Tuesday, May 29, 2012

Hujjah Defendan kes fasakh ...hahah!


Pra: AR telah melaburkan detik yang amat banyak untuk menghasilkan hujah sebegini, rasa macam priceless pulak kalau usaha sebegini dikuburkan dalam fail sepi dalam bilik fail yang dingin menanti dilupuskan. Nak masuk dalam jurnal setakat hujah jauh lagilah... yang masuk dalam jurnal hanyalah alasan penghakiman itupun ditapis oleh jawatankuasa jurnal hukum. Mengelakkan dari pembaziran, maka AR curahkan dalam blog ini manalah tau boleh memanfaatkan blogfan AR, tidak harini mungkin besok. Nak tahu keputusan dan tazkirah hakim dalam kes ini ... bacalah dulu dan tungguuu post di bawah!     dan lagi segala nama dan fakta difiksyenkan oleh AR supaya tidak membabitkan mana-mana pihak samada yang hidup pengsan koma ataupun telah pergi dahulu meninggalkan kami.

HUJJAH PENGGULUNGAN BERTULIS DEFENDAN

PENDAHULUAN

1. Kes ini merupakan kes tuntutan perceraian secara fasakh yang telah difailkan oleh Plaintif di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, Johor berdasarkan peruntukan Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 (selepas ini disebut sebagai ‘Enakmen 17/2003 tersebut’). 

2. Defendan hadir serta berwakalah melantik Peguam Syarie Persekutuan, Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor pada tarikh 25/08/2010 untuk mewakili beliau. Defendan adalah seorang yang layak dibantu berdasarkan peruntukan Seksyen 13, Akta Bantuan Guaman 1971 (selepas ini dirujuk sebagai ‘Akta Bantuan Guaman tersebut’), dan juga berdasarkan peruntukan Seksyen 80(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (selepas ini disebut sebagai ‘Enakmen 16/2003 tersebut’), manakala Plaintif diwakili oleh Hajah Mastura dari Tetuan Mastura & Associates. 

3. Setelah Defendan berwakalah dengan Jabatan Bantuan Guaman, semua prosiding perbicaraan telah dihadiri oleh Dedendan dan peguamnya tanpa gagal. Pihak Defendan juga telah memfailkan Pernyataan Pembelaan yang ditandatangani pada 23/08/2010. 

 4. Pada 27/04/2011 Peguam Defendan telah menyoal balas Plantif. Pada 14/06/2011 peguam menyoal balas saksi pertama Plaintif, manakala saksi kedua dan ketiga disoal balas pada tarikh 19/07/2011. Pada 07/03/2012 Defendan telah memberi keterangan. Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 23/05/2012 untuk keputusan. 

ULASAN 

5. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah fiqh, iaitu:- ‘Keterangan (bukti) terletak di atas bahu Pihak Yang Menuntut (Plaintif), dan sumpah terletak di bahu Pihak Yang Dituntut (Defendan).’. Meskipun kaedah ini secara zahir meletakkan sumpah penafian kepada Defendan. Namun kaedah tidak menafikan adakalanya Defendan juga boleh mengambil tempat orang yang mendakwa untuk mengemukakan baiyyinah. 



6. Di dalam kes ini, Plaintif telah mengemukakan keterangannya dan keterangan 3 orang saksi, manakala Defendan telah menafikan atau menidakkan keterangan Plaintif melalui Penyata Pembelaan dan keterangan secara lisan. Di samping itu juga, Defendan telah mematuhi segala peruntukan berkenaan dengan pengemukaan keterangan, sepertimana yang dikehendaki oleh Seksyen-Seksyen 72, 73, 74 dan 75 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Johor) 2003 (selepas ini dirujuk sebagai ‘Enakmen 18/2003 tersebut’). 

7. Defendan sebagai pihak yang kena dakwa, telah menafikan kesemua dakwaan Plaintif sehingga ke tahap yaqin. Keyaqinan pula adalah dithabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan juga dalil. 

8. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati). 

9. Dalam Seksyen 3 (1) Enakmen 18/2003 tersebut, ‘keterangan’ termasuklah:— (a) baiyinah dan syahadah; (b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan); dan (c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar). 

10. Baiyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan ini termasuklah qarinah, manakala syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan. 

11. Dalam kes ini, Mahkamah perlu memutuskan beberapa isu, iaitu:- 
(a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini; 
(b) Sama ada Defendan telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafqah Plaintif selama tempoh tiga (3) bulan berdasarkan Seksyen 53(1)(b) Enakmen 17/2003 tersebut; 
(c) Sama ada Defendan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan Plaintif menderita berdasarkan Seksyen 53(1)(h)(i) Enakmen 17/2003 tersebut; 
(d) Sama ada Defendan berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak berdasarkan Seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen 17/2003 tersebut; 
(e) Sama ada Defendan melupuskan harta isteri atau melarang isteri dari menggunakan hak-haknya disisi undang-undang terhadap harta itu; berdasarkan Seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen 17/2003 tersebut; 
(f) Sama ada wujud alasan-alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah hukum Syara’. 

ISU PERTAMA- BIDANGKUASA MAHKAMAH 

12. Dari sudut undang-undang, Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru berbidangkuasa untuk mendengar, membicara dan memutuskan kes ini. Tuntutan fasakh Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2, 4 dan 45 Enakmen 17/2003 tersebut. Pihak Defendan tiada sebarang bantahan terhadap bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru untuk membicarakan kes ini. 

13. Tuntutan perceraian secara fasakh ini juga adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah, sepertimana yang diperuntukan oleh Seksyen 61(3)(b)(i) Enakmen 16/2003 tersebut. 

ISU KEDUA- SAMA ADA DEFENDAN TELAH CUAI ATAU TELAH TIDAK MENGADAKAN PERUNTUKAN BAGI NAFQAHNYA SELAMA TEMPOH TIGA (3) BULAN 

14. Dalam kes ini, Plaintif mengemukakan dakwaan, iaitu, Defendan telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafqah Plaintif selama tempoh tiga (3) bulan. 

NAFKAH TEMPAT TINGGAL 

15. Plaintif mendakwa Defendan mengabaikan nafkah tempat tinggal dengan sengaja apabila menetap bersama ibu bapa Plaintif di Kampung Betik. Pada peringkat awal perkahwinan, memang Defendan tinggal dengan keluarga Plaintif, ini adalah atas dasar kasihan kepada bapa Plaintif yang sudah tua dan tidak sihat meskipun masih bekerja. SP-2 dalam keterangannya pada 14/9/2011 mendedahkan bahawa bapa Plaintif pernah dibedah kerana angin pasang pada tahun 2004. Akibat pembedahan tersebut bapa Plaintif tidak boleh berjalan dan bekerja sehingga dua bulan. 

16. Fakta lain yang menunjukkan Defendan mempunyai pilihan untuk tidak tinggal dirumah ibu bapa Plaintif tetapi memilih untuk tinggal bersama adalah pelawaan daripada Plaintif sendiri. Plaintif dan keluarga mengetahui Defendan baru bertukar tempat kerja dari Mersing dan mempunyai anak untuk di bawah jagaannya. Defendan juga mempunyai peluang untuk tinggal di kuarters kerajaan tetapi tidak berbuat demikian untuk membantu Plaintif menguruskan ibu bapanya di rumah Kampung Betik. 

17. Plaintif mendakwa rumah ibu bapanya kecil dan tidak dapat menampung Defendan dan anak-anaknya. Pada hakikatnya rumah tersebut telahpun di ubah suai sehingga menjadi 3 bilik dan 2 bilik air. Semasa Plaintif berkahwin dengan Defendan rumah tersebut telahpun diubahsuai dan selesa untuk keluarga Plaintif dan Defendan serta anak-anak. 

18. Selepas Plaintif dan Defendan keluar dari rumah ibu bapa Plaintif, mereka menyewa rumah di Taman Melewar pada tahun 2007 selama lebih kurang 6 bulan. Defendan telah menjalankan tanggungjawabnya dengan membayar sewa. Defendan membayar sewa secara terus kepada tuan rumah. Secara fakta, Defendan tinggal di rumah ibu bapa Plaintif adalah permintaan Plaintif sendiri dan kerelaan ibu bapa Plaintif. Semasa di Taman Melewar Defendan yang membayar sewa dan akhirnya Defendan menyediakan rumah yang ditanggung sendiri oleh Defendan di Taman Pandai Indah sebagai rumah kelamin Defendan dan Plaintif. 

19. Semasa berkahwin dengan Defendan, Plaintif adalah seorang janda mempunyai seorang anak. Plaintif telah mengetahui hak seorang isteri untuk menerima nafkah dari suaminya. Plaintif mempunyai pengalaman hadir di Mahkamah Syariah dalam kes cerai terdahulu. Plaintif tidak boleh menyatakan bahawa, ia tidak tahu undang-undang mengenai tuntutan nafkah isteri. 

NAFKAH MAKAN MINUM DAN PAKAIAN

20. Sekiranya Plaintif menyatakan Defendan tidak memberi nafkah yang cukup, Plaintif boleh membuat tuntutan nafkah isteri dengan suatu kadar yang munasabah berbanding sumbangan Defendan yang dikatakan tidak cukup setiap bulan. 

21. Sepanjang perbicaraan, tiada sebarang penafian bahawa Defendan tidak pernah memberi nafkah langsung kepada Plaintif. Defendan ada memberi nafkah makan dan minum tetapi dalam jumlah yang tidak tetap. Semasa tinggal di rumah ibu bapa Plaintif, Defendan ada membeli barang dapur untuk Plaintif, Defendan, anak-anak dan ibu bapa Plaintif. Dalam keterangan Defendan pada 7/3/2011, Defendan menyatakan pernah berbelanja sehingga RM300.00 sepanjang bulan untuk membeli barang dapur di Kampung Betik. Defendan tidak pula menyimpan sebarang bil runcit untuk dibuktikan di Mahkamah. 

PLAINTIF KELUAR DARI RUMAH KELAMIN 

22. Selepas keluar dari rumah ibu bapa Plaintif di Kampung Betik, Defendan ada membeli rumah di alamat No.11 34/3 Taman Pandai Indah. Pada awalnya Plaintif dan Defendan tinggal bersama selama tiga tahun, namun Plaintif telah keluar rumah kelamin dan tidak lagi tinggal bersama Defendan. Dalam keterangan Defendan pada 7/3/2011 Defendan menyatakan Plaintif telah keluar rumah kelamin terakhir pada 8/3/2010 tanpa pengetahuan Defendan. Pada waktu itu Defendan menghantar pelanggan ke negeri Serawak. Ini adalah kali kedua Plaintif berbuat demikian. Kali pertama Plaintif keluar selama seminggu kemudian balik semula. Tetapi pada kali kedua, Plaintif tidak lagi pulang menetap di Taman Pandai Indah. Malah Plaintif kini tinggal di rumahnya di Taman Bukit Kerang, Ulu Kerang. Plaintif sepatutnya meminta izin dari Defendan untuk keluar dan memberi tahu punca Plaintif tidak mahu tinggal bersama di rumah kelamin yang disediakan oleh Defendan. Defendan ada cuba memujuk Plaintif agar tinggal bersama dirumah Taman Pandai Indah, tetapi tidak berhasil. Defendan ada usaha memujuk melalui bapa Plaintif, tetapi bapa Plaintif tidak bagi kerjasama dan Defendan tidak pasti alasan bapa Plaintif. 

23. Sehingga kini Plaintif tidak tinggal bersekali dengan Defendan meskipun nafkah tempat tinggal ada disediakan. Defendan sedar tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal untuk penjagaan dan pemeliharaan sepertimana Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 34: 

 “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang- orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan- perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” 

24. Defendan tidak menghalang Plaintif untuk tinggal di rumah berasingan kerana mahu memberi kebebasan kepada Plaintif dan tidak mahu dikatakan mengongkong hidup Plaintif. Defendan juga tidak suka bertengkar walaupun kemahuan Defendan untuk tinggal bersama tidak ditunaikan oleh Plaintif. 

KADAR NAFKAH ISTERI OLEH SUAMI 

25. Nas syarak menyatakan tentang kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri, namun nas tentang kadar yang cukup tidak dibahaskan dengan jelas oleh para fuqaha’. Oleh yang demikian pemberian belanja seorang suami kepada isteri secara umum dianggap telah memenuhi kehendak kewajipan nafkah, melainkan sekiranya tidak mencukupi maka hendaklah dirujuk kepada qadhi. hadis yang diterangkan oleh Aisyah bahawa Rasul SAW bersabda: “Hindun pernah bertanya: "Ya, Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil, ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang ku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w. menjawab 'ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf". (Bukhari dan Muslim) 

Dalam nas diatas, Hindun telah menerima nafkah yang tidak mencukupi dari suaminya Abu Sufian, apabila beliau mengadu kepada Rasul SAW mengenai nafkah tidak pula Rasul memutuskan untuk dipisahkan antara keduanya. Sebaliknya Rasul SAW telah menggunakan hikmahnya untuk menasihati Hindun supaya mengambil nafkah walau tanpa pengetahuan Abu Sufian pada kadar keperluan sahaja. Berdasarkan peristiwa diatas maka adalah lebih wajar Plaintif menuntut melalui Hakim satu jumlah nafkah isteri yang sepatutnya untuk difardhukan keatas Defendan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk memohon fasakh. 


ISU KETIGA : SAMADA DEFENDAN LAZIM MENYAKITI ATAU MENJADIKAN KEHIDUPAN PLAINTIF MENDERITA 

26. Dalam kes ini, Defendan disifatkan oleh Plaintif sebagai seorang yang panas baran, tetapi dalam keterangan lain Defendan dikatakan pula sebagai pendiam, tidak ramah dan tidak banyak cakap. Keterangan saksi-saksi tidak konsisten dalam menyatakan sifat yang didakwa kepada Defendan sebagai seorang yang panas baran. Seorang yang panas baran pada kebiasaannya akan mengamuk dan akan mendatangkan kecederaan atau menghancurkan harta benda. 

27. Defendan banyak mendiamkan diri semasa tinggal di rumah Kampung Betik. Defendan mempunyai sebab untuk menjadi pendiam. Ini kerana Defendan tidak suka masuk campur dalam urusan ibu bapa Plaintif dan tidak suka dipersalahkan oleh ibu Plaintif jika bercakap. Defendan dan anaknya selalu dipersalahkan oleh ibu Plaintif. 

28. Defendan didakwa telah menampar Plaintif dalam satu perselisihan faham semasa perjalanan ke Mersing menziarahi datuk sakit. Tamparan tersebut mengakibatkan kaca mata Plaintif telah terjatuh. Sekiranya tamparan itu kuat sehingga menyebabkan kecederaan kepada Plaintif maka Plaintif seharusnya mengemukakan laporan doktor tentang kecederaan tersebut. 

29. Kejadian tampar tersebut hanya di rekodkan berlaku sekali, itupun berpunca dari provokasi dari Plaintif mengenai isu balik kampung. Defendan tidak akan bertindak tanpa sebarang alasan yang munasabah melainkan jika Defendan memang seorang kaki pukul dan lazim mendera isteri secara fizikal. 

30. Merujuk kepada Eksibit P-4, Laporan polis tentang kejadian tersebut hanya dibuat setelah setahun berlalu iaitu pada tahun 2009, ini menunjukkan tamparan tersebut tidaklah mendatangkan kesan kecederaan yang membolehkan Defendan didakwa atas kesalahan dera. Dalam keterangan Defendan pada 7/3/2011 Defendan menyatakan, beliau tidak pernah dipanggil polis untuk siasatan kejadian tersebut apatah lagi didakwa di Mahkamah Sivil. Malah selepas peristiwa tahun 2008 Plaintif dan Defendan kembali baik dan hidup bersama seperti pasangan suami isteri yang lain. 

31. Defendan didakwa ada mencubit dan menggigit Plaintif semasa bersama-sama. Defendan menganggap cubit dan gigit itu adalah gurauan antara suami dan isteri dan sepatutnya tidak boleh dijadikan keterangan lazim menyakiti dalam kes ini. Sekiranya benar Defendan lazim menyakiti, cubitan dan gigitan yang dibuat kepada Plaintif akan mendatangkan kecederaan, malah sekiranya Defendan seorang yang suka mendera isteri, mencubit atau menggigit bukanlah satu pilihan yang baik untuk mendatangkan kesakitan atau penderitaan kepada Plaintif. Defendan boleh memukul dengan kaki atau tangan atau menggunakan alat yang boleh menyakitkan Plaintif. 

32. SP-2 dalam soal balas pada tarikh 14/9/2011, mengaku hanya pernah mendengar sekali Plaintif dan Defendan bertengkar. SP-2 mendengar sewaktu Plaintif dan Defendan tinggal bersama di kampung Betik. SP-2 mengaku tidak pernah mendengar Defendan mengeluarkan kata kesat . SP-2 hanya mengetahui tentang kata kesat oleh Defendan melalui Plaintif dan ibu Plaintif. Ia menjadi keterangan kata dengar (hearsay) saksi dalam kes ini dan boleh ditolak. 

33. Defendan adalah seorang yang stabil dari segi emosi. Bukti kestabilan tersebut adalah kekalnya Defendan atas profesyen beliau sebagai pemandu ambulan. Sekiranya Defendan seorang yang panas baran, bersifat kasar dan tidak sabar maka sikap tersebut sudah tentu dizahirkan dalam bidang tugas Defendan. Namun di sepanjang perbicaraan dijalankan tiada sebarang bukti Defendan pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau bertukar-tukar kerja akibat sifat Defendan. 

34. Dalam kes ini, tiada bukti kukuh tentang perbuatan lazim menyakiti terbit dari perbuatan Defendan, yang ada hanyalah kejadian yang tidak berulang sekaligus menafikan ia bersifat ‘lazim’ sepertimana dikehendaki dalam peruntukan seksyen 53(1)(h)(i) Enakmen 17/2003. Tiada tindakan oleh pihak berkuasa samada polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap Defendan akibat kejadian terdahulu. Plaintif mempunyai kompeten untuk membuat aduan dan dakwaan sebaik sahaja kejadian tampar, gigit dan cubit tetapi Plaintif tidak berbuat demikian. Kejadian tersebut berlaku dalam keadaan Plaintif sedar akan haknya dan mempunyai kebebasan untuk bertindak, Plaintif tidak dikenakan sebarang sekatan malah tidak juga berlaku ugutan. Plaintif mempunyai pertimbangan intelektual yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap Defendan pada masa itu, tetapi tidak berbuat demikian, kerana ia adalah perlakuan yang boleh diterima atas kesan dan akibat yang terbit dari perlakuan Plaintif sendiri. 


35. Plaintif juga gagal membuktikan wujud deraan mental atau penderitaan psikologi apabila tidak mengemukakan sebarang laporan psikiatri dari pihak yang sepatutnya. Tekanan mental boleh wujud dari sebarang masalah hidup, tidak semestinya dari pihak Defendan semata-mata. Masalah di tempat kerja, pribadi, persekitaran dan lain-lain sumber luar turut menyumbang kepada tekanan. Adalah tidak adil untuk menuding jai kepada Defendan semata-mata sebagai penyebab tekanan atas Plaintif. 

 ISU KEEMPAT: SAMADA DEFENDAN BERKAWAN DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN JAHAT ATAU BERPERANGAI KEJI MENGIKUT PANDANGAN HUKUM SYARAK 

36. Plaintif telah mendakwa bahawa Defendan berkawan dengan perempuan jahat, perkara yang perlu dibuktikan oleh Plaintif adalah sifat ‘kawan’ dan ‘perempuan jahat’. Namun dalam keterangan Plaintif dan saksi-saksinya, tidak pernah dinyatakan Plaintif ada berkawan dengan perempuan jahat sepertimana yang dimaksudkan dalam seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen 17/2003. 

37. Plaintif mendakwa Defendan mempunyai hubungan dengan seorang wanita bernama Estaurina. Pihak Defendan telah menjawab persoalan ini dengan menyatakan Estaurina adalah rakan sekerja di Kementerian Kesihatan sejak sebelum bernikah dengan Plaintif lagi. Dakwaan mengatakan Estaurina adalah seorang yang buruk akhlaknya tidak pernah dibuktikan samada dalam keterangan Plaintif atau saksi-saksi Plaintif. Ruang persekitaran kerja Defendan tidak boleh dielak dari berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. Komunikasi antara pekerja samada secara langsung atau khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah amalan biasa dan tidak boleh dipandang serong oleh Plaintif melainkan dapat dibuktikan sebaliknya. 

38. Plaintif ada menimbulkan isu hubungan Defendan dengan Ruhati. Hubungan Defendan dengan Ruhmawati hanyalah sebagai tuan rumah dan penyewa. Defendan mempunyai rumah sewa di Flat Mutiara Indah manakala Ruhati telah lama menyewa di rumah tersebut. Defendan selesa untuk mengutip sendiri duit sewa di Flat Mutiara Indah untuk mengetahui sebarang masalah penyelenggaraan rumah tersebut. Defendan tidak pernah keluar berdua-duaan dengan Ruhati. Anak Defendan ada pergi ke rumah tersebut. Defendan kurang pasti pekerjaan Ruhati, tetapi ia berkaitan dengan tempat marin di Teluk Jawa. 

39. Tuduhan Defendan hidup seperti suami isteri dengan Ruhati adalah satu tuduhan yang berat. Allah SWT telah memberi amaran kepada orang yang beriman supaya berhati-hati dalam menuduh orang melakukan maksiat seperti hidup bersama tanpa sebarang ikatan, melainkan jika dapat dibawa saksi seramai empat orang. Di dalam surah An-Nur: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”; - [An-Nur:4] 

40. Ayat 4 Surah An-Nur diturunkan untuk memelihara maqasid syariah dari segi diri, maruah dan keturunan. Plaintif sepatutnya lebih berhati-hati dalam mendakwa Defendan hidup seumpama suami isteri dengan Ruhati. Tuduhan ini lebih bersifat fitnah dan boleh mendatangkan ketidak tenteraman kepada pihak Defendan dan Ruhati. Plaintif sepatutnya membawa empat orang saksi sepertimana dituntut oleh syarak sekiranya mahu menuduh Defendan hidup bersama Ruhati. 

41. Hidup seperti suami isteri menunjukkan lazim berlaku hubungan antara Defendan dengan Ruhati, dengan kedudukan rumah flat Mutiara Indah, pasti jiran mengetahui sekiranya perkara tersebut berlaku. Jiran boleh membuat aduan dan Defendan boleh dikenakan sabitan dalam mana-mana kesalahan jenayah syariah yang bersesuaian. Setelah sekian lama Ruhati menyewa rumah milik Defendan, masih belum ada aduan atau tangkapan ke atas Defendan dibuat apatah lagi didakwa dan disabitkan di mana-mana Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian dakwaan Plaintif boleh ditolak. 

POLIGAMI 

42. Di dalam penyata pembelaan Defendan perenggan 8, dinyatakan Defendan telah diberi kebenaran untuk berpoligami oleh Mahkamah, tetapi sehingga kini Defendan berkahwin secara poligami sepertimana yang dibenarkan. Semasa soal balas Defendan pada tarikh 10 April 2012, Defendan pada awalnya menafikan Defendan yang membuat pemohonan poligami ke Mahkamah. Ini bukan bererti Defendan mahu menipu mahkamah akan tetapi Defendan keliru dengan soalan peguam Plaintif. Sebenarnya pada permulaan urusan pemohonan poligami di mahkamah, ia bukanlah diuruskan oleh Defendan sendiri tetapi ia diuruskan oleh orang lain. Oleh kerana masih sayangkan Plaintif, Defendan tidak meneruskan hasrat berpoligami meskipun telah mendapat kebenaran dari mahkamah. 


43. Berdasarkan keterangan Defendan serta bukti-bukti tidak konkrit daripada Plaintif, maka secara fakta tidak berlaku Defendan berkawan dengan perempuan jahat. Tiada elemen jahat atau keji dapat dibuktikan samada melalui keterangan Plaintif mahupun saksi-saksi Plaintif dalam kes ini. Oleh yang demikian hujah dan keterangan Plaintif boleh ditolak oleh Mahkamah yang mulia ini. 

ISU KELIMA: SAMA ADA DEFENDAN MELUPUSKAN HARTA ISTERI ATAU MELARANG ISTERI DARI MENGGUNAKAN HAK-HAKNYA DISISI UNDANG-UNDANG TERHADAP HARTA ITU 

44. Defendan didakwa melupuskan harta Plaintif berbentuk rantai loket dan gelang tangan. Defendan menyatakan rantai dan gelang tangan tersebut adalah milik Defendan sebelum berkahwin dengan Plaintif lagi. Ia adalah emas lama yang dibeli dari hasil kerja Defendan di Singapura sewaktu masih bujang. Barang kemas tersebut disimpan oleh Defendan untuk kegunaan diwaktu susah. Surat pembelian emas telah hilang kerana telah terlalu lama. Barang kemas tersebut adalah milik Defendan dan bukan milik Plaintif. 

45. Defendan memberi Plaintif pakai untuk berhias namun ia bukan berbentuk hibah secara terus kepada Plaintif. Defendan tidak pernah melafazkan kata pemberian atau hadiah kepada Plaintif melainkan ia untuk dipakai sahaja. Anak Defendan sendiri pernah memakainya sebelum Plaintif diberi pakai perhiasan tersebut. Sekiranya ia dihibah atau dihadiahkan kepada Plaintif, maka Plaintif berhak untuk tidak menyerahkan barang kemas tersebut kepada Defendan untuk digadai di Bank Rakyat Ulu Kerang. 

46. Defendan tidak pernah berniat untuk melupuskan barang kemas tersebut, Defendan hanya membuat gadaian untuk membeli rumah di Taman Pandai Indah. Sebelum Defendan sempat untuk menebus barang kemas tersebut, Bank Rakyat Ulu Kerang telah kena rompak, sebagai gantirugi Defendan diberi sebanyak RM849.14 oleh pihak bank. Pihak Defendan telah mengemukakan cetakan History File Enquiry Bank Rakyat mengenai butiran barang kemas di tandakan sebagai ID 1 menunjukkan ia dibawah pemilikan Defendan sewaktu digadai. 

47. Oleh yang demikian, Defendan tidaklah melupus harta Plaintif seperti yang didakwa, malah Defendan menggadaikan hartanya sendiri, maka Seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen 17/2003 boleh ditolak dengan keterangan Defendan dan juga Eksibit ID 1 yang mencatat nama Defendan sebagai penggadai barang kemas tersebut. 

 ISU KEENAM: SAMA ADA WUJUD ALASAN-ALASAN LAIN YANG DIIKTIRAF SEBAGAI SAH BAGI MEMBUBARKAN PERKAHWINAN ATAU BAGI FASAKH DI BAWAH HUKUM SYARA’; PERKAHWINAN DEFENDAN KALI KE TIGA 

48. Samada Defendan pernah kahwin sekali atau dua kali sebelum kahwin dengan Plaintif. Isu ini telah di jelaskan oleh Defendan dalam keterangannya. Defendan menjelaskan pernah berkahwin dengan orang lain dan mempunyai anak sebelum berkahwin dengan Plaintif. Plaintif mengetahuinya. Tidak ada beza samada Defendan pernah berkahwin sekali atau dua kali sebelum bersama dengan Plaintif. 

49. Isu ini dibangkitkan oleh pihak Plaintif untuk menunjukkan Defendan seorang yang menipu, tetapi sekiranya Defendan menipu dan tidak dapat diterima oleh Plaintif atau ibu bapanya, sudah pasti sebaik sahaja mengetahui perkara sebenar, Plaintif boleh mengambil tindakan terhadap Defendan. Tetapi itu tidak berlaku, malah Defendan dalam keterangannnya memberitahu telahpun memaklumkan status sebenar beliau kepada Plaintif dan keluarga Plaintif. 

PERKATAAN ‘TOLONG’ 

50. Defendan dianggap tidak menghormati kedua orang tua Plaintif hanya disebabkan tidak menggunakan perkataan ‘tolong’ apabila meminta bantuan. Dalam keterangan Plaintif dan saksi-saksinya Defendan dikatakan tidak ramah dan pendiam. Oleh kerana sifat tersebut maka tidak mustahil Defendan terlupa atau tidak menyebut langsung perkataan ‘tolong’, tetapi ini tidak bererti Defendan tidak sukakan ibu bapa Plaintif. Malah sekiranya tidak suka, masakan Defendan sanggup tinggal bersama ibu bapa Plaintif dalam tempoh hampir setahun sebelum pindah ke rumah sendiri. Sedangkan pada masa itu Defendan boleh berpindah dengan Plaintif ke kuarters kerajaan. 

51. Secara fakta sebenarnya Defendan yang menolong ibu bapa Plaintif dengan tinggal bersama Plaintif di rumah Kampung Betik. Membantu bapa Plaintif yang kurang sihat dan sama-sama menampung perbelanjaan dapur. Isu perkataan ‘tolong’ adalah lebih kepada persoalan budi bahasa dan sekiranya benar sekalipun ia tidak boleh dihujahkan dalam permohonan fasakh ini. 

TUMPANG BALIK RUMAH 

52. Isu anak Defendan balik sekolah dengan menumpang motor bapa Plaintif ditimbulkan untuk menunjukkan Defendan menyusahkan keluarga Plaintif semasa menetap bersama ibu bapa Plaintif. Hakikatnya anak Defendan menumpang bapa Plaintif balik kerja kerana kebetulan bapa Plaintif bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama. Bapa Plaintif tidak perlu menunggu anak Defendan setiap masa untuk di bawa pulang membonceng motor bapa Plaintif. Anak Defendan pergi sekolah menaiki bas manakala balik menumpang bapa Plaintif. Sekiranya benar Defendan mahu menyusahkan bapa Plaintif, maka sewaktu pergi sekolah pun bapa Plaintif perlu hantar. 

TIDAK SOLAT 

53. Defendan dikatakan tidak solat. Keterangan yang diberi oleh saksi-saksi Plaintif berniat untuk menjatuhkan maruah Defendan. Defendan menyatakan beliau ada solat tetapi tidak perlu untuk ditunjukkan kepada orang lain. Perihal saksi yang melihat Defendan tidak solat Maghib, adalah saksi tersebut tidak bergerak semata-mata untuk melihat samada Defendan solat atau tidak? Semasa saksi pergi solat adalah ia masih dapat melihat Defendan untuk mendakwa Defendan tidak solat. Isu solat turut melibatkan pihak lain yang terlibat dalam rumah Plaintif tetapi Defendan tidak berniat untuk memanjangkan perkara ini ke dalam Mahkamah, kerana Solat adalah urusan Defendan dengan Allah SWT manakala isu yang dibangkitkan adalah hak dan tanggungjawab Defendan terhadap Plaintif dan sebaliknya. Oleh itu pihak Defendan berpendapat isu ini adalah tidak berkaitan dan wajar ditolak untuk dibahaskan. 

 KESIMPULAN 

54. Hukum Syara’ dan undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mengekalkan perkahwinan atau membubarkan perkahwinan suami isteri berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah di sisi hukum Syara’. 

55. Dalam penyataan fakta-fakta dan klausa undang-undang yang dinyatakan oleh pihak Defendan di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Mahkamah boleh untuk menolak tuntutan fasakh Plaintif atas alasan-alasan keterangan yang lemah dan boleh ditolak. 

56. Oleh yang demikian, berdasarkan fakta kes, alasan-alasan untuk menolak tuntutan fasakh serta otoriti-otoriti dari sudut undang-undang dan hukum Syara’. Plaintif dengan rendah diri memohon dari Mahkamah yang Mulia ini agar menolak tuntutan fasakh Plaintif dan memberi perintah seperti berikut: 

56.1 Plaintif telah gagal mengemukakan bukti untuk mensabitkan fasakh dalam kes ini.
56.2 Permohonan Plaintif ditolak.
56.3 Plaintif hendaklah kembali taat dan tinggal bersama Defendan.