Pra: Ini adalah hujah bahagian ke dua. Hujah pertama adalah berdasarkan perbicaraan yang telahpun selesai keterangan dan pihak pihak telahpun menutup kes. Namun Yang Arif bicara masih tidak berpuas hati dan perlukan saksi pakar. Pihak Plaintif berusaha membawa saksi pakar. Walaupun begitu saksi tersebut hadir dan memberi keterangan bagi pihak Mahkamah. Risiko jika saksi (SP3) hadir sebagai saksi Plaintif maka, keterangan pakar akan dianggap sebagai memihak kepada Plaintif dan mengurangkan merit saksi pakar.
Disclaimer: Tidak ada kene mengene terhadap pihak yang hidup ataupun telah mati, segala karakter yang digunakan adalah fiksyen semata-mata. Cuma boleh dijadikan pengajaran (kalau berguna) khususnya dalam kes tuntutan janda peneroka atau isteri kedua setelah isteri pertama mati atau cerai selepas seketika masuk tanah rancangan. Semoga tiada lagi janda peneroka yang terinaya selepas ini.
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH MANCHESTER
CITY
DALAM ENGLAND
SAMAN NO.: 0TR00-017-1234-2013
ANTARA
AMINAH BINTI HAMZAH …PLAINTIF
DENGAN
FUAD BIN AZMAN …DEFENDAN
HUJJAH TAMBAHAN PLAINTIF
PENDAHULUAN
Yang Arif
1. Kes ini merupakan kes tuntutan harta
sepencarianyang telah difailkan oleh Plaintifdi Mahkamah Tinggi Syariah Selatan
(Manchester), Manchester pada 05/02/2013 berdasarkan peruntukan Seksyen 122
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Manchester) 2003 (selepas ini
disebut sebagai ‘Enakmen 17/2003 tersebut’). Perbicaraan telah dijalankan sejak
16/04/2014 dan selesai bicara pada 24/06/2015. Mahkamah menetapkan penghujahan
pada 06/10/2015.
2. Pada 06/10/2015 Mahkamah menangguhkan
keputusan untuk mendengar keterangan daripada saksi pegawai FELDA, Keterangan
saksi ini bertujuan menerangkan tentang Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960 (selepas ini dikenali sebagai ‘GSA’), Pekeliling dan sebarang arahan
berkaitan status tanah yang dipertikai.
3. Pada 13/13/2016 Plaintif telah mengemukakan
seorang saksi bernama Puan Rofiah binti Sarkan (selepas ini dikenali sebagai ‘SP-3’),
Makcik Kafe, FELDA yang beralamat di Menara FELDA, Westminister,
London. Bidang tugas SP-3 sebagai Makcik Kafe tukang jawab adalah untuk hadir ke
Mahkamah Sivil bagi kes melibatkan FELDA. SP-3 bertanggungjawab meneliti
perjanjian diantara FELDA dengan pihak lain. SP-3 juga turut hadir dalam kes melibatkan harta
sepencarian yang melibatkan GSA. SP-3
mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang dan agensi yang sama sejak 1 Disember
1998, iaitu selama hampir 20 tahun.
4. Dalam keterangan pada 13/01/2016 beberapa
isu telah dijawab oleh SP-3. Keterangan yang diberikan adalah berdasarkan
peruntukan undang-undang. Meskipun dipanggil melalui Sapina Mahkamah oleh
Plaintif dan hadir sebagai saksi Plaintif, tetapi SP-3 tidak mengenali Plaintif
dan Defendan melainkan setelah hadir ke Mahkamah pada tarikh 13/13/2016. Ini
menunjukkan sisi profesionalisma SP-3 yang tidak berpihak dan memberi
keterangan secara jujur atas kapisiti jawatan beliau.
5. Isu yang difokuskan boleh dibahagi kepada pecahan persoalan berikut:
a. Syarat Menjadi Peneroka.
b. Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan
Kebun
c. Hak janda peneroka dalam GSA.
d. Hak bekas isteri dalam Sek 122 EUUKINM 2003
e. Sumbangan langsung
f. Sumbangan tidak langsung
g. Pekeliling Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA
h. Pekeliling KP PTG 42/2009 3.1(1) dan (2)
i. Wang Insentif Raya, insentif Produktiviti
Peneroka
j. Dividen FGV, KPF dan saradiri Technoplant.
a. SYARAT MENJADI PENEROKA
6. Sepanjang perbicaraan keterangan Defendan,
pihak Plaintif diperlihatkan sebagai seorang bekas isteri yang tidak mempunyai
hak seolah-olah tidak memberi sebarang sumbangan langsung dalam perolehan harta
yang dipertikai. Segala hasil yang diperolehi adalah berdasarkan nama tunggal
yang dinyatakan dalam borang, surat menyurat dan paysheet (resit bayaran
jualan) iaitu atas nama peneroka sahaja. Persoalannya, adakah dengan nama
tunggal maka Plaintif langsung tidak layak untuk membuat tuntutan dan menerima
bahagian?
7. Dalam keterangan SP-3 pada 13/13/2016, SP-3
menyatakan syarat untuk menjadi peneroka adalah tertakluk kepada Seksyen 19 GSA
(muka surat 17 SO-1 ikatan dokumen Plaintif) dinyatakan seperti berikut:
“19. (1) Mana-mana orang selain
warganegara, tidak layak menghuni sesuatu pegangan luar bandar selama mana
pegangan itu kekal sebagai tanah Negeri …..
8. Dan dengan syarat bahawa bagi maksud
subseksyen ini perkataan “orang” termasuk suami atau isteri seseorang dan dalam
mengira keluasan tanah desa yang dirujuk dalam perenggan (a) mana-mana tanah
yang dipegang secara berasingan oleh suami dan isteri adalah terangkum…”
9. Akta tersebut menyatakan kewujudan dua
entiti yang dikenali sebagai suami dan isteri, berdasarkan peruntukan tersebut,
pihak FELDA telah meletakkan syarat untuk menjadi peneroka, pihak pemohon
mestilah mempunyai isteri atau suami. Perkara ini dikuatkan dengan Borang
Temuduga FELDA dalam dokumen D-3 yang kemukakan sendiri oleh Defendan.
10. Semasa soal semula SP-3 oleh peguam
Defendan, pihak peguam telah menyatakan, dengan meletakkan nama Defendan sahaja
di dalam surat menyurat, ini menunjukkan sumbangan Defendan adalah lebih tinggi
berbanding Plaintif. SP-3 menjawab dan menyatakan bahawa memang nama Defendan
sahaja akan muncul walaupun dalam kertas paysheet. Namun dari segi sumbangan,
SP-3 tidak boleh membuat telahan melalui nama sahaja.
11. SP-3 menyatakan pendirian bahawa, agak
sukar untuk menentukan sumbangan samada peneroka atau isteri peneroka lebih
banyak berbanding satu sama lain. Walaubagaimanapun Plaintif bersetuju dengan
pendapat SP-3 yang merumuskan bahawa dengan nama Defendan dalam borang, ini
tidak bermaksud sumbangan Defendan adalah lebih.
12. Adalah tidak sesuai untuk mengukur
sumbangan dari segi kekuatan dan kebebasan untuk bergerak yang dinikmati oleh
lelaki berbanding wanita, oleh sebab itu Allah SWT telah berfirman:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٲمُونَ
عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ وَبِمَآ
أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٲلِهِمۡۚ
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi
kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki)
atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah
menafkahkan sebagian dari harta mereka.” [An-Nisaa: 34]
13. Kelebihan lelaki atas wanita adalah
berdasarkan kepada kewajipan memberi nafkah kepada isteri, ayat ini tidak
menyatakan bahawa lelaki terlebih utama dari segi hak untuk memiliki disebabkan
kekuatan dan kebebasan berbanding wanita. Bahkan wanita lebih berhak untuk
dilindungi dan dipelihara daripada kesusahan dan kesempitan. Bukanlah atas
dasar nama di dalam borang atau kekuatan Defendan untuk mengusahakan ladang
menjadikan Plaintif tidak layak untuk mendapat harta sepencarian, tetapi
sokongan dan bantuan Plaintif juga adalah faktor upaya Defendan berupaya
melakukan pekerjaan dan kewajipan terhadap keluarga di sepanjang tempoh
perkahwinan.
14. Allah SWT juga mengiktiraf usaha wanita
dalam rumahtangga dan juga terhadap pemilikan, oleh kerana itu Allah SWT telah
merakamkan pembahagian mengikut sumbangan masing masing, tanpa dinafikan hak
satu terlebih utama dari yang lain, dalam firmanNya:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬
مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ
“ bagi orang laki-laki ada bahagian
daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari
apa yang mereka usahakan”[An-Nisaa: 32]
15. Oleh yang demikian pihak Plaintif
menghujahkan bahawa, sumbangan Plaintif adalah setara dengan Defendan dari segi
komitmen dan pengorbanan membangunkan tanah FELDA sehingga melayakkan Plaintif
menerima hak yang sama rata dengan Defendan. Peranan Plaintif adalah tidak
dapat dinafikan dan nama Defendan pula bukanlah penentu untuk mendapat bahagian
yang lebih.
b. PERJANJIAN TANAM SEMULA DAN PENGURUSAN
KEBUN
16. Defendan mempertikaikan hak Plaintif untuk
mendapat harta sepencarian dengan menggunakan Perjanjian Tanam Semula dan
Pengurusan Kebun. Dokumen tersebut dikemukakan oleh Defendan dan telah
ditandakan sebagai D-4. Persoalan yang timbul, adakah dokumen tersebut boleh
digunapakai bagi menolak tuntutan Plaintif?.
17. Dalam keterangan SP-3 . Perjanjian Tanam
Semula yang dikemukakan, bukanlah perjanjian asal untuk menjadi peneroka,
perjanjian tersebut lebih kepada aturan dan kawalan kepada pengurusan kebun
setelah kelapa sawit ditebang dan ditanam semula. SP-3 menyatakan bahawa FELDA
Tenggaroh 2 kini masih belum menerima hakmilik, belum ada geran dan masih belum
ada nama pemegang individu.
18. Apabila seseorang peneroka menyerahkan
urusan kebun kepada FELDA melalui perjanjian tersebut.FELDA akanmenawarkan wang
sara hidup dalam bentuk bantuankewangan sebanyak RM1,200.00 sebulan. Jumlah
sarahidup ini akan menjadi hutang peneroka kepada FELDA.
19. Merujuk kepada penggunaan terma 11(h) dan
(15) perjanjian tersebut yang melarang melepaskan kepentingan atau
memindahmilik kepada pihak lain, SP-3 menyatakan terma tersebut tidak bermaksud
larangan kepada Mahkamah atau mana-mana pihak berkuasa. Ia lebih kepada
larangan tindakan dari peneroka sendiri. Yang dimaksudkan adalah pindah milik
peneroka kepada pihak ke tiga, bukan pindahmilik kepada isteri atau bekas
isteri. Jika transaksi tersebut dilakukan dengan persetujuan FELDA maka ia
tidak termasuk dalam larangan ini. Terma yang dirujuk menyebut:
“11(h) tidak akan melepaskan kepentingan
atau memindahmiliknya ……
…..tanpa terlebih dahulu mendapat
persetujuan FELDA secara bertulis:;
Yang Arif
19. Pihak kami menghujahkan bahawa, penggunaan Perjanjian
Tanam Semula dan Pengurusan Kebun adalah tidak relevan dan tertolak. Penggunaan
Perjanjian tersebut oleh pihak Defendan adalah mengikut sangkaan dan tafsiran
Defendan sahaja. SP-3 menerangkan bahawa isu yang dibawa Defendan adalah tidak
berkaitan dengan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
c. HAK JANDA PENEROKA DALAM GSA.
20. Pihak Plaintif telah mengemukakan
peruntukan Seksyen 12 (5), 14 (2) dan 15 GSA(mukasurat 13 dan 14 Ikatan Dokumen
Tambahan Plaintif SO-1) dan menghujahkan bahawa hak Plaintif sebagai janda
peneroka adalah terjamin di dalam undang-undang. Persoalan yang ditimbulkan,
adakah pihak lain berhak untuk menjadi co-holder atau menerima bahagian dalam
harta sepencarian selain bekas isteri peneroka?.
Peruntukan dalam Seksyen 12 (5) dinyatakan
sebagai:
“(5) Jika sesuatu perintah Mahkamah menurut
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang terpakai di Negeri itu atau Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] meletak
hak pegangan luar bandar kepada isteri, bekas isteri atau waris kadim pemegang.
Pemungut hendaklah sewajarnya memasukkan nama isteri, bekas isteri atau waris
kadim itu sebagai pemegang bersama di dalam daftar pegangan”.
Seksyen 14(2) berbunyi:
“(2) Sesuatu pegangan luar bandar boleh
diberi milik dan dipegang bersama oleh tidak lebih daripada dua pemegang”.
Dan seksyen 15(2A) dan (2B) GSA menyatakan
seperti berikut:
“(2A) Pihak Berkuasa Negeri boleh
membenarkan sesuatu pegangan luar bandar secara bahagian tak dibahagi oleh seseorang
pemegang dan isterinya, bekas isterinya, atau waris kadim sebagai
pemegangbersama, apabila sesuatu pemohon dibuat dalam Borang AA di dalam Jadual
Pertama
(2B) Sesuatu pegangan luar bandar boleh
dipegang secara tak dibahagi menurut sesuatu perintah mahkamah yang dibuat
menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang terpakai di Negeri atau Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976”
SP-3 menyatakan bahawa GSA adalah antara
undang-undang terpakai bagi FELDA dan mana-mana tanah rancangan yang
dibangunkan oleh pihak kerajaan. Akta ini masih digunapakai dan telah mengalami
pindaan setelah berlaku beberapa tuntutan oleh janda peneroka dan lain-lain
keperluan berdasarkan agenda semasa.
21. Melalui akta ini FELDA telah memperuntukkan
peneroka mendapat tanah rancangan sebanyak 10 ekar untuk tanah pertanian dan ¼
ekar tanah kediaman. Pada tahun 1960 akta rujukan asal hanya menyatakan kepada
peneroka sahaja. Perjanjian asal hanya peneroka yang menandatanganinya, oleh
sebab itu hanya nama peneroka lelaki sahaja yang didaftarkan di dalam geran
sekiranya hak milik dikeluarkan.
22. Perkara ini telah menimbulkan ketidak
puasan hati dikalangan isteri, terutamanya apabila melibatkan penceraian dan
pihak peneroka berkahwin lain. Perkara ini telah dibangkitkan sehingga ke
peringkat nasional oleh Menteri pada masa itu iaitu Dato’ Seri Sharizat. Atas
desakan dan tuntutan keadilan atas janda peneroka, maka GSA dipinda pada tahun
2002. Antara pindaan yang dimasukkan adalah peruntukan seksyen Seksyen 12 (5),
14 (2) dan 15 GSA.
23. Merujuk kepada Seksyen 15 GSA, dinyatakan
bahawa isteri, bekas isteri atau waris kadim boleh menjadi pemegang bersama.
Namun Seksyen 14(2) menyatakan pegangan luar bandar tidak boleh lebih dari dua
pemegang. Maka hanya salah satu pihak daripada 3 orang yang dinyatakan berhak
untuk dijadikan penama bersama. Persoalan yang timbul siapakah yang paling
layak untuk dijadikan sebagai penama bersama?
d. HAK BEKAS ISTERI DALAM SEK 122 EUUKINJ 2003
24. GSA tidak menetapkan siapa yang paling
berhak diantara 3 orang yang disebut dalam Seksyen 15. Oleh yang demikian
Plaintif memohon Yang Arif merujuk kepada Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Negeri Manchester 2003:
“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa
apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian
untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam
masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya
mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan
dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset
itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh
subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang.
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah
dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi
memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh
salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang
belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada
pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama
banyak.”
25. Dalam kes ini, Plaintif mengemukakan
tuntutan harta sepencarian terhadap Defendan sebuah rumah dan tapak rumah yang
didaftarkan sebagai No. Hakmilik PA JHK1234, Lot PHJ123 yang mempunyai alamat No.999, FELDA Manchester, New England, 0007, , Manchester City. Plaintif mengemukakan semula hujah yang telah dikemukakan
pada hujahan bertarikh 25/08/2015 berdasarkan sumbangan secara langsung dan
sumbangan tidak langsung.
e) ISU
SUMBANGAN SECARA LANGSUNG
26. Peruntukan seksyen 122 EUUKINJ 2003
menyatakan hak untuk menuntut harta sepencarian hendaklah dinyatakan melalui
sumbangan secara langsung atau tidak langsung pihak yang menuntut. Defendan
sedaya upaya menafikan hak Plaintif untuk menikmati hasil FELDA dan hasil
terbitannya hanya kerana Plaintif telah diceraikan. Namun hakikatnya jika tanpa
penyertaan Plaintif pada peringkat awal kemasukan ke FELDA, maka Defendan tidak
akan menikmati kemudahan hasil dan keistimewaan sebagai seorang peneroka.
27. Plaintif menyatakan bahawa sumbangan secara
langsung telah berlaku seawal perkahwinan sehingga tarikh perceraian. Perkara
ini tidak dapat dan tidak pernah dinafikan oleh Defendan serta saksi-saksinya
di sepanjang perbicaraan ini berlangsung.
28. Pada peringkat awal perolehan hartanah FELDA,
peranan Plaintif sebagai isteri menjadikan Defendan layak untuk memohon sebagai
peneroka. Plaintif hadir bersama Defendan semasa temuduga untuk menyertai
peneroka tanah rancangan di Manchester Bahru pada 21/08/1985. Fakta ini
didapati dalam kandungan belakang mukasurat 12 ikatan dokumen Defendan yang
ditandakan sebagai P-3. Sekiranya Plaintif tidak hadir sebagai isteri, maka
Defendan tidak layak menjadi peneroka FELDA Manchester Bahru.
29. Dalam keterangan Plaintif, Plaintif
menyatakan Plaintif layak mendapat harta sepencarian kerana Defendan telah
bersetuju untuk tinggal dan memasuki tanah rancangan FELDA bersama-sama dan
menjaga serta mengusahakan rumah dan ladang kelapa sawit. Secara fakta,
disepanjang tempoh perkahwinan dengan Plaintif Defendan tiada isteri lain.
Defendan hanya berkahwin lain pada tahun 2008.
30. Pada peringkat awal menjadi peserta Plaintif
pernah pergi ke ladang membantu Defendan meracun rumput, membaja pokok dan
mengangkat buah. Plaintif dan Defendan sama-sama menaiki motor untuk ke ladang.
Plaintif menyatakan seminggu dua kali Plaintif dan Defendan pergi ke ladang,
bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang Plaintif bantu Defendan. Dakwaan
Plaintif tidak pergi ladang adalah tidak benar.
31. Plaintif mengetahui lokasi sebenar ladang
kelapa sawit atas nama Defendan. Jarak perjalanan dari rumah mengambil masa
dalam 10 ke 15 minit. Plaintif tidak dapat menyatakan jarak secara matriks
kerana Plaintif bukanlah seorang yang terpelajar.
32. Anak lelaki pernah bawa Plaintif pergi ke
kebun, jiran-jiran peneroka mengetahui kebun kelapa sawit diusahakan secara
bersama-sama Plaintif dan Defendan
Dakwaan Plaintif ini turut disokong oleh SP-2 yang menyatakan Plaintif
pernah turun ke kebun untuk membantu Defendan.
f) ISU
SUMBANGAN TIDAK LANGSUNG
33. Plaintif bukan sahaja menyumbang secara
langsung, bahkan turut menyumbang secara tidak langsung. Plaintif pernah
bekerja menjual nasi lemak, ambil upah memetik koko di kawasan FELDA Tenggaroh
2 pada peringkat awal menjadi peneroka. Usaha ini dibuat untuk membantu
Defendan, kurangkan beban dan tambah pendapatan keluarga yang sedikit pada masa
itu. Hasil pendapatan Plaintif, Plaintif membantu memperuntukkan belanja
anak-anak ke sekolah dan belanja keluarga.
34. Plaintif juga bekerja sebagai cleaner di
Hospital Tepi Pantai Manchester Bahru bermula tahun 1996 untuk mengurangkan
beban perbelanjaan keluarga. Plaintif berulang alik dari FELDA Manchester ke Pekan Manchester
Bahru dengan menaiki bas sehingga kini. Plaintif bekerja dengan izin Defendan.
35. SP-2 dalam keterangannya menyatakan semasa
dalam tempoh perkahwinan Plaintif pernah kerja sebagai tukang cuci di Hospital
Tepi Pantai dan pada masa yang sama Plaintif adalah seorang suri rumah.
SP-2 pernah pergi ke rumah Plaintif dan melihat sendiri.usaha Plaintif menjaga
rumah dan kebajikan keluarga.
36. Walaupun bekerja, Plaintif tetap meneruskan
kerja-kerja rumah, Defendan tidak menyediakan pembantu rumah bagi menguruskan
rumahtangga. Plaintif sebagai suri rumah melakukan kerja membersihkan rumah,
menjaga rumah, menjaga anak-anak, membasuh pakaian anak-anak dan Defendan,
memasak, menyediakan makanan, melipat baju dan lain-lain lagi. Perkara ini
dilakukan seorang diri setelah Defendan mula kerja diluar FELDA dan jarang
balik ke rumah.
37. Pengorbanan Plaintif melahirkan cahayamata
Defendan seramai 4 orang juga adalah sebagai satu sumbangan tidak langsung.
Plaintif telah memelihara dan menjaga kebajikan anak-anak sehingga ada yang
telah bekerja. Dakwaan Defendan, Plaintif gagal menjaga anak dinafikan. Plaintif
menyatakan anak ketiga telah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan 5. Anak
keempat tidak berjaya tamatkan persekolahan kerana tertekan dengan sikap
Defendan yang membawa perempuan bukan muhrim ke dalam rumah sehingga
kawan-kawan anak keempat mengejeknya. Sekiranya Defendan turut membantu menjaga
anak di sepanjang tempoh perkahwinan mungkin nasib anak-anak akan jadi lebih
baik. Tapi keadaan adalah disebaliknya. Seorang anak yang masih dibawah
tangggungan masih tinggal bersama Plaintif sehingga kini.
38. Plaintif bukan sahaja berusaha membantu
Defendan dari segi tenaga, bahkan juga dari segi kewangan. Semasa tempoh
perkahwinan, duit gaji berupa kad ATM Plaintif diberikan kepada Defendan.
Defendan memaklumkan Plaintif duit digunakan untuk bayar kereta dan motosikal.
Plaintif tidak ambil tahu tentang duit Plaintif yang digunakan oleh Defendan.
Kerelaan Plaintif menyerahkan wang gaji kepada Defendan disepanjang tempoh
perkahwinan juga dimaksudkan sebagai sumbangan secara tidak langsung dalam pemerolehan
hartanah yang dituntut.
g. PEKELILING BIL.1/2006 JABATAN TANAH FELDA(P-6)
39. Bagi menguatkan hujah Plaintif, Plaintif
merujuk kepada keterangan SP-3 Berkaitan Pekeliling Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA.Dokumen
ini ditandakan sebagai P-6. Pekeliling ini adalah amalan dan kawalan dalaman
pihak FELDA yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah. Pekeliling ini berbentuk
peraturan dan tatacara bagaimana bekas isteri peneroka yang diceraikan menuntut
hak harta sepencarian. Persoalan yang timbul: Adakah pekeliing ini sahlaku
untuk dijadikan sebagai pemberatan dalam tuntutan hak Plaintif?
40. Plaintif merujuk kepada Perkara 4Pekeliling
Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA(dikemukakan dalam SO-2 ikatan dokumen tambahan
Plaintif) dinyatakan seperti berikut:
“4. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN
Bekas isteri samada bercerai hidup atau bercerai
mati layak menuntut harta sepencarian, bagi yang bercerai hidup, kelayakan
tuntutan harta sepencarian ini tanpa melihat kepada sebab-sebab berlakunya
perceraian tersebut.
Dalam konteks FELDA, syarat kelayakan
tuntutan harta sepencarian ialah bekas isteri itu mestilah sama-sama masuk ke
rancangan bersama suami dan tinggal bersama di rancangan sehinggalah berlaku
perceraian.”
Plaintif juga merujuk kepada A.2(i)
Pekeliling yang sama dinyatakan sebagai:
“i. Kadar pembahagian boleh dibuat
berasaskan kepada 50% daripada jumlah bayaran kembali yang telah dijelaskan
oleh suami kepada FELDA”.
41. Dalam pekeliling tersebut, pihak FELDA
telah menetapkan secara khusus tatacara bagi janda peneroka untuk menuntut
harta sepencarian. Meskipun GSA telah menetapkan kepada 3 golongan yang berhak
dijadikan sebagai penama bersama, tetapi hanya janda peneroka yang ditetapkan
secara teliti. Ini berikutan tuntutan yang banyak dikemukakan sehingga menjadi
permasalahan kepada peneroka, pihak pengurusan FELDA dan pihak terbabit.
42. Dalam pekeliling yang sama, Plaintif
menghujahkan bahawa kadar pembahagian yang dituntut sebanyak 50% adalah relevan
berdasarkan perkara A.2 (i) (muka surat 3 Pekeliling). Setelah Seksyen 14(2) GSA
menetapkan peletakkan tidak lebih dari dua nama sebagai pemegang. Dengan ada
dua nama, maka hak dan cara pembahagian secara adilnya hendaklah dibuat secara
sama rata. Ini dikuatkan pula dengan usaha bersama secara langsung dan secara
tidak langsung sepertimana dihujahkan diatas.
43. Atas tafsiran SP-3 apabila nama Plaintif
dijadikan sebagai pemegang bersama maka secara automatik pembahagian adalah
secara sama rata atau 50:50. Setakat ini, hanya kaedah dalam pekeliling inilah
yang digunakan oleh pihak FELDA dalam membuat keputusan atau nasihat kepada
pihak yang berkepentingan.
44. Menjawab persoalan tentang adakah pekeliling
ini sahlaku untuk dijadikan sebagai pemberatan dalam tuntutan hak Plaintif?.
Plaintif menyatakan pekeliling ini adalah munasabah untuk dirujuk oleh pihak
Mahkamah bagi menentukan hak janda peneroka FELDA berdasarkan tujuan atau ruh
pekeliling ini diwujudkan.
h. PEKELILING KP PTG 42/2009 3.1(1) DAN (2)
(P-7)
45. Plaintif juga mengemukakan Pekeliling KP
PTG 42/2009 3.1(1) dan (2).Dokumen ini ditandakan sebagai (P-7)Pekeliling ini
adalah untuk kegunaan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan (PTG) sebagai garis
panduan melaksanakan Seksyen 14(2) GSA. Pekeliling ini perlu dipatuhi oleh
Pengurus tanah rancangan seperti FELDA dalam menentukan kelayakan individu dan
memasukkan pemegang bersama. Dalam perkara 2 pekeliling ini, dinyatakan latar
belakang kepada pelaksanaan pekeliling adalah berpunca dari isteri atau bekas
isteri yang kehilangan hak apabila berlaku perceraian.
46. SP-3 menyatakan bahawa selain dari FELDA
pihak PTG juga turut mengeluarkan Pekeliling bagi mengatasi masalah kekeliruan
dalam pembahagian hak dan penamaan pemegang selepas perceraian. Plaintif
menarik perhatian Mahkamah kepada Pekeliling 3.1 yang dinyatakan seperti
berikut:
“3.1 Terdapat tiga kategori individu yang
layak dimasukkan sebagai pemegang bersama atau co-holder. Mereka ialah isteri
atau bekas isteri atau waris kadim.
(i) Isteri
Isteri bermaksud seorang wanita
yangdinikahi secara sah disisi undang-undang dan, dalam konteks garis panduan
ini, adalah dimaksudkan sebagai isteri yang sama-sama memasuki rancangan dan
bersama-sama mengusahakan tanah rancangan berkenaan.
(ii) Bekas isteri
Bekas isteri, dalam konteks garis panduan
ini, bermaksud isteri yang perkahwinannya dengan pemegang pertama telah
dibubarkan, dan semasa perkahwinannnya berkuatkuasa, bekas isteri tersebut
turut sama menyumbang/ mengusahakan tanah rancangan.
….. “
Yang Arif,
47. Meskipun pekeliling ini tidak mengikat
kepada mana-mana Mahkamah, tetapi garispanduan yang telah dikeluarkan boleh
membantu untuk menafsirkan peruntukan harta sepencarian. Pekeliling ini dibuat
berdasarkan peruntukan undang-undang terpakai dan masih berkuatkuasa di PTG dan
belum ada sebarang pindaan. Perkara ini dijelaskan oleh SP-3 dalam keterangan
lisan beliau.
48. Plaintif merujuk perkara 3.1(1), isteri
yang dimaksudkan dalam garispanduan ini adalah isteri yang sama-sama masuk
tanah rancangan, maka jika Defendan menyatakan Plaintif tidak layak dan mahu
menamakan isteri terkini Defendan, maka kemahuan Defendan adalah tertolak. Ini
kerana isteri terkini Defendan hanya baru dinikahi pada tahun 16/13/2007.
Sedangkan Plaintif telah bernikah dengan Defendan pada tahun 28/13/1976 dan
Plaintif hadir temuduga menemani Defendan menjadi Peneroka FELDApada 2/12/1985.
Plaintif telah berbakti kepada Defendan sejak tahun 1976 dan FELDA sejak 1985
sehingga diceraikan pada tahun 24/09/2006. Jadi dimanakah merit isteri Defendan
terkini terlebih layak untuk dinamakan sebagai pemegang bersama?
49. Malah pekeliling ini juga dikuatkan dengan
huraian istilah bekas isteri. Plaintif
adalah isteri yang berkahwin dan bercerai dengan Defendan dan semasa dalam
tempoh perkahwinan, Plaintif juga turut sama menyumbang dan mengusahakan tanah
rancangan. Perkara ini telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam isu
sumbangan secara langsung dan tidak langsung. Jestru Plaintif adalah individu
yang lebih layak untuk dijadikan pemegang bersama berbanding isteri Defendan
terkini yang tidak merasai perit jerih menjadi peneroka.
i. WANG INSENTIF RAYA (P-8), INSENTIF
PRODUKTIVITI PENEROKA (P-9)
50. Bagi menjelaskan maksud Wang Insentif Raya,
SP-3 telah mengemukakan sesalinan Notis
Peraturan Bayaran Wang Insentif Sempena hari Raya Aidilfitri 2015/1436H
bertarikh 8 Julai 2015. Dokumen ini telah ditandakan sebagai P-8.
51. SP-3 menyatakan dokumen ini adalah notis
dari FELDA yang ditujukan kepada Pengurus FELDA. Pembayaran duit raya
bersempena dengan Aidilfitri adalah salah satu insentif dari insentif lain yang
diberikan kepada peneroka. Wang ini adalah tertakluk kepada budi bicara FELDA.
Melalui pemberian ini pihak FELDA mahu supaya peneroka tetap meneruskan usaha
perladangan dengan FELDA.
52. Kadar yang diberikan adalah sebanyak
RM300.00 perkeluarga. Peneroka yang menerima insentif ini hanya peneroka yang
masih bersama FELDA. SP-3 percaya janda peneroka mempunyai hak untuk menerima
insentif ini. SP-3 juga menyatakan bahawa telah wujud beberapa aduan sebelum
ini kepada pihak ibupejabat FELDA, bahawa ada janda peneroka tidak menerima
wang insentif. Bagi mengelakkan perkara tersebut Mahkamah perlu menetapkan
pembahagian insentif ini dalam bentuk perintah.
53. Begitu juga dengan Bonus Insentif
Produktiviti Penerokayangditandakan sebagai P-9. Dengan fungsi dan maksud yang
sama dengan wang insentif raya. Insentif produktiviti diberi berdasarkan kadar
hasil kebun tahunan. Plaintif menghujahkan bahawa kesemua insentif yang
dinyatakan adalah berkaitan dengan janda peneroka jua. Seksyen 122 EUUKINJ 2003
menyatakan “apa jua aset yang diperolehi”. Maka tanah kebun dan hasil FELDA
yang diusahakan oleh peneroka adalah aset manakala hasil atau insentif yang
terbit daripadanya, ia adalah perolehan semasa. Selayaknya wang tersebut
dibahagi secara sama rata berdasarkan peruntukan undang-undang.
j. DIVIDEN FGV, KPF DAN SARADIRI TECHNOPLANT.
54. SP-3 menyatakan bahawa wang turut diberikan
kepada peneroka apabila FELDA menyenaraikan saham FGV di Bursa. Peneroka
menerima 800 unit saham, saham-saham ini diletakkan atas nama peneroka. Pihak FELDA
telah membayar sebanyak RM15,000.00 untuk satu nama peneroka. Bagi mengelakkan
pertikaian, pihak FELDA mengaturkan pemberian secara berjadual. Sebanyak
RM5,000.00 untuk peneroka, RM5,000.00 untuk isteri atau janda peneroka dan baki
RM5,000.00 untuk anak peneroka.
55. Dalam pembahagian kepada isteri, atas kebijaksanaan
Pengurus, sekiranya ada isteri dan bekas isteri, maka bahagian RM5,000.00 akan
dibahagi secara sama rata. Wang ini bersifat lump-sum dan one-off, tiada lagi
pemberian. Sekiranya ada dividen hasil penyenaraian FGV, maka pembahagian tetap
akan dibuat sepertimana perintah Mahkamah, pihak Pengurus akan tetap mengikuti
perintah tersebut.
56. Wang saradiri adalah wang yang dikeluarkan
oleh pihak Technoplant sementara ladang yang ditebang belum mengeluarkan hasil.
Wang ini telah diterangkan sebelum ini. SP-3 menyatakan bahawa segala perolehan
adalah termasuk dalam kategori harta sepencarian samada harta tidak alih
seperti tapak rumah dan tapak ladang pertanian, wang saradiri adalah termasuk
dalam kategori harta alih seperti hasil kebun dan wang insentif yang telah
dinyatakan terlebih dahulu. Kesemuanya
dibahagikan mengikut perintah mahkamah.
57. Dalam kes ini Plaintif menghujahkan bahawa
Plaintif tetap berhak untuk segala wang terbitan yang berpunca dari harta
sepencarian yang dituntut ini. Plaintif
merasa bimbang sekiranya tidak diperintahkan, Defendan akan berusaha untuk
mengenepikan Plaintif atau menafikan hak Plaintif. Kebimbangan ini berasas
setelah Plaintif menilai perbuatan Defendan yang pernah mengambil kesemua hasil
kebun selepas bercerai dan kecenderungan untuk mengeluarkan Plaintif dari FELDA.
58. Defendan mendakwa Plaintif telah mengambil
bayaran FGV (FELDA Global Ventures) sebanyak RM2000.00 pada tahun 2013 sehingga
satu laporan polis telah dibuat. Defendan juga menyatakan saham FGV bukanlah
hasil kebun.
59. Plaintif mengakui ada mengambil wang FGV
setelah diberikan oleh pihak pengurusan FELDA. Ini kerana pihak pengurusan
mengakui hak janda peneroka tidak sepertimana Defendan. Perkara yang
disembunyikan oleh Defendan dari pengetahuan Mahkamah adalah Defendan sendiri
ada menerima sebanyak RM2,000.00. Defendan hanya mengakuinya dalam soal balas
Defendan. Malah sekiranya diperhatikan, Defendan secara tidak sengaja telah
mendedahkan maklumat tersebut dalam dokumen Defendan yang ditandakan sebagai D-8
berupa laporan polis oleh Defendan pada 27/06/2013.
60. Berdasarkan keterangan SP-3,Plaintif
mengulangi penghujahan bahawa segala imbuhan, terdiri dari wang sara hidup,
bonus, saham, elaun dan apa-apa juga keuntungan atau manfaat adalah merupakan
harta sepencarian. Kesemua imbuhan tersebut terhasil dari penyertaan peneroka
dan penerokawati di dalam tanah rancangan FELDA. Dalam kes ini meskipun
Plaintif telah bertukar status sebagai janda peneroka tetapi fakta bahawa
Defendan memasuki FELDA dengan Plaintif tidak dapat dinafikan.
61. Selain daripada hujahan yang telah
dikemukakan ini, Plaintif telahpun menyatakan isu, persoalan dan jawapan dalam
hujahan yang difailkan terlebih dahulu. Plaintif juga telah memasukkan kes
duluan dan peruntukan berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri Manchester
untuk penelitian Yang Arif.
KESIMPULAN
62. Berdasarkan keterangan Plaintif,
saksi-saksi Plaintif, fakta kes, alasan-alasan tuntutan harta sepencarianserta
otoriti-otoriti dari sudut undang-undang, hukum Syara’ dan kes undang-undang
yang telah diputuskan, Plaintif dengan rendah diri memohon dari Mahkamah yang
Mulia ini agar meluluskan tuntutanseperti berikut:
i. Mengisytiharkan bahawa sebuah rumah dan
tapak rumah yang didaftarkan sebagai No. Hakmilik PA JHK1234, Lot PHJ123 yang
mempunyai alamat No.999, FELDA Manchester, New England, 0007, , Manchester City adalah harta sepencarian diantara Plaintif dan Defendan;
ii. Ladang kelapa sawit yang dipegang di bawah
hakmilik PA 10912384, lot alsdkjf, 123445 juga diisytiharkan sebagai harta
sepencarian;
iii. Nama Plaintif dimasukkan ke dalam hakmilik
tanah tapak rumah dan tanah ladang kelapa sawit sebagai Pemegang Bersama
(co-holder);
iv. Hasil bulanan ladang kelapa sawit dibahagi
dua (2) iaitu 50% kepada Plaintif dan 50% kepada Defendan mengikut jumlah hasil
yang boleh diperolehi;
v. Segala bantuan sara hidup, bonus, saham,
elaun dan apa-apa juga keuntungan atau manfaat yang diterima oleh Defendan
hendaklah dibahagi dua juga iaitu 50% kepada Plaitnfi dan 50% kepada Defendan;
vi. Segala bahagian milik Plaitnif dimasukkan
terus ke dalam akaun Plaintif melalui akaun Maybank Plaintif bernombor
ASBDE3R23445;
x. Apa-apa perintah yang difikirkan adil dan
sesuai demi keadilan Plaintif dan Defendan.
Disclaimer: Tidak ada kene mengene terhadap pihak yang hidup ataupun telah mati, segala karakter yang digunakan adalah fiksyen semata-mata. Cuma boleh dijadikan pengajaran (kalau berguna) khususnya dalam kes tuntutan janda peneroka atau isteri kedua setelah isteri pertama mati atau cerai selepas seketika masuk tanah rancangan.
Tulisan ini berbentuk hujah yang tidak bermata, maksud saya boleh digunakan untuk claim janda peneroka ataupun isteri kedua setelah isteri pertama meninggal dunia atau masih hidup tapi tak pernah tinggal dalam felda pun.
Semoga memberi faedah kepada tuan-tuan dan puan-puan. perbincangan lanjut bubuh sendiri dalam komen. terima kasih.