Showing posts with label artikel dicetak. Show all posts
Showing posts with label artikel dicetak. Show all posts

Saturday, October 2, 2010

WANG HARAM WANG SYUBHAH, BOLEH KE?



BAGAIMANA KAEDAH PENILAIAN SEKURITI PATUH SYARIAH DI DALAM PASARAN MODAL ISLAM
Abu Razeen

Pra- Ini artikel kedua untuk majalah MAIS berkenaan wang haram atau syubhah, artikel pertama saya dah publishkan terlebih dahulu dalam tahun 2009, bersesuaian dengan masa rasanya sebab semenjak dua menjak ni tv arus perdana asyik dok tayang warga emas pulau pinang memulangkan duit bantuan kerajaan sebab tamau duit dari sumber yang haram... rasanya kerajaan pusat pun tak terlepas dari sumber haram atau syubhah, jadi mana-mana penjawat kerajaan yang berjiwa sufi eloklah berhenti makan gaji, kotidak masuklah tv pulangkan balik duit kerajaan yang 'haram itu'... saya errr...kurang berjiwa sufi, salafi kut eheh!

1. Setelah kita mengetahui secara ringkas beberapa perkara yang menyebabkan harta atau perolehan orang Islam menjadi haram atau syubhah pada keluaran yang lepas, kini perlu diketahui pula bagaimana untuk mengendalikan harta yang diketahui haram perolehannya atau diragui statusnya. Sebelum dikeluarkan fatwa tentang kaedah pelupusan yang diharuskan, terdapat beberapa pendapat secara logik yang telah dikeluarkan oleh ilmuan Islam berkaitan persoalan ini. Yang pernah sampai ke pengetahuan penulis adalah wang faedah bank atau dari sumber yang haram boleh digunakan untuk membeli selipar kegunaan tandas masjid atau surau. Jawapan ini mungkin ada rasionalnya, kerana wang dari sumber yang haram tidak boleh digunakan untuk faedah pemilik maka sewajarnya dibelikan untuk kegunaan orang ramai. Malah sebagai langkah berhati-hati selipar itu digunakan pula di dalam tandas. Atau yang lebih baik digunakan untuk membuat pagar masjid. Meskipun ia bukan satu pendapat yang kuat namun ia adalah jawapan popular sebelum diperkenalkan alternatif yang lebih baik.

2. Jika disebut penyucian harta, adalah tidak adil untuk meninggalkan komponen penyucian harta yang sedia dimaklumi oleh orang Islam yaitu zakat. Benar, zakat adalah agen penyucian harta, ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah yang diterjemahkan: "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah(zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka , kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan(ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [At-Taubah:103]. Dalam menjalani kewajipan memberi nafkah diri, keluarga dan tanggungan kadang-kadang kita gagal untuk membezakan sumber pendapatan yang mana halal, haram ataupun syubhah, maka dengan pengeluaran zakat maka itulah bahagian yang difardhukan untuk mengatasi kewujudan unsur tidak suci dalam pendapatan seharian. Namun ibadat zakat adalah nilaian sesuatu yang subjektif selain dari agen penyucian ia adalah hak orang lain di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau wang yang tidak patuh syariah. Ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam pengharamannya. Sepertimana Hadis An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasul SAW. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.'" [Bukhori]. Berdasarkan
Hadis ini, jika ditakdirkan tidak jelas haram atau halalnya sekalipun ia boleh diletakkan dalam golongan syubhah dan ianya wajar ditinggalkan.

3. Akibat dari perkembangan ekonomi serantau dan perbankan konvensional, maka umat Islam tidak dapat lari dari melibatkan diri dalam sistem kewangan kapitalis yang berunsurkan riba, ini sebelum diperkenalkan sistem kewangan Islam pada awal 80an oleh negara timur tengah dan timur asia. Oleh kerana kelewatan pengupayaan sistem muamalat Islam maka ramailah yang telah menceburkan diri dalam sistem kewangan yang jelas haram dan meragukan itu. Akibatnya timbul masalah bagaimana untuk menguruskan sumber haram yang telah bercampur dengan modal yang
patuh kepada syarak apabila ianya dipindahkan kepada perbankan Islam. Atau bagaimana untuk melupuskan wang peninggalan pusaka simati yang memang jelas berunsurkan riba atau haram sedangkan ia tidak boleh dibahagikan sebagai harta pusaka?.

4. Masih ramai lagi yang kurang sedar tentang penggunaan wang haram dalam kehidupan mereka sehari-hari, ada yang sedar tetapi mengambil ringan tentang penggunaannya, malah ada yang beranggapan ia adalah lebih baik dibiarkan di dalam akaun tanpa diusik. Tindakan sewajarnya tidak
diambil oleh orang kebanyakan lantaran tiada kaedah yang jelas kemana harus dibuang wang haram ini. Wang haram atau syubhah tidak boleh dimakan seperti faedah bank yang jelas atau wang yang sumbernya diragukan statusnya, kerana jika dimakan maka ia akan memakan secara haram begitu juga untuk membeli pakaian, rumah atau memenuhi keperluan seorang Islam atau yang bukan Islam. Tidak mungkin ada tempat untuk membelanjakan wang haram. Terdapat beberapa fatwa dari negara teluk yang membolehkan penggunaan wang faedah untuk membina tempat basuhan atau sesuatu yang berkait dengan penyucian. Walaubagaimanapun kaedah ini masih memberi faedah kepada individu. Pendapat ini tidak dipersetujui oleh Dr Yusof Qardawi kerana kegunaan hasil dari wang haram tidak boleh memberi munafaat kepada diri dan keluarga melainkan ia seorang fakir atau ia seorang tebusan yang selayaknya menerima zakat.

5. Namun untuk meninggalkan wang-wang haram ini agar digunakan semula oleh pihak bank konvensional tidak lain hanyalah dapat memperkuatkan insititusi ribawi dan membantunya memperkuatkan ekonomi dan meneruskan kesalahannya, maka ini yang dimaksudkan dengan membantu dalam perkara maksiat. Oleh yang demikian perbuatan mengekalkan wang ribawi di dalam bank ini adalah haram.

6. Dr Yusof Qardawi berpendapat wang sebegini boleh digunakan untuk faedah umum demi kebaikan seperti disumbangkan kepada fakir miskin, anak yatim, musafir, jihad pada jalan Allah, memperluaskan dakwah Islam, membina masjid dan pusat-pusat Islam, menambah dana pertolongan, mencetak kitab Islam dan perbagai bentuk kebaikan. Namun pendapat beliau telah dibahaskan oleh ulamak semasa, antara hujah penghalang kepada penggunaan wang ini, bagaimana hendak memberi makan kepada orang miskin hasil dari sesuatu yang haram dan bagaimana orang miskin rela untuk diberi makan sesuatu yang umat Islam tidak rela untuk makan?

7. Hakikatnya harta ini adalah haram dinisbahkan kepada mereka yang memperolehinya secara tidak betul, akan tetapi untuk dinisbahkan kepada fakir miskin ia adalah tujuan yang baik dan dapat
menyempurnakan hajat mereka. Kembali kepada persoalan perolehan sesuatu harta haram, ia sememangnya haram daripada segi cara memperolehinya namun ia bukanlah haram dari segi material tetapi ia tetap haram keatas orang yang mendapatkannya.

8. Akhirnya wang yang tidak patuh syarak ini meninggalkan empat kaedah pelupusan mengikut rasional yang ada. Pertamanya, diambil dan diguna manfaat harta haram tersebut untuk diri dan keluarganya. Ini tidak dibolehkan. Yang kedua, meninggalkan wang haram tersebut di dalam bank, ini juga tidak dibolehkan sepertimana hujah diatas. Ketiga, menghilangkan wang tersebut dengan cara memusnahkannya, ini adalah pendapat sebahagian ulamak salaf yang warak, namun ia ditentang oleh Imam Ghazali didalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ dimana beliau melarang membinasakan harta. Keempat, mengubah harta tersebut kepada kegunaan yang baik seperti kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang yang dalam perjalanan, yayasan kebajikan Islam, dakwah dan kemasyarakatan dan ini adalah pendapat yang terbaik.

9. Sayugia diingatkan bahawa kaedah pelupusan yang keempat tidak dikira sebagai sedekah walaupun ia yang terbaik, kerana ‘Allah SWT adalah suci sifatnya dan tidak menerima sesuatu melainkan dengan kesucian’. Pengubahan wang haram ini hanyalah satu cara pelupusan atau menghilangkan sifat haramnya sahaja, bukan bermaksud satu pemberian atau sedekah yang syarie, ia tidak lebih hanyalah satu proses untuk menyampaikan kebajikan. Ini bersesuaian dengan gesaan Allah SWT untuk melakukan kebajikan di dalam surah Al-Maidah yang bermaksud: “..hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya). [Al: Maidah: 2]. Dalil ini juga menjurus kepada larangan menolong melakukan dosa sepertimana meninggalkan wang syubhah atau haram di dalam bank dan akhirnya akan digunakan semula oleh pihak bank untuk tujuan maksiat kepada Allah.

10. Meskipun pelupusan wang haram harus dilakukan mengikut kaedah diatas namun ini tidak menghentikan tohmahan penggunaan wang tersebut. Ini disebakan nas pengharaman riba dan harta yang tidak halal lebih jelas dan ditekankan pada kebanyakan ayat berkaitan muamalat di dalam Al-Quran mahupun di dalam Hadis manakala pengharusannya tidak didatangkan secara langsung, oleh yang demikian Dr. Yusuf Qardawi di dalam kitabnya Fatawa Muasarah Jilid 2, cetakan Darul Wafa’ Mansurah (1993) muka surat 416 mendatangkan dalil keharusan ini, antaranya: Peristiwa sewaktu Rasul SAW menyuruh sedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Dimaklumkan kepada Rasul SAW bahawa kambing tersebut adalah dari sumber yang haram (diambil tanpa pengetahuan tuan punya kambing), lalu Rasul menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.

11. Dalam satu peristiwa lain, apabila diturunkan surah Al-Ruum (orang-orang Rom) ayat yang bermaksud “Orang-orang Rom telah dikalahkan, Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya” [Al-Ruum: 2-3]. Tentera Rom telah dikalahkan oleh tentera Parsi. Peristiwa ini menyebabkan kaum mushrik di Mekah bergembira. Sebaliknya orang-orang Islam berdukacita, kerana orang-orang Rom ialah Ahli Kitab sedang orang-orang Parsi ialah orang Majusi (penyembah api). Maka turunlah ayat diatas, Mushrikin yang mendengar ayat tersebut menafikannya, seterusnya menghujahkan bahawa mustahil Rom dapat mengalahkan Parsi.
Lalu Abu Bakar membuat pertaruhan ke atas kemenangan Rom dengan izin Rasul SAW. Selepas 9 tahun kemudian Rom kembali mengalahkan Parsi dalam peperangan, maka Abu Bakar memenangi pertaruhan dan bertemu dengan Rasul SAW bersama hasil taruhannya dengan Mushrikin, Rasul SAW mengatakan “Ini adalah harta yang diperolehi dengan jalan yang haram” maka Abu Bakar sedekahkan taruhan tersebut kepada umat Islam. Maka turunlah pengharaman memakan hasil taruhan selepas Rasul membenarkan Abu Bakar bertaruh dengan orang Mushrikin.

12. Dalil lain berdasarkan jawapan Al-Hasan mengenai taubat ‘Al-Ghal” iaitu seseorang yang mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagikan, maka dijawab hendaklah ia disedekahkan. Qias pula menyatakan sekiranya harta yang dimiliki dari sumber yang haram, tidak dapat diputusan samada memusnahkannya atau mengubahnya kepada kebajikan, dalam keadaan pemiliknya mahu menuntut harta tersebut, pada masa yang sama diketahui mengubahnya kepada kebajikan adalah lebih utama dari mencampakkannya ke dalam laut, sekiranya dicampakkan ke dalam laut maka hilanglah harta itu dari umat Islam dan dari pemiliknya dan tidak terhasil sebarang faedah dari perbuatan tersebut akan tetapi sekiranya diberikan kepada tangan fakir dan di doakan oleh fakir akan pemiliknya maka berhasillah berkat buat pemilik tersebut dan sempurnalah keperluan orang fakir. Terhasillah kebaikan bagi pemilik walau bukan pilihannnya untuk bersedekah kerana dalam sebuah khabar sahih “Sesungguhnya bagi peladang dan penanam satu pahala baginya untuk setiap hasil yang dimakan manusia atau burung”.

13. Bagi orang yang mengatakan tidak boleh bersedekah melainkan dari hasil yang baik, yang demikian itu apabila dimaksudkan pahala bagi diri orang yang bersedekah, perbincangan sekarang adalah mengenai cara melupuskan wang yang telah diperolehi secara haram bukan untuk memperolehi pahala, pilihan yang ada samada untuk memusnahkan atau mensedekahkan, maka dalam perkara ini wajar didahulukan pendapat bersedekah daripada memusnahkan harta tersebut. Jika keadaan pemilik harta haram itu sendiri dalam keadaan fakir dan tiada apa yang boleh diberikan untuk menyara keluarganya, maka pada masa itu penggunaan faedah harta haram tidak terhalang langsung kepadanya kerana fakir adalah orang yang diutamakan untuk menerima manfaat sedekah. Walaubagaimanapun dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhat ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, akan tetapi tetap mendapat pahala dari dua sudut yang lain, pertamanya, ia beroleh pahala kerana berusaha melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dalam apa jua keadaan, ini adalah pahala dari sisi Allah SWT. Keduanya, sumbangannya adalah mekanisma kebajikan yang menyampaikan harta kepada orang fakir serta pertubuhan Islam yang mengambil faedah dari sedekah itu dan inilah pahala atas usahanya dengan izin Allah.

14. Menyedari himpunan wang tidak patuh syariah semakin banyak hasil dari keinsafan diri dan syiar Islam yang semakin pesat maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 memutuskan fatwa berikut: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".

15. Berdasarkan alternatif yang tinggal melalui sokongan oleh fatwakontemporari samada bersifat kebangsaan dan antarabangsa maka MAIS diberi kuasa selaku badan yang boleh menerima wang haram atau syubhat untuk digunakan semula oleh umat Islam. Restu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dizahirkan semasa titah ucapan Baginda di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 tahun 2009 pada 10 Mac 2009 yang lalu. Usaha penyaluran wang haram atau syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal MAIS juga mendapat sokongan dan bantuan dari kerajaan negeri. Terdahulu dari itu keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS). Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 20 November 2008.

16. Oleh yang demikian tiada lagi alasan untuk tidak mengetahui dimana harus dileburkan harta yang sudah pasti haram atau syubhah bagi umat Islam masakini. Perbuatan tidak mengambil endah dikalangan penyimpan wang haram atau syubhah boleh menghilangkan keberkatan hidup di dunia dan akan menerima azab di hari akhirat atas penggunaannya setelah datang maklumat cara pelupusannya yang sesuai.

Subject to
Majalah MAIS
Abu Razeen Jan 2010

post - ada juga artikel yang tepat menjawab persoalan isu wang haram ini, InsyaAllah saya akan copypastekan selepas ini dan saya akan creditkan pada penulis asal. Mungkin ini boleh merungkai masalah berkenaan wang haram ini.

Monday, April 27, 2009

Kingdom Of Heaven Versi Seksyen 5 Shah Alam a.k.a tragedi palestin

Tragedi Palestin
Oleh Abu Razeen



Sekian lama menguliti buku undang-undang dan fail-fail kes bicara, sudah sampai masanya untuk menjenguk saudara seakidah yang kini kurang bernasib baik berbanding kita. Mengenangkan nasib negara kita diancam krisis ekonomi, adalah jauh berlipat kali ganda bernasib baik daripada bangsa Arab yang tinggal di Palestin, yang diancam jiwa dan raganya. Kalau disini kenaikan harga petrol atau kepimpinan politik menjadi topik utama, persoalan disana berkisar adakah esok aku mampu untuk melihat dunia. Begitulah Palestin yang sinonim namanya dekat dihati dan jauh dimata.

Apabila disebut Palestin pasti tidak dapat tidak kita menyentuh tentang konflik Arab dan Israel. Oleh kerana kelompok majoriti bangsa Arab di Palestin adalah beragama Islam manakala Israel majoritinya adalah berbangsa dan beragama Yahudi maka, lebih tepat sekiranya disimpulkan konflik ini lebih menjurus kepada pertembungan keagamaan. Walaupun diwar-warkan ini peperangan diantara dua kelompok bangsa yang merebut sebidang kawasan yang disebut tanahair tetapi hakikatnya ia adalah sesuatu ancaman perang antara dogma samawi. Peperangan di Palestin tidak boleh disamakan dengan kempen holocaust Nazi di Eropah yang telah dicanang dan ditambah serba serbinya oleh media berbau zionis, tidak juga Ku Klux Klan yang memburu Yahudi sebelum Nigers di Amerika Syarikat, kerana di Eropah kini perancang ekonominya adalah saudagar Yahudi, manakala di Amerika Syarikat kini perancang politiknya adalah intelektual Yahudi. Yahudi telah berjaya menyusupi musuh-musuhnya dengan menjaja simpati tragedi holocaust dan tuduhan anti semitik dimana akhirnya tiada kata-kata nista boleh menghentikan kekejaman zionis di bumi Palestin melainkan ia berkubur di meja persidangan PBB.

Sesungguhnya kaum Yahudi yang direkod sebagai Bani Israel di dalam Al-Quran, telahpun dikisahkan kepada Umat Nabi Muhammad SAW sebagai pengajaran dan amaran oleh Allah SWT, antara firmanNya: “Sesungguhnya kami telah mengambil perjanjian dari Bani Israil dan telah kami utus kepada mereka para rasul. Tetapi setiap datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka (maka) sebahagian dari para rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh” [Al-Maaidah:70] Ternyata tidak cukup kejahatan dengan mendustakan rasul yang diutus kepada mereka, sifat ekstrimis Yahudi mencapai tahap membunuh rasul, sekiranya manusia seistimewa rasul menerima layanan sedemikian maka apatah lagi bangsa Arab yang bagi mereka tidak lain hanyalah seorang ‘goyiem’ yang boleh dibunuh sesuka hati.

Sekiranya membunuh rasul pekerjaan Yahudi, mendustakan ayat Allah juga amalan mereka, firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al-Kitab dengan tangan mereka sendiri,lalu dikatakannya “ini dari Allah”, dengan maksud untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri dan kecelakaan besarlah bagi mereka akibat dari apa yang mereka kerjakan” [Al-Baqarah: 79] Pendustaan Al-Kitab yang diturunkan kepada mereka dibuktikan sehingga golongan sarjana pengajian perbandingan agama yang terdiri dari orang-orang Yahudi dan selainnya telah bersepakat bahawa kitab perjanjian lama atau Taurat sekarang bukanlah sebuah kitab yang asal dan tulen seperti yang pernah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Pun begitu walau kepalsuannya diakui tetapi mereka begitu berpegang kepada Taurat dan ajarannya kerana dicatat di dalamnya “Sesungguhnya kamu adalah bangsa yang suci bagi tuhan kami dan kami dipilih oleh tuhan untuk menjadi umat yang khusus di kalangan semua bangsa dimuka bumi” [Safar Pengulangan 7/16]. Oleh itu mereka berbangga menjadi sebagai “Bangsa Allah yang terpilih” manakala bangsa lain hanya diciptakan untuk berkhidmat kepada mereka. Oleh itu sekiranya diperhatikan, bangsa Yahudi suka hidup berasingan dan ini merupakan satu tradisi dan kebanggaan bagi mereka. Selain daripada kitab Taurat yang dipalsukan mereka juga beriman dengan kitab bernama Talmud.



Bagi mengenali ketuanan bumi Palestin sepertimana yang didakwa oleh bangsa-bangsa yang merebutnya, terlebih dahulu diselusuri sejarah bangsa terawal di muka bumi Palestin, Pada tahun 2500 sebelum Masehi, sebuah kabilah bernama Kan’an telah meninggalkan Semenanjung Arab kerana kemarau yang panjang dan menuju ke barat sungai Jordan serta menetap di pesisiran sungai tersebut. ‘Kan’an’ mengambil nama salah satu dari lapan jenis bangsa yang lahir daripada keturunan Saam bin Nuh setelah banjir besar melanda bumi. Sebuah kabilah yang datang daripada kepulauan Creat di lautan Mediterranean bergelar Palestin telah berhijrah ke bumi Kan’an dan menetap disatu kawasan yang bernama Yafa dan Ghaza. Sekitar tahun 1200 sebelum Masehi telah berlaku perkahwinan campur di antara kabilah Palestin dengan orang-orang Kan’an yang berketurunan Arab dan akhirnya mereka dikenali dengan orang Palestin dan tempat tinggal mereka dikenali sebagai tanah Palestin.



Sebelum ke Palestin, Bani Israel telah berhijrah dari Babylon atau Iraq ke Syria pada sekitar tahun 1750 sebelum Masehi sebagai pengikut Nabi Ibrahim AS. Asal keturunan mereka adalah dari isteri Nabi Ibrahim yang bernama Sarah, dilahirkan anak yang bernama Ishak. Daripada Ishak lahir Yaakub yang digelar sebagai Israel. Beliau mempunyai 12 orang anak yang akhirnya membentuk 12 kabilah Bani Israel. Semasa penghijrahan Bani Israel, mereka didapati mempunyai ciri-ciri berbeza dengan membentuk tabiat mengasingkan diri antara kabilah lain, pengasingan ini adalah akibat daripada perbezaan akidah nabi Ibrahim dan kabilah lain yang menyembah berhala. Penghijrahan juga mengakibatkan perbezaan pemikiran apabila Bani Israel hidup berpindah randah dan tidak bertamadun manakala kabilah lain hidup menetap dan mempunyai ilmu pengetahuan dan ketamadunan. Sikap mengasingkan diri akhirnya membentuk sikap perasaan tidak senang dan curiga terhadap bangsa lain. Maka sehingga ke hari ini mereka sentiasa merancang untuk mengatasi bangsa-bangsa lain supaya mereka memperolehi ketenangan jiwa. Antara perancangan jahat mereka ialah ajaran Marxis, Darwin dan lain-lain.

Salah seorang anak Yaakub adalah Yusuf yang mempunyai sejarah bersama Haxsos pemerintah di bumi Mesir sehingga Bani Israel mendapat layanan yang istimewa. Keistimewaan ini hilang setelah Haxsos dijatuhkan oleh Ahmash yang keturunannya memakai gelaran Firaun. Penindasan ke atas Bani Israel sampai kekemuncak apabila Ramses II memerintahkan semua anak lelaki Bani Israel dibunuh dan ketika itu lahirlah Nabi Musa yang berketurunan Bani Israel dan dibesarkan di istana Ramses II sendiri. Atas sebab tertentu permusuhan Ramsis II dinyatakan dengan pengusiran Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel sehingga ke Sinai. Disini terjadinya peristiwa penyembahan patung lembu oleh Bani Israel sehingga menyebabkan Nabi Musa murka. Bani Israel tidak berpuashati dengan kesukaran hidup di situ lalu Nabi Musa membawa kaumnya ke Palestin yang telahpun didiami oleh orang-orang Kan’an iaitu penduduk Palestin. Tetapi oleh kerana Bani Israel enggan untuk memerangi orang-orang Kan’an akibat telah lama hidup dalam kesenangan dan takut berperang maka mereka disesatkan oleh Allah di padang bernama Tieh selama 40 tahun. Setelah Nabi Musa wafat maka Yusha’ bin Nun memimpin Bani Israel, mereka akhirnya berjaya memasuki Palestin.

Bani Israel mendirikan kerajaan di Palestin selama 500 tahun. Mereka tidak pernah aman damai melainkan di zaman pemerintahan Nabi Daud dan awal pemerintahan Nabi Sulaiman selama 50 tahun. Setelah pemerintahan Nabi Sulaiman, Bani Israel berpecah dua sehingga ditawan oleh Maharaja Babylon bernama Bakhtanshar dan pada tahun 586 sebelum Masehi beliau menghalau semua Bani Israel keluar dari Palestin. Semasa Palestin ditakluk oleh Raja Parsi pada tahun 538 sebelum Masehi Bani Israel dibenarkan pulang sehinggalah Palestin jatuh ke tangan Rom. Akibat pemberontakan terhadap pemerintahan Rom maka Bani Israel telah dihukum dengan dimusnahkan kediaman dan mereka diusir dari Palestin. Pada waktu tersebut lahirlah seruan Nabi Isa untuk mengajak Bani Israil ke jalan yang benar tetapi seruan tersebut ditolak.

Pada 135 Masehi, Bani Israel sekali lagi memberontak, kerajaan Rom telah membunuh sesiapa sahaja dari kalangan Bani Israel. Mereka yang terselamat telah lari keserata dunia dan bumi Palestin sunyi dari Bani Israel. Seterusnya Palestin ditadbir oleh kerajaan Rom yang mulanya beragama Pagan dan kemudiannya beragama Kristian. Sehingga saat kerasulan Nabi Muhammad SAW, Islam menjadikan Palestin sebagai salah satu tempat yang mulia. Kerana wujudnya Baitul Maqdis yang terletak di tengah-tengah bumi Palestin. Perkara ini diisyaratkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Janganlah kalian bersusah payah membuat persiapan kecuali jika hendak pergi ke tiga buah masjid: Masijidil Haram, Masjidil Aqsa dan masjidku ini (Masjid Nabawi)” [Bukhari dan Muslim].

Rasul SAW sendiri pernah ke Palestin sebanyak 3 kali, pertamanya sewaktu berumur 9 tahun bersama Abu Talib ketika berdagang di Syam, kali kedua ketika baginda membawa barang dagangan Khadijah dalam usia 25 tahun dan kali ketiga ialah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Sejak zaman Baginda lagi, para sahabat berjuang untuk membuka kota Baitul Maqdis bermula dengan peperangan Khaibar (7H), Mu’tah (8H), pengutusan Usamah bin Zaid (11H), Ajnadain (13H) dan Yarmuk (15H) bersamaan 636 Masehi. Kemenangan di Yarmuk membolehkan tentera Islam mengepung Baitul Maqdis selama beberapa bulan sehinggalah orang Kristian di Baitul Maqdis menyerahkan kunci kota kepada Saidina Umar. Ketika pembukaan Baitul Maqdis tiada seorang pun berketurunan Yahudi berada di kota tersebut.

Diantara syarat penyerahan kota suci ke tangan orang Islam dalam perjanjian yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Umariah’, orang Kristian menyatakan:“…gereja mereka tidak boleh dirobohkan dan mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam, tidak dibenarkan seorang pun orang Yahudi mendiami kota suci ini” kerana mereka tahu bahawa kaum Yahudi sangat buruk akhlak dan suka melakukan kekacauan dimana mereka tinggal. Saidina Umar telah memegang amanah ini. Malangnya pada tahun 492H tentera Salib telah membalas dendam dengan bertindak melampau membunuh 70,000 orang Islam di dalam Masjidil Aqsa.

Pada tahun 583H tentera Islam sekali lagi mengepung Kota Baitul Maqdis dibawah kepimpinan Salahuddin Al-Ayubi dan dibuka buat kedua kalinya, keadilan Islam mengatasi sifat dendam terhadap kezaliman yang dilakukan oleh tentera Salib disepanjang 91 tahun pemerintahan Kristian disitu, kesemuanya dilepaskan dengan hanya dikenakan denda 10 dinar lelaki, perempuan 5 dinar dan kanak-kanak 2 dinar. Seterusnya kekhalifahan Islam diwarisi oleh empayar Othmaniah pada masa yang sama Yahudi tidak pernah duduk diam untuk mendapatkan kembali Baitul Maqdis dari penguasa Islam.

Berpunca daripada ‘tanah yang dijanjikan’ dalam kitab Taurat, seorang wartawan Yahudi bernama Theodore Herzl telah menerbitkan buku bertajuk “Negara Yahudi’ sebagai teori pembentukan negara berasaskan agama dan bangsa Yahudi di Palestin. Dengan restu persidangan Yahudi yang membentuk Protokol Zionis pada tahun 1901, Herzl beserta dana terkumpul telah bertemu Sultan Abdul Hamid untuk membeli tanah kosong Palestin. Sungguhpun kerajaan Othmaniah berada dihujung kegemilangannya Sultan Abdul Hamid menjawab: “Sekiranya kamu membayar kepada saya dengan seluruh emas yang ada di atas muka bumi ini sekalipun, saya tidak akan benarkan kamu mengambil bumi Palestin”.


Pada September 1923, British dengan resolusi PBB telah menjajah Palestin dan mengimport bangsa Yahudi secara besar-besaran diikuti dengan tumbangnya Khilafiah Othmaniah pembela umat Islam dimuka bumi. Bermula saat itu gerbang jihad telah dibuka dan muncul seorang demi seorang mujahid Islam menagih syahid di bumi Palestin. Yahudi yang berhijrah ibarat parasit yang menggila di bumi Palestin, tidak cukup dengan menduduki tanah orang Arab di Palestin mereka membunuh penduduk Arab samada secara individu mahupun secara beramai-ramai sesuka hati. Tidak cukup di bumi Palestin, entiti Yahudi dengan restu kuasa barat menduga kesatuan Arab dengan menyerang negara-negara di sempadan Palestin.



Sehari selepas British dan Amerika mengisytiharkan penubuhan Negara Israel, pada 15.5.1948 Negara Arab seperti Jordan, Mesir, Iraq, Syria dan Lubnan menghantar tentera ke Palestin untuk memerangi penjajah Yahudi. Mujahid ternama termasuklah Imam Hassan Al-Banna, As Syahid Izzuddin Al Qassam, Abdul Qader Audah, Yusuf Tala’at, Mustafa As-Siba’iy, Dr Abdullah Azzam dan ramai lagi mujahidin telah berjuang memerangi Yahudi, ada yang gugur di medan perang dan ada yang gugur sekembalinya ke negara masing-masing. Pada 29.10.1956 Israel bergabung dengan Britain dan Perancis menyerang Mesir untuk menguasai Terusan Suez. Peperangan ini turut disertai pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar. Seramai 65 orang ahli Persekutuan Melayu Mesir yang kemudiannya dikenali sebagai PMRAM telah diberi kebenaran oleh Presiden Mesir Jamal Abdul Nasir untuk berjihad menentang pakatan tentera musuh. Sukarelawan Melayu ini diberikan latihan ketenteraan dalam waktu yang singkat dan kemudiannya diserapkan dalam pasukan Pertahanan Awam (Difa’ Madani). Mereka telah berjuang sehingga ke perbatasan Suez. Pelajar lainnya menderma darah dan golongan siswi memberi khidmat menjahit pakaian tentera.

Sehingga ke hari ini semangat juang penduduk Arab Palestin tidak pernah padam biarpun gugurnya shahid-shahid mereka, malah generasi baru yang menyaksikan kekejaman rejim zionis pasti tidak memaafkan kezaliman Yahudi walau sesaat dalam hidup mereka. Pelbagai kesatuan Arab Palestin diwujudkan untuk berjuang diatas dasar masing-masing antaranya penubuhan Hamas pada 1987 telah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan dan menolak fahaman kebangsaan. Hamas yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad Yassin menjadi pilihan pejuang muda untuk berjihad, disamping itu gerakan PLO dengan dasar kebangsaan dan sekular diasaskan oleh Yasser Arafat, begitu juga Fatah, Jihad Islami, As-Sya’biyyah dan Ad-Dimoqratiyah.



Penentangan oleh pejuang Palestin menggunakan segala yang termampu, dari serpihan batu dijalanan, roket Al-Qassam, AK-17 sehingga ke ‘Amaliayah Istisyhadiyyah’ atau pengebom berani mati. Amalan pengebom berani mati benar-benar menggugat keamanan penduduk Israel kerana impaknya yang benar-benar berkesan. Ketakutan Israel diterjemahkan oleh pihak barat dengan menyamakannya dengan ‘kamikaze’, malang sekali ada juga orang Islam yang menyifatkan pengebom berani mati sebagai perbuatan yang sia-sia dan bunuh diri. Realitinya umat Islam Palestin tidak upaya untuk melawan disebabkan kekurangan kekuatan persenjataan. Sempadan yang dikawal rapi menjadikan pejuang tiada pilihan lain untuk melawan. Keharusan amalan ini telah mendapat restu dari majoriti ulama’ dan sarjana Islam, antaranya Dr Muhammad Sayid Tantawi seorang Sheikhul Azhar menyatakan: “Sesungguhnya perbuatan seorang muslim meletupkan dirinya dihadapan musush yang memerangi mereka adalah merupakan sejenis mati syahid.”

Tragedi Palestin di Asia Barat mencetus apa yang disebut rantaian keganasan hampir keseluruh dunia. Pihak Barat dengan mudah melabelkan umat Islam sebagai pengganas sesuka hatinya walaupun rejim zionis sokongannya mengganas disaksikan dunia. Masalah keganasan atau ‘terroris’ tidak akan selesai selagi mana PBB tidak mengatasi masalah pengganas Yahudi di bumi Palestin. Kegagalan PBB untuk mentakrifkan istilah keganasan memakan diri kuasa barat apabila lahirnya bangsa yang berjuang dan berdendam diatas ketidakadilan dan kekejaman yang dibenarkan, semuanya atas nama hak bernegara yang dicipta bangsa Yahudi secara jahat dan licik.

Tidaklah Allah SWT menjadikan tragedi Palestin semata-mata untuk ditonton oleh umat Islam lain atau memberi peluang untuk kita berbakti sesama Islam tetapi ianya adalah pengajaran yang mesti diambil iktibar dan tindakan. Sebagai muhasabah diri, kini bilangan umat Islam melebihi 1.3 bilion diseluruh dunia, keluasan negara umat Islam melebihi ¼ keluasan dunia, umat Islam memiliki 75% petrol dunia, 25% gas asli dan 45% uranium dan pada tahun 2002 dianggarkan wang rakyat Arab Saudi yang disimpan di Amerika diantara 400 hingga 800 bilion dolar malah simpanan duit bangsa Arab pernah dijangka berkembang sehingga seribu billion. Umat Islam telah memiliki segalanya, tetapi mengapa masih belum berjaya berhadapan dengan musuh Islam?, tepuk dada tanyalah iman.

Published
MAIS #14
April 2009

Thursday, December 25, 2008

MURTAD DARI SEGI PERUNDANGAN ISLAM



ABSTRAK
Dengan penguatkuasaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No 1 Tahun 2003, maka jelaslah diantara bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah ‘pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam’. Penambahan ini dibuat berdasarkan penyeragaman undang-undang syariah di semua negeri di dalam Malaysia. Sehubungan dengan itu persoalan akidah di Malaysia telah menempuh satu episod baru, apabila diwartakan Enakmen tersebut terdapat beberapa permohonan keluar Islam dibuat di kaunter Mahkamah Syariah. Pendedahan kepada umat Islam tentang wujudnya pemohon-pemohon yang mendaftarkan permohonan keluar Islam, mewujudkan polemik yang berbeza diantara satu sama lain. Apakah peruntukan tersebut dapat mempertahankan kesucian Islam atau sebaliknya. Bukankah antara peranan peruntukan itu adalah untuk menjelaskan perbezaan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, namun kenapa masih ada konflik diantara kedua-dua Institusi perundangan tersebut. Kertas kerja ini akan membincangkan peruntukan undang-undang berkaitan murtad yang ada di Malaysia, seterusnya mengkaji kelemahan dan kelebihan yang mesti diambil manfaat oleh pihak terlibat bagi menangani isu murtad samada dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri. Sungguhpun peranan Mahkamah adalah untuk melaksanakan pengadilan kepada semua pihak yang terlibat, namun persoalan murtad tidak boleh disamakan dengan kes-kes kekeluargaan atau jenayah syariah yang dibicarakan seharian. Jestru kerjasama semua pihak amatlah penting bagi menyelesaikan masalah ini secara harmoni dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

MUQADDIMAH
Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahlu yang bermaksud:
" Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.”.[ An-Nahlu:106]

Manakala Sabda Rasul SAW dipetik:
" لا يحل دم امرئ مسلم يشهد أن لا إله إلا الله، وأني رسول الله إلا بإحدى ثلاث: النفس بالنفس، والثيب الزاني، والتارك لدينه، المفارق للجماعة" (رواه الجماعة)
"Tidak halal darah Muslim yang bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan Aku sebagai Rasulullah kecuali ia melakukan mana-mana salah satu dari tiga perkara iaitu membunuh nyawa, janda yang berzina yang (penzina muhson) dan orang memisahkan dirinya dari agamanya lalu meninggalkan jemaah" [Bukhari, Muslim,Abu Daud,Tirmizi, Ahmad, Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain]

Sekiranya diteliti kitab-kitab muktabar, terdapat beberapa hukuman dan rutin yang diamalkan oleh para Sahabat yang kemudiannya dibahaskan oleh Fuqaha’ dari kalangan Tabein sehinggalah ke Ulama’ masakini. Terdapat beberapa kesimpulan berkenaan hukuman yang dijatuhkan ke atas pelaku murtad selain dari kemurkaan dan azab dari Allah SWT dan dibunuh seperti hadis diatas. Hukuman-hukuman tersebut didatangkan dalam bentuk umum, sepertimana yang disepakati oleh Jumhur yaitu dibunuh, cuma persoalan menyuruh bertaubat atau tidak, tempoh masa kurungan untuk bertaubat, beza hukuman diantara lelaki dan perempuan, samada diiklankan atau tidak kemurtadannya, mendatangkan mudarat kepada Islam atau tidak dan lain-lain furu’ dibahaskan mengikut pendapat aliran fahaman dan mazhab masing-masing.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang meletakkan demokrasi berparlimen sebagai asas perlembagaannya, isu murtad boleh dianggap sebagai ‘taboo’ atau isu yang harus ditangani dengan berhati-hati. Walaupun umum bebas memperkatakan pendapat masing-masing, pihak kerajaan dan agensi agama mestilah berperanan dengan penuh kebijaksanaan dalam memutuskan isu ini mengikut bidangkuasa masing-masing.

ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Sebelum meneliti enakmen perundangan Syariah negeri-negeri sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Senarai 2 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, sewajarnya kita melihat perundangan Malaysia mengikut kerangka Perlembagaan yang lebih besar dan utama. Perkara 3(1) yang terkandung dalam bahagian 1 Perlembagaan Persekutuan telah memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Fasal 1 menyatakan:
“Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Memberi makna perkara utama yang menjadi intipati Perkara 3 adalah entiti Islam yang sepatutnya menjadi pegangan untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan dalam mana-mana peruntukan. Penafsiran Perlembagaan atau undang-undang yang terbit daripadanya tidak sepatutnya dilakukan dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip atau falsafah dan pegangan luar sepertimana diamalkan sebelum dan selepas kemerdekaan.

Malangnya ada pihak yang membuat kesimpulan bahawa Perkara 3(1) adalah terhad kepada ritual sahaja seperti memberi salam, berdoa dan bersongkok pada majlis-majlis rasmi, ada yang menyatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan lebih dari itu, ‘agama-agama lain bebas diamalkan’ adalah merupakan satu jaminan bahawa setiap individu rakyat Malaysia adalah bebas menganut agama yang dikehendakinya, dan ini adalah kebebasan bagi yang beragama Islam untuk menukar agamanya atau lebih mudah dikenali sebagai murtad.

HAK KEBEBASAN BERAGAMA
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama, walaubagaimanapun hak ini tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan seperti fasal (4) dan (5) Perkara 11 dan undang-undang lain yang berkuatkuasa. Perkara 11 antara lain menyatakan seperti berikut:
Fasal (1) “Tiap-tiap orang adalah berhak menanuti dan mengamalkan agamanya dan terkluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya”
Fasal (4) “Undang-Undang Negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang yang menganuti agama Islam”.
Fasal (5) “Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak”

Penggunaan Perkara 11 telah ditafsirkan dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam dan lain-lain. Dalam kes tersebut diputuskan bahawa kebebasan beragama dalam perkara 11 tidak bermaksud kebebasan memilih, menganut dan mengamal agama pilihan seseorang, perkara 11 hendaklah ditafsirkan bersama-sama perkara 3(1), 12(2), 74(2), 121(1A) dan 160(2), Keputusan keluar daripada Islam adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Perkara 160(2) bangsa Melayu ditakrifkan sebagai seorang yang menganut agama Islam.

Tun Ahmad Fairuz menyatakan “Apa yang jelas dalam perkara 11 itu ialah penggunaan perkataan-perkataan “…right to profess and practice his religion…” kata-kata ‘has the right’ itu terpakai kepada ‘profess’ dan juga ‘practice’ ….. Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semnua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, social, budaya, moral atau kehakiman. Dan jika diteliti perkara-perkara 11(1), 74(2) dan item 1 disenarai 2 dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan akan ketara bahawa Islam itu meliputi antara lainnya undang-undang Islam.”

Drafting session of Jabatan Peguam Negara menterjemahkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan perkataan ‘Freedom of Religion’ sebagai ‘kebebasan agama’, iaitu kebebasan untuk mengamalkan apa yang dikehendaki oleh agama yang dianutinya, sekiranya kebebasan agama bererti kebebasan memilih agama diantara agama lain, maka terjemahan yang betul sepatutnya kebebasan beragama. Maka terjemahan ‘kebebasan agama’ oleh Jabatan Pendaftaran Negara selaku pihak yang mempertahankan perlembagaan pada masa ini adalah mengikut kehendak penggubal itu sendiri.

Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, pihak berkuasa Agama Negeri Selangor telah bertindak proaktif dengan mewartakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Enakmen tersebut antara lainnya memperuntukkan kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Antaranya Seksyen 4 yang berbunyi:
“(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam--- (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau(c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. (2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali”.

Usaha ini dilihat sebagai inisiatif menghalang anasir-anasir yang cuba untuk menyebarkan dakwah atau memurtadkan orang Islam di Negeri Selangor, malangnya undang-undang ini terhad kepada Mahkamah Sivil kerana tindakannya akan membabitkan orang yang bukan beragama Islam dan lain-lain permasalahan perlembagaan. Sehingga kini tiada kes yang didakwa ke Mahkamah atas Enakmen ini dilaporkan dalam mana-mana Jurnal.

Sekiranya diteliti, terdapat banyak ruang yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran-tafsiran serta keputusan Mahkamah Sivil kepada Mahkamah Syariah untuk menguruskan perihal masalah murtad. Titik selesa kepada Mahkamah Syariah bermula 10 Jun 1988 apabila pindaan dibuat kepada Perkara 121 dengan penambahan artikel (1A). Perkara 121(1A) diulas oleh Tun Ahmad Fairuz di dalam kes Lina Joy:
“Kes Soon Singh ketara menunjukkan bahawa hal murtad adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Item 1, Senarai 2, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ‘Islamic Law’ adalah salah satu daripada ‘matters’ yang terdapat dalam item 1 dan apabila dibaca pula berlatarbelakangkan kes Dalip Kaur, maka amat ketara sekali bahawa sesungguhnya perkara murtad itu adalah perkara yang berhubungkait dengan undang-undang Islam dan nyatalah oleh itu ianya adalah di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kerana perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, maka mahkamah-mahkamah sivil tidak boleh campur tangan dalam hal itu”.

PERUNDANGAN SYARAK
Jika diteliti, murtad mungkin boleh dianggap kurang diberi perhatian sekiranya dirujuk kepada kuasa substantif perundangan syarak Negeri Selangor, berbanding perkara nikah cerai orang Islam yang diperincikan mengikut seksyen yang jelas. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 tahun 2003. Seksyen 61(3)(b)(x)memperuntukkan:
“Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.;”

Sebelum ditakninkan dalam enakmen pada tahun 2003, tiada peruntukan khusus kepada Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi orang Islam (dibaca ‘murtad’). Biarpun perlakuan ini adalah sebesar-besar dosa kepada Allah SWT, namun tidak diterangkan apakah hukuman yang patut dikenakan kepada pelakunya, mungkin kesalahan yang paling hampir dari segi kesan adalah Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan. Contoh kesalahan ini lazim dilakukan apabila serbuan kedai makan disiang hari bulan Ramadhan, atau semasa serbuan kes tangkapan khalwat atau perlakuan tidak bermoral semata-mata untuk mengelakkan tindakan Penguatkuasa Agama dan Mahkamah Syariah, peruntukan tersebut menyebut:
“Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Namun penggunaannya tidak tepat dan jauh dari gambaran besar atau kecilnya kesalahan murtad ini, Ini adalah kerana firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Al-Baqarah: 217]

Manakala sebuah hadis Rasul SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA memberi maksud seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasul SAW telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat. Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

Meskipun hanya sedikit yang disentuh oleh undang-undang negeri yang boleh dikaitkan dengan murtad, setakat ini hanya Mahkamah Syariah Negeri Sembilan yang telah menggariskan undang-undang keluar dari Agama Islam secara sistematik. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) No.10 Tahun 2003, Seksyen 119 memperuntukkan:
“(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah. (2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah Subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.

(3) Suatu permohonan di bawah Subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu. (4) Setelah diterima permohonan di bawah Subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau (b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah. (6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut Subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu. (7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam Subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah Subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun. (9) Jika selepas perintah di bawah Subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka Subseksyen (5) dan (6) terpakai. (10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah Subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya. (11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:(a) pembubaran perkahwinan; (b) pembahagian harta sepencarian; (c) hak perwalian; (d) hak pusaka; dan (e) hadhanah.

Dengan adanya peruntukan tersebut, masalah murtad mungkin dapat dihalakan mengikut lorong-lorong prosedur dan kaedah syariah setakat yang diperuntukkan bidangkuasanya, tetapi untuk menjadi jalan penyelesaian terakhir atau ‘total solution’ bagi mengelakkan orang Islam keluar dari agama, ia masih boleh dibincangkan. Jika seseorang yang mengaku bukan Islam semata-mata untuk melepaskan diri dari hukuman boleh didenda RM5,000.00 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya, apakah untuk orang yang memang dengan niat dan kelakuannya memang mahu keluar Islam tiada sebarang hukuman yang patut dikenakan kepadanya?.

Peranan yang wajib dijalankan untuk mencegah murtad terdapat pada semua peringkat bermula dari ibu bapa, saudara-mara, pendidik, kawan-kawan, ahli qaryah sehinggalah kepada pemerintah. Dalam konteks pemerintah, secara jelas peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No 1. 2003, Seksyen 7 (1) menyebut secara umum: “Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis (Majlis Agama Islam Selangor) untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Selangor selaras dengan Hukum Syarak.”

Selain daripada perhatian kepada orang Islam secara tradisi, golongan muallaf sewajarnya mendapat perhatian khusus dalam masalah murtad, kerana bilangan pendaftaran permohonan Murtad diperingkat Negeri Selangor sahaja semuanya didominasi oleh golongan tersebut, oleh yang demikian ujian diperingkat awal memeluk Islam perlu disesuaikan bagi memastikan pengIslaman seseorang itu adalah berdasarkan suci hati, tanpa paksaan atau ganjaran. Apabila berlaku pendaftaran keluar Islam dari golongan ini maka pihak Mahkamah Syariah perlu menjalankan perbicaraan secara telus dan adil berdasarkan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Salah satu cara pembuktian yang lazim dibawakan adalah berdasarkan amalan selepas dari pengakuannya memeluk Islam dan keterangan saksi-saksi.

Kes terbaru yang membabitkan Muallaf adalah di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang apabila Siti Fatimah Tan binti Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Hung telah diputuskan bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004. Keputusan kes berdasarkan pembuktian keterangan bayyinah tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan, lantaran tiada Alasan Penghakiman rasmi yang dilaporkan malah dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang telahpun merayu dan kes ini sedang didengar oleh Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang. Seperkara yang wajib diambil iktibar dalam kes seperti Siti Fatimah, peranan susulan dan keberkesanan dakwah perlu diambil perhatian walau apapun dasar pemelukan Islamnya. Kerana sekali mengucapkan syahadah maka hanya Allah SWTlah yang akan menentukan kemana imannya. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang status orang yang mengucapkan syahadah dan dikira telah masuk Islam, walau untuk tujuan apa sekalipun syahadah tersebut diucapkan, sama ada untuk perkahwinan, perniagaan, atau sebab peperangan, maka mereka wajib mendapat pembelaan dan perlindungan. Penilaian ‘niat’ bukanlah menjadi syarat sah atau tidak keIslaman, walaupun faktor niat memang boleh dinilai dalam sah atau tidaknya ibadah seseorang, namun ia tidak terpakai di dalam kes ‘memeluk agama Islam’.

Berlainan dalam kes Nyonya binti Tahir yang berbangsa Melayu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah mengambil kira keterangan yang terdiri dari dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak Nyonya binti Tahir. Begitu juga dengan rekod laporan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986 serta Surat Akuan bertarikh 19 Julai 1991, diambil sebagai keterangan bertaraf qarinah dalam kes tersebut. Akhirnya Mahkamah membuat keputusan mengisytiharkan Nyonya binti Tahir bukan beragama Islam sewaktu kematiannya. Keputusan ini adalah berdasarkan peruntukan 61(3)(b)(xi) “pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;”. Sebagai makluman Nyonya binti Tahir telah dipelihara oleh neneknya yang berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya (Mualaf Cina) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal. Beliau berkahwin dengan lelaki Cina bernama Chiang Meng pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Mereka mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin beliau hidup secara Cina. Kes ini mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam menuntut supaya jenazah Nyonya binti Tahir dikebumikan menurut upacara Islam di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.

MELAYU MURTAD
Berdasarkan kes Nyonya Tahir, dakwah berterusan kepada bangsa Melayu yang turun temurun beragama Islam juga wajib diteruskan, seruan ini ada asasnya. Isu agama adalah persoalan jati diri dan pengenalan kebangsaan bagi bangsa Melayu. ‘Melayu’ menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai:
“Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”.

Jestru pengenalan seorang Melayu ialah beragama Islam dan hakikatnya perkara ini tidak boleh dipisahkan. Persoalan sekiranya dicabut ‘Islam’ daripada seorang ‘Melayu’, apakah bentuk dan panggilan bangsa pada orang itu, dan yang akan menimbulkan konflik, wajarkah sesuatu Mahkamah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi Melayu sekiranya ia selayaknya dikatakan keluar Islam?. Dalam kes Lina Joy atau Azalina binti Jailani, beliau berusaha untuk mendaftarkan pertukaran nama, menukar tulisan Islam dan diganti dengan kristian di dalam kad pengenalan serta diiktiraf perkahwinannya dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Lina Joy yang berbangsa Melayu keturunan Jawa berkahwin dengan seorang Kristian setelah mempraktikkan ajaran Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990. Beliau berusaha untuk mendaftar perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan kerana kad pengenalan beliau masih tertulis ‘beragama Islam’ walaupun beliau telah berjaya menukar nama dalam kad pengenalan kepada Lina Joy. Permohonannya untuk mengeluarkan perkataan tersebut tidak dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana tiada kebenaran daripada Mahkamah Syariah yang memperakui beliau telah keluar dari Agama Islam. Permohonan beliau bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 dan seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 Sept 2005, kedua-dua mahkamah tersebut mengiktiraf bahawa kes adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pada dasarnya berpendirian sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan. Sehingga ke hari ini belum ada sebarang laporan mengenai kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan. Begitu juga kes-kes yang menjadi nisan peringatan kepada umat Islam seperti kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950 di Singapura, kes Suzy Teoh yang memeluk Islam semasa umurnya 16 tahun, kes Jamaluddin Osman pada tahun 1986 yang memeluk Kristian dan menjadi paderi di PJ dengan nama Joshua, kes Aisyah Bukhari pada tahun 1997, kes Hartina Kamarudin 1988, yang kini dikenali sebagai Devashini dan lain-lain kes yang dinyatakan dan tidak dilaporkan atas alasan kemaslahatan.

Berada ditengah-tengah polemik ini adalah badan perundangan negeri yang diberikan kuasa berdasarkan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Tertanggung bahawa haram hukumnya untuk keluar dari Islam dan mengiktirafnya, malah ia bukanlah berbentuk hak yang diiktiraf oleh hukum syarak, ianya bukan kes yang biasa bagi Hakim Syarie. Bagi mereka yang tidak memahami hakikat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya diperundangkan melalui Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Persekutuan, kekeliruan pasti timbul.

Tersepit dengan kaedah fiqhiyah “barang sesiapa yang redha dengan maksiat maka ia melakukan maksiat dan barang sesiapa yang redha dengan kekufuran maka ia kufur”, maka menjadi beban tanggungjawab Mahkamah untuk memutuskan perkara yang ia tidak redha, namun sekiranya tidak diputuskan akan menambahkan lagi masalah, seterusnya menjadi tohmah dan fitnah terhadap Agama Islam itu sendiri, sehingga menyebabkan mudharat kepada umat Islam pada harini ini dan masa akan datang. Demi kepentingan masa depan, satu tanda aras atau batu sempadan yang nyata harus dicipta untuk menghalang kegiatan lompat agama ini dari berleluasa tanpa batasan.

KESIMPULAN

Walaubagaimana sekalipun penerimaan kita terhadap isu murtad ini sewajarnya diwujudkan satu peruntukan yang boleh memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka yang berniat untuk melakukan perbuatan keluar dari Islam. Negeri Pahang adalah satu-satunya negeri yang menyatakan bahawa keluar dari Islam adalah satu kesalahan jenayah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang 1882, Pindaan No.4,1989, Seksyen 185 tersebut menyatakan:
“Mana-mana orang Islam yang menyatakan bahawa ia sudah keluar daripada Ugama Islam, sama ada secara lisan, bertulis atau apa-apa jua cara lain, dengan apa-apa jua tujuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan.".

Walaupun peruntukan ini diletakkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, namun maksud dan ruh seksyen 185 ini memberikan definisi perbuatan keluar Islam adalah salah satu perbuatan jenayah Syariah. Istimewanya peruntukan ini, ia memperuntukkan sebatan sebagai hukuman jika sabit kesalahan. Hukuman tersebut walau masih belum menepati kehendak syarak’ namun sekurang-kurangnya ia dapat menggambarkan pendirian pihak penggubal dalam meletakkan kategori pelaku riddah samada dalam kes mal atau jenayah syariah. Adalah wajar diperuntukkan undang-undang sepertinya atau yang terlebih baik daripada itu, sebagai langkah peringatan dan pengajaran kepada orang Islam mahupun orang yang berpotensi memeluk Islam.

PENUTUP
Jika diibaratkan Islam sebagai manusia, maka murtad dianggap sebagai toksid dalam tubuh badan, maka toksid yang terkumpul di dalam badan sekiranya dibiarkan ia akan menjadi sel kanser yang berkembang biak seterusnya menjadi barah dan akhirnya akan menjadi penyebab ajalnya manusia, demikianlah murtad bermula dari kes-kes terpencil yang dibiarkan oleh umat Islam hari ini, tidak mustahil pada masa akan datang ia akan mengancam umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Oleh itu, sebagai rakyat yang masih menganggap murtad sebagai perkara kecil, maka satu anjakan paradigma wajar dimulakan pada hari ini.

Abu Razeen: disediakan untuk YAA KHS JAKESS sempena Bengkel Penyelidikan Bagaimana Menangani Isu Murtad MAIS 18 Disember 2008 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam Selangor

Tuesday, November 25, 2008

Your Wealth In Islamic Judicial System



Kes-kes Wasiat Dalam Sistem Perundangan Islam

Aburazeen



Pada dasarnya, wasiat yang dibuat oleh mana-mana orang Islam di Malaysia adalah tidak melibatkan urusan di Mahkamah Syariah. Namun apabila berlaku sebarang pertikaian dari mana-mana pihak ataupun penentuan keesahan sesuatu wasiat maka kata putus hendaklah dibuat oleh Hakim Syarie yang berbidangkuasa berdasarkan Enakmen Pentadbiran dan Enakmen Wasiat. Penerangan berkenaan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 beserta contoh kes telahpun diterbitkan dalam Majalah MAIS bilangan 5 yang lalu. Sebagai kesinambungan artikel yang lalu, kali ini dibawakan lagi contoh kes pengesahan wasiat yang boleh memberi munafaat kepada para pembaca.


Jefri atau disebut sebagai Arwah selepas ini, mati meninggalkan waris yang terdiri dari seorang isteri yang bernama Rose, seorang ibu kandung dan 3 orang anak lelaki yang mana salah seorangnya terencat akal, ketika masih hidup Arwah telah melantik Wasoyah Trustee Berhad secara rasmi sebagai wasi dan pemegang amanah yang menguruskan harta peninggalan beliau. Wasoyah Trustee Berhad telah mewakilkan seorang agen untuk membuat surat wasiat yang mengagih dan mentadbir harta-harta peninggalan Jefri setelah beliau mati kepada ahli-ahli waris yang masih hidup. Di dalam wasiat tersebut Arwah telah mewasiatkan hartanya yang terdiri dari sebuah rumah banglo, sebuah kereta, tanah dan saham kepada isteri beliau manakala wang ASNB, wang Tabung Haji, keahlian kelab golf dan akaun simpanan beliau kepada anak pertamanya sebanyak 30%, anak kedua seanyak 30% dan anak ketiga sebanyak 40%. Namun dalam wasiatnya tidak dinyatakan nama ibu beliau, walaubagaimanapun kesemua waris-waris bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya wasiat tersebut. Malangnya surat wasiat tersebut tidak sempat ditandatangani oleh Arwah.


Berdasarkan seksyen 4 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, Rose meyakini bahawa wasiat arwah yang tidak sempat ditandatangani masih sah dan boleh dilaksanakan oleh waris-waris yang hidup. Seksyen 4 dipetik “… tiada apa-apa tuntutan tentang keesahan sesuatu wasiat selepas matinya seseorang pewasiat boleh diterima oleh Mahkamah melainkan ianya disokong oleh dokumen-dokumen yang ditulis atau ditandatangani oleh pewasiat .”

Jika diteliti bahagian terakhir peruntukan seksyen tersebut, dengan perkataan “atau” ternyata hasrat penggubal untuk membuka peluang pelaksanaan wasiat adalah besar sehingga meliputi dokumen wasiat yang bertulis tetapi tidak ditandatangan oleh pemberi wasiat. Pun begitu, sekiranya dokumen yang tidak ditandatangani ini dipertikaikan, maka kaedah pembuktian melalui dua orang saksi mampu dijadikan hujah keesahan wasiat tersebut.


Dalam kes ini, Rose selaku salah seorang waris telah menfailkan kes ini ke Mahkamah Syariah, pemfailan ini menjadikan beliau sebagai Plaintif, manakala waris lain yang terdiri dari ibu Arwah dan anak-anaknya dijadikan sebagai Defendan. Permohonan beliau adalah untuk mendapatkan perintah Mahkamah supaya wasiat Arwah diisytiharkan sah dan dilaksanakan sepenuhnya.


Oleh kerana salah seorang anak Arwah tidak boleh mengurus dan mentadbir hal-hal diri dan harta sendiri, maka Rose telah membuat permohonan untuk menjadi penjaga ad-litem berdasarkan alasan bahawa beliau adalah ibu kandung dan penjaga hakiki. Penjaga ‘ad-litem’ kepada anak tersebut berkuasa untuk membuat apa-apa urusan mengenai harta anak tersebut berdasarkan peruntukan seksyen 91 dan 92 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Walaubagaimanapun oleh kerana beliau sedang dan akan bertindak sebagai salah seorang benefisiari apatah lagi sebagai Plaintif dalam kes ini maka penjaga ad-litem kemudiannya ditukarkan permohonannya kepada bapa saudara anak tersebut bagi mengelakkan tohmah.


Ibu Arwah yang mengambil sikap tidak mahu campurtangan dan menyerahkan urusan serta bahagiannya kepada keluarga Arwah telah membuat penyerahan hak dalam bentuk akuan sumpah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah, oleh kerana kes ini melibatkan Mahkamah Syariah maka Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam lebih diutamakan. Antara isi kandungannya adalah beliau menolak segala hak bahagiannya di dalam faraid dan redha menerima haknya yang diperuntukkan dalam surat wasiat. Beliau juga berakujanji untuk tidak mempertikaikan keesahan surat wasiat tersebut.


Dipenghujung prosiding, semua pihak yang terdiri dari benefisiari atau waris yang berhak mengikut hukum syarak kepada harta Arwah termasuk seorang penjaga ad-litem telah menandatangani Surat Ikatan Persetujuan. Surat tersebut mengandungi kesemua isi kandung wasiat yang tidak sempat ditandatangani oleh Arwah. Maka dengan keterangan semua pihak dan yang lebih penting lagi, persetujuan yang ikhlas daripada waris-waris maka wasiat Arwah akhirnya menjadi perintah Mahkamah dan secara rasminya wasiat tersebut menjadi sah dan terlaksana mengikut hukum syarak dan undang-undang.


Kes tersebut adalah salah satu gambaran permohonan pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah, perkembangan kes wasiat sebegini amat kurang didaftarkan di Negeri Selangor, berdasarkan carian e-syariah terkini, tahun 2006 sebanyak 1 kes didaftarkan, manakala tahun 2007 sebanyak 3 kes dan bagi tahun 2008 sehingga ke hari ini tiada sebarang kes dibawah kod 039 Permohonan Pengesahan Wasiat didaftarkan. Terdapat dua kemungkinan yang menyumbang kepada kurangnya kes sebegini. Antaranya sifat mengambil jalan tengah umat Islam yang tidak mahu ahli waris berebut-rebut harta peninggalannya selepas mati seterusnya menyerahkan pembahagian kepada sistem faraid semata-mata manakala kemungkinan kedua samada wasiat yang dibuat oleh simati tidak dipertikaikan langsung oleh semua ahli waris.


Berdasarkan kes diatas, semua pihak bernasib baik apabila kesemua syarat yang ditinggalkan oleh pembuat wasiat telah memenuhi kehendak undang-undang dan juga restu ahli waris, dengan keharmonian yang ada pada semua pihak, harta peninggalan walaupun membentuk wasiat kepada ahli waris dan kadar harta melebihi satu pertiga, masih dapat dilaksanakan. Namun tidak semua kes boleh berjalan dengan lancar terutamanya apabila melibatkan salah faham dari pembuat wasiat terhadap undang-undang dan hukum syarak. Pertikaian yang direkodkan melalui kes-kes yang dilaporkan dalam jurnal perundangan membentuk empat permasalahan popular sewaktu pengagihan wasiat dibuat.


Yang pertamanya apabila wasiat melebihi satu pertiga harta yang ditinggalkan. Dalam kes Shaik Abdul Latif dengan Shaikh Elias Bux (1962) 28 MLJ 374 Hakim telah memutuskan wasiat Shaikh Babu Bux adalah bercanggah dengan undang-undang Islam. Dalam kes ini ia telah cuba menghadiahkan hartanya lebih dari satu pertiga pada masa ia mati. Dalam kes Katchi Fatimah lwn Mohamad Ibrahim (1962)28 MLJ 374 diputuskan seseorang Muslim tidak boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga dari baki selepas pembayaran urusan pengebumian dan hutang piutang kecuali dengan izin semua ahli waris selepas kematian pemberi wasiat.


Yang keduanya berkaitan penangguhan dalam penyerahan harta wasiat. Dalam kes Abdul Rahim lawan Abdul Hameed dan lain-lain (1983)2 MLJ 78 Mahkamah memutuskan pembuat wasaiat tidak boleh menangguhkan penyerahan harta wasiat, seterusnya menghalang pembahagian harta mengikut faraid terhadap ahli waris. Kes Saedah binti Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf lawan Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji Mohamed Yusuf menyaksikan Mahkamah membatalkan wasiat yang dipohon. Pemohon dalam kes ini mendakwa wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah dan pembahagian kepada ahli waris hendaklah dilaksanakan segera.


Yang ketiga apabila wasiat dibuat semasa sakit yang mengakibatkan kematian (maradhul maut). Dalam kes Amanullah bin Haji Ali Hassan lawan Hajjah Jamilah binti Sheikh Madar, wasiat dibuat semasa pemberi wasiat dalam keadaan separuh sedar. Beliau menyerahkan hartanya lebih daripada satu pertiga kepada warisnya. Mahkamah memutuskan bahawa wasiat yang dibuat dalam keadaan tersebut adalah tidak sah.


Dan yang keempat wasiat kepada ahli waris, Kes Siti binti Yatim lawan Mohamed Nor bin Bujal, si mati telah mewasiatkan kesemua hartanya kepada anaknya, Mohamed Nor bin Bujal dengan tujuan menghalang isterinya mendapat bahagian di dalam hartanya. Diputuskan bahawa wasiat tersebut adalah tidak sah. Namun berlawanan dalam kes contoh yang dibawakan pada permulaan artikel ini, walaupun wasiat dibuat kepada ahli waris namun dengan tiadanya pertikaian yang timbul seperti dalam kes Siti binti Yatim, maka Mahkamah boleh memutuskan seperti mana yang dikehendaki oleh simati.


Pokok pangkalnya, pemahaman semua pihak samada ahli waris ataupun pembuat wasiat sendiri terhadap kehendak hukum syarak dan undang-undang boleh membantu kelancaran pembahagian harta selepas berlaku kematian. Bagi memudahkan semua pihak terdapat beberapa agensi yang sedia membantu proses pembuatan pengesahan dan pelaksanaan wasiat. Maka dengan kemudahan ini maka tidak akan berlaku lagi pertikaian yang boleh mencerai beraikan ahli keluarga dan sanak saudara dikalangan umat Islam.


published

MAIS 12

Sept 2008

Wednesday, September 3, 2008

Isu Murtad Kes Terpencil?


Oleh Abu Razeen

Situasi satu. Terpesona dengan wajah dan gaya menarik Shah Mohamad, Nguyen sanggup tinggalkan segala-galanya. Keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan agama menjadi faktor kedua, lantaran cintanya kepada lelaki tersebut tidak berbelah bahagi, mungkin agak kontra di pandangan umum untuk Nguyen yang bertutur bahasa Tionghua jatuh hati kepada Shah Mohamad yang berbangsa Aryan, namun hakikatnya cinta itu buta. Setelah menjalin hubungan cinta terlarang selama enam bulan akhirnya Nguyen bertekad untuk mengahwini Shah Mohamad biarpun terpaksa memeluk Islam demi untuk mengelakkan kehilangan insan tersayang, Shah yang bermastautin diatas tiket pekerja IT akhirnya bersetuju. Malangnya selang beberapa bulan selepas perkahwinan tersebut pihak majikan terpaksa menamatkan kontrak Shah mengakibatkan beliau terpaksa pulang ke negara asalnya. Nguyen ditinggalkan terumbang-ambing tanpa panduan dan akhirnya tekad untuk kembali kepada keluarganya dan agama asalnya.

Situasi dua. Kejutan budaya yang dialami Muhamad Sani sewaktu berada di Eropah, memberi kesan yang amat mendalam kepadanya, bukan sekadar kagum dengan kehebatan kemajuan fizikal malah kebebasan bergaul memberi persepsi baru dalam hidup Sani, tertarik dengan intensif yang dijanjikan oleh pihak tertentu ditambah dengan nipisnya keimanan terhadap agama keturunannya, Sani bersetuju untuk bertukar agama dan akan mengisytiharkan pertukaran aqidahnya dengan manifestasi pertama iaitu mengeluarkan status Agama Islam yang tercatat pada kad pengenalannya.

Kedua-dua peristiwa yang berlainan latar belakang, namun sama natijahnya adalah merupakan taboo kepada umat Islam di Malaysia. Selaku sebuah Negara yang berbilang bangsa dan agama serta meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kitab rujukan rakyatnya, konflik agama adalah isu sensitif. Selagi boleh, perkara ini dibincangkan secara harmonis dan sebaik mungkin namun pengamalan keterbukaan media dan kepesatan pembangunan teknologi maklumat menyebabkan perkara yang dianggap suatu pantang itu, boleh diperdebatkan oleh sesiapapun walaupun kepada mereka yang cetek pemahamannya terhadap Agama Islam.

Polemik murtad mungkin boleh diistilahkan terpencil sekiranya dirujuk kepada kuasa substantif yang diwujudkan dalam peruntukan induk, berbanding perkara nikah cerai orang Islam yang diperuntukkan undang-undang. Di dalam Subseksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 tahun 2003 diperuntukkan: Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.;

Sebelum ditakninkan dalam enakmen pada tahun 2003, tiada peruntukan khusus kepada Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi orang Islam (dibaca ‘murtad’). Biarpun perlakuan ini adalah sebesar-besar dosa kepada Allah SWT, namun tidak diterangkan apakah hukuman yang patut dikenakan kepada pelakunya, mungkin yang paling hampir kesalahan (dilihat dari kesan) yang disebut dalam Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan. Contoh kesalahan ini lazim dilakukan apabila serbuan kedai makan disiang hari bulan Ramadhan, atau semasa serbuan kes tangkapan khalwat atau perlakuan tidak bermoral semata-mata untuk mengelakkan tindakan Penguatkuasa Agama dan Mahkamah Syariah, peruntukan tersebut menyebut:Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Namun penggunaannya tidak tepat dan jauh dari gambaran besar atau kecilnya kesalahan murtad ini, Ini adalah kerana firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “ Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” manakala sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A memberi maksud seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasullah S.A.W telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat. Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

Biarpun kontang dengan undang-undang negeri yang boleh dikaitkan terhadap gejala riddah, setakat ini hanya Mahkamah Syariah Negeri Sembilan yang telah menggariskan undang-undang keluar dari Agama Islam secara sistematik. Peruntukan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) No.10 Tahun 2003 berbunyi:

(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah. (2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah Subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.


(3) Suatu permohonan di bawah Subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu. (4) Setelah diterima permohonan di bawah Subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau (b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.

(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah. (6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut Subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu. (7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.

(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam Subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah Subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun. (9) Jika selepas perintah di bawah Subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka Subseksyen (5) dan (6) terpakai. (10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah Subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya. (11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:(a) pembubaran perkahwinan; (b) pembahagian harta sepencarian; (c) hak perwalian; (d) hak pusaka; dan (e) hadhanah.

Dengan adanya peruntukan tersebut, masalah murtad mungkin dapat dihalakan mengikut lorong-lorong prosedur dan kaedah syariah setakat yang diperuntukkan bidangkuasanya, tetapi untuk menjadi solusi total bagi mengelakkan orang Islam keluar dari agama, ia masih boleh dibincangkan. Peranan yang wajib dijalankan untuk mencegah murtad terdapat pada semua peringkat bermula dari ibu bapa, saudara-mara, pendidik, kawan-kawan, ahli qaryah sehinggalah kepada pemerintah. Dalam konteks pemerintah, secara jelas Subseksyen 7. (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No 1. 2003 menyebut: Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis (Majlis Agama Islama Selangor) untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Selangor selaras dengan Hukum Syarak.

Kembali kepada senario satu yang dijadikan muqaddimah artikel ini, perkara seumpama itu mungkin telah berlaku dan sedang berlaku pada mereka yang dijinakkan hati kepada Islam. Golongan muallaf, sememangnya memerlukan perhatian khusus oleh umat Islam secara tradisi, kepentingan untuk menjaga diri dan aqidah mereka dimanifestasikan sebagai golongan yang berhak menerima zakat, sebaris dengan jihad fi sabilillah, penuntut ilmu dan asnaf-asnaf lain. Tiada sesiapapun berkuasa untuk menentukan niat asal seseorang memeluk Islam kecuali Allah SWT, malah kita dilarang sama sekali untuk berburuk sangka. Namun hakikatnya niat adalah penentu segala, sekiranya seseorang ikhlas maka aqidah tauhid akan kekal dihatinya, namun tidak kurang yang memeluk Islam sebab kebendaan dan seseorang. Apabila diangkat atau hilang sebab tersebut maka akan kembali ia kepada asal kemahuannya, sepertimana Nguyen apabila Shah Mohamad kembali ke negara asalnya, maka tiada sebab baginya untuk kekal dalam Islam. Untuk kembali bersama keluarga asalnya beliau mesti membatalkan identiti keIslamannya. Tiada jalan lain untuk berbuat demikian melainkan melalui Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa. Manakala Mahkamah Syariah setelah diajukan kes seperti ini perlu menjalankan perbicaraan secara telus dan adil berdasarkan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Salah satu cara pembuktian yang lazim dibawakan adalah berdasarkan amalan selepas dari pengakuannya memeluk Islam dan keterangan saksi-saksi. Dalam kes Nyonya binti Tahir, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah mengambil kira keterangan yang terdiri dari dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak Nyonya binti Tahir. Begitu juga dengan rekod laporan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986 serta Surat Akuan bertarikh 19 Julai 1991, diambil sebagai keterangan bertaraf qarinah dalam kes tersebut. Akhirnya Mahkamah membuat keputusan mengisytiharkan Nyonya binti Tahir bukan beragama Islam sewaktu kematiannya. Keputusan ini adalah berdasarkan peruntukan 61(3)(b)(xi) “pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;”. Sebagai makluman Nyonya binti Tahir adalah seorang perempuan Melayu dipelihara oleh neneknya bangsa Melayu berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya (Mualaf Cina) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal. Beliau berkahwin dengan lelaki Cina bernama Chiang Meng pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Mereka mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin beliau hidup secara Cina. Kes ini mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam menuntut supaya jenazah Nyonya binti Tahir dikebumikan menurut upacara Islam di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.

Kes terbaru yang membabitkan Muallaf adalah di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang apabila Siti Fatimah Tan binti Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Hung telah diputuskan bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004. Keputusan kes ini juga berdasarkan keterangan bayyinah sepertimana kes diatas namun tidak banyak yang boleh diperkatakan, lantaran tiada Alasan Penghakiman rasmi yang dilaporkan malah dimaklumkan bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk merayu dalam kes tersebut. Seperkara yang wajib diambil iktibar dalam kes seperti Siti Fatimah, peranan susulan dan keberkesanan dakwah perlu diambil perhatian walau apapun dasar pemelukan Islamnya. Kerana sekali mengucapkan syahadah maka hanya Allah SWTlah yang akan menentukan kemana imannya. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang status orang yang mengucapkan syahadah dan dikira telah masuk Islam, walau untuk tujuan apa sekalipun syahadah tersebut diucapkan, sama ada untuk perkahwinan, perniagaan, atau sebab peperangan, maka mereka wajib mendapat pembelaan dan perlindungan. Penilaian ‘niat’ bukanlah menjadi syarat sah atau tidak keIslaman, walaupun faktor niat memang boleh dinilai dalam sah atau tidaknya ibadah seseorang, namun ia tidak terpakai di dalam kes ‘memeluk agama Islam’.

Manakala dalam senario kedua, membawa impak yang lebih besar apabila Mohamad Sani seorang Melayu yang dipelihara oleh ibubapa yang beragama Islam, tinggal dalam masyarakat Islam sebelum keluar Negara, pulang untuk memadamkan status Islam dalam kad pengenalannya bagi membuktikan bahawa beliau telah keluar dari agama Islam. Satu tindakan berani pada pemikirannya diatas nama kebebasan asasi manusia. Namun Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak membenarkan orang Islam untuk keluar agama itu dengan sewenang-wenangnya apatah lagi dari prinsip hukum syarak. Isu agama adalah persoalan jati diri dan pengenalan kebangsaan bagi bangsa Melayu. ‘Melayu’ menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai: “Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”. Jestru pengenalan seorang Melayu ialah beragama Islam dan hakikatnya perkara ini tidak boleh dipisahkan.

Kepentingan Agama Islam untuk dipelihara dan mendapat tempat yang sewajarnya dari segi sosial dan perundangan dilihat daripada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa ”Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan”. Pun begitu sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen hak-hak kaum berbilang bangsa untuk mengamalkan kepercayaan mereka tetap dihormati, Perkara 11 Perlembagaan memperuntukkan bahawa hak semua orang untuk menganuti dan mengamalkan agama dan mengembangkan agama tersebut dengan kekecualian bahawa undang-undang negeri boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut Islam.

Dengan berdasarkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itulah pihak berkuasa Agama Negeri Selangor pada masa lalu telah bertindak proaktif dengan mewartakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Enakmen tersebut antara lainnya memperuntukkan Kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Antaranya Seksyen 4 yang berbunyi: (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam--- (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau(c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. (2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali. Usaha ini dilihat sebagai inisiatif menghalang anasir-anasir yang cuba untuk menyebarkan dakwah atau memurtadkan orang Islam di Negeri Selangor, malangnya dewasa ini belum ada satu pun orang yang didakwa atas Enakmen ini dilaporkan dalam Jurnal-Jurnal Mahkamah untuk dijadikan iktibar mahupun kajian kes.

Dalam kes Lina Joy atau Azlina binti Jailani, beliau berusaha untuk mendaftarkan pertukaran nama, menukar tulisan Islam dan diganti dengan kristian di dalam kad pengenalan serta diiktiraf perkahwinannya dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Lina Joy yang berbangsa Melayu keturunan Jawa berkahwin dengan seorang Kristian setelah mempraktikkan ajaran Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990. Beliau berusaha untuk mendaftar perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan kerana kad pengenalan beliau masih tertulis ‘beragama Islam’ walaupun beliau telah berjaya menukar nama dalam kad pengenalan kepada Lina Joy. Permohonannya untuk mengeluarkan perkataan tersebut tidak dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana tiada kebenaran daripada Mahkamah Syariah yang memperakui beliau telah keluar dari Agama Islam. Permohonan beliau bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 dan seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 Sept 2005, kedua-dua mahkamah tersebut mengiktiraf bahawa kes adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pada dasarnya berpendirian sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan. Sehingga ke hari ini belum ada sebarang laporan mengenai kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan. Begitu juga kes-kes yang menjadi nisan peringatan kepada umat Islam seperti kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950 di Singapura, kes Suzy Teoh yang memeluk Islam semasa umurnya 16 tahun, kes Jamaluddin Osman pada tahun 1986 yang memeluk Kristian dan menjadi paderi di PJ dengan nama Joshua, kes Aisyah Bukhari pada tahun 1997, kes Hartina Kamarudin 1988, yang kini dikenali sebagai Devashini dan lain-lain kes yang dinyatakan dan tidak dilaporkan atas alasan kemaslahatan.

Berada ditengah-tengah polemik ini adalah badan perundangan negeri yang diberikan kuasa berdasarkan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Tertanggung bahawa haram hukumnya untuk keluar dari Islam dan mengiktirafnya, malah ia bukanlah berbentuk hak yang diiktiraf oleh hukum syarak, ianya bukan kes yang biasa bagi Hakim Syarie. Bagi mereka yang tidak memahami hakikat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya diperundangkan melalui Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Persekutuan, kekeliruan pasti timbul.

Tersepit dengan kaedah fiqhiyah “barang sesiapa yang redha dengan maksiat maka ia melakukan maksiat dan barang sesiapa yang redha dengan kekufuran maka ia kufur”, maka menjadi beban tanggungjawab Mahkamah untuk memutuskan perkara yang ia tidak redha, namun sekiranya tidak diputuskan akan menambahkan lagi masalah, seterusnya menjadi tohmah dan fitnah terhadap Agama Islam itu sendiri, sehingga menyebabkan mudharat kepada umat Islam pada harini ini dan masa akan datang. Demi kepentingan masa depan, satu tanda aras atau batu sempadan yang nyata harus dicipta untuk menghalang kegiatan lompat agama ini dari berleluasa tanpa batasan.

Jika diibaratkan Islam sebagai manusia, maka murtad dianggap sebagai toksid dalam tubuh badan, maka toksid yang terkumpul di dalam badan sekiranya dibiarkan ia akan menjadi sel kanser yang berkembang biak seterusnya menjadi barah dan akhirnya akan menjadi penyebab ajalnya manusia, demikianlah murtad bermula dari kes-kes terpencil yang dibiarkan oleh umat Islam hari ini, tidak mustahil pada masa akan datang ia akan mengancam umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Jestru, sebagai rakyat yang masih menganggap murtad sebagai kes terpencil dalam konteks Malaysia sebagai Negara Islam, maka satu anjakan paradigma wajar dimulakan pada hari ini. Seperkara yang perlu diingat, sabda Rasul SAW yang bermaksud: "Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin." (Riwayat Bukhari & Muslim).


MAIS bil 11:Jun 2007