Thursday, January 31, 2019

MENGAJAR PESTA PONGGAL KEPADA MURID SEKOLAH


1. Kepelbagaian etnik dan budaya adalah keunikan Malaysia yang tidak terdapat di mana-mana negara. Meraikan kepelbagaian ini adalah simbol perpaduan yang diikat dengan taraf kewarganegaraan Malaysia. Sebarang usaha untuk menyuburkan perpaduan ini wajar disokong selagimana ia tidak membatasi hukum syara’ bagi orang Islam.

2. Kenapa perlu meletakkan syarat batasan hukum syara bagi umat Islam?. Ini adalah kerana batasan ini datangnya dari Rasul SAW, sumber perundangan dalam kehidupan bagi orang Islam dimana jua mereka berada. Memandangkan konteks isu pesta ponggal dibincangkan dalam kerangka negara Malaysia, maka perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sepatutnya diberikan perhatian.

“3.   Ugama bagi Persekutuan
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Jadi, Islam adalah agama yang dominan dalam apajua acara yang melibatkan kenegaraan, bukan sekadar doa dan pemakaian songkok sahaja, tetapi juga dalam dasar kenegaraan, dasar undang-undang, dasar pendidikan, dasar luar negara.

3. Apa kaitannya Perkara 3  dengan isu larangan mengajar pelajar Islam memasak ponggal?.  Ini kerana, ponggal yang diamalkan oleh masyarakat India yang beragama Hindu dikhuatiri mempunyai ciri-ciri sembahan. Maksud saya sembahan selain dari Allah. Jika benar ia adalah upacara keagamaan, maka ia wajar dihadkan kepada guru dan pelajar beragama Hindu sahaja tanpa dilebarluaskan kepada pelajar Islam yang lain. Sekatan penyebaran agama lain kepada orang Islam ada undang-undangnya, saya akan nyatakan di pertengahan artikel ini.

4. Oleh kerana Islam agama dominan, maka dakyah agama lain terhadap penganut Islam adalah merupakan pencabulan sebahagian dari maksud Perkara 3 perlembagaan persekutuan. Oleh yang demikian, penting untuk difahami samada ponggal ini adakah rutin keagamaan atau adat sahaja. Jika sekadar adat semata-mata tiada masalah.
Secara amnya, untuk masyarakat awam Malaysia, ponggal difahami sebagai perayaan Hindu, dimana pengamal Hindu akan memasak nasi dan susu dalam tembikar sehingga masak melimpah ruah. Itu sahaja, mungkin penerangan yang diberi ‘ponggal’ hanyalah adat atau budaya dari India dan tiada salahnya dengan memasak nasi dalam tembikar. Sesiapapun boleh buat.

5. Tetapi sebarang amalan khusus yang berasal dari agama atau adat lain, sewajarnya diperhalusi terlebih dahulu, sebab kita tidak mahu melanggar batasan hukum syara’. Antara yang telah jelas, adalah permainan naga atau singa sewaktu raya cina, makan yee sang, makan besar, selagimana halal penyediaannya maka hukumnya adalah harus. Tetapi membakar colok, tunduk atau ruku’ depan colok itu jelas haram.   

6. Terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud pesta ponggal, boleh sahaja tafsiran ini dibuat secara totok ikut tujuan pengucapnya. Ada tafsiran dari segi bahasa, istilah, tempat dan kegunaan. Jadi untuk keadilan saya akan nyatakan pecahan tafsiran tentang ponggal:

1a)Ponggal adalah ritual keagamaan atau 

2b)Ponggal adalah ritual bukan keagamaan

6.1. Ponggal adalah ritual keagamaan. Memetik artikel laman web www.thehindu.com terjemahan English dari laman web agama Hindu: 

“Ponggal adalah perayaan menuai, Bagi Tamil ia merupakan ekspresi kesyukuran.
Ia diadakan untuk memuliakan matahari, kerana memungkinkan tuaian hasil tanaman. Keluarga berkumpul untuk merayakan dan berkongsi kegembiraan bersama-sama. Matahari di persembahkan dengan beras dan susu.
 ……
Apabila ponggal telah siap dimasak, ‘Padayal’ (persembahan) terlebih dahulu disediakan. Kemudian ponggal di kongsikan bersama rakan dan keluarga diikuti dengan meditasi dan doa.

https://www.thehindu.com/todays-paper/tp-national/tp-tamilnadu/Meaning-of-lsquoThai-Pongalrsquo/article15143399.ece  pada 31/1/2019

Untuk carian laman web tempatan Ponggal turut ditafsirkan sebagai

Ponggal ialah nama sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi. Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembah kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan kenalan.

6.2. Ponggal adalah ritual bukan keagamaan;

Ini kerana terdapat muslim di negara Kerala India, Sri Lanka malah di Malaysia turut merayakannya. Contoh paling besar apabila pemimpin nombor satu negara turut merayakannya. Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghadiri “Pesta Ponggal Bukit Bintang” di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008. dan pada 13 Januari 2013, Datuk Seri Najib Razak menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana, Klang. 

7. Sepertimana umat Islam, Hari raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan bagi membesarkan Allah, inilah yang dinamakan syiar, seperti solat hari raya, bertakbir untuk Aidilfitri dan korban untuk Aidiladha. Ia khusus untuk umat Islam, orang bukan Islam boleh merayakan juga sebab kita tidak berkuasa untuk menyekat mereka nak pakai baju melayu, kurung, pasang pelita, makan ketupat dodol dan apa sahaja yang layak dikatakan sebagai budaya.

8. Begitu juga dengan penganut Hindu, mereka merayakan Ponggal untuk menunjukkan rasa kesyukuran atas penghasilan tanaman yang baik. Hasil dari ponggal tersebut. Ia disembahkan kepada tuhannya dengan beras dan susu. Sembahan ini dinamakan ‘Padayal’.

9. Mungkin ada yang akan berkata, penganjuran pesta punggal di Malaysia boleh dirayakan oleh orang Islam, sebab ia adalah budaya sahaja, lagipun ada pendapat mengatakan ponggal itu bukan ritual agama.

10. Kembali kepada konteks Malaysia yang membenarkan amalan agama selain Islam, maka untuk keharmonian peringkat kepimpinan mungkin ada excuse, pemimpin seperti Perdana Menteri seperti Pak Lah atau Datuk Seri najib boleh hadir untuk kemaslahatan perpaduan. Lagipun antara ciri-ciri pemimpin adalah matang, cerdik, tahu perbezaan dan bijaksana, maka ia dapat membezakan manakah adat manakah agama.

11. Ya, saya setuju pemimpin hadir kemajlis pesta ponggal, untuk berkongsi kegembiraan. Bukan gembira dengan mengadakan persembahan kepada matahari atau ‘padayal’, tetapi sekadar menghormati hak penganut Hindu merayakan kepercayaannya.

12. Namun dalam konteks sekolah, dimana anak-anak orang Islam masih lagi, naif, akidah yang masih lemah, tidak tahu perbezaan dan tidak cerdik terutama perkara membabitkan kepercayaan, Maka perkara ini patut dielakkan.

13. Sebenarnya terdapat undang-undang yang menyekat dakyah kepada orang Islam yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, tetapi tidak semua negeri ada undang-undang ini. Merujuk kepada Seksyen 5, Bahagian II (Kesalahan) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 Selangor, menyatakan:
Seksyen 5. Kesalahan mendedahkan orang Islam berumur di bawah lapan belas tahun kepada pengaruh agama bukan Islam.
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan, atau membiarkan mana-mana orang lain di bawah umur lapan belas tahun yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam bidang agama bukan Islam, atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau apa-apa aktiviti yang dianjurkan atau dikelolakan oleh atau yang dijalankan untuk faedah suatu agama bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang bertalian dengan suatu agama bukan Islam.

14. Pihak sekolah wajar memberi pelepasan kepada guru beragama hindu untuk bersama murid-murid beragama hindu merayakan pesta punggal. Untuk tujuan pendidikan, boleh juga dijalankan dengan kawalan guru dan penjelasan oleh guru agama. Tanpa penglibatan dan aktiviti khusus kepada anak orang Islam seperti memasak, melukis kollum (dibaca ‘kolam’)

15. Akhir sekali, jika tulisan ini hanyalah cebisan pendapat sahaja, maka tuan-puan perlu melihat kepada tulisan Mufti Wilayah Persekutuan tentang “Muslim menyertai Pesta Ponggal”
http://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal