Showing posts with label book review. Show all posts
Showing posts with label book review. Show all posts

Wednesday, August 12, 2026

ARC Al-Azkar Imam Nawawi Book Review


Buku: Al-Azkar An-Nawawiah
Penulis: Abi Zakaria Yahya bin Sharfi al-Nawawi al-Damshiqi
Penerbit: Darul Bayan 1997 Damsyik - Beyrut.
Muka Surat: 584


1. Pernah dengar “juallah rumah, belilah al-Azkar”?, ungkapan ini mencerminkan kehebatan sebuah kitab kompilasi zikir yang warid dari Nabi dihimpunkan oleh Imam Nawawi, himpunan hadis dan banyaknya ganjaran pahala beramal menjadikan berbaloi untuk memilikinya biarpun terpaksa menjual rumah.


2. Nama al-Imam lebih dikenali dalam Kitab Hadis 40, Riyadhus Salihin, Minhajut Talibin, Majmuk namun jarang kita dengar Kitab al-Azkar, ini kerana pembaca Malaysia lebih senang membaca buku zikir dan doa yang telah di kompres berbanding kitab yang asal.


3. Tapi kebanyakan buku doa di Malaysia, banyak yang diambil dari al-Azkar, kerana jika membaca kitab ini per se, agak sukar untuk memilih kerana doa dan zikir dalamnya sangat banyak dan perlukan syarah untuk hayati lafaznya.


4. Imam Nawawi umurnya tidak panjang, lahir 631H dan wafat 676H menjadikannya hanya berumur 45 tahun. Penulisan al-Azkar dijejak melalui nota catatan al-Imam mula tulis Khamis 24 Ramadhan 666 (umur 35 tahun) dan tamat menulis Muharram 667. Jarak masa menulis 4 bulan. Banyaknya buku nukilan al-Imam hingga tidak sempat berkahwin sampai wafat.


5. Al-Azkar dibuat untuk memudahkan pembaca, dibuang sanad kerana kitab ini bukan untuk mengenal turunan sanad, ia lebih kepada mengenal zikir dan amalan yang berasalkan sunnah. Pun begitu Imam Nawawi turut masukkan hadis dinilai dhaif oleh beberapa rijal hadis.


6. Naskhah terbitan Darul Bayan ini turut memasukkan komentar bertajuk Tuhfatul Abrar bi Nakatil Azkar lil Imam Ibnu Hajar oleh Imam Jalaludin Sayuti diletakkan bawah nas Imam Nawawi diikuti dengan  takhrij Hadis oleh Syeikh Basyir Mohd Uyun. Jadi ia bukan sekadar kitab zikir dan doa, sesuai juga dirujuk setara kitab fiqah yang ringkas. 


7. Sebenarnya tajuk asal tulisan Imam Nawawi ni agak panjang, namun diringkaskan pada hari ini untuk memudahkan rujukan, nama asal direkodkan sebagai حلية الأبرار وشعار الأخيار في تلخيص الدعوات والأذكار المستحبة في الليل والنهار


8. Antara yang terdapat dalam Kitab ini adalah Hadis Noura, atau hadis Nabi ajar doa untuk dibaca ketika hendak pergi masjid, Hadis 82 mukasurat 44 Hadis Ibnu Abbas mendengar dari Maimunah binti Haris, setelah mendengar azan Subuh, Nabi keluar hendak Solat dan Baginda berkata: 

"اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُوراً، وفي لِسانِي نُوراً، وَاجْعَلْ في سَمْعِي نُوراً، وَاجْعَلْ في بَصَري نُوراً، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُوراً، وَمِنْ أمامي نُوراً، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقي نُوراً، وَمِنْ تَحْتِي نُوراً؛ اللَّهُمَّ أعْطِني نُوراً" 


“Ya Allah, jadikan didalam hatiku cahaya, pada lidah cahaya, jadikan pada pendengaranku cahaya dan jadikan pada pandanganku cahaya. Jadikan dari belakangku cahaya dan dari hadapanku cahaya. Dan Jadikanlah dari atasku cahaya dan dari bawahku cahaya. Ya Allah berikan kepadaku cahaya”. [Muslim]


aburazeen

membaca jambatan ilmu

Ilmu itu cahaya, 


Tuesday, April 14, 2026

GANYANG MALAYSIA Konflik 1963 - 1966 Rafe Rahmat


Judul: GANYANG MALAYSIA Konflik Bersenjata Malaysia-Indonesia 1963-1966
Penulis: Rafe Rahmat
Penerbit: Swaterbit Rafe Rahmat 2025
Mukasurat: 242 paperback 

1. Apa yang menjadikan sebuah buku dokumentari menarik?. Ia jadi menarik apabila dikaitkan dengan diri, tempat, masa serta naratif yang memberikan jawapan “siapa kita pada hari ini, apa perlu kita buat dan adakah kita bersedia?”.

2. Persoalan kenapa perlu ada jatidiri, kenapa perlu sensitif dalam isu serantau, kenapa perlu bijak memilih suaka, kenapa kestabilan politik sangat perlu,  kenapa perlu berbelanja lebih kepada sektor pertahanan, sebahagian jawapannya ada dalam buku “Ganyang Malaysia”.

3. Dua buah negara berjiran, berkongsi ras, budaya dan sejarah tetapi jambatannya dibakar. Kenapa perlu dibakar jika rantau ini perlu bersatu disaat dunia sedang ‘healing’ menyembuh post perang dunia kedua? “Ganyang Malaysia” menyediakan jawapannya. 

4. Jika jumpa jawapan, kelak kita akan berhati-hati, lebih matang membaca politik dunia, lebih bersatu silang bangsa, tinggalkan titik bengik perbezaan dan menumpukan kepada kestabilan. Berusaha menghapuskan anasir  jahat dan pemikiran luar yang bertentangan dengan norma estetika rakyat. 

5. Sebab itu kita berhak marah kepada perbuatan rasuah, tak kira di mana, yang paling penting dalam isu pertahanan negara. Mungkin anda tidak akan jumpa isu rasuah, pecah amanah, pengabaian tatakelola dalam buku “Ganyang Malaysia”, tetapi minda pembacaan saya membawa kearah itu.

6. “Ganyang Malaysia” bukan hanya kisah aggresi dua negara serumpun sahaja, tetapi sebenarnya catatan pertembungan dua bidak kuasa besar dunia iaitu komunis dan sosialis (demokrasi) di papan catur asia tenggara.

7. Buku ini memberikan banyak pendedahan antaranya idea “Malaya Irredenta” iaitu kesatuan bangsa Melayu yang berada di Filipina, Malaysia hingga ke Indonesia dalam satu organisasi disuarakan oleh Jose Rizal, Manuel L Quezon, Tan Malaka seblum wujud idea Indonesia Raya.

8. Perjumpaan Sukarno, Hatta dengan Dr Burhanuddin Helmi, Ibrahim Yaacob bersama Mej Jen Umazu di Taiping pada 13 Ogos 1945, perancangan untuk merdeka bersama namun gagal dan Indonesia isytihar merdeka 4 hari kemudiannya.

9. Penceroboh RV di Gunung Pulai 20km dari Pontian Kecil dengan anggapan dapat sokongan rakyat tempatan, kemudian ke Gunung Blumut di Kluang dan bergabung dengan pasukan parachute di Labis. Namun semua dapat dihabisi.

10. Kekuatan 21,000,000 sukarelawan disokong ABRI, AURI, ALRI dan DWIKORA = 321,000 dineutralkan oleh ATM (TDM, TUDM, TLDM) = 12,000 dengan bantuan British, Australia dan New Zealand juga faktor krisis dalaman PKI v  Angkatan Darat dengan klimaks G30S, konflik blok komunis (PRC v Soviet Union), ancaman Amerika Syarikat dan kempen Ganyang Malaysia yang sebenarnya tidak mendapat sokongan kesemua rakyat Indonesia pun. Ia hanyalah diversionary war kempen sang presiden.

Aburazeen


Monday, November 4, 2024

NATIONAL GEOGRAPHIC TRAVELER EGYPT 2nd edition Book review

 


don’t be tourist, be a traveler
 
Judul: NATIONAL GEOGRAPHIC TRAVELER EGYPT 2nd edition
Penyusun: Audrew Humphreys
Penerbit: National Geographic Washington, D.C, (2007)
Mukasurat: 399
Harga: RM12.00/US$27.95/£14.99UK
 

1. Memotret gambar, bawa balik fridge magnet dan keychain itu dah biasa, tapi bagaimana jika kita bawa balik pengetahuan, pengalaman, motivasi dan pengayaan budaya, ia pastinya nilai tambah melebihi wang ringgit yang dilaburkan.

2. Selalu dengar “jangan jadi pelancong, jadilah pengembara”, sebab dengan mengembara kita mengalami dunia nyata dan hidup dalam masa sebenar, lebih dari satu escapism (melarikan diri dari dunia nyata) diri sendiri. 

3. Beza banyak lihat dunia luar dengan pengetahuan dan tanpa pengetahuan, sekadar pengetahuan yang disuap oleh pemandu pelancong, itupun kita tak kan dapat semua sebab deria kita sibuk untuk mencari momen indah untuk dirakam kongsikan

4. Apakata kita lakukan kajian terlebih dahulu sebelum memijak dibumi orang, sebab tu orang Inggeris bijak memanipulisasi tanah Asia dan Afrika, sebab sebelum menjarah mereka kutip pengetahuan sesuatu tempat yang diterokai. Selepas mengetahui, kerja menjajah jadi lebih senang bukan?.

5. Jangan ikut perangai conquistador dan orientalis, mereka biadap selepas mendapat pengetahuan, jadilah seperti Ibn Batutah (1369), Ibn Majid (1430), mereka tulis buku dan kongsikan ilmu. Mana yang jadikan contoh, yang buruk jadikan sempadan.

6. Salah satu buku jual lambak, tapi tidak ternilai harganya adalah “National Geographic Traveler Egypt” hasil pukat memukat di Big Bad Wolf Melaka, beli pada 30/04/2018 dengan harga RM12.00 sahaja. Meskipun jejak kaki ke Egypt 6 tahun kemudian (2024), tetapi bermula dengan membaca akhirnya sampai juga ke “Ibu Dunia”.

7. Terbit 2007 dibandingkan dengan maklumat semasa pada 2024 ada yang telahpun obsolete, tetapi pengalaman membaca akan memudahkan penghadaman deria, apabila kita sampai ke tempat kejadian.

8. Dia ibarat murid yang baca buku dulu sebelum masuk kelas, kemudian dengar cikgu ajar kat papan hitam, tak sama penyerapan ilmu dengan budak yang baru terkial cari mukasurat dalam buku teks bila cikgu suruh. Itulah pentingnya persediaan.

9. Mungkin edisi padat bersaiz tangan mudah dibawa merata-rata menjadikan buku NatGeo ini sangat banyak membantu, disamping content meliputi maklumat tentang sosiologi, demografi, geografi, peta, sejarah  dan tips perjalanan mencapai 09/10 keperluan kembara.

10. Sudah ada pengetahuan, sampai dan hadam di lokasi apalagi kongsikanlah, jadi perkongsian anda bukanlah sekadar gambar, tetapi bersamanya content yang membina ilmu, motivasi, gambar yang cantik dan fotogenik adalah bonus!.


aburazeen
hidupyangsingkat  
 
#aburazeenbookreview#
#NationalGeographicTravellerEgypt#

Saturday, November 2, 2024

MAGDELEINE MAGDOLIN SOUS LES TILLEULS ARC review



Judul: MAGDALEINE @ Di Bawah Lindungan Pohon Linden
Penulis Mustafa Lutfi al-Manfaluti
Terbitan: Darul Arabiah Lil Kitab (2021) Egypt
Mukasurat: 256

evolusi Sous Les Tilleuls (1832) Magdeleine (1912) Tenggelamnya Kapal Van Der Wjik (1938)

1. Pengembaraan emosi manusia dalam meniti kerumitan sebuah hubungan, berlatar belakangkan sebuah kampung di Perancis pertengahan abad ke 19. Novel ini membawa kita menyelami tema cinta, rindu, kehilangan, kecurangan dan pembalasan. Menjalin naratif pembaca ke dalam jiwa setiap karektor.

2. Novel bermula dengan surat Magdeleine kepada Suzanne, menceritakan hal Stephan penyewa tingkat atas, penzahiran cinta terhadap Stephan melalui bait tulisan Magdeleine cukup membahagiakan. Namun kawan Stephan si Edward kacau daun hingga berkahwin dengan Magdeleine jadikan Stephan sangat kecewa jestru bagai minta dikafani. Kemudian Stephan bangkit dari kemurungan dengan asbab kemahirannya sebagai ahlil muzik pianist (piano). 

3. Sebaliknya Edward pula bernasib malang dibelenggu hutang sebab dikorupsi perangai sendiri serta cuai nafkah pulak tu dan akhirnya bunuh diri di Amerika. Pada masa inilah Magdeleine menumpang rumah Stephan. Barangkali dialog yang paling ditunggu pembaca adalah saat Stephan meluahkan segalanya kepada Magdeleine ibarat penggulungan hujah dalam bab Bilik Warna Biru mukasurat 202 hingga 211. Ada rasa Deja-vu tak?

4. Dua kali sebenarnya si Stephan buat penggulungan hujah, kali kedua sewaktu mereka bertemu kembali di taman temujanji pertama yang ada pohon Linden. Tidak bagi peluang langsung, Hujahan yang tidak terbalas oleh Magdeleine membawa kepada hukuman cinta. Inilah yang dimaksudkan dengan ..cinta adalah senjata yang memusnahkan harapan dan mungkin juga nyawa..

5. Novel Magdeleine adalah terjemahan dengan sedikit rencah “kushairi*” oleh Mustafa Manfaluthi. Buku asal bertajuk Sous Les Tilleuls oleh Jean-Baptiste Alphonse Karr (Karr). Kalau terjemah bunyinya “Di Bawah Lindungan Pohon Linden”, Pohon Linden ni dalam bahasa Arab disebut الزيزفون sayangnya tiada terjemahan bahasa Malaysia untuk itu. Jadi nostalgia pohon Linden ni sebab dibawah pohon ada kerusi dimana Stephan dan Magdeleine berjanji temu. 

6. Karya sulung Karr asalnya bersiri dan diterbitkan pada tahun 1832 dan penceritaan dilatari suasana kampung Perancis yang bernuansa cantik, ikhlas, terhormat, bermoral serta tidak bersalah (innocent) dan mungkin inilah yang menjadi tarikan kepada Mustafa Manfalouti untuk menterjemahkan dalam bahasa Arab.

7. Membaca Magdeleine bakal menjadikan anda seorang filosof, barangkali seusai baca anda boleh bayangkan diri seperti Plato tidakpun Socrates, masakan tidak ayat yang disusun Penulis dipenuhi falsafah orang mabuk cinta, mukasurat 179:

الحب قطرة غيث صافية تنزل بالتربة الطيبة فتثمر الرحمة والشفقة والبر والمعروف و بالتربة الخبيثة فتثمر الحقد والغضب والشر والانتقام

“Cinta adalah titisan hujan murni yang jatuh ke tanah yang baik dan menghasilkan belas kasihan, cinta, kebenaran dan kebaikan, manakala di tanah yang keji ia menghasilkan kebencian, kemarahan, kejahatan dan dendam. …. “ [179] 

8. Baca pula bagaimana Stephan berada di titik paling rendah dalama kehidupan, saat jiwanya berkecamuk tidak menerima hakikat yang Magdeleine jadi isteri Edward di muka 197:

والليلة التى كابد فيها الاهوال العظام فى غرفة قريبة ليلة وفاته حتى اشرف على على الجنون. والليلة التى قضاها طريحا تحت سلم دار ماجدولين حتى الصباح وهى خالية بزوجها بغرفة عرسها تعانقه وتقبله وتقول له انت حياتى التى لا حياة لى بدونها..

“..dan pada malam Stephan mengalami ketakutan yang sangat hebat di dalam bilik seolah malam kematiannya sehingga dia berada di ambang gila. Dan malam itu dia berbaring di bawah tangga rumah Magdeleine hingga pagi ketika Magdeleine berduaan dengan Edward di bilik pengantin, memeluk dan mencium serta memberitahunya, "Engkau adalah hidupku yang tanpanya aku tidak mempunyai nyawa.".. [197]

9. Jika anda membaca Magdeleine dari mula hingga habis kemudian bandingkan dengan “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” maka anda akan bersetuju dengan ulasan HB Jassin bahawa hanya sedikit yang boleh dikatakan plagiarisme. Manakala Magdeleine Mustafa Manfaluti adalah terjemahan dari Sous Les Tilleuls dengan sedikit saduran berpola Arab. Tidak sama dengan Hamka yang mengubah terus watak menjadi Zainudin dan Hayati dan sebahagian plot versi minangkabau namun masih mengekalkan naratif dan pengajaran, mungkin selayaknya dipanggil sebagai terinspirasi dan bukan plagiarisme. 

10. Watak Stephan mengajar kita kekuatan diri bukanlah sekadar fikiran dan tindakan, tetapi zahir dalam ucapan dan keteguhan hati. Cinta juga tidak perlu dipaksakan untuk dimiliki, kadang lebih baik semadi dalam hati. Hanya Allah mengetahui.


aburazeen

cintaadalahanugerah

* Kushairi – makanan mesir campuran nasi, spaggeti tiub basikal, kekacang, bawang goreng, perahan lemon dan kuah sos yang lazat.


MENJEJAK RONIN DI ISTANA AKO : Edo review


 MENJEJAK RONIN DI ISTANA AKO : Edo review

SURVIVAL : Jijim review

SURVIVAL : Jijim review
 

DIARY OF A WIMPY KID : Kiki review 2020


 DIARY OF A WIMPY KID : Kiki review 2020

KOLEKSI TERBAIK FABEL AESOP : Nani review


 KOLEKSI TERBAIK FABEL AESOP : Nani review

KIDS PICTURE DICTIONARY : Una review 2020


 KIDS PICTURE DICTIONARY : Una review 2020

Tuesday, October 29, 2024

تبصرة العقلاء بقصص الأنبيٱ PENCERAHAN CENDEKIAWAN DARI KISAH NABI NABI ARC review



fast reference kisah Nabi Nabi terulung, mencari ibrah yang belum sampai difikiran.
Judul: تبصرة العقلاء بقصص الأنبيٱ
Terjemahan: PENCERAHAN CENDEKIAWAN DARI KISAH NABI NABI
Penulis: Syeikh Dr. Hisham Kamil
Penerbit: Darul Manar Kaherah.
1. Ringkas, padat, jitu dan meyakinkan. Jika isu pengkisahan romantika insan suci buatkan kita bingung. Carilah pencerahan.
2. Allah titipkan kisah Nabi NabiNya dalam Quran dan dimurnikan pula Hadis yang dipelihara, apa lagi yang kita dambakan?.
3. Jika tidak suka yang romantis, carilah kisah cemas, nyawa dihujung tanduk, soal hidup dan mati insan pilihan Allah.
4. Zaman sekarang mahunya apa semua ketemu dihujung jari, semua mahu viral tinggalnya sahih ataupun maudhu' yang dipilihnya.
5. Mahu atau tidak, kenalah kita berusaha dapatkan yang sahih. Nah! dapatkan salah satu buku Syeikh Dr. Hisham Kamil permata Azhari yang aktif menyumbang ilmu kepada masyarakat.
6. Keistimewaan pada susunan dan konten yang ringkas, tidak terlalu meleret dan tidak juga terlalu lurus. Ia sedang sedang terletak.
7. Suka dengan petikan Quran Hadis dan tafsiran yang disusun menjadikan buku ini istimewa sebagai rujukan.
8. Paling bermakna adalah ibrah atau pengajaran yang Allah selitkan buat kita, tapi hati kita terlalu kotor untuk menjumpainya. Disini Syeikh bantu cerahkan buat kita.
9. Sebab itulah namanya "Pencerahan Cendekiawan... ", sebab takat yang kita tahu hanyalah sembang kawan-kawan.
10. Pyramid dan Firaun. Meskipun zalim tapi Allah tinggalkan bekas buat pengajaran insan beriman, tapi dimanakah pula kesan orang yang Soleh?. ... ia dihatimu wahai teman🙂
aburazeen
Wakallamallahumusataklima
berkata kata Allah kepada Musa

KAEDAH KAEDAH LAHJAH AMMIAH (MESIR) review


Tajuk: Kaedah-Kaedah Lahjah Ammiah
Terbitan: Zedsoft Research Inc. (Cairo)
Cetak: Pertama 1994
Mukasurat: 30

1. Selain kota seribu minaret, Kaherah (cairo) juga dikenali sebagai Hollywood Arab. Jadi selain dari kiblat ilmu, disisi lain ia adalah kiblat hiburan orang Arab.
2. Oleh kerana dominasi hiburan tv dieksport oleh mesir, maka turut dieksport adalah loghat atau lahjah ammiyah keseluruh rantau Arab dan utara Afrika.
3. Lahjah Ammiah agak unik kerana menafikan nahu dan sorof yang penuh disiplin seerti Arab Fusohah. Jadi bahasa pasar ini patut boleh dikuasai dengan mudah jika selalu bergaul dengan Arab.
4. Cuma nak mula tu agak susah, tapi kalau dengan bantuan insyaAllah takdelah asyik kena tapau je dengan Arab.
5. 30 mukasurat dengan 3 bahagian padat dengan informasi tatabahasa, contoh perbualan, tasrif, indeks perkataan ammiah.
aburazeen
credit2cikgutipah

Friday, October 11, 2024

Book Review: PROPAGANDA Truth and lies in times of conflict


Tajuk : PROPAGANDA Truth and lies in times of conflict
Editor: Tony Husband
Publisher: Arcturus Publishing limited 2014 (London)
Page: 192
Price: £14.99
1. Perang saraf biasanya lebih “makan dalam” sebelum perang sebenar meletus, ia adalah ejen provokasi yang ampuh untuk mendatangkan kegerunan kepada pihak lawan atau meniup semangat perjuangan secara massal.

2. Propaganda berbentuk poster menjadi efektif dimasa ketiadaan teknologi, tidak banyak tulisan tapi lebih kepada imej, karikatur yang menarik perhatian dan mudah difahami walau melihat dari jauh dan tidak perlu fikir lama, orang sekarang panggil infografik.

3. Dalam keadaan aman dan tanpa konflik, propaganda juga boleh jadi alat untuk mengukur tahap kesabaran, kesiapsiagaan seteru dan tinjauan refleksi komuniti. Salah satu contoh yang baik adalah majalah karikatur Charlie Hebdo (France) ia satu bahan baca yang mempromosikan sekularisma melalui propaganda.

4. Perang dunia ke II menyaksikan penggunaan propaganda secara optimum seiring perkembangan pemodenan mesin cetak. Cetakan dibuat secara berkala walhasil mendatangkan keuntungan politik yang besar.  “Jika kamu mencipta satu penipuan besar, kemudian mengulangi secara tetap, kelak manusia akan melihatnya sebagai satu kebenaran” – Josef Goebbles.

5. Bagi peminat lukisan poster dan pengkaji evolusi perang saraf, wajar memiliki buku “Propaganda”. Koleksi poster konflik terbaik yang dikumpul oleh Tony Husband seawal “The Last Judgment” 1432 hingga Pengawal Revolusi Iran 1979. Ia bukan sekadar lukisan tapi pembelajaran pola pemikiran manusia sewaktu berhadapan dengan konflik.

6. Bagi peminat senjata pula, jika melihat buku Propaganda pasti boleh mengesan penggunaan senjata bayonet dalam kebanyakan poster, senjata multi tugas ini boleh digunakan sebagai pisau tempur, tombak, mematikan bobby trap malah tangkal semangat.

benet jepun

7 Bayonet atau benet mula digunakan di Perancis awal abad ke17 dan popular dikalangan tentera Eropah dan kemuncak penggunaannya selepas perang dunia pertama. Sebelum menjadi senjata, benet berfungi sebagai sekuriti penutup muncung senapang.


Mouser M 1890

8. Dari segi sejarah, pertempuran menggunakan benet adalah untuk menyerapkan perasaan agresif kepada pengguna senapang dan mendatangkan kegerunan psikologi kepada musuh.

9. Benet asalnya tidak terlalu tajam dan tidak selalu diasah, terdapat taboo bagi orang yang mengasah benet kerana bilah akan mudah patah, namun kemudiannya pada tahun 2003 Tentera Marin US menggunakan benet tajam sehingga boleh menembusi baju perisai, ia dianggap pisau tempur.

10. Lekapan benet pada muncung senapang adalah tidak terlalu ketat. Benet hanya dipasang bagi persediaan tempur jarak dekat, jika dipasang terlalu awal benet akan mengganggu ketetapan akurasi senapang kerana isu berat.

aburazeen

fixbayonet!




Monday, July 22, 2024

EMPAYAR 2 HIKAYAT MUKJIZAT DARIPADA IBLIS review


 

Buku: EMPAYAR 2 HIKAYAT MUKJIZAT DARIPADA IBLIS
Penulis: TEME ABDULLAH
Penerbit: Iman Publication (Mac 2019)
Mukasurat: 487
Reviewer: Rasyid Redha
Tarikh: 22/12/2019
 

Terima kasih kepada Rasyid Redha kerana baca buku dan review, jumpa balik video 2019 sebab nak cari benda lain. Baru dapat tahu market buku ni bukan untuk remaja sahaja, sebab ada “seasoned” remaja  (>50) pun ada baca juga.

Pun begitu, Penulis berjaya mengumpul admire bukan dalam siri buku fiksyen Empayar sahaja, tetapi melalui Arkitek Jalanan dan lain-lain. Kudos kepada Penulis.

Jadi ini video 5 tahun lepas, Disember 2019 saat beramah mesra dengan PKP Covid 19 dan segala macam ujian.

Sempat curi pandang buku bacaan beliau (edo), sekarang tengah baca Percy Jackson. Kadang kadang geologist kena baca fiksyen sebab nak buat write up yang menarik …agaknyalah.


aburazeen
asalkaumembaca

Saturday, May 18, 2024

PEGUAM KRIMINAL EXTENDED book review ARC

 ".. jika ingin menuai angin, maka badailah hasilnya..."

Buku: PEGUAM KRIMINAL EXTENDED

Penulis: ARIFF AZAMI HUSSEIN
Penerbit: Ilham Book Publication 2023
Page: 232
1. Kenapa nak jadi loyar? Sebab ia profesyen layak menantu, sebaris dengan doktor dan majistret ...kata Nyonya Mansoor lah. Jadi seronokkah kerja loyar?
2. Jom baca sequel kepada buku yang tajuknya sama, cuma tambah "extended", dan saya yakin ada 1001 kisah menarik untuk dikongsikan.
3. ..dan memang tak salah, kalini masuk sekali kisah jadi peguam syarie:
"Puan Yanie, Mahkamah kena tanya, bila kali terakhir puan 'BERSAMA' dengan suami? ... ..saya berasa sangat canggung ... "😅 [Bab 1: Peguam Yang Soleh: 18]
5. Dalam bab 11 Patah Sayap Terbang Jua, terselit kisah pengajaran berguna untuk semua peguam baru, lama, tersohor mahupun established. Kadang kadang cara Tuhan bagi peringatan dengan benda tak disangka.
6. Elemen paling bernilai dalam buku 1 dan 2 adalah peristiwa, kesan, akibat jenayah dan pengajaran. Dititipkan oleh penulis macam abang abang senior. Boleh baca Bab 29 WRONG TIME WRONG PLACE:
".... sifat ingin tahu, itulah yang menjadi punca sebenar mereka tercampak ke lembah kebinasaan selama lebih 24 purnama itu."
7. Jadi benarlah buku ini membuka mata pembaca untuk memahami bahawa peguam punya disiplin yang mesti diikuti, bukan sekadar sorong beg mengelek robe dan ..layak jadi menantu.
aburazeen
ignorantiajurisnonexcusat

THE GUEST CAT TAKASHI HIRAIDE book review ARC

 

Buku: The Guest Cat
Penulis: Takashi Hiraide
Penerbit: Picador 2014
Penterjemah: Eric Selland
Mukasurat 136
1. Kucing boleh jadikan anda penulis, pemuitis, malah mungkin juga romantis. Pelik bukan? Inilah sentuhan magis Takashi Hiraide menyihir pembaca untuk lekat pada “The Guest Cat”.
2. Kehadiran kucing dalam kehidupan sepasang penulis mampu dicoretkan dalam 136 mukasurat hingga menang award sastera Jepun Kiyama Shohei dan bestseller di Perancis dan Amerika.
3. Sederhana, melankolik dan menenangkan apabila melayan keletah Chibi dalam satu hari lagi di rumah sewa sunyi pinggir Tokyo. Besar kemungkinan ini adalah kehidupan sebenar Hiraide, kucing dan isterinya.
4. Hiraide dilihat amat sensitif dengan persekitaran, menjadikan penulisannya sangat halus dan terperinci, meskipun membaca “The Guest Cat” adalah saduran dalam bahasa Inggeris. Bayangkan kalau diterjemah dalam bahasa kebangsaan.
5. Berbeza dengan tulisan Haruki Murakami yang dilihat lebih eksplisit, berani dan abstrak sebaliknya Hiraide memaparkan kehalusan seni dan keindahan alam sekitar persis lukisan di zaman edo manakala Murakami mewakili genre gore-anime.
6. Buku ini adalah tentang seni kehidupan, perkara kecil yang selalu kita terlepaskan, jalani kehidupan dengan indah meskipun hidup secara minima. Ya terlalu banyak yang kita ambil mudah, tetapi itulah yang melakarkan kehidupan kita tanpa sedar.
7. Setelah Ziggy dalam How To Live Like A Cat: Stephane Garnier, Manira kucing Manikam Kalbu: Faisal Tehrani, dan kini giliran Chibi kucing putih mewarnai waktu senggang anda. Saya bagi 4.5/5.
Abu Razeen
The Neighbours Cat

ARC unboxing QAWAID AL-MAQASID

 unboxing QAWAID AL-MAQASID

Buku; QAWAID AL-MAQASID

Penulis: Prof. Dr. AHMED AL-RAISSOUNI
Tahun: 2020 (cetakan pertama)
Penerbit: Al-Furqan Islamic Heritage Foundation
Mukasurat: 615
1. “Takut Allah atau takut covid?”, “Penjarakan sof ini mengingkari suruhan Nabi, Nabi tak ajar”, mesti kita selalu jumpa ungkapan ini sejak awal jangkitan covid tahun 2020 sampai ke saat ini sehinggalah yang terbaharu “tiada vaksin lengkap, tidak boleh solat di masjid, agenda dajal illuminati telah berjaya”. Ada yang berfikir “betulnya jugak!”. ..inilah kesimpulan awal jika kita peminat teori konspirasi ataupun jika kita hanya tahu fiqah dipermukaannya sahaja.
2. Setiap tindakan, mesti ada tujuan. Setiap tujuan ada justifikasi. Bagaimana mahu tetapkan justifikasi?. Jawapannya, mesti mengetahui objektif. Setiap keputusan samada suruhan atau larangan mestilah berpaksikan kepada objektif. Baharulah sesuatu tindakan itu lebih berkesan dan menepati sasaran. Buku ini menetapkan kaedah bagi tindakan yang memenuhi objektif pensyariatan. Jika anda faham hukum syarak ataupun fiqah, tapi belum mengetahui objektif pensyariatan, buku ini mungkin boleh membantu.
3. Penulis, Syeikh Prof. Dr. Ahmed Al-Raysuni lahir 1953 (2021 usia 68) di Awlad Sultan, Larache, Maghribi. Mendapat Sarjana Muda dari Universiti al-Qarawiyyin hinggga PHD di Universiti Muhammad V, Rabat. Kajian dan disertasi penulis berkisar tentang Maqasid. Malah kajiannya yang bermaksud ”Pendapat Imam Shatibi terhadap Objektif Pensyariatan” adalah yang paling menonjol. Penulis adalah Presiden Kesatuan Ulama Sedunia pada tahun 2018 menggantikan Dr. Yusuf al-Qaradawi hingga kini dan pernah menjadi Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Kontemporari UNISZA, Trengganu.
4. Buku ini mengungkapkan semula simpulan kaedah yang telahpun dibuat oleh ulamak khalaf / mutaakhirin (selepas 300 tahun kewafatan Nabi SAW). Antara yang disebut oleh Penulis adalah Imam Haramain al Juwaini, Abi Hamid al Ghazali, Abi Bakar bin Arabi, Izzudin Abdul Salam, Shihabuddin al Qarafi, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al Jauzi, Abi Ishaq As-Shatibi, Syah Waliullah ad-Dahlawi dan ramai lagi. Dan yang paling banyak dipetik adalah dari Imam As-Shatibi.
5.Terdapat juga Qawaid Fiqhiah atau usul yang telahpun dikenali tetapi diangkat semula oleh Penulis samada dalam bentuk lafaz asal atau dengan ungkapan yang baharu. Pada asalnya terdapat 200 kaedah tetapi kemudiannya sama ada digabungkan atau digugurkan selepas dibahas. Jadi yang ada dalam buku ini adalah setelah melalui kajian terperinci. Mulanya dijadikan 99 kaedah sepertimana yang terdapat dalam Majalah Ahkam alAdliah, akhirnya menjadi 80 kaedah sahaja.
6. Keistimewaan buku ini, setiap kaedah telah disusun secara nota akademik buat kemudahan pembaca. Bagi setiap kaedah diberikan tajuk secara ringkas dan dalam ungkapan berbentuk kesimpulan. Pertama: huraian maksud (konteks) bagi kaedah tersebut. Ke 2: Syarah bagi kaedah tersebut. Ke 3: Dalil kaedah yang terdiri dari Quran, Hadis, tindakan Sahabat ataupun perkataan ulama’ sehingga terbit kaedah tersebut dan ke 4: contoh klasik dan kontemporari bagi pemahaman mudah aplikasi setiap kaedah.
7 .....sambungan book review QAWAID AL MAQASID.

KERIS MELAYU BOOK REVIEW


 …jika hendak merosakkan bangsa racunilah sejarahnya” [ms 56]


Buku: KERIS MELAYU
Penulis: AHMAD ZAMLI BIN ALI PIAH
Penerbit: AHMAD ZAMLI BIN ALI PIAH
Mukasurat: 360
1. Masterpiece!, jika boleh disimpul dengan satu perkataan. Cukup dihadkan 11 point sahaja supaya tak berjela jela nak baca review. Selengkapnya dapatkanlah buku yang hanya 700 naskhah emas dicetak terhad.
2. Buku 11 bab lengkap ilustrasi dan grafik gred A, saya bahagikan kepada 2 bahagian, Bahagian Pertama: pengenalan sejarah dan kesenian dari bab 1 hingga 3. JIka memperkatakan zat keris boleh masuk Bahagian Kedua: kesempurnaan keris Bab 4 hinggalah fungsinya Bab 11.
3. Penting untuk kita tidak tinggalkan Bahagian Pertama kerana disini anda akan faham, kenapa meskipun keris adalah harta tinggalan datuk nenek kita, tetapi tak banyak yang kita tahu dan faham, malah disalahertikan pula sebagai tahyul dan syirik.
4. Ini kerana ilmu zaman dahulu banyak dipindahkan secara sistem lisan ke lisan dan adakalanya terlalu berahsia kerana ilmu diperturunkan kepada yang berkehendak sahaja. Satu lagi ilmu perkerisan banyak disimpan dalam bentuk falsafah yang sukar ditafsirkan oleh generasi alpha.
5. Falsafah disimpan dalam zat keris itu sendiri, siapa sangka dalam sebentuk keris ada pelbagai cerita, identiti, sejarah, pemberitahuan dan masa hadapan. Orientalis menyedari kepentingan katalog bahan sejarah telah memandai-mandai menulis tentang keris hasil mata zahir mereka, malang pula kita mencedoknya bulat bulat tanpa khilaf dan sepakat.
6. Berdasarkan kesedaran tersebut Penulis merakamkan segala sejarah dan pengalaman beliau berguru dengan pandai keris dipelusuk tanah air dan mendokumenkan pula untuk kita ceritakan pada anak cucu. Jestru buku ini, jika bukanlah selengkap dokumen tentang keris, tetapi sekurang-kurangnya membuka minda kita terhadap pusaka warisan turun temurun.
7. Menceduk sedikit ilmu keris yang praktikal adalah Jenis keris Pandai Saras:
“..atas perintah raja Pattani, Tok Saras diminta membuat keris bagi kegunaan berperang, kerana itu didapati keris keris Pandai Saras adalah keras, tajam dan hebat seesuai untuk bertarung serta dibawa berperang.. “ [ms 225]
8. Seperti yang dikatakan, kesenian pada segenap sudut keris mungkin hanya dianggap sebagai hiasan tampak meninggikan nilai dipandangan mata sahaja, namun bagi pengguna, ia padat dengan fungsi bukan sia-sia:
“ ..duri pada kerrawang ganja dan belalai gajah digunakan sebagai penyangga senjata lawan dan ekor cicak pula untuk menikam anggota tubuh lawan dengan cara menyinggung..” [323]
9. Keistimewaan keris bukan pada bilah keris sahaja, malah hulu seperti Jawa Demam yang ditajamkan pada sudut tertentu akan berfungsi apabila bilah terlepas dari sasaran. Jika bilah ditepis atau terlepas, maka hulu akan mengambil tempat bagi menusuk anggota badan atau tangan lawan secara kilas atau dihentak.
10. Manakala sarung digunakan untuk menyangga, menangkis pukulan dan tikaman senjata lawan, sebab itu dalam pertarungan keris tiada perisai digunakan. Malah sarung pun boleh jadi senjata apabila sampir digunakan untuk menusuk dagu atau mencekak leher lawan. Lebih dari itu, sampir digunakan untuk memukul kepala lawan dan buntut dihendak ke badan lawan.
11. Buku Dokumentasi yang cemerlang ini bukanlah satu ultimatum untuk kita berhenti membongkar rahsia keris, banyak lagi pendapat dan guru tua yang masih boleh dipelajari ilmu mereka. Memetik tulisan penulis:
“Hakikat sebenar tentang keris, ia adalah anugerah Tuhan kepada bangsa Melayu, dengan bentuk yang tersendiri sesuai mengikut cara penggunaannya di mana tiada siapa yang dapat menafikan bahawa yang mengetahui cara menggunakan keris hanya satu bangsa sahaja di dalam dunia ini ….. “
Abu Razeen
Yang Tersirat dan Tersurat
Hulu: Tajong Botakala
Pendongkok: Temin
Bahan: tembaga
Sarung: Sampir Tajong
Bahan: Kayu kemuning
Mata: Keris Pandai Saras Lurus
Kategori: Keris Pandai Saras Lurus Besi Sebatang
Panjang mata: 41 cm
Attribute to Norsyariman Saharudin GWS