disempurnakan dalam ceramah atau kuliah supaya jemaah tak ngantuk ok jugak.. disedut dari al-ahkam.net
Oleh Abu Umair
di http://abuumair1.wordpress.com/2008/09/07/jenaka-dalam-ilmu/
Tabiat manusia terhibur dan tertarik dengan gurau senda dan jenaka. Maka syarak membenarkan gurau dan jenaka, malahan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah berjenaka dan bergurau dengan para sahabat. Imam Tirmizi membuat tajuk khas dalam kitab Syamail Muhammadiyyah, tentang gurau senda baginda.
Begitu juga dengan penuntut ilmu. Mereka adakalanya merasa jemu jika majlis-majlis pengajian berjalan dengan penuh keseriusan tanpa diselang seli dengan sedikit jenaka. Memahami hakikat ini, kita dapati sesetengah ulama memasukkan sedikit jenaka dalam pengajian ilmu mereka. Ia ibarat garam yang melazatkan makanan. Jika terlebih, lain pula jadinya.
Di sini, saya ingin membawakan beberapa contoh jenaka Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin ketika memberi kuliah pengajian. Semoga Allah merahmati beliau dan menggembirakan beliau dengan balasan syurga.
1) Seorang murid bertanya: Dalam hadis disebut bahawa tidak boleh membuat perlumbaan kecuali haiwan yang mempunyai khuf (unta), atau memanah, atau haiwan yang kakinya menghentak (kuda). Apa pandangan syeikh tentang mereka yang mengadakan pertandingan ayam dan merpati?
Syeikh menjawab: Dalam hadis tersebut, maksudnya tidak boleh diadakan hadiah dalam pertandingan kecuali yang disebutkan itu. Kerana perkara-perkara itu membantu di dalam peperangan. Oleh sebab faedah ini, syarak membenarkan disediakan pertaruhan dalam pertandingan ini. Jadi, kalau ayam kamu boleh menyumbang dalam peperangan, kamu boleh menunggang ayam kamu, ia boleh berlari ke sana ke mari, maka bolehlah. Jika tidak, maka tidak harus. (Liqa Al-Bab Al-Maftuh).
2) Dalam satu pengajian nahu Bahasa Arab, Syeikh meminta seorang muridnya membina satu ayat. Lalu muridnya menjawab.
Murid: “Saya membaca di hadapan seorang mabuk”.
Syeikh: Allahul Musta’an. Kamu tidak menjumpai orang yang tidak mabuk untuk kamu baca di hadapannya?
3) Seorang lelaki bertanya syeikh tentang hukum wanita melihat lelaki. Syeikh berpendapat jika bebas daripada fitnah, maka tidak mengapa. Lelaki ini berulang kali bertanya kerana kurang bersetuju dengan pendapat syeikh. Apabila lelaki itu mahu beredar, syeikh bertanya kepadanya.
Syeikh: Kamu mahu ke mana?
Lelaki: Mahu berjalan-jalan.
Syeikh: Kamu pakailah niqab (purdah) supaya wanita tidak melihat kamu.
4) Ketika syeikh memberi kuliah tentang hukum susuan, beliau menyoal murid-muridnya.
Syeikh: Kalau dua bayi menyusu dari seekor kambing.
Murid-murid: (ketawa).
Syeikh: Ya, kalau kita perah susu seekor kambing, dan beri minum dua bayi itu, adakah dua bayi itu dikira saudara susuan? Kerana susunya adalah sama. Jawapannya ialah kalau dua bayi itu ialah kambing, maka mereka adalah saudara susuan. Jika bukan kambing, maka bukan saudara susuan.
5) Seorang lelaki bertanya syiekh,
Lelaki: Syeikh, apa yang perlu dilakukan selepas selesai berdoa?
Syeikh: Menurunkan tangan.
6) Seorang lelaki bertanya syeikh tentang hukum sujud sajadah.
Lelaki: Syeikh, jika seseorang mendengar bacaan Quran daripada radio, lalu ada ayat sajadah. Adakah dia perlu sujud tilawah?
Syeikh: Ya, jika radio itu sujud.
7) Dalam satu pengajian tentang hukum-hakam nikah, seorang murid bertanya.
Murid: Syeikh, kalau saya berkahwin, kemudian mendapati isteri saya tidak ada gigi. Adakah ia dikira aib yang membolehkan fasakh?
Syiekh: (ketawa) Bagus isteri macam tu, supaya kamu tidak digigitnya.
8 ) Dalam satu majlis ceramah, pengerusi majlis mengalu-alukan syeikh dengan ucapan doa. Antara lain pengerusi menyebut, “…semoga Allah memberikan beliau kesihatan sehingga hari pembalasan (akhirat)”.
Syeikh mencelah, “Sehingga hari pembalasan?!”.
Rahimallah Fadhilat Al-Syeikh Rahmatan Wasiah.
Kisah-kisah ini diambil daripada satu thread dalam Multaqa Ahli Hadith.
Sunday, October 5, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)