Showing posts with label pondok ledang. Show all posts
Showing posts with label pondok ledang. Show all posts

Friday, November 4, 2016

SUNAN TARMIZI: PERBEZAAN SHAFIE DAN HAMBALI

BAB 169 DIDATANGKAN HADIS PADA MAKRUH SOF DIANTARA DUA TIANG

(Perbezaan pengambilan hukum mazhab shafie dan hambali serta zohiri: Syarah oleh Maulana Hussein Abdul Qadir Yusufi)

1. Hadis 229 daripada Abdil Hamid bin Mahmud berkata: Kami solat dibelakang salah seorang  pemimpin , manakala manusia terlalu ramai, maka kami solat diantara dua tiang. Di ketika selesai solat Anas bin Malik berkata: Kami mengelak ini (solat diantara dua tiang) semasa di zaman Rasulullah SAW.
2. Telah menghukumkan makruh segolongan kaum dari ahli ilmu mendirikan sof diantara dua tiang.
Yang berpendapat sedemikian Ahmad (Ahmad bin Hanbal) dan Ishaq (ishaq bin Rahawiah)

Syarah:

3. Dalam syarah hadis, Anas bin Malik tidak menggalakkan sof jemaah diantara dua tiang kerana tiang Masjid Nabawi pada asalnya tidak selari. Jika beratur diantara dua tiang maka sof tidak akan sama. Tetapi sekarang sudah tidak ada masalah, tiang di Masjid Nabawi telahpun lurus dan larangan ini sudah tidak berlaku.

4. Yang masih berpendapat makruh adalah Imam Ahmad bin Hanbal (Pengasas Mazhab Hambali) beliau beramal dengan zahir hadis manakala imam-imam yang lain melihat kepada situasi yang berbeza setelah tiang masjid Nabawi lurus dan teratur, maka makruh sudah tidak berlaku.

5. Begitu juga dengan Ishaq, beliau terkenal dengan mazhab Zahiri, kalau hadis kata putih, putihlah ia, kalau hitam, hitamlah ia. Imam Ahmad seperti Imam Ishaq beramal dengan zahir hadis manakala Imam Shafie berijtihad dalam Hadis tersebut dan tidak menghukumkan makruh.
PERBEZAAN PADA IJTIHAD ANTARA MAZHAB SHAFIE DAN MAZHAB HANBALI

6. Di dalam Hadis Nabi bersabda, seseorang bangun tidur, janganlah memasukkan tangan ke dalam bekas mengambil wudhu’ melainkan selepas basuh dahulu tangannya.

7. Imam Ahmad bin Hanbal menghukumkan dengan zahir hadis, jika bangun dari tidur terus memasukkan tangan kedalam bekas air maka ia jadi najis kerana berasaskan dari hadis, “Iza istaiqaza minallail... fainnahu la yadri aina batat yadahu”

8. Imam Shafie kata hadis ini pada masa permulaan Islam. Tabiat orang Arab pakai kain semasa tidur. Bila istinja dengan batu, tidak menggunakan air, air susah, manakala keadaan panas menjadikan badan berpeluh. Maka apabila pakai kain maka kita dah boleh agak bagaimana situasi tidur pakai kain, kadangkala kain naik atas kepala.

9. Maka dalam kajian Imam Shafie, pada masa itu kalau tidur pakai kain, jika dia yakin tangan ada najis, maka air akan jadi najis. Tapi kalau pakai seluar ia yakin tiada najis maka air tak akan jadi najis, maka tiadalah makruh.

10. Kita kena tahu bagaimana para Imam berijtihad, kerana mereka akan bermain dengan zahir perkataan hadis. Apabila amalan kita tidak serupa dengan mereka, maka mereka akan pakai hadis bid’ah, maka kita ini akan masuk neraka belaka.


PERSOALAN QUNUT

11. Dalam mazhab Shafie, membaca qunut adalah Sunat Ab’adh. Datang hadis menyatakan qunut dibaca dalam tempoh sebulan sahaja. Adakah Imam Shafie tidak tahu tentang hadis tersebut? Imam Shafie sebagai mujtahid lebih tahu dan faham hadis tersebut dan telah mengkaji serta memperhalusinya.

12. Punca qunut dibaca berlaku pada awal kempen dakwah Rasul ke luar Madinah melalui sahabat-sahabatnya. Dihantar segerombolan sahabat yang hafiz quran, Nabi hantar 70 orang quro’, bila sampai ke satu tempat semua sahabat tadi kena bunuh.

13. Rasul sedih lalu Rasul sebut nama ketua kaum yang membunuh sahabat tadi dalam qunut, sehinggalah Allah menyatakan “Laisa laka minal amri shaiun” ertinya tiadalah atas kamu bertanggungan sesuatupun atas perkara tersebut. Lalu Rasul pun berhenti menyebut nama ketua kaum tersebut, namun tetap berterusan membaca qunut sampai sudah tetapi dengan tidak menyebut nama ketua kaum. Ada pihak menyatakan Hadis yang dinaskan oleh Imam Syafie adalah dhoif melalui riwayat Abu Hurairah, riwayat yang menyatakan nabi baca qunut sampai wafat.

14. Apa masalah kita nak larang orang nak baca qunot?? Selepas 1,100 tahun tiada sesiap bising dan tiada masalah perbalahan antara pengikut Shafie dan Hanafi. Kenapa sekarang kita sibuk nak kata dalil Imam Shafie tidak kuat? Maka tidak payah baca qunut. Seolah-olah Imam Shafie bodoh dan mereka cerdik. Mereka menghukum dengan zahir hadis manakala Imam Shafie kaji selidik sekecil-kecilnya.

15. Selama ini Masjid yang mengamalkan mazhab Hanafi seperti Masjid India tiada sebarang perbalahan pun. Bila ada orang kita buat sujud sahwi di Masjid India, mereka tidak balah pun. Imam Qadhi Abu Yusuf (bermazhab Hanafi) kata, apabila bersolat di belakang orang bermazhab Shafie dengan qunut maka perbuatannya berqunut adalah khilaf aula.

16. Selama ini tok sheikh jual carpet tidak ada masalah apabila solat di negara kita sejak dahulu lagi. Inilah isu yang dimainkan oleh puak-puak tersebut. Bila duduk di tempat mazhab Hanafi mereka kata dalil qunot kuat.  Tak ikut pendapat ni masuk neraka.  Kita dah bahaskan isu khilafiah ini namun mereka tetap tidak berhenti sehingga kita ikut mereka, hanya letih sahaja yang kita dapat.

17. Lebih baik sebar ilmu hadis dari berbahas, rugi masa dan makin tambah serabut. Dia menang ke kalah ke kita tetap dikatakan masuk neraka juga. Yang penting kita kenalah istiqamah belajar hadis terangkan kepada kawan-kawan kalau tak mengaji lama-lama kita pun kata Allah duduk atas arasy. Didiklah anak supaya dapat pelajaran.


Catatan 07/10/2016 11.45 malam Pondok Ledang, Bandar Baru Uda, Johor Bahru. 

Post: Sukar untuk melampiaskan nafsu menulis tatkala diri dihimpit ruang waktu, celahan masa yang kian menghilang tak sempat tercapai dek tanggungjawab nan banyak. Allahu musta'an.






Friday, March 6, 2015

Mimpi keluar Mani 'Wet Dream' dan Arab Spring ke Yahudi Summer.

 
 
 
Pra: 6/3/2015 Hari ini agak lewat ke daurah Maulana, melayankan Maulid sampai dua tempat dalam satu taman. MasyaAllah Tabarakallah, akhirnya dua dua maulid pakcik tak pergi. (correction: pegi makan je) pas tu pakcik pergi daurah. Tarikan Abu Isa At-Tirmizi lebih kuat dari yang lain. Apapun siapa yang pergi majlis ilmu tak kira dimana tempatnya sebenarnya dia tidak rugi, yang rugi yang tak pi langsung.
 
1. Masa sampai Maulana sedang mensyarahkan hadis ke 110 Bab Pada Menyatakan Sesungguhnya Air daripada Air:  Daripada Ubai bin Kaab "Sesungguhnya air daripada air, itu adalah rukhsah pada permulaan Islam, kemudian ia dilarang daripadanya" Syarh: air yang pertama adalah ghusl atau mandi wajib, manakala air yang kedua adalah air mani. memberi erti apabila keluar air mani maka hendaklah mandi wajib.
 
2. Hadis ini dilihat konflik dengan hadis sebelumnya kerana hadis yang ke 108 menyatakan apabila bertemu dua kemaluan 'khitanani' (bersetubuh) maka hendaklah mandi wajib. Manakala Hadis 110 kata apabila keluar air mani baharulah mandi wajib. 108 berjimak sahaja sudah kena mandi meskipun tidak berlaku inzal/keluar mani/ejaculation tapi jika difaham secara literal hadis 110, jimak yang diwajibkan mandi, hanyalah jimak yang mencapai tahap inzal. Jadi disinilah keistimewaan Abu Isa dalam mengarang Sunan/Jami' Tirmizi apabila mengumpulkan hadis yang bertentangan lalu di harmonikan hadis-hadis tersebut.
 
3. Dikatakan bahawa Hadis 'air bertemu air' ini di mansukhkan oleh hadis 108. Bermakna sekiranya berjima' tetapi tidak keluar mani sekalipun maka mereka tetap kena mandi wajib. Inilah yang dipakai oleh kebanyakan ahli ilmu.
 
4. Ibnu Abbas mempunyai pendapat yang sedikit pelik: sekiranya mimpi berjima' (wet dream) keluar mani maka wajib atasnya mandi akan tetapi sekiranya tidak mengalami mimpi jima' tetapi keluar air mani maka orang itu tak perlu mandi.
 
5. Maulana menerangkan tentang hukum nasakh dan mansukh, meskipun dalil yang di'nasakh' itu bermaksud dibatalkan akan tetapi ia tidak semestinya semua yang nasakh itu nasakh. Ada juga nasakh yang boleh diamalkan dalam keadaan tertentu seperti contoh ayat mengenai kiblat: dalam surah Al-Baqarah ayat nasakh adalah mengenai keharusan untuk solat mengadap kemana sahaja, kerana dimana-mana sahaja ia mengadap Allah. Bab ni Maulana kata kena berhati-hati kerana ada terjemahan menerangkan secara literal 'fasamma wajhullah" itu maka kamu mengadap 'wajah Allah'. Sedangkan Allah tidak mempunyai wajah sepertimana yang kita bayangkan, kerana Allah tidak boleh disamakan dengan makhluk mempunyai rupa, jadi  mesti ditakwilkan dengan mengadap ke kiblat. Iaitu sebelum dimansukhkan ayat ini, orang Islam boleh solat mengadap kemana sahaja, kerana kiblat belum ditentukan.
 
6 Kemudian datang ayat 144 Surah Al-Baqarah menyatakan hadaplah wajah kamu ke masjidil Haram (kaabah) maka ayat ini memansukhkan ayat boleh solat mengadap kemana-mana sahaja atau ke baitul maqdis. Oleh sebab itu wajib kita solat fardhu mengadap masjidil haram dan batal solat fardhu jika terpaling dada dari kiblat. Tetapi kita masih boleh beramal dengan ayat Nasakh iaitu solat mengadap mana sahaja dalam kes solat sunat atas kenderaan.

7. Boleh sahaja jika kita naik bas tengah malam, solat sunat duduk dan tidak mengadap kiblat, boleh buat sunat tahajud, witir, taubat, hajat. Kalau jauh perjalanan boleh buat solat sunat tasbih sekali. Jadi solat sunat boleh dilakukan tanpa mengadap kiblat semasa diatas kenderaan sekiranya mempunyai wuduk. 
 8. Seterusnya Bab 82 - Pada Menyatakan Barangsiapa Terjaga Dari Tidur Melihat Air Mani, Tapi Dia tak Ingat Samada Dia mengalami Mimpi Atau Tidak. Daripada Aisyah berkata, seseorang bertanya kepada Rasul berkenaan lelaki yang menjumpai air mani tetapi dia tidak ingat samada ia bermimpi sebelumnya atau tidak. Rasul menjawab "mandi". Dan berkenaan seorang lelaki pasti bahawa ia bermimpi berjima' tetapi apabila jaga ia tidak nampak air mani. Maka Rasul menjawab, tidak perlu mandi. Bertanya Ummu Salamah, Wahai Rasul adakah orang perempuan melihat seperti yang demikian perlu mandi, Rasul berkata "Ya, Akan tetapi orang perempuan susah nak keluar (mani) berbanding dengan orang lelaki."
 9. Daurah harini tamat pada Hadis ke 113, seperti biasa Maulana sebelum berhenti akan bertanya sambil berseloroh, "Boleh lagi" ke "Dah boleh?", kemungkinan apabila melihat kami yang kepedihan mata menahan mengantuk masing-masing kerana jam sudah menunjuk ke 11.00 lebih. Begitulah Maulana yang memahami kami santrinya di Pondok Ledang yang rata-ratanya bekerja disiang hari sepenuh masa. Tahap-tahap 'Ruhban bil lail wa fursan binnahar' (Abid di waktu malam, pahlawan berkuda disiang hari) belum tercapai lagi. Belum lagi berjihad di medan tempur, baru berjihad di medan ilmu, itupun sudah tidak tahan menahan kelopak mata. 
 10. Dikesempatan ini, pakcik selalu mengumpul soalan tentang mana-mana Hadis yang samar-samar maksudnya, itulah peluang bila berdamping dengan orang berilmu, dapat mencerahkan yang kelam, keluar dari jahil menuju ke cahaya. Hadis yang ditanya adalah tentang Hadis ke 2271 Sahih Bukhari dalam Kitab Fathul Bari perihal "Sewaan atau Upah seseorang daripada waktu Asar hinggalah ke Malam". Hadis ini ada hubungkait dengan peristiwa akhir zaman. Pelik kan? bagaimana bab upah ada link dengan akhir zaman, tu lah nak cakap... tapi Maulana minta saya wazzapkan dahulu keratan hadis tersebut untuk diteliti. Jadi tuan puan kenalah bersabar yea. Maulana nampak je tawadhuk cenggini, guna wazzup jugak be! (hadis tu ada dalam entry sebelum ini)
 
 
 11. Usai Daurah, macam biasa Maulana dan santri mengadap jamuan pula, tadi santapan rohani sekarang santapan jasmani. Tapi kalau nak tahu Maulana paling suka bila ada lauk kari. Jadi kalau nak makan kari dari dapur Pondok Ledang, lepas kuliah Maulana sila-silalah ke Pantry yea. (Hancur Diet Atkins Pakcik). Satu rahsia bila berdamping dengan tok tok guru. Apabila kita rajin berkhidmat kepada Tok Guru maka Tok Guru tidak akan lokek dengan ilmu, bahkan mesti dapat extra special tak macam dalam dewan pengajian. Sebab tu para santri berebut rebut memberikan khidmat ...kalau nak tahulah.
12. Hiwar (temubual) kali ini menyambung topik kepimpinan. Terus terang kekelaman kepala otak pakcik sikit sikit di cerahkan oleh hiwar maulana di pantry sebegini. Sebelumnya telah diterangkan mengenai bagaimana akhlak ulama' salafus soleh apabila berhadapan dengan situasi bertentangan pendapat dengan pemerintah. Imam mazhab yang empat kesemuanya mempunyai pengalaman getir bersama pemerintah masing-masing. Bukan penentangan itu yang dilihat tapi bagaimana menangani masalah Negara mengikut kaedah yang betul itulah yang nak diikut. 
13.  Keempat-empat salafus soleh berhadapan dengan penguasa yang 'jabarut' atau mencengkam corak pemerintahan mereka. Pengalaman ini turut di rasai oleh Umar Bin Abdul Aziz semasa di bawah pemerintahan Hajaj. Hajaj mempunyai kebolehan berhujah, pada suatu ketika Hajaj memberikan khutbah Jumaat, satu masalah kepada Hajaj, apabila bercakap susah nak berhenti. Seringkali khutbah Jumaat terlajak sampai ke waktu asar. Ini meresahkan Umar, dalam satu peristiwa, Umar telah bersolat Zuhur dalam keadaan yang tidak diketahui oleh orang lain, walau orang disebelahnya. Ini kerana Umar tidak mahu perbuatannya akan diikuti oleh orang lain sehingga menimbulkan penentangan terhadap Hajaj. Berkat kesabaran Umar, bila tiba giliran pemerintahannya, maka Allah memberkati Daulah pada waktu itu dengan keberkatan dan kemakmuran. 
14. Menyoroti pula 'thaurah' kebangkitan rakyat tertindas di Negara-Negara Arab seawal tahun 2010an atau Arab Spring, dimana rakyat turun ke jalan-jalan menunjuk perasaan menggulingkan kerajaan. Perkara ini bertentangan sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Salafus soleh terdahulu, yang sabar dan mengambil pendekatan berbeza. Hasilnya dapat dilihat kini, Mesir yang dahulunya agak aman kini menjadi tidak menentu selepas Mubarak digulingkan, masa depan Ikhwanul Muslimin Mesir yang merakyat di hati masyarakat pada masa dahulu kini diburu bagaikan penjenayah nomer Wahid. Syria pula apa dah jadi sekarang, potong kepala manusia dah jadi macam ekshibition model kereta baru layaknya. Mungkin ada orang akan argue video adalah ciptaan inteligen Amerika, tapi bagaimana pula video amatur tawanan perang tanpa mengira umur dan jantina ditembak macam penghapusan etnik ayam berpenyakit hawar. Video penglibatan orang Melayu dalam aksi selepas potong kepala berselfie bagai menambahkan buktinya. ......... Jadi dimanakah kebaikannya?   
15. Telah pakcik fikirkan semula mauqif (pendirian) Almarhum Said Ramadhan Al-Buthi dan Mufti Ali Jum'ah apabila tetap berada di kedudukan samping pemerintah, meskipun dilihat orang seumpama ulama' yang tidak mengikut arus perdana. Dikala semua orang turun ke jalanan menuntut guling pemerintah, tapi mereka seumpama tidak Nampak apa yang berlaku, sebenarnya mereka tahu apa yang akan terjadi, maka jadilah apa yang terjadi sekarang. Apabila menggulingkan pemimpin dengan cita-cita mendapat pemimpin yang lebih baik, tetapi keluar mulut harimau terjun masuk mulut buaya. Allaaah! (ulasan: tukar pemimpin guna cara paling aman seperti pemilihan/pilihanraya/syura/demokrasi itu bukan guling namanya)
16. Sekonyong-konyong membicarakan tentang pemerintahan, pakcik terus teringat tentang Risalah Tatmimul Faedah yang disisipkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Alfathoni selepas tamat membahaskan Muniatul Musolli, kalau nak tengok sila selak mukasurat 31 yang cetakan bin Halabi Fathani-Thailand. Gambonya ada kat atas untuk dirujuk. Suka pakcik petik: "...Iaitu bayang-bayang Allah pada muka bumi, maka apabila baik ia maka baginya pahala dan atas segala kamu syukur, dan apabila jahat maka dosa atasnya dan atas kamu sabar"  (baris 13 dari atas)
 
17. Benar! pendapat ini tidak popular berbanding slogan "lawan tetap lawan" tapi ia juga tidak menafikan tugas ulama' untuk menegur pemimpin zalim dan mencegah kemungkaran. 'Mencegah' ini patut difikir habis habisan sebelum tindakan ofensif diambil, belek beleklah sirah Rasulullah semasa berhadapan dengan kafir Quraish. Tatkala Rasul dihalang dari menunaikan Haji pada tahun 6 Hijrah, Rasul tidak pula melenting dan menyerang Mekah meskipun keupayaan telah ada, Hasilnya rundingan dimaterai bernama 'Perjanjian Hudaibiah'. Umar mempunyai pendapat berbeza apabila tidak bersetuju dengan isi kandungan pejanjian tersebut tetapi tidaklah pula ia membangkang Rasul.
 
18. Walhasil, perjanjian Hudaibiah yang dilihat berat sebelah telah membuatkan Islam dapat berkembang lebih luas. Selepas perjanjian damai dengan kafir Quraish dimaterai, Rasul dan para sahabat melancarkan gerak dakwah keluar dari Kota Madinah. Diwaktu itu juga para Yahudi licik dihalau kesemuanya keluar Madinah pergi ke Khaibar. Islam makin tersebar luas kerana Nabi dan Sahabat tidak disibukkan dengan ancaman perang Quraish. Akhirnya Perjanjian 'berat sebelah' itu menguntungkan Islam.
 
19. Oleh itu fikir betul-betul, sebelum bertindak, lihat kemampuan diri, nilai kekuatan sebelum menyerang. Saya petik lagi buku dan mukasurat yang sama di baris 16 dari bawah: Kata Malik bin Dinar, "ku dapat setengah yang diturun daripada langit firman Allah Taala " Aku raja bagi segala raja raja, hati segala raja pada tanganku, maka barangsiapa taat akan daku, aku jadi akan mereka itu atasnya Rahmah, dan barangsiapa maksiat akan daku jadikan mereka itu atas siksaku, maka jangan membimbang akan kamu akan lidah kamu jangan memaki-maki raja dan tetapi taubat kamu kepada Allah bahawa dilambat akan hati mereka itu atas kamu ......... 
 
20. Kenapa disuruh kita sabar dan bertaubat?     ini adalah kerana pemerintah semuanya datang dari kita, tiada pemerintah tanpa rakyat. Ada pemerintah dipilih rakyat, jadi dalam keadaan pemerintah yang zalim, maka kesalahan tidak sepatutnya kita lihat pada pemerintah sahaja, tetapi kita patut lihat pada diri kita, amalan kita, dosa kita, lalai kita daripada mengingati Allah. Bala Allah bukan sekadar kemarau, banjir, perang akan tetapi raja yang zalim juga adalah salah satu ujian dan bala dari Allah sebagai peringatan kepada orang mukmin, jadi bertaubatlah kerana atas kesalahan kitalah maka kita dapat pemerintah yang zalim dan jabarut!.
 
21. Gunakanlah apa jua kuasa yang ada secara hikmah dan mauizatil hasanah, guling mengguling tidak akan mendatangkan kebaikan malah mungkin mendatangkan lebih buruk, tumbang Muammar Ghadaffi sampai sekarang Libya tak aman-aman, tumbang Mubarak dapat Al-Sisi, Tumbang Saddam dapat Nuri Al-Maliki, belum tumbang Al-Assad dah dapat Abu Bakar Al-Baghdadi. Adakah contoh lain yang lebih baik dapat kita bawakan hari ini hasil dari guling mengguling?, jadi ini semua membenarkan Sabda junjungan melalui kalam Anas bin Malik:
 
عَنِ الزُّبَيْرِ بْنِ عَدِىٍّ قَالَ أَتَيْنَا أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ مَا نَلْقَى مِنَ الْحَجَّاجِ فَقَالَ « اصْبِرُوا ، فَإِنَّهُ لاَ يَأْتِى عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلاَّ الَّذِى بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ » . سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ – صلى الله عليه وسلم -
 
Dari Az Zubair bin ‘Adiy, ia berkata, “Kami pernah mendatangi Anas bin Malik. Kami mengadukan tentang (kekejaman) Al Hajjaj pada beliau. Anas pun mengatakan, “Sabarlah, karena tidaklah datang suatu zaman melainkan keadaan setelahnya lebih jelek dari sebelumnya sampai kalian bertemu dengan Rabb kalian. Aku mendengar wasiat ini dari Nabi kalian shallallahu ‘alaihi wa sallam.” (HR. Bukhari no. 7068).
 
22. Fahamilah kaedah fiqhiah, "mengambil mafsadah (kerosakan) yang lebih ringan bagi mengelakkan mafsadah (kerosakan) yang berat". Benar, adalah memeritkan duduk dibawah pemerintah yang zalim lagi boros lagi menjengkelkan, tetapi apabila digulingkan apakah ada jaminan pemimpin yang akan datang itu lebih baik atau lebih setan dari yang sedia ada, sejarah dan keadaan semasa telah membuktikan. Mengambil faedah dari peristiwa Arab Spring ...tidak mustahil campurtangan Amerika/Israel akan mengambil kesempatan dalam keadaan huru-hara  adakah itu yang kita mahukan?
 
Post: Ini adalah pendapat peribadi sahaja, tidak membabitkan sebarang pertubuhan atas mana-mana majlis. Pakcik menulis atas pemerhatian waqi' dengan meminta pendapat ulama' bukan ular dalam semak. Tidak setuju adalah lumrah, berpecah membawa punah ranah. Wallahua'lam

Wednesday, February 4, 2015

PERIHAL RASUL BERIBADAT TENGAH MALAM


 
 
Pre: Rabu malam Khamis pengajian kitab “Raudhatul Anwar Fi Shamail Nabiyul Mukhtar” karangan Sheikh Ibrahim Masran AlBanjari Hafizahullah. Himpunan sebanyak 241 Hadis terpilih dari Kitab Syamail Muhammadiah karangan Imam Tarmizi Rahimahullah. Syeikh titipkan untuk anak muridnya dalam bentuk buku comel di daurahkan setiap minggu di Pondok Ledang. Semoga kita berazam untuk mengikuti Sunnah baginda Rasul SAW dengan cara mengaji dan berguru secara talaqqi di setiap masa dan kesempatan InsyaAllah. Doakan saya. Harini hadis ke 43 m.s 57-58:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ‏:‏ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ‏:‏ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الأَسْوَدِ بْنِ يَزِيدَ، قَالَ‏:‏ سَأَلْتُ عَائِشَةَ، عَنْ صَلاةِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِاللَّيْلِ‏؟‏ فَقَالَتْ‏:‏ كَانَ يَنَامُ أَوَّلَ اللَّيْلِ ثُمَّ يَقُومُ، فَإِذَا كَانَ مِنَ السَّحَرِ أَوْتَرَ، ثُمَّ أَتَى فِرَاشَهُ، فَإِذَا كَانَ لَهُ حَاجَةٌ أَلَمَّ بِأَهْلِهِ، فَإِذَا سَمِعَ الأَذَانَ وَثَبَ، فَإِنْ كَانَ جُنُبًا أَفَاضَ عَلَيْهِ مِنَ الْمَاءِ، وَإِلا تَوَضَّأَ وَخَرَجَ إِلَى الصَّلاةِ‏.

1. Daripada Aswad bin bin Yazid R.A, aku bertanya kepada Aisyah R.A tentang solat malam Rasul SAW, Aisyah menjawab; Rasul SAW tidur awal malam, dan baginda menghidupkan (beribadat) di akhir malamnya. Apabila mendekati waktu sahur, Baginda mendirikan solat witir. Sesudah itu, beliau kembali ke tempat tidur. Sekiranya Rasul SAW berhajat ke atas isteri Baginda, baginda akan melakukan hajatnya. Ketika mendengar seruan azan. Baginda bergegas bangun (untuk solat). Jika baginda bangun dalam keadaan berjunub, baginda akan mandi terlebih dahulu. Jika tidak, cukup sekadar mengambil wudhu’ lalu keluar (ke Mesjid) ke tempat solat.  

2. Syekhuna Ibrahim semoga Allah merahmatinya menyatakan, Hadis ini yang menerangkan tentang ibadat Rasul SAW pada waktu malam. Rasul membahagikan malamnya kepada ibadat dan berehat. Ada satu bahagian malam dikhususkan untuk beribadat kepada Allah.
3. Berbanding dengan kita, sepanjang malam tidur, siang tidur, dalam kuliah pun tidur lagi. Kita ini banyak tidur. Rasul beribadat pada waktu pagi sehingga menjelang subuh adakalanya menggerakkan isterinya untuk beribadat sekali. Begitulah juga yang sepatutnya kita buat.
4. Untuk isteri yang menggerakkan suaminya untuk beribadat di tengah malam, akan dapat pahala atas usahanya. Sekalipun kena merenjis air ke muka suami, tapi jangan jirus air ke mukanya, takut nanti dapat cerai pula.
5. Saidatina Aisyah R.A tidak berasa malu meriwayatkan Hadis tentang Rasul SAW kerana ilmu. Apabila ditanyakan oleh para sahabat perihal Rasul sewaktu berada di rumah.
6. Rasul apabila mendengar azan terus bangun untuk pergi Solat, kalau kita lagi tarik selimut.
7. Sunat mengambil wudhu’ dirumah sebelum pergi Masjid. Kalau nak pakai air masjid untuk berwudhu’ jangan buka air kuat-kuat. Kecilkan jumlah air yang digunakan untuk wudhu supaya tidak berlaku pembaziran.
8. Sesudah bersama dengan isteri kenalah mandi wajib terlebih dahulu di rumah, jangan pergi mandi di Masjid pula.
Post: Sampaikan dariku walau satu ayat. Jadikanlah usahaku ini dan mereka yang mem’viral’kan kalam Rasul sebagai asabab mendapat Syafaat di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin. ..udah pagi yeop!
 

Wednesday, January 21, 2015

Bulughul Maram: Sheikh Husni Ginting: Pondok Ledang


Bulughul Maram kitab malam ni dan malam besok
Post: 21/01/2014 Pondok Ledang BBU JB
Sheikh Husni Ginting al-Lankati
Kitab Bulughul Maram oleh
Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi Al-Azhari Al-Malayui
Percetakan al-Anuarul Muhammadiyah. Cairo
m.s 93 - 97
sebarkan kebaikan walau dengan share button fb pondok ledang
Bab Syarat Solaah:

1. Dari Jaabir r.a Nabi SAW telah bersabda baginya. Apabila adalah kain itu luas maka berselimutlah dengan dia, ya’ni didalam sembahyang. Dan bagi Muslim: Maka selang selikan antara dua hujungnya, dan jika ada kain itu sempit maka bercuking (jadikan kain) dengan dia. Bersetuju atasnya riwayat Bukhari dan Muslim. Dan bagi Bukhari dan Muslim daripada Hadis Abu Hurairah r.a tiada boleh sembahyang seseorang daripada kamu pada kain yang satu, yang tiada atas bahunya daripada sesuatu.
Bulughul Maram ms 93 Syarat Solah, beserta dhabit al-faqeer abu razeen
2. Hadis ini adalah mengenai cara berpakaian menutup aurat semasa dan diluar solat, wajib atas kita menutup aurat samada lelaki atau perempuan.

3. Pada zaman Rasul SAW, ada sahabat yang susah dan hanya mempunyai pakaian berbentuk sehelai kain sahaja. Di dalam Sahih Bukhari ada disebut tentang ada seorang wanita datang kepada Rasul lalu berkata, “jadikan aku isterimu” Saidina Anas ceritakan kepada anaknya. Lalu anaknya berkata: “Orang ini tidak tahu malu”.Anas memarahi anaknya, lalu berkata: orang ini lebih bagus dari kamu”.

4. Semasa Rasul melihat wanita tersebut, (dibenarkan untuk melihat bagi tujuan meminang) lalu berkata seorang sahabat, “jika kamu tidak mahu, berikan kepadaku”. Lalu Rasul bertanya: “Apakah yang kamu ada?”, Sahabat itu menjawab: “Aku ada kain”. Rasul bertanya kepada Sahabat tersebut: “Jika kamu memberi kain tersebut kepada wanita ini, apa yang kamu ada?”.

5. Peristiwa ini menunjukkan kehidupan para sahabat yang serba kekurangan. Ada yang hanya mempunyai sehelai pakaian Malah ada yang solat dengan sehelai kain sepertimana dalam hadis diatas.
Sheikh Husni Ginting al-Lankati al-Azhari, Musnid Asia Tenggara. Daurah di Pondok Ledang sebulan sekali talaqqi kitab Bulughul Maram 2 malam berturut-turut.
6. Oleh sebab itu,  dalam satu riwayat dari Abu Hurairah r.a., Rasul SAW. bersabda: "Sebaik-baiknya saf bagi kaum lelaki ialah saf pertama-nya, sedang seburuk-buruknya saf bagi mereka ialah saf yang penghabisan. Adapun sebaik-baiknya saf bagi kaum wanita ialah saf penghabisan, sedang seburuk-buruknya saf bagi mereka ialah saf pertamanya."  [Muslim] Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah perempuan yang berada di saf depan berkemungkinan akan berada berhampiran dengan sof lelaki paling belakang. Maka pada zaman Rasul, perempuan yang solat di Masjid, bangun dari sujud disengajakan lambat supaya tidak terlihat aurat lelaki yang berpakaian cukup-cukup sahaja.

7. Sheikh Ali Jum’ah berkata ciri-ciri pakaian menutup aurat adalah, kain dari jenis yang tidak menampakkan warna kulit, contohnya kain kebaya yang dipakai kebanyak perempuan. Kadang-kadang sempit dan nipisnya pakaian sehingga menampakkan warna kulit. Itu haram. Kemudian pakaian tersebut hendaklah tidak sempit sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.
8. Ada orang pernah berkata, kalau lelaki berpakaian sempit muat-muat badan kita melihat tak rasa apa-apa pun. Ya memang kita melihat tidak apa-apa, bagaimana pula dengan perempuan yang melihat lelaki yang pakai pakaian muat-muat sahaja, mungkinkah mereka juga akan naik nafsu. Seperti kita melihat perempuan berpakaian begitu.

9. Sheikh juga mengingatkan supaya menjaga aurat terutama di bahagian lutut, yang dimaksudkan adalah lutut bukan atas lutut. kadang-kadang semasa kita solat memakai kain atau kain ihram, sewaktu sujud kebarangkalian untuk nampak pangkal lutut adalah luas. Oleh itu dikepit sedikit supaya auratnya dibahagian belakang lutut tidak terbuka.

جرهد بن خويلد الاسلمي الهجيمي أبو عبد الرحمن قال له النبي صلى الله عليه وسلم غطى فخذك فإنها عورة

10. Daripada Abu Abdul Rahman berkata, Rasul SAW bersabda: “tutuplah lututmu, sesungguhnya ia adalah aurat”. Oleh itu kepada kawan yang mahu pergi stadium tengok bola, hati hati jangan sampai melihat aurat orang, kalau boleh dinasihatkan pemain bola agar pakai seluar menutup sehingga bawah lutut. Kerana melihat aurat orang lain adalah Haram.
11. Jika merujuk kepada Fiqhus Sunnah, penulis dikatakan banyak mengambil pendapat Mazhab yang tidak terpilih atau kurang kuat dijadikan sebagai isi kandungan kitab, dalam kitab tersebut ada disebut aurat lelaki bermula pada pangkal paha. Ini pendapat yang tidak kuat dan akan menjadikan orang lain keliru.

12. Sheikh juga menegur orang yang pergi ke Masjid dengan pakaian yang indah-indah, tetapi semasa solat di rumah pakaiannya ala kadar sahaja. Ada yang pakai kain sahaja, baju tidak dipakai, itu salah. Sama juga keadaan Solat semasa berpakaian ihram, sepatutnya kain ihram digunakan untuk menutupi bahu dan bahagian atas badan, bukan solat dalam keadaan idtiba’, (membuka bahu sebelah kiri). Malah ada juga yang solat dengan menyangkut kain ihram dileher, itu juga salah.
يا بني آدم خذوا زينتكم عند كل مسجد وكلوا واشربوا ولا تسرفوا إنه لا يحب المسرفين}(الأعراف:31)

13. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas [Al-A’raf:31]

14. Oleh itu Sheikh berpesan untuk solat, kenalah berpakaian cantik-cantik pakai jubbah pakai serban, pakaian yang bagus dan bersih, kasihan kain serban berbelas helai dalam almari menangis ia sebab tidak dipakai. Apapun terima kasih untuk ummu razeen atas meminjamkan kitab yang barakah ini, lenkali pinjam lagi. sebagai kredit pahala di akhirat kelak.

Post: “Sampaikan dariku walaupun satu ayat” Alhamdulillah, ini hasil malam ni, malam besok ada lagi, sesiapa yang berkesempatan datanglah ke Pondok Ledang, atas tu baru satu Hadis, banyak lagi hadis yang telah disyarahkan oleh Sheikh Husni, kalau tak sempat juga niatkanlah akan datang pada hari lain. Apabila kita berazam maka bertawakkallah. Malam ni banyak santri baru, tak kenai pon.;) Ya Allah sampaikanlah aku ke majlis ilmu sebegini malam besok dan besoknya lagi. Dan sekiranya aku tidak mati shahid di medan jihad, matikanlah aku di jalan menuntut ilmu.
 
bonus: rakaman bulan lepas punya daurah 
bonus 2: ikatan serban dari jalan Abu Musa Al-Ashaari. Sanad melalui Sheikh Husni. Bolehla pakai serban pi surau ka mengaji ka supaya kain serban tak menangis dalam almari.

Wednesday, November 12, 2014

PETA PONDOK LEDANG DAN ALAMATNYA



Pra: Ini bukanlah official page pondok ledang, cuma blog pencinta ilmu, sementelah beberapa request dalam blog ini tak sempat nak direply tentang pondok ledang maka aburazeen a.k.a pakcik akan paparkan petanya, dan jika masih tak tahu lagi sila emel nanti InsyaAllah saya akan tunjukan jalan kepada sesiapa yang berminat untuk merasai syurga raudhah di muka bumi. 
 1. Untuk info kitab talaqqi dan jadual pengajian, para muhibbien (pencinta ilmu) sekelian boleh dapat dari facebook pondok ledang, dibawah nanti ada pakcik copy dari fb pondok ledang, semasa tuan-puan buka nanti mungkin sudah berubah, tapi at least boleh dapat gambaran aktiviti dan masyayeikh (kata jamak kepada sheikh) yang menabur budi kepada murid pondok ledang. Untuk up-to-date boleh masuk FB seperti dibawah. Nak lagi up-to-date boleh mohon masuk list telegram terkini pondok ledang, Ahlan Wasahlan.
2.  SENARAI KITAB PENGAJIAN TALAQQI MINGGUAN DAN BULANAN 
MAJLIS AL-BANJARI LITTAFAQQUH FIDDIN (PONDOK LEDANG)

BERSAMA :
1) TUAN GURU SYEIKH IBRAHIM MASRAN AL-BANJARI
2) TUAN GURU MAULANA HUSSEIN ABDUL KADIR AL-YUSUFI
3) TUAN GURU SYEIKH MUHAMMAD HUSNI GINTING AL-LANGKATI
4) TUAN GURU BABA GHAZALI AHMAD AL-FATHONI
5) TUAN GURU SYEIKH ROHIMUDDIN NAWAWI AL-BANTANI

###############################
SENARAI KITAB PENGAJIAN TALAQQI MINGGUAN
###############################

1) BERSAMA TUAN GURU SYEIKH IBRAHIM MASRAN AL-BANJARI HAFIZAHULLAH

[
Senarai Kitab Kuliah Hari Isnin : ]

1) KITAB SIYARIS SALIKIN JUZUK 1
- Pengarang : Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Aqidah Feqah Tasawuf

2) KITAB BADRIT TAMAM WAN NUJUMITS TSAWAQIB
- Pengarang : Syeikh Ahmad Muhammad Zain Al-Fathoni Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Sirah / Manaqib

3) KITAB IDHOHIL BAB LIMURIDIN NIKAH BIS SHOWAB
- Pengarang : Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Feqah Munakahat

[ Senarai Kitab Kuliah Hari Rabu : ]

1) KITAB SIRAJIL HUDA FI AQA’ID AHLIT TAQWA
- Pengarang : Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Tauhid / Syarah Ummil Barahin

2) KITAB DAWA’IL QULUB MINAL ‘UYUB
- Pengarang : Syeikh Muhammad Khatib Langin Al-Asyi Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Tasawuf

3) KITAB RAUDHATIL ANWAR FI SYAMA’ILIN NABIYIL MUKHTAR
- Pengarang : Syeikh Ibrahim Masran Al-Banjari Hafizahullah Ta’ala
- Ilmu Hadits / Syama’il Muhammadiah

[ Senarai Kitab Kuliah Hari Jumaat : ]

1) KITAB SIYARIS SALIKIN JUZUK 3
- Pengarang : Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Tasawuf

2) KITAB ANAK KUNCI SYURGA
- Pengarang : Syeikh Abdul Qadir Mutalib Al-Mandili Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Aqidah Dan Feqah

3) KITAB WASA’IL ILMIL KALAM
- Pengarang : Syeikh Wan Abdul Qadir Wan Ngah Al-Fathoni Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Kalam

##############################
SENARAI KITAB PENGAJIAN TALAQQI BULANAN
##############################

1) BERSAMA TUAN GURU MAULANA HUSSEIN ABDUL KADIR AL-YUSUFI HAFIZAHULLAH

- Kitab : SUNAN IMAM TIRMIZI
- Pengarang : Imam Abu Isa At-Tirmizi Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Hadits
_________________________________________

2) BERSAMA TUAN GURU BABA GHAZALI AHMAD AL-FATHONI HAFIZAHULLAH

- Kitab : AQIDAH ATH-THOHAWIAH
- Pengarang : Imam Ath-Thohawi Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Aqidah
____________________________________________

3) BERSAMA TUAN GURU SYEIKH MUHAMMAD HUSNI GINTING AL-LANGKATI HAFIZAHULLAH

- Kitab : BULUGHUL MARAM
- Pengarang : Imam Ibnu Hajar Al-Ashqolani Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Hadits
____________________________________________

4) BERSAMA TUAN GURU SYEIKH ROHIMUDDIN NAWAWI AL-BANTANI HAFIZAHULLAH

1) Kitab : Tasawwuf Amali.
- Pengarang : Syeikh Rohimuddin Al-Bantani Hafizahullah.
- Ilmu Tasawwuf.

2) Kitab : FATHUR RAHMAN
- Pengarang : Syeikh Abdul Ghani An-Nablusi Rahimahullah Ta’ala
- Ilmu Tasawuf
____________________________________________

NOTA:
1) Semua pengajian diadakan di Pondok Ledang bermula jam 8.00 malam.
2) Jadual dan tarikh terkini akan dimaklumkan secara update.
3) Senarai kitab di atas boleh berubah. Harap Maklum.
4) Pihak Pondok menyediakan kitab Jawi atau Arab sahaja.

Urusan Kitab, sila hubungi;
1) Ustaz Imam Misran Rais
2) Ustaz Ahmad Sukri Samsudin
3) Ustaz Abdul Wahid
4) Puan Siti Suzana Sarfodin

(copypaste dari FB Pondok Ledang, jadual dan tajuk Kitab mungkin berubah mengikut masa)

 3. Selain pengajian secara bertalaqqi, pondok ledang juga baru selesai program jaulah ke pondok-pondok di utara dan pantai timur Malaysia, termasuklah ke Selatan Thai, demi untuk mengeratkan ukhuwah, menziarahi tok guru, baba, maulana dan mengambil ibrah dari waliAllah yang terdahulu. (yang tu tunggu weekend baru tulis)
 4. Gambar pondok original ni bukanlah Pondok Ledang, sebab Pondok Ledang tiada pondok sepertimana yang digambarkan, tapi kami mengambil ruh pondok yang menjadi tunjang kepada ilmu agama di tanah melayu, begitulah juga hasrat pengasas, Sheikhuna Ibnu Masran Al-Banjari semoga dirahmati Allah agar kami semua dapat memperolehi ilmu sepertimana belajar di pondok.
 5. Santri (pelajar) terdiri dari golongan pekerja pelbagai sektor, penuntut Universiti, penduduk sekitar dan tidak ketinggalan para asatizah yang tidak jemu-jemu menadah kitab mengambil keberkatan dan faedah dari tok-tok guru yang datang dari rantau Asia. 
6. Meskipun bilangan penuntut tidaklah seramai pondok pasir tumbuh atau seumpamanya, Pondok Ledang tetap mendapat tempat dalam route ulama-ulama nusantara dan dari tanah arab. Antaranya Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari, Syeikh Tariq Sardar dan para Habaib yang singgah menumpahkan barokah.

7. Pondok Ledang ni letaknya di Surau Nur di kawasan Apartment Ledang dalam Bandar Baru Uda, Johor Bahru, dekat dengan Mydin BBU kebanyakan orang kat situ pun tak tahu. Hanya yang terpilih dan yang cekal sahaja diberi peluang oleh Allah. "Barangsiapa yang hendak diberikan oleh Allah dengan kebaikan, maka diberinya kefahaman tentang 'deen' cara hidup beragama". Datanglah bawa kawan-kawan, mereka akan jadi fix-deposit untuk pahala kita manalah tahu kerana "sesiapa yang menunjukkan jalan kebaikan, maka ia akan dapat pahala sepertimana mereka yanng mengikutinya" so apalagi seronok ramai kawan yang sama belajar. 


Post: Apapun pakcik yang Faqer dalam ilmu dan iman cuma mengharapkan pengunjung blog pakcik dapat merebut peluang untuk menuntut ilmu, kerana ilmu agama bukan setakat memberi faedah kita semasa di dunia bahkan juga di akhirat nanti. Ingatlah dunia ini tempat mengumpul amal baik ... jumpa kita disana. Wassalam

p/s doakan pakcik dapat menulis ala-ala travelog jaulah sufi dengan sempurna biiznillah.. amin