan buku melalui atas talian semakin menjadi pilihan. Guru punya banyak masa bekerja dirumah, pekerja punya masa terluang untuk membaca. Semoga amalan membaca mekar dan segar untuk rakyat walau selepas vaksinasi memungkinkan tiada lagi duduk rumah berisolasi. Dapatkan naskhah anda sebelum keluar yang terbaru pula.

Abu Razeen
BeliBacaPahamSimpan
Buku