Saturday, December 28, 2013

RARE COLLECTION FROM PASAR KARAT, DURUR SAMIN

Pra: 22/12/2013 Berkampung lagi di Homestay Pak Man di Parit Penghulu Sungai Rambai Melaka.Buat kali kedua melintasi sempadan Johor Melaka, makin banyak yang diterokai. Rupa-rupanya disini ada pasar karat jalan Muar-Kesang-Melaka. Yang confirm ada di dua tempat Sabtu dan Ahad. Terima kasih Ummu Razeen yang sudi ronda-ronda sekitar Muar sampai jumpa pasar sebegini.
2. Semua benda antik, tapi yang menarik minat pakcik adalah buku-buku lama yang mungkin sudah tidak diterbitkan lagi dan sudah tiada dalam pasaran. Buku pertama yang menarik perhatian adalah buku bertajuk Penulisan Fiqh Shafii. (Pertumbuhan dan Perkembangan) tulisan Dr. Mat Saad Abd. Rahman seorang Pensyarah UKM. Terbitan Ikatan Studi Islam UKM tahun 1983 . Bagus untuk quick reference persoalan Mazhab Syafii. Dalamnya ada riwayat hidup Imam Shafii, perkembangan Mazhab sesudah kewafatan Al-Imam dan susuk kedua terpenting dalam Mazhab Shafii iaitu Imam Nawawi. Mungkin ini adalah thesis Dr penulis. Disyarahkan juga Method penulisan Minhaj Al-Talibin. Masih sedang dalam pembacaan di sela masa yang ada. InsyaAllah cuba untuk khatam. Mengenali Imam Mazhab sendiri sebelum melihat Mazhab yang lain. Satu perkara yang saya dapat ringkaskan Imam Shafii telah berguru dengan Imam Malik di Madinah sewaktu kecil, kemudian berguru pula dengan sahabat Imam Abu Hanifah (Imam Abu Hanifah wafat ketika Imam Shafii dilahirkan). Baginda berhadapan dengan mazhab Ahlu Ra'yi. Dan baginda juga telah berguru dan berkhidmat di beberapa kota penting seperti di Hijaz, Baghdad, Yaman dan Mesir.
 3. Buku kedua dalam genggaman adalah "Allah, Ruh dan Alam menurut Sains dan Islam" terjemahan oleh Abdul Majid bin haji Khatib. Buku ini terjemahan dari "God, Soul and Universe in Science and Islam" oleh Nawab Muhammad Yamin Khan B.A (All). Barrister-at-law of the Lincoln's Inn. Terbitan Pustaka Aman Press Sdn Bhd cetakan kedua 1982. Sebuah buku kecil setebal 143 ms tetapi kaya dengan penerangan iktikad ketauhidan orang beriman berdasarkan disiplin tasauf. Mudah difahami bila dibaca dalam bentuk buku rumi, tetapi ini tidak memadai, bagi orang awam kita patut berguru sambil baca buku 'Akidah Thohawiyah" baru betul. Barulah aqidah kita mantap nak memahami apakah konsep ketuhanan sebenarnya. Apapun kekuatan pada buku ini bagi saya adalah dalam bab 1. Tanggapan berkenaan tuhan dalam sesetengah agama, perbandingan dibuat dengan agama Hindu, Kristian, Buddha, Jainisma, dan islam itu sendiri. saya petik sikit dalam ms11. 

"Allah Yang Maha Besar dan Maha Wujud itu telah mereka hadkan dan menganggap sebagai mengambil bentuk manusia dalam peribadai Ram Chander, Krisyna dan lain-lain. Orang mistik Hindu tetap menyembah Tuhan Yang Tunggal dan mereka cuba 'menenggelamkan' jiwanya dalam Brahma, iaitu jiwa semesta. Ini mereka lakukan dengan jalan membunuh semua kehendak-kehendak badaniah atau hawa nafsu mereka. .."
 4. Buku ketiga Mengenal Diri dan Wali Allah, oleh Mustapha Mohamaed Al-Jiasi (Al-Ahmadi) Terbitan Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. cetakan 1972. Subhanallah! menggigil sewaktu dapat buku ni. Buku yang sangat 'rare'. Seabstrak design muka depannya begitu juga dengan isinya yang penuh dengan metafora golongan sufiah. Tambah thrill lagi buku ni adalah, pesanan dari pengarang supaya jangan dibaca secara getus-getus atau sungsang-sungsang, hendaklah dibaca ikut tertib babak-babak kerana ilmu ini sangat dalam dan payah hendak dihurai.

5. Buku ini banyak menerangkan ibarat-ibarat yang digunakan oleh orang sufi. Kebanyakan ibarat ini sering disalahfahami orang ramai. Tugas buku ini memberi bandingan yang terang pada masalah yang susah difahami di kalangan orang awam. Buku ini juga banyak menjawab prasangka negatif orang yang tidak mengenali kaum sufi secukupnya. Juga bersifat quick reference bagi yang susah nak berguru kitab tasauf seperti Syarh Hikam, Tanwirul Qulub, Ad-Dur Nafis atau Sirus Salikin. Tidak melampau barangkali kalau saya katakan buku ini seolah-olah "Knowing Yourself for Dummies" cukup mudah difahami walaupun banyak metafora. Kalau dicetak barupun mungkin akan menjadi rujukan orang ramai untuk memahami ilmu tasauf dalam bahasa moden. 
6. Buku keempat dari pasar karat, Mutiara Usuluddin yang bernama "Durur Samin pada menyatakan iktikad segala orang yang mukminin" karangan Sheikh Daud bin Sheikh Abdullah Al Fatani. Cetakan Darul Maarif Pulau Pinang Malaysia. Tahun cetakan tidak dinyatakan, tetapi masih dicetak sehingga ke hari ini dan masih ada dibaca di pondok pondok dan surau-surau. Sedikit petikan dari mukasurat 5 baris ke 13 dari atas:

"Maksud daripada ilmu ini hendak mensabitkan bagi kamal zatnya tuhan kita dan mensabitkan sifat yang kamalat dan tunggal pada menjadikan alam ini dan menyepikan dia daripada segala sifat yang kekurangan dan bersamaan dengan segala yan baharu..." susahkan nak faham, oleh itu lebih baik berguru untuk faham kitab kitab cenggini sebelum anda disesatkan oleh syaitan kerana dikata orang "baca kitab tanpa berguru maka ...... gurunya"
7. Lain-lain koleksi rare selain buku kitab adalah kelengkapan rumah zaman tok ndan, turut terlihat gasing zaman dedolu, bapak mertua pakcik dulu teror main gasing, siap boleh buat gasing homemade lagi., tu yang tipah pegang adalah alat membuat kuih sepit, jangan tau makan jer... alat nak membuat kena tau juger.
8. Turut terkasima dengan antik adalah anak-anak pakcik. tengok radiogram, banyak mengajar mereka tentang kekurangan orang zaman dulu-dulu. Bukan macam zaman sekarang ipad dah ada sorang satu dulu dulu nak tengok satria baja hitam pun kena pergi rumah jiran. Balik kena marah dengan tok hahahah!.
9. Kereta zaman tok kadok pun parking kat sini, turut dikesan disini adalah pedang-pedang lama, tapi menarik perhatianpakcik adalah pedang bugis design arab. Sememang orang Bugis dulu-dulu yang mana belayar keluar dari tanah air amat mahir menggunakan pedang, berbeza dengan orang melayu, lebih banyak kepada parang, keris dan tombak. Dulu masa kat melaka dah jatuh hati dengan pedang bugis design Inggeris. Tapi pakcik ditawarkan dengan harga RM8*** ...oklah bye ... awal tahun nak bayar sekolah anak-anak, roadtax nak mampos... lainkalilah kot... beli kitab sudah cukup menjadikan hari ini ...make my day! 

p/s: sekali sekala pergilah tempat orang jual barang lama, mungkin ada sesuatu untuk anda yang mungkin tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.