Saturday, March 20, 2021

FASAKH YANG SUSAH : KOD Z

FASAKH YANG SUSAH, KOD Z
Notes : 10 para with heavy reading and street writing 

Pra: Pernah jumpa masalah dalam hidup?, masalah yang datang, bukan masalah yang dicari. Bila jumpa masalah selesaikan. Tanpa masalah hidup akan dull, lame dan boring. Lagi besar masalah lagi, lagi kreatif kita kena fikir penyelesaiannya, antaranya masalah ditempat kerja. Biar saya kongsikan satu masalah yang pernah dihadapi tidak lama dulu... ingat bukan cari masalah ya!


1. Kes Fasakh adalah merupakan kes yang paling banyak dikendalikan antara 2010-2018. Bagi orang lain mungkin mudah bagi mereka, tetapi untuk saya ia adalah batu paling besar yang perlu saya pecahkan, kerana sebelumnya dari 2002 hingga 2010 kebanyakan kes yang terlibat adalah kes Mahkamah Tinggi Syariah.

2. Fasakh adalah kes Mahkamah Rendah, kurang popular berbanding pengesahan lafaz cerai atau permohonan cerai biasa. Bagi saya untuk master dalam kes tuntutan cerai ada baiknya seseorang bawa kes fasakh full trial dari siasatan sampai ke hujahan. Lebih mengujakan kes dibawa dihadapan seorang Hakim yang Syadid (straight/hard/details).

3. Di kalangan ramai-ramai Hakim, yang kebijaksanaan mereka semua adalah undisputed akan ada seorang yang sangat detail. Biasa akan wujud, walau seorang dimana-mana tempat sekalipun. Kalau boleh nak mengelak dari bicara hadapannya. Namun bagi saya berlainan pula.

4. Saya letakkan Hakim tersebut sebagai penanda aras (key performance indicator: KPI) bagi kecemerlangan dalam menjalankan perbicaraan. Saya sangat berpuas hati sekiranya saya menang dalam kes yang didengar di hadapan beliau, keistimewaan ini kalau nak diumpamakan seperti meneguk air tebu jam 12.00 tengahari yang panas membahang. Pasti tak sama dengan minum air tebu waktu yang redup dan nak hujan.

5. Oleh sebab itu kalau ada juniors yang saya bimbing saya akan suruh dia study perbicaraan dalam dewan Hakim tersebut. Look and Learn. Adalah satu kejayaan kalau bawa kes dari mula sampai habis Hakim tersebut tidak berkutik. Tapi kalau dia tanya, walau satu soalan siaplah awak! Soalannya maut maut.

6. Satu yang saya nak kongsikan adalah pengetahuan mengenai seksyen 53(1)(b) En. Undang-Undang Keluarga yang menyatakan “Bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan”. Atau lebih dikenali dengan merit cuai nafkah.

7. Seumpama audit trail, kita kena cari sebab kenapa seorang isteri tidak dapat nafkah, ada yang sebab tinggal berasingan dengan suami, jadi perlu kenalpasti apakah sebab tinggal berasingan. Perlu beri perhatian ini adalah titik paling penting dalam meneruskan kes fasakh, dia umpama tengkok bagi badan.

8. Jika tinggal berasingan kerana isteri keluar dari rumah kelamin, sila pastikan keluarnya itu disebabkan oleh faktor suami. Waimma suami halau, suami pukul, suami dera fizikal atau mental, rumah tiada perkara asas, api kena potong, air takde, atau suami masukkan orang mukan muhrim/ajnabi tinggal sekali dalam rumah, tuan rumah halau. etc.

9. Bila fakta keluar rumah disebabkan suami maka pastikan fakta tersebut didokong oleh bukti dan/atau saksi yang kukuh. Kalau keluar rumah sebab dihalau, adakah saksi yang melihat kejadian tersebut, adakah repot polis dibuat jika tiada saksi. Kalau keluar sebab dipukul suami maka mesti ada repot polis, surat doktor atau sesiapa yang melihat kejadian atau lihat kesan pukulan pada badan.

10. Jika hanya ada dakwaan wujudnya fakta tetapi tiada keterangan sokongan maka, ratio untuk menang kes dah jadi “0”. Dan Hakim yang syadid yang saya ceritakan diatas akan tanya sekali sahaja, “sebab apa puan keluar rumah?”, ..nanti client jawab sebab gaduh, Hakim akan tanya “dia halau ka?”, kalau client jawab tak… maka bersedialah peguam nak cover jawapan keluar rumah secara sukarela tadi ..kalau tiada bukti kukuh maka bersedialah untuk disembelih dalam dewan hidup hidup.

Abu Razeen
Hadapi masalah bukan lari dari masalah

Post: Code ‘Z’ tu digunakan untuk pembayang tahap kesukaran bawa kes circa 2010-2018