Wednesday, January 3, 2018

HUJAH HARTA SEPENCARIAN JANDA PENEROKA DAN HAK PENEROKA WATI SEBAGAI CO HOLDER PENAMA BERSAMA DALAM GERAN TANAH FELDA


Pra: Ini adalah hujah bahagian ke dua. Hujah pertama adalah berdasarkan perbicaraan yang telahpun selesai keterangan dan pihak pihak telahpun menutup kes. Namun Yang Arif bicara masih tidak berpuas hati dan perlukan saksi pakar. Pihak Plaintif berusaha membawa saksi pakar. Walaupun begitu saksi tersebut hadir dan memberi keterangan bagi pihak Mahkamah. Risiko jika saksi (SP3) hadir sebagai saksi Plaintif maka, keterangan pakar akan dianggap sebagai memihak kepada Plaintif dan mengurangkan merit saksi pakar. 

Disclaimer: Tidak ada kene mengene terhadap pihak yang hidup ataupun telah mati, segala karakter yang digunakan adalah fiksyen semata-mata. Cuma boleh dijadikan pengajaran (kalau berguna) khususnya dalam kes tuntutan janda peneroka atau isteri kedua setelah isteri pertama mati atau cerai selepas seketika masuk tanah rancangan. Semoga tiada lagi janda peneroka yang terinaya selepas ini.

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH MANCHESTER CITY
DALAM ENGLAND
SAMAN NO.: 0TR00-017-1234-2013

ANTARA

AMINAH BINTI HAMZAH                                                              …PLAINTIF


DENGAN
FUAD BIN AZMAN                                                                           …DEFENDAN


HUJJAH TAMBAHAN PLAINTIF

PENDAHULUAN

Yang Arif

1. Kes ini merupakan kes tuntutan harta sepencarianyang telah difailkan oleh Plaintifdi Mahkamah Tinggi Syariah Selatan (Manchester), Manchester pada 05/02/2013 berdasarkan peruntukan Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Manchester) 2003 (selepas ini disebut sebagai ‘Enakmen 17/2003 tersebut’). Perbicaraan telah dijalankan sejak 16/04/2014 dan selesai bicara pada 24/06/2015. Mahkamah menetapkan penghujahan pada 06/10/2015.

2. Pada 06/10/2015 Mahkamah menangguhkan keputusan untuk mendengar keterangan daripada saksi pegawai FELDA, Keterangan saksi ini bertujuan menerangkan tentang Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (selepas ini dikenali sebagai ‘GSA’), Pekeliling dan sebarang arahan berkaitan status tanah yang dipertikai.

3. Pada 13/13/2016 Plaintif telah mengemukakan seorang saksi bernama Puan Rofiah binti Sarkan (selepas ini dikenali sebagai ‘SP-3’), Makcik Kafe, FELDA yang beralamat di Menara FELDA, Westminister, London. Bidang tugas SP-3 sebagai Makcik Kafe tukang jawab adalah untuk hadir ke Mahkamah Sivil bagi kes melibatkan FELDA. SP-3 bertanggungjawab meneliti perjanjian diantara FELDA dengan pihak lain. SP-3 juga  turut hadir dalam kes melibatkan harta sepencarian yang melibatkan GSA.  SP-3 mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang dan agensi yang sama sejak 1 Disember 1998, iaitu selama hampir 20 tahun.

4. Dalam keterangan pada 13/01/2016 beberapa isu telah dijawab oleh SP-3. Keterangan yang diberikan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang. Meskipun dipanggil melalui Sapina Mahkamah oleh Plaintif dan hadir sebagai saksi Plaintif, tetapi SP-3 tidak mengenali Plaintif dan Defendan melainkan setelah hadir ke Mahkamah pada tarikh 13/13/2016. Ini menunjukkan sisi profesionalisma SP-3 yang tidak berpihak dan memberi keterangan secara jujur atas kapisiti jawatan beliau.

5. Isu yang difokuskan boleh dibahagi  kepada pecahan persoalan berikut:

a. Syarat Menjadi Peneroka.

b. Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun

c. Hak janda peneroka dalam GSA.

d. Hak bekas isteri dalam Sek 122 EUUKINM 2003

e. Sumbangan langsung

f. Sumbangan tidak langsung

g. Pekeliling Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA

h. Pekeliling KP PTG 42/2009 3.1(1) dan (2)

i. Wang Insentif Raya, insentif Produktiviti Peneroka

j. Dividen FGV, KPF dan saradiri Technoplant.



a. SYARAT MENJADI PENEROKA

6. Sepanjang perbicaraan keterangan Defendan, pihak Plaintif diperlihatkan sebagai seorang bekas isteri yang tidak mempunyai hak seolah-olah tidak memberi sebarang sumbangan langsung dalam perolehan harta yang dipertikai. Segala hasil yang diperolehi adalah berdasarkan nama tunggal yang dinyatakan dalam borang, surat menyurat dan paysheet (resit bayaran jualan) iaitu atas nama peneroka sahaja. Persoalannya, adakah dengan nama tunggal maka Plaintif langsung tidak layak untuk membuat tuntutan dan menerima bahagian?

7. Dalam keterangan SP-3 pada 13/13/2016, SP-3 menyatakan syarat untuk menjadi peneroka adalah tertakluk kepada Seksyen 19 GSA (muka surat 17 SO-1 ikatan dokumen Plaintif) dinyatakan seperti berikut:
“19. (1) Mana-mana orang selain warganegara, tidak layak menghuni sesuatu pegangan luar bandar selama mana pegangan itu kekal sebagai tanah Negeri …..

8. Dan dengan syarat bahawa bagi maksud subseksyen ini perkataan “orang” termasuk suami atau isteri seseorang dan dalam mengira keluasan tanah desa yang dirujuk dalam perenggan (a) mana-mana tanah yang dipegang secara berasingan oleh suami dan isteri adalah terangkum…”

9. Akta tersebut menyatakan kewujudan dua entiti yang dikenali sebagai suami dan isteri, berdasarkan peruntukan tersebut, pihak FELDA telah meletakkan syarat untuk menjadi peneroka, pihak pemohon mestilah mempunyai isteri atau suami. Perkara ini dikuatkan dengan Borang Temuduga FELDA dalam dokumen D-3 yang kemukakan sendiri oleh Defendan.

10. Semasa soal semula SP-3 oleh peguam Defendan, pihak peguam telah menyatakan, dengan meletakkan nama Defendan sahaja di dalam surat menyurat, ini menunjukkan sumbangan Defendan adalah lebih tinggi berbanding Plaintif. SP-3 menjawab dan menyatakan bahawa memang nama Defendan sahaja akan muncul walaupun dalam kertas paysheet. Namun dari segi sumbangan, SP-3 tidak boleh membuat telahan melalui nama sahaja.

11. SP-3 menyatakan pendirian bahawa, agak sukar untuk menentukan sumbangan samada peneroka atau isteri peneroka lebih banyak berbanding satu sama lain. Walaubagaimanapun Plaintif bersetuju dengan pendapat SP-3 yang merumuskan bahawa dengan nama Defendan dalam borang, ini tidak bermaksud sumbangan Defendan adalah lebih.

12. Adalah tidak sesuai untuk mengukur sumbangan dari segi kekuatan dan kebebasan untuk bergerak yang dinikmati oleh lelaki berbanding wanita, oleh sebab itu Allah SWT telah berfirman:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٲمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٲلِهِمۡ‌ۚ
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” [An-Nisaa: 34]

13. Kelebihan lelaki atas wanita adalah berdasarkan kepada kewajipan memberi nafkah kepada isteri, ayat ini tidak menyatakan bahawa lelaki terlebih utama dari segi hak untuk memiliki disebabkan kekuatan dan kebebasan berbanding wanita. Bahkan wanita lebih berhak untuk dilindungi dan dipelihara daripada kesusahan dan kesempitan. Bukanlah atas dasar nama di dalam borang atau kekuatan Defendan untuk mengusahakan ladang menjadikan Plaintif tidak layak untuk mendapat harta sepencarian, tetapi sokongan dan bantuan Plaintif juga adalah faktor upaya Defendan berupaya melakukan pekerjaan dan kewajipan terhadap keluarga di sepanjang tempoh perkahwinan.

14. Allah SWT juga mengiktiraf usaha wanita dalam rumahtangga dan juga terhadap pemilikan, oleh kerana itu Allah SWT telah merakamkan pembahagian mengikut sumbangan masing masing, tanpa dinafikan hak satu terlebih utama dari yang lain, dalam firmanNya:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْ‌ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَ‌ۚ
“ bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”[An-Nisaa: 32]

15. Oleh yang demikian pihak Plaintif menghujahkan bahawa, sumbangan Plaintif adalah setara dengan Defendan dari segi komitmen dan pengorbanan membangunkan tanah FELDA sehingga melayakkan Plaintif menerima hak yang sama rata dengan Defendan. Peranan Plaintif adalah tidak dapat dinafikan dan nama Defendan pula bukanlah penentu untuk mendapat bahagian yang lebih.



b. PERJANJIAN TANAM SEMULA DAN PENGURUSAN KEBUN

16. Defendan mempertikaikan hak Plaintif untuk mendapat harta sepencarian dengan menggunakan Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun. Dokumen tersebut dikemukakan oleh Defendan dan telah ditandakan sebagai D-4. Persoalan yang timbul, adakah dokumen tersebut boleh digunapakai bagi menolak tuntutan Plaintif?.

17. Dalam keterangan SP-3 . Perjanjian Tanam Semula yang dikemukakan, bukanlah perjanjian asal untuk menjadi peneroka, perjanjian tersebut lebih kepada aturan dan kawalan kepada pengurusan kebun setelah kelapa sawit ditebang dan ditanam semula. SP-3 menyatakan bahawa FELDA Tenggaroh 2 kini masih belum menerima hakmilik, belum ada geran dan masih belum ada nama pemegang individu.

18. Apabila seseorang peneroka menyerahkan urusan kebun kepada FELDA melalui perjanjian tersebut.FELDA akanmenawarkan wang sara hidup dalam bentuk bantuankewangan sebanyak RM1,200.00 sebulan. Jumlah sarahidup ini akan menjadi hutang peneroka kepada FELDA.

19. Merujuk kepada penggunaan terma 11(h) dan (15) perjanjian tersebut yang melarang melepaskan kepentingan atau memindahmilik kepada pihak lain, SP-3 menyatakan terma tersebut tidak bermaksud larangan kepada Mahkamah atau mana-mana pihak berkuasa. Ia lebih kepada larangan tindakan dari peneroka sendiri. Yang dimaksudkan adalah pindah milik peneroka kepada pihak ke tiga, bukan pindahmilik kepada isteri atau bekas isteri. Jika transaksi tersebut dilakukan dengan persetujuan FELDA maka ia tidak termasuk dalam larangan ini. Terma yang dirujuk menyebut:

“11(h) tidak akan melepaskan kepentingan atau memindahmiliknya ……    
…..tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan FELDA secara bertulis:;  

Yang Arif

19. Pihak kami menghujahkan bahawa, penggunaan Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun adalah tidak relevan dan tertolak. Penggunaan Perjanjian tersebut oleh pihak Defendan adalah mengikut sangkaan dan tafsiran Defendan sahaja. SP-3 menerangkan bahawa isu yang dibawa Defendan adalah tidak berkaitan dengan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.

c. HAK JANDA PENEROKA DALAM GSA.

20. Pihak Plaintif telah mengemukakan peruntukan Seksyen 12 (5), 14 (2) dan 15 GSA(mukasurat 13 dan 14 Ikatan Dokumen Tambahan Plaintif SO-1) dan menghujahkan bahawa hak Plaintif sebagai janda peneroka adalah terjamin di dalam undang-undang. Persoalan yang ditimbulkan, adakah pihak lain berhak untuk menjadi co-holder atau menerima bahagian dalam harta sepencarian selain bekas isteri peneroka?.

Peruntukan dalam Seksyen 12 (5) dinyatakan sebagai:

“(5) Jika sesuatu perintah Mahkamah menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang terpakai di Negeri itu atau Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] meletak hak pegangan luar bandar kepada isteri, bekas isteri atau waris kadim pemegang. Pemungut hendaklah sewajarnya memasukkan nama isteri, bekas isteri atau waris kadim itu sebagai pemegang bersama di dalam daftar pegangan”.

Seksyen 14(2) berbunyi:

“(2) Sesuatu pegangan luar bandar boleh diberi milik dan dipegang bersama oleh tidak lebih daripada dua pemegang”.

Dan seksyen 15(2A) dan (2B) GSA menyatakan seperti berikut: 

“(2A) Pihak Berkuasa Negeri boleh membenarkan sesuatu pegangan luar bandar secara bahagian tak dibahagi oleh seseorang pemegang dan isterinya, bekas isterinya, atau waris kadim sebagai pemegangbersama, apabila sesuatu pemohon dibuat dalam Borang AA di dalam Jadual Pertama

(2B) Sesuatu pegangan luar bandar boleh dipegang secara tak dibahagi menurut sesuatu perintah mahkamah yang dibuat menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang terpakai di Negeri atau Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976”

SP-3 menyatakan bahawa GSA adalah antara undang-undang terpakai bagi FELDA dan mana-mana tanah rancangan yang dibangunkan oleh pihak kerajaan. Akta ini masih digunapakai dan telah mengalami pindaan setelah berlaku beberapa tuntutan oleh janda peneroka dan lain-lain keperluan berdasarkan agenda semasa.

21. Melalui akta ini FELDA telah memperuntukkan peneroka mendapat tanah rancangan sebanyak 10 ekar untuk tanah pertanian dan ¼ ekar tanah kediaman. Pada tahun 1960 akta rujukan asal hanya menyatakan kepada peneroka sahaja. Perjanjian asal hanya peneroka yang menandatanganinya, oleh sebab itu hanya nama peneroka lelaki sahaja yang didaftarkan di dalam geran sekiranya hak milik dikeluarkan.

22. Perkara ini telah menimbulkan ketidak puasan hati dikalangan isteri, terutamanya apabila melibatkan penceraian dan pihak peneroka berkahwin lain. Perkara ini telah dibangkitkan sehingga ke peringkat nasional oleh Menteri pada masa itu iaitu Dato’ Seri Sharizat. Atas desakan dan tuntutan keadilan atas janda peneroka, maka GSA dipinda pada tahun 2002. Antara pindaan yang dimasukkan adalah peruntukan seksyen Seksyen 12 (5), 14 (2) dan 15 GSA.

23. Merujuk kepada Seksyen 15 GSA, dinyatakan bahawa isteri, bekas isteri atau waris kadim boleh menjadi pemegang bersama. Namun Seksyen 14(2) menyatakan pegangan luar bandar tidak boleh lebih dari dua pemegang. Maka hanya salah satu pihak daripada 3 orang yang dinyatakan berhak untuk dijadikan penama bersama. Persoalan yang timbul siapakah yang paling layak untuk dijadikan sebagai penama bersama?



d. HAK BEKAS ISTERI DALAM SEK 122 EUUKINJ 2003

24. GSA tidak menetapkan siapa yang paling berhak diantara 3 orang yang disebut dalam Seksyen 15. Oleh yang demikian Plaintif memohon Yang Arif merujuk kepada Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Manchester 2003:

“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang.
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.”

25. Dalam kes ini, Plaintif mengemukakan tuntutan harta sepencarian terhadap Defendan sebuah rumah dan tapak rumah yang didaftarkan sebagai No.  Hakmilik PA JHK1234, Lot PHJ123 yang mempunyai alamat No.999, FELDA Manchester, New England, 0007,  , Manchester City. Plaintif mengemukakan semula hujah yang telah dikemukakan pada hujahan bertarikh 25/08/2015 berdasarkan sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung.

e)             ISU SUMBANGAN SECARA LANGSUNG

26. Peruntukan seksyen 122 EUUKINJ 2003 menyatakan hak untuk menuntut harta sepencarian hendaklah dinyatakan melalui sumbangan secara langsung atau tidak langsung pihak yang menuntut. Defendan sedaya upaya menafikan hak Plaintif untuk menikmati hasil FELDA dan hasil terbitannya hanya kerana Plaintif telah diceraikan. Namun hakikatnya jika tanpa penyertaan Plaintif pada peringkat awal kemasukan ke FELDA, maka Defendan tidak akan menikmati kemudahan hasil dan keistimewaan sebagai seorang peneroka.

27. Plaintif menyatakan bahawa sumbangan secara langsung telah berlaku seawal perkahwinan sehingga tarikh perceraian. Perkara ini tidak dapat dan tidak pernah dinafikan oleh Defendan serta saksi-saksinya di sepanjang perbicaraan ini berlangsung.

28. Pada peringkat awal perolehan hartanah FELDA, peranan Plaintif sebagai isteri menjadikan Defendan layak untuk memohon sebagai peneroka. Plaintif hadir bersama Defendan semasa temuduga untuk menyertai peneroka tanah rancangan di Manchester Bahru pada 21/08/1985. Fakta ini didapati dalam kandungan belakang mukasurat 12 ikatan dokumen Defendan yang ditandakan sebagai P-3. Sekiranya Plaintif tidak hadir sebagai isteri, maka Defendan tidak layak menjadi peneroka FELDA Manchester Bahru.

29. Dalam keterangan Plaintif, Plaintif menyatakan Plaintif layak mendapat harta sepencarian kerana Defendan telah bersetuju untuk tinggal dan memasuki tanah rancangan FELDA bersama-sama dan menjaga serta mengusahakan rumah dan ladang kelapa sawit. Secara fakta, disepanjang tempoh perkahwinan dengan Plaintif Defendan tiada isteri lain. Defendan hanya berkahwin lain pada tahun 2008.

30. Pada peringkat awal menjadi peserta Plaintif pernah pergi ke ladang membantu Defendan meracun rumput, membaja pokok dan mengangkat buah. Plaintif dan Defendan sama-sama menaiki motor untuk ke ladang. Plaintif menyatakan seminggu dua kali Plaintif dan Defendan pergi ke ladang, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang Plaintif bantu Defendan. Dakwaan Plaintif tidak pergi ladang adalah tidak benar.

31. Plaintif mengetahui lokasi sebenar ladang kelapa sawit atas nama Defendan. Jarak perjalanan dari rumah mengambil masa dalam 10 ke 15 minit. Plaintif tidak dapat menyatakan jarak secara matriks kerana Plaintif bukanlah seorang yang terpelajar.

32. Anak lelaki pernah bawa Plaintif pergi ke kebun, jiran-jiran peneroka mengetahui kebun kelapa sawit diusahakan secara bersama-sama Plaintif dan Defendan  Dakwaan Plaintif ini turut disokong oleh SP-2 yang menyatakan Plaintif pernah turun ke kebun untuk membantu Defendan.

f)            ISU SUMBANGAN TIDAK LANGSUNG

33. Plaintif bukan sahaja menyumbang secara langsung, bahkan turut menyumbang secara tidak langsung. Plaintif pernah bekerja menjual nasi lemak, ambil upah memetik koko di kawasan FELDA Tenggaroh 2 pada peringkat awal menjadi peneroka. Usaha ini dibuat untuk membantu Defendan, kurangkan beban dan tambah pendapatan keluarga yang sedikit pada masa itu. Hasil pendapatan Plaintif, Plaintif membantu memperuntukkan belanja anak-anak ke sekolah dan belanja keluarga.

34. Plaintif juga bekerja sebagai cleaner di Hospital Tepi Pantai Manchester Bahru bermula tahun 1996 untuk mengurangkan beban perbelanjaan keluarga. Plaintif berulang alik dari FELDA Manchester ke Pekan Manchester Bahru dengan menaiki bas sehingga kini. Plaintif bekerja dengan izin Defendan.

35. SP-2 dalam keterangannya menyatakan semasa dalam tempoh perkahwinan Plaintif pernah kerja sebagai tukang cuci di Hospital Tepi Pantai dan pada masa yang sama Plaintif adalah seorang suri rumah. SP-2 pernah pergi ke rumah Plaintif dan melihat sendiri.usaha Plaintif menjaga rumah dan kebajikan keluarga.

36. Walaupun bekerja, Plaintif tetap meneruskan kerja-kerja rumah, Defendan tidak menyediakan pembantu rumah bagi menguruskan rumahtangga. Plaintif sebagai suri rumah melakukan kerja membersihkan rumah, menjaga rumah, menjaga anak-anak, membasuh pakaian anak-anak dan Defendan, memasak, menyediakan makanan, melipat baju dan lain-lain lagi. Perkara ini dilakukan seorang diri setelah Defendan mula kerja diluar FELDA dan jarang balik ke rumah.

37. Pengorbanan Plaintif melahirkan cahayamata Defendan seramai 4 orang juga adalah sebagai satu sumbangan tidak langsung. Plaintif telah memelihara dan menjaga kebajikan anak-anak sehingga ada yang telah bekerja. Dakwaan Defendan, Plaintif gagal menjaga anak dinafikan. Plaintif menyatakan anak ketiga telah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan 5. Anak keempat tidak berjaya tamatkan persekolahan kerana tertekan dengan sikap Defendan yang membawa perempuan bukan muhrim ke dalam rumah sehingga kawan-kawan anak keempat mengejeknya. Sekiranya Defendan turut membantu menjaga anak di sepanjang tempoh perkahwinan mungkin nasib anak-anak akan jadi lebih baik. Tapi keadaan adalah disebaliknya. Seorang anak yang masih dibawah tangggungan masih tinggal bersama Plaintif sehingga kini.

38. Plaintif bukan sahaja berusaha membantu Defendan dari segi tenaga, bahkan juga dari segi kewangan. Semasa tempoh perkahwinan, duit gaji berupa kad ATM Plaintif diberikan kepada Defendan. Defendan memaklumkan Plaintif duit digunakan untuk bayar kereta dan motosikal. Plaintif tidak ambil tahu tentang duit Plaintif yang digunakan oleh Defendan. Kerelaan Plaintif menyerahkan wang gaji kepada Defendan disepanjang tempoh perkahwinan juga dimaksudkan sebagai sumbangan secara tidak langsung dalam pemerolehan hartanah yang dituntut.

g. PEKELILING BIL.1/2006 JABATAN TANAH FELDA(P-6)

39. Bagi menguatkan hujah Plaintif, Plaintif merujuk kepada keterangan SP-3 Berkaitan Pekeliling Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA.Dokumen ini ditandakan sebagai P-6. Pekeliling ini adalah amalan dan kawalan dalaman pihak FELDA yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah. Pekeliling ini berbentuk peraturan dan tatacara bagaimana bekas isteri peneroka yang diceraikan menuntut hak harta sepencarian. Persoalan yang timbul: Adakah pekeliing ini sahlaku untuk dijadikan sebagai pemberatan dalam tuntutan hak Plaintif?

40. Plaintif merujuk kepada Perkara 4Pekeliling Bil.1/2006 Jabatan Tanah FELDA(dikemukakan dalam SO-2 ikatan dokumen tambahan Plaintif) dinyatakan seperti berikut:

“4. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN
Bekas isteri samada bercerai hidup atau bercerai mati layak menuntut harta sepencarian, bagi yang bercerai hidup, kelayakan tuntutan harta sepencarian ini tanpa melihat kepada sebab-sebab berlakunya perceraian tersebut.

Dalam konteks FELDA, syarat kelayakan tuntutan harta sepencarian ialah bekas isteri itu mestilah sama-sama masuk ke rancangan bersama suami dan tinggal bersama di rancangan sehinggalah berlaku perceraian.”

Plaintif juga merujuk kepada A.2(i) Pekeliling yang sama dinyatakan sebagai:

“i. Kadar pembahagian boleh dibuat berasaskan kepada 50% daripada jumlah bayaran kembali yang telah dijelaskan oleh suami kepada FELDA”.

41. Dalam pekeliling tersebut, pihak FELDA telah menetapkan secara khusus tatacara bagi janda peneroka untuk menuntut harta sepencarian. Meskipun GSA telah menetapkan kepada 3 golongan yang berhak dijadikan sebagai penama bersama, tetapi hanya janda peneroka yang ditetapkan secara teliti. Ini berikutan tuntutan yang banyak dikemukakan sehingga menjadi permasalahan kepada peneroka, pihak pengurusan FELDA dan pihak terbabit.

42. Dalam pekeliling yang sama, Plaintif menghujahkan bahawa kadar pembahagian yang dituntut sebanyak 50% adalah relevan berdasarkan perkara A.2 (i) (muka surat 3 Pekeliling). Setelah Seksyen 14(2) GSA menetapkan peletakkan tidak lebih dari dua nama sebagai pemegang. Dengan ada dua nama, maka hak dan cara pembahagian secara adilnya hendaklah dibuat secara sama rata. Ini dikuatkan pula dengan usaha bersama secara langsung dan secara tidak langsung sepertimana dihujahkan diatas.

43. Atas tafsiran SP-3 apabila nama Plaintif dijadikan sebagai pemegang bersama maka secara automatik pembahagian adalah secara sama rata atau 50:50. Setakat ini, hanya kaedah dalam pekeliling inilah yang digunakan oleh pihak FELDA dalam membuat keputusan atau nasihat kepada pihak yang berkepentingan.

44. Menjawab persoalan tentang adakah pekeliling ini sahlaku untuk dijadikan sebagai pemberatan dalam tuntutan hak Plaintif?. Plaintif menyatakan pekeliling ini adalah munasabah untuk dirujuk oleh pihak Mahkamah bagi menentukan hak janda peneroka FELDA berdasarkan tujuan atau ruh pekeliling ini diwujudkan.

h. PEKELILING KP PTG 42/2009 3.1(1) DAN (2) (P-7)

45. Plaintif juga mengemukakan Pekeliling KP PTG 42/2009 3.1(1) dan (2).Dokumen ini ditandakan sebagai (P-7)Pekeliling ini adalah untuk kegunaan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan (PTG) sebagai garis panduan melaksanakan Seksyen 14(2) GSA. Pekeliling ini perlu dipatuhi oleh Pengurus tanah rancangan seperti FELDA dalam menentukan kelayakan individu dan memasukkan pemegang bersama. Dalam perkara 2 pekeliling ini, dinyatakan latar belakang kepada pelaksanaan pekeliling adalah berpunca dari isteri atau bekas isteri yang kehilangan hak apabila berlaku perceraian.

46. SP-3 menyatakan bahawa selain dari FELDA pihak PTG juga turut mengeluarkan Pekeliling bagi mengatasi masalah kekeliruan dalam pembahagian hak dan penamaan pemegang selepas perceraian. Plaintif menarik perhatian Mahkamah kepada Pekeliling 3.1 yang dinyatakan seperti berikut:
“3.1 Terdapat tiga kategori individu yang layak dimasukkan sebagai pemegang bersama atau co-holder. Mereka ialah isteri atau bekas isteri atau waris kadim.
(i) Isteri
Isteri bermaksud seorang wanita yangdinikahi secara sah disisi undang-undang dan, dalam konteks garis panduan ini, adalah dimaksudkan sebagai isteri yang sama-sama memasuki rancangan dan bersama-sama mengusahakan tanah rancangan berkenaan.

(ii) Bekas isteri
Bekas isteri, dalam konteks garis panduan ini, bermaksud isteri yang perkahwinannya dengan pemegang pertama telah dibubarkan, dan semasa perkahwinannnya berkuatkuasa, bekas isteri tersebut turut sama menyumbang/ mengusahakan tanah rancangan.
….. “

Yang Arif,

47. Meskipun pekeliling ini tidak mengikat kepada mana-mana Mahkamah, tetapi garispanduan yang telah dikeluarkan boleh membantu untuk menafsirkan peruntukan harta sepencarian. Pekeliling ini dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang terpakai dan masih berkuatkuasa di PTG dan belum ada sebarang pindaan. Perkara ini dijelaskan oleh SP-3 dalam keterangan lisan beliau.

48. Plaintif merujuk perkara 3.1(1), isteri yang dimaksudkan dalam garispanduan ini adalah isteri yang sama-sama masuk tanah rancangan, maka jika Defendan menyatakan Plaintif tidak layak dan mahu menamakan isteri terkini Defendan, maka kemahuan Defendan adalah tertolak. Ini kerana isteri terkini Defendan hanya baru dinikahi pada tahun 16/13/2007. Sedangkan Plaintif telah bernikah dengan Defendan pada tahun 28/13/1976 dan Plaintif hadir temuduga menemani Defendan menjadi Peneroka FELDApada 2/12/1985. Plaintif telah berbakti kepada Defendan sejak tahun 1976 dan FELDA sejak 1985 sehingga diceraikan pada tahun 24/09/2006. Jadi dimanakah merit isteri Defendan terkini terlebih layak untuk dinamakan sebagai pemegang bersama?

49. Malah pekeliling ini juga dikuatkan dengan huraian istilah bekas isteri.  Plaintif adalah isteri yang berkahwin dan bercerai dengan Defendan dan semasa dalam tempoh perkahwinan, Plaintif juga turut sama menyumbang dan mengusahakan tanah rancangan. Perkara ini telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam isu sumbangan secara langsung dan tidak langsung. Jestru Plaintif adalah individu yang lebih layak untuk dijadikan pemegang bersama berbanding isteri Defendan terkini yang tidak merasai perit jerih menjadi peneroka.


i. WANG INSENTIF RAYA (P-8), INSENTIF PRODUKTIVITI PENEROKA (P-9)

50. Bagi menjelaskan maksud Wang Insentif Raya, SP-3 telah mengemukakan  sesalinan Notis Peraturan Bayaran Wang Insentif Sempena hari Raya Aidilfitri 2015/1436H bertarikh 8 Julai 2015. Dokumen ini telah ditandakan sebagai P-8.

51. SP-3 menyatakan dokumen ini adalah notis dari FELDA yang ditujukan kepada Pengurus FELDA. Pembayaran duit raya bersempena dengan Aidilfitri adalah salah satu insentif dari insentif lain yang diberikan kepada peneroka. Wang ini adalah tertakluk kepada budi bicara FELDA. Melalui pemberian ini pihak FELDA mahu supaya peneroka tetap meneruskan usaha perladangan dengan FELDA.

52. Kadar yang diberikan adalah sebanyak RM300.00 perkeluarga. Peneroka yang menerima insentif ini hanya peneroka yang masih bersama FELDA. SP-3 percaya janda peneroka mempunyai hak untuk menerima insentif ini. SP-3 juga menyatakan bahawa telah wujud beberapa aduan sebelum ini kepada pihak ibupejabat FELDA, bahawa ada janda peneroka tidak menerima wang insentif. Bagi mengelakkan perkara tersebut Mahkamah perlu menetapkan pembahagian insentif ini dalam bentuk perintah.

53. Begitu juga dengan Bonus Insentif Produktiviti Penerokayangditandakan sebagai P-9. Dengan fungsi dan maksud yang sama dengan wang insentif raya. Insentif produktiviti diberi berdasarkan kadar hasil kebun tahunan. Plaintif menghujahkan bahawa kesemua insentif yang dinyatakan adalah berkaitan dengan janda peneroka jua. Seksyen 122 EUUKINJ 2003 menyatakan “apa jua aset yang diperolehi”. Maka tanah kebun dan hasil FELDA yang diusahakan oleh peneroka adalah aset manakala hasil atau insentif yang terbit daripadanya, ia adalah perolehan semasa. Selayaknya wang tersebut dibahagi secara sama rata berdasarkan peruntukan undang-undang.

j. DIVIDEN FGV, KPF DAN SARADIRI TECHNOPLANT.

54. SP-3 menyatakan bahawa wang turut diberikan kepada peneroka apabila FELDA menyenaraikan saham FGV di Bursa. Peneroka menerima 800 unit saham, saham-saham ini diletakkan atas nama peneroka. Pihak FELDA telah membayar sebanyak RM15,000.00 untuk satu nama peneroka. Bagi mengelakkan pertikaian, pihak FELDA mengaturkan pemberian secara berjadual. Sebanyak RM5,000.00 untuk peneroka, RM5,000.00 untuk isteri atau janda peneroka dan baki RM5,000.00 untuk anak peneroka.

55. Dalam pembahagian kepada isteri, atas kebijaksanaan Pengurus, sekiranya ada isteri dan bekas isteri, maka bahagian RM5,000.00 akan dibahagi secara sama rata. Wang ini bersifat lump-sum dan one-off, tiada lagi pemberian. Sekiranya ada dividen hasil penyenaraian FGV, maka pembahagian tetap akan dibuat sepertimana perintah Mahkamah, pihak Pengurus akan tetap mengikuti perintah tersebut.

56. Wang saradiri adalah wang yang dikeluarkan oleh pihak Technoplant sementara ladang yang ditebang belum mengeluarkan hasil. Wang ini telah diterangkan sebelum ini. SP-3 menyatakan bahawa segala perolehan adalah termasuk dalam kategori harta sepencarian samada harta tidak alih seperti tapak rumah dan tapak ladang pertanian, wang saradiri adalah termasuk dalam kategori harta alih seperti hasil kebun dan wang insentif yang telah dinyatakan terlebih dahulu.  Kesemuanya dibahagikan mengikut perintah mahkamah.

57. Dalam kes ini Plaintif menghujahkan bahawa Plaintif tetap berhak untuk segala wang terbitan yang berpunca dari harta sepencarian yang dituntut ini.  Plaintif merasa bimbang sekiranya tidak diperintahkan, Defendan akan berusaha untuk mengenepikan Plaintif atau menafikan hak Plaintif. Kebimbangan ini berasas setelah Plaintif menilai perbuatan Defendan yang pernah mengambil kesemua hasil kebun selepas bercerai dan kecenderungan untuk mengeluarkan Plaintif dari FELDA.

58. Defendan mendakwa Plaintif telah mengambil bayaran FGV (FELDA Global Ventures) sebanyak RM2000.00 pada tahun 2013 sehingga satu laporan polis telah dibuat. Defendan juga menyatakan saham FGV bukanlah hasil kebun.

59.  Plaintif mengakui ada mengambil wang FGV setelah diberikan oleh pihak pengurusan FELDA. Ini kerana pihak pengurusan mengakui hak janda peneroka tidak sepertimana Defendan. Perkara yang disembunyikan oleh Defendan dari pengetahuan Mahkamah adalah Defendan sendiri ada menerima sebanyak RM2,000.00. Defendan hanya mengakuinya dalam soal balas Defendan. Malah sekiranya diperhatikan, Defendan secara tidak sengaja telah mendedahkan maklumat tersebut dalam dokumen Defendan yang ditandakan sebagai D-8 berupa laporan polis oleh Defendan pada 27/06/2013.

60. Berdasarkan keterangan SP-3,Plaintif mengulangi penghujahan bahawa segala imbuhan, terdiri dari wang sara hidup, bonus, saham, elaun dan apa-apa juga keuntungan atau manfaat adalah merupakan harta sepencarian. Kesemua imbuhan tersebut terhasil dari penyertaan peneroka dan penerokawati di dalam tanah rancangan FELDA. Dalam kes ini meskipun Plaintif telah bertukar status sebagai janda peneroka tetapi fakta bahawa Defendan memasuki FELDA dengan Plaintif tidak dapat dinafikan.

61. Selain daripada hujahan yang telah dikemukakan ini, Plaintif telahpun menyatakan isu, persoalan dan jawapan dalam hujahan yang difailkan terlebih dahulu. Plaintif juga telah memasukkan kes duluan dan peruntukan berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri Manchester untuk penelitian Yang Arif.


KESIMPULAN


62. Berdasarkan keterangan Plaintif, saksi-saksi Plaintif, fakta kes, alasan-alasan tuntutan harta sepencarianserta otoriti-otoriti dari sudut undang-undang, hukum Syara’ dan kes undang-undang yang telah diputuskan, Plaintif dengan rendah diri memohon dari Mahkamah yang Mulia ini agar meluluskan tuntutanseperti berikut:

i. Mengisytiharkan bahawa sebuah rumah dan tapak rumah yang didaftarkan sebagai No. Hakmilik PA JHK1234, Lot PHJ123 yang mempunyai alamat No.999, FELDA Manchester, New England, 0007,  , Manchester City adalah harta sepencarian diantara Plaintif dan Defendan;

ii. Ladang kelapa sawit yang dipegang di bawah hakmilik PA 10912384, lot alsdkjf, 123445 juga diisytiharkan sebagai harta sepencarian;

iii. Nama Plaintif dimasukkan ke dalam hakmilik tanah tapak rumah dan tanah ladang kelapa sawit sebagai Pemegang Bersama (co-holder);

iv. Hasil bulanan ladang kelapa sawit dibahagi dua (2) iaitu 50% kepada Plaintif dan 50% kepada Defendan mengikut jumlah hasil yang boleh diperolehi;

v. Segala bantuan sara hidup, bonus, saham, elaun dan apa-apa juga keuntungan atau manfaat yang diterima oleh Defendan hendaklah dibahagi dua juga iaitu 50% kepada Plaitnfi dan 50% kepada Defendan;

vi. Segala bahagian milik Plaitnif dimasukkan terus ke dalam akaun Plaintif melalui akaun Maybank Plaintif bernombor ASBDE3R23445;

x. Apa-apa perintah yang difikirkan adil dan sesuai demi keadilan Plaintif dan Defendan.

Disclaimer: Tidak ada kene mengene terhadap pihak yang hidup ataupun telah mati, segala karakter yang digunakan adalah fiksyen semata-mata. Cuma boleh dijadikan pengajaran (kalau berguna) khususnya dalam kes tuntutan janda peneroka atau isteri kedua setelah isteri pertama mati atau cerai selepas seketika masuk tanah rancangan.

Tulisan ini berbentuk hujah yang tidak bermata, maksud saya boleh digunakan untuk claim janda peneroka ataupun isteri kedua setelah isteri pertama meninggal dunia atau masih hidup tapi tak pernah tinggal dalam felda pun.            

Semoga memberi faedah kepada tuan-tuan dan puan-puan. perbincangan lanjut bubuh sendiri dalam komen. terima kasih.