Wednesday, August 26, 2026

SAMBUT KEMERDEKAAN MALAYSIA KALI KE 69

 Tazkirah Jumaat 28 Ogos 2026


Maulid dan Kemerdekaan


  1. Dalam lipatan Sirah, berlaku pada 8 Hijrah, berlaku pembukaan Kota Makkah, faktor pembukaan Makkah, bukanlah peperangan, penaklukan atau pemberontakan. Tetapi adalah disebabkan kemungkiran perjanjian. Dalam perjanjian Hudaibiah 6 Hijrah, terdapat beberapa persetujuan dijalinkan antara Nabi sebagai pemimpin Madinah dengan Quraisy pemuka Makkah.


  1. Pencabulan genjatan senjata - antara isi kandungan perjanjian Hudaibiah, tidak akan berlaku serangan terhadap Mekah dan sekutunya, begitu juga terhadap Madinah dan sekutunya selama 10 tahun.


  1. Tetapi terma genjatan senjata ini, telah dilanggar oleh Bani Bakar yang disokong Musyrikin Mekah dengan menyerang suku khuzaah, suku Khuzaah ni ada tak jauh dari Mekah, tetapi merupakan sekutu kepada Madinah. Apabila pelanggaran berlaku, maka perjanjian telah batal dan sekatan sudah tiada lagi.


  1. Maka pada tahun 8 Hijrah, perkara ini diadukan oleh Bani Khuzaah kepada Nabi, sebagai tindak balas, Nabi beserta Sahabat membentuk kekuatan seramai 10,000 tentera digerakkan ke Mekah.  


  1. Dah tahu salah, penduduk Mekah majoriti tidak melakukan sebarang agresi terhadap Rasul dan tentera Madinah semasa memasuki Madinah cuma ada penentangan skala kecil yang akhirnya mengorbankan 13 orang musyrikin dan 2 orang sahabat syahid.


  1. Nabi masuk dengan kelakuan tawaddhuk, berbaju perang dan bertopi besi dengan ikatan serban hitam naik unta bernama Quswa dan dibonceng oleh Usamah bin Zaid. Tawaddhuknya Nabi itu bukan semata-mata nak tunjuk kepada penduduk Makkah tetapi, kepada Allah.

  2. Nabi bersyukur sebab, Allah kurniakan kota Mekah dan segenap isinya tanpa pertumbahan darah yang besar. Nabi mempamerkan sifat mulia dengan memaafkan penduduk Mekah, ramai yang masuk Islam sampai turun ayat  Izaja anasrullah wal fath.


  1. .Ada juga yang kena hukum, oleh sebab perbuatan mereka membunuh, maka dijalankan qisas. Selain dari itu, semuanya selamat. Apa tindakan Rasul selepas itu? Melalui rekod Abdullah bin Mas’od:



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلَاثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعَنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ، وَيَقُولُ: {جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا} ، جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ


Daripada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ memasuki Mekah (pada hari kemenangan atas kota Mekah), sedangkan di sekitar Ka’bah terdapat tiga ratus enam puluh berhala, maka Rasulullah ﷺ merobohkannya dengan tongkat yang ada di tangannya seraya mengucapkan firman-Nya: Yang benar telah datang, dan yang bathil telah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Isra: 81) Perkara yang hak telah datang, dan perkara batil pasti tidak akan muncul dan tidak akan kembali lagi (Saba’: 49).

[Bukhari] 


  1. Jadi kat sini ada beberapa perkara yang boleh diambil dari hadis di atas antara kerja terawal apabila Nabi sampai adalah menghancurkan berhala disekitar Kaabah. Secara fizikalnya hadis Ibnu Masud sebut sebanyak 360 berhala. Semua itu dimusnahkan oleh sahabat.


  1. Berhala ini adalah sembahan mushrikin, Meskipun kalau kita baca ayat 18 surah az zukhruf, Musrikin ni percaya adanya Allah, tetapi mereka mempersekutukan Allah.. Dengan sebab itu mereka digelar mushrikin - mempersekutukan Allah.

 

  1. Jadi dalam peristiwa Fathu Makkah, Rasul membebaskan Makkah, adakah Makkah kena jajah dengan sesiapa pada masa itu? Adakah dari Rom atau Farsi?, tiada, jadi bebaskan dari apa?. Bebaskan pemikiran dan pegangan dari sekutukan Allah kepada Tauhidkan Allah. Sebab itu secara fizikalnya berhala dihancurkan.


  1. Jesteru, yang perlu dibebaskan selain dari kebebasan beramal, kebebasan membuat keputusan, menentukan hala tuju anak muda dan negara, kita juga wajib membebaskan pemikiran dari syirik kepada Allah.


  1. Jika dahulu orang Musyrikin menjadikan berhala sebagai sembahan, kerana akal memikirkan beginilah agaknya bentuk tuhan, kemudian buat keputusan berdasarkan keterbatasan rasional akal semata-mata.


  1. Sekarang ada lagi tak orang sembah berhala? Ada. Tapi itu bukan orang Islam, cuma ada lagi tak orang Islam yang tidak percaya kepada Allah?. Pun ada. Kenapa saya kata ada?


  1. Sebabnya masih ada yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah yang dibenci oleh Rasul, dimanakah dia orang tak percayakan Allah? - bila mana Allah kata “Waahallahu bai’ waharramar riba” - Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba, berapa banyak umat Islam masih mengamalkan riba dan meninggalkan sistem Islam?


  1. Bila mana Allah kata “Innallaha yak murukum an tuaddul amanati ila ahlia”, sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menyempurnakan amanah kepada ahlinya, akan tetapi banyak kita yang tidak amanah. Berapa banyak yang kita culas, berapa banyak masa yang kita bazirkan semasa waktu bekerja atau kita sebut dengan “tuang”. Ada berapa banyak perkhidmatan (service) kita mengelat?


  1. Nabi sebut Al-Rashi wal Murtashi fin Nar - Pemberi rasuah dan penerima rasuah adalah dalam neraka, bila sebut neraka itu sebab ia haramlah, tetapi berapa banyak orang Islam yang memberi rasuah, menerima rasuah?. Berapa banyak kes yang dibongkarkan dalam Mahkamah dunia? Ini belum Mahkamah akhirat.


  1. Jesteru tiada makna, jika kita sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan berada di Malaysia yang menyambut kemerdekaan kali yang ke 69, akan tetapi dalam benak pemikiran kita, masih dibelenggu amalan riba, tidak amanah, makan rasuah, dan melakukan perkara haram setiap hari.


  1. Oleh itu saya menyeru pada diri sendiri dan sidang jumaat sekelian, dihari Jumaat yang mulia ini bersamaan 15 Rabiul Awal 1448H dan 27 Ogos 2026 tiga hari lagi nak merdeka, bebaskan diri kita dari dibelenggu pemikiran jahiliah dan kukuhkan kemerdekaan hari ini dengan integriti dan akhlak Islamiah.


Tamat.


Wednesday, August 12, 2026

ARC Al-Azkar Imam Nawawi Book Review


Buku: Al-Azkar An-Nawawiah
Penulis: Abi Zakaria Yahya bin Sharfi al-Nawawi al-Damshiqi
Penerbit: Darul Bayan 1997 Damsyik - Beyrut.
Muka Surat: 584


1. Pernah dengar “juallah rumah, belilah al-Azkar”?, ungkapan ini mencerminkan kehebatan sebuah kitab kompilasi zikir yang warid dari Nabi dihimpunkan oleh Imam Nawawi, himpunan hadis dan banyaknya ganjaran pahala beramal menjadikan berbaloi untuk memilikinya biarpun terpaksa menjual rumah.


2. Nama al-Imam lebih dikenali dalam Kitab Hadis 40, Riyadhus Salihin, Minhajut Talibin, Majmuk namun jarang kita dengar Kitab al-Azkar, ini kerana pembaca Malaysia lebih senang membaca buku zikir dan doa yang telah di kompres berbanding kitab yang asal.


3. Tapi kebanyakan buku doa di Malaysia, banyak yang diambil dari al-Azkar, kerana jika membaca kitab ini per se, agak sukar untuk memilih kerana doa dan zikir dalamnya sangat banyak dan perlukan syarah untuk hayati lafaznya.


4. Imam Nawawi umurnya tidak panjang, lahir 631H dan wafat 676H menjadikannya hanya berumur 45 tahun. Penulisan al-Azkar dijejak melalui nota catatan al-Imam mula tulis Khamis 24 Ramadhan 666 (umur 35 tahun) dan tamat menulis Muharram 667. Jarak masa menulis 4 bulan. Banyaknya buku nukilan al-Imam hingga tidak sempat berkahwin sampai wafat.


5. Al-Azkar dibuat untuk memudahkan pembaca, dibuang sanad kerana kitab ini bukan untuk mengenal turunan sanad, ia lebih kepada mengenal zikir dan amalan yang berasalkan sunnah. Pun begitu Imam Nawawi turut masukkan hadis dinilai dhaif oleh beberapa rijal hadis.


6. Naskhah terbitan Darul Bayan ini turut memasukkan komentar bertajuk Tuhfatul Abrar bi Nakatil Azkar lil Imam Ibnu Hajar oleh Imam Jalaludin Sayuti diletakkan bawah nas Imam Nawawi diikuti dengan  takhrij Hadis oleh Syeikh Basyir Mohd Uyun. Jadi ia bukan sekadar kitab zikir dan doa, sesuai juga dirujuk setara kitab fiqah yang ringkas. 


7. Sebenarnya tajuk asal tulisan Imam Nawawi ni agak panjang, namun diringkaskan pada hari ini untuk memudahkan rujukan, nama asal direkodkan sebagai حلية الأبرار وشعار الأخيار في تلخيص الدعوات والأذكار المستحبة في الليل والنهار


8. Antara yang terdapat dalam Kitab ini adalah Hadis Noura, atau hadis Nabi ajar doa untuk dibaca ketika hendak pergi masjid, Hadis 82 mukasurat 44 Hadis Ibnu Abbas mendengar dari Maimunah binti Haris, setelah mendengar azan Subuh, Nabi keluar hendak Solat dan Baginda berkata: 

"اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُوراً، وفي لِسانِي نُوراً، وَاجْعَلْ في سَمْعِي نُوراً، وَاجْعَلْ في بَصَري نُوراً، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُوراً، وَمِنْ أمامي نُوراً، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقي نُوراً، وَمِنْ تَحْتِي نُوراً؛ اللَّهُمَّ أعْطِني نُوراً" 


“Ya Allah, jadikan didalam hatiku cahaya, pada lidah cahaya, jadikan pada pendengaranku cahaya dan jadikan pada pandanganku cahaya. Jadikan dari belakangku cahaya dan dari hadapanku cahaya. Dan Jadikanlah dari atasku cahaya dan dari bawahku cahaya. Ya Allah berikan kepadaku cahaya”. [Muslim]


aburazeen

membaca jambatan ilmu

Ilmu itu cahaya, 


Tuesday, July 28, 2026

TALBIS IBLIS: TIPUDAYA TERHADAP PENUTUR KISAH DAN PEMBERI NASIHAT

 KULIAH MAGHRIB SURAU ASSAKINAH TAMAN PULAI INDAH

TALBIS IBLIS: IMAM IBNU JAUZI AL BAGHDADI 

15/07/2026M bersamaan 29 Muharram 1448H


Muslihat Iblis terhadap Pemberi Nasihat dan Penutur Kisah


  1. Siapakah pemberi nasihat dan penutur kisah: zaman dahulu ia adalah profesyen, satu jawatan yang ada dalam masyarakat. Cuma pemberi nasihat lebih kepada jawatan rasmi kepada pemimpin. Kerja bagi nasihat berdasarkan pengajaran dari kisah-kisah terdahulu.


  1. Contoh paling senang kalau nak beli kereta, ada SA disebut Sales Advisor, dia akan nasihat kita beli kereta berdasarkan keperluan. Kalau kita bujang dia suruh kita beli kereta sport dua pintu, kalau keluarga kecil boleh beli kereta sedan, kalau keluarga ramai beli kereta MPV. Jadi kita akan dengar nasihat dia.


  1. Macam tu juga bagi pemimpin peringkat negeri atau negara dia akan ada Penasihat, ini sebagai pengetahuan am rakyat negeri Johor, dah mengundikan? Undang-undang negeri  kenalah tahu, contohnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895. Berapa banyak penasihat bagi Tuanku?. Ada Jemaah Pangkuan Negeri, ada Jemaah Majlis Diraja (Council of The Royal Court), 


  1. Untuk agama Islam, ada Sahibus Samahah Dato’ Mufti menasihat Tuanku dalam perkara hukum syarak, Menteri Besar dari segi pentadbiran negeri, Dato’ LA, Penasihat Undang-Undang, memberi nasihat undang-undang.

 

  1. Jadi semua jenis penasihat ini akan memberikan pendapat supaya tindakan yang bakal diambil adalah betul dari segi hukum syarak dan undang-undang. Nasihat perlulah betul dan tidak jadi penasihat 20 persen dalam cerita 3 Abdul, sapa jadi penasihat kepada Almarhum Ahmad Nesfu? Sapa ingat - Salleh Kamil.


  1. Begitu juga penutur kisah, sekarang ni kita kenal sebagai penceramah, cuma dia berbeza ikut forum, jika istana dulu-dulu dipanggil penglipur lara, dipentas demokrasi dipanggil penceramah politik, nak naik semangat panggil penceramah motivasi, dalam wayang kulit dipanggil Tok Dalang. Dikir Barat dipanggil Tukang Karut.


  1. Zaman sebelum Nabi banyak penutur kisah, ini termasuk syair-syair di pasar Ukaz berhampiran mekah, kerana dalam syair ada kisah, yang terkenal semasa zaman nabi adalah Hassan bin Tsabit, Abdullah bin Rawahah dan Ka’ab bin Malik. 


  1. Bahkan Nabi sendiri adalah waiz, pemberi nasihat dan penutur kisah yang benar, ma yantiqu anil hawa in huwa illa wahyu yuha [An-Najm 4-3] berapa banyak kisah dalam alQuran diturunkan melalui lidah Nabi SAW dalamnya ada pengajaran dan arahan.

  

  1. Selepas Rasul wafat pemberi nasihat adalah dalam kalangan ulamak dan fuqaha’, Abdullah bin Umar seorang sahabat pernah hadir ke majlis Ubaid bin Umair yang dikira sebagai Tabi’in. Umar bin Abdul Aziz khalifah bani umaiyah yang ke-8 pernah hadir ke Majlis pemberi nasihat.  


  1. Majlis akan dikira hebat sekiranya hadir dalamnya ‘ulama, seolah-olah satu endorsement kepada masyarakat bahawa ini adalah pemberi nasihat yang betul. Sebaliknya sekarang, diukur kepada yang mana hadirnya ramai.


  1. Sekarang ni pula, mahu ramai hadir kena pandai nyanyi, kena pandai buka kisah viral, majlis yang benar benar ada ilmu sikit sahaja hadir. Jadi jangan kita risau dengan bilangan yang sedikit dalam majlis ilmu, Sebab ramai tidak semesti betul, sikit bukan ertinya salah.

كَم مِّن فِئَةࣲ قَلِیلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةࣰ كَثِیرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

[al-Baqarah: 249]


  1. Bila orang awam lihat, majlis penasihatan atau pengkisahan ni banyak beroleh faedah dunia, macam dapat duit, dapat pengaruh, maka pakat berlumba untuk menjadi penasihat dan pengkisah.


  1. Bila yang menjadi penasihat dan penutur kisah dari kalangan mereka yang tidak berilmu, atau dilihat berilmu tapi sebenarnya tidak, itu yang terjadi lebih banyak cerita mengarut dari apa isi yang ada dalam quran dan hadis, kata-kata ulama.


  1. Dari sini mulalah tersebarnya israiliyat yang bertentangan dengan nas hukum dan akidah, hadis palsu, cerita-cerita yang tiada asasnya. Kesemua ini untuk menarik minat orang untuk kerumun, Kalau nak cerita hebat dan ajaib tengok saja dalam mastika,

 

  1. Ini teknik orang jual ubat, saya dulu duduk di Taiping membesar di Taiping, sebelah malam dalam pekan ada orang jual macam-macam sepanjang jalan depan supermarket, tau kat mana orang paling ramai kerumun. Tempat orang jual ubat. Sebab sebelum dia jual ubat dia akan cerita perkara ajaib.


  1. Selepas banyak majlis penasihatan dipelopori oleh tukang nasihat yang campur adukkan sumber nas yang sahih dengan sumber yang mauduk, pemimpin tak lagi datang, sebaliknya hanya orang awam yang mahukan hiburan. 


  1. Ibnu Jauzi ada menulis kitab yang namanya al Qusas wal Muzakirin, kitab ini sudah tidak ditemui lagi sebab ada yang kata, telah hilang sewaktu monggol menyerang baghdad. 


  1. Antara talbis iblis pada penceramah adalah mengada-adakan hadis mauduk untuk targhib wa tarhib. Niatnya nak cerita pahala besar, nak suruh orang beramal, tetapi ganjaran yang diceritakan itu tidak pernah datang dari Nabi, meskipun baik tetapi sebenarnya ia menempah kerusi di Neraka. al-Hadis.


Tuesday, April 14, 2026

GANYANG MALAYSIA Konflik 1963 - 1966 Rafe Rahmat


Judul: GANYANG MALAYSIA Konflik Bersenjata Malaysia-Indonesia 1963-1966
Penulis: Rafe Rahmat
Penerbit: Swaterbit Rafe Rahmat 2025
Mukasurat: 242 paperback 

1. Apa yang menjadikan sebuah buku dokumentari menarik?. Ia jadi menarik apabila dikaitkan dengan diri, tempat, masa serta naratif yang memberikan jawapan “siapa kita pada hari ini, apa perlu kita buat dan adakah kita bersedia?”.

2. Persoalan kenapa perlu ada jatidiri, kenapa perlu sensitif dalam isu serantau, kenapa perlu bijak memilih suaka, kenapa kestabilan politik sangat perlu,  kenapa perlu berbelanja lebih kepada sektor pertahanan, sebahagian jawapannya ada dalam buku “Ganyang Malaysia”.

3. Dua buah negara berjiran, berkongsi ras, budaya dan sejarah tetapi jambatannya dibakar. Kenapa perlu dibakar jika rantau ini perlu bersatu disaat dunia sedang ‘healing’ menyembuh post perang dunia kedua? “Ganyang Malaysia” menyediakan jawapannya. 

4. Jika jumpa jawapan, kelak kita akan berhati-hati, lebih matang membaca politik dunia, lebih bersatu silang bangsa, tinggalkan titik bengik perbezaan dan menumpukan kepada kestabilan. Berusaha menghapuskan anasir  jahat dan pemikiran luar yang bertentangan dengan norma estetika rakyat. 

5. Sebab itu kita berhak marah kepada perbuatan rasuah, tak kira di mana, yang paling penting dalam isu pertahanan negara. Mungkin anda tidak akan jumpa isu rasuah, pecah amanah, pengabaian tatakelola dalam buku “Ganyang Malaysia”, tetapi minda pembacaan saya membawa kearah itu.

6. “Ganyang Malaysia” bukan hanya kisah aggresi dua negara serumpun sahaja, tetapi sebenarnya catatan pertembungan dua bidak kuasa besar dunia iaitu komunis dan sosialis (demokrasi) di papan catur asia tenggara.

7. Buku ini memberikan banyak pendedahan antaranya idea “Malaya Irredenta” iaitu kesatuan bangsa Melayu yang berada di Filipina, Malaysia hingga ke Indonesia dalam satu organisasi disuarakan oleh Jose Rizal, Manuel L Quezon, Tan Malaka seblum wujud idea Indonesia Raya.

8. Perjumpaan Sukarno, Hatta dengan Dr Burhanuddin Helmi, Ibrahim Yaacob bersama Mej Jen Umazu di Taiping pada 13 Ogos 1945, perancangan untuk merdeka bersama namun gagal dan Indonesia isytihar merdeka 4 hari kemudiannya.

9. Penceroboh RV di Gunung Pulai 20km dari Pontian Kecil dengan anggapan dapat sokongan rakyat tempatan, kemudian ke Gunung Blumut di Kluang dan bergabung dengan pasukan parachute di Labis. Namun semua dapat dihabisi.

10. Kekuatan 21,000,000 sukarelawan disokong ABRI, AURI, ALRI dan DWIKORA = 321,000 dineutralkan oleh ATM (TDM, TUDM, TLDM) = 12,000 dengan bantuan British, Australia dan New Zealand juga faktor krisis dalaman PKI v  Angkatan Darat dengan klimaks G30S, konflik blok komunis (PRC v Soviet Union), ancaman Amerika Syarikat dan kempen Ganyang Malaysia yang sebenarnya tidak mendapat sokongan kesemua rakyat Indonesia pun. Ia hanyalah diversionary war kempen sang presiden.

Aburazeen


Friday, April 10, 2026

DIKELILINGI MALAIKAT PENCARI: FADHAIL MAJLIS ILMU

 SURROUNDED BY SEARCHING ANGEL

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنَّ لِلَّهِ مَلاَئِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ، يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ، فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ‏.‏ قَالَ فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا‏.‏

قَالَ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ مَا يَقُولُ عِبَادِي قَالُوا يَقُولُونَ يُسَبِّحُونَكَ، وَيُكَبِّرُونَكَ، وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ‏.‏ قَالَ فَيَقُولُ هَلْ رَأَوْنِي قَالَ فَيَقُولُونَ لاَ وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ‏.‏ قَالَ فَيَقُولُ وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً، وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا، وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا‏.‏

قَالَ يَقُولُ فَمَا يَسْأَلُونِي قَالَ يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ‏.‏ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا‏.‏ قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا، وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا، وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً

‏.‏ قَالَ فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ قَالَ يَقُولُونَ مِنَ النَّارِ‏.‏ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لاَ وَاللَّهِ مَا رَأَوْهَا‏.‏ قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا، وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً‏.‏

قَالَ فَيَقُولُ فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ‏.‏ قَالَ يَقُولُ مَلَكٌ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ فِيهِمْ فُلاَنٌ لَيْسَ مِنْهُمْ إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ‏.‏ قَالَ هُمُ الْجُلَسَاءُ لاَ يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ ‏"‏‏.‏ رَوَاهُ شُعْبَةُ عَنِ الأَعْمَشِ وَلَمْ يَرْفَعْهُ‏.‏ وَرَوَاهُ سُهَيْلٌ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.
1. Dari Abu Hurairah bahawa Rasul SAW telah bersabda maksudnya: ”Sesungguhnya bagi Allah mempunyai para malaikat yang berkeliling di jalan untuk mencari-cari kumpulan orang yang berzikir. Jika mereka telah menemui kumpulan orang yang berzikir kepada Allah, mereka akan berseru: ”Mari, di sini ada yang kamu semua cari.” Majlis mereka ini akan dikerumuni dengan sayap para malaikat hingga ke langit dunia.”
2. Rasul SAW seterusnya bersabda: ”Tuhan kemudian bertanya (sedang Dia lebih mengetahui tentang keadaan hamba-hambaNya): ”Apakah yang diucapkan oleh hamba-hambaKu?” Malaikat menjawab: ”Mereka semua mensucikan, membesarkan, memuji serta mengagungkan Engkau.” Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihat Aku?” Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihat Engkau.”
Allah berfirman: ”Bagaimanakah seandainya mereka dapat melihat Aku?” Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka dapat melihat Engkau, sudah tentu mereka akan lebih banyak beribadat, lebih banyak mengagungkan dan lebih banyak mensucikan Engkau.”
3. Allah berfirman: ”Apakah yang mereka minta dariKu?” Malaikat menjawab: ”Mereka meminta syurgaMu.” Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihat syurga?” Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya. Allah berfirman: ”Bagaimana seandainya mereka telah melihat syurga.” Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka pernah melihat syurga, sudah tentu mereka akan lebih tertarik untuk memperolehinya da lebih bersungguh-sungguh mencarinya, juga lebih berkeinginan untuk mencapainya.”
4. Allah berfirman: ”Dari apakah mereka meminta perlindungan?” Malaikat menjawab: ”Mereka memohon perlindungan dari neraka.” Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihatnya?” Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya.” Allah berfirman: ”Bagaimanakah seandainya mereka pernah melihatnya?” Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka pernah melihatnya, sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh lari menjauhkan diri darinya dan lebih berperasaan takut terhadapnya.”
5. Allah berfirman: ”Aku persaksikan padamu semua bahawa Aku telah mengampuni hamba-hambaKu itu.” Salah seorang dari para malaikat itu berkata: ”Di antara mereka ada seorang yang sebenarnya bukan termasuk golongan ahli zikir. Dia datang ke majlis itu hanya ada sesuatu keperluan sahaja.” Allah berfirman: ”Mereka itu adalah satu kelompok kaum yang siapa sahaja berkawan dengannya sudah tentu tidak akan mendapat celaka.”
[Bukhari]
abu razeen
thabatjalanilmu

Link Jom Kuliah Selatan




Friday, February 27, 2026

HUKUM DUDUK ISTIRAHAH DAN TATA KELAKUAN BERKAIT

adakah sunnah untuk duduk sebentar (istirahah) selepas bangun dari sujud kedua untuk bilangan rakaat yang ganjil?

KAEDAH BANGUN DARI SUJUD VIRAL

viral whatsapp komuniti masjid/surau masing-masing, perkongsian tiktok seorang Ustaz memberi panduan untuk bangun dari rakaat pertama dan ketiga, yang mana isu ini, jarang dibincangkan dengan teliti. Pertamanya terima kasih dan kredit untuk AF Ustaz Khairil Anuar dan admin tiktok masjid. Semoga beroleh pahala berpanjangan.  

Kembali kepada persoalan, saya bersetuju dengan penerangan AF Ustaz, dan tulisan ini adalah untuk menyokong pendapat yang telah diberikan (tumpang tui). Jawapan pendek:

1. Ya sunat untuk duduk istirahah selepas bangun dari sujud kedua untuk rakaat yang ganjil (rakaat pertama dan ketiga). 

2. Cara duduknya seperti duduk iftirash (macam duduk tahayat awal). 

3. Berapa lama nak duduk istirahah? Duduk sekadar sempurna kedudukan anggota badan dalam posisi duduk lalu bangun.  

4. Sunat juga untuk bangun dari duduk istirahah kepada posisi berdiri dengan menongkat tangan dan tapak tangan yang terbuka (bukan genggam)

5. Takbir intiqalat, panjangnya sebutan “Allahuakbar” bermula dari angkat dahi bangun dari sujud, duduk istirahah dan lengkap lafaz “...bar” semasa sempurna berdiri.

6. Jika sebelum ni tidak duduk istirahah, apakah hukum solat kita?

Hukumnya tetap sah, tidak perlu qadha, sebab hukum duduk istirahah adalah sunat hai’ah sahaja, bukan rukun mahupun sunat ab’ad.  


Bersama ini adalah tangkap helaian dari Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab li Imam Nawawi berkenaan perbahasan panjang telah isu diatas, 

APAKAH HUKUM DUDUK ISTIRAHAH? 

Terdapat khilaf samada wujud duduk istirahah atau tidak? Ada 3 pendapat:

Pendapat 1. Tidak duduk istirahah

berdasarkan hadis Wail ibnu Hujur. “Adalah Nabi apabila mengangkat kepalanya dari sujud baginda terus bangun berdiri dengan bertakbir” hadis ini dihukumkan gharib. - Pendapat dipegang oleh Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Ubai Azzanad, malik, Thauri dan golongan mentarjihkan pendapat, Ahmad dan sebilangan sahabat yang melakukan demikian.

Pendapat 2. Duduk istirahah

berdasarkan hadis Malik bin Huwairis “Adalah Nabi apabila pada rakaat pertama dan ketiga, tidak bangun sehinggalah sempurna duduk”, hadis ini riwayat Bukhari dalam kedudukan Sahih. - Pendapat dipegang Malik bin Huwairis, Abu Hamid, Abu Qatadah bersama sekumpulan sahabat, Abu Qalabah dan segolongan Tabi’in. Begitu juga Imam Tarmizi, Daud dan satu riwayat oleh Ahmad.

Ini pendapat sahih dalam mazhab hukumkan sunat duduk istirahah disebabkan hadis berkenaan adalah hadis sahih.

Pendapat 3. Jika lemah kerana sakit, tua atau selainnnya maka ia istirahah sebab dia perlu duduk, jika kuat terus bangun sebab ia tak perlu kepada duduk. Pendapat Abu Ishak al-Mawarzi.

CARA DUDUK ISTIRAHAH

Cara duduk: duduk iftirash dalil Abu Hamid “Bahawa Nabi melipatkan kakinya dan duduk atasnya sehingga kembali anggota ketempatnya kemudian bangun” - Sahih riwayat Ibnnu Mas’ud.ini adalah pendapat Jumhur.

Pendapat lain adalah duduk atas bahagian kaki, ada didalam Kitab Hawi. Pendapat ini adalah ganjil.

Sunat duduk istirahah kekal dalam solat fardhu untuk rakaat yang ganjil termasuk juga untuk solat sunat.

Cuma duduk istirahah tidak berlaku untuk sujud tilawah, ia terus bangun tanpa duduk istirahah, ulama tiada khilaf dalam hukum ini.

Walaupun Imam tak buat duduk istirahah, makmum tetap boleh melakukan duduk istirahah


HUKUM MENONGKAT TANGAN UNTUK BANGUN DARI DUDUK ISTIRAHAH

Sunat untuk menongkatkan kedua tangannya semasa hendak bangun, dalil riwayat Malik bin Huwairis “bahawa Nabi dalam keadaan duduk kemudian berdiri dengan menongkatkan kedua tangannya ke atas bumi”. Hadis Sahih. Imam Shafie mengulas perbuatan ini dengan menyerupai tawaduk dan membantu orang yang solat,  

Dan memanjangkan takbir sehingga berdiri supaya tidak sunyi dari zikir. 

MENONGKAT DENGAN GENGGAMAN JARI (TUMBUK) ATAU TERBUKA?

Apabila menongkat tangan untuk berpindah rukun qiyam bagaimana kedudukan tapak tangan?. Diletakkan perut tapak tangan dan jarinya ke atas bumi tanpa khilaf. Adapun perbuatan menggenggam tapak tangan berdasarkan nas hadis Ibnu Abbas:

“Adalah Nabi apabila hendak bangun ke kedudukan qiyam, Baginda meletakkan tangannya ke bumi sepertimana menekan penguli tepung”   

Hadis Ibnu Abbas ini didhoifkan oleh Imam Nawawi dengan kata tiada asalnya, jika sah hadis tersebut sekalipun, maksud menekan penguli tepung iaitu dengan menekan menggunakan tapak tangan, seperti mana orang yang lemah akibat usia lanjut dan bukanlah dimaksudkan menggenggam seperti penguli tepung.

BERAPA PANJANGKAH SEBUTAN TAKBIR INTIQALAT UNTUK BANGUN DARI SUJUD?

Dan memanjangkan takbir sehingga berdiri supaya tidak sunyi dari zikir. Khilaf pada panjangnya takbir semasa bangun dari sujud kedua ada tiga. 

Panjang takbir bermula dari angkat kepala dari sujud duduk sehinggalah ke posisi qiyam. Ini nas Imam Shafie

Bangun dari sujud tak takbir, tapi takbir bermula dari kedudukan duduk istirahah sehingga qiyam

Takbir semasa angkat kepada dari sujud, dan tak tabir semasa duduk istirahah sampailah berdiri. 

(Pendapat: Boleh ketiga-tiga tetapi jika dalam kedudukan Imam untuk memudahkan makmum saya cadang pakai pendapat Imam Shafie - makmum yang tak nampak imam akan tahu pergerakannya.)

Nota: Sepakat fuqaha’ tidak boleh takbir dua kali dalam isu di atas.

SERUAN UNTUK TIDAK MENINGGALKAN DUDUK ISTIRAHAH

Berdasarkan hujah menggunakan hadis Sahih Malik bin Huwairis serta hadis sahih yang lain dan perbincangan fuqaha’ dalam Mazhab Shafie, maka sayugia sebagai pendiri solat untuk tidak meninggalkan amalan duduk istirahah dan lain-lain amalan sunat seperti dibincangkan dalam Kitab Majmu’. Seruan beramal adalah selaras dengan firman Allah SWT  

 قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu [Ale-Imraan: 31] 

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. [Al-Hasyr: 7]

Wallahua'lam

Abu Razeen
Ramadhan Kariem
Aisikirim